Jumaat, 29 November 2013

MOGA2 LAGI RAMAI ALLAH SWT AKAN MEMBERI TAUFIK DAN HIDAYAH


KUALA LUMPUR: Seiring dengan perkembangan pesat teknologi maklumat, Harakahdaily maju setapak lagi dengan memperkenal versi bahasa Mandarin.

Pelancaran versi ini telah dibuat pada Muktamar Tahunan PAS ke-59 lalu yang disempurnakan oleh Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Versi ini adalah pelengkap kepada versi Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris yang telah beroperasi sebelum ini.

Versi Mandarin ini boleh dicapai dengan mengakses ke pautan www.cn.harakahdaily.net dan telah mula beroperasi secara rasmi bermula 1 November lalu.

Ianya turut mengandungi berita, rencana, kolum dan juga video bagi memudahkan pembaca khususnya warga Tioghua untuk lebih memahami dan mengikuti aktiviti PAS itu sendiri.

Selaku akhbar rasmi PAS versi dalam talian, Harakahdaily menyedari hakikat peri penting untuk PAS terus menyalur maklumat alternatif sekaligus  mendekatkan diri kepada masyarakat Tionghua.

Sesuai dengan tema "Tepat Dari Sumber", Harakahdaily selaku lidah parti sentiasa memaparkan laporan dari sumber rasmi PAS itu sendiri di samping berita-berita lain.

Dengan tiga versi iaitu Bahasa Melayu, English dan Mandarin ini, diharap berita berhubung pendirian dalam satu-satu isu  serta aktiviti PAS akan lebih diketahui oleh masyarakat.

Kejayaan ini tidak akan dapat dicapai tanpa sokongan dari semua pihak khususnya pembaca setia Harakahdaily.

Terima kasih atas sokongan anda semua.
KUALA LUMPUR: Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Wilayah Persekutuan membantah sekeras-kerasnya tindakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menaikkan cukai pintu 300 peratus secara mendadak dan tidak masuk akal.

Penyelarasnya, Azmir Mustafa berkata, warga kota hidupnya penuh kesempitan, ditambah pula dengan kenaikan harga petrol, kenaikan harga barang-barang keperluan harian, namun kerajaan terus menghukum rakyat yang menolak mereka.

Justeru, ujarnya SAMM menyifatkan tindakan itu adalah satu siri balas dendam terhadap warga Kuala Lumpur kerana hampir semua parlimen kekal di tangan pembangkang sedangkan kerajaan telah 'melabur' dengan jumlah yang besar menjelang PRU13.

Kenyataan penuh seperti di bawah.

Belum pun lagi mencapai tempoh setahun dalam pembentukan kerajaan Malaysia selepas Pilihan raya Umum ke-13, warga Kuala Lumpur telah dikejutkan dengan satu lagi 'bala' yang diberikan oleh kerajaan Umno dan Barisan Nasional, iaitu dengan kenaikan cukai pintu sebanyak 300 peratus.

Solidariti Anak Muda Malaysia Wilayah Persekutuan (SAMM Wilayah) membantah sekeras-kerasnya akan kenaikan cukai ini secara mendadak dan tidak masuk akal.

Warga kota hidupnya penuh kesempitan, ditambah pula dengan kenaikan harga petrol, kenaikan harga barang-barang keperluan harian, namun kerajaan terus menghukum rakyat yang menolak mereka.

SAMM menyifatkan tindakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menaikkan cukai pintu sebanyak 300 peratus adalah satu siri balas dendam terhadap warga Kuala Lumpur kerana hampir semua parlimen kekal di tangan pembangkang sedangkan kerajaan telah 'melabur' dengan jumlah yang besar menjelang PRU13.

Adalah diingatkan bahawa pihak Datuk Bandar dan DBKL tidak wajar sewenang-wenangnya menaikkan cukai pintu.

Apakah benar ia rasional hanya kerana untuk menaikkan nilai hartanah di Kuala Lumpur sedangkan sebelum ini nilai harta tanah di Kuala Lumpur sememangnya telah meningkat tanpa kenaikkan cukai taksiran.

Pendapatan DBKL juga dilihat cukup besar jumlahnya dan tetap meningkat walaupun cukai taksiran berada pada kadar yang sama selama 21 tahun.

Peningkatan jumlah pendapatan sebanyak RM511 juta kepada RM1.69 billion dari tahun 2010 adalah cukup memberangsangkan, ia tanpa kenaikan cukai pintu.

Malah DBKL turut menyatakan dalam buku Bajet 2013 bahawa prestasi hasil ini akan meningkat bagi tahun kewangan 2012.

Tidak cukupkah sumbangan warga kota setakat hari ini?

Justeru, SAMM melihat cadangan DBKL untuk menaikkan cukai taksiran 300% adalah keterlaluan dan hasrat seperti ini harus dilupakan.

Sebaliknya DBKL harus menumpukan usaha penuh bagi mengutip hasil-hasil yang tertunggak seperti tunggakan cukai taksiran, tunggakan sewa perumahan dan sewaan gerai penjaja.

Kenaikan kadar cukai pintu yang tidak seimbang dengan prestasi keselamatan dan perkhidmatan yang ala kadar adalah satu bentuk penganiayaan.

Ternyata, Menteri Wilayah cuba menyembunyikan tindakan khianat mereka atas nama ‘pembangunan’.

Tidak ada satu pun alasan yang boleh mewajarkan tindakan kerajaan untuk menaikkan harga cukai pintu terhadap rakyat di mana-mana wilayah sekalipun.

Bagi SAMM, sebelum bercakap tentang pembangunan, kerajaan perlu terlebih dahulu membangunkan nilai amanah dalam pentadbiran dan pengurusan dana negara yang semakin tiris.

Sekali lagi SAMM Wilayah mencabar kerajaan agar berhenti mengkhianati rakyat!

Perlu diingat, tidak ada kenaikan cukai tanpa pilihan raya kerajaan tempatan. Wang cukai juga dibazirkan tanpa pertanggungjawaban kepada rakyat.

Hentikan kenaikan cukai pintu atau rakyat tidak akan teragak-agak menghumban DBKL keluar dari ‘pintu’ pentadbiran!
KUALA LUMPUR: Anggota Parlimen Seputeh Teresa Kok Suh Sim hari ini menarik balik dua samannya terhadap Utusan Melayu (M) Berhad dan kolumnis, Datuk Mohd Zaini Hassan berhubung dua buah artikel yang disiarkan dalam akhbar itu pada 2008.
  
Hakim Mahkamah Tinggi Siti Khadijah S.Hassan Badjenid merekodkan penyelesaian itu selepas peguam K.Muralidharan, yang mewakili Kok memaklumkan kepada mahkamah bahawa anak guamnya itu bersetuju untuk menarik balik samannya terhadap Utusan Melayu dan Mohd Zaini.
  
Bagaimanapun, Muralidharan tidak mengemukakan sebarang alasan mengenai penarikan balik saman tersebut.
  
Mahkamah juga membenarkan saman itu ditarik balik tanpa sebarang kos dan tanpa kebebasan untuk memfailkan semula tindakan saman baharu.
  
Pada 9 Okt 2008, Kok, 49, memfailkan saman terhadap Mohd Zaini, yang kini merupakan Penolong Ketua Pengarang 1 Kumpulan Utusan dan Utusan Melayu berhubung artikel bertajuk 'Azan, Jawi, Jais, UiTM dan ba-alif-ba-ya'.

Kok mendakwa artikel yang disiarkan akhbar Utusan Malaysia pada 10 Sept 2008, membawa maksud antara lain beliau seorang yang tidak boleh dipercayai, ahli politik yang jahat, bersikap perkauman dan anti-Islam.
  
Satu lagi saman pula berhubung isu laungan azan di Masjid Kinrara di sini yang disiarkan dalam akhbar Utusan Malaysia pada 8 Sept 2008.
  
Dalam saman itu Kok menamakan Dr Mohamad Khir Toyo dan Utusan Melayu (M) Berhad sebagai defendan.
  
Dalam pernyataan tuntutannya, Kok mendakwa pada 26 Jun 2008, Dr Mohamad Khir telah memetik sebuah blog dikenali sebagai "pembelamelayu.blogspot" dan membuat tuduhan salah terhadapnya manakala Utusan Melayu telah menerbitkan kata-kata Dr Mohamad Khir berhubung perkara itu dalam akhbarnya yang bertajuk "Ada usaha larang azan di masjid Selangor".
  
Bagaimanapun bagi kes yang melibatkan bekas menteri besar Selangor itu, mahkamah menetapkan 11 Dis ini untuk sebutan bagi kedua-dua pihak berbincang sama ada untuk menyelesaikan kes tersebut.

Utusan Melayu diwakili peguam T.K.B Mohana Kumar. - Bernama
KUALA LUMPUR: Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Wan Ahmad Wan Omar (gambar) akan bersara wajib bermula esok setelah berkhidmat dengan suruhanjaya itu selama 16 tahun.
   
Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Yusof dalam satu kenyataan di sini hari ini, berkata persaraan Wan Ahmad adalah mengikut Perkara 114 (3) Perlembagaan Persekutuan bahawa seorang anggota SPR adalah terhenti memegang jawatan apabila mencapai umur 66 tahun.
   
Beliau berkata Wan Ahmad memegang jawatan sebagai timbalan pengerusi itu sejak 17 Dis 2004 dan beliau bertanggungjawab selaku pengerusi Jawatankuasa Panel Penerbitan, Pendidikan Pengundi, Latihan, Penerangan dan Komunikasi SPR.
   
"Beliau juga telah membantu SPR mengetuai beberapa pasukan kerja dalam SPR untuk mengkaji penambahbaikan SPR dan urusan pilihan raya di negara ini," katanya.
   
Beliau berkata pasukan kerja tersebut menjalankan tugasan termasuk mengkaji struktur organisasi dan fungsi SPR; mengkaji bagi memperkasakan Akademi Pilihan Raya SPR; mengkaji penambahbaikan sistem dan proses pelantikan SPR; dan beberapa pasukan kerja lain mengikut perkara-perkara yang dicadangkan oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Berhubung Penambahbaikan Proses Pilihan Raya (PSC).
   
Abdul Aziz berkata sepanjang 16 tahun, Wan Ahmad terlibat dalam empat pilihan raya umum negara (1999, 2004, 2008 dan 2013); 42 pilihan raya kecil (dari 1998-2013) dan tiga urusan persempadanan semula bahagian-bahagian pilihan raya bagi Semenanjung, Sabah dan Sarawak iaitu pada 1990 dan 2003 (bagi Semenanjung dan Sabah) dan persempadanan semula Sarawak pada 2005.
   
Selain menghadiri seminar demokrasi dan pilihan raya peringkat antarabangsa, Wan Ahmad juga pernah mewakili SPR mengetuai beberapa delegasi sebagai pemerhati pilihan raya umum di 19 buah negara antaranya United Kingdom, Australia, Jerman, Afrika Selatan, Bosnia, India, Uzbekistan, Kazakhstan, Indonesia, Thailand dan Filipina. - Bernama
SHAH ALAM: Kegagalan Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) menurunkan air tidak berhasil (NRW) kepada 20 peratus seperti termaktub dalam perjanjian konsesi dianggap sebagai ‘dosa’ kepada rakyat Selangor.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata kegagalan Syabas bukan berpunca daripada kekurangan peruntukan, tetapi disebabkan kelemahan syarikat konsesi itu merancang dan melaksanakan program penurunan NRW secara berkesan.

Beliau berkata, hanya 3,900 juta liter sehari (JLH) air yang sampai kepada pengguna berbanding keupayaan sebenar 4,832 JLH oleh 32 loji rawatan air.

“Kegagalan ini menyebabkan kita kekurangan air terawat dan kerajaan negeri berpedapat Syabas dan syarikat induknya, Puncak Niaga tidak berupaya daripada segi pengurusan serta kekuatan modal untuk menyelesaikan perkara itu.

“Terdapat kebocoran NRW lebih 30 peratus sedangkan dalam perjanjian yang dimeterai antara kerajan negeri dan Syabas pada 2011, syarikat konsesi itu berjanji untuk menurunkannya kepada 19.98 atau 20 peratus.

“Tetapi apa yang berlaku sekarang, NRW bukan lagi pada kadar 30 peratus tetapi meningkat kepada 33 peratus,” katanya pada sidang Dewan Negeri Selangor (DNS), di sini, semalam.

Abdul Khalid berkata, pengurusan air penting kerana membabitkan hak semua rakyat tanpa mengira pangkat atau fahaman politik terutama air adalah perkara utama dalam kehidupan seharian, bahkan Syabas berjanji menurunkan NRW melalui peruntukan RM784 juta yang diberikan kerajaan negeri dan turut menerima dana tambahan lebih RM1 bilion untuk melaksanakan perkara berkenaan.

Beliau berkata, Syabas juga mempunyai ‘kabel besar’ untuk mendapatkan pinjaman sejumlah RM500 juta tanpa faedah selama lima tahun daripada kerajaan pusat.

“Saya ingin nyatakan bahawa Selangor menghadapi masalah apabila penswastaan air tidak dapat diuruskan dengan cara yang dijanjikan dalam perjanjian penswastaan air oleh SYABAS. Kini, tugas negeri adalah menyelesaikan masalah penyusunan air dan saya akan bawa rakyat Selangor untuk menentang siapa yang tidak benarkan kita menguasai aset mereka,” katanya.

Sementara itu, ketika mengulas berkenaan pembekuan perbelanjaan modal (CAPEX) Syabas yang sepatutnya digunakan bagi mengganti 8,000 kilometer paip air, Abdul Khalid berkata, tindakan itu diputuskan selepas syarikat konsesi itu didapati tidak berupaya untuk melaksanakannya.

Katanya, pihak Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN) bersedia memanggil semua ahli dewan daripada Pakatan Rakyat (PR) dan Barisan Nasional (BN) untuk menerangkan perkara itu.

“Perkara ini sudah dibincangkan sejak 2006 lagi dan diperakui kerajaan pusat bahawa Syabas tiada keupayaan. UPEN bersedia memanggil ahli dewan bagi menerangkan perkara ini,” katanya.

Datuk Kamarudin (tengah) bersama Menteri JPM Datuk Paul Low dan Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Abu Kassim.
PANAMA CITY: PAS turut menyertai Persidangan Anti Rasuah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCAC) di Panama City, yang bersidang untuk tahun ketujuh tahun ini bermula 25 hingga 29 November ini.

Datuk Kamarudin Jaffar (PAS-Tumpat) yang hadir selaku wakil Parlimen Malaysia turut menjadi salah seorang ahli panel pada sesi anjuran Global Organisation of Parliamentarians Against Corruption (GOPAC) di sidang ini.

Selain beliau, turut serta sebagai wakil parlimen Malaysia adalah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Paul Low Seng Kuan dan juga dari pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang diketuai  ketua pesuruhjayanya, Tan Sri Abu Kassim Mohamed.

Pada persidangan itu juga turut menyaksikan Abu Kassim dilantik sebagai Naib Presiden International Association of Anti-Corruption Authorities (IAACA).

IAACA telah ditubuhkan pada satu mesyuarat khas yang diadakan di Pejabat United Nations di Vienna pada 19-20 April 2006.

Abu Kassim mula dilantik sebagai seorang Ahli Eksekutif IAACA pada tahun 2010.

Malaysia merupakan salah sebuah negara yang menjadi ahli pengasas IAACA dengan objektif menggalak dan menyokong pelaksanaan UNCAC (United Nations Conventions Against Corruption) secara lebih berkesan.

Ia sehingga kini mempunyai lebih dari 300 keahlian yang merangkumi agensi dan organisasi pihak berkuasa anti pencegahan rasuah di dunia.
KUALA LUMPUR: Pakatan Rakyat (PR) mengecam kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak semalam yang mendakwa negara harus melaksanakan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) jika tidak mahu menghadapi kemungkinan bankrap.

Tony Pua Kiam Wee (DAP-Petaling Jaya Utara) berkata, negara tidak akan terlepas daripada masalah bankrap selagi kerajaan tidak mengurus tadbir kewangan dengan baik dan pelaksanaan GST bukan penyelesaian untuk mengelak daripada masalah itu.

Katanya, GST bukannya ‘miracle cure’, ia tidak bermakna dengan melaksanakan GST negara tidak akan bankrap.

“Isu bankrap bukan kerana sesebuah negara laksana GST atau tidak. Kita lihat Hong Kong, tidak ada GST tapi tetap bankrap. Negara maju lain seperti USA tidak ada GST.

“Najib kata laksana GST atau hadapi kemungkinan bankrap seperti Greece. Ini salah dan untuk pengetahuan Najib, Greece ada GST, GST mereka adalah 21 peratus tapi tetap bankrap,” katanya pada sidang media di Lobi Parlimen, hari ini.

Jadi, kata beliau isu asas sesebuah negara bankrap bukan dengan melaksanakan GST, isu pokoknya adalah akibat amalan rasuah, pemborosan, pembaziran dan ketirisan.

Pada sidang media sama, Rafizi Ramli (PKR-Pandan) pula meminta Najib lebih konsisten membuat penilaian kewangan negara.

“Saya pelik, bagaimana Najib boleh katakan kita akan menghadapi masalah bankrap, sedangkan semalam Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan menyatakan betapa kukuhnya kewangan negara berbanding dengan negara lain. Ini bercanggah.

“Ahmad Maslan ketika diminta menjawab mengenai kadar hutang negara, beliau mengatakan kita tidak ada masalah, negara masih lagi kaya dan beliau sertakan senarai negara yang kononnya lebih teruk daripada Malaysia. Malaysia saja paling baik.

“Kita mahukan jawapan konsisten daripada beliau, adakah kita sedang menghampiri bankrap atau kewangan kita sememangnya kukuh? Kalau betul-betul kukuh maka tidak timbul soal pelaksanaan GST kerana mengikut Najib GST ini diperlukan apabila negara nak bankrap,” tegasnya.

Khalid Samad (PAS-Shah Alam) pula mempertikai tindakan Najib yang kononnya mahu menyelamatkan kewangan negara tetapi dalam masa sama mengamalkan pembaziran dengan menggunakan wang negara dalam rangka lawatan peribadi isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor baru-baru ini.

“Apa guna bercakap soal kewangan negara jika pada masa sama boleh guna jet peribadi untuk menghantar ‘First Lady’, Rosmah Mansor ke luar negara menggunakan wang negara.

“Bercakap soal pelaksanaan GST yang kononnya akan menyebabkan negara bankrap jika tidak dilaksanakan, ini tidak masuk akal kerana pada masa sama guna wang negara untuk lawatan Rosmah.

“Saya setuju dengan Tony dan Rafizi, laksana GST bukan jalan penyelesaiannya, apa yang terbaik sebenarnya adalah ‘good governance’, iaitu bagaimana menguruskan kewangan negara dengan cara yang sepatutnya,” katanya. – Roketkini.com
Saya catatkan di sini antara perkara yang paling menyentuh hati berlaku pada hari Muktamar Tahunan PAS ke-59 di Stadium Malawati, Shah Alam baru-baru ini dan saya kreditkan tulisan ini kepada sahabat baik saya Saudara Jefri Chua, Timbalan Pengerusi DHPP Terengganu.

Saya mengenali Jefri Chua sebagai seorang kawan dan sahabat. Selalu apabila ada kesempatan bertemu, kami selalu duduk berbincang, berkongsi pendapat dalam banyak hal, walau tak selalunya pendapat kami selari tetapi beliau mempunyai sikap menghormati pendapat orang lain dan bersedia untuk berbincang.

Di Muktamar Tahunan PAS baru-baru ini, beliau dengan mesra datang ke tempat duduk perwakilan PAS Setiu, mengambil tempat di sebelah saya dan sambil mengikuti perbahasan dari perwakilan, sebagaimana biasa sikap ramahnya dengan tak pernah surut, beliau berceloteh memberikan pendapat tentang perkara itu ini juga bertanya tentang itu ini... 

Ditunjukkan kepada saya gambar beliau memegang sebuah buku tulisan Datuk Ismail Kamus bertajuk ‘Indahnya Hidup Bersyariat’ (gambar) yang sedang dibacanya. Saya hanya memberikan komentar ringkas, “buku ini sebuah buku yang baik untuk dibaca, isinya mudah difahami...”

Tanpa diduga, saya terkedu serta mengalirkan air mata, bila beliau bertanya soalan yang tak dijangka, "Apa yang you rasa bila suatu hari nanti saya menjadi seorang Islam?"

Jawab saya, "Sayalah antara manusia yang paling gembira ketika itu dan paling awal mengucapkan tahniah!"

Beliau menyambung lagi, "Sebenarnya saya sedang berfikir ke arah itu, tetapi berikan saya sedikit masa kerana saya juga mempunyai isteri dan anak-anak. Kalau saya seorang diri sahaja, mudah..."

Kata beliau lagi, "kalau dihitung purata umur rakyat Malaysia, saya masih mempunyai masa sekitar 20 tahun lagi untuk membuat kebaikan..." ujarnya penuh bermakna.

Saya mengenali Jefri yang saya panggil Jeff sebagai seorang yang berprinsip, komitmen dalam melakukan kerja, sanggup menongkah arus dalam mengambil tindakan.

Mungkin beliau satu-satunya teman berbangsa Tionghua yang belum Islam tetapi sanggup mop lantai Masjid Pengadang Baru. Selalu mengikuti kuliah pagi Jumaat Tuan Guru Presiden di Masjid Rusila.

Kelibatnya tak sukar untuk ditemui walaupun dalam program-program parti yang berbentuk keislaman.

Peranannya dalam meraih sokongan pengundi Tionghua kepada Pakatan Rakyat dalam PRU13 baru-baru ini tak siapa yang mampu menafikannya. Caranya dan pemikirannya agak kreatif.

Beliau menunjukkan kepada saya gambar beberapa orang perwakilan muktamar yang sedang mendirikan solat di atas lantai di satu sudut Stadium Malawati ketika rehat sesi muktamar.

Saya tanya, “Apa yang Jeff nak buat dengan gambar ini?”

Jawabnya, “Saya nak post dalam fb, nak tunjuk kepada kawan-kawan fb saya yang berbangsa Cina bahawa Islam ini sangat mudah, solatnya boleh didirikan di mana-mana sahaja...”

Sekali lagi mata saya berkaca dengan air mata yang bergenang.

Jeff sahabatku... saya menunggu untuk memeluk tubuhmu sebagai seorang saudara Islam sambil mengucapkan tahniah nanti! Saya berkeyakinan bahawa ianya tersangat hampir!
KUALA LUMPUR:  Seorang peguam telah memfailkan saman berjumlah lebih RM47 juta terhadap Peguam Negara, bekas Ketua Polis Negara,  Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Kerajaan Malaysia dan tujuh lagi atas dakwaan mendakwanya secara salah.

Rosli Dahlan, memfailkan saman itu Jumaat lepas di Mahkamah Tinggi Sivil di sini melalui Tetuan Kumar Partnership.

Media memperoleh writ samannya hari ini.

Dalam pernyataan tuntutannya, beliau menamakan Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail, bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Abu Kassim Mohamed, SPRM, Kerajaan Malaysia, Polis Diraja Malaysia, tiga Timbalan Pendakwa Raya, seorang pegawai penyiasat SPRM, dan seorang pegawai polis sebagai defendan.
               
Rosli mendakwa defendan-defendan dengan niat jahat menangkapnya dan mendakwanya di mahkamah berhubung kes di bawah SPRM.

Peguam itu berkata bagaimanapun beliau telah dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 20 Dis 2010.
               
Beliau mendakwa tindakan defendan-defendan telah menyebabkannya dan keluarganya mengalami trauma, penghinaan, cemuhan, ejekan, kesakitan dan penderitaan.
               

Rosli menuntut ganti rugi punitif, teruk dan teladan berjumlah RM47 juta dan ganti rugi khas berjumlah RM750,000, kos dan lain-lain relif yang difikirkan wajar oleh mahkamah. - Bernama

Tiada ulasan: