Isnin, 11 Oktober 2010

BUAT YANG TERBAIK DAN TAKUTLAH HUKUM ALLAH DI AKHIRAT NANTI...

YANG HAQ TU JELAS YG SALAH HUKUM AGAR HIDUP HARMONI DAN JADI PENGAJARAN

Dewan Rakyat Tolak Usul Bahas Pengetua Didakwa Rasis

KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat pada Isnin menolak usul tergempar bagi membahaskan mengenai kenyataan dua pengetua sekolah dari Kulai, Johor dan Bukit Selayang, Kedah yang didakwa mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman.

Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia ketika menolak usul Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timur) berkata, usul berkenaan adalah khusus dan mempunyai kepentingan awam.

Bagaimanapun menurut beliau usul berkenaan tidak perlu disegerakan.

"Saya difahamkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Kementerian Pelajaran telah mengambil tindakan terhadap mereka," katanya.

Pada 7 Oktober lalu, Lim memfailkan notis bagi membahaskan usul tergempar itu di Dewan Rakyat mengikut Peraturan Mesyuarat 18(2).

Menerusi usul berkenaan, Lim mempersoalkan mengenai hasil siasatan berhubung kes berkenaan walaupun selepas dua bulan ia berlaku.

Sementara itu dalam satu kenyataan yang dikeluarkan beliau di lobi Parlimen yang mempersoalkan keputusan Pandikar Amin menolak usul berkenaan tanpa menyatakan alasan kukuh.

"Usul saya ditolak, namun Speaker gagal menyatakan atau memberi penjelasan lanjut mengenai kenyataannya bahawa kedua-dua pengetua berkenaan sudah dikenakan tindakan disiplin.

"Tindakan disiplin yang bagaimana diambil oleh Kementerian Pelajaran dan JPA," soalnya.

Kedua-dua guru terbabit didakwa telah mengeluarkan kata-kata rasis dan menghina terhadap pelajar bukan Melayu termasuk melabelkan mereka sebagai 'pendatang', menggesa pelajar kaum Cina supaya "balik ke China" dan membandingkan benang sembahyang yang dipakai pelajar beragama Hindu sebagai pengikat anjing.

Malah baru-baru ini, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan sebagai berkata beliau tidak mempunyai kuasa berhubung perkara berkenaan kerana kes disiplin membabitkan pengetua di Johor dan Kedah itu sedang disiasat oleh JPA, dan hanya jabatan itu boleh mengambil tindakan terhadap mereka



MERIAH SATU HAL...HUKUM SATU HAL...MEMBAZIR SATU HAL...KITA HIDUP KENA BERIBADAH KEPADA ALLAH...TAK BOLEH BUAT SESUKA HATI....

Majlis Persandingan Angkasawan Negara Penuh Adat Istiadat

PUTRAJAYA: Majlis persandingan Angkasawan Negara Datuk Sheikh Muszaphar Shukor dan pasangannya Dr Halina Mohd Yunos, yang bertemakan Pahlawan Melayu di Istana Kayangan, berlangsung dengan penuh adat-istiadat orang Melayu.

Majlis yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini, dimulakan dengan sesi menepung tawar oleh kedua ibu bapa pengantin lelaki, Datuk Sheikh Mustapha Sheikh Abdul Shukor dan Datin Zuraida Datuk Sheikh Ahmad, diikuti persembahan nyanyian, sebelum majlis makan malam.

Kedua-dua mempelai bagaikan "pinang dibelah dua" dan kelihatan anggun dengan persalinan sedondon warna putih rekaan Datuk Bernard Chandran.

Selesai upacara menepung tawar, kedua-dua mempelai kemudian memotong kek pengantin yang menyerupai kapal angkasa Soyuz.Kira-kira 1,000 jemputan yang memeriahkan majlis itu terdiri daripada orang kenamaan, kaum keluarga, sahabat handai serta 100 angkasawan dari 35 negara.

Majlis turut diserikan dengan keberangkatan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah, Sultan Kedah Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Mukhriz Tuanku Munawir dan Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Jamalullail.

Hadir sama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Mukhriz Tun Mahathir serta Duta Malaysia ke Amerika Syarikat Datuk Seri Jamaluddin Jarjis. - BERNAMA


TAKDIR KENA TERIMA..KITA TIADA KUASA...MENENTANG KEMATIAN DAN KUASA ALLAH...CUMA KITA MUDAH EGO

Senarai Nama Mangsa Terbunuh Dalam Kemalangan Ngeri

MELAKA: Berikut adalah nama 12 mangsa yang terbunuh dalam satu kemalangan membabitkan dua bas, sebuah van dan tiga kereta diKilometer 223, Lebuh Raya Utara-Selatan berhampiran plaza tol Simpang Ampat dekat Rembau, petang Ahad.

Polis melaporkan mereka terdiri daripada sembilan rakyat tempatan dan tiga warga Myanmar.

Mangsa tersebut ialah pemandu bas ekspres R. Ramachandra, 52, dari Kampung Tengah, Klebang Besar; penumpang bas ekspres Muhammad Farizuddin Talib, 19, dari Balai Panjang, Malim; Azizi Ajis, 19, dari Kampung Japis, Nyalas; Norazmi Abdul Karim, 24, dari Kampung Pondok Kempas, Selandar; Sharene Sofia Fadzry Tan, 18, dari Semabok Perdana; dan Nur Shafika Baba, 29, dari Pokok Mangga di sini.

Tiga lelaki warga Myanmar itu ialah Pau Khan Tual, 21; Kam Khaw Tual, 28; dan Cin Thawa Tuang, (umur tidak diketahui, kenderaan yang mereka naiki belum disahkan).

Pemandu van Goo Chuan Heng, 34, dari Taman Maju, Batu Pahat, Pang Shi Moei dari Taman Segar, Segamat, 57, dan Eng Sok Kuan dari Kuala Lumpur, 52 (belum disahkan kenderaan yang dinaiki). - BERNAMA



YANG SALAH KENALAH HUKUM...JIKA LEPAS DIDUNIA..AKHIRAT TETAP TAK LEPAS...

Dewan Pemuda PAS Kedah Buat Laporan SPRM Berhubung Isu Air

ALOR SETAR: Dewan Pemuda Pas Kedah pada Isnin membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan berlaku penyelewengan berkaitan isu bekalan air di negeri ini.

Ketua Dewan Pemuda PAS Kedah Ahmad Yahya berkata laporan itu dibuat adalah atas inisiatif pergerakan itu dan bukan kerana arahan daripada mana-mana pihak.

"Kami dah buat laporan rasmi tentang penyelewengan isu air seperti mana yang disiarkan media sebelum ini dan kita serah sepenuhnya kepada SPRM untuk menjalankan siasatan," katanya ketika ditemui pemberita di sini Isnin.

Turut hadir Setiausaha Politik Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor, Pegawai Khas Menteri Besar Rosli Azmi dan Anggota Dewan Undangan Bukit Lada, Ahmad Izzat Shauki.

Ahmad berkata laporan sebanyak dua muka surat itu diserahkan terus kepada Pengarah SPRM Kedah Datuk Idrus Jaafar di pejabatnya kira-kira pukul 10 pagi tadi.

Baru-baru ini Idrus meminta kerajaan negeri Kedah atau mana-mana pihak yang mempunyai maklumat mengenai apa yang didakwa sebagai penyelewengan berhubung isu air di negeri itu supaya membuat laporan.

Beliau dilaporkan berkata tanpa maklumat lengkap pihaknya tidak boleh menjalankan siasatan kerana kenyataan Menteri Besar Datuk Seri Azizan Abdul Razak mengenai perkara itu menerusi media adalah terlalu umum.

Sebelum itu, Azizan mendedahkan pihaknya sudah mengenal pasti banyak penyelewengan yang berlaku ketika pemerintahan Barisan Nasional membabitkan isu air dan setiap dakwaan adalah berasaskan fakta serta rekod dan beliau menyerahkan kepada SPRM untuk menyiasatnya. - BERNAMA



KENAPA KITA SOKONG BENDA YA ALLAH HARAMKAN..JANGANLAH KITA DEGIL SANGAT...

Konsert 'gay': Pemuda PAS hantar memo bantah
Okt 11, 10 4:29pm

Pemuda PAS hari ini menghantar memorandum bantahan terhadap Agensi Pusat Permohonan Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara (PUSPAL) kerana meluluskan konsert artis 'gay' Adam Lambert.

Menurut memorandum dua halaman yang ditandatangani oleh timbalan ketuanya Azman Shapawi Abd Rani itu, kerana ia bakal membawa "keruntuhan akhlak masyarakat", khasnya di kalngan anak muda.

"Adam Lambert adalah seorang artis yang secara terbuka, bukan sahaja mengaku sebagai gay dan pengamal homoseksual tetapi beliau turut mempamerkan aksi gaynya dengan seringkali mencium dan mengucup penari lelaki serta menggayakan tarian serta aksi lucah bersama kumpulannya," memorandum itu dipetik.

Konsert sulung Lamber berjudul 'Adam Lambert Glam Nation Tour Live in Malaysia 2010' dijadual berlangsung 14 Oktober (Khamis) di Stadium Putra Bukit Jalil.

Menurut Azman Shapawi seharusnya peka dengan perkembangan budaya songsang itu kerana di msyarakat Barat sendiri didakwa menolak artis pop Amerika Syarikat itu.

Beliau juga menyatakan kekesalannya kerana pada hari yang sama seorang artis 'nasyid' popular Sweeden Maher Zain mengadakan persembagan di Shah Alam tidak diberikan tempat.

"Fakta dan nasihat yang bagaimana lagi mahu diberikan kepada pihak kerajaan agar menginsafi bahawa program seperti inilah yang akhirnya merosakkan akhlak generasi kita sekali gus membawa budaya dan cara hidup yang bertentangan dengan fitrah?" soal Azman Shapawi.

Dalam memorandum itu, Pemuda PAS menggesa semua penganjuran konsert mematuhi garis panduan PUSPAL dan meminta agensi itu memberikan perhatian serius terhadap penerimaan artis luar negara.

Malaysiakini difahamkan memorandum yang ditujukan kepada Pengerusi PUSPAL Datuk Kamaruddin Siaraf itu diserahkan sendiri oleh Azman Shapawi di pejabat agensi bawah Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan di Kuala Lumpur pagi tadi.

Lambert, 28, merupakan penyanyi pop, penulis lirik dan pelakon daripada California. Album bekas peserta American Idol itu For Your Entertainment pada 2009 terjual sebanyak 198,000 selepas seminggu berada dalam pasaran


MEMANG SUSAH NAK DILAKSANAKAN DALAM ISLAM ADA CARANYA...TANYA LAH YANG ARIF AGAMA

M'sia disaran gubal Akta Jenayah Sihir
Okt 11, 10 3:58pm

Malaysia disaran agar menggubal Akta Jenayah Sihir bagi membanteras kegiatan jenayah menggunakan ilmu hitam melalui mekanisme perundangan.

Pensyarah Undang-Undang Kolej Antarabangsa Ikip Dr Mahyuddin Ismail berkata, penggubalan akta berkenaan memberikan kuasa kepada pihak yang berkenaan untuk mengambil tindakan berhubung jenayah membabitkan sihir.

"Bukan hanya di Malaysia, tetapi negara-negara lain juga mengalami masalah sama (sihir) tetapi tidak ada penyelesaian dari segi undang-undang. Sebenarnya, jenayah sihir ini boleh dibuktikan di mahkamah syariah dan sivil," katanya ketika membentangkan kertas kerja Pelaksanaan Undang-Undang Jenayah Sihir pada seminar Undang-Undang Jenayah Sihir di Kuantan hari ini.

Seminar itu dirasmikan Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan Datuk Rahman Md Yunus.

Dr Mahyuddin berkata akta tersebut juga perlu mengandungi peruntukan bagi penubuhan Jabatan Siasatan Jenayah Sihir di bawah Polis Diraja Malaysia, yang berkuasa menyiasat dan menjalankan segala prosedur berkaitan untuk membanteras kegiatan jenayah membabitkan ilmu sihir.

Beliau juga mencadangkan jabatan itu dibantu lembaga penasihat khas daripada golongan berpengalaman luas dalam bidang berkaitan sihir kerana mereka perlu menyiasat suatu jenayah yang sukar dikesan dengan mata kasar.

Dengan penubuhan jabatan berkenaan, maka proses undang-undang iaitu aduan, siasatan, tangkapan, penggeledahan, pendakwaan dan perbicaraan akan dapat dilaksanakan, katanya.

Pada sidang akhbar selepas itu, Rahman berkata perlaksanaan undang-undang jenayah sihir tidak mustahil untuk direalisasikan, namun memerlukan kajian menyeluruh.

Beliau berkata cabaran utama pelaksanaan akta itu ialah pendakwaan di mahkamah kerana memerlukan bukti zahir dan kukuh.

Justeru, katanya, seminar anjuran bersama Kolej Antarabangsa Ikip dan Yayasan Pahang itu diharap dapat membincangkan isu berkenaan dengan lebih mendalam, selain menjadi perintis kepada pihak lain bagi merealisasikan perlaksanaan undang-undang jenayah sihir.

--Bernama





MUNGKIN TAHUN DEPAN DILULUSKAN....INSYAALLAH....

Umur persaraan wajib tak dinaikkan ke 60
Okt 11, 10 3:23pm

Kerajaan tidak bercadang untuk melanjutkan umur persaraan penjawat awam daripada 58 kepada 60 tahun, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata sebarang keputusan mengenai cadangan menaikkan umur persaraan perlu dikaji termasuklah kesan terhadap peluang kerja untuk golongan lepasan sekolah, kolej dan universiti serta keperluan sumber manusia dalam sektor tertentu dalam perkhidmatan awam.

"Ketiga (ialah) kesan ke atas usaha kerajaan ke arah bilangan yang wajar. Kalaupun tidak kecilkan perkhidmatan awam, (kita perlu) mengurangkan kos operasi kerajaan tanpa jejas perkhidmatan untuk rakyat.

"Keempat (ialah) tahap kesihatan anggota perkhidmatan awam, terutamanya menjelang umur persaraan 58, adakah mereka mampu terus bekerja atau tidak," katanya menjawab soalan Datuk Idris Haron (BN-Tangga Batu) pada persidangan Dewan Rakyat di Kuala Lumpur hari ini.

Menjawab soalan sama ada langkah meningkatkan umur persaraan dapat mengelak tenaga muda yang kini bekerja di sektor awam daripada berhijrah ke sektor swasta, Mohamed Nazri berkata perkara itu dapat diatasi melalui semakan gaji oleh kerajaan dari semasa ke semasa serta pelbagai kelebihan lain bagi memastikan gaji sektor awam terus kompetitif.

"Contohnya, gaji yang diterima pegawai berkelulusan ijazah pada masa ini lebih baik daripada gaji yang ditawarkan oleh sektor swasta. Kedua, kenaikan pangkat berdasarkan tempoh perkhidmatan seperti untuk golongan pendidik, dan ketiga, kenaikan pangkat ikut kepakaran seperti dilakukan kepada pensyarah, pegawai perubatan dan penyelidik," katanya.

Bulan lepas, Presiden Cuepacs Omar Osman meminta kerajaan menaikkan umur persaraan daripada 58 kepada 60 tahun bagi 1.2 juta penjawat awam supaya seragam dengan amalan negara lain di rantau ini.

Menurutnya Malaysia masih ketinggalan berbanding negara jiran seperti Brunei, Singapura, Thailand dan Indonesia yang umur persaraan antara 60 dan 62 tahun.

Umur persaraan kakitangan kerajaan telah mengalami perubahan dua kali setakat ini. Pertama, pada 2001 apabila usia persaraan kakitangan sektor awam dinaikkan daripada 55 tahun kepada 56 tahun, kemudian dilanjutkan kepada 58 tahun pada 2008.

--Bernama


SEMINAR DIBUAT..SANGAT2LAH BAGUS...JANGAN PERLAKSANAAN TAK DE LANGSUNG DA...

S'gor anjur seminar pemerkasaan ulama
Okt 11, 10 3:27pm

Kira-kira 600 peserta terdiri daripada mufti, penceramah, cendiakawan Islam, pendakwah, NGO serta ulama di Selangor menghadiri Multaqa Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Seminar Pemerkasaan Ulama Selangor yang bertujuan membincangkan mengenai perkembangan Islam di negeri itu.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Adat-adat Melayu dan Infrastruktur dan Kemudahan Awam Selangor Datuk Dr Hasan Mohamed Ali berkata multaqa itu juga bertujuan melihat permasalahan berhubung penyebaran dakwah dan kaedah terbaik mengatasinya.

"Kita mencari kaedah terbaik bagaimana untuk menyampaikan dakwah seperti mengambil idea dari pelbagai negara tetapi apabila ingin mengaplikasikannya di Malaysia apa sahaja yang diambil dari luar perlu disesuaikan dengan realiti di negara ini.

"Dalam kita memfokuskan kepada usaha dakwah di kalangan umat Islam di negara ini pada masa yang sama memandangkan kita mempunyai rakyat berbilang kaum pemahaman tentang Islam juga harus diberitahu kepada kaum lain supaya tidak timbul salah faham terhadap agama ini," katanya dalam sidang media di Shah Alam hari ini.

Hasan berkata demikian selepas Majlis perasmian Multaqa dan seminar selama sehari itu oleh Tengku Panglima Diraja Selangor Tengku Sulaiman Shah mewakili kekandanya Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah di Shah Alam hari ini.

Turut hadir Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Program anjuran bersama Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Jabatan Mufti Selangor dan Jabatan Agama Islam Selangor itu juga bertujuan menyuntik nafas baru dalam penyampaian mesej Islam, menyatukan hala tuju dakwah serta memupuk kesatuan dan meredakan perbezaan dalam pemikiran di kalangan peserta.

Selain itu Hasan berkata tanggungjawab untuk menyebarkan dakwah Islam bukan sahaja terletak di bahu para ulama, pendakwah dan penceramah malah pihak lain seperti ketua jabatan dan NGO juga perlu memegang tanggungjawab itu dalam memastikan mesej yang hendak disampaikan diterima oleh semua pihak.

"Sudah sampai masanya juga kita kumpulkan pihak yang mempunyai intelektual terlatih dalam bidang dakwah seperti mempunyai ijazah sarjana muda, ijazah sarjana dan doktor falsafah (Phd) dalam bidang dakwah bagi membolehkan kita memperolehi lebih banyak ilmu yang bermutu," katanya.

--Bernama



JANGAN CAKAP BOHONG DAN MUNGKIR JANJI DA...

Tanam semula: Ahmad guris perasaan peneroka
Nazri Abdullah

KUALA LUMPUR, 11 Okt: Datuk Ahmad Maslan diminta menghentikan segera pembohongan dan dolak dalik berhubung isu Felda khususnya wang tanam semula kepada peneroka persendirian.

Gesaan itu dibuat Pengerusi Persatuan Anak Peneroka Felda (Anak), Mazlan Aliman merujuk kepada beberapa kenyataan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu yang dianggap bukan sahaja cuba memperbodoh peneroka malah tidak wajar keluar dari mulut seorang menteri.

Antaranya kenyataan Ahmad yang mendakwa kebun peneroka tanam sendiri menjadi hutan, penuh dengan babi, ular sawa, tikus dan kumbang.

Beliau juga mendakwa wang tanam semula RM17,000 diguna peneroka membeli motor, kereta dan membaiki rumah.

"Saya gesa beliau menarik balik kenyataan yang mengguris perasaan lebih 14,00 peneroka sawit yang mengurus kebun mereka secara persendirian dengan kadar segera.

"Jika tidak, laporan polis besar-besaran akan di buat di seluruh negara," kata Mazlan pada sidang media di parlimen hari ini.

Hadir sama pada sidang media tersebut, wakil-wakil peneroka yang menanam sendiri dan bekas kakitangan yang bekerja hampir 30 tahun Felda.

Selain itu beliau turut mempersoal adakah Felda memberi kebebasan kepada peneroka untuk mengurus kebun secara persendirian, sedangkan pada masa yang sama Felda juga mengeluarkan pekeliling melarang peneroka berbuat demikian.

"Kalau tiada paksaan, kenapa Felda mengeluarkan pekeliling mengugut peneroka agar mencabut anak sawit yang telah ditanam secara persendirian?" soalnya.

Menurutnya lagi, terdapat peneroka yang telah menanam sendiri hampir 10 tahun, namun wang tanam semula yang dijanjikan Felda tidak diperolehi.

Sehubungan itu, beliau juga mendesak Ahmad dan Felda jangan berdolak dalik, sebaliknya menjelaskan bayaran wang tanam semula dalam masa tiga bulan.

"3,000 peneroka di Pahang sekarang ini masih lagi menunggu wang tanam semula mereka.

"Jika gagal berbuat demikian, Anak akan atur rombongan peneroka setiap minggu ke Ibu Pejabat Felda di jalan Semarak setiap minggu," katanya lagi.

Kumpulan pertama yang akan dihantar adalah dari Felda Gugusan Sungai Dusun Ulu Selangor yang dijanjikan wang tanam semula oleh Felda pada pilihan raya kecil Hulu Selangor April lalu.

"Jika tidak dapat wang tanam semula, peneroka tidak teragak-agak membawanya ke mahkamah.

"Peneroka pilih mahkamah sebab itu jalan terakhir setelah perundingan dibuat begitu lama namun Felda belum bayar," jelasnya


JANGAN TERLEPAS DAH...MUNGKIN KESANNYA ..TAK LOK...SEBAB JENAYAH DIBUAT MELAMPAU SANGAT


Sosilawati: PAS persoal lambat selesai siasatan

Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 11 Okt: Ahli Parlimen Kubang Kerian, Salahuddin Ayub mempersoal kelambatan pihak-pihak terbabit dalam siasatan kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya.

Salahudin ketika mengemukakan soalan tambahan dalam sesi soal jawab lisan di Parlimen hari ini berkata, kelambatan jelas berlaku dalam siasatan kes ini apabila laporan DNA sendiri belum diperoleh.

"Berdasarkan kepada laporan dan penyiasatan polis, kertas pendakwaan telah pun dikemukakan kepada peguam negara kemudian peguam negara telah menghantar balik kertas sisasatan tersebut untuk tindakan selanjutnya oleh pihak polis.

Ujarnya, laporan DNA seharusnya dikeluarkan dalam tempoh tidak lebih daripada seminggu. Namun sehingga kini laporan berkenaan belum dikeluarkan.

"Ini menunjukkan berlakunya beberapa beberapa lagi kekurangan-kekurangan untuk tindakan selanjutnya oleh pihak polis. Kalau laporan profesional DNA oleh jabatan kimia (sepatutnya) mugkin paling cepat (diperoleh) dalam masa satu atau pun dua hari atau tiga hari. Tetapi kita lihat laporan DNA pun masih lagi tidak dikeluarkan.

Sebelum itu, ahli Parlimen Ipoh Timur, Lim Kit Siang meminta Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Hussein menyatakan tarikh/jenis laporan-laporan polis yang dibuat terhadap adik-beradik peguam yang disyaki terlibat dalam pembunuhan beramai-ramai Datuk Sosilawati di Banting, serta tindakan terkini terhadap laporan-laporan polis berkenaan.

Menjawab soalan tersebut, Hishamuddin menegaskan bahawa pasukan siasatan sedang menjalankan tugas sepenuhnya tanpa henti untuk dibawa ke muka pengadilan.

"Dua agensi yang terlibat dalam siasatan ini, pertamanya pihak PDRM (Polis Diraja Malaysia), pasukan siasatan dan juga pihak peguam negara.

"Kedua-dua pihak ini, hari ini 24 jam sedang siasat dan memastikan bahawa ianya dapat dibawa secepat mungkin, tak boleh saya laporkan ke dewan ini hari ini," katanya.

Sementara itu, bercakap dalam satu sidang media selepas itu, Salahuddin berharap KDN dapat memastikan kes itu diselesaikan secepat mungkin



KEBAIKAN TUK ISLAM...WAJIB DISOKONG

Sokong usaha wujud pusat pendidikan Islam
Harakahdaily

PETALING JAYA, 11 Okt: Banyak projek pembangunan pendidikan yang wujud pada hari ini gagal berperanan sebagai kilang untuk melahirkan manusia yang mengikut acuan Allah.

Justeru, masyarakat perlu memberi sokongan kepada usaha untuk mewujudkan pusat pendidikan Islam bagi membetulkan kehidupan manusia.

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, ini kerana ilmu Islam datangnya dari al-Quran yang membetulkan segala ilmu yang lain.

Sehubungan itu, katanya peranan untuk mewujudkan pusat pendidikan Islam adalah suatu perkara yang besar.

Ini, katanya kerana selama ini pusat ilmu Islam sering ditindas dan ditekan oleh pihak-pihak berkenaan.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang menambah, mereka yang membantu usaha tersebut mendapat sumbangan yang besar di sisi Allah.

Ustaz Abdul Hadi menyatakan demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Perdana bagi mengumpul dana Kompleks Pendidikan dan Dakwah Islamiah Malaysia (Kodim) berkenaan di pekarangan Masjid Kota Damansara, malam semalam.

Beliau mewakili Menteri Besar Kelantan selaku penaung Kodim, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang tidak dapat hadir pada majlis berkenaan. Hadir sama ialah Penasihat Kodim, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Sementara itu, Pengerusi Kodim, Ustaz Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata, pihaknya membuka peluang kepada orang ramai untuk mewakafkan sumbangan sendiri atau waris.

Katanya, kompleks tiga tingkat itu dibina di atas sebidang tanah yang diwakafkan seluas tiga ekar di Kampung Tok Has, Besut.

“Kompleks yang dianggarkan berharga RM3 juta ini dibina berasaskan sumbangan derma orang ramai yang dijangka dapat disiapkan dalam masa lima tahun,” ujarnya

Beliau menambah, kompleks Kodim mengandungi Masjid al-Hidayah di bahagian paling bawah yang dianggarkan dapat memuatkan makmum seramai 1,500 orang pada satu-satu masa, selain sebagai tempat halaqat menghafal al-Quran dan hadis.

Maktabah pula, ujarnya terletak bersama masjid yang akan menempatkan berbagai jenis kitab serta kemudahan internet, e-kitab dan peralatan dakwah kepada bukan Islam.

Qa’ah kuliah, katanya berada di tingkat 2 dengan bilik-bilik kuliah yang akan dapat memuatkan 40 orang setiap bilik.

Tambahnya, di tingkat tiga pula terdapat dewan tertutup yang dianggarkan boleh memuatkan 3,000 orang bagi satu-satu masa yang dilengkapi dengan pentas dan ruangan untuk tetamu VVIP.

Dewan itu juga, ujarnya dapat memuatkan empat gelanggang badminton dan sukan yang lain selain tempat untuk muslimat beriadah.

Menurutnya, matlamat Kodim adalah untuk mengembalikan keagungan keilmuan Islam, mewujudkan sebuah pusat dakwah Islamiah kepada masyarakat non muslim.

Di samping itu, katanya, Kodim juga bertujuan memperkenalkan biah Islamiah sebagai satu cara hidup kepada masyarakat, melahirkan generasi al-Quran dan al-Hadis di samping mewujudkan satu medium dakwah yang baru bagi pengembangan Islam di Terengganu dan Malaysia amnya.

Justeru, katanya orang ramai yang ingin menyumbangkan boleh berbuat demikian atas nama Kompleks Pendidikan Islam Besut melalui akaun BIMB bernombor 13035010044424 atau Maybank 563046101804.



CINTA BIARLAH KERANA ALLAH SWT...


Ya Allah, aku jatuh cinta

Harakahdaily



Bilakah anda mula merasakan cinta?

Dulu, sekarang atau baru saja sebelum membaca buku ini?

Boleh jadi jawapan anda bermacam-macam kerana jatuh cinta banyak ceritanya. Siapapun yang bernafas di atas muka bumi Tuhan ini, tiada berkecuali sangat berpotensi terkena sengatan cinta.

Sebuah getaran rasa yang menandakan rasa suka, rasa ingin selalu dekat, rasa ingin selalu diperhatikan dan rasa ingin berkorban membahagikan pasangannya.

Buku bertajuk ‘Ya Allah, Aku Jatuh Cinta’ ini memberi bacaan alternatif kepada para remaja tentang perbahasan yang paling disukai manusia, iaitu cinta agar cinta tidak disalahfaham menjadi medan menebar pesona dan membuat dosa. Semoga para remaja mampu melihat cinta secara lebih bermatlamat serta tidak tersilap langkah dalam menilai erti cinta.

Terdapat beberapa intipati yang anda boleh dapati dalam buku ini seperti:
1. Peringkat-peringkat cinta dalam Islam iaitu tatayyum, ‘isyk, Syauq, ‘ithf dan intifa’
2. Cinta dari sudut Psikologi- cinta kerana nafsu, cinta pragmatis dan cinta altruistik.
3. Kenali hormon-hormon jatuh cinta- Pheromones, Oxytocin, Vasopressin, Dopamine, Neuropinephrine
4. Menjawab persoalan yang selalu diutarakan, “Bolehkah saya jatuh cinta?” menurut perspektif Islam.

Teguklah madu-madu cinta dengan berlandaskan syariat Islam. Jadikanlah hati-hati yang diselubungi cinta indah di dada tanpa mengurakan rasa cinta pada-Mu ya Rabbi…

Buku ini adalah terbitan terbaru dari Kemilau Publika Sdn Bhd. Jika anda ingin memilikinya sila hubungi 03-61573314 atau dapatkan di kedai-kedai buku rangkaian MPH, Popular dan kedai buku berhampiran anda.

Layari www.kemilau.com.my




APA PARTI PUN AKAN MEROSOT BILA DAH LAMA MEMERINTAH KERANA MAKIN BANYAK KELEMAHAN@KESALAHAN DAPAT DIBUKTIKAN...SELAIN PENGUNDI TELAH TINGGI TAHAP PENDIDIKANNYA...

Setelah jenama Umno merudum, jenama Ku Li dipilih
Selena Tay


Pecah cawan, pecah gelas. Siapakah yang akan menang kerusi di Galas?

Jawapannya akan diketahui pada malam 4 November nanti, tetapi buat masa ini
percaturan politik di Galas, Kelantan telah bermula. Bagi pihak Umno, Tengku Razaleigh Hamzah atau lebih dikenali sebagai Ku Li telah diberi tugas sebagai pengarah kempen dan ramai pula yang mencadangkan nama beliau sebagai calon. Ku Li telah diberi peranan yang amat besar dalam pilihanraya kecil ini walaupun sebelum ini ramai dalam parti Umno yang tidak suka kepadanya sebab beliau memihak kepada Kerajaan PAS Kelantan dalam tuntutan royalti minyak.

Tetapi sekarang ramai dalam Umno yang berpusu-pusu memujinya sebagai seorang tokoh Umno yang berwibawa yang telah memberi sumbangan jasa yang besar kepada Umno. Dapat dilihat di sini bahawa dalam dunia politik, dalam masa sekelip mata sahaja keji boleh berubah menjadi puji dan sebaliknya.

Dalam cerita Galas ini, saya berpendapat bahawa Ku Li mungkin akan 'dijerat' oleh Umno yang sangat licik dalam percaturan menjerat musang. Di sini saya merujuk kepada musang yang sebenar dan bukan Ku Li.

Untuk pertandingan di Galas, apa yang sebenarnya akan berlaku ialah PAS lawan Umno dan bukan PAS lawan Ku Li. Cuma kerusi Galas terletak di kawasan Parlimen Gua Musang sahaja. Tidak kurang dan tidak lebih dari itu.

Umno pula akan meletakkan Ku Li di pentas depan untuk memberi gambaran bahawa ini adalah pertandingan di antara PAS dengan Ku Li supaya dapat meraih sokongan dan undi kaum Melayu dengan mudah. PAS perlu berdepan dengan ilusi yang ditonjolkan oleh Umno.

Apa yang PAS perlu lakukan di sini ialah untuk memberi penerangan yang terperinci kepada para pengundi bahawa ini adalah pertandingan di mana PAS akan bertentangan dengan Umno dan bukan Ku Li.

Nama Umno sudah tiada kekuatan lagi, jenama Umno sudah lemah. Oleh itu Umno terpaksa menggunakan jenama Tengku Razaleigh Hamzah-nama itulah yang mempunyai kuasa. Selain dari itu, politik perkauman Umno telah ditolak bulat-bulat oleh bangsa bukan-Melayu. Nasib baik untuk Umno tidak terdapat ramai orang Cina dan orang India di Galas. Jika ramai, Umno perlu berhempas-pulas untuk menggalaskan ceramah mereka dengan lebih banyak lagi ungkapan yang manis untuk meminang hati pengundi Cina dan India.

Jika calon Galas bukan Ku Li, Umno menghadapi peluang yang cerah untuk mengalami kekalahan. Walaupun begitu, Umno yang sangat licik itu juga mempunyai banyak taktik yang 'canggih' dan 'menakjubkan' untuk mendapat sokongan para pengundi. Satu daripada taktik yang telah dibuktikan amat berkesan ialah memberi gula-gula dan nasib mereka juga baik dalam hal ini kerana pengundi Melayu akan lupa bahawa janji-janji yang lama di Manek Urai tidak ditunaikan.

Perlu diungkitkan hal jambatan yang telah dijanjikan oleh Umno kepada para pengundi di Manek Urai. Satu keping papan pun tiada, apa hendak dikatakan lagi?

Secara terus-terang saya ingin mengatakan bahawa pengundi Melayu mudah terpedaya oleh Umno, contohnya wang ehsan dari Kerajaan Pulau Pinang itu. Telah dikatakan seribu satu kali oleh Dr. Mansor Othman, Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang bahawa wang ehsan untuk orang Melayu ialah hasil dari penjimatan wang dari langkah-langkah jimat-cermat yang diamalkan oleh Kerajaan Pulau Pinang dan bukan dari Kelab Lumba Kuda tetapi orang Melayu percaya pula cakap orang Umno. Akan sampai bila orang Melayu akan diperdayakan lagi? Dari dulu hingga kini dan buat selama-lamanya?

Perlu ditekankan di sini bahawa Umno ialah parti berteraskan bangsa Melayu, oleh itu orang Melayu yang pentingkan keMelayuannya akan mengundi Umno. Orang Melayu yang pentingkan ugamanya akan mengundi PAS sebab PAS ialah parti yang berteraskan Islam. Itu logik, dalam bahasa Inggeris kita kata 'simple and straightforward' dalam bahasa Melayu kita kata 'mudah dan terang'. Oleh itu, di Galas PAS dan Umno akan cuba baca 'iklim' pengundi, sama ada mereka lebih memberi tumpuan kepada bangsa atau ugama.

Saya ingin berganjak topik sedikit dan memberitahu pembaca bahawa sekarang ada ramai orang Cina dan orang India menyokong PAS. Ia adalah kerana PAS adalah adil kepada semua dan tiada satu pun orang PAS yang rasis. Keadilan Islam merangkumi semua, oleh itu PAS adalah parti untuk semua orang, tidak kira bangsa atau ugama manakala Umno ialah parti untuk orang Melayu sahaja.

Ramai orang Melayu yang berpendapat PAS telah tunduk kepada DAP dan ini tentu akan menjadi topik hangat di Galas. Saya ingin menyangkal pendapat itu dengan sekeras-kerasnya sebab dalam Pakatan Rakyat semua adalah selaras kuasanya iaitu 1/3 kuasa kepada PAS, 1/3 kuasa kepada DAP dan 1/3 kuasa kepada PKR. Tidak seperti di Umno yang telah menjadi 'big brother' dalam Barisan Nasional sehingga MCA dan MIC yang menjadi komponennya adalah untuk memberi satu ilusi keharmonian dan semangat muhibah sahaja. Semuanya adalah ilusi. Semua pengundi mesti jangan terpedaya dengan ilusi ciptaan Umno. Umno ialah BN dan BN ialah Umno. Noktah.

Saya tahu pertempuran akan sengit di Galas. Hanya saya berharap semoga Tuhan akan memberi ilham kepada para pengundi dan membuka mata mereka supaya mereka dapat memahami dengan lebih mendalam lagi nilai-nilai murni Islam yang sebenarnya dan membuat pilihan yang cerdik dan berwawasan masa depan supaya kemakmuran negara dapat dinikmati oleh semua lapisan masyarakat tanpa mengira bangsa dan ugama.

--------------------------------------------------------

Selena Tay adalah ahli Dewan Himpunan Penyokong PAS, Titiwangsa.



Tiada ulasan: