Selasa, 12 Oktober 2010

POLITIK YANG CUBA MENYAKINKAN RAKYAT...DALAM PADA ITU TENTU ADA SALAH DAN ADA YANG BETUL...ALLAH SAJA YANG TAU...

Rahimi: Tanyalah Anwar siapa masukkan saya?
Okt 11, 10 6:20pm

Enggan menamakan sesiapa, Rahimi Osman meminta pihak berkenaan bertanyakan sendiri kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim tentang siapakah yang membawanya masuk ke pejabat ketua umum PKR itu.

"Ada juga yang tanya siapa bawa masuk saya dalam pejabat Anwar? Jawapan saya, tanyalah Anwar sendiri.

"Yang penting, saya tidak direkrut oleh sesiapa di dalam PKR. Saya dah jadi penyokong parti sejak dahulu lagi," kata bekas pembantu Anwar itu.

Rahimi (kanan) dipercayai merujuk kepada kenyataan Naib Presiden PKR Mustaffa Kamil Ayub semalam yang menimbulkan persoalan yang didakwanya tidak pernah dibincangkan oleh anggota PKR, iaitu siapakah yang membawa Rahimi masuk ke ibu pejabat PKR?

Mustaffa (kiri) juga mempertikaikan kenapa Rahimi "beriya-iya" mahu memadamkan nama Perdana Menteri Datuk Najib Razak dan isterinya Datuk Seri Rosmah Mansor sekarang, sedangkan kedua-dua mereka begitu berdiam diri.

Dalam satu kenyataan hari ini, Rahimi juga menjelaskan beliau langsung tidak berkecil hati dengan kenyataan yang mengatakan beliau seorang sahaja beriya-iya mempertahankan Najib dan Rosmah sedangkan kedua-dua mereka cuma berdiam diri.

"Saya bukannya beriya-iya untuk mempertahankan perdana menteri dan isteri. Lagipun sebagai PM, kenapa pula dia perlu buang masa untuk melayan perkara-perkara sebegini sedangkan ia dalam siasatan polis.

'Tak baca berita?'

"Biarlah polis buat kerja," katanya sambil menyifatkan Mustaffa sebagai terdesak dan "kurang perhatian" daripada bosnya sendiri.

Lagipun, menurut Rahimi, lebih penting bagi perdana menteri memfokuskan kepada tugas utama sebagai 'kapten' yang mengemudi Malaysia.

Beliau juga menyelar tindakan pihak tertentu yang terus mempersoalkan kenapa beliau mengambil tindakan itu sekarang, walaupun mendakwa dipaksa menandatangani akuan bersumpah itu pada 2008 lagi.

Menurutnya, persoalan itu telah pun dijawab dengan penuh terperinci dan disiarkan dalam akhbar.

"Cita-citanya ingin bertanding jawatan tinggi dalam PKR, tetapi nampak sangat dia sendiri tak baca berita. Macam mana nak jadi pemimpin?

"Nasihat saya, lain kali kalau nak cakap gunalah akal dahulu, jangan terlalu terdesak mencari populariti untuk meraih undi ahli serta mendapatkan pujian dan sokongan pemimpin atasan yang sebenarnya memandang rendah pada mereka," kata Rahimi.

Minggu lepas, Rahimi mendakwa dipaksa dua peguam PKR Latheefa koya dan Saiful Izham Ramli untuk menandatangani akuan bersumpah bagi mengaitkan Najib dan Rosmah dalam kes dakwaan liwat oleh Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Latheefa dan Saiful - kedua-duanya juga pemimpin PKR - bagaimanapun menafikannya



'Dr Ayam' didakwa pernah pukul bekas isteri
Wong Teck Chi
Okt 11, 10
7:47pm

Kongsi 0
Bekas pengerusi MCA Bukit Bintang MCA, Dr Lee Chong Meng, yang sedang berusaha untuk menyertai PKR, terus berdepan dengan bantahan dari ahli parti tersebut.

Dalam satu sidang akhbar hari ini, sekumpulan ahli PKR berkata, antara lain, latar belakang Chong Meng adalah meragukan kerana dia pernah dituduh memukul bekas isterinya.

Ini didasarkan kepada laporan polis yang dibuat oleh bekas isterinya - Liaw Kuei Hsiang pada 2000, yang disertakan dengan laporan perubatan mengenai kecederaan yang dialaminya.

Menurut laporan dalam akhbar harian berbahasa Cina, dokumen tersebut telah diedarkan secara meluas sebelum pilihan raya umum
2008 oleh beberapa pertumbuhan wanita.

Ketika itu, mereka juga meminta Chong Meng menjelaskan tuduhan kekerasan rumahtangga adalah alasan mengapa dia digugurkan daripada menjadi calon BN dalam pilihan raya umum 2004.

Sidang akhbar oleh ahli-ahli PKR hari ini dihadiri oleh ketua publisiti
Wanita, Elizabeth Wong dan ahli jawatankuasa sayap itu, Gan Pei Nei (kanan).

Gan berkata Wanita PKR tidak akan menerima sesiapa pun, yang mempunyai sejarah keganasan terhadap wanita, menyertai parti itu dan menggesa kepimpinan pusat mengambil pendirian yang serupa.

"Pemimpin nasional parti tidak harus menerima Chong Meng kerana perjuangan membela hak-hak wanita, merupakan sebahagian daripada agenda parti," katanya.

Mereka yang menghadiri sidang akhbar itu juga membawa sepanduk dalam bahasa Inggeris mengecam Chong Meng, termasuk yang berbunyi "PKR bukan bakul sampah" dan "PKR tolak Dr Ayam".



CAP: Harga rokok patut naik RM30 sekotak
Okt 11, 10 7:31pm

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) berpendapat, bagi mengawal tabiat merokok, harganya perlu dinaikkan kepada RM30 sekotak.

Presidennya SM Mohamed Idris berkata, harga produk tembakau itu harus dinaikkan lebih tinggi untuk mencegah orang ramai membelinya.

"Membeli dua kotak sehari masih mampu kepada kebanyakan orang, jadi harga sekotak rokok perlu dinaikkan kepada RM30.

"Rakyat Singapura membayar RM35.40 sekotak dan rakyat Norway RM22," kata SM Mohamed (kiri).

Pada 5 Oktober lalu, kerajaan menaikkan kadar duti eksais bagi rokok sebanyak tiga sen sebatang, berkuatkuasa 1 Oktober.

Dengan kenaikan itu, amaun kenaikan cukai bagi sekotak rokok 20 batang ialah kira-kira 63 sen, iaitu 60 sen daripada duti eksais dan tiga sen daripada cukai jualan.

Sebelum ini, kadar duti eksais bagi rokok ialah 19 sen dan 20 peratus sebatang.

Lesen kepada peruncit

Dalam satu kenyataan hari ini, beliau berkata kenaikan hampir 70 sen sekarang tidak menjadi sebarang perbezaan kepada poket perokok.

"Jadi apakah langkah yang dilakukan ini sejak ia dilaksanakan dua minggu yang lalu?

"Adakah ia telah menyebabkan lebih ramai orang meninggalkan tabiat buruk, tidak sihat dan boleh membunuh ini? Atau menambahkan lagi pendapatan kerajaan?" soalnya.

SM Mohamad berkata, rokok tidak seharusnya dibenarkan untuk dijual di tempat awam seperti restoran, kedai kopi, pasar raya atau kedai runcit atau di tempat tumpuan remaja.

Beliau turut mencadangkan kedai runcit diberikan lesen khusus yang tertakluk kepada pembaharuan setiap tahun.

"Hanya dengan cara ini maka ia (usaha membanteras rokok) akan dipandang serius," kata SM Mohamad sambil menyenaraikan pelbagai kesan negatif akibat merokok.

Mengambil contoh negara lain, beliau juga memberitahu terdapat, Australia telah menetapkan rokok mestilah dijual dalam kotak biasa yang kosong dan tidak menarik menjelang 1 Julai 2012.




Usaha lebih ikhlas perlu untuk kawal merokok
SM Mohamed Idris

Kenaikan sebanyak tujuh puluh sen bagi sebungkus rokok. Jadi apakah langkah yang dilakukan ini sejak ia dilaksanakan dua minggu yang lalu? Adakah ia telah menyebabkan lebih ramai orang meninggalkan tabiat buruk, tidak sihat dan boleh membunuh ini? Atau menambahkan lagi pendapatan kerajaan?

Perdebatan kami daripada bertahun-tahun mengkaji isu ini, ialah adalah 70 sen lebih itu tidak menjadi sebarang perbezaan kepada poket perokok. Sudah tentu ia akan menambah pendapatan kepada kedai runcit di setiap kejiranan yang menjual rokok sebatang atau dua atau lebih kepada perokok dan pelajar sekolah yang pada hari ini boleh dilihat merokok di kawasan taman dalam berpakaian sekolah!

Oleh sebab itu, kepada CAP tidak terdapat keikhlasan di pihak kerajaan untuk berusaha dengan ikhlas dan melaksanakan langkah anti merokok. Kami telah lama menggesa supaya langkah yang lebih produktif diambil untuk mengawal tabiat merokok yang semakin meningkat, memandangkan kenaikan harga yang minimum sahaja tidak mencukupi. Jadi kenapa kerajaan tidak bertindak? Adakah industri tembakau terlalu berkuasa?

Dengan lebih daripada 4,000 bahan kimia di dalam asap rokok, bahan kimia toksik, penyebab kanser atau penyebab sebagai iritasi, merokok telah diterima di seluruh dunia sebagai salah satu penyebab utama kanser.

Statistik hospital kerajaan menunjukkan kanser paru-paru merupakan bentuk kanser paling biasa dalam kalangan lelaki dan penyebab kanser ini adalah penggunaan tembakau. Kajian menunjukkan kanser paru-paru semakin meningkat pada kadar 17% setahun.

Merokok di Malaysia telah mencapai peringkat membimbangkan. Menurut kajian Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) 2001, kira-kira separuh daripada lelaki Malaysia merokok dan setiap hari kira-kira 50 remaja di bawah usia 18 tahun mula merokok.

Kajian menunjukkan kira-kira 30% remaja lelaki (berusia 12 hingga 18 tahun) merokok. Merokok dalam kalangan remaja perempuan juga semakin meningkat. Menurut dua kajian ke atas remaja yang dijalankan di Malaysia pada 1996 dan 1999, bilangan remaja perempuan yang merokok meningkat daripada 4.8% kepada 8%. Pada keseluruhannya, kajian 1999 mendapati hampir seorang daripada lima remaja Malaysia merokok.

Kajian WHO (http://www.wpro.who.int/media_centre_/fact_sheets/fs_20020528.htm) juga menggelar Malaysia sebagai “kota iklan tidak langsung” dunia. Sesetengah industri tembakau kebanyakannya dengan sewenang-wenangnya berusaha untuk mensasarkan golongan muda boleh dilihat di Malaysia.

Perbelanjaan untuk pengiklanan tembakau di Malaysia amat tinggi. Pada 1997, industri ini membelanjakan kira-kira US$90 juta, manakala pada tahun 2000, dua firma tembakau sahaja melaporkan membelanjakan lebih US$40 juta untuk pengiklanan.

Merokok telah menyebabkan kematian kepada kira-kira 10,000 orang setahun, belum dinyatakan kos yang besar yang menelan berbilion ringgit untuk merawat penyakit berkaitan tembakau.

Di seluruh dunia, kajian WHO memberi amaran: penyakit berkaitan merokok menyebabkan empat juta kematian setiap tahun dan jika aliran semasa ini berterusan, merokok akan membunuh seorang dalam setiap enam orang setiap hari menjelang tahun 2030.

Oleh sebab itu, CAP sekali lagi menggesa supaya merokok diharamkan di semua tempat awam termasuk taman, kawasan rekreasi, bangunan awam, semua restoran, disko dan bar.

Rokok tidak seharusnya dibenarkan untuk dijual di tempat awam seperti restoran, kedai kopi, pasar raya atau kedai runcit atau di mana-mana tempat yang menjadi tumpuan remaja. Hanya sebilangan tempat yang terhad perlu dibenarkan untuk menjual rokok serta jauh dari kawasan kediaman.

Kedai runcit seharusnya dikeluarkan lesen khusus yang tertakluk kepada pembaharuan setiap tahun dan dengan syarat yang disertakan untuk penjualan rokok. Peniaga yang didapati melanggar sebarang syarat seperti menjual kepada mereka di bawah umur, perlu dikenakan tindakan yang tegas dan hukuman yang keras termasuk denda yang berat serta hukuman penjara mandatori. Hanya dengan cara ini maka ia akan dipandang serius.

Harga rokok semasa perlu dinaikkan lagi, lebih tinggi untuk mencegah lebih ramai daripada penduduk negara ini membelinya. Membeli dua kotak sehari masih mampu kepada kebanyakan orang, jadi harga sekotak rokok perlu dinaikkan kepada RM30. Rakyat Singapura membayar RM35.40 sekotak dan rakyat Norway RM22.

Banyak kerajaan telah mengambil langkah untuk tidak menggalakkan merokok dengan menjadikan harga tembakau sebagai cukai larangan. Contohnya di Australia, jumlah cukai ke atas rokok pada 2007 merupakan 62.5% daripada harga akhir sekotak rokok. Langkah lain yang diambil oleh kerajaan Australia yang mensasarkan merokok ialah rokok mestilah dijual dalam kotak biasa yang kosong yang tidak menarik seperti sekarang menjelang 1 Julai 2012.

Kementerian Kesihatan terutamanya melambat-lambatkan usahanya terhadap merokok dan masalah yang disebabkan olehnya kepada negara.

Walaupun Malaysia menandatangani Konvensyen Rangka Kerja Kawalan Tembakau (FCTC) WHO yang menetapkan mekanisma untuk mengawalselia tindakan negara dan mempertanggungjawabkan kepada mereka.

Peruntukan FCTC akan mengukuhkan kemampuan negara untuk melaksanakan kawalan tembakau, menawarkan padang permainan yang sama rata bagi semua pihak dan lebih cepat serta perjanjian antarabangsa paling meluas dengan kira-kira 170 negara terlibat.

Kementerian Kesihatan telah menandatangani FCTC pada September 2003 dan dua tahun kemudian, pada September 2005, Malaysia telah meratifikasikannya dengan ibu pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di New York.

Kementerian Kesihatan telah membincangkan FCTC WHO dengan penekanan kepada perlunya komitmen politik yang kuat untuk memajukan dan menyokong langkah kawalan tembakau, dengan masyarakat awam di seluruh negara, tetapi tiada sesuatu pun yang keluar daripada ini.

Dalam jangka panjang, ia adalah langkah yang wajar untuk mengharamkan rokok dan produk tembakau lain.

SM Mohamed Idris

Presiden

Persatuan Pengguna Pulau Pinang

No. 10 Jalan Masjid Negeri

11600 Pulau Pinang

Tel: 04 8299511 Faks: 04 8298109 emel: idrismd@tm.net.my



35,000 kes orang hilang memalukan
Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 11 Okt: Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad mendakwa statistik yang dikeluarkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) bahawa kira-kira 21,000 kes dapat diselesaikan daripada 35,000 lebih kes orang hilang suatu yang memalukan, bukan membanggakan.

Khalid mendakwa demikian sebagai respons kepada jawapan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein di dalam dewan bahawa pihak polis telah menjalankan tugas mereka dengan cemerlang.

"Cara beliau memberikan jawapan dalam dewan tadi seolah-olah beliau bangga dengan pencapaian ini Ini bukan tahap pencapaian yang kita seharusnya rasa bangga.

"Kemungkinan daripada 21,000 kes yang selesai itu, bukan semuanya diselesaikan oleh pihak polis sebaliknya orang yang hilang itu sendiri yang kembali selepas tiga hari. Tapi polis mengaku mereka yang selesaikan," kata beliau dalam satu sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Khalid juga berkata, beliau bimbang sekiranya pencapaian sedemikian menjadi kebanggaan KDN, prestasi pihak polis akan terus merosot.

"Kita khuatir kalau inilah tahap pencapaian yang dibanggakan oleh pihak KDN, da merupakan satu KPI yang boleh diisytiharkan dengan penuh bangga dalam Parlimen, kita huatir prestasi polis akan semakin merosot kerana tidak ada satu standard atau tahap pencapaian yang lebih tinggi ditetapkan," katanya.

Menurutnya juga, jawapan Hishammuddin itu menunjukkan sikap acuh tidak acuh kerajaan Barisan Nasional.

"Ini menunjukkan sikap acuh tak acuh kerajaan BN dalam semua kes termasuk kes orang hilang rasuah, jenayah dan lain-lain lagi," katanya lagi.

Sementara itu, Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Kamaruddin Jaffar berkata, ahli Parlimen Pakatan Rakyat akan terus membangkitkan isu itu di Parlimen selain mendesak satu siasatan awam diadakan bagi mencari penyelesaian kepada kes jenayah terutamanya dalam kes orang hilang ini.

"Ahli parlimen Pakatan Rakyat akan menjadikan ini satu isu yang akan terus dibangkitkan dan kita akan mendesak diadakan satu siasatan awam, kajian atau jawatankuasa khas untuk mencari punca sebenar kenapa begitu besar rakyat Malaysia hilang," katanya.

Terdahulu, Hishammuddin dalam sesi soal jawab menjawab soalan ahli Parlimen Ipoh Timur, Lim Kit Siang megenai laporan polis yang dibuat terhadap adik-beradik peguam yang disyaki terlibat dalam pembunuhan beramai-ramai jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya serta tindakan-tindakan terkini terhadap laporan-laporan polis berkenaan



Gred baja Felda diragui
Hazayani Zakaria
KUALA LUMPUR, 11 Okt: Bekas kakitangan Felda, Khamis Saad hari ini mendedahkan bukti mengenai penipuan Felda dalam gred baja yang dibekalkan kepada peneroka.

Beliau yang juga Pengerusi Alumni Bekas Peneroka Felda berkata, baja yang dibekalkan oleh Felda telah dicampur dengan pasir menyebabkan kandungan aslinya berkurangan.

"Baja yang datang daripada Jerman yang dibekalkan kepada peneroka yang dibekalkan melalui syarikat-syarikat tertentu di Malaysia, kemudian dibungkus balik poleh Felda kemudian dicampur dengan pasir yang menyebabkan kualiti berkurangan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di parlimen hari ini yang diiringi Pengerusi Persatuan Anak-anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman.

Menurutnya, zat tambahan yang terdapat dalam baja asli dapat meningkatkan pengeluaran minyak sawit dan getah.

"Daripada saya bekerja daripada tahun 70-an sehingga 90-an inilah baja yang kami pakai yang tidak berkualiti menyebabkan pengeluaran tidak memuakan," katanya.

Menurut Mazlan pula, salah satu sebab peneroka enggan mengikuti program tanam semula dengan Felda adalah kerana faktor baja yang didedahkan itu.

"Kenapa salah satu sebab peneroka tidak mengikuti program tanam semula kerana Felda membekalkan baja yang sangat diragui kualitinya.

"Potongan yang dibuat sangat tinggi dalam setiap bulan lima hingga tujuh ratus untuk baja sahaja dan untuk setiap tahun tujuh hingga lapan ribu sedangkan hasilnya begitu rendah," kata beliau yang juga ahli jawatankuasa PAS Pusat.

Mazlan turut menyentuh isu wang tanam semula yang belum dilunaskan oleh Felda seperti yang dijanjikan kepada peneroka.

Turut bersama dalam sidang media itu ahli Parlimen Kubang Kerian, Salahuddin Ayub yang juga Naib Presiden PAS dan Ahli Parlimen Kuala Krai, Dr. Hatta Ramli yang juga Bendahari PAS Pusat



Tiada ulasan: