DUNIA
Kuman super sudah merebak ke Australia
SYDNEY - Tiga rakyat Australia yang pernah melawat India disahkan semalam dijangkiti kuman super yang kebal semua antibiotik sekali gus mencetuskan kebimbangan ia sedang merebak dengan pantas ke seluruh dunia.
Ketua Jabatan Penyakit Berjangkit Hospital Canberra dekat sini, Profesor Peter Collignon mengesahkan penemuan menakutkan itu.
Penemuan itu turut melibatkan seorang pesakit yang pernah menjalani pembedahan plastik di Mumbai baru-baru ini.
"Kita menjangkakan lebih ramai telah dijangkiti kerana setakat ini agak sukar untuk mengesan kuman itu kecuali anda mempunyai satu peralatan penguji yang amat canggih," katanya.
Pada Rabu lalu, saintis Britain mendakwa 37 rakyat negara itu membawa kuman dikenali New Delhi Metallo-lactamase-1 selepas mereka mengunjungi India sebagai pelancong kesihatan. - AFP
DUNIA
Kuman super merebak di 5 negara maju
NEW DELHI - Lima buah negara maju semalam mengesahkan penemuan kuman super terbaru berasal dari India yang kebal segala jenis antibiotik, manakala seorang lelaki di Belgium dilaporkan menjadi mangsa maut pertama pada Jun lalu.
Amerika Syarikat, Kanada dan Belanda melaporkan beberapa pesakit disahkan membawa kuman New Delhi Metallo-beta-lactamase-1 (NDM-1) tetapi tidak menyatakan jumlah sebenarnya selepas Australia kelmarin mengumumkan tiga kes awal.
Namun, India masih bertegas mempertikaikan laporan terkini jurnal perubatan terkenal di dunia, The Lancet yang berpusat di Cardiff, Wales ketika Britain pada Rabu lalu mendedahkan 37 rakyatnya telah pun dijangkiti kuman berbahaya itu.
Sebaliknya pihak berkuasa India menyifatkan jurnal tersebut sebagai cubaan mensabotaj sektor pelancongan kesihatan negara Asia itu yang menjadi tumpuan ramai warga Barat dengan mendakwa semua hospital di India masih lagi selamat.
NDM-1 yang dikatakan kalis terhadap semua jenis ubat termasuk antibiotik terbaru paling kuat, Carbapenems, mula dikesan menjangkiti seorang lelaki Sweden tahun lalu selepas dia menerima rawatan di sebuah hospital di India.
Setakat ini, 70 kes NDM-1 dilaporkan di Chennai dan Haryana manakala 73 kes lagi disahkan wujud di Pakistan dan Bangladesh yang menyebabkan pesakit mengalami radang paru-paru, jangkitan di ginjal dan saluran darah. - Agensi
Tiada ulasan:
Catat Ulasan