• Dr Mohd Asri Dr Mohd Asri
1 / 1
BUKAN mudah untuk melaksanakan hukum hudud pada zaman sekarang terutama di negara Malaysia yang mempunyai persekitaran yang berbeza.

Bekas Mufti Perlis, Prof Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata, pelaksanaan hudud tanpa penelitian diibaratkan seperti memasang pintu istana untuk sebuah rumah buruk.

Ia bukan menambah kecantikan malah mungkin merobohkan rumah yang buruk dan merosakkan pintu yang cantik.

"Tokoh ilmuwan Muslim yang terkenal Dr Mohamed Salem el-Awa dalam bukunya menyatakan bahawa daripada penelitian beliau belum sempat dua kurun selepas kewafatan Nabi Muhammad SAW, hudud sudah tidak dilaksanakan dalam dunia Muslim.

"Sejak zaman Abbasiyah lagi, penekanan pelaksanaan hudud sudah tiada. Ini disebabkan kerangka masyarakat seperti mana sewaktu hudud dilaksanakan sudah tiada lagi," katanya.

Beliau menjelaskan pada Muzakarah Jenayah Syariah Kebangsaan itu, semalam.

Katanya, masyarakat telah berubah terutama selepas perluasan kuasa kerajaan Islam.

"Dalam The Oxford Encyclopedia World, John L. Esposito menyebut bahawa sekalipun hudud dijadikan undang-undang di beberapa negara tetapi tidak dilaksanakan seperti Libya (1972-1974), Pakistan (1979) dan Iran (1979).

"Ada pendapat menyebut bahawa penulisan para pengembara silam yang melawat pelbagai wilayah Islam tidak pernah melaporkan pelaksanaan hudud. Ini menunjukkan hudud seakan terhenti," katanya.

Menurutnya, perubahan keadaan manusia pada zaman ini akan menyebabkan pelbagai pandangan dan perspektif terhadap Islam.

"Tokoh fekah terkenal Syeikh Mustafa al- Zarq meminta agar hukuman rejam tidak dilaksanakan di zaman kini kerana ia akan menjadi fitnah kepada manusia.

"Beliau mencadangkan memadai sekadar sebat untuk hukuman zina bagi setiap kategori," katanya.