Jumaat, 12 Mac 2010

Doktor Adilah Ahmat (Dr Adilah Ahmat jawab) ...Tiga tahun tiada haid

Tiga tahun tiada haid



Soalan
SAYA berusia 48 tahun dan mempunyai lima anak. Masalahnya sejak tiga tahun lalu, saya tidak didatangi haid. Saya turut mendapatkan rawatan doktor pakar sakit puan.


Sepanjang saya mengambil ubat hormon yang dibekalkan doktor, haid saya kembali normal.


Bagaimanapun, saya hanya boleh makan ubat terbabit selama dua tahun saja kerana difahamkan, ubat itu membuatkan saya berisiko menghadapi barah jika diambil lebih daripada dua tahun.


Kini saya langsung tidak didatangi haid dan saya juga tidak mengalami gejala menopaus.


Apakah masalah saya sebenarnya? Adakah benar ketiadaan haid itu memudahkan saya mendapat penyakit? Untuk pengetahuan doktor, saya juga mengalami sakit di bahagian betis selama itu.


Adakah penyakit ini ada kaitan dengan keadaan saya ini?
MEEZAH,
Shah Alam, Selangor


Jawapan
PADA usia anda, eloklah anda menjalani pemeriksaan dalaman serta ultrabunyi trans-vaginal untuk menilai keadaan rahim anda terutama ketebalan lapisan endometrium.


Ujian darah untuk mengetahui paras hormon FSH dan hormon estradiol juga boleh dijalani di samping ujian hormon lain seperti prolaktin dan tiroid yang juga berkaitan dengan ketiadaan haid.


Setiap ubat mempunyai kesan sampingan tersendiri.


Anda tidak menyatakan jenis ubat hormon yang anda ambil dulu.


Pengambilan ubat atau produk yang mengandungi hormon estrogen diketahui memberikan peningkatan risiko pembentukan darah beku yang berpotensi menyumbat saluran paru-paru sehingga membahayakan nyawa, terutama dalam golongan berisiko seperti obes, mempunyai sejarah keluarga dengan strok, merokok dan seumpamanya.


Anda boleh memastikan keadaan vena trombosis pada kaki anda secara menjalani ujian ultrabunyi doppler.


Di samping itu, hormon estrogen dikaitkan dengan risiko seperti barah payudara dan barah endometrium.


Pengambilannya perlulah dalam dos yang diketahui serta dipantau keperluannya oleh doktor masing-masing.

Tiada ulasan: