Isnin, 21 April 2014

HUDUD CIPTAAN ALLAH SWT...SESUAI UNTUK MANUSIA DAN JIN...PELBAGAI TEMPAT SERTA SUASANA JUGA MASA...YANG MENOLAK MEREKA LUPA DIRI...LUPA ALLAH YANG HIDUPKAN DAN ALLAH JUGA YANG MATIKAN


TUMPAT: Konsep berdikari yang diperkenal membuahkan hasilnya apabila banyak pihak berkuasa tempatan (PBT) di Kelantan berusaha mencari sumber kewangan bagi menambah lagi aset.

Antaranya Majlis Daerah Tumpat (MDT) berjaya menyiapkan pejabat baru yang berharga RM2.8 juta.

Projek itu yang dimulakan pada 2010 siap sepenuhnya 13 Ogos 2012 dan mulai beroperasi Mac tahun lalu.

Ketua Jajahan Tumpat, Mohd Sobri Ramli berkata, MDT mengumpul sendiri dana bagi menyiapkan bangunan berkenaan yang dibina di Lot PT 627 Seksyen 1, Tumpat.

Katanya, ruang pejabat seluas 13,343 meter persegi setinggi dua tingkat diharap dapat memberi keselesaan kepada kakitangan bertugas.

Perasmian bangunan itu hari ini disempurnakan Menteri Besar, Ustaz Datuk Ahmad Yakob. Turut hadir anggota Exco, Datuk Abdul Fattah Mahmood, wakil-wakil rakyat, pegawai kanan kerajaan dan Timbalan Ketua Jajahan Takbai, Thailand Arinchai Deena.

Awal tahun ini Menteri Besar turut merasmikan bangunan baru pejabat Majlis Daerah Jeli. Dan tahun lepas Majlis Daerah Pasir Mas turut berpindah ke bangunan baru di Lubok Jong.

Mohd Sobri juga berkata, MDT turut memberi tumpuan pembangunan eko pelancongan bagi menarik lebih lagi lagi kedatangan pelancong ke Tumpat.
KUALA LUMPUR: Penerbangan Malaysia Airlines yang menuju ke Bangalore, India, hari ini berpatah balik selepas mengalami kerosakan gear dan selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa KL.

Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein melalui Twitternya berkata penerbangan itu membuat pendaratan cemas pada pukul 1.56 pagI dan semua penumpang serta anak kapal selamat.
  
Beliau dalam perjalanan ke KLIA.

Penerbangan MH192 berlepas dari KLIA pada pukul 10.09 malam tadi dengan 159 penumpang dan tujuh anak kapal, bagaimanapun pada 12.40 tengah malam, ia menghantar tweet sedang berpatah balik.

Dalam kenyataan media pada pukul 1.35 pagi, MAS berkata gear mendarat sebelah kanan pesawat itu rosak semasa berlepas dan pesawat itu dijangka membuat pendaratan cemas pada pukul 2 pagi.

"Penerbangan MH192, yang menggunakan pesawat B737-800, dijadual tiba di Bangalore pada pukul 11.35 malam hari yang sama (semalam).

"Penerbangan itu membawa sejumlah 166 orang termasuk 159 penumpang dan tujuh anak kapal," menurut MAS.  

Insiden itu menarik perhatian global terutama daripada pengguna Internet yang memberi reaksi kepada tweet MAS berkenaan.

Kejadian penerbangan MAS berpatah balik ini berlaku tidak berapa lama daripada kejadian kehilangan penerbangan MAS Kuala Lumpur-Beijing MH370, pada 8 Mac. Penerbangan itu juga dilaporkan telah cuba berpatah balik.

Pesawat MH370, yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal itu, hilang daripada radar kira-kira sejam setelah berlepas dari KLIA pada pukul 12.41 tengah malam ketika berada di Laut China Selatan. Ia dijadual mendarat di Beijing pada pukul 6.30 pagi hari yang sama, 8 Mac.

Gerakan mencari melibatkan pelbagai negara dilancarkan untuk mengesan pesawat itu, mula-mula di Laut China Selatan dan kemudian selepas diketahui kapal terbang itu melencong dari laluan, misi mencari digerakkan di sepanjang koridor utara dari sempadan Kazakhstan dan Turkmenistan ke utara Thailand serta koridor selatan dari Indonesia ke selatan Lautan Hindi.  

Berikutan analisis terhadap data satelit yang belum pernah dilakukan sebelum ini, syarikat telekomunikasi satelit United Kingdom Inmarsat dan Cawangan Penyiasatan Kemalangan Udara UK (AAIB) merumuskan Penerbangan MH370 telah terbang di sepanjang koridor selatan dan kedudukan terakhirnya ialah di tengah-tengah Lautan Hindi, di barat Perth, Australia.

Pada 24 Mac, 17 hari selepas kehilangan pesawat itu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan Penerbangan MH370 "berakhir di selatan Lautan Hindi". - Bernama

RANTAU PANJANG: Biar pun ayahnya, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP), namun tidak menghalang pemuda PAS turut membantu anaknya Ezzat Nor Azam, 21, kini terlantar sakit.

Pelajar semester empat ijazah bidang pertanian di UiTM Kangar Perlis, terlantar di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian akibat jangkitan kuman di bahagian otak sejak hampir setahun lalu.

Ibunya Latipah Yusof ketika ditemui berkata, anaknya dibawa ke HUSM bagi mendapat rawatan lanjut pada 12 April 2014.

“Ini kerana jahitan pada lubang yang ditebuk di bawah pusatnya terbuka. Kami bimbang dan terus membawanya ke HUSM,” katanya ketika ditemui di wad.

Ezzat anak sulung dari enam adik beradik pada awalnya demam selepas menyertai perkhemahan pelajar UiTM di Perlis sehingga dimasukkan ke wad Hospital Kangar.

“Dan selepas dimasukkan ke wad di sana dia tidak sedarkan diri. Selepas itu kami membawanya pulang ke rumah di Kampung Baruh Pial, Rantau Panjang,” ujar Latifah.

Ketika Ezzat terlantar sakit di rumah beliau dilawati isteri Menteri Besar, Datin Siti Zabidah Abdul Hamid dan isteri Adun Gual Periuk.

Sebelum itu beliau juga diziarahi anggota parlimen Rantau Panjang, Siti Zailah Mohd Yusof. Dan terbaru rombongan Pemuda PAS Kelantan diketuai Shazuwan Che Hamid.

Shazuwan juga memberitahu Pemuda PAS merancang mengadakan solat hajat dan jamuan teh bagi mengumpul dana membantu Ezzat di rumahnya.

Latifah berkata, pada kunjungan itu mereka menghulur bantuan kewangan bagi meringankan bebanan keluarga untuk keperluan harian Ezzat.

Menurutnya juga Ezzat diberi susu debu jenis Peptamen sebagai diet harian. Setiap setin seberat 430 gm berharga RM81.90.

Kata beliau memandangkan kos begitu tinggi keluarganya tidak mampu bagi menyediakan keperluan harian Ezzat termasuk lampin pakai buang.

Oleh itu dermawan yang bersimpati boleh membantu keluaga terbabit dengan menyalurkan sumbangan melalui Bank Rakyat (220301198268 – Abdullah Hadi Yusoff) atau menghubungi di talian 013-9378100
KOTA BHARU: Speaker Dewan Undangan Negeri (Dun) Kelantan, Datuk Abdullah Ya’kub turut merakam ucapan takziah kepada Adun Paloh di atas kematian isterinya akibat kemalangan jalan raya petang Khamis lalu.

“Saya bagi pihak warga Dun Kelantan mengambil kesempatan merakam ucapan takziah kepada Dato' Nozula Mat Diah kerana terbabit dalam kemalangan jalan raya sehingga mengorbankan isterinya, Datin Maziah Din.

“Semoga Datuk dan anggota keluarga bersabar terhadap musibah yang menimpa tersebut. Hidup dan mati setiap hamba-Nya berada dalam ketentuan Allah SWT,” katanya di sini.

Pada kejadian petang Khamis lalu kenderaan yang dipandu Nozula dipercayai terbabas dan merempuh tebing bukit di KM 23 Jalan Cameron Highlands-Simpang Pulai.

Nozula mengalami kecederaan kini dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun di Ipoh, manakala isterinya Datin Maziah Din meninggal dunia di tempat kejadian.

Menteri Besar, Ustaz Datuk Ahmad Yakob dan Penyelia Dun Galas, Ustaz Abdullah Husain turut menziarahi Nozula yang juga Ketua Pembangkang di Dun Kelantan.

Dr Syed Azman (dua dari kanan) pada sidang akhbar di pekarangan Dun Terengganu.
KUALA TERENGGANU: Sejumlah 2,553 hektar tanah Hutan Simpan Besul, Dungun bakal musnah jika aktiviti pembalakan besar-besaran dan perlombongan bijih besi dilaksanakan tidak berapa lama lagi.
Sehubungan itu, Pakatan Rakyat negeri menyuarakan kebimbangan dengan ancaman yang bakal dihadapi sistem ekologi dan khazanah tidak ternilai hutan simpan itu dan mendesak projek yang dirancang dibatalkan.
(Gambar kanan) Lakaran pelan kasar kawasan pembalakan di Hutan Simpan Besul, Dungun.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Burok, Dr. Syed Azman Syed Ahmad Nawawi berkata, antara kawasan yang bakal terlibat dalam aktiviti pembalakan itu adalah hutan simpan  Besul Tambahan di Jerangau, Bukit Betung, Bukit Batu Tiga, Bukit Puteri dan Bukit Besi di Dungun.
Kawasan pembalakan yang diluluskan kerajaan BN negeri itu, ujarnya membabitkan kawasan yang luas.
Bercakap pada sidang media di pekarangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Terengganu di Wisma Darul Iman, dekat sini, beliau menyifatkan projek pembalakan itu sebagai terbesar dalam sejarah Terengganu.
Malah tambah beliau, projek perlombongan bijih besi dan pembinaan kilang keluli juga membabitkan kawasan hutan simpan negeri.
Turut hadir pada sidang media itu Adun Paka, Satiful Bahari Mamat, Adun Bukit Tunggal, Dr. Alias Razak, Adun Bukit Payong, Ustaz Mohd. Nor Hamzah dan Adun Sura, Wan Afandi Wan Nik.
Dr Syed Azman turut mempersoalkan kelulusan segera yang diberikan kepada enam syarikat bukan bumiputera untuk projek tersebut selepas kelulusan diberikan kepada sebuah syarikat dari China.
Antara syarikat terbabit adalah Jalur Bangga Sdn. Bhd.; Bakti Semerbak Sdn. Bhd.; Lanjut Edaran Sdn. Bhd.; Perkayuan L & I dan Quality Sawmill Sdn. Bhd.
Beliau hairan mengapa projek pembalakan pada skala besar diluluskan kerajaan negeri sedangkan hasil royalti minyak dan gas yang diperolehi daripada Peronas mencecah lebih RM2.2 billion setahun.
Dr Syed Azman turut mempertikaikan mengapa tiada satupun pengusaha Melayu tempatan diberikan tender pembalakan.
“Apakah pihak kerajaan negeri telah membuat kajian kesan alam sekitar dan ekologi di kawasan terbabit,” soalnya yang juga Penolong Setiausaha Agung PAS Pusat.
Beliau juga ingin tahu sama ada kerajaan negeri telah berbincang dengan Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar sebelum meluluskan projek berskala besar itu.
Kerajaan negeri juga, tegasnya perlu memberi penjelasan mengenai anggaran hasil pembalakan dan hasil melombong bijih besi di kawasan terbabit.
KUALA LUMPUR: Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) tidak mempunyai sebarang halangan dengan pelaksanaan hukuman hudud yang diinginkan Kelantan, malah menyokong penuh usaha tersebut.

Naib Pengerusi DHPP, Vincent Lee berkata pelaksanaan hudud itu hanya dikenakan ke atas mereka yang beragama Islam.

Justeru, katanya mereka yang bukan beragama Islam tidak perlu bimbang dengan hukum tersebut.

Bagaimanapun, beliau berpandangan penerangan berkaitan hudud ini perlu diperjelaskan secara menyeluruh kepada mereka yang bukan Islam, khususnya kepada ahli-ahli DHPP itu sendiri.

"DHPP bersedia membantu menerangkan kepada masyarakat bukan Islam, tapi PAS perlu mengambil tanggungjawab untuk menerangkan secara 'all out' tentang hudud kepada ahli DHPP kerana masih ramai ahli yang belum jelas tentang hudud ini.

"Jika DHPP sendiri tidak faham dan risau tentang hudud, bagaimana kami mahu jelaskan kepada orang lain? Jadi, langkah pertama PAS perlu perjelaskan kepada DHPP sebelum ahli DHPP benar-benar bersedia dan faham dengan hukum ini," kata beliau kepada Harakahdaily.

Mengulas lanjut berkaitan kerisauan mereka yang bukan beragama Islam, Vincent berkata kebanyakan mereka melahirkan kebimbangan kerana beranggapan hukum tersebut akan memberikan kesan kepada kehidupan seharian mereka.

Sebagai contoh, katanya isu salon rambut yang tidak membolehkan pemotong rambut perempuan memotong rambut lelaki yang sebelum ini menimbulkan kontroversi di Kelantan.

"Mereka fikir perkara sedemikian termasuk dalam hudud, sedangkan soal salon rambut termasuk dalam enakmen lain. Itu baru satu contoh yang mereka bimbangkan, belum lagi isu-isu lain yang mereka sangka akan menjejaskan kehidupan mereka," tegas beliau.

Vincent dalam pada itu menyatakan kesediaan DHPP untuk terus menjadi jambatan di antara PAS dengan golongan bukan Islam berhubung hukum hudud, sesuai dengan peranan yang diberikan PAS sejak tertubuhnya DHPP.
SHAH ALAM: Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) akan diletakkan di bawah pengurusan Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB).

Beliau berkata proses pengambilalihan konsesi air Selangor masih dalam perbincangan bersama Kementerian Tenaga, Air dan Alam Sekitar (Kettha).

Katanya, perkara ini banyak dibincangkan terutama dalam sesi Dewan Negeri Selangor (DNS) kali ini.

“Saya rasa perkara ini terlalu banyak dibincangkan kerana perkara ini masih dalam perbincangan dengan pihak Kementerian,” katanya ketika menjawab soalan Adun Lembah Jaya, Kashim Abdul Aziz.

Proses penstrukturan air menjadi tumpuan dalam sesi DNS kali ini yang menyaksikan beberapa Adun membangkitkan persoalan mengenai perkembangan semasa proses berkenaan.

Sebelum ini Kerajaan Selangor telah menandatangani perjanjian bersama Kerajaan Persekutuan yang menyaksikan Selangor diberikan kebenaran untuk melaksanakan penstrukturan semula industri air.

Sebagai balasan, Kerajaan Selangor bersedia memberikan kebenaran Projek Langat 2 untuk dilaksanakan. - Selangor Kini
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tidak perlu mengelirukan rakyat kononnya Cukai Barangan Dan Perkhidmatan (GST), akan membawa negara lebih ke hadapan.

Sebaliknya kata Ketua Penerangan PAS, Datuk Mahfuz Omar, tindakan yang kan membawa negara ke hadapan adalah pengurusan kewangan yang bersih dan cekap.

"Beliau mendakwa bahawa langkah ke depan atau 'the way forward' adalah melalui GST.

"Dakwaan itu tidak betul kerana 'the way forward' ialah pengurusan kewangan yang bersih dan cekap," katanya.

Mahfuz berkata, sekurang-kurang 52 peratus rakyat tahu dan sedar bahawa pengurusan kewangan negara berada di tahap yang buruk.

"Lihat sahaja Laporan Ketua Audit Negara 2013 Siri 1 yang dibentangkan di Dewan Rakyat baru-baru ini yang menjadi bukti nyata bahawa masih berleluasa gejala-gejala buruk seperti penyelewengan, tidak amanah, ketirisan, mengutamakan kroni, sambil lewa dan cuai.

"Malah, setiap kali dibentangkan Laporan Ketua Audit Negara. kita akan menyaksikan kerugian berpuluh bilion ringgit dan para pemimpin kerajaan terlepas begitu sahaja kecuali beberapa ikan bilis yang dikenakan tindakan," katanya.

Sebagai contoh, kata Mahfuz lagi, ialah sikap pemimpin kerajaan Barisan Nasional berhubung pembelian 257 buah kereta perisai oleh Kementerian Pertahanan dengan harga yang dilaporkan enam kali ganda lebih mahal daripada harga pasaran.

"Ahli-ahli Parlimen masih ingat apa Menteri Pertahanan ketika itu, (Datuk Seri) Zahid Hamidi kata. Dia kata, dia tidak tahu menahu tentang hal itu.

"Sedangkan, dia sendiri hadir menyaksikan majlis menandatangani perjanjian urusniaga itu," katanya.

Zahid dilaporkan hadir menyaksikan majlis menandatangani perjanjian urusniaga pembelian kereta-kereta perisai tersebut di Ankara, Turki pada bulan Februari 2011.

Laporan juga menyatakan, Kementerian Pertahanan membayar sebanyak RM7.55 bilion atau RM29.4 juta sebuah sedangkan nilai pasaran yang sepatutnya hanyalah RM1.15 bilion atau RM4.5 juta sebuah sahaja.

Mahfuz menyifatkan apa yang berlaku itu bukan sahaja bukti amalan pengurusan kewangan negara tahap terburuk malah sikap tidak bertanggungjawab.

"Kita kemukakan kesemua contoh itu untuk membuktikan bahawa bukan GST yang menjadi cara memastikan kedudukan kewangan negara semakin mantap dan kukuh, tetapi pengurusan kewangan yang bersih, jujur dan cekap," katanya.

Beliau mempersoalkan, jika dikutip berbilion-bilion sekalipun dari perlaksanaan GST, apa jaminan yang tidak diurus dengan baik seperti yang berlaku sekarang?

"Apa jaminan tidak ada penyelewengan, rasuah, tidak amanah, ketirisan, mengutamakan kroni, sambil lewa dan cuai," kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu.

Beliau berkata, memang "menjadi perangai" kerajaan BN suka memberi ubat yang lain kepada penyakit yang lain.

"Sakit gigi (tetapi) bagi ubat sakit kaki," katanya memberi perbandingan.

Dalam dalam majlis perhimpunan bulanan Kementerian Kewangan, Najib mendakwa, pengenalan GST adalah baik untuk ekonomi dan negara tidak boleh bergantung dengan dasar yang begitu populis.

“Misalnya dunia tahu GST baik untuk ekonomi sesebuah negara, kita semua yakin langkah ke depan adalah melalui GST yang boleh menentukan masa depan ekonomi negara kita dan kesejahteraan rakyat,” dakwa Perdana Menteri.

Tarikh Lebuh Raya Pantai Timur 2 siap beranjak lagi?

1. Pada 15 April 2014, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya dan Pengangkutan Negeri, YB Ir. Rosli Othman, dalam sidang Dewan Undangan Negeri Terengganu berkata, pembinaan Lebuhraya Pantai Timur (LPT) Jabor - Kuala Terengganu sepanjang 184 kilometer yang dianggarkan membabitkan perbelanjaan RM4.25 bilion dijangka siap sepenuhnya Disember 2014.

2. Menariknya pada 26 Januari 2014, Menteri Kerja Raya, Datuk Fadilah Yusof dilaporkan berkata, ia dijangka siap pada September 2014. Ia disebut ketika perasmian pembukaan Lebuhraya Pantai Timur (LPT) Bukit Besi-Paka melibatkan peruntukan RM514 juta sejauh 35 kilometer.

3. Menurut beliau, Kerajaan Terengganu memohon projek itu disiapkan sebelum Aidilfitri ini dan Kementerian akan berusaha agar permintaan tersebut dapat ditunaikan kerana kira-kira 80 kilometer lagi LPT2 yang masih belum disiapkan di mana kerja-kerja pembinaan kini mencapai 70 peratus.

4. Sebelumnya pada Oktober 2013, YB Ir. Rosli Othman juga memberi jaminan projek itu akan siap dan dibuka sepenuhnya pada September 2014 semasa menjawab soalan lisan Azan Ismail (PKR-Bandar) pada Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Terengganu ke-13 yang lalu.

5. Jun tahun lalu, Menteri Kerja Raya, Datuk Fadillah Yusof berkata sehingga 30 Jun 2013, projek LPT2 sepanjang 184 kilometer itu telah mencapai kemajuan fizikal pada 88.5 peratus.

6. Sebelumnya lagi pada penghujung 2012, Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Yong Khoon Soon mengumumkan di Parlimen bahawa LPT2 hanya dijangka dapat dibuka sepenuhnya kepada orang ramai pada Ogos 2014.

7. Timbalan Menteri berkenaan juga menyatakan bahawa sebab utama berlakunya kelewatan ia disiapkan adalah kerana kegagalan kontraktor menyiapkannya mengikut tempoh yang ditetapkan kerana kesan daripada kenaikan harga barangan pembuatan pada 2007-2008. Akibatnya, 10 dari pakej lebuhraya itu terpaksa ditender semula.

8. LPT2 merupakan projek pembangunan mega di bawah Rancangan Malaysia Ke-10 untuk Terengganu sepanjang 184 kilometer bermula dari Jabor, Kemaman ke Kampung Gemuruh, bahagian utara Kuala Terengganu. Ia kesinambungan daripada projek LPT Fasa 1 iaitu dari Karak ke Kuantan sepanjang 159 kilometer.

9. Projek itu terbahagi kepada 16 pakej iaitu 15 pakej dilaksanakan Jabatan Kerja Raya yang ditawarkan secara tender terbuka konvensional dan satu pakej lagi secara rundingan terus dikendalikan Lembaga Lebuhraya Malaysia.

10. Ia dimulakan pada Mac 2006 dengan anggaran kos awal projek RM3.7 bilion dan dijadualkan siap akhir 2010. Namun ia gagal disiapkan mengikut jadual dan telah beberapa kali distruktur semula oleh kerajaan dan akhir sekali 70 peratus projek berkenaan telah diuruskan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR), manakala selebihnya oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM).

11. Kos asal RM3.7 bilion telah meningkat sekarang kepada RM4.5 bilion disebabkan pertambahan tempoh masa dan pengstrukturan semula projek beberapa kali dan pertukaran kontraktor.

12. Pada 22 Ogos 2011, selepas 5 tahun 5 bulan projek berjalan, kerajaan membuka sebahagian jajaran LPT2 kepada laluan awam sepanjang 70 kilometer dari pakej 12 di Kampung Gemuruh, Kuala Terengganu hingga pakej 10 di persimpangan Bukit Besi.

13. Dua tahun 5 bulan kemudiannya, pada Januari 2014 laluan dari Bukit Besi ke Paka sejauh 35 kilometer disiapkan dan dibuka.

14. Sekarang, selepas 8 tahun projek berjalan dengan 105 kilometer telah disiapkan daripada 184 kilometer keseluruhan projek, berbaki lagi 79 kilometer sedang disiapkan. Tempoh yang ada sekarang sehingga Disember 2014 ialah 8 bulan. Adakah rakyat Terengganu boleh percaya ia akan siap pada Disember 2014 atau akan tertangguh lagi dengan pelbagai alasan? Sama-sama kita tunggu dan lihat.

15. Saya mendesak kerajaan negeri dan kementerian yang bertanggungjawab untuk menjelaskan status sebenar projek LPT2 dan tempoh sebenar projek ini dapat disiapkan. Ini kerana projek LPT2 mengalami kelewatan dan penangguhan projek yang tidak munasabah memandangkan perubahan demi perubahan dan percanggahan tentang tempoh akhir yang berlaku di antara kerajaan negeri dan kementerian.

16. Saya juga menggesa kementerian yang terlibat supaya memantau dengan lebih mendalam mengenai pengurusan projek secara keseluruhan supaya proses penyiapan projek yang mencecah kos berbilion ringgit ini dapat disegerakan.

17. Doa saya agar ia mampu disiapkan lebih awal daripada tarikh jangkaan iaitu pada Disember 2014

Anwar menandatangani buku ucapan takziah di kediaman Karpal di Jalan Utama, Georgetown, Pulau Pinang.
PERMATANG PAUH: Ketua Pembangkang, Dato' Seri Anwar Ibrahim mengingatkan rakyat Permatang Pauh supaya bangun menjadi benteng amanah dan ketelusan negara dan tidak mudah menggadaikan pronsip kepada Umno dan BN sekiranya beliau dipenjarakan buat kali kedua.
Menurutnya, jika ditakdirkan semalam adalah pidato terakhir beliau di Permatang Pauh, Anwar mahu jentera Pakatan Rakyat diperkemaskan bagi menghadapi pilihan raya kecil (PRK) kawasan parlimen itu.
Berucap di pentas Reformasi 2.0 di Tapak Ekspo Seberang Jaya, dekat sini, beliau tidak menolak kemungkinan akan dipenjarakan jika rayuannya dalam kes Liwat 2 ditolak Mahkamah Persekutuan.
Beliau mendapat maklumat bahawa BN sudah mempersiapkan jentera untuk berhadapan dengan PRK Permatang Pauh seandai dirinya didapati bersalah serta dipenjarakan.
"Andai kata Allah SWT uji kita dengan isu ini, saya mahu anda di Permatang Pauh bangun sebagai benteng mempertahankan amanah daripada penyangak Umno dan BN yang terlalu ghairah mahu merampas sekaligus meranapkan Pakatan Rakyat," tegasnya di hadapan ribuan hadirin.
Jelas Anwar lagi, keseluruhan konpirasi yang dilaluinya pasti terjawab suatu hari dan pasti terdedah satu persatu.
Menurut Anwar, walaupun dikurung di penjara sekali lagi semangat serta jiwaraganya tidak akan lemah longlai.
"Anwar bukan orang yang cepat lemah semangat malahan akan terus bangkit biarpun dipenjara, " katanya sambil melaungkan slogan "Lawan Tetap Lawan".
Turut berucap Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifudin Nasution Ismail, Pengarah Strategik PKR, Rafizi Ramli, Timbalan Yang DiPertua PAS Baling, Brigadier Jeneral (B) Dato' Najmi Ahmad, Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Mohamd Sabu dan Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, Datuk Abdul Rashid Hasnon.
Anwar juga sempat menziarahi jenazah bekas Pengerusi DAP, Karpal Singh di kediaman keluarga Ahli Parlimen Jelutong itu di Jalan Utama, Georgetown petang semalam.
Karpal meninggal dunia akibat kecederaan parah apabila kenderaan yang dinaikinya terlibat dalam kemalangan di Lebuh Raya Utara-Selatan hala ke utara dekat Gua Tempurung awal pagi semalam.

Tiada ulasan: