Ahad, 30 Januari 2011

MENYOKONG SERTA MEMBANTU PERJUANGAN ISLAM ADALAH WAJIB....

Jentera PAS optimis buat kejutan esok
Zulkifli Sulong

LABIS, 29 Jan: Sehingga minit-minit akhir kempen pilihan raya kecil Tenang, PAS masih optimis dapat membuat kejutan dalam pembuangan undi esok.

Pengarah Pilihan Raya PAS Dun Tenang, Salahudin Ayub (gambar) berkata, setelah membuat usaha terbaik, beliau telah meminta jenteranya dan semua ahli dan pimpinan PAS berdoa kepada Allah kerana hanya Dia yang berhak untuk menentukan segala-galanya.

Salahudin berkata demikian kepada Harakahdaily ketika dihubungi menjelang tengah malam 29 Januari iaitu menjelang tempoh kempen tamat sebelum pembuangan undi pilihan raya kecil esok.

Pembuangan undi bermula jam 8 pagi esok di 12 pusat mengundi yang mempunyai 32 saluran.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof menyeru penduduk di kawasan pilihan raya kecil Dewan Uundangan Negeri (DUN) Tenang menunaikan tanggungjawab mereka pada sebelah pagi bagi mengelak hujan lebat yang dijangka berlaku petang esok.

"Kita mahu pengundi turun mengundi di sebelah pagi...jangan tangguh-tangguh," katanya kepada pemberita selepas melawat dan memberi amanat kepada petugas SPR di Dewan Serba Guna Majlis Daerah Labis hari ini.

Abdul Aziz berkata semua 12 pusat yang mempunyai 32 saluran mengundi adalah selamat daripada kemungkinan dilanda banjir kerana terletak di tempat tinggi.

Bagaimanapun, beliau berkata banjir dikhuatiri berlaku di sebatang jalan sepanjang tiga kilometer menuju ke pusat mengundi Kampung Sawah Baru, iaitu Sekolah Kebangsaan Sawah Baru, kerana terletak di kawasan rendah dan mudah ditenggelami air.

"Pengundi tidak perlu risau kerana SPR telah mengadakan persiapan yang rapi dengan kerjasama pelbagai agensi seperti Jabatan Pertahanan Awam, Bomba dan polis bagi menyediakan kemudahan pengangkutan untuk membawa pengundi ke pusat berkenaan," katanya.

Kempen jalan lancar

Menurut Salahudin yang juga Naib Presiden PAS, segala perancangan gerak kerja kempen yang dirancang pihaknya berjalan lancar.

"Untuk malam ini, kita akan tingkatkan keselamatan dan nampaknya jentera kita bersiap sedia untuk menjalankan tugas itu dengan yang terbaik," katanya.

(Gambar: Calon PAS, Cikgu Mala sentiasa diserbu wartawan kemana beliau pergi)

Beliau berharap akan membuat kejutan dan untuk itu sentuhan terakhir sedang digerakkan pihaknya.

Jentera BN mensasarkan kemenangan lebih 5,000 undi majoriti namun sebuah badan penyelidikan, Ilham Centre menjangkakan jangkaan BN itu tidak akan berjaya.

Dalam tinjauan Harakahdaily pula, jentera PAS berjaya menembusi generasi kedua Felda dengan baik di samping kawasan pengundi Cina.

Namun begitu, BN masih mendapat sokongan kuat di kalangan peneroka Felda dan pengundi Melayu di kampung tradisional.

Pun begitu, calon PAS, Cikgu Mala berjaya mendapat sokongan kuat di kalangan pengundi wanita dan juga para guru yang ramai di Tenang ini.

"Jika PAS berjaya memikat lebih 60 peratus pengundi wanita, tidak ada sebab untuk PAS tidak menang," kata seorang pemerhati politik yang ditemui.

Esok, calon PAS, Cikgu Normala Sudirman dijangka memulakan pagi esok dengan melawat pusat mengundi yang terletak di Sekolah Kebangsaan Kampung Tenang iaitu di peti undi Kampung Redong.

Beliau dijangka sampai ke sana seawal jam 8. 30 pagi.


Serang peribadi: Cikgu Mala tetap positif

Nazri Abdullah
LABIS, 29 Jan: Calon PAS bagi Pilihan Raya Kecil Dun Tenang, Normala Sudirman positif masyarakat di Dun itu akan bersama beliau pada hari pengundian esok.

Beliau ketika ditemui hari ini melahirkan keyakinan itu berdasarkan sambutan masyarakat yang ditemuinya ketika berkunjung rumah ke rumah sepanjang tempoh kempen.

Katanya, biarpun berdepan taktik kotor pihak lawan yang menyerang peribadinya, namun beliau yakin masyarakat di Dun Tenang pandai menilai kebenaran.

"Harapan saya sentiasa positif, saya yakin pengundi akan membuat pilihan terbaik.

"Saya percaya dengan izin Allah tiada yang mustahil dan saya berdoa pengundi membuat pilihan tepat untuk kebaikkan Dun Tenang," jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Harakahdaily selepas menziarahi keluarga jenazah seorang penduduk di kampung Lembah Bakti di sini yang terbabit kemalangan.

Biarpun hujan lebat turun sejak awal pagi ini, namun ianya sedikitpun tidak membantutkan perjalanan waktu-waktu akhir kempen Normala.

Hari ini merupakan hari terakhir kempen yang akan tamat secara rasmi jam 12 malam ini.

Manakala esok, sejumlah 14,554 pengundi akan menunaikan tanggungjawab mereka memilih calon yang akan mewakili mereka ke Dun Johor.

Sebelum ini 119 pengundi pos telah menunaikan tanggungjawab sama.

Calon PAS, Normala Sudirman akan berdepan calon BN, Mohd Azahar Ibrahim.


Cina nyanyi 'The moon is my heart' bersama Nizar
Harakahdaily

LABIS, 30 Jan: Walaupun hujan lebat namun kira-kira 800 penduduk Cina pekan Labis setia mendengar ceramah yang diberikan oleh para pemimpin Pakatan Rakyat malam tadi.

Yang menariknya, mereka dengan penuh ghairah turut menyanyi bersama Datuk Seri Nizar Jamaludin apabila beliau menyanyikan lagu Cina, "The moon is my heart" (Bulan adalah hatiku).

Walaupun jam sudah menunjukkan waktu 11.30 malam namun mereka masih setia mendengar ucapan demi ucapan dari para pemimpin DAP, PAS dan PKR di pusat operasi DAP di pekan Labis itu.

Di seberang jalan, MCA juga mengadakan majlis ceramah namun hanya kira-kira 30 penonton menyertainya.

Jika suasana sokongan ini boleh diterjemahkan dengan undi esok, nescaya calon Pakatan dari PAS, Cikgu Normala Sudirman akan mendapat majoriti undi Cina esok.

Teresa Kok yang turut berada di situ menyifatkan hujan yang turun ini umpama kerja tuhan membersihkan segala daki rasuah di atas bumi Labis ini.

Selain beliau, turut berada di situ adalah Teng Chan Khim dan Tony Pua.



PAS harap kerjasama polis, petugas berdisiplin
Hazayani Zakaria

LABIS, 29 Jan: Pengarah Pilihan Raya Kecil PAS bagi Dun Tenang, Salahuddin Ayub menyeru semua pihak memainkan peranan untuk memastikan proses membuang undi esok berjalan dalam keadaan yang terkawal dan mendapat kerjasama yang sepenuhnya daripada pihak polis.

Salahuddin yang juga Naib Presiden PAS seperti sebelum ini, terus memberi jaminan bahawa Pakatan Rakyat akan mengikut segala prosedur yang ditetapkan dan memastikan tiada penyokong yang menimbulkan suasana tidak harmoni.

"Bagi penyokong-penyokong parti khususnya PAS dan Pakatan Rakyat, kita memberikan satu jaminan bahawa kita akan mematuhi segala prosedur pilihan raya dan berdisiplin dalam kita berkempen pada hari esok.

"Kita mengharapkan satu keadaan di mana polis boleh memberi kerjasama tanpa ada perkara-perkara yang tidak kita ingini berlaku," katanya ketika ditemui di balai polis Labis petang tadi (gambar).

Beliau bersama seorang lagi Naib Presiden, Datuk Mahfuz Omar ke balai polis berkenaan untuk bertemu dengan bahagian atasan pasukan polis daerah itu bagi meminta kerjasama pihaknya mengawal keadaan esok.

Bagaimanapun pertemuan itu gagal diadakan kerana pihak polis Labis sedang bermesyuarat.

Pertemuan itu, katanya bagi memastikan keadaan esok terkawal di bawah pengawasan polis.

"Kita ingin berjumpa atas nama PAS Negeri Johor dan saya mengharapkan agar pilihan raya esok dapat berjalan dengan baik sebagaimana yang dirancang dan tidak menimbulkan apa-apa masalah kepada pengundi-pengundi di Dun Tenang ini," katanya.

Tambahnya, pihaknya sentiasa memberikan taklimat kepada petugas-petugas parti agar tidak melanggar prosedur pilihan raya yang ditetapkan.

"Kita sentiasa memberikan taklimat dan pengarahan supaya petugas-tugas parti mengikut prosedur yang telah kita tetapkan, beretika, berdisiplin dan tidak membuat provokasi dan tidak mudah termakan dengan apa juga provokasi yang cuba dilakukan," katanya.

Turut bersama beliau ialah Pesuruhjaya PAS Johor, Datuk Dr. Mahfodz Muhammad.


PAS kesal dihalang berkempen
Hazayani Zakaria
LABIS, 29 Jan: PAS kesal dengan sikap Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) yang didakwa berat sebelah terhadap Pakatan Rakyat pada pilihan raya kecil (PRK) Dun Tenang.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Johor, Dzulkefly Ahmad berkata, kekesalan tersebut ekoran SPR gagal memastikan semua parti bertanding berhak mengakses ke semua kawasan yang terlibat dengan PRK tersebut.

Beliau berkata demikian sebagai merujuk kepada maklumat yang diterima daripada petugas parti bahawa mereka tidak dibenarkan masuk berkempen di Ladang Labis Utara dan Ladang Bukit Datuk.

"Kenapa BN boleh masuk berkempen, Pakatan Rakyat tak boleh masuk?

"Sepatutnya semua pengundi ada hak untuk akses maklumat daripada kedua-dua parti," kata beliau pada sidang media harian dekat sini, hari ini.

Tambahnya apabila petugas parti memaklumkan perkara demikian kepada SPR, mereka berkata perkara tersebut di bawah kuasa pemilik ladang berkenaan.

"Kita bawa peguam kita jumpa SPR,tapi mereka kata itu terpulang kepada pemilik ladang. Tapi kita katakan SPR bertanggungjawab dalam memastikan rakyat mendapat maklumat," katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap agar SPR dapat mengambil tindakan segera memandangkan hari ini merupakan hari terakhir kempen.

Sementara itu, beliau berkata Pakatan Rakyat akan berhimpun di Dataran Cikgu Mala malam esok bagi mendengar keputusan PRK ini.

"Kita akan adakan perhimpunan untuk dengar keputusan di Dataran Cikgu Mala malam esok samaada menang atau kalah, kita tak kisah," katanya.


Mesir dan Tunisia: Bebaskan SPR dan media
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 29 Jan: PAS meminta pemerintahan BN segera membuka ruang demokrasi yang adil di Malaysia dengan membebaskan SPR dan media daripada cengkaman parti pemerintah seterusnya bersedia untuk berhadapan dengan Pakatan Rakyat di padang yang sama rata.

"Kita tidak mahu situasi tegang sedemikian (di Mesir dan Tunisia sekarang) berlaku di negara ini," kata Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam kenyataannya bagi mengulas apa yang berlaku di Tunisia dan Mesir sekarang.

"Tetapi dunia membuktikan ketegangan di antara rakyat dan pemerintah itu berpunca daripada sikap pemerintah itu sendiri," kata Abdul Hadi.

Rentetan dari perkembangan kebangkitan kuasa rakyat di Asia Barat secara umumnya dan di Mesir khususnya di waktu ini, Parti Islam SeMalaysia (PAS) mendesak semua kerajaan yang memerintah di waktu ini di Asia Barat agar segera menghentikan segala bentuk tindakan ganas kepada rakyat mereka sendiri yang terlibat dengan perhimpunan tunjuk perasaan.

Di Mesir, katanya, umum mengetahui bahawa demokrasi telah dicabul teruk dan pentadbiran Presiden Hosni Mubarak mesti bertanggungjawab terhadap pencabulan tersebut dan bersedia berhadapan dengan desakan rakyat supaya beliau meletakkan jawatan.

"Bagi pihak PAS, kami menyatakan solidariti bersama dengan rakyat Mesir yang bangkit menuntut keadilan setelah sekian lama berada dalam penindasan. Kami mendoakan kejayaan intifadha rakyat Mesir yang belum pernah disaksikan dalam sejarah Mesir moden ini.

"PAS juga mendesak supaya dibebaskan segera kesemua tahanan politik yang telah dipenjarakan sejak sekian lama di Mesir yang dihukum menerusi perbicaraan yang tidak adil," katanya.

Katanya, dunia khususnya OIC dan PBB didesak supaya memberikan tekanan kepada Presiden Hosni Mubarak dan kerajaannya yang telah melanggar hak asasi manusia apabila telah menyebabkan kecederaan kepada lebih seribu rakyat Mesir yang berhimpun dan juga lapan daripadanya yang terkorban.

"Penyelesaian terhadap kemelut ini boleh berlaku dengan dibukanya pintu demokrasi yang tulen dan diadakan pilihanraya yang telus di Mesir," katanya.

Kepada kerajaan Barisan Nasional di Malaysia, perlu diperingatkan supaya mengambil iktibar terhadap apa yang berlaku di Tunisia dan Mesir pada hari ini.

Apabila pemerintah mencabul amalan demokrasi, menyeleweng kewangan negara dan bersifat zalim terhadap rakyat, maka kebangkitan rakyat tidak dapat dibendung lagi.

Maka pemerintahan BN, katanya, perlu segera membuka ruang demokrasi yang adil di Malaysia dengan membebaskan SPR dan media daripada cengkaman parti pemerintah seterusnya bersedia untuk berhadapan dengan Pakatan Rakyat di padang yang sama rata.

"Kita tidak mahu situasi tegang sedemikian berlaku di negara ini. Tetapi dunia membuktikan ketegangan di antara rakyat dan pemerintah itu berpunca daripada sikap pemerintah itu sendiri," katanya.







Tiada ulasan: