Sabtu, 28 Ogos 2010

ISU MASJID LAGI

Umno tentang Majlis Fatwa
Abdul Aziz Mustafa
KUALA LUMPUR, 28 Ogos: Tindakan Umno mengapi-apikan isu bukan Islam memasuki Masjid dilihat menentang keputusan muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia, kata Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar.

Beliau mengulas laporan muka depan Utusan, mempolitikkan kunjungan Ahli Parlimen Serdang Teo Nie Ching ke Surau Al-Huda di Kajang Ahad lalu.

Muzakarah Kali Ke-90 jawatankuasa tersebut yang bersidang pada 1 Mac 2010 lalu telah memutuskan bahawa pelancong bukan Islam diharuskan memasuki masjid dan ruang solat dengan syarat mendapat keizinan pihak pengurusan masjid dan perlakuan serta tingkah laku mereka tidak mencemarkan kesucian masjid dan sentiasa terkawal dan beradab.

Walaubagaimanapun, mengikut keputusan itu, perbuatan berdoa atau bertafakur oleh pelancong bukan Islam mengikut cara agama mereka dalam keadaan yang boleh menimbulkan fitnah adalah dilarang.

"Nyatalah histeria Umno dan konco-konconya itu memalukan umat Islam dengan tindakan mereka yang bukan-bukan sehingga perkara yang diputuskan halal pun diharamkan oleh mereka," kata Mahfuz.

Keharusan tersebut juga sebagai cara menunjukkan keindahan Islam kepada bukan Islam.

Umat Islam juga dibenarkan melakukan ibadah sembahyang walaupun di dalam gereja kerana Saidina Umar al-Khattab pernah melakukannya.

"Umat Islam janganlah mengizinkan diri mereka diperbodohkan oleh politik perkauman Umno," jelasnya.

Dalam pada itu Teo Nie Ching menjelaskan beliau hanya mahu menyampaikan sumbangannya bagi memperbaiki pagar seperti yang diminta oleh pihak pengurusan surau tersebut.

Mengenai tindakan memasuki ruang solat utama di surau itu, Teo berkata, beliau hanya memenuhi jemputan.

"Pada hari tersebut mereka menjemput saya masuk.

"Saya tidak dinasihatkan oleh (pengurusan) surau untuk memakai tudung. Saya (pun pada mulanya) tidak menyangka saya boleh masuk surau itu," jelasnya


Masuk surau: Teo akan perjelas kepada Sultan Selangor
Harakahdaily
PETALING JAYA, 28 Ogos: Ahli Parlimen DAP bagi Serdang Teo Nie Ching kesal dengan tindakan pihak tertentu mempolitikkan isu kunjungannya ke Surau Al-Huda, Kajang sehingga menimbulkan keresahan umat Islam.

Beliau dalam satu kenyataan berkata kehadirannya menghulur bantuan ke surau tersebut adalah ikhlas dan bukan berkepentingan politik.

"Saya menyesal bahawa perkara ini telah menimbulkan perasaan keresahan antara umat Islam negara kita dan isu ini telah diperhangatkan oleh pihak-pihak tertentu atas sebab-sebab politik.

"Saya ingin menegaskan secara ikhlas dan murni bahawa lawatan saya ke Surau Al-Huda tidak berniat politik, dan tidak bermotif untuk menyebabkan kesucian surau dan masjid dipersoalkan," katanya.

Menurutnya lagi, setelah menyampaikan sumbangan untuk memperbaiki pagar surau, beliau telah dijemput berucap pada majlis tersebut.

"Saya dengan secara ikhlas memberikan sedikit penjelasan mengenai program pendidikan kerajaan negeri yang memanfaatkan rakyat Selangor," jelasnya.

Ekoran isu tersebut telah dipolitikkan, beliau sedia mengambil langkah lebih berhati-hati agar perkara sama tidak berulang.

Beliau juga akan akan memajukan penjelasan dan permohonan maaf kepada Sultan Selangor, Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Al-Haj, mengenai perkara tersebut.

"Saya menyambut baik pesanan, peringatan dan nasihat dari semua pihak mengenai perkara tersebut, dan akan dengan segala upaya, menjalankan tugas saya dengan lebih berhati-hati supaya tidak menimbulkan perasaan kurang senang dan perselisihan faham di kalangan umat Islam pada masa yang akan datang," katanya.





Masuk surau: DAP mahu Mais siasat terperinci
Harakahdaily
SHAH ALAM, 28 Ogos: Pengerusi DAP Selangor Ean Yong Hian Wah menggesa Majlis Agama Islam Selangor (Mais) supaya membuat siasatan terperinci sebelum mengambil tindakan kepada mana-mana pihak.

Beliau merujuk tindakan serta merta Mais berhubung insiden Ahli Parlimen Serdang, Teo Nie Ching yang memasuki dan berucap di Surau Al-Huda dua hari lalu.

Menurutnya, beliau tidak mahu isu tersebut dipermainkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab seperti Utusan Malaysia, UMNO dan Perkasa sebagai satu isu politik dan perkauman untuk merosakan keharmonian masyarakat kita.

"Saya juga berasa kesal atas tindakan Mais yang mengeluarkan amaran kepada YB Teo Nie Ching, Ahli Parlimen Serdang dan mengantung Jawatankuasa Surau Al-Huda dengan serta-merta kerana Teo telah berucap di surau tersebut dua hari yang lalu.

"Saya dimaklumkan oleh Teo bahawa beliau telah memberi sumbangan sebanyak RM 1000 kepada Jawatankuasa Surau dan dijemput untuk menyampaikan sepatah dua kata," katanya.

Menurutnya, Teo hanya menerangkan maklumat tentang skim pinjaman pengajian tinggi Negeri Selangor kepada umat Islam yang hadir dan langsung tidak menyentuh apa-apa isu politik dalam ucapan ringkas tersebut.

"Beliau melawat ke surau tersebut dengan hati yang penuh ikhlas sempena bulan Ramadhan yang suci."

"Sebagai seorang wakil rakyat yang bertanggungjawab, beliau perlu membantu semua lapisan masyarakat yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama," katanya

'Tazkirah' di surau: Teo mohon maaf
Ogos 28, 10 2:38pm
Ahli parlimen Serdang, Teo Nie Ching yang mencetuskan kontroversi apabila lawatannya ke Surau Al-Huda Kajang pada Ahad lalu dilaporkan oleh Utusan Malaysia sebagai 'tazkirah' di surau, hari ini memohon maaf.

Katanya, beliau menyesal kerana lawatan ikhlasnya itu telah menimbulkan perasaan keresahan antara umat Islam negara ini dan lebih malang lagi apabila ada pihak-pihak tertentu mengeksploitasikannya untuk kepentingan politik mereka.

“Saya juga akan memajukan penjelasan dan permohonan maaf kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Al-Haj, Sultan Selangor Darul Ehsan mengenai perkara ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut ahli parlimen dari DAP itu, pada Ahad, 22hb Ogos, selaku wakil rakyat kawasan itu beliau telah mengunjungi surau al-Huda dengan tujuan menghulurkan bantuan kewangan sumbangan kerajaan negeri Selangor bagi memperbaiki pagar surau dan juga sumbangan berbuka puasa bersama ahli jawatankuasa dan jemaah surau.

“Oleh kerana saya telah dijemput untuk memberi sepatah dua kata, saya dengan secara ikhlas memberikan sedikit penjelasan mengenai program pendidikan kerajaan negeri yang memanfaatkan rakyat Selangor.,” katanya.

Ikhlas dan murni

Teo menegaskan lawatannya itu adalah “secara ikhlas dan murni serta tidak berniat politik” dan “tidak bermotif untuk menyebabkan kesucian surau dan masjid dipersoalkan”.

Beliau yang kesal dengan tindakan pihak yang berkepentingan yang cuba mempolitikkan lawatannya itu berkata akan lebih berhati-hati pada masa depan.

“Saya menyambut baik pesanan, peringatan dan nasihat dari semua pihak mengenai perkara tersebut, dan akan dengan segala upaya, menjalankan tugas saya dengan lebih berhati-hati supaya tidak menimbulkan perasaan kurang senang dan perselisihan faham di kalangan umat Islam pada masa yang akan datang.

Semalam, pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (Mais), Datuk Mohamad Adzib Mohd Isa berkata Sultan Selangor dilaporkan amat murka dan dukacita terhadap laporan akhbar berhubung 'tazkirah' Teo di surau berkenaan.

Sehubungan itu, katanya Mais dititahkan bertindak tegas, termasuk mengambil alih surau itu dan menguruskan pentadbirannya dengan serta merta.

Mohamad Adzib juga berkata, surat amaran akan juga diberikan kepada Teo supaya mengambil perhatian terhadap perkara itu dan tidak mengulanginya lagi

Bukan Islam di masjid, surau - rujuk majlis agama
Ogos 28, 10 2:50pm
Jawatankuasa masjid atau surau diminta merujuk kepada majlis agama Islam -negeri dalam soal membenarkan orang bukan Islam memasuki masjid bagi mengelakkan sebarang tindakan yang boleh mengelirukan masyarakat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, berkata setiap negeri mempunyai panduan masing-masing dalam soal itu dan jawatankuasa atau pengurusan masjid perlu mematuhi panduan tersebut dan tidak sepatutnya sewenang-wenangnya membenarkan orang bukan Islam memasuki masjid terutama di ruang solat.

Katanya rumah ibadat agama lain pun, mereka mempunyai garis panduan dalam membenarkan penganut agama lain memasuki tempat ibadat mereka.

"Kita tiada masalah untuk penganut agama lain masuk ke masjid atau surau. Ada masjid-masjid kita benarkan pelancong bukan Islam masuk tetapi kita sediakan garis panduan seperti yang wanita kena menutup kepala dan sebagainya.

"Kalau nak bawa masuk bukan Islam kenalah minta kebenaran majlis agama Islam negeri-negeri. Orang bukan Islam pun kenalah hormat dengan tempat ibadat umat Islam," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan zakat kepada fakir miskin di Yan hari ini.

Beliau diminta mengulas laporan Utusan Malaysia semalam mengenai ahli Pprlimen Serdang Teo Nie Ching dari DAP yang memasuki ruang solat utama surau Al-Huda, Kajang Sentral Ahad lalu untuk memberi "tazkirah", tanpa menutup kepala.

Jamil Khir berkata isu yang berlaku di Kajang itu tidak sepatutnya timbul jika jawatankuasa surau berkenaan merujuk kepada majlis agama Islam negeri dan memahami garis panduannya.

"Hal-hal seperti ini boleh diselesaikan dengan perbincangan antara jawatankuasa masjid atau surau dengan majlis agama Islam negeri. Apa yang penting mereka kena maklumkan," katanya.

Beliau berkata perkara itu juga menjadi satu isu kerana tidak sepatutnya perkara politik dibawa masuk ke dalam masjid.

- Bernama

2 ulasan:

Eden berkata...

Mana boleh masuk masjid, kalau tuan masjid tak bagi izin.

fendi isa berkata...

DALAM ISLAM ADA USLUB@KAEDAH...

MAKA JIKA MENYUKARKAN ORANG BUKAN ISLAM HAMPIR KEPADA ISLAM....BAGAIMANA ISLAM NAK TERSEBAR..

DISINI KHILAF...MUNGKIN MEREKA ADA MUSLIHAT...

SETUJU...JIKA DI IZINKAN ...MEMANG BOLEH MASUKLAH....