Jumaat, 15 Oktober 2010

CAKAPLAH APA NAK CAKAP...INGAT! SEMUA APA YANG KITA CAKAP DAN TULIS AKAN DIHISAB....

PAS harap Bajet 2011 tidak rampas hak rakyat
Dzulfikar Mashoor

KUALA LUMPUR, 15 Okt: PAS berharap Bajet 2011 yang akan dibentangkan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak petang ini di Dewan Rakyat tidak akan menambahkan lagi beban rakyat.

Naib presidennya, Datuk Mahfuz Omar berkata demikian kerana usaha liberalisasi ekonomi yang dibuat Najib, Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan I dalam Bajet 2010 pada Oktober tahun lalu telah pun merampas subsidi minyak daripada rakyat.

"Bajet 2011 ini, kita harap tidak ada lagi subsidi rakyat sama ada subsidi minyak (RON 95), diesel, gas masak, gula atau komoditi asasi lain dirampas daripada rakyat," ujarnya pagi tadi ketika menghubungi Harakahdaily.

Akibat dari itu, katanya kesan berantai seperti harga barang naik, inflasi dan kos sara hidup meningkat dialami oleh rakyat.

Beliau yang juga Pengerusi Lajnah Pengguna PAS Pusat berkata, Najib seharusnya tidak lagi mengetepi permohonan Kongres Kesatuan Sekerja Dalam Kakitangan Awam (Ceupacs) dan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC); iaitu memberi bonus dua bulan gaji kepada 1.6 juta kakitangan awam dan pesara serta memperkenalkan polisi gaji minimum RM900 sebulan dalam semua sektor.

"Kerana nak tarik pelabur asing (FDI) dan beri jaminan untung kepada mereka di dalam negara, kerajaan sanggup tidak perkenalkan Akta Gaji Minimum, longgarkan akta berkaitan pekerja serta ambil buruh asing dengan gaji yang rendah.

"Akhirnya, kerajaan hanya umum pemberian RM500 bonus kepada kakitangan awam dan pesara ketika mengumumkan Bajet 2010," ujarnya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena turut mengharapkan Najib mengumumkan penyerahan semula wang royalti minyak Kelantan kepada kerajaan negeri.

"PAS harap bajet kali ini akan memulihkan konsep federalisme seperti serah kembali royalti minyak kepada akaun kerajaan negeri, bukannya pusat memberi wang ehsan," ujarnya.

Tambahnya lagi, Najib turut dijangka akan mencadangkan tarif air dan elektrik di peringkat kerajaan negeri dinaikkan selaras dengan cadangan tarif elektrik dan air yang dinasihatkan oleh Pusat.

Bernama semalam melaporkan, Najib dijangka meneruskan formula liberalisasi ekonomi di beberapa subsektor kerajaaan demi menggalakkan persaingan dalam pelaburan.

Subsektor yang dimaksudkan seperti borong dan runcit, telekomunikasi, perniagaan dan perkhidmatan kewangan.

Pun begitu, dikatakan Bajet kali ini akan memperlihatkan komitmen pentadbiran Najib dalam mengurangkan beban rakyat sebagaimana pengumuman kerajaan semalam, iaitu menangguhkan pelaksanaan polisi cukai barangan dan perkhidmatan (GST) pada tahun depan.

Ini kerana, perbentangan Bajet 2011 dilihat untuk memujuk rakyat supaya tidak menolak Umno BN pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU 13) yang dijangka berlangsung secara mengejut tidak lama lagi


Jais beri amaran tukar AJK masjid, surau
Harakahdaily

RAWANG, 15 Okt: Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Datuk Mohammed Khusrin Munawi memberi amaran akan menukar sistem pemilihan jawatankuasa masjid dan surau di Selangor jika jawatankuasa yang ada terus melanggar arahan-arahan pihaknya.

Antara arahan-arahan itu adalah larangan berpolitik dalam masjid dan juga memberikan kebenaran kepada penceramah tanpa tauliah memberikan kuliah dalam masjid.

"Tuan-tuan kena ingatan sistem perlantikan nazir dan AJK masjid di Selangor adalah satu-satunya kaedah yang berlaku di negara ini.

"Para nazir perlu patuh dan memberikan komitment kepada Majlis Agama Islam Selangor sebagai tanda terima kasih kerana mereka yang melantik tuan-tuan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika memberikan ucapan alu-aluan di majlis perasmian Masjid Bandar Tasik Puteri Rawang oleh Sultan Selangor hari ini.

Turut hadir adalah Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim dan Exco Agama, Datuk Dr Hassan Mohamed Ali serta pemimpin masyarakat di Selangor.

Semua nazir dan jawatankuasa masjid dilantik secara demokratik di Selangor mulai tahun lepas apabila perlantikan mereka dipilih dalam mesyuarat oleh penduduk kariah berkenaan secara undi.

Mereka yang terpilih akan dilantik oleh Mais mengikut kuasa yang ada padanya.

Pendekatan ini diambil sejak Selangor ditadbir oleh Pakatan Rakyat.

Berikutan pendekatan itu, hampir semua masjid dan surau di Selangor sangat aktif dan penuh aktiviti di samping ia sentiasa dipenuhi oleh orang ramai sama ada untuk solat atau aktiviti kemasyarakatan yang lain



Alasan kementerian beli tren elektrik memalukan

Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 15 Okt: Alasan Kementerian Pengangkutan bahawa pembelian tren elektrik bernilai RM1.8 bilion dari China diteruskan kerana surat tawaran (LOA) telah dikeluarkan adalah memalukan, kata Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad.

Beliau berkata demikian ketika mengulas tindakan kementerian tersebut meneruskan pembelian tersebut walaupun kontraknya masih dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

"LOA yang sudah dikeluarkan tidak seharusnya dijadikan alasan," katanya dalam satu sidang media di lobi Parlimen, semalam.

Beliau, Selasa lalu meminta Menteri Pengangkutan menyatakan sama ada akan meneruskan perolehan 38 unit Electric Multiple Unit (EMU) 6 koc untuk KTMB dari China, setelah pihak SPRM mengesahkan memulakan siasatan tentang dakwaan perbezaan harga yang melampau mengakibatkan kerugian wang rakyat sebanyak RM500 juta.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha dalam jawapan bertulisnya menggesahkan bahawa pembelian tersebut akan tetap dibuat meskipun Jawatankuasa Kira-kira Awam (PAC) dalam mesyuarat Julai lalu memutuskan bahawa wujud alasan untuk disiasat wujudnya amalan rasuah dalam perjanjian tersebut.

PAC seterusnya telah meminta secara rasmi SPRM menjalankan siasatan rasuah ke atas pembelian tren elektrik tersebut.

Kong memberi alasan bahawa pembelian tersebut diteruskan memandangkan Kementerian Pengangkutan telah mengeluarkan LOA kepada syarikat dari Cina, Zhuzhou Electric Locomotive Co Ltd untuk membeli 38 unit enam koc Electric Multiple Unit (EMU) dengan harga RM48 juta sebuah.

Dzulkefly turut mengingatkan kerajaan mengenai satu insiden lain apabila kerajaan membatalkan pembelian lapan tren berenjin diesel dari Sepanyol untuk digunakan dalam perkhidmatan komuter Keretapi Tanah Melayu (KTM) walaupun LOA mengenainya sudah dikeluarkan.

"Pembelian itu dibatalkan walaupun perjanjian sudah ditandatangani dan mantan Menteri Pengangkutan pada ketika itu juga mengalu-alukan tindakan PAC menjalankan siasatan terperinci mengenai pembatalan pembelian tersebut.

"Kita juga ingin mengingatkan projek dwi landasan elektrik Ipoh-Padang Besar dan Seremban-Johor Bahru yang diluluskan oleh Tun Dr Mahathir tetapi dibatalkan oleh mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi," katanya



Syarikat ‘mati’ kontraktor utama bina Istana Negara
Dzulfikar Mashoor

KUALA LUMPUR, 14 Okt: Datuk Seri Najib Razak diminta menjelaskan skandal pembinaan Istana Negara yang baru apabila projek bernilai RM950 juta itu diserahkan kepada Syarikat Maya Maju (M) Sdn Bhd.

Menurut Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, syarikat misteri itu dilantik sebagai kontraktor utama pada 26 Oktober tiga tahun lalu.

Walhal, katanya Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SMM) mengesahkan syarikat misteri itu telah mati atau tidak aktif ketika proses penyerahan tender dibuat oleh kerajaan Pusat.

"Syarikat kontraktor utama itu didaftarkan semula (di SSM) pada Ogos 2008 sedangkan kontraktor diserahkan kepada syarikat itu pada Oktober 2007.

"Mengapa status kontrak sedemikian, apakah cara begini yang Umno ambil," ujar Ahli Parlimen Permatang Pauh itu petang tadi di lobi Parlimen.

Beliau yang juga Ketua Umum PKR turut mendesak Najib menjelaskan sebab mengapa tarikh siap projek mega tersebut ditangguhkan sehingga Februari tahun depan.

Sedangkan katanya, tarikh siap yang dipersetujui antara Jabatan Kerja Raya (JKR) dan kontraktor utama adalah pada 29 November tahun ini.

Pentadbiran Najib turut dipersoal kerana kos pembinaan asalnya hanya RM395 juta sahaja.

Sehubungan itu, beliau tidak menolak kemungkinan bahawa amalan kronisme berlaku dalam proses pemberian projek yang membabitkan Kementerian Kewangan yang juga di bawah Najib.

Katanya, syarikat misteri tersebut dikuasai oleh bekas Bendahari Umno Bahagian Merbok.

Ahli Parlimen Batu, Tian Chua serta Ahli Parlimen Indera Mahkota, Mohd Azan Ismail turut menyertai sidang media tersebut

Tiada ulasan: