Sabtu, 16 Oktober 2010

BERAPA LAMA KITA NAK BERMAHARAJA LELA....JUJUR...AMANAH...ADIL ITU MEMANG TUNTUTAN AGAMA...

Ibrahim Ali di ICU, jalani pembedahan jantung Isnin
Okt 16, 10 1:50pm

Ahli parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali kini dirawat di Hospital Pakar Ampang Puteri, Ampang kerana masalah jantung.

Beliau yang juga adalah presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) dijadual menjalani pembedahan jantung Isnin ini.
Pada 13 Oktober lalu, Ibrahim ketika dibidas pelbagai pihak kerana didakwa gagal berdiri ketika Dewan Rakyat bertafakur menghormati kematian wakil rakyat Batu Sapi, Edmund Chong Ket Wah mendakwa tindakannya itu kerana kakinya kebas.

Katanya, ia akibat penyakit kencing manis dan rawatan perubatan yang diterimanya itu menyebabkann beliau seringkali mengantuk dan kadang-kadang sengal-sengal di kaki.

"Saya ada kencing manis, jadi kadang-kadang mata saya berair, kaki saya kebas dan kalau tak ada kawan saya mungkin tertidur."

Selain itu, tidak dapat dipastikan sama ada tekanan yang dihadapinya sejak akhir-akhir ini termasuk tindakan Istana Kelantan Rabu lalu yang melucutkan gelaran 'Datuk Paduka' ke atasnya itu menyumbang kepada masalah kesihatannya.

Pingat Darjah Kebesaran Jiwa Mahkota Kelantan, (DJMK) itu dikurniakan oleh Sultan Kelantan ketika itu, Sultan Ismail Petra.

Walaupun pingatnya ditarik balik oleh Sultan Kelantan sekarang, namun Ibrahim masih bergelar 'datuk' kerana mempunyai dua lagi darjah - iaitu DPMS dan DMSM yang diterimanya daripada Selangor dan Melaka.

Ditempatkan di ICU

Sementara itu, Bernama melaporkan Timbalan Presiden PERKASA Datuk Abdul Rahman Abu Bakar berkata Ibrahim dimasukkan ke hospital itu semalam dan kini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU).

"Keadaannya stabil dan beliau dijadualkan menjalani pembedahan jantung pada Isnin ini," katanya.

Abdul Rahman berkata pihak hospital hanya membenarkan isteri dan anggota keluarga untuk melawat Ibrahim.

Mengulas lanjut, beliau berkata Ibrahim mengadu berasa tidak sihat sejak tiga minggu lalu namun hanya membuat pemeriksaan kesihatan di hospital itu semalam.

"Selepas membuat pemeriksaan, doktor menasihatkan beliau supaya segera membuat pembedahan," katanya.

Abdul Rahman berkata walaupun mengetahui keadaan kesihatannya itu, Ibrahim masih ke Parlimen semalam untuk menghadiri pembentangan Bajet 2011 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Beliau berkata Ibrahim sepatutnya menyampaikan ucapan pada Perhimpunan Nusantara yang akan disertai masyarakat Melayu Malaysia dan warga Indonesia yang menetap di Malaysia, di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru petang ini.

Abdul Rahman berkata PERKASA akan mengadakan solat hajat dan bacaan surah Yassin di surau Hotel De Palma Ampang pada pukul 6.30 petang esok bagi mendoakan kesejahteraan presiden persatuan itu





Ibrahim Ali Dirawat Di Hospital Ampang Puteri Kerana Masalah Jantung

KUALA LUMPUR: Anggota Parlimen Pasir Mas Datuk Ibrahim Ali dirawat di Hospital Pakar Ampang Puteri di sini kerana masalahjantung.

Timbalan Presiden Pertubuhan Hak Melayu (Perkasa) Datuk Abdul Rahman Abu Bakar berkata Ibrahim dimasukkan ke hospital itu semalam dan kini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU).

"Keadaannya stabil dan beliau dijadualkan menjalani pembedahan jantung pada Isnin ini," katanya ketika dihubungi Bernama di sini Sabtu.

Ibrahim, 57, yang merupakan Presiden Perkasa adalah wakil Bebas di Parlimen.

Abdul Rahman berkata pihak hospital hanya membenarkan isteri dan anggota keluarga untuk melawat Ibrahim.

Mengulas lanjut, beliau berkata Ibrahim mengadu berasa tidak sihat sejak tiga minggu lepas namun hanya membuat pemeriksaan kesihatan di hospital itu semalam.

"Selepas membuat pemeriksaan, doktor menasihatkan beliau supaya segera membuat pembedahan," katanya.

Abdul Rahman berkata walaupun mengetahui keadaan kesihatannya itu, Ibrahim masih ke Parlimen semalam untuk menghadiri pembentangan Bajet 2011 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata Ibrahim sepatutnya menyampaikan ucapan pada Perhimpunan Nusantara yang akan disertai masyarakat Melayu Malaysia dan warga Indonesia yang menetap di Malaysia, di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru petang ini.

Abdul Rahman berkata Perkasa akan mengadakan solat hajat dan bacaan surah Yassin di surau Hotel De Palma Ampang pada pukul 6.30 petang esok bagi mendoakan kesejahteraan presiden persatuan itu. - BERNAMA




PM: Tiada bonus kerana implikasi kewangan besar
Okt 16, 10 2:29pm

Datuk Seri Najib Razak berkata, kerajaan tidak boleh memberi bonus satu bulan gaji kepada kakitangan awam kerana tindakan itu akan memberi implikasi kewangan besar iaitu sebanyak RM3.1 bilion.

Katanya, selaku menteri kewangan yang bertanggungjawab, beliau tidak boleh berbelanja lebih daripada pendapatan.
Najib berkata memang banyak pihak yang melobi supaya kerajaan dapat mengisytiharkan bonus sebulan kepada 1.2 juta penjawat awam.

"Tapi saya nak kongsi dengan tuan-tuan dan puan. Bonus satu bulan telah belanja RM3.1 bilion pada kerajaan...kalau ikut hati memang saya nak beri bonus tapi sebagai Menteri Kewangan yang bertanggungjawab saya tidak boleh belanja lebih daripada pendapatan negara.

"Sebab itu yang saya dapat lakukan ialah beri RM500 sebagai bayaran khas kepada penjawat awam," katanya pada
Perhimpunan Kebangsaan Guru 1Malaysia di Stadium Putra Bukit Jalil, di Kuala Lumpur, pagi ini.

RM500 wajar

Oleh itu, katanya pemberian bantuan khas kewangan RM500 setiap seorang adalah wajar.

Najib berkata bantuan khas kewangan itu sekurang-kurangnya dapat meringankan bebanan kewangan ibu bapa dalam persiapan untuk persekolahan anak-anak pada hujung tahun.

"RM500 ini sangat-sangat berguna sekali dan kerajaan akan bayar bantuan khas itu pada Disember ini," katanya.

Beliau berkata kerajaan bermurah hati turut memanjangkan bantuan ini kepada pesara-pesara kerajaan walaupun mungkin ada yang tiada lagi perlu menanggung anak-anak bersekolah.

Menurutnya walaupun tiada pemberian bonus, kerajaan memberikan ganjaran lain yang memberi faedah kepada penjawat awam seperti cuti bersalin tidak melebihi 90 hari.

Ini turut memberi faedah kepada guru wanita yang merupakan hampir 70 peratus daripada 400,000 guru di seluruh negara, katanya.

"Cuti bersalin ini satu hadiah untuk kaum wanita. Tapi kalau tak nak ambil 90 hari pun boleh juga...itu terpulang kepada mereka," katanya.

Perdana Menteri berkata kerajaan turut memberi faedah tambahan dari segi pinjaman perumahan di mana had maksimum pinjaman perumahan dinaikkan kepada RM450,000 berbanding RM360,000 pada masa ini, agar penjawat awam lebih mampu membeli rumah lebih berharga.

Mengenai pelbagai memorandum yang disampaikan kepada beliau untuk melakukan penambahbaikan skim perkhidmatan perguruan, Najib berkata beliau perlu sedikit masa menelitinya kerana melibatkan implikasi kewangan dan kumpulan guru yang besar.

"Sebab itu saya perlu teliti bersama JPA (Jabatan Perkhidmatan Awam) dan Kementerian Kewangan. Banyak cadangan dikemukakan...sekiranya kerajaan mampu, saya akan bincang dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin (Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pelajaran)...boleh buat pengumuman bila sampai pada masanya," katanya




Ketua cawangan Umno didakwa buat tuntutan palsu
Warta Rakyat

KUALA TERENGGANU, 16 Okt: Seorang Pengerusi Jawarankuasa Kemajuan dan Kebajikkan Kampung (JKKK) dekat sini mengaku tidak bersalah di atas pertuduhan menipu bekalan makanan dan minuman majlis berbuka puasa dan memohon agar dibicarakan di Mahkamah Seksyen Kuala Terengganu baru-baru ini.

Tertuduh, 56 tahun yang juga Ketua Umno cawangan di Dun Wakaf Mempelam hadir diringi pegawai SPRM dengan memakai baju kemeja berlengan panjang dan berseluar slack hitam..

Pertuduhan dibacakan oleh Timbalan Pendakwaraya SPRM, Syafinaz Shabudin di hadapan hakim Mahkamah Sesyen,Tuan Azman Mustapha.

Mengikut kertas pertuduhan, pada 24 oktober 2005 lalu, di pejabat Daerah Kuala Terengganu, dengan disedari telah memberikan seorang ejen iaitu seorang pembantu Tadbir (Kewangan) Pejabat Daerah berkenaan satu dokumen iaitu pesanan kerajaan nombor yang mana prinsipalnya mempunyai kepentingan mengenainya dan mengandungi butiran yang palsu.

Iaitu mengenai pembekalan makanan dan minuman untuk juadah majlis berbuka puasa di empat surau iaitu Surau Tok Jamal, Surau Haji Ahmad, Surau Gong Pauh Kiri, Surau Pok Babok pada tahun 2005, yang sebenarnya pembekalan itu tidak dilakukan oleh tertuduh.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah seksyen 11(C) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan boleh dihukum dibawah seksyen yang sama dengan hukuman penjara tidak kurang 14 hari, tidak lebih dua tahun atau denda 10 kali ganda nilai suapan atau kedua-dua sekali jika sabit kesalahan.

Hakim mahkamah menetapkan 9 november depan sebagai tarikh sebutan semula kes tersebut dan membenarkan tertuduh melantik peguam serta tertuduh dibenarkan ikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin.

Guna ijazah pemasaran untuk pasarkan dadah

Sementara itu, seorang pemborong kain sutera mempunyai ijazah pemasaran dari sebuah universiti tempatan menggunakan ilmunya itu untuk mengedar dadah.

Bagaimana pun, beliau tidak mengaku bersalah diatas tuduhan memiliki dadah jenis ganja seberat 1,400 gram bernilai hampir RM98,000 di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu baru-baru ini.

Tertuduh, 28 tahun yang berasal dari Kampung Tok Jamal, Wakaf Mempelam, Kuala Terengganu ditahan pada 3 oktober jam 10 pagi di dalam rumah kediaman keluarganya.

Sebelum itu polis menahan seorang pengedar dadah di Kampung Mengabang Telipot, Kuala Terengganu yang turut memiliki ganja seberat 234 gram bernilai RM16,000 sehari sebelum itu.

Hakim majistret Puan Nor Azizah Yusof menetapkan tarikh 6 Disember ini sebagai tarikh sebutan semula kes sambil menunggu keputusan kimia terhadap dadah yang dirampas di dalam bilik tertuduh yang ketika itu keseorang di rumah




500 sertai demo bantah roboh surau, Pasti

Sofi Wahab

BUKIT KATIL, 16 Okt: Demonstrasi aman anjuran Badan Bertindak Perobohan Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) dan Surau Bukit Katil semalam berjaya memberikan gambaran kepada pihak berkuasa bahawa rakyat menolak kezaliman dan penindasan.

Mereka bukannya menolak pembangunan tetapi pembangunan itu mestilah memberikan manfaat serta tidak menjejaskan kepentingan rakyat.

Tindakan kerajaan BN Melaka yang dilihat sengaja mengambil tapak Pasti dan surau untuk dibuat jalan menimbulkan kemarahan penduduk Kampung Bukit Katil kerana bagi mereka kerajaan boleh mengambil tanah kosong yang ada di kawasan lain untuk dibuat jalan.

Malah tindakan itu juga disifatkan tidak logik kerana jalan yang akan dibina adalah bengkok berbanding cadangan asal yang lebih lurus.

Demonstrasi semalam dikatakan berjaya kerana berjaya mengumpulkan kira-kira 500 orang penduduk setempat dan kawasan sekitarnya termasuk tuan-tuan tanah yang terlibat.

Demo yang diadakan selepas solat Jumaat di hadapan Masjid Bukit Katil petang tadi telah diganggu oleh pihak polis selepas hanya kira-kira lima minit dimulakan.

Polis meminta pihak penganjur menghentikan program tersebut atas alasan mengganggu ketenteraman awam dan tiada permit.

Dalam ucapan ringkas, Pesuruhjaya PAS negeri, Ustaz Abdul Ghani Abdul Rahman kesal dengan sikap kerajaan negeri yang tidak mahu berunding dengan rakyat khususnya tuan tanah kepada Pasti dan surau tersebut.

"Rundingan tidak dibuat, tiba-tiba surat sampai untuk beri pampasan. Inilah sikap rakus pihak kerajaan yang jelas tidak mengutamakan rakyat.

“Di sana ada tanah kosong yang boleh diambil untuk buat jalan mengapa tanah di sini yang diambil sedangkan tanah kosong tersebut lebih sesuai tidak melibatkan surau, Pasti dan rumah rakyat," ujarnya bersemangat.

Tindakan itu, katanya adalah perbuatan membalas dendam dan berteraskan politik serta dengki melihat kebangkitan rakyat bersama PAS dan Pakatan Rakyat.

Ketua Dewan Pemuda PAS negeri, Ustaz Kamaruddin Sidek menyifatkan tindakan itu sebagai bukti bahawa kebajikan dan kedaulatan rakyat telah hapus dengan penguakuatsaan Akta Tanah yang memberikan kuasa penuh kepada kerajaan untuk mengambil tanah rakyat atas nama pembangunan.

"Rakyat sudah tidak ada kuasa dan hak ke atas tanah milik mereka sendiri, bila-bila masa kerajaan boleh ambil dan ianya sukar dicabar di mahkamah," ujarnya.

Semua pemimpin utama PR negeri hadir antaranya Pengerusi DAP, Goh Leong San; Adun Ayer Keroh, Khoo Poay Tiong; Adun Bachang, Lim Jak Wong; Adun Bandar Hilir, Tey Kok Kiew dan Ketua AMK Melaka, Hairiz Nordin.


PIBG mahu SPRM siasat lantai sekolah runtuh

Mohd Shubihi Muhamad Zain

ALOR SETAR, 16 Okt: Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Gunung yang lantai sebuah bilik darjahnya runtuh mahu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat kemungkinan berlakunya penyelewengan semasa proses membaik pulih bangunan itu.

Pengerusi PIBG, Zulkifli Che Haroon berkata, kejadian itu dipercayai berpunca daripada kerja pengubahsuaian bangunan yang tidak mengikut spesifikasi dan tidak mengambil kira kekuatan struktur binaan berusia lebih 50 tahun itu.

"Kami difahamkan kontraktor yang membuat kerja pengubahsuaian itu kira-kira tiga tahun lalu hanya menyimen lantai kayu lama dan membiarkan bahagian bawah lantai kayu itu lompong hingga menjadi punca runtuhan.

"PIBG amat kesal dengan kejadian yang berlaku yang berpunca dari kecuaian segelintir pihak yang dipertanggungjawabkan untuk kerja-kerja membaik pulih bangunan dan PIBG berharap siasatan menyeluruh semua agensi terbabit bagi mengenal pasti punca sebenar, termasuk kemungkinan berlakunya penyelewengan semasa proses membaik pulih bangunan itu.

"SPRM perlu menyiasat, kita tak mahu kejadian seperti ini berulang lagi di masa depan dan kita tidak mahu ada pelajar yang terkorban seperti yang berlaku ke atas SJK(C) tak berapa lama dulu," katanya.

Dalam kejadian kelmarin, seramai 34 murid Tahun Empat sedang bersila atas lantai kelas berkenaan mengikut kelas Pendidikan Islam sebelum lantai simen itu runtuh dan membentuk lubang besar sedalam hampir satu meter.

Kesemua pelajar yang tercedera dikejarkan ke Hospital Sultanah Bahiyah, dekat sini untuk menerima rawatan. Dua daripadanya patah kaki dan dimasukkan ke hospital berkenaan manakala mereka yang lain dirawat sebagai pesakit luar sebelum dibenarkan pulang.

Menurut Zulkifli lagi, pihaknya tidak akan berdiam diri dengan apa yang terjadi memandangkan ianya melibatkan aspek keselamatan pelajar yang berada di sekolah itu.

"Aspek keselamatan pelajar kita tak boleh pandang ringan, tambahan pula ketika mereka berada di dalam kawasan sekolah dan saya berharap pihak yang terbabit dalam siasatan kejadian tidak mengenepikan PIBG apabila laporan itu siap kelak.

"PIBG akan meneliti laporan tersebut secara mendalam sebelum kami mengambil tindakan selanjutnya," katanya



IPTS: Lagi fitnah Umno Pulau Pinang

Mohd Ali Hashim

GEORGETOWN, 16 Okt: Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng menolak dakwaan Umno yang mendakwa kerajaan negeri telah meluluskan permohonan daripada beberapa institusi pengajian tinggi swasta yang akan dibina di Balik Pulau.

Katanya, sehingga ini tiada sebarang permohonan yang telah diterima dari mana-mana institusi seperti didakwa oleh Umno baru-baru ini.

"Dakwaan Umno kononnya kerajaan negeri sudah mewartakan tanah seluas 81 hektar di Pondok Upeh dan Kampung Genting di Balik Pulau untuk pembinaan institusi tersebut adalah fitnah dan berniat jahat.

"Mereka juga cuba memainkan sentimen perkauman dengan mendakwa pembinaan institusi tersebut bagi kaum Cina adalah tuduhan yang tidak benar. Pendidikan adalah untuk semua golongan masyarakat dan tidak hanya kepada kaum tertentu sahaja," katanya semasa sidang media di Komtar, semalam.

Tambahnya, walaupun sebelum ini memang terdapat beberapa universiti luar negara menyuarakan hasrat mereka untuk membuka kampus cawangan di sini, namun sehingga ke hari ini belum ada permohonan yang diterima.

Sebelum ini, Umno mendakwa kerajaan negeri telah mewartakan tanah tersebut bagi pembinaan sebuah universiti swasta yang akan melenyapkan sebuah lagi perkampungan Melayu di Balik Pulau.

Mereka juga mendakwa tindakan kerajaan negeri dengan sengaja mencari tapak yang dihuni oleh masyarakat Melayu sebagai salah satu usaha untuk menyahkan mereka dari mendiami kawasan yang menjadi tumpuan majoriti masyarakat Melayu di Pulau Pinang.

Lim juga menafikan dakwaan Umno bahawa hanya tanah orang Melayu sahaja yang diambil untuk pembinaan institusi pengajian tinggi tersebut.

"Sebenarnya dalam proses pengambilan tanah dan jumlah tawaran yang diberikan bagi tanah terbabit kerajaan negeri tidak patut dipersalahkan. Proses ini dibuat menurut undang-undang yang ada serta dilakukan oleh Kerajaan Pusat sejak tahun lalu.

"Nilai pampasan bukannya ditentukan oleh pihak kerajaan negeri, sebaliknya ia ditentukan oleh Jabatan Penilaian yang merupakan salah sebuah agensi Kerajaan Pusat," ujarnya lagi


Tiada ulasan: