Jumaat, 9 Mei 2014

LELAKI YANG HENSEM IALAH LELAKI YANG TAKWA/SOLEH...YANG MAMPU MEMBIMBING ISTERI2 DAN ANAK2 KE SYURGA....IN SHAA ALLAH

Tidak adil menilai hudud ikut Global Peace Index

DR. ZUHDI MARZUKI | .

1. Saya berpandangan tidak adil untuk menjadikan ranking The Safest Countries yang lazimnya berdasarkan Global Peace Index untuk menilai keberkesanan Undang-undang Islam (Hudud) untuk mencegah jenayah. Indeks tersebut berdasarkan banyak parameter bukan sekadar kadar jenayah (criminal rate).

2. Termasuk dalam parameter indeks keamanan global itu ialah kadar insiden keganasan, insiden konflik dalaman, hubungan harmoni dengan negara jiran, jumlah perbelanjaan pertahanan, jumlah anggota pasukan keselamatan, sumbangan terhadap misi keamanan PBB dan lain-lain.

3. Kalau berdasarkan parameter ini memanglah Arab Saudi dan Pakistan tertinggal ke belakang, kerana negara ini dijadikan medan untuk menghadapi terroris oleh kuasa besar sendiri. Hubungan Pakistan dengan India sampai sekarang hampir mustahil boleh distabilkan. Oleh sebab itu mengambil indeks ini untuk menilai keberkesanan Islam dan hukumnya untuk mengekang jenayah adalah tidak tepat.

4. Sepatutnya lebih sesuai diambil secara spesifik kadar jenayah yang berlaku dalam 100,000 penduduk sesuai dengan tujuan hukum jenayah Islam (hudud) adalah berkaitan dengan jenayah.

5. Kalau diambil kadar jenayah (criminal rate) negara-negara yang dikatakan paling selamat itulah yang tertinggal, sebagai contoh kadar rogol berdasarkan statistik 2009:

a. Sweden berada di kedudukan kedua dengan 53.2 kes per 100,000 penduduk
b. New Zealand di kedudukan ketiga dengan 30.9 kes
c. Ireland di kedudukan kelima dengan 22.3 kes
d. Iceland di kedudukan keenam dengan 21.6 kes

6. Keempat-empat negara ini berada di kedudukan teratas dalam Global Peace Index dari segi negara paling selamat diduduki. Negara-negara Islam termasuk yang melaksanakan sepenuh atau sebahagian hukum Islam adalah antara paling rendah kes rogol, contohnya Sudan kadarnya 2.9 dan Maldive 3 dalam 100,000 penduduk.

7. Berhubung dengan jenayah bunuh dengan niat pula, berdasarkan indeks kadar jenayah global, kadar bunuh di Arab Saudi adalah 0.8 kes bagi 100,000 penduduk dan UEA juga 0.8, lebih rendah daripada New Zealand 0.9, Sweden 1.0, Australia 1.0, Ireland 1.2, Kanada 1.6, Finland 2.2 dan US 4.8.

8. Bagi kejadian rompakan pula, kejadian rompakan di Arab Saudi (statistik tahun 2000) hanya 2.9 kes bagi 100,000 penduduk, Pakistan (tahun 2000) 0.1 kes, Qatar (tahun 2004) 2.6 kes dan Brunei (tahun 2006) 0.5 kes, berbanding dengan US (tahun 2006) 146.6 kes, Sweden (tahun 2006) 94.2 kes, Australia (tahun 2002) 81.8 kes, New Zealand (tahun 2006) 59.7 kes, Ireland (tahun 2006) 55.7 kes, Switzerland (tahun 2006) 54.6 kes dan Finland (tahun 2006) 32.3 kes.

9. Jelas sekali berdasarkan angka-angka itu dari segi kadar jenayah dan kejadian jenayah-jenayah tertentu negara-negara yang melaksanakan secara sempurna atau sebahagian hukum jenayah syariah lebih berjaya dari negara-negara Scandinavia yang dibanggga-bangggakan. Pakistan selalu dijadikan sebagai model buruk perlaksanaan hukum jenayah syariah, sedangkan semua maklum negara itu adalah negara yang politiknya tidak stabil dan banyak berlaku konflik dalaman disebabkan pengaruh kuasa-kuasa dunia yang terlibat dalam politik serantau.

10. Jumlah penduduk Pakistan pula lebih dari 180 juta, justeru amat dangkal untuk membandingkan dengan negara yang jauh daripada konflik dan tidak menjadi medan percaturan kuasa-kuasa dunia seperti di Sweden, Switzerland, Finland dan Iceland, apatah lagi penduduk mereka yang begitu sedikit seperti Iceland hanya 300,000, Finland 5 juta, Switzerland 8 juta dan Sweden 10 juta. Dalam keadaan konflik dan penduduk yang begitu ramai, Pakistan masih dapat mengatasi beberapa negara ini dalam aspek-aspek jenayah.

Projek Lebuh Raya Rakyat dibayar bermula 2017

ASLANI M | .

KOTA BHARU: Kelkon Sdn Bhd yang diberi tanggungjawab membina lebuh raya rakyat Machang-Kuala Krai mempunyai prestasi memberangsangkan dalam industri pembinaan.

Projek berskala besar pernah dibina Kelkon termasuk laluan bertingkat di Pasir Mas membabitkan kos kira-kira RM15.5 juta.

Laluan bertingkat itu sepanjang 750 meter menghubungkan Kampung Lemal dan Kubang Panjang, dianggap projek terbesar pernah dilaksanakan kerajaan negeri.

Kini Kelkon berganding dengan Atiqah Wira Sdn Bhd, sebuah syarikat tempatan juga berpengalaman dalam bidang kejuteraan dan pembinaan dipilih membina lebuh raya rakyat, selepas ia disisihkan kerajaan pusat sejak 1986.

Pengerusi Jawatankuasa Kerjaraya, Infrastruktur, Utiliti dan Teknologi Maklumat, Datuk Hanifa Ahmad (gambar) berkata, projek berkenaan akan disiapkan dalam tempoh tiga setengah tahun.

Katanya, projek itu sepanjang 30.5 km bermula di Bukit Tiu, Machang sehingga ke Dusun Damar, Kuala Krai.

“Bayaran kepada kontraktor akan dibuat selepas projek berkenaan disiapkan. Bayaran pertama dijangka dibuat pada 31 Dis 2017.

“Bayaran pertama itu sebanyak RM50 juta dan bakinya akan dibayar sebanyak RM134 juta setahun bermula 2018 sehingga 31 Dis 2023,” katanya ketika ditemui di sini.

Pada peringkat awal kerajaan negeri merancang membina projek lebuh raya rakyat Kota Bharu-Kuala Krai sejauh 73 km membabitkan kos kira-kira RM1.8 bilion.

Bagaimanapun selepas kerajaan negeri bersungguh-sungguh berusaha membinanya, kerajaan pusat mengkaji semula projek tersebut dan akhirnya meluluskan projek sejauh 7 km dari Pasir Hor ke Kadok membabitkan kos hampir RM170 juta.

Pecah tanah dipecah projek terbabit dilakukan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 1 April lalu di Kampung Tiong.

Projek melibatkan kos sebanyak RM168.5 juta membabitkan jajaran Pasir Hor ke Kadok sejauh kira-kira 7 km dijangka siap 2 April 2017.

Projek berkenaan merupakan sebahagian projek Central Spine Road di bawah Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER).

Hanifa juga berkata, bayaran balik kepada kontraktor projek lebuh raya Machang-Kuala Krai didapati daripada punca-punca hasil negeri.

“Duit itu dikumpul dalam tempoh lima tahun dan akan dimasuk dalam bajet 2017 untuk membolehkan ia dibayar sebagai bayaran pertama kepada Kelkon pada akhir 2017,” katanya.

Menurutnya juga kerajaan pusat dijangka menyiapkan pakej dari Kota Bharu sehingga ke Machang sejauh kira-kira 40 km dan akan bermula dengan jajaran dibina kerajaan negeri di Bukit Tiu, Machang.

Kata beliau juga pelancaran projek terbabit dijangka diadakan pada 14 Jun ini di lokasi berhampiran kampus UiTM di Bukit Tiu atau di Bukit Bakar.

“Manakala dana wakaf sebanyak RM3.1 juta yang dikumpul hasil sumbangan orang ramai akan digunakan untuk membina jambatan di laluan berkenaan.

“Di jambatan itu nanti akan ditulis jambatan wakaf sebagai menghargai sumbangan orang ramai,” ujarnya. - HARAKAHDAILY 8/5/2014

TPPA: Tiada jaminan Obama dengar pendirian M'sia

HARAKAHDAILY | .
KUALA LUMPUR: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mengulangi permintaan kepada Kerajaan untuk memberikan maklumat lebih konkrit dan terperinci kepada orang awam Malaysia mengenai rundingan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) yang sedang dijalankan.

"Setakat ini maklumat sangat terhad dan orang ramai tidak mengetahui apa isu-isu yang sedang dirundingkan dan apa pendirian Malaysia," ujar Presiden CAP, SM Mohamed Idris dalam satu kenyataan.

Ini, katanya berlaku walaupun Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri telah mengadakan beberapa konsultasi.

Beliau menegaskan CAP masih berdiri dengan kedudukan awal bahawa Malaysia perlu menarik diri daripada rundingan dan tidak menandatangani TPPA.

Berikut kenyataan penuh beliau.

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) bimbang bahawa walaupun tiada tanda-tanda bahawa Amerika Syarikat akan dapat memberi jaminan ia boleh berdiri teguh dengan mana-mana urus janji yang dibuat dalam Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA), rundingan TPPA masih akan dilangsungkan berturut-turut dalam dua minggu yang akan datang.

CAP difahamkan bahawa mesyuarat perunding yang turut melibatkan Ketua Perunding negara-negara TPPA akan diadakan di Vietnam pada 12 - 15 Mei 2014, serta mungkin diikuti dengan Mesyuarat Menteri di Singapura pada 19-20 Mei 2014.

Kami menggesa kerajaan Malaysia untuk berdiri teguh terhadap semua posisinya semasa kedua-dua mesyuarat tersebut dan mengukuhkan posisi selanjutnya, selaras dengan Garisan Merah bagi isu-isu yang disediakan dan dikemukakan kepada kerajaan oleh pertubuhan masyarakat awam termasuk CAP.

Lawatan Presiden Amerika Syarikat Barack Obama ke Malaysia baru-baru ini tidak memberikan apa-apa jaminan bahawa Amerika Syarikat bersedia untuk bersetuju dengan pendirian Malaysia mengenai ' isu-isu bermasalah' yang dikenalpasti sama ada oleh Kerajaan atau oleh NGO.

Bantahan signifikan daripada Kongres Amerika Syarikat terhadap kuasa trek pantas (fast track authority) bermakna bahawa apa jua kedudukan yang ditandatangani Pentadbiran US dalam teks TPPA yang telah dipersetujui boleh ditentang dan dibatalkan oleh Kongres.

Oleh itu apa yang Pentadbiran US seolah-olah bersetuju dalam TPPA bukanlah posisi akhir mereka, dan negara-negara lain termasuk Malaysia mungkin akan diminta untuk membuat lebih banyak konsesi.

Difahamkan bahawa dalam pertemuan perunding di Vietnam nanti, isu-isu yang mungkin dirundingkan termasuk harta intelek (IP), pelaburan, perusahaan milik negara (state owned enterprise - SOE), alam sekitar, e-dagang dan kemungkinan pengecualian untuk kawalan tembakau. Setiap satu daripada isu-isu ini sangat sensitif, di mana terdapat kepentingan yang tinggi untuk Malaysia.

Oleh itu, Perdana Menteri dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri serta Menteri dan pegawai-pegawai kanan lain yang berkenaan mesti memastikan perunding Malaysia berdiri teguh atau mengukuhkan kedudukan sedia ada negara kita, dan tidak membuat apa-apa konsesi baru.

Berikut adalah beberapa posisi CAP mengenai isu-isu untuk rundingan yang akan datang di Vietnam (dan juga mana-mana mesyuarat Menteri-Menteri seterusnya).

· Mengenai harta intelek (IP), Malaysia perlu menolak cadangan bagi:

- menyertai perjanjian IP antarabangsa tambahan yang mengukuhkan perlindungan IP,

- membenarkan paten untuk kegunaan baru perubatan atau teknologi lain yang sedia ada,

- memanjangkan jangka paten untuk ubat-ubatan,

- mempunyai peraturan data eksklusiviti yang melambatkan keupayaan kita untuk menghasilkan atau mengimport ubat-ubatan generik,

- menghubungkan kelulusan pihak berkuasa kesihatan untuk pemasaran ubat-ubatan kepada status paten,

- meningkatkan perlindungan IP ke atas input pertanian kerana ia akan menentang undang-undang Malaysia ke atas perlindungan varieti tanaman dan petani kita akan dibebani dengan peningkatan kos input.

- melanjutkan tempoh hak cipta untuk sekurang-kurangnya 70 tahun (dari 50 tahun kini).

Keputusan menerima ini bermakna ia akan menjejaskan hak pengguna dan akses kepada ubat-ubatan yang mampu dibeli, kepada maklumat dan pengetahuan, dan hak petani ke atas benih juga tergugat.

· Untuk perusahaan milik negara (SOE), Malaysia harus menolak keseluruhan bahagian tersebut, yang bertujuan menjadikan ia sukar atau mustahil untuk kebanyakan syarikat-syarikat berkaitan kerajaan untuk beroperasi atau terus mandiri. Jika tidak, Malaysia perlu menuntut bahawa negara ini adalah dikecualikan daripada mematuhi seksyen SOE ini. Salah satu peruntukan ialah SOE ini tidak boleh memberi keutamaan kepada barangan tempatan, perkhidmatan atau syarikat-syarikat dalam perolehan barang-barang dan perkhidmatan. Berpegang kepada ini akan membawa kepada banyak perniagaan SOE untuk diberikan kepada syarikat-syarikat asing, yang akan memberi kesan yang serius ke atas perniagaan tempatan, termasuk Bumiputera. Ini mesti ditolak oleh Malaysia.

· Dalam bab e-dagang, Malaysia perlu menolak mana-mana cadangan yang memerlukan negara untuk membenarkan 'aliran maklumat bebas' kepada negara-negara asing, atau mengharamkan keperluan negara untuk menyimpan maklumat pada pelayan rangkaian (server) tempatan sahaja. Cadangan seperti itu boleh memudahkan pengumpulan lebih mudah perisikan dan pengintipan oleh kerajaan asing, satu amalan yang telah baru-baru ini didedahkan oleh laporan media.

· Dalam bab pelaburan, Malaysia perlu menolak hak pra-penubuhan syarikat-syarikat asing dari negara-negara TPPA serta cadangan sekatan ke atas keperluan prestasi (atau syarat) diletakkan di atas syarikat-syarikat asing. Dalam draf teks, negara-negara dibenarkan untuk mengecualikan 'langkah bukan-mematuhi' daripada beberapa obligasi tetapi obligasi utama yang lain adalah tidak dikecualikan dan dengan itu 'pengecualian' adalah kurang berguna. Oleh itu Malaysia mesti menegaskan bahawa langkah-langkah ketidakpatuhan ini mesti dikecualikan daripada segala obligasi bab pelaburan. Malaysia juga perlu menolak mana-mana peruntukan yang menghalang negara ini daripada menggunakan kawalan modal yang mungkin diperlukan untuk mengawal aliran dana ke dalam dan dari negara ini.

· Malaysia juga perlu menolak peruntukan berhubungan dengan komponen 'perlindungan pelabur' dalam TPPA. Khususnya , kita harus menolak peruntukan mengenai 'layanan yang adil dan saksama' dan 'ekspropriasi secara tidak langsung' kerana ini sangat mengekang ruang dasar dan mendedahkan negara ini kepada liabiliti undang-undang.

· Malaysia juga perlu menolak sistem penyelesaian pertikaian antara pelabur dan negara pertikaian (investor-to-state dispute settlement – ISDS) dalam bab pelaburan yang membolehkan pelabur asing untuk membawa kerajaan kepada tribunal timbang-tara antarabangsa untuk menguatkuasakan peruntukan dalam bab pelaburan dan peruntukan bab-bab lain yang dirujuk dalam bab pelaburan. Ini mendedahkan kerajaan kepada tuntutan berbilion dolar.

· Malaysia mesti berdiri teguh atas cadangan untuk pengecualian penuh atau mengeluarkan sepenuhnya bagi langkah-langkah kawalan tembakau dari seluruh TPPA.

· Dalam bab alam sekitar, Malaysia sepatutnya tidak diperlukan untuk menukar posisi dalam rundingan perjanjian alam sekitar terutamanya Konvensyen Kepelbagaian Biologi atau Konvensyen Rangka Kerja Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Perubahan Iklim.

· Malaysia juga perlu menegaskan bahawa ia (dan negara-negara lain dalam TPPA yang memintanya) perlu mendapatkan pengecualian dalam semua bab TPPA yang membolehkan ia untuk menerima pakai atau mengekalkan langkah-langkah yang difikirkan perlu untuk tujuan kesihatan awam, alam sekitar, pembangunan ekonomi dan sosial dan dasar kepentingan awam yang lain.

Kami juga mengulangi permintaan kami kepada Kerajaan untuk memberikan maklumat lebih konkrit dan terperinci kepada orang awam Malaysia mengenai rundingan yang sedang dijalankan. Setakat ini maklumat sangat terhad dan orang ramai tidak mengetahui apa isu-isu yang sedang dirundingkan dan apa pendirian Malaysia. Ini berlaku walaupun Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri telah mengadakan beberapa konsultasi.

Garisan merah yang CAP timbulkan di atas adalah kerana Kerajaan Malaysia masih meneruskan rundingan TPPA. Kami masih berdiri dengan kedudukan awal kami bahawa Malaysia perlu menarik diri daripada rundingan dan tidak menandatangani TPPA.- HARAKAHDAILY 8/5/2014

Spekulasi MB T'ganu: Razif berada Putrajaya hari ini

MUHAMMAD FAIZAL | .
KUALA LUMPUR: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seberang Takir, Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman (gambar) yang digembar-gemburkan bakal menggantikan Datuk Seri Ahmad Said sebagai Menteri Besar Terengganu dilihat berada di Putrajaya hari ini.

Menurut laman web BNBBC, Abdul Razif bergegas ke Putrajaya sejurus selesai mesyuarat exco petang semalam.

Beliau juga dikatakan turut membatalkan kehadiran pada majlis penyerahan jersi kejohanan bola sepak Adun Seberang Takir di Dataran Permata, Kampung Baru Seberang Takir malam tadi secara tiba-tiba kerana terpaksa ke Kuala Lumpur.

Laporan akhbar berbahasa Inggeris turut menguatkan andaian bahawa Abdul Razif bakal menggantikan Ahmad yang baru sahaja meraikan kejayaan setahun Barisan Nasional di Terengganu selepas Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Akhbar itu turut melaporkan Abdul Razif yang juga Pengerusi Jawatankuasa Sains dan Teknologi, Tenaga, Teknologi Hijau Dan Air negeri diminta berada di Kuala Lumpur dan bersiap sedia untuk menerima surat pelantikan daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Isu penggantian jawatan Menteri Besar timbul apabila Ahmad dikatakan ada menandatangani surat persetujuan bahawa beliau akan memegang jawatan itu hanya setahun selepas BN menang tipis dalam PRU13 lalu.

Surat dua perenggan itu dikatakan ditandatangani Ahmad kira-kira dua minggu selepas PRU13 lalu.

Turut difahamkan, pertukaran Menteri Besar itu bakal dibuat pada 15 Mei seperti mana yang diperkatakan ramai pihak sebelum ini.

Pada PRU13 lalu, BN memenangi 17 kerusi Dewan Undangan Negeri manakala 15 kerusi lagi dimenangi Pakatan Rakyat. - HARAKAHDAILY 8/5/2014

Tukar MB: PAS T'ganu tunggu dan lihat, bersedia

MUHAMMAD FAIZAL | .
KUALA LUMPUR: PAS Terengganu bersedia dengan sebarang kemungkinan yang bakal berlaku di negeri itu terutama membabitkan masalah dalaman Barisan Nasional (BN) berhubung kedudukan jawatan Menteri Besar.

Pesuruhjayanya, Ustaz Satiful Bahri Mamat yang dihubungi Harakahdaily memberitahu PAS tidak mahu membuat sebarang spekulasi berhubung pertukaran Menteri Besar.

"Kita tunggu dan lihat apa yang berlaku, sehingga sekarang kita tidak ada keputusan yang tepat.

"Namun dalam masa yang sama PAS Terengganu berada dalam keadaan bersedia untuk sebarang kemungkinan yang bakal berlaku.

"Isu Menteri Besar ini melibatkan dua kumpulan dan kita tahu apa pendirian Datuk Seri Ahmad Said sebelum ini, apa pun kita bersedia," jelas beliau.

Dalam pada itu, beliau turut memberitahu sesiapa pun memegang jawatan Menteri Besar ia tidak dapat memberi keuntungan kepada rakyat.

"Dasar-dasar yang sedia ada tidak memberi keuntungan kepada rakyat, siapa pun yang memegang jawatan tersebut tetap sama," sambung beliau.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paka berkeyakinan Ahmad akan terus mempertahankan jawatan tersebut.

"Kita kekurangan dua kerusi, pertembungan dua kumpulan itu akan memberikan kelebihan kepada kita," katanya lagi.

Isu penggantian Menteri Besar timbul apabila Ahmad dikatakan menandatangani surat persetujuan bahawa beliau akan memegang jawatan itu hanya setahun selepas BN menang tipis dalam PRU13 lalu.

Surat dua perenggan itu dikatakan ditandatangani Ahmad kira-kira dua minggu selepas PRU13 lalu.

Adun Seberang Takir, Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman yang digembar-gemburkan bakal menggantikan Ahmad sebagai Menteri Besar Terengganu dilihat berada di Putrajaya hari ini. - HARAKAHDAILY 8/5/2014

9 Ciri Lelaki Yang 'Hensem Maksimum' Di Mata Wanita

Anda rasa rupa anda tak cukup hensem? Jangan risau! Rupa paras bukanlah segalanya.
Thumb d28c

1. Tahu tukar tayar kereta tapi tak berlagak

Last updated by sponsored about 6 hours ago

2. Luang masa dengan kawan lelaki tanpa menjejaskan harga diri

Last updated by sponsored about 6 hours ago

3. Sangat beradab, online dan offline

Last updated by sponsored about 6 hours ago

4. Penampilan sentiasa kemas dan tahu bergaya mengikut masa yang sesuai

Last updated by sponsored about 6 hours ago

5. Family first! Sentiasa dahulukan ibu bapa dan keluarga sebelum yang lain

Last updated by sponsored about 6 hours ago

6. Mementingkan kesihatan dan selalu bersukan untuk kecergasan

Last updated by sponsored about 6 hours ago

7. Sentiasa buat orang tersenyum walaupun sedang dilanda pelbagai masalah

Last updated by sponsored about 6 hours ago

8. Bijak menguruskan wang dan tak suka membazir pada benda-benda yang tak perlu

Last updated by sponsored about 6 hours ago

9. Tahu macam mana nak selesaikan masalah tanpa menunjuk di laman sosial

Last updated by sponsored about 6 hours ago
B398

Tiada ulasan: