Khamis, 28 Oktober 2010

KESIANI LAH BELIAU

KITA KETAWA TENGOK...ADAKAH IA DIBENARKAN DALAM SYARAK..APA BERLAKU PADA BELIAU....HANYA ALLAH YANG TAHU....MASALAH AURAT...BERCAMPUR GAUL DALAM FILEM....ADAKAH INI TAK SALAH DARI SEGI SYARAK....CUBA FIKIR...TANYA2 USTAZ...KALAU TAK...MUFTI2

RENCANA UTAMA


Hikayat suka duka P. Ramlee




Menyebut sahaja nama allahyarham Tan Sri P. Ramlee, sudah terbayang di minda tentang seorang individu yang cukup istimewa dan begitu dekat di hati masyarakat.
Merupakan satu-satunya insan seni di negara ini yang bergelar seniman agung, segala hasil karyanya melalui filem dan muzik tidak pernah ditelan zaman.
Umum pastinya mengetahui bahawa P. Ramlee dikenali sebagai seorang pelakon, penyanyi, pelawak, komposer, penulis skrip dan pengarah filem yang serba boleh.
Apa yang lebih mengagumkan, sepanjang hayatnya bergelar insan seni, anak kelahiran Pulau Pinang ini telah terbabit dengan 66 buah filem serta menghasilkan sebanyak 360 buah lagu.
Biarpun sudah 37 tahun P. Ramlee pergi meninggalkan warisan yang tidak ternilai, namun namanya masih tetap terpahat di hati dan sanubari setiap masyarakat.
Pencapaian beliau melalui bidang seni telah menjadikan beliau sebagai idola serta sumber inspirasi kepada penggiat seni tanah air pada hari ini.
Mengenai penglibatan P. Ramlee dalam bidang ini, karier beliau bermula pada tahun 1948 melalui lakonannya dalam filem Chinta dengan memegang watak antagonis.
Selepas itu, karier lakonan dan nyanyiannya semakin berkembang serta semakin dikenali ramai dan terus diberi kepercayaan membintangi filem-filem Melayu di bawah arahan pengarah terkenal, Datuk L. Krishnan.
Beliau yang bernaung di bawah Malay Film Production (MFP) di Jalan Ampas, Singapura terus mengecap populariti sebagai pelakon. Setiap filem lakonannya mendapat sambutan hangat peminat filem-filem Melayu. Beliau bukan sekadar berbakat sebagai seorang pelakon, malah turut berkebolehan untuk menyanyi dan mencipta lagu, selain bermain alat muzik.
Kemuncak kepada karier seninya ialah apabila beliau diberi kepercayaan sebagai pengarah filem Penarik Beca selain turut memegang watak utama.
P. Ramlee juga memahatkan nama sebagai pengarah Melayu kedua selepas Haji Mahadi. Paling membanggakan, selain filem lakonan dan arahannya terus mendapat sambutan, beliau turut mendapat pengiktirafan sehingga ke peringkat Asia terutamanya melalui Festival Filem Asia Pasifik.
Pernah melalui zaman kegemilangan dan kemasyhuran ketika era di Jalan Ampas, P. Ramlee juga sebenarnya pernah melalui zaman kejatuhan sehinggalah beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir.
Segala-galanya bermula setelah beliau keluar dari MFP dan berhijrah ke Kuala Lumpur pada tahun 1964 dengan menyertai Studio Merdeka, Hulu Kelang. Filem terakhir arahan beliau sebelum berhijrah adalah filem Tiga Abdul yang dilakonkan bersama Haji Mahadi dan S .Kadarisman.
Bagaimanapun, karier P. Ramlee di Kuala Lumpur tidaklah seperti yang diharapkan. Beliau dilihat sukar untuk mengembalikan zaman kegemilangan ketika di Jalan Ampas dahulu. Filem pertama arahan beliau yang diterbitkan oleh Studio Merdeka, Si Tora Harimau Jadian tidak mendapat sambutan peminat.

FIGURA ini akan sentiasa dikenang sebagai pencipta sejarah dunia seni tanah air.


Kekecewaan terus melanda seniman agung tersebut apabila filem-filemnya selepas itu semakin kurang mendapat sambutan serta ada yang mendapat kritikan para wartawan.
Dikatakan antara punca filem-filem beliau tidak lagi digemari adalah disebabkan selera penonton ketika itu yang telah beralih kepada filem-filem asing seperti filem Hong Kong, Hindustan dan Indonesia.
Lebih memeritkan lagi, nasib dan kehidupan P. Ramlee juga sudah jauh berubah. Malah, ketika meninggal dunia pada 29 Mei 1973, beliau sepatutnya pergi ke mahkamah untuk menyelesaikan satu kes yang mana beliau menjadi penjamin kepada seseorang individu yang membuat pinjaman bank.
Untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai kehidupan seniman agung tanah air itu, semuanya akan didedahkan melalui program biografi P. Ramlee yang akan disiarkan melalui saluran History (Astro 555) pada 31 Oktober ini.
Biografi berkenaan mendedahkan kisah menakjubkan mengenai tokoh perfileman Melayu itu dari zaman awal pembabitannya dalam dunia seni sehinggalah beliau menghembuskan nafas terakhir pada usia 44 tahun.
Biografi yang berdurasi selama dua jam itu akan disiarkan pada pukul 9 malam dan diterbitkan oleh Pesona Pictures dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) serta diarahkan oleh Datuk Shuhaimi Baba.
Program berbentuk dokumentari ini turut menampilkan sedutan eksklusif yang tidak pernah disiarkan di kaca TV seperti temu ramah bersama keluarga terdekat dan rakan-rakan rapat P. Ramlee sebelum ada antara mereka yang sudah meninggal dunia.
Sehubungan itu, Naib Presiden Pengaturcaraan dan Penerbitan AETN All Asia Networks yang mengendalikan saluran History, Michele Schofiel berkata, penyiaran biografi tersebut adalah sebagai satu penghormatan kerana P. Ramlee merupakan seorang seniman yang bukan sahaja berkebolehan menghibur, malah kesungguhannya untuk menceritakan kisah-kisah yang boleh membangkitkan emosi.
“Kisah kehidupan beliau yang dipaparkan melalui program biografi ini juga merupakan satu kisah penuh emosi yang menceritakan mengenai harapan, ketabahan dan karisma yang akan membolehkan penonton melihat perjalanan hidup P. Ramlee dalam menjadi seorang ikon pujaan ramai. Kami sungguh gembira kerana telah diberi peluang untuk bekerjasama dengan Finas dalam menerbitkan program yang cukup istimewa ini. Pada masa yang sama, kami juga percaya bahawa para penonton pastinya akan terpesona dengan kisah yang akan diceritakan dengan lebih terperinci lagi,” ujarnya.
Menurut Michele lagi, untuk memenuhi permintaan penonton, program biografi itu akan disiarkan dengan suara latar di dalam bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris serta turut disertakan sekali dengan sarikata bahasa Malaysia dan bahasa Cina.

WAJAH seorang penglipur lara filem Melayu yang sukar dicari penggantinya hingga ke saat ini.


Sementara itu, Datuk Shuhaimi Baba yang telah bertindak selaku pengarah pula meluahkan rasa lega setelah rancangan biografi tersebut siap dihasilkan. Asalnya, beliau dikatakan ingin menjadikannya sebagai sebuah filem dokumentari mengenai kehidupan seniman agung tersebut.
“Saya sudah mula membuat kajian dan mencari pelbagai maklumat mengenai P. Ramlee semenjak dari tahun 1998 lagi. Memang pada mulanya saya ingin menjadikan projek ini sebagai sebuah filem, tetapi ia tidak dapat dilaksanakan kerana kekurangan bajet.
“Bagaimanapun, saya tetap bersyukur apabila biografi ini siap dan akan mula menemui penonton tidak lama lagi. Saya beruntung kerana mendapat kerjasama yang baik daripada Finas serta rakan-rakan dan keluarga terdekat allahyarham,” ujarnya.
Tambah Shuhaimi, dia berpandangan seniman agung itu seorang individu yang mendahului zaman. Ujarnya, ia dapat dilihat menerusi karya-karya yang telah dihasilkan terutamanya filem-filem beliau yang masih tidak bosan untuk ditonton berulang-ulang kali.
Menurutnya lagi, cuma apa yang agak mengecewakan dirinya ialah mengenai kehidupan P. Ramlee selepas berhijrah ke Kuala Lumpur. Selain sambutan terhadap filem-filemnya yang semakin suram, terdapat juga beberapa impian beliau yang tidak tercapai.
Hanya selepas pemergiannya, barulah jasa dan sumbangan beliau dalam dunia seni dan perfileman tanah air kembali dikenang. Pelbagai anugerah yang telah diberikan sebagai menghargai jasanya sehingga diangkat sebagai tokoh perfileman Melayu, termasuklah pengurniaan bintang kebesaran darjah Panglima Setia Mahkota dengan membawa gelaran 'Tan Sri' yang dikurniakan oleh Yang Di-pertuan Agong pada tahun 1990.

Tiada ulasan: