Jumaat, 1 November 2013

ALLAH TIADA PERUNTUKKAN SYURGA BAGI MANUSIA YANG MENYEKUTUKAN ALLAH SWT...SERTA RAGU2 TENTANG ALLAH SERTA MENOLAK HUKUM ALLAH SWT

Gula: Kantin sekolah naik harga makanan, minuman

Selangorku, 31 Okt 2013
SHAH ALAM: Biro Kepenggunaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) menerima aduan beberapa kantin sekolah sekitar Lembah Klang menaikkan harga makanan dan minuman.

Pengerusinya, Yahya Sahri, berkata pihaknya menerima aduan itu selepas pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menarik balik subsidi gula sebanyak 34 sen sekilogram.

Katanya, selain kantin sekolah, peniaga gerai turut menaikkan harga makanan dan minuman dengan bayaran dikenakan hampir sama dengan kopitiam.

“Kita ada terima banyak aduan berkenaan peniaga gerai dan kantin sekolah yang bertindak menaikkan harga makanan dan minuman di kedai premis mereka.

“Tiga anggaran minimum sehari aduan kenaikan harga yang diterima kami. Bagaimanapun, pengadu tidak memberikan maklumat terperinci dan menyebabkan kami tidak dapat membuat pemantauan,” katanya ketika dihubungi Tv Selangor, di sini, hari ini.

Yahya berkata, terdapat empat sekolah yang menaikkan harga makanan dan minuman mengikut aduan yang diterima daripada ibu bapa pelajar.

Sehubungan itu, beliau menggesa Kementerian Pendidikan dan Pengajian Tinngi membuat pemantauan dan tindakan terhadap kantin sekolah di seluruh negara supaya tidak menaikkan harga makanan dengan sewenangnya.

“Harga makanan dan minuman tidak boleh dinaikkan sesuka hati kerana pihak pengusaha kantin terikat dengan perjanjian kontrak harga makanan, jadi pihak kerajaan perlu memantau masalah ini.

“Kita juga mahu kerajaan pusat membuka lebih banyak peluang dalam industri gula supaya tidak hanya memberikan peluang kepada syarikat duopoli bagi mewujudkan peluang persaingan harga pasaran gula," katanya.

Beliau turut menyarankan pengguna supaya membuat aduan kepada Biro Kepenggunaan PKR jika terdapat peniaga mengambil kesempatan menaikkan harga.

Sebelum ini, Setiausaha Agung Persatuan Pengusaha Kantin Sekolah-Sekolah, Hamzah Omar berkata, pihaknya akan memastikan pengusaha kantin tidak menaikkan harga makanan dan minuman disebabkan kenaikan harga gula sebanyak 34 sen kerana sudah termaktub dalam perjanjian kontrak bahawa mereka tidak boleh menaikkan harga sesuka hati.

Rakyat makin gusar 111,020 kes jenayah indeks

Harakahdaily, 31 Okt 2013
KUALA LUMPUR: Dengan jumlah 111,020 kes jenayah indeks yang direkodkan sepanjang Januari hingga September 2013 ianya adalah angka yang menggerunkan sesiapa sahaja.

Daripada kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi itu bererti rakyat tempatan lebih agresif, ganas dan kejam berbanding warga asing.

“Warga tempatan perlu lebih berhati-hati, gusar dan gerun dengan ‘saudara’ mereka sendiri kerana penjenayah sebenar majoritinya adalah warga tempatan,” ujar Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan, Mohamad Suhaimi Abdul Aziz dalam satu kenyataan.

Beliau menyatakan sebagai respos kepada kenyataan Zahid bahawa kadar jenayah yang dilakukan oleh pendatang asing hanyalah 10 hingga 15 peratus bukanlah sesuatu yang boleh melegakan kebimbangan rakyat di negara ini.

Menurut kata menteri itu, peratusan besar jenayah dilakukan oleh penduduk tempatan.

Jika demikian, kata Suhaimi mungkin ada sesuatu yang tidak kena pada penguatkuasaan dan undang-undang di negara ini.

Katanya, rakyat sudah tidak gentar dengan sebarang hukuman atau undang-undang yang ditetapkan dan mereka rela ditembak mati, diburu atau ditangkap kerana aksi jenayah mereka.

Justeru, katanya Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) bersetuju semua pihak perlu berganding bahu memberikan pandangan, input dan buah fikiran agar jenayah dijadikan musuh nombor satu negara.

Menurutnya, daripada sistem pendidikan, penguatkuasaan, undang-undang, pencegahan, kempen kesedaran, kajian dan perbincangan, sesuatu perlu dilakukan segera dan diterjemahkan dalam bentuk tindakan.

Tambahnya, kesempitan hidup, penyakit jiwa, kemurungan, kurang pendidikan agama, konflik keluarga, pergaulan bebas dan lain-lain adalah sebahagian faktor jenayah semakin berleluasa.

Justeru, kata beliau mengenali punca tersebut perlu diselarikan dengan jalan penyelesaian yang jitu agar jenayah semakin berkurangan dan mampu dicegah dalam tempoh beberapa tahun mendatang.

“Pastinya, ramai menginginkan agar Malaysia menjadi bebas jenayah. Selain sasaran menjadi negara maju, negara bebas atau kurang jenayah perlu dijadikan agenda utama,” ujarnya lagi.

Tambah beliau, tidak ada gunanya negara melangkah ke era kemodenan dengan pelbagai rekod kemajuan dicatat namun menjadi penyumbang terbesar kepada jenayah.

Sebaliknya, kata Suhaimi rakyat dan negara lebih bahagia hidup dalam negara yang sejahtera dan sentosa dengan keamanan dan kestabilan tanpa jenayah.

“Alangkah indahnya hidup jika rakyat di negara ini semakin mengenali erti kemanusiaan serta menghormati nilai dan hak insan lain tanpa melakukan jenayah,” katanya.

Pelaksanaan GST: Anwar pernah sebut pada 1993

Anis Nazri, 31 Okt 2013
KUALA LUMPUR: Pakatan Rakyat hanya akan melaksanakan GST setelah dua perkara diatasi terlebih dahulu, iaitu soal ketirisan, pembaziran serta monopoli, serta pendapatan rakyat ditingkatkan. Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata sekiranya dua perkara itu tidak diatasi, GST tidak akan dilaksanakan jika Pakatan Rakyat mengambilalih pentadbiran negara.
Bercakap pada sidang media di lobi parlimen, hari ini, Anwar menegaskan perkara ini bukan pertama kali disebut beliau, sebaliknya pernah menyebut mengenainya pada 1993.
Bagaimanapun, beliau kesal apabila terdapat laporan yang cuba memusing kenyataannya seolah-olah baru sekarang beliau menyokong GST.
"Bukan sahaja ketika perbahasan bajet baru ini saya sebut tentang pelaksanaan GST yang lebih telus dan efisyen, malah ketika menjadi menteri kewangan dahulu. Tapi, perlu hapuskan dulu ketirisan, rasuah dan monopoli, serta meningkatkan taraf pendapatan rakyat dahulu," tegas beliau.
Jelas beliau, pada 1993, beliau memang menyokong ketika Tun Daim Zainuddin mengumumkan untuk melaksanakan sistem GST.
Bagaimanapun tegas Anwar, selepas beliau mengambilalih jawatan Menteri Kewangan, dalam keadaan kerajaan mempunyai lebihan perbelanjaan ketika itu, pelaksanaan GST tidak dilakukan.
"Kenyataan saya mengenai GST tidak pernah berubah kerana ia memang satu sistem yang baik, cuma pelaksanaannya nanti dengan keadaan negara yang perlu ditumpukan terlebih dahulu," kata Ahli Parlimen Permatang Pauh itu.
Dalam pada itu, Anwar turut menegaskan pengurangan subsidi tidak akan mengurangkan beban rakyat, sebaliknya hanya menguntungkan syarikat tertentu.
"Saya tidak hairan kalau ada MP BN yang bercakap bagi pihak Tan Sri Syed Mokhtar, kerana itu sudah menjadi amalan. Tapi pada kali terakhir subsidi gula dipotong iaitu Mei 2011, keuntungan yang direkodkan melonjak naik sehingga 15 peratus, yang sebelumnya sekitar sembilan peratus. Jadi, jika mahu dikatakan pemindahan subsidi itu mengurangkan beban rakyat, ia tidak benar," tegas Anwar.

Lapangan Terbang Kota Bharu tiada peruntukan?

Hazayani Zakaria, 31 Okt 2013
KUALA LUMPUR: Tiada alasan bagi kerajaan tidak memberi peruntukan untuk menaik taraf Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra di Kelantan memandangkan ia merupakan lapangan terbang kedua tersibuk di Malaysia.

Menurut Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Takiyuddin Hassan (gambar), terminal penumpang dan landasan harus diperbesar kerana jumlah penerbangan di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra adalah sebanyak 31 penerbangan sehari berbanding penerbangan Lapangan Terbang Kuantan sebanyak dua penerbangan sehari.

"Sedangkan di Kota Bharu sekarang ini jumlah penerbangan adalah 31 penerbangan sehari. MAS enam penerbangan, Airasia lapan penerbangan, Firefly 13 dan Malindo Air empat penerbangan.

"Tetapi kita (Kelantan) tidak dapat peruntukan untuk memanjangkan landasan walaupun Kerajaan Negeri Kelantan telah membuat pengambilan balik tanah pada tahun 1980-an lagi tapi tanah yang diambil itu hanya ditanam pokok kelapa sawit sahaja menyebabkan pesawat yang besar seperti A330 300, B777 200, B747 400 tak boleh turun menyebabkan Lapangan Terbang Kota Bharu tak boleh dinaik taraf sebagai lapangan terbang bertaraf antarabangsa," katanya pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Takiyuddin yang juga Penolong Setiausaha Agung PAS juga mempersoal keengganan kerajaan menaik taraf Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra sedangkan Timbalan Menteri Pengankutan sendiri mengakui bahawa ia merupakan lapangan terbang yang kedua tersibuk di Malaysia.

"Sekarang landasan di Lapangan Terbang Kota Bharu panjangnya 2,400 meter, lebar 45 meter jadi kita nak minta Kerajaan Pusat panjangkan menjadi 3,500 meter dan lebar 60 meter bagi membolehkan pesawat yang lebih besar turun.

"Jumlah pengendalian penumpang di Kota Bharu tahun 2011 adalah 1,132,345 orang, 2012 meningkat 11 peratus menjadi 1,259,205 orang dan maksimum kapasiti 1.4 juta. Kita jangka 2013 dan 2014 Tahun Melawat Malaysia lapangan terbang jadi padat.

"Timbalan Menteri Pengangkutan sahkan bahawa Kota Bharu adalah yang kedua paling sibuk di Malaysia. Jadi tak ada alasan kenapa kerajaan tak mahu perbesar terminal dan panjangkan landasan," katanya.

Justeru beliau menyeru Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menyemak semula Bajet 2014 dan memasukkan peruntukan untuk menaik taraf Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra kerana ia turut menyumbang kepada ekonomi negara dengan kemasukan pelancong ke Kelantan.

"Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Airasia Tony Fernandes dalam akhbar berkata aan menjadikan Lapangan Terbang Kota Bharu sebagai hub penerbangan antarabangsa yang akan menyediakan penerbangan dari Kota Bharu ke Medan, Singapore, Indochina.

"Jadi atas sebab itu saya minta supaya kerajaan khususnya perdana menteri mungkin dalam semakan bajet boleh memasukkan lapangan terbang Kota Bharu untuk dinaik taraf.

"Jangan ketepikan Kelantan kerana Kelantan diperintah oleh parti yang tak sama dengen federal. Dalam aspek pelancongan, pelancong yang datang ke Kelantan adalah pelancong yang datang ke Malaysia yang akan meningkatkan ekonomi negara," katanya.

Kalau mahu BN ambil berat, undi PAS

Harakahdaily, 31 Okt 2013
JERAI: Rakyat di Dun Sungai Limau perlu mengekalkan wakil rakyat dari PAS jika mahu melihat Umno BN mengambil berat terhadap mereka.

Timbalan Pesuruhjaya II PAS Terengganu Muhyidin Abdul Rashid berkata, Umno BN hanya mengambil berat terhadap rakyay bila mereka berasa lemah dan ditolak rakyat.

Mengambil pengalaman Terengganu katanya, pemimpin Umno BN sebelum PRU13 lalu sibuk dengan projek yang hanya menguntungkan segelintir kelompok mereka dan tidak memberi manfaat kepada rakyat terbanyak.

Ianya termasuk, penganjuran Piala Monsun, projek zoo, membeli binatang-binatang ternak dengan belanja ratusan juta ringgit yang langsung tidak dirasa manfaatnya kepada rakyat.

"Bila PRU13, kedudukan kerusi jadi PAS 15, BN 17. Baru la mereka berasa tersepit dan mula rapat kembali kepada rakyat.

"Kalau tidak, duk sibuk dengan projek-projek yang tidak ada kaitan dengan rakyat," katanya ketika berceramah di Sungai Lumat, Batu 16 di sini malam yadi.

Menurut Muhyidin lagi, rakyat di Sungai Limau perlu pandai melihat peluang supaya keptusan pilihan raya kali ini memberi kebaikan kepada mereka.

Beliau turut menasihatkan pengundi agar tidak termakan umpan bermusim yabg ditabur BN setiap kali menjelang pilihan raya.

"Jadi kalau bagi BN menang, itu adalah satu mesej yang salah kerana jika BN menang, mereka rasa mereka kuat dan rakyat tidak akan bantah apa yang mereka nak buat," katanya.

Serah balik susu tamat tempoh kepada BN

Muhammad Faizal, 31 Okt 2013

JERAI: PAS meminta ke semua penduduk yang menerima bantuan susu pekat yang telah tamat tempoh perlu menyerahkannya kembali di bilik gerakan Barisan Nasional (BN).

Pengarah Jawatankuasa Induk Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Limau, Datuk Mahfuz Omar pada sidang media di Markas Induk PRK Sungai Limau turut menasihati agar mereka yang menerima bantuan susu pekat dari BN perlu memastikan tarikh luput untuk mengelak berlaku keracunan.

"Saya meminta kepada BN agar membuat pengumuman kepada mereka yang menerima susu pekat tersebut mengembalikan kembali susu tersebut dan digantikan dengan yang baru.

"Kalau mereka tak mahu membuat apa-apa pengumuman, saya meminta kepada penduduk yang mendapat susu tersebut agar menyerahkannya di bilik gerakan BN dengan segera.

"Dalam pada itu kepada sesiapa yang mendapat bantuan dari BN perlu memastikan tarikh-tarikh luput agar tidak berlaku keracunan ketika menggunakannya," jelasnya.

Sebelum itu, Aishah Abd Rani dari Sungai Dedap yang tampil membuat aduan apabila turut menerima bantuan dari BN yang mengandungi susu pekat yang telah tamat tempoh.

Menurut beliau lagi, dia hampir menggunakan susu tersebut, namun dihalang apabila anaknya mengetahui ada laporan mengenai susu tarikh luput yang diberikan BN.

"Makcik tak perasaan susu yang beliau dapat itu sudah tamat tempoh penggunaan, beliau hampir menggunakannya.

"Namun sempat dihalang apabila anaknya mengetahui ada laporan mengatakan BN telah mengedarkan susu yang telah tamat tempoh.

"Ini laporan kedua dan saya pasti tentu masih ramai yang menerima bantuan sama, jadi sila pastikan tarikh tersebut sebelum menggunakannya," sambung Makcik Aishah.

Mahfuz turut mengulas satu kenyataan dari Ahli Parlimen Baling, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim yang meminta sesiapa mendapat susu tersebut membuangkannya sahaja.

"Jawapan yang mudah diberikan, sepatutnya BN kena bertanggungjawab menggantikan yang baru," ujar Mahfuz.

Tiada ulasan: