Sabtu, 10 Mei 2014

PENDIDIKAN NEGARA TAK IKUT ACUAN ISLAM...IKUT ACUAN PENJAJAH

Sistem pendidikan negara gagal – Ku Li

HARAKAHDAILY | .
SHAH ALAM: Sistem pendidikan negara dilihat tidak berkesan dan memerlukan  perubahan drastik dan radikal jika negara mahu melonjakkan daya saing di peringkat serantau dan global.
Ahli Parlimen Gua Musang, Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah berkata, kegagalan sistem pendidikan ini dilihat dalam pelbagai aspek antaranya penilaian antarabangsa, integrasi kaum, modal insan serta penguasaan komunikasi.
Berucap pada majlis penganugerahan Ijazah Doktor Kehormat (Kewangan), UiTM sempena istiadat konvokesyen UiTM ke-80, dekat sini, pagi tadi, Tengku Razaleigh menyatakan kebimbangannya dengan tahap pendidikan negara yang dinilai rendah oleh Bank Dunia pada akhir Mac 2014.
Malah, jelas beliau penilaian menggunakan International Standard (PISA, TIMSS) turut meletakkan pendidikan negara  di tahap yang rendah.
“Kita memerlukan sistem pendidikan yang dikagumi dan diidami; sistem di mana ibu bapa berebut dan berlumba untuk mendapat tempat bagi anak mereka di sekolah awam aliran kebangsaan yang tinggi nilai ekonominya dan sekaligus tidak menghiraukan sistem persekolahan saingan,” ujarnya.
Menurut beliau,  sistem pendidikan yang dilaksanakan sekarang tidak melahirkan insan berilmu yang mampu berfikir dengan berkesan dan cemerlang dalam keadaan yang berbagai, tidak menentu, mencabar dan cepat berubah.
“Saya masih ingat satu waktu dahulu bilamana kita dihormati dan disanjungi oleh masyarakat dunia. Di forum antarabangsa, kita sering diberi penghormatan untuk menyediakan ‘laporan perbincangan’, ‘kenyataan kesepakatan (communiqué)’, menjadi pemudahcara (moderator) dan sebagainya.
“Hal ini terjadi kerana secara relatif, kemampuan berfikir dan penguasaan bahasa kita adalah lebih baik. Malangnya keadaan berbeza sekali sekarang,” kesal beliau.
Tengku Razaleigh turut melahirkan kebimbangan terhadap keutuhan integrasi kaum di negara ini apabila polarisasi antara kaum dilihat pada tahap yang parah dan mengkhuatirkan.
“Sebagai orang lama yang telah menyaksikan pahit getir perjalanan panjang Malaysia, saya sangat sedih dengan apa yang berlaku,” ujarnya.
Paling menyedihkan, tambah beliau,  polarisasi kaum  juga wujud di institusi pengajian tinggi di mana masyarakatnya terpelajar.
Di bidang ekonomi, beliau memberikan contoh bagaimana negara yang pada awalnya menjadi contoh rujukan kepada Korea Selatan kini jauh ditinggalkan negara itu dalam segenap aspek termasuk sukan.
Menurutnya, jika dahulu Malaysia dianggap lebih kehadapan berbanding Hong Kong, Taiwan, Singapura dan Korea Selatan di bidang pembangunan ekonomi namun kini keadaan berlaku sebaliknya.
Tengku Razaleigh yakin  keberkesanan sistem pendidikan Korea Selatan meletakkan negara itu di posisi sekarang.
“Pada tahun 1980, pendapatan per kapita mereka (Korea Selatan) adalah USD 2,322 dan lebih rendah daripada kita pada kadar USD 2,351. Tetapi hari ini, pendapatan per kapita mereka adalah USD 24,328 dan dua kali lebih besar daripada kita pada kadar USD 10,547.
“Kini ekonomi Korea Selatan lebih handal daripada kita,” jelasnya.
Beliau mahu semua pihak menerima hakikat tidak berkesannya sistem pendidikan negara sehingga ia memerlukan perubahan drastik dan radikal.
“Kita gagal dalam penilaian antarabangsa, kita gagal dalam memupuk integrasi kaum, kita gagal dalam menghasilkan modal insan berilmu, berprinsip dan mampu berfikir.
“Kita juga gagal menguasai komunikasi sehingga kedudukan kita yang dihormati satu waktu dahulu terhakis,” ujarnya.
Sehubungan itu Tengku Razaleigh mahu  Pelan Pembangunan Pendidikan 2013 – 2025 mengambil kira pandangan yang diutarakan beliau untuk dilaksanakan. - HARAKAHDAILY, 10/5/2014
Ikuti ucapan penuh Tengku Razaleigh Hamzah dalam Harakahdaily.

Abdul Rahman bin Auf: Mujahid, dermawan dan zuhud

DATUK DR MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI | .
Abdul Rahman bin Auf (r.a); Seorang Sahabat Nabi saw, Mujahid, Ahli Perniagaan, Dermawan & Zuhud

Pengenalan

1. Nama dan keturunan Abdul Rahman bin 'Auf radiyallahu 'anhu (moga Allah meredhainya) ialah Abdul Rahman bin 'Auf bin 'Abd 'Auf bin 'Abd bin Harith bin Zahrah bin Kilab bin Murrah bin Ka'ab bin Lu'ai. Nama asal beliau sebelum Islam ialah Abdu Amrin atau Abdul Ka'bah lalu ditukar oleh Nabi saw kepada Abdul Rahman.

2. Beliau merupakan salah seorang daripada 8 orang yang awal menerima Islam setelah diperkenalkan oleh Abu Bakar al-Siddiq (r.a) bersama-sama 4 orang yang lain iaitu Uthman bin Affan, al-Zubair bin 'Awwam, Tolhah bin 'Ubaidillah dan Sa'ad bin Abi Waqqas radiyallahu 'anhum.

3. Beliau juga salah seorang daripada 10 sahabat Nabi saw yang diberi khabar gembira mendapat syurga selain Abu Bakar al-Siddiq, Umar bin al-Khattab, Uthman bin 'Affan, Ali bin Abi Tolib, al-Zubair bin al-'Awwam, Tolhah bin 'Ubaidillah, Sa'ad bin Abi Waqqas, Sa'id bin Zaid dan Abu 'Ubaidah bin al-Jarrah (r.a). (Rujuk Hadis Bukhari).

4. Beliau dilahirkan pada tahun ke 10 tahun gajah. Menurut Ibn al-Athiir beliau meninggal pada usia 75 tahun pada tahun 31 Hijrah di zaman Khalifah Uthman. Terdapat 2 riwayat sama ada beliau mati dan dikebumikan di bumi Syam (Suweilih, Jordan) atau mati di Madinah dan dikebumikan di Perkuburan Baqi'.

5. Beliau berhijrah ke Habsyah kemudian kembali ke Mekah seterusnya berhijrah kali kedua ke Habsyah. Setelah kembali ke Mekah beliau menjadi orang yang awal berhijrah ke Madinah apabila diarahkan oleh Nabi saw.

6. Beliau cedera ketika perang Uhud dengan luka di 20 tempat seluruh badan sehingga meninggalkan kesan tempang berkekalan pada betisnya. 2 gigi seri tengahnya patah sehingga memberi kesan yang jelas pada pertuturannya.

7. Beliau salah seorang daripada 6 orang yang dicalonkan  oleh Umar bin al-Khattab sebelum beliau wafat setelah ditikam untuk menggantikan beliau sebagai Khalifah. 5 lagi ialah Uthman bin 'Affan, Ali bin Abi Tolib, al-Zubair bin al-'Awwam, Tolhah bin 'Ubaidillah, Sa'ad bin Abi Waqqas (r.a). Kelima mereka bersetuju untuk memilih Abdul Rahman sebagai khalifah berdasarkan beberapa hujah. Namun, beliau telah menarik diri dan memilih Uthman menjadi Khalifah lalu dipersetujui oleh mereka semua.

8. Kehidupan sehariannya berlegar pada 3 perkara, sama ada di masjid mengerjakan solat wajib dan sunat atau dalam peperangan berjihad atau berniaga.

Minat dan kemahiran berniaga

1. Beliau seorang yang sangat mahir, bijak serta berjaya dalam perniagaan sehinggakan beliau sendiri berkata tentang dirinya sendiri: "sekiranya saya mengangkat satu batu pasti saya temui di bawahnya perak dan emas."

2. Anas bin Malik radiyallahu anhu menceritakan apabila Sa'ad bin Rabi' (r.a) menawarkan separuh harta dan salah seorang isterinya untuk diceraikan dan dinikahi oleh Abdul Rahman (r.a) sebagai satu tuntutan ikatan persaudaraan yang telah diarahkan oleh Nabi saw untuk dimenterai antara Ansar dan Muhajirin, Abdul Rahman (r.a) menolak dengan berkata: "moga Allah berkati keluarga dan harta kamu. Tunjukkan kepada saya pasar." Kata Anas lagi: "Lalu beliau keluar ke pasar seterusnya membeli, menjual dan mendapat untung".

Dalam hadis riwayat Bukhari menjelaskan lagi selepas beberapa hari beliau berjaya mengahwini seorang wanita Ansar dengan mas kahwin emas seberat timbangan sebutir biji kurma. Apabila diketahui oleh baginda beliau digesa supaya mengadakan walimah kenduri perkahwinan walaupun dengan seekor kambing.

Cerita ini menggambarkan minat dan kemahirannya berniaga sehingga membolehkannya mendapat untung yang banyak dalam masa singkat.

2. Delegasi perniagaannya datang daripada Mesir dan Syam membawa barang import ke Madinah mengandungi pakaian dan makanan seperti gandum yang diperlukan oleh masyarakat Semenanjung Tanah Arab.

3. Diriwayatkan oleh Anas bin Malik (r.a) pada satu hari bumi Madinah dikejutkan dengan angin kuat yang menerbangkan debu-debu yang disangkakan ribut tetapi rupanya kerana kedatangan rombongan perniagaan Abdul Rahman (r.a) dari Syam dengan 700 ekor unta yang penuh dengan barang dagangan yang berat. Keadaan itu mengkagumkan Aisyah (r.a) sehingga beliau berkata: "rombongan perniagaan sehingga menimbulkan gegak-gempa seumpama ini?". Orang ramai menjawab: "Benar! Aisyah lalu mengulas: "Saya mendengar Rasulullah saw bersabda bahawa Abdul Rahman berjalan ke syurga dalam keadaan merangkak". Berita itu sampai ke pengetahuan Abdul Rahman. Beliau lantas segera bertemu dengan Aisyah (r.a) lalu berkata: "kamu mengingatkan saya dengan ungkapan baginda saw yang saya tidak dapat lupakan sama sekali. Saya bersaksi wahai Aisyah bahawa seluruh rombongan perniagaan dengan unta dan isi barangannya saya sedekahkan di jalan Allah."
Harta itu lalu diagihkan kepada seluruh penduduk Madinah.

* (Keseluruhan  cerita (Aisyah r.a) bersumberkan Anas bin Malik (r.a) ini diriwayatkan oleh beberapa sumber antaranya Ibnu 'Asakir dalam Tarikh Dimasyq, Musnad al-Bazzar dan Ibnu Kathir dalam al-Bidayah wa al-Nihayah tapi keseluruhan sanad riwayatnya adalah lemah. Maka hadis Abdul Rahman ke syurga dalam keadaan merangkak adalah lemah sandarannya kepada Nabi saw. Bahkan beberapa jalur riwayat lain tentang hadis Abdul Rahman (r.a) ke syurga dalam keadaan merangkak dinilai palsu dan mungkar. Yang perlu diambil pengajaran ialah cerita kekayaan empayar perniagaan Abdul Rahman dan sifat dermawannya yang sabit dalam banyak lagi riwayat lain.)

Kekayaan dan sifat demawan

1. Sifat dermawan Abdul Rahman (r.a) digambarkan dengan kata-kata yang masyhur tentang dirinya bahawa:

قيل: {أهل المدينة جميعا شركاء لابن عوف في ماله، ثُلث يقرضهم، وثُلث يقضي عنهم ديونهم، وثلث يصِلَهم ويُعطيهم}.

"Dikatakan penduduk Madinah semuanya rakan kongsi bagi Abdul Rahman pada hartanya; 1/3 penduduk Madinah diberikan oleh beliau pinjaman tanpa faedah (Qard Hasan), 1/3 lagi dibantu oleh beliau dengan dibayar hutang mereka dengan orang lain dan 1/3 lagi disambung hubungan rahim dan diberikan pemberian".

2. Al-Zahabi dalam Siyar A'laam al-Nubalak menukilkan daripada Tolhah bin Abdullah bin 'Auf berkata: "Penduduk Madinah adalah tanggungan Abdul Rahman bin 'Auf. 1/3 mereka diberikan pinjaman, 1/3 dibayar hutang mereka dan 1/3 disambung hubungan dengan pemberian".

3. Al-Zahabi juga meriwayatkan daripada Imam Qatadah bahawa Abdul Rahman (r.a) pernah bersedekah separuh daripada hartanya iaitu sebanyak 4000 dinar di zaman Rasulullah saw sehingga orang-orang Munafiqin menuduhnya sebagai tersangat riya'. Lalu Allah turunkan ayat:
(الّذِينَ يَلْمِزُونَ الْمُطّوّعِينَ) [التوبة: 79]
Bermaksud: "orang-orang yang mencela golongan yang banyak melakukan perlakuan sukarela" Surah Taubah: 79.

4. Al-Zuhri meriwayatkan beliau kemudiannya menanggung 500 ekor kuda untuk jihad di jalan Allah seterusnya 500 ekor unta barangan untuk jihad.

5. Satu hari beliau menjual sebidang tanah miliknya dengan harga 40,000 dinar lalu diagihkan kepada ahli keluarganya daripada keturunan Bani Zahrah, isteri-isteri Nabi saw dan orang-orang fakir di kalangan muslimin.

6. 40,000 dinar menyamai 170,000 gram emas (1 dinar=4.25 gram) atau 178, 000 gram emas (1 dinar=4.45 gram) hari ini. Sekiranya 1 dinar emas (bersamaan 4.25 g) dinilai dengan rm632 (nilai dinar semasa yang bole dibeli oleh Kelantan Golden Trade pada 10.5.2014) maka nilainya hari ini ialah RM25,280,000 (RM25.28juta).

7. Sebelum mati beliau mewasiatkan agar hartanya diagihkan  50,000 dinar (RM31.6 juta) di jalan Allah.

8. Untuk para Sahabat Nabi yang pernah menghadiri perang Badar dan masih hidup ketika Abdul Rahman mati diwasiatkan 400 dinar seorang (RM252,800). Hinggakan Uthman bin Affan yang juga hartawan dan kaya-raya mendapat bahagian wasiat tersebut kerana beliau juga adalah ahli Badar. Jika diandaikan ahli Badar seramai 300 orang berbaki 150 orang Sahabat Ahli Badar yang masih hidup di saat itu dan setiap orang mendapat 400 dinar (RM252,800) maka anggaran hartanya untuk itu ialah 60000 dinar (RM37.92 juta).

9. Ditambah dengan wasiat di jalan Allah jumlahnya ialah 110,000 dinar. Konsep wasiat harta pula tidak boleh melebihi 1/3 harta. Ertinya harta yang dimiliki oleh beliau sebelum mati dijangka melebihi 330,000 dinar yang menyamai RM208,560,000 (RM208.56 juta).

Kehidupan zuhud

1. Satu hari beliau dihidangkan dengan hidangan berbuka puasa. Sebaik melihat makanan selera beliau hilang dan menangis. Kata beliau: "Sahabat Nabi saw Mus'ab bin 'Umair (r.a) yang lebih baik daripada diriku mati syahid lalu dikafankan dengan selimut yang jika ditutup kepalanya nampak kedua kakinya. Sekiranya ditutup kaki ternampak pula kepalanya. Hamzah (r.a) pula mati syahid, sedang dia lebih baik daripada diriku, tidak ada kafan melainkan selimut. Kita pula kemudiannya dibentangkan dengan dunia seluas-luasnya dan diberikan pemberian sebanyak-banyaknya. Sesungguhnya saya bimbang segala kebaikan-kebaikan pahala kita telah disegerakan lebih awal di dunia dan tiada bahagian pula di akhirat."

2. Satu hari yang lain dihidangkan makanan di saat beliau duduk bersama sahabat-sahabat. Beliau tiba-tiba menangis. Sahabat-sahabat beliau bertanya: kenapa menangis wahai Abu Muhammad? Ujar beliau: "wafatnya Nabi saw dalam keadaan baginda dan para isteri tidak pernah kenyang kerana sebuku roti."

Penutup

Sesungguhnya kehidupan sahabat Nabi ahli syurga ini benar-benar memberi keinsafan kepada kita:

1. Kita diberikan kelapangan masa, adakah dihabiskan untuk agama dan akhirat dengan masjid dan jihad?

2. Kita diberikan kelapangan rezki adakah dihabiskan dengan kemewahan dunia peribadi dan keluarga tanpa sedekah dan derma untuk ummah yang miskin dan jihad agama?

3. Kita diberikan makan-minum yang baik namun ingatkah kita dengan kezuhudan sahabat  melibatkan dunia?

"Kaya yang tidak masuk ke hati membawa diri membuat persiapan untuk alam Akhirat yang abadi"

Negara kehilangan dua perkara – Kit Siang

HARAKAHDAILY | .
KUALA LUMPUR: Malaysia mengalami dua tragedi ‘kehilangan’ yang mengancam negara dalam tempoh 12 bulan sejak pilihan raya umum ke- 13 (PRU13) Mei lalu, kata Penasihat DAP, Lim Kit Siang.
Menurut Ahli Parlimen Gelang patah itu, dua tragedi ‘kehilangan’ tersebut adalah serius dan menampakkan kelemahan aspek pengurusan kerajaan.
Dua kehilangan yang dimaksudkan beliau adalah kehilangan pesawat MH370 selepas 64 hari tanpa petunjuk dan tragedi ‘kehilangan Perdana Menteri’ dalam pelbagai episod getir negara.
“Hari ini, adalah hari ke-64 kehilangan Malaysia Airlines Boeing 777 pada 8 Mac, dan walaupun pencarian antarabangsa , carian yang paling lama dan paling mahal terbesar di dunia.
“Ia adalah satu tragedi besar yang selepas dua bulan mencari MH 370 di Laut China Selatan, Selat Melaka , Laut Andaman dan Lautan Hindi ,” kata Kit Siang dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan hari ini.
Menurut beliau, ‘kehilangan’ Perdana Menteri dirasai ekoran kegagalan beliau menangani masalah dalam negara khususnya isu perkauman yang dimainkan badan bukan kerajaan (NGO) perkauman seperti Perkasa dan Isma.
“Untuk berapa lama lagi ‘kehilangan Perdana Menteri’ berlaku sebelum Najib Razak bersedia berhadapan dan mengisytiharkan beliau tidak bersetuju dan menentang sebarang pandangan perkauman dan agama yang ekstrem.
“Adalah penting bagi pengundi Bukit Gelugor dan Teluk Intan menjadi peneraju kebangkitan rakyat dan mendepani halatuju nasional berhadapan ekstremis perkauman dan agama untuk menyelamatkan negara ini,” ujar beliau. – HARAKAHDAILY, 10/5/2014

MCA parti ‘flip-flop’

AFIX REDZUAN | .
PETALING JAYA: MCA perlu menjelaskan pendirian kukuh mereka dalam membuat keputusan menyertai semula kabinet seperti yang ditegaskan parti itu sebelum ini.
Ia ekoran jurang perbezaan pandangan yang semakin melebar antara MCA dan Umno berhubung beberapa isu mutakhir negara.
Ahli Parlimen Kelana Jaya, Wong Chen berkata, penerimaan MCA ke dalam kabinet Kerajaan hanya daripada ehsan Perdana Menteri.
“Jadi adakah mereka ini punya agenda dua agenda? Satu nak jadi menteri, satu tak nampak boleh bekerjasama dengan BN,” kata Wong Chen ketika ditemui Selangor Kini.
Dalam Pilihan Raya Umum-ke 13, MCA cuma mampu pertahan 7 kerusi Parlimen berbanding 15 kerusi dalam PRU12 daripada 40 kerusi yang ditandingi.
Bagi kerusi negeri, MCA cuma dapat 11 kerusi dalam PRU13, berbanding 31 kerusi dalam PRU12 daripada 90 kerusi yang diperuntukkan oleh BN sehingga ada yang menggelarkan MCA sebagai ‘parti 7-Eleven’.
Malahan di Pulau Pinang calon BN di kerusi Dun Pengkalan Kota, menerima tamparan hebat dalam pertandingan satu lawan satu dengan calon DAP apabila hanya berjaya memperoleh 1,803 daripada 17,468 undi dan hilang wang pertaruhan.
Wong Chen berkata, beliau tidak mempunyai sebarang masalah sekiranya ahli PAS di kawasan Kelana Jaya berhasrat mengadakan ceramah atau taklimat bagi menerangkan soal hudud kepada masyarakat.
“Apa yang penting katanya, soal ekonomi dan sistem pemerintahan sedia ada perlu diperbetulkan terlebih dahulu sebelum soal hudud ini dapat dibicarakan dengan lebih luas,” kata beliau. – Selangor Kini

PAS Selangor nafi arah ahli kutip wang pasar malam

NAZLI IBRAHIM | .
SHAH ALAM: PAS Selangor tidak pernah mengarahkan ahli-ahlinya mengutip wang daripada peniaga pasar pagi dan pasar malam seperti yang didakwa pihak tertentu.
Setiausaha Badan Perhubungan PAS Selangor, Mohd Khairuddin Othman berkata, sebaliknya bayaran sewa tapak pasar malam lazimnya dikutip persatuan penduduk di lokasi pasar malam itu diadakan.

“Katakanlah pasar malam Damansara Damai yang diadakan di kawasan Apartment Permai, jadi Jawatankuasa Penduduk (JKP) Apartment Permai mengutip sewa tapak kerana kawasan itu dalam kawasan mereka.

“Biasanya dalam persatuan penduduk ni ada orang PKR, Umno, tak berparti, macam-macam latar belakang dan termasuklah juga orang PAS sendiri.
“Persatuan penduduk kutip untuk menambah wang tabung mereka bagi menjalankan aktiviti kemasyarakatan mereka, bukan untuk parti,” kata Khairuddin ketika dihubungi Selangor Kini di sini, hari ini.
Tegas Khairuddin PAS Selangor juga tidak pernah menerima wang dari hasil kutipan sewa tapak pasar pagi dan pasar malam.
Khairuddin juga tidak menolak kemungkinan salah faham itu timbul apabila terdapat persatuan penduduk yang barisan ahli jawatankuasanya majoriti ahli PAS.
PAS Selangor akan memanggil ahlinya sekiranya terdapat bukti terlibat mengutip bayaran sewa tapak perniagaan pasar malam dengan menggunakan nama PAS.
“Jika terdapat bukti kukuh, PAS Selangor akan memanggil ahli PAS yang membuat kutipan haram untuk memberi penjelasan dan kemungkinan tindakan akan diambil.
“PAS Selangor yakin ahli-ahli PAS tidak akan berbuat sedemikian kerana pulangan kewangan menguruskan pasar-pasar itu adalah tidak berbaloi untuk PAS kawasan apatah lagi PAS Selangor dengan kerja-kerja yang perlu dilakukan,” kata beliau lagi.
Menyentuh keputusan Kerajaan Negeri mengambil alih pengurusan tapak pasar pagi dan malam Khairuddin memberitahu PAS Selangor akan mengkaji sama ada tahap pengurusan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) lebih baik berbanding JKP atau Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) sebelum ini.
“Dorongan utama bagi JKP dan JKKK mengurus pasar-pasar tersebut adalah agar kehadiran mereka dirasai oleh penduduk dan untuk memastikan tiada anasir-yang tidak diingini menyusup ke dalam kawasan mereka,” kata beliau lagi. – Selangor Kini

Tiada ulasan: