Ahad, 14 Mac 2010

ILMU DITUNTUT IKUT PERINGKAT2...JANGAN TAK MENUNTUT ...MAKA MUDAH DISESATKAN

Ayah Pin muncul semula melalui laman Facebook


Oleh Ridzuan Yop dan Hafizah Iszahanid
bminggu@bharian.com.my
2010/03/14

Ketua kumpulan ajaran sesat ‘kerajaan langit’ teruskan dakyah

KUALA LUMPUR: Ketua kumpulan ajaran sesat ‘kerajaan langit’, Ayah Pin yang menyepi diri sejak sekian lama, kini muncul kembali cuba menyebarkan ajarannya dengan kaedah lebih canggih menggunakan laman sosial Facebook.

Ayah Pin atau nama sebenarnya Ariffin Muhamad, 85, yang mendakwa dirinya wakil kerajaan langit dikesan mempunyai akaun Facebook sendiri baru-baru ini dan dipercayai akan meneruskan dakyah sesatnya di laman web sosial itu. Ayah Pin, sebelum ini dikatakan uzur dan tahun lalu beliau dipercayai sudah kembali semula ke pangkalannya di Kampung Batu 13, Hulu Besut, Terengganu, selepas menghilangkan diri sejak hampir empat tahun lalu apabila penempatannya dirobohkan pihak berkuasa.

Beliau sebelum ini menjadi buruan pihak berkuasa dan tidak lagi menganjurkan sebarang kegiatan songsang kerana kesihatannya tidak mengizinkan. Ayah Pin secara rasmi mengisytiharkan dirinya keluar Islam pada 2 Ogos 1998.

Bagaimanapun, kemunculan semula Ayah Pin melalui laman web itu membimbangkan banyak pihak kerana ada kemungkinan pengikutnya kembali semula dan orang ramai yang sering menggunakan laman sosial itu mungkin terpengaruh dengan ajarannya.

Mengulas perkara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, berkata kerajaan akan menyiasat laporan mengenai kewujudan laman web sosial Facebook yang dimiliki Ayah Pin.
Beliau berkata, siasatan dan pemantauan itu nanti akan membabitkan Kementerian Dalam Negeri (KDN), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

"Inilah masalahnya sekarang.... ramai sangat orang yang cepat percaya dengan perkara yang tidak masuk akal. Oleh itu, kita akan segera pantau dan siasat perkara ini kerana kita tidak mahu laman web ini berleluasa dan mempengaruhi pemikiran masyarakat kita," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Pengurusan Masjid Wilayah Persekutuan di sini, semalam.

Jamil Khir berkata, Jabatan Perdana Menteri akan menjalinkan kerjasama dengan agensi komunikasi dan multimedia yang lain bagi memantau aktiviti ajaran sesat yang disebarkan melalui internet dari semasa ke semasa.

Beliau berkata, ada orang Islam seakan-akan tidak boleh menggunakan akal sehinggakan apabila wujud saja kumpulan ajaran sesat, pasti ada saja yang menjadi pengikutnya.

“Ajaran sesat seperti Ayah Pin bukan saja ditolak orang Islam tetapi juga orang bukan Islam, tapi saya pelik mengapa masih ada orang yang menjadi pengikutnya,” katanya.

Sementara itu, Jamil Khir berkata, hampir semua 248 jawatan pegawai dan kakitangan tetap berpencen di masjid seluruh Malaysia, yang diluluskan pengambilannya pada 2007 berjaya dilaksanakan.

Katanya jawatan itu merangkumi gred S41, S44, S32, S27, S17, N17 dan S11 banyak membantu dalam memastikan pentadbiran dan pengurusan masjid lebih cekap dan teratur. Malah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) sudah mewujudkan lapan pejabat zon yang ditempatkan di lapan masjid di Wilayah Persekutuan bagi menyelaras urusan pentadbiran dan kewangan.

Tiada ulasan: