Selasa, 1 April 2014

SAPE KITA DISISI ALLAH...MUHASABAHLAH


Sedih tidak terkira rasanya ketika mendengar berita Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat semakin bertambah uzur, walaupun ada juga ketikanya beliau menyampaikan juga ucapan dan tazkirah di beberapa tempat.

Keadaan tokoh pemimpin yang satu ini mengundang doa dari umat Islam di sana sini semoga beliau dipulihkan dari keuzuran untuk meneruskan perjuangan.

Beliau kini berumur 82 tahun dan baru-baru ini beliau menggagahkan diri menyampaikan Kuliah Subuh di masjidnya di Pulau Melaka dengan suara yang tertahan-tahan, mengundang rasa pilu para jamaah.

Kasih sayang rakyat kepadanya sepanjang masa justeru sepanjang hayatnya beliau telah mendambakan perjuangannya kepada Islam melalui wadah PAS. Menyampaikan ribuan kuliah dan ceramah, melayani rakyat pelbagai kaum dan agama di mana-mana.

Beliau adalah legasi yang akan terukir dalam sejarah dan akan dikenang lama, bahawa seorang pemimpin yang menjalani kehidupan serba sederhana, bersuara lembut, tetapi tegas telah mengambil peranan penting mewarnakan perjuangan politik Islam di tanah airnya.

Kini Kerajaan Negeri Kelantan telah menubuhkan 'Institut Pemikiran Tok Guru' sebagai mengenang jasanya bukan saja sebagai Menteri Besar Kelantan selama 23 tahun, bahkan sebagai tokoh ulung pimpinan dan pemikir gerakan Islam PAS sejak puluhan tahun.

Penubuhan institut diumumkan oleh Menteri Besar Kelantan, Ustaz Datuk Ahmad Yakob baru-baru ini.

Menteri besar itu berharap, idea, pemikiran, ilmu dan dedikasi yang selama ini dikongsikan oleh Tok Guru sejak sekian lama termasuk di peringkat kerajaan selama 23 tahun dapat dikongsi bersama oleh orang ramai.

Kekuatan Tok Guru Datuk Nik Abdul Aziz terletak kepada istiqamah perjuangannya, menebarkan dakwah sepanjang hayat, ketegasannya mempertahankan PAS dari serangan musuh, menyuntik semangat perjuangan kepada generasi lama dan baru, wawasannya yang sangat jauh ke depan – melampaui zaman – serta kemampuannya menterjemahkan kesyumulan Islam di tengah politik baru Malaysia. Maka kepimpinannya diterima oleh semua kaum.

Untuk selama puluhan tahun, sepanjang perjuangannya, Tuan Guru menentang habis-habisan assobiyah (perkauman) kerana baginya perkauman itu adalah sebuah kejahatan, menentang kemanusiaan dan menjadi musuh Islam.

Tuan Guru Nik Abd Aziz menjadi penghalang utama yang berada di tengah jamaah PAS dari sebarang usaha untuk menggabungkan PAS dengan Umno, atas nama apapun. Demikian perjuangannya yang panjang, penuh makna.

Sepanjang perjuangannya,Tuan Guru mengatur strategi, mendekati pelbagai golongan masyarakat, termasuk golongan bukan Islam, mendedahkan tasawuur Islam kepada mereka hingga mereka faham. Tuan Guru lebih gemar menggunakan hujjah, khususnya ketika menghadapi politik musuh, dengan menggunakan hujah Al-Quran, Hadis dan Sunnah serta mantiq (lojik akal).

Dilahirkan pada tahun 1931 di Kampung Pulau Melaka, Kota Bharu. Anak kedua daripada sembilan orang adik-beradik. Hasil perkongsian hidup dengan isterinya, iaitu Tuan Sabariah Tuan Ishak, beliau dikurniakan 10 orang cahaya mata (5 lelaki dan 5 perempuan).

Sebelum menjadi Menteri Besar, beliau adalah seorang guru agama yang aktif. Beliau pernah mengajar di Sekolah Menengah Agama Tarbiyyah Mardiah, Sekolah Menengah Agama Darul Anwar dan Sekolah Menengah Maahad Muhammadi yang kesemuanya terletak di Kelantan.
Malah sehingga kini, beliau masih lagi aktif menyebarkan ilmu-ilmu Islam kepada masyarakat. Pada hampir setiap pagi, beliau akan menjadi imam kepada solat Subuh dan kemudiannya memberikan kuliah ringkas di sebuah masjid yang terletak hanya beberapa langkah sahaja dari rumahnya.

Beliau mematikan semua lampu di bilik MBnya ketika solat di siang hari kerana tidak mahu menggunakan duit kerajaan untuk kepentingan dirinya.

Beliau mendiami sebuah rumah kampung biasa seperti yang dimiliki oleh rakyat kebanyakan. Tidak berpagar sama sekali dan tiada pengawal keselamatan untuk menjaganya.

Pada tahun 2008, Gerakan Rakyat Anti Korupsi (GERAK) telah menganugerahkan beliau sebagai Menteri Besar yang memiliki rekod paling bersih di Malaysia. Anugerah itu diberikan sebagai menghargai usaha beliau menentang gejala rasuah sepanjang mentadbir Kelantan selama hampir 18 tahun.

Pada tahun 2009, beliau diletakkan di antara 50 tokoh Islam berpengaruh di dunia dan disenaraikan dalam buku berjudul ‘The 500 Most Influential Muslims’.

Tuan Guru sangat bersimpati dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim di mana walaupun uzur, beliau datang juga ke mahkamah di Putrajaya dan memberi sokongan moral kepada DS Anwar Ibrahim di mana pernah pada suatu ketika dulu, Tuan Guru Nik Abdul Aziz menyifatkan DS Anwar sebagai seorang ‘Budak bijak yang dicemburui Umno.

Itulah Tuan Guru Nik Abd Aziz, perjuangangannya akan diteruskan dari generasi ke generasi. Beliau adalah kepimpinan teladan, simbol kepimpinan Malaysia yang merentasi batas kaum dan agama, iaitu hasil pengamatan dan pengalaman serta kebijaksanaannya menterjemahkan tasawuur Islam ke tengah masyarakat majmuk di negara ini.

Generasi pendukung PAS kini dan akan datang sewajarnyalah mencontohi kepimpinan beliau. Tidak bersikap jumud, tetapi terbuka dan bijaksana.
Kita berdoa kepada Allah s.w.t, supaya memulihkan kesihatan Tuan Guru ini.
KOTA BHARU: Pemergian bekas Ahli Parlimen Pasir Mas Ustaz Ismail Noh ke rahmatullah awal pagi tadi disifatkan sebagai satu kehilangan besar bukan sahaja kepada PAS Pasir Mas bahkan juga kepada PAS Negeri Kelantan sendiri.

Ini kerana beliau yang juga bekas Yang Dipertua PAS Kawasan Pasir Mas, adalah salah seorang ulama yang dikenali dengan kepetahan hujahnya serta ketinggian ilmu yang sukar ditandingi.

Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan, Ahmad Fadhli Shaari berkata, Allahyarham yang pernah menjawat jawatan sebagai Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Kelantan dikenali di kalangan anak-anak muda sebagai seorang murabbi yang tidak putus-putus menekankan aspek tarbiah dan pengorbanan sebagai faktor penting untuk mencapai kejayaan di dalam perjuangan.

“Allahyarham sebelum bertanding di dalam pilihanraya merupakan Ketua Penolong Pengarah (Pendidikan) Yayasan Islam Kelantan. Beliau banyak turun ke sekolah-sekolah untuk berjumpa guru-guru dan pelajar membuat tinjauan dan menyampaikan ceramah.

"Tidak hairan di kalangan pimpinan negeri pada hari ini yang pernah mendapat pendidikan di sekolah-sekolah Yayasan Islam Kelantan pernah mengenali beliau sebagai seorang yang sangat berjasa di dalam bidang pendidikan khususnya di negeri Kelantan.”

Allahyarham pernah menewaskan bekas Pengasas Perkasa Dato Ibrahim Ali sebanyak dua kali pilihanraya umum iaitu pada tahun 1999 dan 2004.

Namun, pada 2008 beliau akur keputusan parti menyerahkan kerusi tersebut untuk ditandingi Ibrahim yang ketika itu bertanding atas tiket PAS.

Ketika itu, beliau sendiri mengepalai perarakan calon mengiringi Ibrahim untuk penamaan calon.

"Inilah sejarah kepatuhan beliau kepada keputusan pucuk pimpinan parti yang sangat bersejarah di Pasir Mas,” kata Fahdli lagi yang juga Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Pasir Mas.

Ismail Noh meninggal dunia di Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ) II awal pagi ini akibat serangan strok semenjak tahun 2009.

Allahyarham dimasukkan di hospital tersebut dua minggu lepas selepas tidak sedarkan diri di rumahnya di Kampung Slow Machang, Pasir Mas.

Jenazahnya dijangka dikebumikan berhampiran rumahnya petang ini.

“Pemuda PAS Kelantan merakamkan takziah setinggi-tingginya kepada keluarga Allahyarham dan semoga beliau dimasukkan di kalangan hamba-hamba Allah yang soleh, Insya-Allah,” ujar Fadhli.
KUALA LUMPUR: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat merakamkan takziah kepada keluarga bekas Yang Dipertua PAS Kawasan Pasir Mas, Ustaz Ismail Noh yang meninggal dunia pada jam 2 pagi tadi.

Sesungguhnya, kata beliau allahyarhan merupakan seorang pemimpin yang telah banyak menyumbang kepada masyarakat Kelantan khususnya di dalam bidang pendidikan sebelum beliau menceburi politik.

“Jasa dan pengorbanan beliau di dalam parti dan perjuangan Islam hanya Allah SWT yang berhak membalasnya. Semoga Allah merahmati roh beliau insya Allah,” ujar bekas Menteri Besar Kelantan itu menerusi Facebook.
Menteri Besar Kelantan, Ustaz Datuk Ahmad Yalob turut mengucapkan setinggi-tinggi takziah kepada keluarga allahyarham.

"Bagi pihak Dewan Ulamak PAS Pusat, pemergian beliau yang juga bekas AJK Dewan Ulamak PAS Pusat merupakan satu kehilangan besar kepada perjuangan Islam.

"Semoga beliau dirahmati oleh Allah SWT," ujar beliau yang juga Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat.
Pendakwah semangat kental

Di KOTA BHARU, bekas anggota parlimen Pasir Mas, Ustaz Ismail Noh meninggal dunia kira-kira jam 2 pagi tadi di Hospital Raja Perempuan Zainab 2 (HPRZ2) selepas tidak sedar diri sejak seminggu.

Arwah yang menghadapi beberapa konflikasi penyakit termasuk diabetes dan angin ahmar beberapa tahun lalu.

Beliau seorang pendakwah yang dikenali ramai dan bersemangat kental, pernah berkhidmat sebagai pensyarah di Universiti Malaya. Kemudian meletak jawatan untuk kembali berkhidmat di Kelantan sebagai Penolong Pengarah Yayasan Islam Kelantan.

Pernah juga dilantik sebagai Ketua Pengelola Dakwah Halaqat, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan.

Bertanding di parlimen Pasir Mas pada 1999 dan 2008. Di peringkat parti pernah memegang jawatan Yang Dipertua PAS Pasir Mas bagi tempoh 1993-2004, Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri (2003-2005) dan Naib Ketua Dewan Ulamak PAS Kelantan (1998).

Mendapat pendidikan peringkat sarjana dalam bidang dakwah. Allahyarham juga mengasaskan Darul Quran di Kampung Slow Machang.

Allahyarham meninggalkan seorang balu, Hasiah Said dan lapan orang anak.

Setiausaha Eksekutif Perhubungan PAS Kelantan, Mohd Yassin Yusof berkata, jenazahnya akan dikebumi jam 2 petang ini di Kampung Slow Machang, Pasir Mas.
Tidak ramai dalam kalangan rakyat Malaysia yang tahu siapakah Bill Shorten. Beliau bukanlah penumpang pesawat MAS MH370, bahkan tiada saudara maranya yang menaiki pesawat tersebut. Bukan juga pakar penerbangan yang membuat apa-apa teori berkaitan, malah bukan juga perisik.

Jadi apa kaitannya beliau dengan insiden MH370? Tidak ada lansung!

Beliau hanyalah Ketua/ presiden Parti Buruh merangkap Ketua Pembangkang dalam parlimen Australia. Shorten berusia 46 tahun dan menjadi ketua pembangkang sejak 2013. Beliau menjadi Ahli Parlimen sejak 2007 lagi.

Yang menarik perhatian saya bukanlah latar belakang peribadi dan politik beliau tetapi cara masyarakat Australia menghormati sistem demokrasi dan antara satu sama lain.

Ketika membelek akhbar harian, The Star hari ini, saya terlihat suatu berita yang menunjukkan Shorten melawat pasukan Mencari dan Menyelamat MH370, Tentera Udara Diraja Australia di Lapangan Terbang Pearce, Bullsbrook, Australia.

Bagi negara seperti Australia, ketua pembangkang bebas untuk melawat mana-mana jabatan kerajaan dan kakitangan kerajaan pula tidak dicop yang bukan-bukan kerana kunjungan ketua pembangkang.

Perkara ini merupakan suatu contoh bagaimana demokrasi diraikan dan dihormati. Sebelum ini pun, Perdana Menteri Australia membentangkan penemuan baru di parlimen, bukannya secara sorok-sorok seperti di Malaysia – pembangkang kena memohon untuk mendapat taklimat tentang MH370.

Saya berharap, suatu hari nanti rakyat dan pemerintah di Malaysia benar-benar melaksanakan prinsip demokrasi dan menegakkan keadilan tanpa ada batas politik, pangkat, keturunan, agama dan bangsa
KUALA LUMPUR: "Selamat malam pesawat Malaysia tiga tujuh kosong" adalah perbualan terakhir dalam transkrip antara pengawal trafik udara (ATC) dan kokpit pesawat Malaysia Airlines MH370 yang hilang, kata Kementerian Pengangkutan malam tadi.
  
Menurut kenyataan kementerian perbualan itu dirakamkan pada jam 0119 (waktu Malaysia) 8 Mac.
  
Kementerian Pengangkutan berkata pihak berkuasa masih menjalankan penyiasatan forensik untuk menentukan sama ada perkataan terakhir yang dirakamkan dari kokpit itu diucapkan oleh juruterbang atau pembantu juruterbang.
  
Kenyataan itu dikeluarkan susulan persoalan yang dibangkitkan semasa sidang media oleh Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein semalam berhubung komunikasi terakhir antara kokpit dan pengawal trafik udara.
  
Kenyataan itu menyebut Hishammuddin juga telah mengarahkan pasukan penyiasatan supaya mengeluarkan transkrip penuh itu, yang akan diberikan semasa taklimat kepada anggota keluarga penumpang dan anak kapal Penerbangan MH370.

MH370 yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 12.41 tengah malam 8 Mac dan hilang daripada skrin radar kira-kira sejam kemudian semasa berada di ruang udara Laut China Selatan.
  
Pesawat itu sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari yang sama.
  
Misi pencarian pelbagai negara itu dilancarkan bagi menjejaki pesawat, pada mulanya di Laut China Selatan dan kemudian di sepanjang koridor utara yang menjangkau dari sempadan Kazakhstan dan Turkmenistan ke utara Thailand serta koridor selatan yang meliputi dari Indonesia ke selatan Lautan Hindi.
  
Susulan analisis data satelit yang belum pernah dilakukan sebelum ini, firma telekomunikasi satelit UK Inmarsat dan Cawangan Penyiasatan Kemalangan Udara UK (AAIB) merumuskan bahawa Penerbangan MyH370 terbang di koridor selatan dan kedudukan terakhirnya ialah di tengah-tengah Lautan Hindi, ke barat Perth, Australia.
  
Pada 24 Mac lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan  bahawa pesawat Boeing 777-200 itu "berakhir di selatan Lautan Hindi". - Bernama

Tiada ulasan: