Jumaat, 12 Mac 2010

Anda Musykil Dr.Mashitah jawab (Datuk Dr.Mashitah Ibrahim, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri)

Kahwin di Thailand tanpa pengetahuan keluarga



SAYA berumur 26 tahun dan berasal dari Pasir Mas, Kelantan. Saya berkahwin di Patani, Thailand pada 20 Julai 2008 ketika berumur 24 tahun dan surat nikah dikeluarkan oleh Majlis Agama Islam Patani.

Selama hampir dua tahun berkahwin saya tidak melaporkan kepada jabatan agama di negara ini untuk mengesahkan perkahwinan kami kerana khuatir diketahui keluarga saya.


Saya ingin memujuk bapa dan keluarga untuk menerima suami (yang akan saya perkenalkan kepada keluarga sebagai kekasih) apabila tamat pengajian kelak dan mengadakan majlis pernikahan mengikut prosedur di sini tanpa mereka ketahui saya sudah bernikah.


Ketika berkahwin di Patani, saya masih belajar di IPTA ibu negara. Suami sanggup berhenti kerja dan tinggal bersama saya di Kuala Lumpur. Sebelum berkahwin, kami pernah terlanjur beberapa kali. Ketika itu saya tidak fikir dosa melainkan keseronokan bersama kekasih.


Kami insaf dan saya memberitahu hasrat untuk berkahwin, tetapi keluarga tidak membenarkan kerana mereka beranggapan suami saya tidak setaraf kerana berasal daripada keluarga miskin sedangkan saya dibesarkan dalam keadaan mewah.


Jadi kami mengambil keputusan untuk bernikah di selatan Thailand secara senyap-senyap dan perkara itu masih menjadi rahsia kerana saya masih balik ke kampung setiap kali cuti semester. Saya tidak mahu terus melakukan zina kerana saya juga tidak sanggup berpisah dengan kekasih.


Kini saya sudah bekerja dan sekali lagi meminta izin keluarga untuk ‘berkahwin’ dan bapa bersetuju. Masalahnya ialah saya tidak mahu pernikahan kami di Patani diketahui keluarga dan inginkan bapa menjadi wali saya. Saya bimbang jika perkara ini diketahui keluarga, mereka akan membuang kami.


Adakah pihak di sini dapat mengesan pernikahan kami di sana (jika saya tidak melaporkannya)? Bolehkah kami dinikahkan sekali lagi sedangkan kami sebenarnya masih suami isteri? KAY SHIKEEN
Petaling Jaya
Pernikahan puan sekarang ini sah daripada segi agama, tetapi tidak sah daripada segi undang-undang Malaysia saja. Tidak sah kerana tidak ada pendaftaran dibuat. Pernikahan adalah jalan terbaik bagi mengelak zina dan terus berada dalam dosa.


Bagaimanapun, masih ada sebilangan kecil ibu bapa yang tidak melihat sudut ini, sebaliknya mementingkan darjat dan kemewahan sehingga mengheret puan ke dalam dilema seperti ini.


Jika puan tidak melaporkannya, tiada pihak akan membuka rahsia ini kecuali mereka yang tahu mengenainya. Masalah akan timbul jika suami meninggalkan puan atau mati, di mana status puan akan berubah.


Moga Allah panjangkan usia sehingga semua urusan selesai. Pernikahan kali kedua tidak akan merubah status halal suami isteri sekarang, ia sekadar pendaftaran bagi undang-undang di negara kita.

Tiada ulasan: