Rabu, 30 April 2014

KERJAYA ARTIS INDAH KHABAR DARI RUPA....ITU BELUM DIKIRA DOSA DAN PAHALA

Hudud: Najib tidak boleh mungkir janji kerajaan

ABDUL AZIZ MUSTAFA | .
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak boleh memungkiri janji kerajaannya mengenai hudud walaupun dihalang oleh Presiden Amerika Syarikat, Barrack Obama.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Mahfuz Omar mempersoalkan, mengapa Najib mengelak daripada melaksanakan undang-undang Islam.

"Adakah penolakan itu dibuat setelah Perdana Menteri mendapat petunjuk dari Yahudi-Yahudi Zionis di dalam Apco Worldwide?

"Atau, adakah beliau mendapat tekanan dari Obama sehingga berdolak-dalik dalam perlaksanaan undang-undang Islam?

"Kalau mendapat tekanan dari Obama sekalipun, Najib tidak boleh mungkir janji kerajaannya mengenai hudud," kata Mahfuz.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu mengingatkan Perdana Menteri bahawa kerajaannya melalui Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom telah memberikan komitmen di Parlimen bahawa kerajaan persekutuan bersedia bekerjasama dengan mana-mana kerajaan negeri dalam menguatkuasakan undang-undang hudud.

"Mengapa tiba-tiba Najib cuba mengelak dengan gimik terbarunya bahawa kerajaan beliau kononnya tidak tolak hukum hudud tetapi tidak melaksanakan," kata beliau.

Najib dilaporkan berkata, terdapat perbezaan yang cukup ketara antara menolak hukum hudud dengan tidak melaksanakannya kerana kekangan dan kesulitan yang pelbagai.

Mahfuz menyifatkan kenyataan itu hanyalah semata-mata versi yang dilunakkan dari kenyataannya sebelum ini.

Pada 2011, Najib dilapor telah menegaskan bahawa kerajaan pusat akan tetap menyekat sebarang usaha mahu melaksanakan hukum hudud.

Penegasan itu merupakan penegasan kedua oleh seorang Perdana Menteri Malaysia ke atas usaha kerajaan negeri Kelantan pimpinan PAS.

Sebelum itu, pada 1994, penegasan sedemikian telah diberikan secara hitam putih oleh Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad kepada Menteri Besar Kelantan ketika itu, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Dalam kenyataannya pada 2011 itu, Najib juga dilaporkan berkata, undang-undang Islam itu tidak sesuai untuk dilaksanakan sebab kerajaan perlu realistik dengan situasi negara ini.

Penolakan kerajaan Barisan Nasional terhadap perlaksanaan undang-undang Islam malah dibuktikan dengan penolakan dua usul persendirian PAS untuk melaksanakan undang-undang Islam.

PAS membentangkan usul sedemikian pada pada November 1999 dan Mac 2006.

Himpunan 1 Mei: Manfaatkan hak rakyat tegur kerajaan

MUHAMMAD FAEEZ AZAHAR | .
IPOH: Seluruh rakyat Perak umumnya dan ahli PAS khususnya diseru menggunakan peluang himpunan rakyat yang akan diadakan pada 1 Mei ini di Kuala Lumpur sebagai platform untuk menzahirkan kekecewaan terhadap kerajaan yang menzalimi rakyat dengan himpitan pelbagai kenaikan.

Ketua Penerangan PAS Perak, Mohd Misbahul Munir Masduki berkata, rakyat ketika ini sedang menanggung derita dengan bebanan kos sara hidup yang tinggi akibat kenaikan barang dan pengurangan subsidi.

Katanya, ibarat jatuh ditimpa tangga apabila rakyat akan terus dihimpit dengan kesengsaraan oleh kerana cukai barangan dan perkhidmatan (GST) akan dilaksanakan pada tahun 2015 setelah diluluskan di parlimen baru-baru ini.

Menurutnya, kerajaan bersifat 'dungu' tanpa mengambil kira pandangan rakyat dan pakar-pakar ekonomi yang membantah perlaksaan sistem cukai itu oleh kerana ianya akan memberi kesan kepada kos kehidupan serta berisiko menambahkan lagi hutang negara.

"Rakyat patut tunjukkan rasa kecewa dan kesal betapa tidak bertanggungjawabnya kerajaan dalam membela nasib rakyat.

"Menghadiri himpunan ini adalah sebagai pernyataan sikap dan bantahan terhadap ketidakadilan, ketirisan, pembaziran, penyelewengan, rasuah dan salah guna kuasa kerajaan BN dalam mengurus lambakan khazanah negara," katanya kepada Harakahdaily.

Misbahul berkata, rakyat wajar menggunakan hak dan kuasa yang sebenar dalam himpunan ini bagi memberi isyarat bahawa BN sewajibnya ditolak dalam pilihanraya yang akan datang. - HARAKAHDAILY 30/4/2014

Anak-anak yatim, fakir miskin dan OKU

MOHAMMAD FAHMI AHMAD KASHFI | .
Kewujudan insan-insan ini sering dipandang sebelah mata oleh masyarakat. Umumnya mereka mendapat bantuan daripada kerajaan, zakat daripada jabatan agama Islam dan sumbangan daripada ahli korporat, namun ianya hanya bermusim. Golongan ini dilihat mewah ketika menjelang bulan Ramadan, banyak jemputan ke majlis berbuka puasa, sumbangan untuk menyambut Syawal serta banyak lagi program-program ‘one-off’ yang dibuat.

Situasi di atas adalah sedikit gambaran kemungkinan yang berlaku dalam masyarakat kita. Saya melihat masyarakat kita sudah membuka mata seluas-luasnya terhadap golongan sedemikian. Semakin banyak pihak yang tidak berkepentingan turun membantu demi menunjukkan rasa tanggungjawab mereka terhadap insan-insan ini. Walaupun sesetengah pihak tidak mendapat sebarang habuan, namun mereka masih sudi bekerja demi membantu masyarakat sekeliling.

Sebaik-baik manusia ialah yang memberi manfaat kepada orang lain

Semangat aktivisme golongan muda haruslah disalurkan pada jalan yang sepatutnya. Idea-idea mereka diharapkan dapat memainkan peranan terhadap pembangunan masyarakat khususnya dan negara umumnya. Lambakan NGO, kelab dan persatuan menunjukkan masyarakat kita mulai serius untuk mengejar status ‘negara impian’. Negara impian yang dimaksudkan ialah suatu masyarakat majmuk di bawah pimpinan yang adil dan saksama, tiada korupsi dan masyarakat yang tertindas.

Pembelajaran sepanjang hayat adalah satu usaha kerajaan untuk memastikan rakyat keluar daripada kepompong kejahilan. Namun, aspek lain yang harus dilihat ialah kualiti dan hak sama rata setiap orang untuk mendapat pendidikan sepanjang hayat. Sebilangan golongan yang tercicir untuk menyambung pelajaran adalah golongan Orang Kelainan Upaya (OKU). Kemudahan fasiliti yang tidak mesra OKU menyebabkan golongan ini memilih untuk tidak menyambung pelajaran. Mungkin kerajaan boleh menimbangkan idea untuk membina sebuah pusat pengajian tinggi khas untuk golongan OKU, autisme, disleksia atau menambah baik infrastruktur sedia ada supaya lebih mesra golongan istimewa.
Selain itu, golongan miskin juga sering dinafikan hak mereka di dalam pendidikan. Hampir semua perkara di dunia ini mengguna pakai konsep ‘money based’, setiap perkara mestilah berasaskan wang, jika tidak ia tak mungkin berlaku. Walaupun segala yuran ditanggung kerajaan, bantuan pengajian diberikan, biasiswa dihulurkan, namun wang masih menjadi punca sesetengah orang untuk tidak menyambung pelajaran mereka. Saya masih menanti dan berharap idea-idea tentang pendidikan percuma untuk setiap rakyat dibincang secara serius dan dilaksanakan.

‘You’ll find your happiness when you find your purpose’

Bahagia adalah suatu yang sukar didefinisikan. Ia mungkin memberi seribu maksud kerana setiap manusia mempunyai pandangan yang berbeza tentang kebahagiaan. Begitulah juga dengan masyarakat ‘terpinggir’, pemahaman mereka tentang kebahagiaan sukar untuk didefinisikan kerana kita tidak melalui perit jerih yang melanda mereka. Hakikatnya, tidak akan wujud istilah masyarakat ‘terpinggir’ andai kita tidak melihat mereka sebagai suatu beban, tetapi sebagai suatu tanggungjawab. Maka akan lahirlah sebuah masyarakat madani di bawah ‘negara impian’.

Penulis ialah ahli Gamis, aktivis TFTN, dan mahasiswa Institut Pendidikan UIAM.

Sidek Hussain tidak galak anak jadi artis

HARAKAHDAILY | .
KUALA LUMPUR: Allahyarham Sidek Hussain tidak pernah menggalakkan anak-anaknya menceburkan diri dalam dunia seni.

"Dia mahu anak-anak berjaya dalam pelajaran dan dalam bidang-bidang tertentu, dia juga tidak pernah menggalakkan anak-anak mengikut jejak langkahnya," kata isteri allahyarham, Selbiah Sulaiman, 61, dipetik blog myartis.

Selbiah menambah, pemergian suaminya kehilangan besar buat keluarga kerana allahyarham bukan setakat suami, malah dianggap sebagai rakan baik yang sentiasa ada pada ketika susah dan senang.

Allahyarham mempunyai seorang anak dengan Selbiah iaitu Mohd Adam, 23, yang kini bertugas sebagai doktor pelatih di sebuah hospital di Sabah.

Manakala empat orang anak daripada perkahwinan pertamanya bertugas sebagai guru dan pegawai bank.

Sidek meninggal dunia pada usia 63 tahun di Hospital Kuala Lumpur pada jam 11.55 malam Ahad kerana kanser tahap empat.

Beliau dimasukkan ke hospital itu pada 30 Mac lepas setelah pengsan ketika membeli barang untuk cucunya di Kuala Lumpur.

Doktor mengesahkan ketumbuhan pada pipinya yang dihidapi sejak berusia 20-an ialah sejenis kanser. - HARAKAHDAILY 30/4/2014

PM Singapura umum rombakan kabinet

BERNAMA | .
SINGAPURA: Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong mengumumkan rombakan kabinet dan pelantikan politik lain bertujuan memantapkan barisan kabinet bagi menangani cabaran dan memastikan Singapura melepasi fasa pembangunan selanjutnya.
Ini merupakan rombakan kali ketiga selepas pilihan raya umum 2011.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan Pejabat Perdana Menteri, Lee berkata Singapura sedang melalui peralihan yang penting.
Beliau berkata perubahan dasar teras itu memerlukan kepimpinan politik yang mantap, pelaksanaan yang berkesan dan sokongan padu daripada rakyat Singapura.
Di bawah rombakan itu, Pemangku Menteri Menteri Tenaga Manusia Tan Chuan-Jin dan Pemangku Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia Lawrence Wong dilantik sebagai menteri penuh mulai 1 Mei.
Wong juga akan dilantik sebagai Menteri Komunikasi dan Penerangan Kedua.
Pada masa ini, beliau ialah Menteri Kanan Negara di Kementerian Komunikasi dan Penerangan.
Tan pula akan dilantik sebagai menteri penuh di Kementerian Tenaga Manusia.
Sementara itu, Setiausaha Kanan Parlimen di Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY), Sam Tan Chin Siong akan dilantik sebagai Menteri Negara di Pejabat Perdana Menteri (PMO) dan MCCY.
Beliau akan melepaskan portfolio sekarang di Kementerian Hal Ehwal Luar.
Beliau juga akan melepaskan jawatan sebagai Datuk Bandar Central Singapore CDC pada 27 Mei 2014 apabila tempoh penggal sebagai datuk bandar berakhir.
Dr Lam Pin Min pula dilantik sebagai Menteri Negara di Kementerian Kesihatan berkuat kuasa 1 Ogos 2014.
Denise Phua akan menggantikan Sam Tan sebagai Datuk Bandar Central Singapore CDC berkuat kuasa 27 Mei 2014. 
Dr Amy Khor akan melepaskan jawatannya sebagai Datuk Bandar South West CDC pada 27 Mei 2014, apabila tempoh penggalnya berakhir.
Beliau akan terus memegang jawatan Menteri Kanan Kesihatan di Kementerian Kesihatan dan Tenaga Manusia.
Low Yen Ling akan menggantikan Dr Amy Khor sebagai Datuk Bandar South West CDC berkuat kuasa 27 Mei.
Low juga dilantik sebagai Setiausaha Parlimen di Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia selain serentak dengan pelantikannya di Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga.
Lee berkata perubahan ini adalah sebahagian daripada usaha kepimpinan kerajaan dan menjangka akan membuat rombakan selanjutnya dari semasa ke semasa bagi melahirkan kepimpinan terbaik untuk Singapura. - Bernama

Perlis usulkan daun ketum dikategori dadah merbahaya

BERNAMA | .
KANGAR: Kerajaan Perlis telah mengusulkan kepada kerajaan persekutuan agar kesalahan bersabit daum ketum dimasukkan di bawah akta dadah berbahaya dalam usaha membendung penyalahgunaan tumbuhan itu.
Menteri Besar, Azlan Man (BN-Pauh) berkata mengenakan kompaun terhadap pesalah tidak akan dapat mengawal pelaku dari terus mengulangi perbuatan mereka.
Ketika menjawab soalan tambahan Khaw Hock Kong (BN-Titi Tinggi) pada sidang Dewan Undangan Negeri di sini hari ini, Azlan berkata ketagihan terhadap tumbuhan itu yang dikaitkan dengan penduduk Perlis dan Kedah menjejas imej kedua-dua negeri.
Khaw yang mengambil bahagian membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan Yang Pertama (2013) Tahun 2014 sebelum itu dalam soalan lisannya bertanya mengenai usaha-usaha untuk menambahbaik kemudahan asas di sekolah-sekolah di Perlis.
Azlan berkata dalam Rancangan Malaysia Ke-10 antara usaha itu ialah membina bangunan tambahan 31 buah sekolah dan sebuah sekolah menengah, semua dari peruntukan kerajaan persekutuan.
Bagi tahun ini pula kerajaan akan menaiktaraf program pendidikan khas integrasi di lapan buah sekolah rendah dan lima sekolah menengah; membina kemudahan sukan dua sekolah menengah; serta mengubahsuai dan menaiktaraf struktur bumbung, kelas dan dinding sebuah sekolah rendah dan empat sekolah menengah, katanya.
Beliau berkata Jabatan Pendidikan Perlis telah menyediakan blue-print untuk meletakan negeri ini antara lima negeri terbaik dalam pencapaian peperiksaan awam selaras dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025.
Mengenai pelancongan, Khaw membangkitkan kenapa pelancong asing lebih gemar bermalam di Thailand, bukan Perlis dan mahu kerajaan negeri mengkaji masalah itu kerana ia merupakan kerugian besar kepada pendapatan negeri.
Azlan berkata kerajaan negeri akan berusaha menawarkan pakej penginapan yang menarik untuk pelancong asing tinggal lebih lama di negeri ini. - Bernama

S'gor bakal umum tamat catuan air?

HARAKAHDAILY | .
KUALA LUMPUR: Penasihat Ekonomi Selangor Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu kenyataan hari ini menyarankan Kerajaan Selangor menghentikan dahulu catuan air yang sedang dilaksanakan.

Beliau yang juga Ketua Umum PKR berkata, ia mengambil kira paras takungan di empangan-empangan lain yang tinggi dan peningkatan paras takungan air di Empangan Sungai Selangor kepada 40.23% hari ini.

"Walaupun jumlah ini belum mencecah paras 42% takungan seperti yang diumumkan sebelum ini, saya menyarankan Kerajaan Selangor menghentikan dahulu catuan air yang sedang dilaksanakan mengambil kira paras takungan di empangan-empangan lain yang tinggi," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Malaysiakini yang memetik satu sumber melaporkan bahawa Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) memutuskan menarik balik catuan air yang dilaksanakan negeri itu.

Perkara itu itu diputuskan dalam mesyuarat MTES yang dipengerusikan Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim lewat petang semalam, lapor portal itu.

Sementara itu, Abdul Khalid melalui twiter membayangkan perkembangan “positif” berhubung perkara itu.

"Untuk makluman, pengumuman penting isu catuan air pada jam 2.30 petang ini akan ditangguhkan ke hari esok. Insya-Allah positif #DemiRakyat," tulisnya hari ini.
Beliau merujuk kepada satu sidang media yang sepatutnya diadakan petang ini oleh Exco Belia dan Sukan, Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Dr Ahmad Yunus Hairi. - HARAKAHDAILY 29/4/2014

Tiada ulasan: