Selasa, 24 Ogos 2010

TUMBANG TAK TUMBANG KERJA ALLAH....USAHA UTK ISLAM IKHLAS SERTA JUJUR ...ALLAH AKAN BANTU ...INSYAALLAH

PAS minta pemimpin Pakatan hentikan debat hudud
Kuek Ser Kuang Keng
Ogos 24, 10
5:56pm

Ahli jawatankuasa pusat PAS Dr Dzulkefly Ahmad menggesa pemimpin Pakatan Rakyat supaya menghentikan perbalahan mengenai ura-ura hukum hudud akan dilaksanakan jika mereka membentuk kerajaan persekutuan.

Menurut Dzulkefly sekiranya perbalahan umum itu berterusan, maka sejarah akan berulang yang menyaksikan pakatan pembangkang menumbangkan sesama mereka. Kali terakhir, kejadian seumpama itu berlaku pada 2001 apabila DAP meninggalkan pakatan Barisan Alternatif .

Katanya, pemimpin Pakatan sepatutnya menggunakan rangka kerja polisi umum (CPF) yang digubal pada Disember lalu sebagai panduan.

"Pakatan harus faham apa yang perlu mereka dilakukan dalam politik campuran kerana setiap parti mesti mendukung polisi dan objektif umum yang sama,” kata Dzulkefly, yang juga adalah anggota urusetia kepimpinan Pakatan ketika dihubungi.

"Dalam Pakatan, kita mempunyai alasan yang lebih daripada mencukupi untuk merangka polisi umum yang dapat diterima semua pihak.”

Sejarah mungkin berulang?

Pada 2001, DAP meninggalkan Barisan Alternatif secara tergesa-gesa apabila PAS berkeras mempertahankan bahawa parti itu akan menubuhkan negara Islam yang berpaksikan undang-undang Islam dan hukum hudud jika berkuasa.

Dzulkefly berkata pemimpin Pakatan mesti belajar dari sejarah dan mengelakkan pergeseran yang mungkin memecah-belahkan mereka sekali lagi.

Katanya, sekutu Pakatan - PAS, DAP dan PKR perlu fokus terhadap rangka polisi umum (CPF) dan matlamat mereka untuk pilihan raya umum akan datang, di samping menghormati ideologi masing-masing.

Dzulkefly menggesa rakan-rakan parti lain supaya menerima hakikat bahawa PAS adalah “parti Islam demokratik” yang beroperasi dalam rangka kerja demokrasi.

"PAS pula mesti fahami bahawa apa yang kami lakukan, kita mesti lakukan dengan mandat orang ramai. Kita tidak boleh paksa orang ramai terima Islam. Ini akan timbulkan kegelisahan dan ketakutan di kalangan bukan Islam dan ada kalanya orang Islam sendiri.”

Beliau menjelaskan hudud dan penubuhan negara Islam bukan sebahagian dari CPF dan jika ditakdirkan PAS memenangi semua kerusi parlimen yang ditandinginya pada 2008, parti Islam itu masih tidak berupaya melasanakannya tanpa sokongan daripada sekutu mereka di Pakatan.

Bertelagah sampai kiamat

"Bagi pilihan raya ke-13, agenda ini bukannya relevan kerana kita bukan berlawan sesama sendiri. Selagi BN mengeksploitasi dikotomi ini, ia menjadi tumit Achilles bagi Pakatan.

"Dan selagi hudud dan penubuhan negara Islam menjadi satu momokan untuk DAP manakala PAS pula menentang negara sekular, maka kedua-dua mereka akan bertelagah sehingga hari kiamat, maka BN dan Umno akan terus menguasai negara ini dan kita boleh lupakan hasrat mengambil-alih kerajaan persekutuan.”

Pengerusi DAP Karpal Singh dan penasihat parti itu, Lim Kit Siang, baru-baru ini sekali lagi bertikam lidah dengan Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat yang mencadangkan hukum hudud dilaksanakan jika ditakdirkan Pakatan mengambil-alih kerajaan persekutuan.

Menurut Nik Aziz undang-undang Islam diperlukan bagi membanteras gejala sosial, tetapi Karpal dan Lim bertegas, perlembagaan Malaysia menentukan bahawa negara ini akan ditadbir oleh undang-undang dan konvensyen sekular..



Negara Islam: BN buat 'pukulan maut' pada DAP
Mei 11, 10 5:09pm
Dengan kempen pilihan raya masuk hari ketiga, BN dan pakatan pembangkang kini bertumpu kepada isu negara Islam dengan kedua-dua pihak mencabar pendirian masing-masing berhubung perkara itu.

Ia merupakan suasana yang berbeza memandangkan kebiasaaannya isu tempatan mengatasi isu nasional dalam pilihan raya Sarawak. BN diwakili Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) yang mengambil pendirian tegas berhubung isu itu dan sebaliknya mencabar DAP sama ada sama ada parti itu menyokong negara Islam seperti yang dibawa rakannya PAS.

"Ini merupakan cabaran kami kepada DAP. Mereka asyik bercakap mengenai perubahan. Kami mahu mereka nyatakan sama ada mereka sokong sebuah negara Islam.

"Kami mahu pemimpin DAP, jika mereka benar-benar serius bagi membawa masa depan yang lebih baik bagi Sarawak, mereka mesti umumkan bahawa mereka tidak mahu sebuah negara Islam ala PAS," kata ketua publisiti SUPP Sibu Daniel Ngieng pada sidang akhbar sempena pilihan raya kecil di Sibu hari ini.

Ngieng mendakwa bahawa rakyat di Sibu tidak menerima PAS atau rakan-rakan lain DAP seperti PKR dan bahawa ceramah (perhimpunan politik) yang diadakan oleh pemimpin PAS dan PKR setakat ini tidak mendapat sambutan.

"Apa yang orang lihat di semenanjung adalah berbeza dengan apa yang orang di Sarawak lihat pada sesuatu perkara. Kita merupakan dua masyarakat yang berbeza," katanya.

Beliau juga mempersoal kenapa pemimpin DAP begitu takut dengan konsep 1Malaysia kerana Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hanya mahu menyatupadukan semua kaum, tanpa mengira budaya, agama dan latar belakang.

Poster mee kampua sindir DAP

"Kenapa DAP begitu takut dengan 1Malaysia. Adakah kerana mereka mempunyai fahaman berbeza mengenai Malaysia, sebelum ini Malaysian Malaysia dan kini Middle Malaysia?

Cabaran dari SUPP datang semasa kedua-dua pihak bersiap sedia untuk menarik sokongan pengundi di Sibu, terutama kaum Cina yang merupakan 67 peratus pengundi di kawasan itu.

Berdasarkan keputusan sebelum ini, hanya kira-kira 38 peratus pengundi kaum Cina menyokong BN di kawasan itu berbanding dengan 75 sehingga 85 peratus daripada masyarakat Melayu/Melanau.

Papan iklan dipasang di bandar hari ini, dengan yang paling menojol sekali ialah gambar Mee Kampua (kanan) dengan tulisan "Satu Undi bagi DAP merupakan satu undi bagi sebuah negara Islam" cara yang halus untuk memberitahu pengundi, terutama masyarakat Foochow di sini bahawa mereka mungkin kehilangan hidangan mee tradisional terkenal itu jika pakatan pembangkang berkuasa.

"Kampua merupakan hidangan popular Foochow yang mengandungi bahan babi. Memandangkan majoriti di sini adalah Foochow, kami berharap dengan berbuat demikian, ia boleh menghantar isyarat jelas kepada pengundi mengenai isu negara Islam," kata Ngieng.

Penasihat DAP Lim Kit Siang, pada sidang akhbar parti di sini hari ini, mengakui bahawa "BN telah memberikan satu pukulan maut" dengan menyentuh isu negara Islam melalui slogan yang berkesan ("Satu Undi Untuk DAP merupakan satu undi bagi sebuah negara Islam").

Tidak pernah nyatakan Malaysia negara sekular

"Kami kini menghadapi keadaan yang lebih sengit dalam berkempen. Jika kami tidak dapat pulih, kami akan tewas," katanya.

Lim (kanan) berkata bahawa kerana strategi ini beliau dan Pengerusi DAP sekarang Karpal Singh tewas dalam pilihan raya umum pada 1999, di mana beliau tewas di Bukit Bendera dan Karpal Singh di Jelutong (kedua-duanya kerusi Parlimen di Pulau Pinang).

"Di semenanjung, strategi ini mungkin tidak berjaya sekarang tetapi di sini keadaannya berbeza," katanya sambil memberikan contoh pilihan raya kecil Bukit Gantang di mana para pengundi di kampung baru Cina di Kuala Sepetang memberi sokongan hebat kepada calon PAS dan bekas Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin.

Para pemimpin DAP mengakui bahawa isu itu telah meletakkan mereka dalam keadaan bertahan dan kerana itu kenapa mereka membawa Nizar bagi menjelaskan isu itu kepada para pengundi melalui sesi ceramah parti.

Mereka juga mendakwa bahawa sejak 10 tahun kebelakangan ini kepimpinan teratas SUPP tidak pernah menyatakan pendirian mereka sama ada Malaysia merupakan sebuah sebuah negara sekular.

Bagaimanapun, Ketua SUPP Sibu Datuk Seri Wong Soon Koh (kiri) menolak pandangan Lim mengenai "pukulan maut" itu sambil berkata bahawa parti itu menganggap ia sebagai "perang saraf" sambil mengingatkan agar BN tidak terperangkap.

"DAP memang bijak dalam memanipulasi isu. Mereka boleh membuat gambaran bahawa jika sesuatu yang buruk berlaku di Sibu, ia merupakan kesilapan SUPP. Mereka akan membawa pelbagai isu setiap kali pilihan raya diadakan.

"Itu yang sebenarnya berlaku pada 1982 di mana Tan Sri Wong Soon Kai tewas kepada lawannya dari DAP," katanya.

- Bernama



Nik Aziz: Suara sumbang tolak hudud pendapat peribadi
Ogos 21, 10 4:30pm
Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berpendapat kenyataan pengerusi DAP Karpal Singh yang tidak bersetuju dengan cadangan PAS untuk melaksanakan hukum hudud adalah pandangan peribadi pemimpin parti pembangkang itu.

Menteri Besar Kelantan berkata suara-suara sumbang yang timbul mengenai hukum hudud adalah pendapat peribadi dan bukan kenyataan rasmi parti itu.

pas muktamar 130610 nik abdul aziz nik mat 1"Pemimpin DAP lain senyap, hanya dia yang timbul isu itu. Ini kerana apa yang ditimbulkan oleh pemimpin DAP itu merupakan pendapat perseorangan dan bukannya keputusan parti," katanya kepada pemberita ketika ditemui di rumahnya di Pulau Melaka, di Kota Baharu hari ini.

Nik Abdul Aziz (kiri) berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Karpal semalam yang tidak bersetuju dengan cadangan beliau pada Khamis lepas bahawa cara terbaik menangani masalah jenayah dan sosial ialah meminda undang-undang sivil dan digantikan dengan undang-undang hudud.

"Adalah silap bagi orang seperti Nik Aziz bercakap sesuatu yang tidak boleh diperkenalkan di negara ini. Perlembagaan Persekutuan hanya membenarkan Kanun Keseksaan dan undang-undang sivil lain dan tidak ada ruang untuk undang-undang hudud," kata Karpal.

Mursyidul Am PAS itu berkata beliau yakin Karpal menentang hukum hudud kerana tidak mendapat penerangan yang jelas mengenainya.

"Kebanyakan pemimpin DAP adalah terdiri daripada golongan berpelajaran, mereka sepatutnya mendapat penerangan mengenai perkara itu (hudud) daripada mereka yang arif di peringkat pusat," katanya dan menurutnya beliau sedia memberikan penerangan mengenai hukum hudud kepada Karpal.

Ketika ditanya apakah tindakan PAS untuk mengelak wujudnya suara-suara sumbang daripada rakan politiknya berhubung isu hukum hudud itu, Nik Abdul Aziz berkata ia adalah sesuatu yang sukar.

"Nak mengelak tu memang tak boleh...tugas kita ialah memberi, menerangkan kepada manusia jalan ke arah kebaikan," katanya.

--Bernama


Hudud bukan jawapannya, kata Karpal
Ogos 20, 10 8:30pm
Pengerusi DAP Karpal Singh berkata hari ini beliau tidak bersetuju dengan cadangan Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bahawa cara terbaik menangani masalah jenayah dan sosial ialah meminda undang-undang sivil dan digantikan dengan undang-undang hudud.

Karpal berkata partinya tidak dapat menerima sebarang bentuk pelaksanaan hudud di negara ini.

"Adalah silap bagi orang seperti Nik Aziz bercakap sesuatu yang tidak boleh diperkenalkan di negara ini. Perlembagaan Persekutuan hanya membenarkan Kanun Keseksaan dan undang-undang sivil lain dan tidak ada ruang untuk undang-undang hudud," katanya pada sidang akhbar di ibunegara hari ini.

Karpal mengulas kenyataan Menteri Besar Kelantan itu semalam bahawa adalah wajar untuk berbalik kepada hudud oleh kerana beliau dakwa undang-undang sivil sekarang gagal mengawal jenayah dan penyakit sosial.

Namun, kata Nik Aziz, keutamaan mestilah menerapkan taqwa atau pendidikan agama terlebih dulu di kalangan rakyat.

Karpal berkata beliau amat jelas dalam perkara itu dan tidak mahu berhujah dengan Nik Aziz kerana pandangan beliau (Karpal) berdasarkan apa yang dinyatakan dalam Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan negara sekular.

Karpal berkata pada 1988, Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa hanya undang-undang sivil terpakai di sesebuah negara sekular.

Katanya, beliau tidak bersetuju dengan cadangan kerajaan untuk mengenakan hukuman mati dalam kes buang bayi, dan menambah adalah lebih baik menubuhkan suruhanjaya diraja bagi menyiasat dan mengenalpasti punca masalah sebenar..


PAS mahu terang Islam pada Chua
Ogos 9, 10 4:12pm
Timbalan Presiden PAS Nasharudin Mat Isa hari ini menyatakan hasratnya mahu bertemu dengan Presiden MCA Datuk Seri Chua Soi Lek bagi menerangkan intipati Islam yang sebenar.

Ekoran ucapan kontroversi Chua berkaitan negara Islam baru-baru ini, Nasharudin berkata kenyataan itu muncul ekoran kekeliruannya terhadap Islam.

"Beliau mungkin tidak mendapat gambaran yang jelas mengenai kesucian, kesyumulan dan keindahan Islam sehingga gagal menafsirnya dalam kerangka agama yang tepat dan betul," katanya.

"Fakta-fakta yang dikemukakan oleh beliau bukan kerana kecacatan dan ketempangan Islam, bahkan ia adalah kesilapan pemerintah yang mengamalkan korupsi dan penyelewengan kuasa kerana gagal mengimplementasikan prinsip-prinsip Islam dalam pentadbiran negara."

Pada 6 Ogos lalu, Chua dilaporkan membidas kedua-dua Umno dan PAS kerana didakwa menggunakan agama bagi meraih sokongan di kalangan masyarakat Melayu.

Merujuk kepada buku Syed Akbar Ali, Malaysia and the Club of Doom, Chua menyenaraikan semula beberapa ciri-ciri umum di 57 negara-negara Islam di seluruh dunia, antaranya, kurang demokrasi kerana terlalu mementingkan agama, pemimpin Islam veteran menikmati kuasa mutlak dan membuat dasar yang tidak setara dengan pembangunan global.

Ucapan itu mengundang kritikan keras daripada pemimpin pembangkang sama ada yang Islam dan bukan beragama Islam, antaranya Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ketua Menteri Lim Guan Eng.

Dalam kenyataannya hari ini, Nasharudin berkata berbeza dengan kenyataan Chua, Islam mempunyai penyelesaian terhadap pemasalahan yang berlaku dan mampu menyelamat manusia di dunia dan di akhirat.

Menyifatkan terkilan dengan kenyataan Chua itu, Nasharudin yang juga ahli parlimen Bachok berkata, PAS memperjuangkan Islam yang tulen.


Negara Islam tak progresif: DAP bidas MCA
Susan Loone
Ogos 7, 10
10:28am

Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng menganggap pandangan presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek yang memberi gambaran bahawa negara-negara Islam sebagai tidak progresif dan mengamalkan rasuah sebagai mengarut.

national integrity conference anwar lim guan eng 070810 02Menurut Lim, Chua pada Konvensyen Tahunan ke-33 MCA Kedah di Alor Star, semalam telah memberi tanggapan negatif kononnya negara-negara Islam itu “tidak progresif, korup, miskin dan terkebelakang”.

Katanya, Chua sepantutnya mendidik dirinya dengan mendalami sejarah tamadun Islam yang mencerminkan kegemilangan yang tidak hanya terhad kepada empayar global malah di dalam pembangunan seni, pembelajaran, pengenalan angka, algebra dan astronomi.

"Negara Islam Muslim menderita sebagaimana dialami oleh India dan China dahulu. Hanya ketika India dan China bebas, merdeka serta tidak lagi didominasi kuasa imperialis, barulah kedua-dua negara ini dapat menunjukkan potensi dan mengambil tempat di persada dunia sebagai kuasa ekonomi," katanya ketika berucap di Persidangan Intergriti Antarabangsa di Pulau Pinang hari ini.

“Saya yakin negara-negara Islam mampu mengembalikan kegemilangan silam mereka, jika negara-negara berkenaan tidak lagi dikongkong seperti India dan China,” katanya.

national integrity conference anwar lim guan eng 070810 03Lim, yang juga adalah setiausaha agung DAP berkata sejarah membuktikan negara-negara Islam juga boleh mempunyai urus tadbir seperti yang berlaku semasa pemerintahan Umar Abdul Aziz yang menyaksikan jajahan Ummaiyyah menjadi pusat pendidikan dan perundangan yang cemerlang.

“Pilihannya adalah adakah kita akan mengikut model intergriti dan pemerintahan yang baik Umar Abdul Aziz atau model alternatif berasaskan rasuah dan diktator," tambahnya.

Menurut Lim, apa yang lebih membanggakan adalah nasihat Umar Abdul Aziz yang tidak meluluskan peruntukan bagi perbelanjaan dinding baru kerana ia umpama satu pembaziran. Sebaliknya, beliau menyatakan bahawa mereka sepatutnya membina sebuah tembok keadilan yang tidak boleh dibinasakan.

Lim merujuk kepada ucapan Chua semalam yang membidas kedua-dua Umno dan PAS kerana menggunakan agama bagi meraih sokongan di kalangan masyarakat Melayu.

MenNONEurut Chua, apabila dua parti Melayu yang dominan itu bersaing, kesannya akan wujud dasar-dasar yang tidak progresif - menyebabkan negara terperangkap dalam kategori penduduk berpendapatan sederhana untuk lebih 10 tahun.

Beliau juga berkata Umno telah menjadi lebih konservatif untuk bersaing dengan PAS bagi mendapatkan sokongan Melayu.

Katanya, isu berkenaan sengaja ditimbulkan supaya masyarakat Cina di negara ini boleh berfikir memikirkan sejenak berhubung kerjasama DAP dengan PAS.

Chua juga mengingatkan masyarakat Cina di Malaysia supaya jangan terlalu optimistik dengan anggapan jika PAS memerintah, negara ini akan bebas daripada rasuah dan segala masalah lain akan lenyap.

Katanya, ada antara negara yang mengamalkan rasuah terdiri daripada negara yang mempunyai majoriti masyarakat Islam

Tiada ulasan: