Ahad, 14 Mac 2010

AMBIKLAH....SOK JAWAB AJE....SEMUA PEMIMPIN AKAN DITANYA .....ATAS APA YANG DIPIMPIN....

Mohsin tidak akan lepas jawatan


Oleh Jalal Ali Abdul Rahim
jalal@bharian.com.my
2010/03/14

Beri tumpuan kepada tugas sebagai wakil rakyat kawasan Parlimen Bagan Serai

IPOH: Selepas lebih seminggu berdiam diri terhadap reaksi keras diterimanya, Ahli Parlimen Bagan Serai, Mohsin Fadzli Samsuri yang keluar daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) 3 Mac lalu, bertegas tidak akan tunduk terhadap desakan meletak jawatan sebagai wakil rakyat.

Mohsin yang kini menjadi wakil rakyat Bebas, berkata beliau setakat ini tidak akan menyertai mana-mana parti politik kerana tumpuan kini memberi khidmat kepada kira-kira 18,000 pengundi di kawasan Parlimen itu walaupun berdepan kesukaran kerana sabotaj dan tentangan pakatan pembangkang tempatan. “Saya dilantik orang ramai... takkan nak dengar seorang atau beberapa orang yang mahu saya letak jawatan kerana saya ada 18,000 pengundi. Lagipun pilihan raya (umum) sudah hampir dan saya akan berkhidmat hingga habis penggal,” katanya pada sidang media di sebuah hotel, di sini semalam.

Tindakan Mohsin mendapat kecaman hebat pakatan pembangkang Bagan Serai yang berarak menyuarakan bantahan, malah Ahli Syura Pas, Ahmad Awang mahu menganjurkan solat hajat supaya menurunkan hukuman terhadapnya.

Pada sidang media itu, Mohsin turut memperdengarkan sebahagian rakaman ucapan didakwanya dibuat seorang pemimpin PKR Bagan Serai yang disifatkan penghinaan kepada dirinya dan menyebabkan usahanya memberikan perkhidmatan terjejas malah mempengaruhi kesihatannya.

“Bila saya balik kawasan (Bagan Serai), BP (tekanan darah) saya naik, tapi bila ada di Kajang, BP saya agak normal,” katanya yang kesal kerana masalah yang beliau sampaikan kepada pimpinan pusat PKR tidak ditangani dengan baik.
Katanya, walaupun berada di Kajang, beliau mempunyai wakil di Bagan Serai yang memberi laporan berhubung masalah rakyat dan akan ke kawasan Parlimen itu jika perlu.

Mohsin berkata, keputusannya keluar parti lebih kepada masalah PKR sendiri, khususnya di peringkat negeri dan Bagan Serai, selain sikap pemimpin peringkat Pusat dan meminta pengundinya memahami yang beliau tidak lagi tahan disabotaj, difitnah dan dicaci oleh kepemimpinan Cabang PKR Bagan Serai.

Menurutnya, Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri sudah hilang kawalan terhadap pemimpin tertentu di peringkat negeri.

"Pahang juga bermasalah... jika dia (Anwar) tak mahu ambil tahu, dia akan susah. Dalam masalah saya, dia serahkan pada Azmin (Naib Presiden PKR, Azmin Ali) dan negeri, tapi tak ada apa-apa tindakan. Saya dengar ada dari (pemimpin PKR) Pusat nak menggantikan saya... apa maruah saya, saya ada lagi," katanya.

Mengenai reaksi orang ramai di kawasannya selepas pengumuman keluar parti dibuat, beliau mengakui wujud perasaan takut selepas menerima SMS dan berlaku tunjuk perasaan, tetapi tentangan seperti itu semakin berkurangan selepas diberikan penerangan.

“Ada yang mengatakan saya macam-macam... tak apa saya nak tunjukkan bukti cek, siapa menipu siapa," katanya sambil menambah mengalu-alukan jika penyokongnya turut keluar PKR kerana ia akan memudahkannya berkhidmat di Bagan Serai.

Mohsin yang berulang kali menegaskan mungkin beliau tidak dihormati pemimpin PKR kerana latar belakangnya sebagai petani dan tidak banyak pengalaman politik, berkata solat hajat dianjurkan Ahmad tidak sepatutnya dibuat dan beliau berdoa Ahli Syura Pas itu tidak lagi berburuk sangka terhadapnya.



lagi



Mohsin 'hilang' kerana bimbang keselamatannya


Jimadie Shah Othman
Mac 15, 10
6:03pm

Ahli parlimen Bagan Serai Mohsin Fadzli Samsuri menjelaskan bahawa beliau tidak dapat dihubungi kira-kira seminggu selepas keluar PKR baru-baru ini kerana bimbangkan keselamatan dirinya.

Sehubungan itu, tambahnya beliau mengambil keputusan tidak turun ke kawasan parlimennya dan menutup pejabat wakil rakyatnya buat sementara waktu.

“Insya-Allah, tidak lama lagi (beroperasi kembali). Saya rasa sudah makin kendur (bantahan orang ramai),” katanya kepada Malaysiakini.

Beliau sebelum itu membacakan sepotong ayat daripada surah Yasin yang mengisahkan bagaimana Rasulullah dapat meloloskan diri daripada dibunuh kaum kafir Quraish pada zaman permulaan dakwah Islam walaupun rumah baginda telah dikepong.

Mohsin diminta mengulas tindakannya 'menghilangkan diri' selepas mengumumkan keluar PKR dan menjadi wakil bebas pada 3 Mac lalu atas alasan tidak bersetuju dengan pandangan parti berhubung isu penggunaan kalimah Allah.

Pengundurannya itu dikritik pelbagai pihak dalam pembangkang, termasuk melalui beberapa siri demonstrasi dan solat hajat tujuh malam supaya beliau mengosongkan kerusi itu bagi memberikan laluan kepada pilihan raya kecil.

Ketika dihubungi Malaysiakini hari ini, Mohsin bagaimanapun dilihat cuba bersikap tenang dan positif menangani perkara tersebut.

“Saya ingin mengambil iktibar daripada kisah Rasulullah berdakwah ke Taif. Baginda mendapat banyak tentangan sehingga dibaling dengan batu.

“Rasulullah bagaimanapun memaafkannya dan mendoakan kebaikan untuk mereka kerana mereka tidak tahu (baik-buruk perbuatan masing-masing),” katanya yang enggan mengkritik langsung pihak-pihak tertentu.

Mohsin bagaimanapun memberikan jaminannya akan terus memperjuangkan nasib rakyat di kawasannya secara lebih bebas tanpa perlu terikat dengan mana-mana parti.

“Kalau dengan Umno, ada yang saya tidak boleh kata (suarakan). Kalau dengan PAS, ada yang sama tidak boleh kata,” katanya, sekaligus menafikan khabar angin bahawa beliau akan menyertai Umno.

Mohsin menambah, oleh kerana beliau kini bebas sepenuhnya, kemungkinan terdapat keadaan-keadaan tertentu apabila beliau menyokong kerajaan dan pada masa yang lain menyokong pula pembangkang ketika membahaskan sesuatu isu di parlimen.

Setakat ini, sekurang-kurang dua demonstrasi dilaporkan diadakan di Bagan Serai susulan peletakan jawatan Mohsin daripada PKR dua minggu lalu.

Manakala bermula kelmarin, laporan di blog-blog menyebut, satu solat hajat khas anjuran ahli majlis syura Ulama PAS Ahmad Awang diadakan bagi memohon hukuman Allah terhadap Mohsin kerana didakwa mengkhianati perjuangan.

Tiada ulasan: