Isnin, 30 Ogos 2010

NI KENYATAAN BERLAWANAN NILAILAH...ALLAH LAH LEBIH MENGETAHUI YG BENAR DAN YG SALAH...

Nik Aziz kurang takwa – Ibrahim Ali


IBRAHIM Ali (empat dari kanan) beramah mesra dengan ahli Perkasa pada majlis berbuka puasa di Kelab Sultan Sulaiman, Kuala Lumpur, semalam.


KUALA LUMPUR 29 Ogos – Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat disifatkan sebagai seorang yang beriman tetapi kurang bertakwa apabila bertindak mempertahankan Ahli Parlimen Serdang, Teo Nie Ching menyampaikan sumbangan dan tazkirah di ruang solat Surau Al-Huda, Kajang Sentral pada Ahad lalu.

Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali berkata, sekiranya Nik Abdul Aziz seorang yang bertakwa sudah tentu Menteri Besar Kelantan itu membidas tindakan wakil rakyat DAP tersebut.

Jelas beliau, ini kerana sudah jelas Nie Ching melakukan sesuatu yang mencemar institusi Islam.

Tambahnya, orang yang bertakwa ialah golongan yang sentiasa memelihara dan memuliakan surau atau masjid serta bukannya mereka yang membiarkan ia dicemarkan disebabkan kepentingan politik.

“Inilah dia Nik Aziz. Saya anggap beliau seorang ulama politik. Segala-galanya politik. Saya tidak kata orang bukan Islam tidak boleh masuk ke dalam surau atau masjid tetapi hendaklah beradab iaitu dengan menutup aurat.

“Orang bukan Islam yang mengunjungi surau atau masjid juga hanya dibenarkan melawat, bukannya diberi kebenaran untuk berucap. Kemuliaan surau dan masjid hendaklah dipelihara,” katanya kepada Utusan Malaysia selepas majlis berbuka puasa anjuran Perkasa di Kelab Sultan Sulaiman di sini hari ini.

Beliau mengulas tindakan Nik Abdul Aziz mempertahankan tindakan Nie Ching menyampaikan sumbangan dan tazkirah di ruang solat surau berkenaan Ahad lepas.

Bagi Menteri Besar Kelantan itu, tindakan ahli Parlimen berkenaan tidak menyalahi hukum Islam, malah ia sebaik-baik cara untuk mendekatkan masyarakat bukan Islam kepada Islam.

Ibrahim berkata, tidak dinafikan tindakan Nie Ching memberi sumbangan kepada surau tersebut adalah sesuatu yang amat baik tetapi majlis penyerahan tidak sepatutnya diadakan di ruang solat.

“Banyak tempat lain boleh diadakan majlis penyerahan tersebut. Sebagai contoh di luar masjid atau di dewan orang ramai.

“DAP adalah salah sebuah parti yang mentadbir Selangor dan saya tidak fikir wakil rakyat mereka sukar menggunakan kemudahan yang ada. Mengapa digunakan ruang solat? Adakah mereka sengaja mahu menjatuhkan martabat dan kemuliaan institusi Islam,” katanya.

Ibrahim berkata, sebagai Ahli Parlimen Pasir Mas, beliau sendiri pernah menyerahkan sumbangan kepada tokong di kawasannya, namun ia diserahkan di luar rumah ibadat itu walaupun beliau dijemput untuk menyerahkan sumbangan itu di dalam tokong berkenaan.

Sementara itu, beliau berkata, kecetekan pengetahuan mengenai Islam dan Melayu di kalangan orang Cina menyebabkan mereka semakin berani bersikap biadab seperti tindakan sekumpulan remaja Cina melempar cat merah ke sebuah surau di Sikamat, Seremban baru-baru ini.

“Ini ditambah lagi dengan sikap orang Melayu Islam yang memberi ‘lampu hijau’ kepada mereka untuk bertindak demikian antaranya membenarkan pemimpin politik wanita bukan Islam memasuki surau tanpa bertudung dan berkebaya ketat,” katanya.


MAIS kesal pentadbir masjid terus abai titah sultan

SHAH ALAM 29 Ogos - Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) kesal dengan sikap pentadbir masjid yang terus melanggar arahan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah (gambar) supaya tidak menjadikan rumah ibadat sebagai gelanggang politik.

Setiausaha MAIS, Datuk Mohamed Khusrin Munawi mengakui pihaknya tidak pernah mengeluarkan arahan melarang bukan Islam memasuki masjid namun menganggap tindakan Masjid At-Taqwa, Selayang Baru, membenarkan Ahli Parlimen Selayang, William Leong berbuat demikian sebagai berunsurkan politik.

Menurutnya, perkara itu boleh dielakkan kerana semua nazir telah dimaklumkan bahawa masjid bukan tempat berpolitik malah arahan baginda itu turut ditampal di masjid-masjid sebagai hebahan serta peringatan untuk semua pihak.

"Tetapi perkara ini berlaku lagi. Adakah sumbangan kepada masjid tidak boleh diberikan di tempat lain?" kata Mohamed Khusrin ketika dihubungi di sini hari ini.

Mingguan Malaysia hari ini menyiarkan berita yang dipetik dari lawan blog Selangordaily, bahawa William dibenarkan masuk ke ruang solat masjid itu untuk memberi bantuan.

Kejadian itu berlaku sehari selepas Ahli Parlimen Serdang daripada DAP, Teo Nie Ching 'bertazkirah' di ruang solat Surau Al-Huda, Kajang Sentral tanpa menutup aurat.

Mohamad Khusrin yang juga Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) memberitahu, ekoran tindakan tersebut nazir Masjid At-Taqwa, Mizan Mamat telah dipanggil untuk memberi penjelasan.

"Seperti dilaporkan dalam media, beliau (Mizan) memberi alasan bahawa MAIS tidak pernah mengeluarkan arahan bahawa orang bukan Islam tidak dibenarkan dibawa masuk ke masjid.

"Jawapan itu tidak harus dijadikan alasan kerana larangan tersebut sepatutnya sudah menjadi common sense bagi orang Islam lebih-lebih lagi jika ada kaitan dengan politik," jelas beliau.

Beliau berkata, memang semasa zaman Rasulullah SAW dahulu, ada orang Yahudi dibenarkan masuk ke masjid tetapi niatnya untuk mengetahui lebih mendalam mengenai agama Islam, bukan dengan agenda politik seperti yang berlaku sekarang.

Mengulas lanjut, Mohamed Khusrin memberitahu, pihaknya sedang mengumpul maklumat lengkap sebelum sebarang tindakan diambil mengikut peruntukan dalam enakmen pentadbiran agama Islam di Selangor.

"Kita akan mendapatkan keterangan daripada beberapa pihak lagi termasuk William dan penghulu di kawasan tersebut yang dijangka siap dalam minggu depan," ujarnya.


patut rujuk majlis fatwa - Khir Toyo

SHAH ALAM 29 Ogos - 'Fatwa' yang dikeluarkan oleh Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bahawa orang bukan Islam boleh memasuki ruang solat dan mengadakan ceramah politik di dalam masjid dan surau, boleh mengelirukan umat Islam.

Ketua Pembangkang Selangor, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo berkata, kenyataan itu tidak selaras dengan keputusan Jawatankuasa Majlis Fatwa negeri-negeri sama ada di Selangor atau Kelantan sendiri yang melarang orang bukan Islam memasuki ruang solat masjid dan surau serta ditegah menyampaikan ceramah di dalam tempat ibadat itu.

Jelas beliau, Nik Abdul Aziz sepatutnya merujuk dan mendapatkan pandangan Jawatankuasa Majlis Fatwa Negeri Kelantan terlebih dahulu sebelum membuat sebarang kenyataan ataupun 'fatwa' mengenai isu tersebut.

"Ini kerana kenyataan tersebut keluar daripada seorang pemimpin politik dan bukannya daripada seorang ulama. Malah, Nik Abdul Aziz sendiri bukannya Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Kelantan yang menentukan larangan berkenaan.

"Sebagai seorang ahli politik, apa yang saya lihat kenyataan beliau sudah tentulah memihak kepada kepentingan politik yang diwakilinya. Namun paling membimbangkan kenyataan itu boleh mengelirukan umat Islam dalam soal berkenaan," katanya.

Beliau diminta mengulas kenyataan Nik Abdul Aziz yang disiarkan dalam portal berita milik Pas, Harakahdaily.net hari ini yang menyatakan orang bukan Islam boleh memasuki masjid atau surau termasuk mengadakan ceramah di dalam tempat ibadat umat Islam itu.

Menurut Menteri Besar Kelantan itu, tindakan pihak tertentu membenarkan Ahli Parlimen Serdang, Teo Nie Ching memasuki ruang solat Surau Al-Huda, Kajang Sentral sebelum ini tidak seharusnya dijadikan polemik kerana kononnya ia boleh menjauhkan hubungan orang bukan Islam kepada Islam terutama dalam soal berdakwah kepada golongan itu.

Mohamad Khir yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang turut mengkritik kenyataan Nik Abdul Aziz mengenai hubungan antara orang bukan Islam dengan orang Islam terjejas ekoran larangan tersebut.

Beliau menegaskan, semua pihak perlu faham ruang solat hanya untuk orang Islam kerana jika dibuka kepada mereka daripada agama lain dikhuatiri boleh mencemarinya ekoran cara hidup, kepercayaan dan amalan seharian mereka adalah berbeza dengan umat Islam.

"Jika bercakap dalam soal berdakwah, apakah ia hanya boleh dilakukan di dalam ruang solat masjid atau surau semata-mata?

"Sebaliknya, di kawasan lain di masjid dan surau pun boleh berdakwah sama ada di pekarangan, dewan atau bilik-bilik kuliah di dalam kawasan masjid atau surau.

"Nik Abdul Aziz seharusnya tahu membezakan di antara ruang solat dengan kawasan-kawasan lain di dalam masjid dan surau. Lebih-lebih lagi jika ceramah yang diadakan oleh orang bukan Islam itu boleh memecahbelahkan masyarakat dan umat Islam," katanya.

Dalam pada itu, Mohamad Khir berkata, Islam tidak seharusnya dijadikan 'alat' oleh pemimpin bukan Islam untuk mencari populariti politik.

"Sepatutnya, mereka perlu menghormati agama Islam termasuklah sensitiviti umatnya di negara ini," tambah beliau.

Namun apa yang berlaku sekarang ujar beliau, ialah orang bukan Islam menggunakan institusi Islam, program berbentuk Islam, ayat-ayat al-Quran untuk mengadakan kempen atau ceramah meraih sokongan politik.

"Jika mereka benar-benar mahu menggunakan semua itu, saya cabar mereka supaya masuk, fahami dan beriman sebagai seorang penganut Islam," tegasnya.

Habis....


Pas parti ekstrem - Zam

KUALA LUMPUR 29 Ogos - Pas yang kini dilihat mengambil pendekatan liberalisme dalam mencari sokongan politik sebenarnya sebuah parti ekstrem yang pernah meminta bekas Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman merampas harta orang Cina tempatan selepas tragedi 13 Mei 1969.

Bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Zainuddin Maidin ketika mendedahkan perkara itu berkata, parti berkenaan juga pernah menyokong Indonesia mengambil alih pemerintahan negara dan menangkap para pemimpin tempatan semasa era konfrontasi dengan negara jiran tersebut.

Justeru, kata beliau, tindakan itu mencerminkan Pas merupakan sebuah pertubuhan politik bersifat perkauman berasaskan ekstremisme kepada Islam yang bertentangan dengan ajaran agama berkenaan.

"Ini permainan politik mereka. Mana ada mahu laksanakan hukum hudud sedangkan seorang wanita yang bogel dan terdedah di khalayak walhal berjawatan Ahli Dewan Undangan Negeri telah diterima oleh Nik Aziz sebagai satu keharusan, skandal dan sebagainya.

"Bagaimana Pas boleh sesuaikan diri dengan aspek tidak bermoral begini?" soalnya dalam wawancara eksklusif dengan UMNO-online.com yang disiarkan portal itu hari ini.

Selain menyelar Pas, Zainuddin menyifatkan kerjasama parti itu dengan DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) kini penuh dengan kepura-puraan dalam mewujudkan kerjasama politik antara pakatan pembangkang.

Beliau memberitahu, UMNO telah menentang keras pendirian ekstrem Pas itu dan mendedahkan ketaksuban parti itu dalam hal keagamaan seperti kenyataan Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang pernah 'mengkafirkan' ahli-ahli UMNO.

"Selepas pendedahan ini, kita jadikan mereka (Pas) lebih beradab dan bersopan. Mengapa sekarang mereka nak menuduh kita (UMNO) perkauman sedangkan kita sudah biasa buat penyesuaian melalui perpaduan Cina, Melayu, India dan kaum lain dengan lebih besar," tegasnya.

Justeru, katanya, UMNO bukan baru hari ini percaya kepada konsep liberalisme tetapi bersifat liberal sejak awal penubuhan negara lagi.

Mengenai DAP pula, katanya, parti itu yang kononnya mahu mencontohi PAP di Singapura tidak mampu berbuat demikian kerana PAP mengambil tindakan terhadap mana-mana ahlinya yang didapati terlibat dalam salah laku moral.

"Menterinya (Singapura) yang terlibat akan dibuang dan jika diketahui rasuah, ada yang belum bicara lagi sudah bunuh diri. Bagaimana pula dengan DAP?" soalnya.

Baginya, PKR pula adalah sebuah parti yang hanya mahukan kuasa dengan kegilaan tersebut berkisar ke arah perjuangan seorang individu sahaja.

"PKR parti yang belum matang di peringkat bawah dengan perjuangan yang tidak berprinsip iaitu cuba menyesuaikan diri dengan DAP apabila bersama parti itu dan menukarkan watak apabila bersama dengan Pas.

"Asal saja ia memberi pulangan kepada pemimpin atasannya untuk naik ke atas," tegasnya


Henti cemari kesucian agama


NAJIB Tun Razak memeluk Mohd. Al-Faten Abdullah semasa Perdana Menteri bersahur bersama anak-anak yatim Rumah Amal Limpahan Kasih, di Puchong, semalam.Turut kelihatan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar dan Ahli Dewan Undangan Negeri Seri Serdang, Datuk Dr. Mohamad Satim Diman.


KEPALA BATAS 28 Ogos - Semua pihak diingatkan supaya menghentikan perbuatan yang mencemari kesucian agama semata-mata untuk meraih keuntungan politik kerana ia boleh mengundang ketegangan di kalangan masyarakat berbilang kaum di negara ini.

Bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi menegaskan, semua pihak perlu berpegang kepada prinsip hormat-menghormati antara kaum dan tidak melakukan perkara yang menyentuh sensitiviti agama sehingga menimbulkan keresahan dan rasa tidak puas hati dalam masyarakat.

Sambil merujuk polemik tindakan Ahli Parlimen Serdang, Teo Nie Ching menyampaikan sumbangan dan 'tazkirah' di sebuah surau baru-baru ini, Abdullah yang juga Pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) berkata, kontroversi itu sebenarnya boleh dielakkan sejak awal lagi.

''Ini boleh dielakkan kalau dia (Nie Ching) menggunakan kefahamannya. Dia tentu mengetahui bahawa perbuatannya itu bakal menimbulkan reaksi tidak baik kerana jelas ia menyentuh sensitiviti agama Islam dan dia tentunya memahami perkara itu.

''Jadi adakah ia sengaja dilakukan untuk mengundang reaksi-reaksi tidak baik? Adakah dengan reaksi itu, maka ada niat tertentu untuk timbulkan perkara tidak diingini dalam masyarakat? Kita tidak mahu begini, ia patut dihentikan.

''Jangan kita nak buat benda-benda baru (dengan andaian) ia tidak pernah dilakukan orang sebelum ini, maka ia bukan satu kesalahan. (Persepsi) ini tidak betul kerana sensitiviti agama itu akan sentiasa ada dan orang tidak akan lupa," katanya.

Abdullah yang juga Ahli Parlimen Kepala Batas berkata demikian selepas menyampaikan bantuan Aidilfitri kepada kira-kira 300 golongan miskin dari kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pinang Tunggal di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas kemurkaan dan rasa dukacita Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah ekoran tindakan Nie Ching menyampaikan sumbangan dan 'tazkirah' di ruang solat Surau Al-Huda di Kajang Sentral, Ahad lalu.

Tindakan wakil rakyat DAP itu turut dikecam pelbagai pihak kerana dianggap biadab serta tidak menghormati agama Islam dan kesucian institusi masjid.

Abdullah yang kesal dengan perkembangan itu berkata, semua pihak perlu memahami bahawa keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini berjaya dikekalkan ekoran semangat hormat-menghormati yang diamalkan selama ini dan ia mesti dipertahankan.

Beliau menjelaskan, rasa tidak puas hati umat Islam dalam isu tersebut tidak bermakna mereka merupakan golongan pelampau sebaliknya semua pihak perlu memahami bahawa terdapat perkara-perkara sensitif dalam agama yang perlu dihormati.

''Saya percaya orang Islam tidak senang dengan perkara itu dan tentunya orang bukan Islam juga begitu, justeru masing-masing perlu memahami apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan supaya isu-isu sensitif ini tidak timbul.

''Masing-masing kena ingat supaya tidak melakukan perkara-perkara yang boleh menimbulkan ketegangan apatah lagi dalam soal agama. Kalau semua orang boleh pegang prinsip ini maka isu-isu begini akan dapat dielakkan,'' ujarnya.


Bukan Islam berilmu sahaja boleh tazkirah

KUALA TERENGGANU 28 Ogos - Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Harun Taib berkata, orang bukan Islam boleh memberi ceramah atau tazkirah kepada orang Islam termasuk di dalam masjid atau surau sekiranya mereka mempunyai ilmu agama Islam yang tinggi.

Katanya, di negara Barat ramai cerdik pandai, profesor dan sebagainya yang bukan Islam tetapi mereka mengajar orang Islam mengenai Islam.

''Hanya orang bukan Islam yang ada ilmu agama Islam yang cukup sahaja boleh beri tazkirah kepada umat Islam. Kalau ada orang Islam yang tak cukup ilmu agama, mereka juga tak boleh beri tazkirah," katanya kepada Mingguan Malaysia di sini, hari ini.

Ditanya bagaimana sekiranya orang bukan Islam yang menyampaikan tazkirah tidak mempunyai pengetahuan yang mendalam tentang Islam, Harun menjelaskan ia adalah dilarang.

Beliau yang juga Pesuruhjaya Pas Terengganu diminta mengulas isu Ahli Parlimen Serdang dari DAP, Teo Nie Ching menyampaikan sumbangan serta tazkirah di dalam Surau Al-Huda di Kajang Sentral Ahad lalu.

Bagaimanapun dalam isu berkenaan, Harun berkata, tindakan Nie Ching itu bukan satu kesalahan atau menyalahi hukum Islam.

Sementara itu, Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub berkata, isu tersebut hanya melibatkan isu adab dan bukan persoalan sama ada bukan Islam dibenarkan masuk atau tidak ke dalam rumah ibadat berkenaan.

Katanya, persoalan itu bukan isu kerana muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Islam Malaysia Ke-90 pada 1 Mac lalu telah memutuskan individu dan pelancong bukan Islam diharuskan memasuki masjid dan surau termasuk ruang solat utama.

"Ini mungkin (soal) adab iaitu satu perkara lain yang harus diperkirakan, macam masuk ke Masjid Jamek di Kuala Lumpur harus pakai tudung," katanya pada sidang akhbar.

Salahuddin berkata, tindakan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) yang melarang bukan Islam masuk ke dalam masjid dan surau adalah bertentangan dengan muzakarah itu.




Tanggung risiko sentuh sensitiviti kaum

KUALA KANGSAR 28 Ogos - Sesiapa sahaja yang mengeluarkan kenyataan menyentuh isu-isu berkaitan sensitiviti kaum dan agama perlu menanggung risiko apabila ia dilaporkan kepada pihak berkuasa.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berkata, setiap rakyat di negara ini terutama pemimpin masyarakat perlu bertanggungjawab dengan setiap tindakan dan ucapan yang dilakukan dan disampaikan.

Bagi memastikan isu-isu menyentuh perhubungan kaum tidak terus dimanipulasikan, katanya, kerajaan menerusi Jawatankuasa Kabinet Berkenaan Penguatkuasaan Undang-Undang akan memantau setiap isu yang berbangkit.

Tegasnya, kerajaan tidak akan berkompromi terhadap usaha pihak-pihak tertentu yang mahu memecah-belahkan rakyat pelbagai kaum di negara ini.

''Kita (kerajaan) tidak boleh bertolak-ansur terhadap isu perkauman sama ada membabitkan golongan minoriti atau majoriti.

''Saya akan pastikan sekiranya ada laporan polis dibuat dan selepas disiasat, ia akan diserahkan kepada Peguam Negara. Saya akan memantau, kalau ada kes ia mesti didakwa dan dakwaan itu mesti cepat," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan Aidilfitri kepada 300 penerima dalam kawasan Parlimen Padang Rengas di Pusat Khidmat Masyarakat Barisan Nasional (BN) di Lubok Merbau di sini, hari ini.

Menurut Mohamed Nazri, selain beliau sebagai pengerusi, jawatankuasa yang akan bermesyuarat sebulan sekali itu turut dianggotai Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein; Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim; Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail.

''Khamis lalu kita mengadakan mesyuarat yang kedua. Dalam mesyuarat itu kita akan memantau kes-kes yang mempunyai kesan dalam masyarakat, 'ikan besar' serta kes-kes melibatkan kepentingan umum," katanya.

Antara isu dibincangkan dalam mesyuarat itu katanya, ialah kes membabitkan seorang pengetua sekolah di Johor yang didakwa mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman dan tindakan empat remaja Cina menyimbah cat merah dan botol arak ke sebuah surau di Negeri Sembilan.

Mohamed Nazri berkata, beliau tidak boleh menerima alasan yang mengatakan sesuatu tindakan atau kenyataan yang diucapkan sebagai 'salah tanggapan'.

''Saya tak boleh terima alasan yang diberikan kononnya ada salah tanggapan. Bila kita berucap, ucapan kita itu kena dijaga, jangan boleh disalah tafsir. Jadi saya tidak setuju kalau ada alasan mengatakan sebenarnya mereka di salah tafsir. Ini tidak betul," ujarnya.

Ditanya tanggapan orang ramai bahawa kerajaan hanya bertindak tegas terhadap kes-kes yang membabitkan orang Melayu, beliau berkata persepsi itu tidak betul.

''Macam mana dengan remaja Cina yang baling cat merah ke surau. Hari ini buat, esok dah kena tangkap,'' jelasnya.

Beliau berkata, tindakan diambil berdasarkan kesalahan yang dilakukan, bukan melihat pelaku itu Melayu atau bukan Melayu.

Dalam perkembangan sama katanya, isu-isu perkauman kerap disiarkan kebelakangan ini kerana mengamalkan kebebasan akhbar.

''Saya rasa akhbar memainkan peranan yang baik kerana perkara seperti ini mesti dilapor, kalau tidak ia akan berlaku tanpa pengetahuan kita dan kita rasa seolah-olah bebas daripada isu perkauman.

''Peranan akhbar juga ialah untuk membantu kerajaan menghapuskan isu perkauman di negara kita,'' katanya


Pemuda UMNO Selangor serah memorandum bantah ”tazkirah”

28/08/2010 6:42pm

SHAH ALAM 28 Ogos – Pemuda UMNO Selangor hari ini menyerahkan memorandum kepada Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berhubung tindakan seorang Ahli Parlimen Selangor daripada DAP yang menyampaikan sumbangan dan memberi ”tazkirah” di ruang solat Surau Al-Huda, Kajang Sentral, Ahad lepas.

Ketua Penerangannya, Safarizul Mustafa berkata, tindakan Ahli Parlimen Serdang, Teo Nie Ching itu tidak harus dipandang ringan kerana jelas bertentangan dengan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang mahu kesucian surau dan masjid dipelihara.

"Kami memandang serius ahli politik dan orang bukan Islam memberi ucapan dalam masjid atau surau di Selangor sebab ia seolah-olah tidak mempedulikan sensitiviti umat Islam serta boleh mengancam ketenteraman awam dan keselamatan negara,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan memorandum itu di Kediaman Rasmi Menteri Besar Selangor di sini.

Safarizul berkata, memorandum tiga muka surat itu antara lain mendesak kerajaan Selangor menerusi Pejabat Menteri Besar, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menyingkirkan Datuk Dr. Hasan Mohamed Ali daripada jawatan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam dan Adat-adat Melayu negeri.

Katanya, ini kerana Dr. Hasan yang juga Pesuruhjaya Pas Selangor, dilihat gagal memberi nasihat kepada wakil rakyat bukan Islam daripada DAP berhubung apa yang dibenarkan dan batasan dalam Islam.

"Pemuda UMNO Selangor juga mahu pengerusi, imam dan anggota jawatankuasa Surau Al-Huda yang menjemput dan membenarkan Nie Ching menyampaikan ”tazkirah” tanpa tauliah di surau itu dipecat serta-merta,” katanya. – Bernama



Rujuk majlis agama untuk benarkan bukan Islam masuk masjid

28/08/2010 2:08pm

YAN 28 Ogos – Jawatankuasa masjid atau surau diminta merujuk kepada majlis agama Islam negeri-negeri dalam soal membenarkan orang bukan Islam memasuki masjid bagi mengelakkan sebarang tindakan yang boleh mengelirukan masyarakat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, setiap negeri mempunyai panduan masing-masing dalam soal itu dan jawatankuasa atau pengurusan masjid perlu mematuhi panduan tersebut dan tidak sepatutnya sewenang-wenangnya membenarkan orang bukan Islam memasuki masjid terutama di ruang solat.

Katanya, rumah ibadat agama lain pun, mereka mempunyai garis panduan dalam membenarkan penganut agama lain memasuki tempat ibadat mereka.

” Kita tiada masalah untuk penganut agama lain masuk ke masjid atau surau.

“Ada masjid-masjid kita benarkan pelancong bukan Islam masuk tetapi kita sediakan garis panduan seperti yang wanita kena menutup kepala dan sebagainya.

” Kalau nak bawa masuk bukan Islam kenalah minta kebenaran majlis agama Islam negeri-negeri. Orang bukan Islam pun kenalah hormat dengan tempat ibadat umat Islam,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan zakat kepada fakir miskin di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas laporan sebuah akhbar semalam mengenai Ahli Parlimen Serdang, Teo Nie Ching dari DAP yang memasuki ruang solat utama Surau Al-Huda, Kajang Sentral Ahad lepas untuk memberi “tazkirah”, tanpa menutup kepala.

Jamil Khir berkata, isu yang berlaku di Kajang itu tidak sepatutnya timbul jika jawatankuasa surau berkenaan merujuk kepada majlis agama Islam negeri dan memahami garis panduannya.

”Hal-hal seperti ini boleh diselesaikan dengan perbincangan antara jawatankuasa masjid atau surau dengan majlis agama Islam negeri. Apa yang penting mereka kena maklumkan,” katanya. – Bernama


MAIS hantar surat amaran kepada Ahli Parlimen Serdang

27/08/2010 10:09pm

SHAH ALAM 27 Ogos – Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) akan menghantar surat amaran kepada Ahli Parlimen Serdang, Teo Nie Ching dari DAP yang dilaporkan menyampaikan ceramah di ruang solat Surau Al-Huda di Kajang Sentral pada Ahad lepas.

Pengerusi MAIS, Datuk Mohamad Adzib Mohd. Isa dalam satu kenyataan media di sini hari ini berkata, tindakan Nie Ching itu menyebabkan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah murka dan berduka cita.

Beliau berkata, baginda telah mengarahkan MAIS supaya mengambil tindakan segera dan tegas terhadap pengurusan surau terbabit.

"MAIS sudah memanggil pengurusan surau berkenaan semalam untuk menjelaskan isu itu.

“Selepas meneliti penjelasan daripada pihak terbabit, MAIS mendapati bahawa ucapan Ahli Parlimen itu di dalam dewan solat surau berlaku seperti yang dilaporkan,” katanya.

Media hari ini menyiarkan laporan sebuah laman blog yang mendakwa Nie Ching memasuki ruang solat Surau Al-Huda dalam satu majlis penyampaian bantuan kepada ahli-ahli Pas, Ahad lepas.

Laman blog itu turut menyiarkan gambar wakil rakyat terbabit dalam keadaan tidak bertudung dan hanya memakai kebaya pendek sambil berdiri di bahagian imam ruang solat surau berkenaan. – Bernama


Ahli Parlimen Serdang langgar titah Sultan Selangor?

KUALA LUMPUR 26 Ogos - Pengerusi Jawatankuasa Surau Al-Huda Kajang Sentral, Azemi Ahmad mengesahkan Ahli Parlimen Serdang, Teo Nie Ching telah masuk untuk berceramah dan menyampaikan sumbangan moreh kepada surau tersebut.

Bagaimanapun, Azemi berkata, isu itu tidak perlu digembar-gemburkan kerana tiada apa yang boleh dipolitikkan.

"Saya berharap pihak media tidak memperbesarkan isu Nie Ching masuk ke surau kerana bimbang akan timbul fitnah.

"Sempena bulan Ramadan yang mulia ini, saya mahu semua pihak berfikir secara waras dan rasional sebelum membuat kesimpulan," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau turut meminta orang ramai supaya membaca sendiri laman web www.wretch.cc/blog/teonieching Ahli Parlimen Serdang tersebut untuk mendapatkan penjelasan sebenar.

Kehadiran ahli Parlimen tersebut di surau itu pada pada 22 Ogos lalu telah mendapat bantahan orang ramai terutamanya umat Islam.

Blog-blog politik seperti http://gerakan-anti-pkr.blogspot.com/ dan http://bumiyang.blogspot.com/ mendakwa tindakan tersebut merupakan satu penghinaan kepada umat Islam serta telah mencemarkan kesucian rumah Allah.

Menurut mereka adalah tidak wajar berpolitik di surau kerana bertentangan dengan titah Sultan Selangor yang melarang masjid dan surau dijadikan pentas politik.

Mengikut Mazhab Syafie, bukan Islam haram dan ditegah sama sekali untuk masuk ke dalam masjid sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah At Taubah, ayat 28.

Sementara itu, tinjauan Utusan Malaysia di surau tersebut mendapati hanya enam orang Islam warga asing yang menunaikan solat dan tidak kelihatan AJK surau tersebut semasa solat Maghrib malam ini.

Surau tersebut kelihatan malap dan tiada sambutan berbanding Surau Al Hidayah yang terletak 500 meter dari surau tersebut.



Penghinaan yang amat besar kepada umat Islam

SHAH ALAM 26 Ogos - Pertubuhan bukan kerajaan yang mewakili orang Melayu dan Islam di negeri ini mengutuk sekeras-kerasnya tindakan Ahli Parlimen Serdang, Teo Nie Ching daripada DAP yang didakwa memasuki sebuah surau dan memberikan ucapan di dewan utama solat di Kajang Sentral dekat sini baru-baru ini.

Mereka menyifatkan tindakan Nie Ching itu merupakan satu bentuk penghinaan ke atas umat Islam bukan hanya di Selangor tetapi di seluruh negara ini memandangkan Ahli Parlimen berkenaan jelasnya adalah bukan Islam.

Yang Dipertua Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) Selangor, Abdullah Mansor berkata, pihaknya memandang serius tindakan Nie Ching kerana ia bukan sahaja bertentangan dengan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berhubung larangan menggunakan masjid dan surau untuk tujuan politik sebelum ini.

Sebaliknya, beliau menyatakan tindakan itu juga turut bertentangan dan menyalahi hukum kerana orang bukan Islam tidak boleh memasuki ruang solat masjid atau surau apatah lagi untuk menyampaikan ceramah kepada umat Islam dalam rumah ibadat itu.

Jika benar dakwaan ini, ia betul-betul satu penghinaan yang amat besar kepada umat Islam apabila ada seorang bukan Islam yang keadaannya tidak 'bersih' memasuki ruang solat utama surau berkenaan untuk mengadakan majlis dan membuat ucapan di situ.

"Apakah kerana politik, maka hukum dan larangan orang bukan Islam masuk ke dalam ruang solat masjid dan surau boleh dihalalkan," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Abdullah berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan bahawa Nie Ching memasuki ruang solat Surau Al-Huda, Kajang Sentral dalam satu majlis penyampaian bantuan kepada ahli-ahli Pas pada 22 Ogos lalu.

Malah, dakwaan yang disiarkan dalam sebuah laman blog, http://anginperubahan.blogspot itu turut menyatakan bahawa Nie Ching turut menyampaikan 'tazkirah' kepada umat Islam di dalam surau berkenaan dalam keadaan tidak bertudung.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Gabungan Pertubuhan Sukarela Selangor (MGPSS), Datuk Mat Yasir Ikhsan menyelar tindakan pihak jawatankuasa surau Al-Huda jika benar mereka membiarkan orang kafir memasuki ruang solat dan memberikan ucapan dalam rumah ibadat itu.

Katanya, sebagai pihak yang bertanggungjawab menjaga dan menguruskan aktiviti surau terbabit, barisan jawatankuasa surau itu seharusnya bersikap lebih peka dan sensitif dalam hal melibatkan persoalan agama.

Malah, beliau turut mempersoalkan adakah ideologi politik yang menjadi kepercayaan ahli-ahli Pas yang dikatakan berada dalam surau berkenaan melebihi daripada hukum dan larangan yang ditetapkan oleh ajaran Islam.

"Jika mahu memberikan bantuan atau mengadakan ucapan, kenapa tidak pilih saja tempat lain, kenapa perlu diadakan di dalam ruang solat surau berkenaan," tegasnya.

Dalam masa sama, Mat Yasir tidak menolak kemungkinan tindakan Nie Cing itu hanyalah sebagai gimik politik untuk menarik sokongan politik di kalangan orang Melayu kononnya parti yang diwakili mereka ini baik dan tidak mengira agama dan kaum.

Walhal, katanya, orang Melayu sebenarnya telah muak dengan permainan politik sedemikian yang memperlihatkan bagaimana murah dan mudahnya martabat Islam diperkotak-katikkan oleh pihak tertentu untuk kepentingan mereka

Tiada ulasan: