Khamis, 4 Mac 2010

HANYA ALLAH YANG TAHU BAGAIMANA MEREKA BEKERJA DAN MELAYAN ORANG RAMAI...NO KOMEN

Institusi agama tercabar

Oleh Mohd Harzrul Aminuddin
harzrul@hmetro.com.my
2010/03/04

MUAR: “Penghinaan bagi umat Islam,” tegas penceramah bebas, Ustaz Hassan Mahmud Al Hafiz mengulas kisah seorang ibu tunggal yang menerima bantuan pihak gereja bagi membiayai yuran pengajian anaknya di sebuah universiti tempatan di ibu negara, baru-baru ini.

Hassan berkata, isu itu juga tamparan hebat kepada institusi agama termasuk Baitulmal dan pusat zakat negeri kerana terlepas pandang nasib ibu malang terbabit.


“Hadis Rasulullah ada mengatakan sebagai umat Islam kita wajib menghulurkan bantuan kepada ibu tunggal dan anak yatim termasuk menjaga kebajikan mereka dari segi pakaian, tempat tinggal serta keselamatan.


“Kalau kita tidak membantu, mereka yang teraniaya sebegini kebiasaannya boleh jadi kufur atau keluar Islam pada bila-bila masa,” katanya ketika dihubungi, semalam.


Hassan juga tidak menolak kemungkinan lebih ramai lagi ibu tunggal di luar sana yang menerima nasib seperti wanita yang dikenali sebagai Hanum itu.


Harian Metro semalam melaporkan, seorang ibu tunggal menerima sumbangan sebuah gereja sebanyak RM2,000 bagi menaja pengajian anaknya di sebuah universiti tempatan di Kuala Lumpur.

Sumbangan itu diterima Hanum selepas permohonannya di kebanyakan pertubuhan Islam dan wakil rakyat setempat sering mengecewakan, malah pernah dihalau ketika berulang kali cuba memohon bantuan.


Walaupun menerima cek daripada gereja, ibu malang terbabit tidak menggunakan cek itu sebaliknya menyerahkannya kepada seorang individu bergelar ustaz yang ditemui di sebuah masjid di Batu Pahat.


Menurut Hassan, ibu tunggal terbabit boleh menggunakan sumbangan gereja berkenaan kerana ia lebih kepada bantuan dari segi tanggungjawab sosial pertubuhan agama kepada masyarakat setempat.


“Selaku individu beragama Islam kita boleh menggunakan apa jenis sumbangan mahupun bantuan pertubuhan agama lain.


“Lagipun mereka (pihak gereja) tidak meletakkan sebarang syarat kepada Hanum. Cuma dikhuatiri akidah umat Islam akan mudah terpesong berikutan hak itu sering dinafikan pihak dan individu seagama dengannya,” katanya.


Justeru, Hassan menegaskan supaya pertubuhan agama Islam termasuk Baitulmal dan pusat zakat segera membantu ibu tunggal berkenaan kerana isu sebegini seharusnya tidak berlaku, malah perkara yang berlaku satu penghinaan kepada umat Islam negara ini.


Sementara itu, Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru Sekolah Tinggi Kluang, Ismail Yon ketika dihubungi, berkata pihaknya sudah menghulurkan bantuan RM2,784 kepada Hanum.


“Pihak kami terkejut dengan kisah ibu tunggal berkenaan lalu kami segera menghulurkan bantuan sekadar termampu untuk menampung yuran pendaftaran anaknya itu akhir tahun lalu,” katanya.


Ismail berkata, selepas Harian Metro menyiarkan kisah ibu terbabit dia menerima banyak panggilan telefon termasuk daripada individu kenamaan dan orang perseorangan yang mahu menghulurkan bantuan.


“Saya mahu pihak yang berwajib ambil tindakan segera kerana selaku umat Islam kami tak rela agama dicabar dan bangsa merempat di bumi sendiri,” katanya.

Tiada ulasan: