Selasa, 27 Julai 2010

POLITIK PENUH TIPU DAYA DAN SEGELA PERMAINAN SERTA TEKTIK KOTOR KECUALI POLITIK ISLAM DAN PENDOKONGNYA ORANG YG TAKWA

Mahu berbaik, tapi masih berbalah!
Wan Nik Wan Yussof

Mana mungkin boleh berbaik PAS dengan Umno, kerana banyak perkara yang Umno/kerajaan BN buat terhadap PAS/kerajaan PAS dan orang PAS yang bercanggah dengan hasrat berbaik-baik, antaranya mendiskriminasikan kerajaaan negeri Pakatan Rakyat. Sehingga sampai satu peringkat, menggunakan pelbagai agensi di bawah kerajaan pusat untuk mengenakan tekanan dan menyekat beberapa kemudahan serta menggagalkan rancangan kerajaan negeri. Pengalaman sebegini cukup dirasai dan secara berterusan dialami oleh PAS di Kelantan sepanjang 20 tahun mentadbir negeri.

Kes diskriminasi

Di antara kes-kes diskriminasi tersebut ialah:

  1. Melarang sekolah di bawah kerajaan pusat daripada menyertai sebarang kejohanan dan pertandingan anjuran kerjaaan negeri. Perkembangan terbaru antaranya tidak membenarkan sekolah-sekolah menengah menyertai peseta wau antarabangsa anjuran Bahagian Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Kelantan yang dipengerusikan oleh Datuk Takiyuddin Hasaan yang diadakan di Pantai Irama Bachok pada pertengahan Julai 2010.
  2. Membatalkan kebenaran pihak Sekolah Menengah Chung Hwa Kota Bharu kepada kerjaaan negeri Kelantan untuk menggunakan gelanggang bola keranjang semasa pengajuran Kejohanan Bola Tampar peringkat negeri di bawah kelolaan ahli exco Abdul Fattah Mahmood.
  3. Menubuh Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) yang disifatkan sebagai kerajaan dalam kerajaan didapati telah merampas hak kerajaan negeri Kelantan dari segi menerima agihan wang pembangunan yang dipertuntukkan di bawah Rancangan Malaysia (RMK) sejak daripada RMK6 sampailah sekarang memasuki RMK10.
  4. Lanjutan penubuhan JPP di Kelantan, terbaru pula (pada bulan Mei lalu) ialah satu lagi agensi di bawah telunjuk pemimpin Umno telah ditubuhkan semula, iaitu Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKP). Langkah tersebut merupakan kelangsungan daripada pewujudan jawatan Penyelia Pembangunan Mukim (PPM) bagi mengantikan Penghulu Mukim selepas Umno kalah di Kelantan tahun 1990. JKKP adalah sebenarnya agen Umno yang berselindung di balik tabir JPP yang berperanan untuk menjadi mata telinga dan pengawas serta sekaligus sebagai agensi kerajaan pusat yang erat dengan pemimpin dan cawangan Umno peringkat akar umbi. Secara tersirat ia adalah wadah bagi pemimpin Umno untuk demand sesuatu demi survival cawangan Umno yang rata-rata hampir ranap di Kelantan.
  5. Menyalurkan pelbagai projek pembangunan kepada rakyat, tetapi diagihkan mengikut selera politik Umno. Sehingga ramai kalangan rakyat yang bukan menyokong Barisan Nasional telah dinafikan hak menerima agihan tersebut. Misalnya, baja padi subsidi telah dicap dengan lambang dacing kemudian diagih-agihkan kepada ahli Persatuan Peladang yang merupakan penyokong Umno. Semasa bancian, semua ahli persatuan dinamakan sebagai penerima, tetapi apabila pihak PPM menyaring nama-nama penerima dan mereka yang bukan penyokong Umno dinafikan. Ia berbeza dengan pendekatan kerajaan negeri Kelantan yang menyediakan baja padi berharga RM3 yang diagihkan kepada semua petani asalkan membayar pada harga ditetapkan.
  6. Melengah-lengahkan penyaluran geran kewangan tahunan yang sepatutnya dibayar dua kali setahun, tetapi dilewatkan pembayaran dan dibayar secara sekaligus pada penghujung tahun. Amalan ini berlaku sampai sekarang, terutama dari segi penyaluran geran tahunan kepada majlis-majlis daerah atau pihak berkuasa tempatan (PBT). Cara melengah-lengahkan pembayaran itu juga berlaku ke atas pemberian geran wajib yang kepada Kumpulan Wang Rezab Negeri seperti mana termaktub di dalam Perkara 109 dan Perkara 110, Perlembagaan Persekutuan: geran perkapita penduduk, geran penyelenggaraan jalan negeri dan geran pembangunan.
  7. Mempolitikkan bantuan pelajar miskin apabila Kementerian Pendidikan melalui sekolah-sekolahnya dipaksa oleh kepimpinan Umno supaya melaksanakan agihan Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM) kepada pelajar yang terpilih mengikut senarai Umno. Di samping itu, borang permohonannya pula hendaklah disahkan oleh PPM. Sekiranya ada pelajar yang ibu bapa mereka bukan penyokong Umno, maka ibu bapa tersebut dikehendaki bersumpah di hadapan PPM untuk menyokong Umno di dalam pilihan raya. Sementara perkembangan terbaru pula, satu lagi bantuan pelajaran untuk pelajar sekolah rendah dan menengah atas nama ‘wang ehsan’ turut disalurkan. Cara penyalurannya juga sama dengan KWAPM. Apa yang jelas setiap majlis penyampaiannya bantuan itu akan dimulakan dengan kempen politik Umno oleh ketua bahagian atau mana-mana menteri yang kebetulan hadir. Sudah tentu, kempen itu dipenuhi dengan sindiran dan fitnah terhadap pemimpin dan penyokong PAS serta kerajaan negeri pimpinan.
  8. Paling besar sikap berbalah Umno terhadap umat Islam dan seluruh rakyat Kelantan ialah tidak membayar wang royalti petroleum kepada kerajaan negeri. Semenjak perjanjian dibuat antara Petronas dengan Kerajaan Negeri Kelantan tahun 1975, wang royalti tidak pernah berbayar. Ia adalah di bawah kerajaan pusat yang dikawal oleh Umno. Justeru Presiden Umno selaku Perdana Menteri telah mengumumkan secara rasmi (kenyataan yang dianggap salah) di parlimen pada 4 November 2009 bahawa Kelantan tiada hak menerima wang royalti itu. Pihak kerajaan negeri Kelantan pula telah mengutus surat secara rasmi mohon wang royalti itu dibayar. Sehingga kini surat itu tidak dijawab. Malah beberapa pemimpin Umno Kelantan menafikan langsung hak rakyat Kelantan ke atas hasil petroleum di perut bumi perairan Kelantan. Apa yang jelas telaga minyak sudah dikeluarkan hasil, jutaan ringgit sudah dikaut, wang royalti tidak dibayar, tiba-tiba kerajaan pusat akan bayar wang ehsan sebanyak RM40 juta.
  9. Sikap menganaktiri Kelantan adalah cara Umno berkeluarga dengan rakyat Kelantan. Saban hari mereka berjanji untuk membantu rakyat dan setiap kali pilihan raya pula mereka ulangi janji-janji yang tertunggak, malah janji baru terluah sampai berbuih mulut. Hasilnya tidak kurang tujuh projek besar tergendala kerana salah urus dan tertangguh kerana mainan politik adu-domba sesama pemimpin Umno. Antara projek-projek itu ialah belum buat apa-apa lagi lebuh raya Gua Musang-Kuala Krai, siap separuh jalan jalan Simpang Pulai-Gua Musang dan Gua Musang-Kuala Berang, Universiti Malaysia Kelantan belum muncul janji di Bachok dan Jeli tetapi yang beroperasi dalam terbatuk-batuk di Pengkalan Chepa, pelebaran lapangan terbang Sultan Ismail Petra, pembinaan jambatan Sultan Yahya Petra, 20 buah sekolah seluruh Kelantan dan pembinaan Projek Terminal Makanan Negara (TEMAM) di Tunjong.
  10. Siaran televisyen dan akhbar perdana milik kerajaan Umno-Barisan Nasional sering kali membuat liputan berita yang berat sebelah, berbau fitnah dan provaktif. Di samping sengaja melakonkan sesuatu peristiwa (seperti isu bekalan air, kedaifan hidup rakyat dan kemudahan asas rakyat yang terabai) yang kononnya rakyat tidak dipedulikan dan segala kemudahan rakyat tidak dilayan dengan baik.
  11. Paling mendukacitakan lagi, pihak berkuasa Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan pernah melarang guru-guru daripada memakai kopiah semasa bertugas. Ia dikatakan berpunca daripada desakan pemimpin Umno yang kononnya tidak mahu melihat guru berkopiah di sekolah-sekolah kerana ia menyamai dengan budaya berkopiah kalangan pemimpin PAS. Rentetan larangan itu, seterusnya semua sekolah agama-Arab telah disekat bantuan pelajaran, dan mengenakan syarat mesti mendaftar di bawah Kementerian Pendidikan barulah bantuan disalurkan.
  12. Masih segar dalam ingatan, lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib ke Kelantan telah tidak mahu bertemu dengan Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz. Ia terbukti apabila pihak Red Carpet yang mengurus Kelantan Fiesta telah menolak kehadiran Menteri Besar di dalam majlis perasmiannya yang menyaksikan kegagalan majlis tersebut. Tindakan itu dilihat sebagai manifestasi sikap berbalah bukannya mahu berbaik-baik.
  13. Sementara yang terbaru, kehadiran lawatan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyidin Yassin ke jajahan Jeli dan Tanah Merah yang kononnya mahu berjumpa dengan Menteri Besar Kelantan sebagai respon kepada kesediaan Tuan Guru Nik Abdul Aziz berjumpa beliau sehari sebelum lawatan berlangsung. Namun, respon itu dilihat berlaku secara spontan adalah suatu keadaan terdesak kerana tidak hubungan rasmi antara pejabat Timbalan Perdana Menteri dengan Menteri Besar. Katanya ia sekadar diuruskan melalui pihak ketiga yang memang tidak sesuai dan di luar nilai berbaik-baik.

Bercanggah dengan sunah Nabi

Sehubungan itu, kesemua sikap ingin berbaik dari pihak Umno itu adalah tersirat keadaan di mana pada masa sama terjemla sikap berbalah dengan PAS. Maka ia merupakan sandiwara pemimpin Umno yang kononnya cintakan perpaduan. Sekaligus ia adalah bercanggah dengan teori perpaduan sejagat yang mengkehendaki persefahaman dan penyatuan sikap serta tujuan sebagai teras ke arah termeterai perpaduan sejati. Sebagaimana sunah nabi Muhammad taktkala berhijrah dari Mekah ke Madinah, lalu dianjurkan perpaduan umah antara golongan Mekah dengan golongan Madinah. Bukti perpaduan adalah menerima Nabi Muhammad selaku pemimpin dan termeterai Piagam Madinah yang menyatukan kesemuanya di atas landasan Islam. Maka, sikap diskriminasi pemimpin Umno ke atas PAS dan Pakatan Rakyat masa kini adalah bercanggah dengan sunah Nabi Muhammad SAW.

Paling lekeh untuk dilihat sebagai praktik kepada teori perpaduan ialah realiti kerjasama kerajaan campuran PAS-Perikatan tahun 1971-1974 di Kelantan. Perpaduan itu terjadi atas dorongan dan nilai political will antara pemimpin PAS dan Umno yang mahu mengukuhkan ikatan umat Islam ketika berdepan dengan kesan rusuhan kaum13 Mei 1969. Maka, teori dan praktik perpaduan itu tidak terbayang di dalam suasana ajakan perpaduan PAS-Umno pada hari ini. Tiada asas komitmen pemimpin Umno untuk meninggalkan dasar sekular dan pragmatis ke arah menerima dasar Islam. Sedangkan kesediaan menerima Islam telah diungkap sejak sekian lama olerh PAS kerana PAS memperjuankan Islam. Justeru teori perpaduan sahaja yang wujud tetapi praktik perpaduan sebenarnya tidak timbul di dalam parti Umno.

Persoalan untuk umat Islam

Renungi dan fahami beberapa persoalan untuk umat Islam. Apakah mungkin bagi Umno, ia berteori kemudian mempraktikkan teori perpaduan itu dengan cara keikhlasan sejati? Bagaimanakah pula rupanya perpaduan yang berkonsepkan keikhlasan sejati? Secara mudah mungkin boleh diterima idea seorang blogger (kalam perantau), yang mencadangkan langkah rasional ke arah berbaik-baik antara PAS dengan Umno ialah dengan memulakan kerjasama antara kerajaan negeri dengan kerajaan pusat. Kerjasama kerajaan itu boleh berlaku kalangan top level dalam kerajaan dan tidak semestinya melibatkan PerdanaMenteri dengan Menteri Besar ataukah padan sekadar Datuk Seri Utama Dr. Rais dengan ahli exco kerajaan negeri, Dr. Mohamed Fadli. Pendekatan perpaduan kerajaan-kerajaan itu sudah tentu akan dapat meredakan banyak permasalahan berbangkit selama ini. Sanggupkah pemimpin Umno?

Apa pun, perpaduan sejati hanya boleh dicapai setelah penghayatan dan daya istiqamah tertinggi kalangan pemimpin, iaitu berpaksikan prinsip perpaduan Islam yang telah dibuktikan oleh Nabi Muhammad SAW. Saya yakin, pemimpin Umno belum bersedia untuk mengikut sunah Nabi Muhammad SAW!

Wan Nik Wan Yussof,

Setiausaha Politik Menteri Besar Kelantan.




MB berang siasatan ahli majlis 'bocor'
Regina Lee
Jul 27, 10
2:45pm

Menteri besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim mengakui bahawa kerajaan negeri itu sedang menyiasat kes melibatkan seorang ahli majlis yang menyalah-gunakan surat rasmi exco kerajaan untuk mendapatkan kontrak bagi kroninya.

Khalid berkata siasatan dalaman telahpun dijalankan sejak "dua atau tiga minggu lalu."

Bercakap dalam satu sidang akhbar hari ini, Khalid (kiri, tengah) juga berkata beliau berasa malu kerana hasil siasatan itu telah dibocorkan.

Beliau mengulas laporan akhbar The Star hari ini yang menyebut, ahli majlis daripada parti DAP itu juga merupakan seorang pemimpin veteran dan mempunyai hubungan rapat dengan pimpinan parti negeri.

Ahli majlis berkenaan didakwa telah mendapatkan kontrak untuk kroni dan anggota keluarganya dengan menulis surat sokongan menggunakan surat rasmi seorang anggota exco.

Dilaporkan, ahli majlis berkenaan yang telah dilantik selama tiga penggal itu berjaya mendapatkan beberapa projek melalui kegiatan itu.

Bercakap selepas satu sesi dialog di Shah Alam Convention Centre, Shah Alam hari ini, Khalid berkata, beliau berasa malu kerana hasil siasatan itu dibocorkan -- sehingga mendapat liputan akhbar.

K
atanya lagi, kerajaan negeri akan menjalankan satu audit berhubung kejadian tersebut dan siasatan lanjut perlu dijalankan sebelum mengambil apa-apa tindakan ke atas individu terlibat.

Tambahnya, beliau tidak menolak kemungkinan untuk menyerahkan kes tersebut kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Sementara itu, pemimpin DAP negeri termasuk exco Ean Yong Hian Wah dan Ronnie Liu (kanan) masih enggan membuka mulut bagi menjelaskan kejadian tersebut.






PAC temui bukti curi pasir di Balik Pulau
Susan Loone
Jul 27, 10
3:58pm

Jawatankuasa Kira-kira Awam (PAC) Pulau Pinang menemui bukti bahawa kegiatan pencurian pasir berlaku di negeri itu dalam satu lawatan lapangan berkenaan hari ini.

Sebanyak lima kawah pasir, setiap satunya dianggarkan seluas padang bola sepak ditemui di lokasi tersebut, di Balik Pulau, yang didakwa berlakunya kegiatan kecurian pasir.

Seorang wakil penduduk Mohamad Kaharudin Ihsan Abdul Rahman berkata, kawah berkenaan adalah hasil daripada kegiatan perlombongan itu yang didakwa berlaku sejak enam bulan lalu.

Bagaimanapun, tinjauan ke lokasi berkenaan di Kampung Kenanga hari ini tidak menemui sebarang tanda-tanda kegiatan perlombongan haram dan hanya kelihatan adalah beberapa ekor lembu yang sedang meragut.

Menurut Mohamad Kaharudin Ihsan yang juga tinggal di kawasan tersebut, aktiviti perlombongan biasanya dibuat sekitar jam 2 hingga 3 pagi, namun mereka tidak mengetahui siapa individu terlibat.

Aktiviti perlombongan itu berhenti selepas laluan masuk ke tanah milik kerajaan persekutuan seluas 34 hektar di Titi Teras itu ditutup, rentetan daripada satu laporan polis yang dibuat, kata pekerja hotel itu lagi.

Mohamad Kaharudin Ihsan hadir ke kawasan berkenaan untuk menemani pengerusi PAC Jagdeep Sing Deo, yang juga ADUN Dato Keramat, yang melawat tapak tersebut pada jam 10 pagi ini.

Wakil rakyat dan anggota PAC lain yang turut menyertai tinjauan hari ini termasuk Sim Tze Sin, Koay Teng Hai dan Syed Ameruddin Syed Ahmad.

Kawasan berkenaan dahulunya adalah milik hartawan Loh Boon Siew.











Selangor diminta persetujui Projek Air Langat 2
Jul 27, 10 3:02pm
Projek pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2 (Langat 2) akan menemui jalan buntu sekiranya kerajaan negeri Selangor masih enggan memberi persetujuan, kata Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui.

Beliau berkata, keengganan kerajaan negeri Selangor akan mengakibatkan penduduk bakal berdepan dengan masalah kekurangan bekalan air yang serius.

"Kita minta sangat kerajaan negeri Selangor supaya bersetuju dan memberi kebenaran kerana kerajaan negeri Pahang telah memulakan projek pembinaan terowong untuk proses pemindahan air dari negeri itu ke Selangor.

"Jika pembinaan itu boleh dimulakan sekarang, loji itu boleh siap menjelang 2014 dan proses pemindahan air boleh dilaksanakan dengan lancar," katanya di Putrajaya, hari ini.

Mengulas status terkini Langat 2 yang masih gagal mendapat persetujuan daripada kerajaan negeri Selangor.

Projek yang menelan belanja RM8.65 bilion tersebut telah mendapat persetujuan kerajaan negeri Selangor sewaktu ditadbir oleh Barisan Nasional (BN), namun proses pembangunan seterusnya terbantut selepas kerajaan negeri itu ditadbir oleh pakatan pembangkang.

Menurut Peter Chin, Langat 2 adalah untuk menampung keperluan air bersih di tiga kawasan iaitu Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya sehingga tahun 2025.

Katanya, langkah alternatif untuk menampung bekalan air di tiga kawasan berkenaan selain menerusi projek Langat 2, akan membabitkan kos yang sangat tinggi.

"Ia bukan sesuatu yang mustahil (untuk guna alternatif lain) tapi ia akan membabitkan kos yang sangat tinggi. Kita perlu guna logik untuk tangani hal ini," katanya


Salah faham terhadap PAS
Li Fook Gao

- 26 JULAI 2010

Jika saudara mempunyai sebarang soalan yang ingin ditanya kepada ketiga-tiga Naib Presiden PAS, sila hantarkan soalan saudara ke sembangnaibpresidenPAS@gmail.com. Pemilihan soalan pembaca adalah bergantung keistimewaan soalan dan juga budi bicara pengelola kolum ini. Mari bersembang bersama Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (TITM), Salahudin Ayub (SA) dan Datuk Mahfuz Omar (MO)

Soalan 1:


Pada pendapat Naib Presiden sekalian, apakah yang orang di kampung sering salah-faham mengenai perjuangan PAS - selama ini?


TITM:
Orang kampung seringkali tidak mendapat maklumat sebenar tentang perjuangan PAS. Lantaran itu mereka sering kali dikelirukan dengan pelbagai isu yang berlaku dalam negara.

Salah faham utama yang berlaku ialah anggapan PAS memecah belah masyarakat melayu (Islam), dan bilamana isu ini dijelaskan bahawa tujuan perjuangan PAS untuk mengajak masyarakat kepada penghayatan Islam yang sebenar dalam masyarakat. Kita menyatakannya dalam pelbagai ceramah dan ucapan, kuliah dan sebagainya; namun ianya masih lagi tidak diyakini.

Namun setelah kita menguasai kerajaan negeri di kelantan ( lebih 20 tahun ), Terengganu satu masa dahulu, Kedah dan negeri lain kita bukan sahaja berjaya menyatakan dalam bentuk lisan tetapi juga dalam bentuk pembuktian melalui penghayatan.

Ini menambahkan sokongan dan keyakinan masyarakat kepada perjuangan PAS.

SA: Mereka sering mengganggap PAS sebagai parti pelampau agama, mereka anggap kita ekstrem dan mereka mengganggap PAS ialah parti yang memecah-belahkan masyarakat – itu yang saya rasa yang orang kampung dan pedalaman yang tidak terdedah pada media dan maklumat, itulah persepsi mereka kepada PAS.

Saya rasa sekarang dengan kemajuan dunia teknologi tanpa sempadan dan Internet, dan berlakunya ‘espora’ iaitu anak-anak mereka yang keluar belajar di bandar-bandar besar, pengajian tinggi dan juga jentera PAS yang semakin bersistematik dalam memberikan penerangan mengenai dasar-dasar parti, saya rasa perkara ini telah sedikit demi sedikit dapat kita atasi.

Di negeri-negeri Kelantan dan Kedah ini, kita melihat mereka ini terdiri daripada orang-orang Melayu yang lebih independent (berdikari) – mereka tidak banyak bergantung dengan kerajaan. Jika kita lihat rakyat di Kelantan ini, wanita-wanita mereka dan kaum-kaum lelaki mereka banyak bekerja dan berniaga sendiri menyebabkan mereka tidak terasa bergantung dengan parti pemerintah.

Yang keduanya, oleh kerana ini terdapat banyak pusat pengajian Islam yang membolehkan mereka lebih banyak terdedah kepada ajaran agama – jadi apabila jumpa PAS yang dasarnya Islam, mereka lebih mudah memahami perjuangan PAS berbanding dengan negeri-negeri lain.

MO:
Terlalu sedikit kumpulan yang salah faham tentang perjuangan Pas. Yang ada hanya golongan yang ketakutan hilang segala bantuan kebajikan pendidikan, pertanian dan bantuan lain yang diperolehi selama ini.

Akan tetapi, sekarang dengan perubahan gaya hidup dan perubahan kewujudan bandar baru menjadikan masyarakat kampung turut berubah. Di samping itu, kemunculan generasi baru anak-anak muda yang berpendidikan dan terdedah dengan maklumat menjadikan soal kekeliruan dan salah faham terhadap PAS bukan masalah pokok kepada parti.

Yang menjadi perkara pokok sekarang ialah proses penyampaian maklumat yang lebih efisyen perlu dilakukan oleh PAS.

Soalan 2:

Jika Naib Presiden terjumpa seorang ahli biasa dari parti UMNO, bagaimanakah sekalian berhujah untuk menarik beliau untuk menyertai PAS?


SA: Pada saya, orang-orang yang seperti ini perlu didekati dengan penuh bijaksana dan hikmah – perlu ada step by step, alah demi alah untuk kita mendekati mereka dengan mengambil pendekatan untuk berhubung dengan mereka.

Kedua, kalau boleh kita memberikan tawaran perkhidmatan kita kepada mereka dan ketiga barulah kita berkongsi tentang dasar-dasar perjuangan PAS kepada mereka.

Jadi perlu ada step by step, dan ini semua perlu dibuat dengan penuh kesabaran.

MO: Yang utama bukan hujah…tetapi apakah pandangan pertama (first impression) yg diperolehi oleh seseorang terhadap diri pimpinan PAS.

Bahasa badan kita yang mempamerkan keterampilan kemesraan akan menjadikan orang lain berhasrat untuk didekati dan dengan sendirinya mereka akan mendapat satu penghujahan mengenai pimpinan PAS bahawa mereka adalah orang yang sangat perihatin terhadap kehidupan persekitaran.


TITM: Hujan utama ialah al-Quran dan hadis. Kita perlu yakinkan mereka bahawa sebagai seorang Islam kita mesti yakin akan kebaikan ajaran Islam dan kemampuan Islam bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh negara.

Kita mengajak mereka memikirkan tentang isu besar rasuah yang berleluasa, laporan kedua audit serta peningkatan jenayah dan kemungkaran dalam masyarakat yang menuntut kita kembali kepada ajaran Islam.

Saya seringkali mengajukan persoalan 'apa ruginya kalau kita kembali kepada Islam, bangsa akan selamat, agama akan selamat, negara akan selamat, generasi kita akan selamat. namun kalau kita hanya memperjuanagkan bangsa, mungkin bangsa akan selamat, tapi apabila agama tidak selamat, maka bangsa itu juga lambat laun akan turut hancur dengan keruntuhan moral dan akhlak.

Jangan kita turut mendokongi dosa kemungkaran yang ditaja oleh UMNO BN, kerana bersekongkol dengan mereka bermakna kita turut mendokongi kemungkaran yang berlaku dalam masyarakat.


Soalan 3:

Harap para Naib Presiden dapat lengkapkan pantun di bawah:


Harga naik rakyat marah,
Rakyat marah Umno gelisah.


MO: Harga naik rakyat marah,
Rakyat marah Umno gelisah,
Jangan tunggu bagi parah,
Buang saja Umno dalam tong sampah.

Harga naik rakyat marah,
Rakyat marah Umno gelisah,
Jangan tunggu bagi parah,
Nanti rakyat juga yang susah.

TITM:
Harga naik rakyat marah,
Rakyat marah Umno gelisah,
Keadaan Umno makin parah,
Tingkatkan jihad jangan menyerah kalah.

SA:
Harga naik rakyat marah,
Rakyat marah Umno gelisah,
PAS mesti terus mengarah,
Supaya Umno-BN menyerah kalah




Khalid Samad: Bodoh bukan jenayah
Abdul Rahim Sabri
Jul 27, 10
7:14pm

Yang Dipertua PAS Shah Alam Khalid Samad terus mendesak Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Hasan Ali supaya menyaman Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria berhubung isu kerjasama PAS-Umno.

Khalid berkata, tindakan itu perlu diambil supaya "keikhlasan dan ketelusan" exco kerajaan Selangor itu tidak dipersoalkan oleh ahli PAS.

"Oleh itu, kami amat berharap agar saman terhadap Tan Sri Harussani disegerakan oleh pihak Datuk Pesuruhjaya supaya terbukti bahawa beliau telah ditipu dan beliau tidak reda ditipu sebegini rupa oleh Umno dan konco-konconya," katanya.

Khalid mengulas keputusan PAS Selangor yang berpendapat tidak perlu menyaman Harussani berhubung isu kerjasama PAS-Umno kerana kontroversi pertemuan itu "tidak pernah menjadi isu bagi PAS dan gabungan pembangkang di negeri itu".

Desakan agar Hasan mengambil tindakan undang-undang ditimbulkan dalam munaqasyah (perbincangan) PAS negeri di Shah Alam, Ahad lalu.

Menulis dalam blognya semalam, Khalid berharap ahli-ahli parti Islam itu tidak mempertikaikan tindakan Hasan kerana "sebagai ahli, tuntutan wala (kesetiaan) dan thiqah (kepercayaan) mesti dipertahankan".

Khalid yang juga ahli parlimen Shah Alam turut menolak dakwaan Hasan "ingin melepaskan dirinya daripada dikenakan tindakan disiplin".

"Ini merupakan satu kemungkinan sahaja, akan tetapi amatlah malang sekiranya PAS Selangor mempunyai seorang pesuruhjaya yang menipu.

"Berdasarkan tarbiah (didikan) dan latihan keagamaan yang dibangga-banggakan sebagai asas kekuatan PAS, kemungkinan adanya pesuruhjaya negeri yang sanggup berbohong adalah hampir mustahil!

"Ianya satu kemungkinan yang perlu ditolak mentah-mentah. Tidak mungkin Datuk Pesuruhjaya menipu kepada ahli dan pimpinan PAS serta rakyat jelata. Tidak mungkin!" tegas Khalid.

Bagaimanapun, Khalid mendakwa Hasan yang juga ahli jawatankuasa pusat PAS telah melakukan "kesilapan" kerana "membenarkan dirinya ditipu oleh seorang mufti Umno/BN yang tegar".

"Kesilapan beliau adalah kesilapan menghormati dan menyanjungi Tan Sri Harussani dan menjadikan beliau sebagai seorang pakar rujuk. Kesilapan ini adalah kerana kurang bijaknya beliau dalam mengenali sifat lawan.

"Namun, kurang bijaknya itu bukanlah satu kesalahan. Seperti kata-kata pujangga Inggeris, stupidity is not a crime (kebodohan bukanlah jenayah)," katanya



Dun Perak: Adun PR hadir atas notis Sivakumar
Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 28 Julai: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pakatan Rakyat Perak akan menghadiri sidang Dun pada 3 Ogos ini setelah mendapat notis panggilan daripada speaker yang sah, V. Sivakumar.

Demikian dimaklumkan Adun Pasir Panjang, Datuk Seri Muhammad Nizar Jamaluddin sewaktu dihubungi Harakahdaily hari ini.

"Kami telah menerima surat daripada speaker yang sah V. Sivakumar untuk kami hadir bersidang pada 3 Ogos jam 10 pagi. Jadi kami akan hadirlah oleh kerana kami dapat surat daripada Speaker V. Sivakumar," katanya.

Menurut Nizar, Speaker BN, R. Ganesan juga telah menghantar notis panggilan ke sidang Dun berkenaan kepada mereka.

Namun beliau menegaskan, keputusan untuk hadir ke sidang Dun berkenaan adalah kerana menerima suart daripada V. Sivakumar, bukan kerana panggilan daripada R. Ganesan.

"Kami akan hadir kerana surat daripada V. Sivakumar, bukan kerana notis daripada speaker haram itu," tegasnya yang juga Ahli Parlimen Bukit Gantang.

Beliau juga berharap agar persidangan kali ini akan berjalan lancar dan mengikut peraturan yang ditetapkan.

"Kami telah bagitahu kami mahukan persidangan ini berjalan lancar, licin dan mengikut peraturan biasa dan diberikan senaskhah agenda dan peraturan mesyuarat.

"Sehingga hari ini kami tidak menerima apa-apa agenda daripada speaker haram. Jadi kami tidak tahu apa yang akan terjadi dan yang akan dibahaskan dalam persidangan.

"Dia (R. Ganesan) tidak sebutkan dalam surat agenda-agenda seperti agenda soal jawab lisan dan sebagainya jadi kami tidak tahu apa yang akan berlaku pada 3 haribulan itu," katanya.

Kali terakhir, Dun Perak bersidang adalah pada 30 dan 31 Mac lalu dengan mencatatkan sejarah sidang Dun paling singkat setakat ini




Sekutu paling tadah, usaha guling MB digiatkan
Hazlan Zakaria
Jul 28, 10
12:52pm

Walaupun pemimpin PKR diarahkan 'menutup mulut' berhubung kandungan perbincangan dalam pemukiman parti itu di Port Dickson minggu lalu, maklumat daripada sumber dalaman memberi gambaran bahawa usaha untuk menggulingkan Tan Sri Khalid Ibrahim daripada kerusi menteri besar Selangor masih berterusan.

Rungutan ke atas Khalid kian kedengaran. Namun keadaan ini, yang dirintis oleh perasaan tidak puas hati oleh seorang ahli parlimen yang diketahui tidak sehaluan denganya, dilihat semakin bertambah buruk.

Dalam latar ini, satu lagi drama berlangsung dalam pertemuan itu apabila seorang wakil rakyat yang juga penyokong kuat Khalid melancarkan kritikan secara terbuka ke atas menteri besar itu.

"Saya sayang MB, tapi saya lebih sayang Selangor," kata wakil rakyat itu, seperti didakwa, dalam ucapannya yang mengkritik pentadbiran Selangor.Exco belum dirombak

Beliau juga didakwa telah mempersoalkan mengapa barisan exco Selangor masih belum dirombak, sedangkan negeri lain yang dikuasai Pakatan Rakyat seperti Kedan dan Pulau Pinang telah melakukan perubahan besar dalam pentadbirannya.

Segelintir anggota PKR menyifatkan tindakan wakil rakyat berkenaan ibarat ungkapan oleh Brutus yang bangun menentang Caesar dalam karya agung William Shakespeare, "Bukanlah saya kurang menyayangi Caesar, tapi saya lebih sayangkan Rom."

Dalam pada itu, timbul pula spekulasi di sebalik kelantangan wakil rakyat berkenaan.

Khabar angin menyatakan, ADUN berkenaan kini berubah haluan untuk berada dalam barisan pimpinan timbalan presiden parti Azmin Ali -- berikutan pelantikan ahli parlimen Gombak itu ke jawatan pengerusi pimpinan PKR negeri.

Khabar yang lain pula menjangkakan, tindakan itu pula berikutan tekanan daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia yang menjalankan siasatan ke atas wakil rakyat itu.

"Saya mengenali Khalid sejak tahun 2006, tapi ia menjadi tugas saya untuk menimbulkan isu mengenai Selangor, seperti yang berlaku di Hulu Selangor," kata wakil rakyat itu ketika dihubungi.

Bagaimanapun, beliau enggan menjelaskan perkara tersebut denan alasan ia merupakan isu dalaman yang ditimbulkan dalam perbincangan tersebut.

“Saya mesti ikut disiplin parti. Ada perkara yang kita boleh cakap di dalam (mesyuarat), ada yang kita tidak boleh cakap di luar (kepada media),"



Ahli majlis nafi dakwaan, mungkin saman akhbar
Regina Lee
Jul 28, 10
10:29am

Ahli majlis perbandaran Klang Tee Boon Hock hari ini menafikan dakwaan yang beliau menyalah-gunakan surat dan cop rasmi exco untuk mengeluarkan surat sokongan untuk mendapatkan kontrak bagi kroni dan anggota keluarganya.

Ahli majlis DAP itu dilaporkan oleh akhbar The Star semalam, telah memperoleh kontrak bernilai lebih RM1 juta untuk 20 syarikat daripada majlis itu sejak berkhidmat pada Julai 2008.

Dalam sidang akhbar bersama exco kerajaan negeri Selangor, Ronnie Liu - Tee berkata beliau akan merujuk kepada peguamnya bagi menentukan sama ada dia akan menyaman The Star.

"Artikel itu telah mencemarkan nama baik saya dan keluarga saya,” katanya dengan nada marah.

Tee, adalah pembantu khas kepada Liu dari tahun 2008 hingga Nov 2009 dan berkhidmat pi pusat DAP di Pandamaran.

K

atanya, sebagai pembantu kepada exco Selangor itu, bukan menjadi rahsia, beliau menandatangani surat sokongan bagi pihak ketuanya bagi mereka yang datang memohon bantuan.

Menurut Tee, semua surat ditulis tanpa membabitkan pegawai kerajaan atau bertindak di luar bidang kuasa mereka.

Tinggalkan Lembaga Tender

"Apabila kontraktor terlibat, semua surat secara khusus menyebut peraturan ahli majlis Selangor dan kerajaan negeri mesti dipatuhi,” katanya sambil menambah tiada surat yang dikeluarkan bagi pihak Liu apabila beliau tidak lagi berkhidmat.

Beliau juga menafikan laporan akhbar itu yang menyebut bahawa beliau menduduki Lembaga Tender Majlis Perbandaran Klang kerana telah meninggalkan jawatan itu, bulan lalu.

Liu pula menafikan kenyataannya seperti yang disiarkan akhbar itu dan berkata berita halaman utama berkenaan sebenarnya bercanggah.

"Di muka depan, saya dilaporkan mengesahkan dakwaan tetapi pada masa yang sama saya dipetik sebagai berkata saya tidak menyedari perkara itu. Lagipun saya bukan timbalan pengerusi DAP Selangor seperti laporan akhbar itu.

"Menteri Besar juga berkata beliau telah menjalankan siasatan, jadi lebih baik beliau dibiarkan mereka menyiasat,” kata Liu yang beredar selepas membaca kenyataannya sebelum sempat wartawan bertanyakan soalan.

Pada sidang media ini, kedua-dua mereka ditemani oleh pengerusi DAP Selangor, Ean Yong Hian Wah, timbalannya Tony Pua dan exco kanan Teresa Kok.

Dibocorkan pihak dalaman

"DAP tidak akan teragak-agak bertindak demi kepentingan umum. Kami tidak akan melindung mana-mana ahli yang menyalah-gunakan kuasa,” kata Ean Yong.

B
agaimanapun menurut Kok, ada kalanya sukar bagi menafikan orang ramai, khususnya ahli di kalangan akar umbi yang datang meminta surat sokongan.

"Dari segi teori, betul, kita mesti menghapuskan pemberian surat sokongan. Tetapi dari segi realiti, adalah sukar untuk menolak permintaan akar umbi, kerana mereka akan beranggapan bahawa wakil rakyat mereka tidak bersedia membantu.

"Tetapi kerajaan negeri telah memaklumkan kepada semua pengarah jabatan-jabatan di Selangor supaya tidak terlalu mengambil berat terhadap surat sokongan dan memberikan kontrak berdasarkan merit,” katanya lagi.

Walaupun pemimpin DAP bersatu dalam isu itu, namun khabar angin tersebar luas, pembocoran maklumat itu dipercayai dibuat oleh pihak dalaman parti



MB bidas Khir, - 'pesara lombong haram'
Regina Lee
Jul 28, 10
6:27pm

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim hari ini melabelkan Ketua Pembangkang Negeri, Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo, sebagai “pesara lombong pasir haram”.

Ditanya pada sidang akhbarnya mengenai dakwaan bekas menteri besar itu yang menuduh syarikat milik kerajaan negeri - Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB) membayar royalti yang berkurangan berbanding ketika beliau mentadbir Selangor, Khalid menjawap dengan sinis.

“Khir Toyo tahu semua butirannya. Saya fikir dia mesti terbabit dalam perniagaan melombong pasir sebelum ini - kemungkinan besar yang beroperasi secara haram. Saya tidak mahu komen pelombong pasir haram yang sudah bersara itu,” katanya.

Khir mendakwa KSSB hanya membayar royalti RM12,000 kepada kerajaan negeri di sebalik memungut hasil RM734,000 tahun lalu










Khir tiada 'Selamatkan S'gor' sebab jaga kawasan
Regina Lee & Salhan K Ahmad
Jul 29, 10
6:31pm

Ketua pembangkang Selangor, Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo masih belum diturunkan dalam barisan penceramah dalam siri 'Selamatkan Selangor' yang bakal memasuki pusingan kedua pada hujung minggu ini.

Ketiadaan Mohd Khir di pentas tersebut, menguatkan lagi desas-desus berhubung persaingannya dengan timbalan ketua perhubungan negeri Datuk Noh Omar, dalam merebut kedudukan menteri besar.

Ja
watan tersebut dilihat menjadi taruhan utama antara kedua-duanya untuk menonjolkan kemampuan masing-masing dalam merebut semula Selangor daripada penguasaan Pakatan Rakyat.

Dalam kemeriahan ini pula, muncul Ezam Mohd Nor, bekas pengikut utama Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang diberikan tugas utama untuk mengepalai kempen 'Selamatkan Selangor.'

Mohd Khir dilaporkan akan diturunkan bersama Ezam dalam peringkat kedua kempen, namun berdasarkan jadual program yang diperolehi, tiada tanda-tanda menunjukkan Mohd Khir akan muncul dalam ceramah pada hujung minggu ini.

Hanya Ezam dan Noh Omar yang akan muncul di sebahagian besar ceramah yang akan berlangsung dalam pusingan kali ini.

Mengulas perkembangan ini, ketua penerangan Umno Selangor Abdul Shukor Idrus berkata Mohd Khir yang juga ADUN Sungai Panjang tidak dapat hadir kerana menumpukan kepada aktiviti di kawasan beliau.

Beliau juga menafikan pandangan yang mengatakan Mohd Khir merajuk, lalu menolak undangan untuk hadir ke pentas berkenaan.

"
Tidak timbul soal merajuk. Buat masa ini dia belum ada kelapangan lagi, kita pun faham keadaan dia tu," katanya lagi ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Mohd Khir ketika dihubungi mengesahkan bahawa beliau telah menerima jemputan untuk hadir ke majlis berkenaan.

"Tapi saya kena jaga kawasan," katanya ringkas apabila ditanya sebab ketiadaan bekas menteri besar Selangor itu dalam kempen tersebut.

"Mereka memang (timbulkan isu perselisihan antara beliau dengan Noh). Saya tidak ada masalah dengan Noh," katanya yang menyalahkan PKR kerana mempolitikkan isu berkenaan




Pendakwaan Liong Sik bukti wujud penyelewengan
http://idrisahmad.wordpress.com

Pendakwaan Tun Dr Ling Liong Sik yang juga bekas Presiden MCA merangkap menteri kanan di zaman pemerintahan Mahathir membuktikan bahawa dakwaan Pakatan selama ini berhubung wujudnya penyelewengan dalam skandal Zon Perdagangan Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) adalah benar.

Liong Sik yang juga mantan Menteri Pengangkutan bertanggungjawab bagi mempengaruhi keputusan Kerajaan bagi pembelian tanah seluas 999.5 ekar bernilai RM1,088,456,000.00 di Pulau Indah.

PAS yakin bahawa ramai lagi pihak yang terlibat dalam penyelewengan ini dan Liong Sik hanyalah kambing hitam bagi menunjukan lakonan ‘kejujuran’ Kerajaan BN hari ini bagi menutup kes PKFZ.

PAS juga curiga dengan kenyataan Menteri Pengangkutan yang baru, Datuk Seri Kong Cho Ha yang mengatakan bahawa siasatan ke atas skandal PKFZ adalah “mencukupi” dan tidak perlu bagi isu itu disemak semula.

Malah kenyataan Cho Ha yang membenarkan pembayaran semula bon bernilai RM228 juta juga bercanggah dengan keadaan semasa dimana kes penyelewengan PKFZ masih dalam perbicaraan mahkamah.

Malah kerajaan akan melakukan kesilapan kedua jika melunaskan bayaran bon itu kerana syarikat Kuala Dimensi Sdn Bhd (KDSB) yang merupakan kontraktor utama PKFZ, yang mengeluarkan bon tersebut telah dheret ke mahkamah oleh Pihak Berkuasa Zon Bebas (PKA) kerana membuat tuntutan berlebihan dan tidak menyiapkan kerja mereka seperti yang dijanjikan.

Kegagalan KDSB yang dimiliki oleh jutawan Datuk Tiong King Sing yang juga ahli parlimen BN menambahkan lagi kekusutan skandal PKFZ kerana sekaligus ia menyambung siri penyelewengan ke
atas projek berkenaan.

Ini menunjukan PKFZ merupakan sebuah projek khas bagi menyara pemimpin BN dan kroni mereka bermula dengan menipu untuk membeli tapak, kemudian menipu dalam proses perancangan dan penyediaan pelan serta menipu dalam proses pembinaan.

Bayangkanlah kerugian besar wang rakyat dalam projek ini yang pada asalnya dilaporkan hanya berjumlah RM RM1.957 bilion tetapi akhirnya didakwa meningkat kepada RM4.947 bilion, lebih dari dua kali ganda.

PAS mengesa agar kes ini terus dibuka untuk siasatan dan kerajaan tidak perlu membuat apa-apa bayaran lagi kepada mana-mana pihak yang terlibat selagi kes ini tidak diselesaikan di Mahkamah.

Kes ini baru bermula dan Menteri Pengangkutan yang baru tidak berhak untuk menutup kes ini begitu sahaja melainkan jika beliau juga mempunyai kepentingan atau mahu menyelamatkan maruah BN.

PAS berharap rakyat membuka mata kerana pemimpin BN akan terus melakukan penipuan sebegini. Apa sahaja projek mega yang diumumkan mereka pasti ada ketirisan wang rakyat.

PAS juga berharap rakyat membuka mata kerana kes yang sama tidak mustahil akan berlaku termasuklah dalam kes pembangunan semula kampung Baru, Kuala Lumpur yang diwar-warkan kerajaan akhir-akhir ini.

Kerajaan sudah mengumumkan mahu membeli tanah-tanah penduduk dengan harga yang sangat murah sekitar RM 250-RM 300 sekaki persegi. Tetapi selepas itu mahu mengeluarkan bon projek bernilai tinggi yang kemudiannya projek itu akan dibangunkan oleh kroni mereka di dalam GABEM (Biro Ekonomi Umno) dan seterusnya disewa gadaikan kepada pihak ketiga dengan harga lebih 3 kali ganda dari nilai yang dibayar kepada penduduk.

Sebelum satu lagi fail skandal dibuka, PAS mengingatkan rakyat supaya menukar Kerajaan dalam pilihan raya akan datang demi kebaikan mereka dan menyelamatkan wang negara.

Ustaz Idris Ahmad,
Ketua Penerangan PAS Pusat



Menteri penipu, kabinet ditipu?

Abdul Aziz Mustafa

KUALA LUMPUR, 30 Julai: Jika benar Tun Dr Ling Liong Sik menipu kerajaan Malaysia seperti tuduhan ke atasnya di Mahkamah Sesyen Putrajaya semalam, bagaimanakah mereka yang ditipu masih kekal dalam jemaah menteri hingga sekarang.

Ketika mempersoalkan perkara itu, Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata, jika benar penipuan itu berlaku, mereka yang ditipu sehingga dua kali dalam tempoh tidak sampai dua bulan hilang kelayakan sebagai anggota jemaah menteri termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Ling yang juga bekas Menteri Pengangkutan menghadapi tuduhan menipu kerajaan sekitar 25 September 2002 dan 6 November 2002 dengan memperdayakan jemaah menteri untuk memberikan persetujuan pembelian tanah di Pulau Indah untuk projek Mega Distribution Hub di Pelabuhan Klang.

Perdana Menteri, timbalannya dan sebahagian anggota kabinet kini adalah anggota kabinet pada masa penipuan itu didakwa berlaku.

"Persoalannya ialah bagaimana sebahagian yang kena tipu masih kekal dalam jemaah menteri hingga sekarang dan menjawat jawatan yang lebih besar iaitu Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri dan ramai lagi anggota jemaah menteri pada 2002 yang turut kena tipu masih kekal dalam kabinet kerajaan Umno Barisan Nasional (BN)," kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu.

Jika tuduhan ke atas Ling benar, Mahfuz menyifatkan perkara itu sangat memalukan kerana perkara itu menunjukkan dalam kabinet kerajaan BN ada penipu dan ada yang kena tipu sehingga mengakibatkan kerugian yang sangat besar kepada negara dan rakyat.

"Yang menipu sudah tentu jahat dan bijak. Yang kena tipu pula sudah tentu lemah dan bangang.

“Yang tipu tak beramanah sementara yang kena tipu pun sama tak beramanah dan pak angguk dalam mesyuarat jemaah menteri.

"Apalah malang rakyat Malaysia diperintah oleh kerajaan Umno BN yang anggota jemaah menterinya orang yang bodoh bangang dan mudah ditipu sebanyak dua kali dalam tempoh tak sampai dua bulan," kata Mahfuz.

Malaysia, katanya, tidak akan maju jika jemaah menteri dari kalangan penipu dan menteri yang mudah ditipu terus berkuasa.

Sambil menyatakan BN boleh dibaca sebagai "Bohong Negara," Mahfuz menyeru rakyat supaya "menyelamatkan Malaysia daripada penipu negara".

Seorang lagi Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub berharap semua anggota kabinet yang didakwa telah ditipu oleh Liong Sik turut sama dipertanggungjawabkan atas apa yang berlaku itu.

Menurut Ahli Parlimen Kubang Kerian itu, anggota kabinet bukan anggota pasukan bola sepak amatur.

Jika pasukan bola sepak amatur ditipu, katanya, ia masih boleh dimaafkan.

Tetapi, kata Salahuddin, anggota kabinet memegang jawatan berprofil tinggi yang memberikan kesan amat besar kepada kepentingan dan harta negara.

"Apabila mereka ditipu sehingga dua kali dalam tempoh tidak sampai dua bulan, ia merupakan condict unbecoming kerana mereka sebenarnya melakukan act of negligence yang didefinisikan sebagai the failure to use ordinary care.

"Sebab itulah kesemua anggota kabinet yang didakwa telah ditipu itu mesti bertanggungjawab dan dipertanggungjawabkan kerana kerugian yang telah ditanggung oleh negara berhubung perkara itu ternyata amat besar," katanya.

Beliau juga tidak mahu menolak spekulasi yang mendakwa tuduhan terhadap Ling itu sebenarnya adalah sindiran pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad.

Dr Mahathir Perdana Menteri ketika penipuan itu didakwa berlaku.

"Beberapa pihak telah mula mendakwa dan membuat spekulasi bahawa apa yang berlaku itu sebenarnya ialah 'dakwa Ling, sindir Mahathir'.

"Susah juga untuk terus menolak spekulasi itu," katanya




Zul Noordin: Haramkan DAP
Jul 30, 10 3:48pm
Ahli parlimen Kulim-Bandar Bharu berkata Pendaftar Pertubuhan perlu membatalkan pendaftaran DAP kerana didakwa "cauvinis, rasis, ala-komunis, anti-Melayu dan anti-Islam" dalam isu diskaun bumiputera bagi pemilikan hartanah tertentu Selangor.

Zulkifli Noordin (kanan) berkata isu pemilikan hartanah komersial dan mewah - seperti disaran ahli parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua - bukan isu diskaun semata-mata tetapi berkait dengan perlembagaan dan keharmonian kaum.

"Hari demi hari mereka mengasak umat Islam dan orang Melayu dengan pelbagai isu," kata wakil rakyat bebas itu yang dipecat daripada PKR sebelum ini.

Tony yang juga penasihat ekonomi kepada setiausaha agung DAP mendakwa penghapusan pemberian diskaun itu mampu memberi kesan ekonomi lebih baik kepada Selangor dari segi persaingan termasuk meningkatkan keyakinan pelabur terhadap sektor hartanah di negeri itu.

Bagaimanapun, beliau sebelum dilaporkan berkata, cadangan tersebut hanya melibatkan nilai hartanah melebihi RM500,000 ke atas.

Menulis dalam blognya semalam, Zulkifli berkata, sekiranya tidak dibendung segera, "sikap melampau kepimpinan DAP" akan menjadi barah kepada kestabilan dan keharmonian agama dan kaum.

"Atas alasan itu, saya percaya sudah tiba masanya kita bertindak tegas terhadap kepimpinan DAP ini. Saya mencadangkan supaya Pendaftar Pertubuhan mengambil tindakan untuk membatalkan pendaftaran parti DAP ini.

"Ianya hendaklah diisytiharkan sebuah pertubuhan haram yang membahayakan rakyat dan negara ini," katanya.

"Meminjam (gaya) kata-kata presiden (Iran) Ahmadinejad, kepimpinan DAP ini wajib dihapuskan daripada peta politik negara ini!"



Mengapa lambang dacing


KANGAR - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sanglang, Hashim Jasin mengakui malu dan takut-takut membawa pulang kampit beras dengan lambang dacing yang dihadiahkan Kerajaan Negeri suatu masa dahulu.

Menurutnya, beliau menghadiri majlis pada bulan Ramadan yang ketika itu di bawah pentadbiran Datuk Seri Shahidan Kassim.

“Saya terima beras yang diberikan kepada semua wakil rakyat tetapi sedikit masalah apabila saya tengok ada lambang dacing (Barisan Nasional - BN) pada kampitnya.

“Saya takut-takut masa nak bawa balik ke rumah. Manalah tahu kalau ada orang Pas nampak saya pegang kampit beras dengan lambang dacing. Apa mereka akan kata kepada saya sebab tidak tahu kedudukan sebenar,” katanya.

Hashim bangun mencelah dan menjelaskan sindiran ADUN Tambun Tulang, Datuk Seri Shahidan Kassim yang menyifatkan orang Pas begitu taksub dengan parti apabila mendapat tahu pemimpinnya melarang mereka bekerja dengan orang UMNO.

Shahidan berkata, ADUN Pas itu mempunyai prasangka buruk kepadanya apabila enggan menikmati jamuan yang disediakan selepas majlis itu dengan alasan tertentu.

“Jangan takutlah. Kami tak bubuh ubat atau racun dalam makanan. Jangan ada persepsi negatif kerana kita tidak pernah buat macam tu.

“Kita orang UMNO boleh berkawan dengan semua orang dan tidak pernah membuat apa-apa tanggapan buruk kepada orang Pas,” katanya.

Hashim berkata, beliau menghargai niat baik Kerajaan Negeri ketika itu dan jika benar-benar ikhlas, mereka sepatutnya menggunakan kampit biasa.

“Kalau betul ikhlas, janganlah guna kampit yang ada lambang dacing. Susah saya untuk menepis kalau timbul salah faham dengan ahli Pas.”

Menurutnya, beliau boleh berkawan dengan semua orang dan kadang-kadang orang UMNO yang menjauhkan diri daripadanya.

“Sebagai contoh, dahulu ketika kami ada tiga orang dalam Dewan ini dan waktu rehat masa minum, tiada seorang pun wakil rakyat UMNO yang berani datang atau bersembang dengan saya walaupun tempat duduk lapang.

“Sebaliknya mereka lebih suka duduk berhimpit-himpit di hujung sana sesama UMNO,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan agar wakil Pas diberi peluang agar sama-mama mempunyai peranan untuk membangunkan negeri ini dengan mengenepikan fahaman politik.

“Kerajaan wajar memberi peluang kepada semua anak Perlis membangunkan negeri, tanpa mengira parti” katanya





Dr Ahmad Yunus dapat gantirugi RM55,000
Harakahdaily

KLANG, 30 Julai: Mahkamah Sesyen Klang hari ini merekodkan persetujuan Datuk Fatah Iskandar, akhbar Berita Harian dan kumpulan NSTP Press membayar gantirugi RM55,000 tanpa pengakuan liabiliti kepada Adun Sijangkang, Dr Ahmad Yunus ekoran berita yang disiarkan akhbar itu tahun 2004 lalu.

Persetujuan itu direkodkan oleh pihak yang terlibat iaitu Dr Ahmad Yunus (gambar) sebagai plaintif melalui peguamnya Mohamed Hanipa Maidin dan para defendan.

Defendan adalah Datuk Fatah yang membuat kenyataan itu dengan diwakili oleh firma Datuk Salahuddin Saidin serta Berita Harian yang menyiarkan berita itu dan Datuk Kalimullah Hassan yang mewakili NSTP Press.

Selepas pilihan raya umum 2004 lalu, akhbar Berita Harian menyiarkan satu berita yang bertajuk "Tikam dari belakang - calon PAS".

Ekoran itu, Dr Ahmad Yunus yang kini timbalan Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Modal Insan Selangor memfailkan saman kepada pihak-pihak berkenaan menuntut gantirugi itu.

Pada 29 Julai 2004, Dr Ahmad Yunus Khairi telah memfailkan saman ke atas Datuk Abdul Fatah Haji Iskandar, Kalimullah Hassan dan The News Straits Times Press ( Malaysia ) Berhad di atas berita yang disiarkan oleh akhbar Berita Harian pada 20 Mac 2004 bertajuk “ Fatah ‘ditikam dari belakang’ calon PAS” di mana antara lain berita tersebut menyatakan:

“Ahmad Yunus rapat dengan saya, dia ikut hampir setiap ceramah dan majlis yang saya hadiri. ..Sebelum penamaan calon, saya ada terdengar nama dia akan dicalonkan. Saya tanya dia berkali-kali sama ada dia hendak bertanding, tapi dia nafikan akan melawan saya.’.. Abdul fatah menyifatkan tindakan Dr. Ahmad Yunus sebagai “menikamnya dari belakang” kerana persahabatan mereka begitu rapat. Saya yakin pengundi tahu memilih yang mana calon yang boleh membawa pembangunan dan yang mana calon yang hanya berjuang berdasarkan emosi.” Katanya. .. Abdul Fatah menyifatkan perkembangan Pas menampilkan Dr Ahmad Yunus menjadi calon sebagai parti yang terdesak kerana mereka tidak mempunyai calon yang cukup.”

Di dalam samannya Dr Yunus yang ketika itu adalah calon PAS bagi Dun Sijangkang mendakwa kata-kata tersebut adalah satu fitnah yang amat jahat ke atas beliau kerana dalam maknanya yang asal dan biasa kata-kata tersebut antara lain bermaksud bahawa beliau adalah seorang yang tidak boleh dipercayai, seorang penipu dan tidak mempunyai integriti.

Kata-kata fitnah tersebut dakwa Dr Yunus juga bermaksud bahawa beliau adalah calon tangkap muat dan beliau adalah calon yang berjuang berdasarkan emosi.

Kata-kata yang didakwa fitnah itu disiarkan sehari sebelum pilihan raya umum 2004 yang mengakibatkan Dr Yunus tidak berupaya menjawab tuduhan tersebut di akhbar.

Saman Dr Yunus telah ditetapkan untuk bicara hari ini di Mahkamah Sesyen Klang dan mahkamah telah merekodkan penghakiman persetujuan di mana defendan-defendan telah bersetuju dengan tanpa pengakuan liabiliti membayar gantirugi sebanyak RM 55,000-00 kepada Dr Yunus.

Dr Yunus diwakili oleh Mohamed Hanipa Maidin manakala Dato Abdul Fatah Iskandar diwakili oleh firma Tetuan Salehuddin Saidin dan akhbar Berita Harian diwakili oleh peguam Josephen dari Tetuan Sharizat & Lee


Islam adil untuk semua
http://episodeperjuangan.blogspot.com/

1. Kebelakangan ini negara kita dan sebahagian rakyatnya sedang memerhati isu yang dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Yb. Tony Pua berkait dengan diskaun bumiputera dalam pembelian rumah bagi hartanah yang bernilai RM 500,000 ke atas .

2. Ada beberapa perkara yang perlu terlebih dahulu saya tegaskan di sini berkait isu yang timbul sebelum saya mengulas lanjut .

Pertama : Yb. Tony Pua sewajarnya tidak mendahului Majlis Mesyuarat PAKATAN Rakyat dalam membuat kenyataan yang boleh mencetus kontraversi seperti ini sementelah menyentuh kepentingan bumiputera . Sedang Majlis Mesyuarat PAKATAN Rakyat adalah mekanisme terbaik untuk membincang dan membuat keputusan berkait isu seperti ini .

Kedua : Kenyataan Yb. Tony Pua adalah kenyataan peribadi beliau bukanlah mewakili suara atau kenyataan PAKATAN Rakyat . Sama juga seperti kenyataan Yb. Karpal Singh sebelum ini berkait dengan isu negara Islam .

Ketiga : Perkara ini tidak perlu tergesa - gesa melainkan ianya perlu kepada kajian yang mendalam dengan mengambil kira soal hak , keadilan dan kepentingan termasuk mengambil kira soal untung rugi sesuatu tindakan itu dari aspek politik dan masyarakat [ rakyat ] .

3. Sekali lagi saya melihat betapa Islam adalah agama yang indah malah menjadi penyelesai kepada masaalah yang sedang dihadapi oleh ummat manusia termasuk isu tanah dan pemilikan rumah kediaman. Tepat sekali tema ucapan dasar Yb. Dato' Seri Tuan Guru Presiden PAS baru - baru ini ialah Islam Adil Untuk Semua .

4. Selama mana sistem negara masih menerima pakai sistem kapitalis dan menolak sistem Islam, maka selama itulah sebenarnya negara akan terperangkap dalam satu kaedah yang sukar dan dilihat tidak adil kepada semua .

5. Islam mempunyai hukum dan pendekatan tersendiri dalam menyelesaikan masaalah pemilikan hartanah dan ianya tidak menzalimi bangsa , agama dan keturunan seperti

hukum Ihya' al mawat [ memberi hak kepada mereka yang menghidupkan tanah terbiar ] , Iqta' [ memberi hak milik kepada yang tiada kediaman ] dan
garis panduan Hima [ pemiliki tanah secara kuasa ] .

6. Penyelesaian secara cantas atau mengambil perkara cabang sahaja tanpa melihat kepada perubahan secara pokok [ iaitu perubahan dasar dan sistem ] , ianya dilihat tidak akan menyelesaikan masaalah . Sebaliknya mungkin masaalah lain pula akan timbul ekoran masih berpaut pada sistem dan dasar yang salah . Justeru itu , PAS konsisten menyeru masyarakat dalam negara ini khususnya pemimpin agar kembali kepada Islam dan melaksanakan syariatnya.

Ustaz Nasrudin Hassan at Tantawi,
Ketua Dewan Pemuda PAS




Salahguna kepala surat: Exco minta polis siasat
S Pathmawathy
Ogos 2, 10
3:20pm

Kemelut kepimpinan DAP Selangor bertambah kusut apabila exco kerajaan negeri, Ronnie Liu hari ini, tampil membuat laporan polis bahawa kepala surat dan cop rasminya telah disalahgunakan.

Liu yang juga ADUN Pandamaran berkata beliau telah dinasihatkan oleh jawatankuasa disiplin supaya membuat laporan polis hari ini berhubung salahguna kepala suratnya, didakwa oleh ahli Majlis Perbandaran Klang, Tee Boon Hock.

"Cop rasmi dan kepala surat saya telah disalahgunakan. Saya tidak pasti jumlah surat yang dikeluarkan menggunakan kepala surat dan cop rasmi itu...Saya mahu polis segera siasat. Saya mempunyai tiga surat seumpama itu dengan saya sekarang,” kata Liu di ibu pejabat polis di Shah Alam.

Liu juga menafikan bahawa surat yang terdapat di surat-surat berkenaan ditandatanganinya.

“Ia bukan kepunyaan saya dan saya tidak tahu siapa yang menandatangani surat berkenaan,” katanya.

Kepala surat dan cop rasmi berkenaan sebelum ini dilapor digunakan oleh Tee untuk mengeluarkan surat sokongan kepada 15 syarikat bagi mendapatkan kontrak bernilai lebih RM1.04 juta.

Tee sejak itu telah dipecat oleh DAP apabila didapati satu daripada syarikat berkenaan ada kaitan dengan anak lelakinya.

Menurut Liu, beliau memutuskan untuk membuat laporan polis hari ini kerana Tee mendakwa beliau diarah mengeluarkan surat tersebut bagi pihak dirinya (Liu).

Liu enggan menyatakan penerima surat-surat tersebut dan hanya memberi jaminan bahawa beliau akan mendedah kandungannya jika polis membenarkannya.

Exco Selangor itu menjelaskan bahawa beliau dipanggil oleh jawatankuasa disiplin berikutan tuduhan Tee tersebut.

"Bagaimanapun, saya berhasrat untuk memberi kerjasama sepenuhnya," katanya.

Liu kini berada di jabatan siasatan jenayah komersial di Shah Alam untuk memberi kenyataan berhubung surat berkenaan





Pelajaran bahasa Inggeris untuk Ibrahim Ali
John Malott
Ogos 3, 10
12:41pm

KOMENTAR Apabila saya bangkit pada pagi Isnin lalu, saya melayari laman sesawang Malaysiakini dan mendapati saya menjadi sasaran demonstrasi di Kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur.

Saya tidak pasti sama ada saya terkejut ataupun ia satu penghormatan. Ketika saya menjadi duta, seringkali terjadi demonstrasi terhadap Amerika Syarikat - semuanya membabitkan isu serius.

Tetapi demonstrasi yang dilakukan adalah terhadap diri saya? Ini hanya semata-mata saya berkata benar dan menamakan PERKASA sebagai kumpulan militan? Semuanya berlaku kerana ketua PERKASA, Datuk Ibrahim Ali tidak boleh membezakan antara adjektif (kata sifat) dengan 'kata benda'.

Isu ini bermula kerana bahasa Inggeris bukan bahasa ibubunda Ibrahim. Saya tidak menyalahkannya kerana dia tidak faham perbezaan itu dalam bahasa Inggeris. Ia bukan bahasa ibundanya. Saya berharap saya mengetahui lebih banyak bahasa Melayu.

Bagaimanapun sebelum seseorang berhujah dengan berkobar-kobar selama dua minggu dengan menuduh saya sebagai "tolol" dan "bodoh" (stupid) serta mengetuai bantahan ke atas kedutaan Amerika, sekurang-kurangnya perbetulkan dahulu fakta anda.

Namun nampaknya, Ibrahim tidak ambil peduli. Beliau gembira dengan publisiti yang diterimanya di media massa.

Saya labelkan PERKASA sebagai kumpulan militan Melayu, yang mana ia memang bersifat demikian. Apabila saya menggunakan perkataan 'militan' ia digunakan sebagai adjektif. Ia membawa maksud 'perwatakan yang agresif' atau 'semangat baja dalam perjuangan', sebagai contoh 'aktivis hak asasi manusia yang militan'.

Ibrahim sepatutnya menerimanya sebagai satu pujian.

Apabila perkataan 'militan' digunakan sebagai adjektif, perkataan itu tidak membawa maksud seseorang itu menggunakan keganasan.

Jadi apabila saya menyentuh mengenai PERKASA - hanya enam perkataan dalam rencana pengarang saya yang berjumlah lebih kurang 800 perkataan berhubung “kumpulan baru militan yang bernama PERKASA - saya tidak menggunakannya sebagai 'kata benda'. Saya gunakannya sebagai 'kata sifat' - menunjukkan agesif atau bersungguh-sungguh.

Itu adalah perkataan yang tepat bagi menghuraikan Ibrahim. Saksikan sahaja videonya dan anda akan faham apa yang saya maksudkan. Beliau seseorang yang sedia bergaduh memperjuangkan apa yang dipegangnya. Beliau seorang yang agresif.

Tetapi saya tidak pernah melabelkan PERKASA sebagai kumpulan yang terbabit dengan keganasan atau terorisme.

Bagi rakan-rakan saya di Washington, isu berkenaan boleh diselesaikan dengan mudah jika Ibrahim hanya merujuk kamus Oxford English.



Ganesan gantung Nizar dari DUN Perak
Hazlan Zakaria & Lee Way Loon
Ogos 3, 10
3:16pm

Menteri Besar Perak yang disingkirkan, Datuk Seri Nizar Jamaluddin hari ini digantung dari persidangan dewan undangan negeri Perak selepas mengengkari arahan speaker, Datuk R Ganesan supaya duduk.

Ketika membahaskan rang undang-undang usul perbekalan tambahan RM80 juta, masa yang diperuntukkan untuk Nizar selama 15 minit telah berakhir. Namun beliau terus berucap dalam nada yang kuat apabila pembesar suaranya dipadamkan.

Sebelum itu, Nizar terus tidak mempedulikan arahan Ganesan agar beliau dirujuk sebagai 'Yang Yang Dipertua.'

Nizar: Terima kasih Datuk Ganesan...

Ganesan: Saya telah beri peluang untuk bahas. Tetapi jika ini berterusan saya akan ambil tindakan. Meskipun nama saya Ganesan, di Dewan ini, jawatan saya adalah Tuan Yang Dipertua.

Nizar: Terima kasih Datuk Ganesan...

Ganesan: Saya beri awak peluang terakhir!

Nizar: Terima kasih Yang berhormat...[meneruskan ucapan]

Dalam ucapannya, Nizar mendakwa RM50,000 digunakan oleh Zambry untuk diagihkan kepada cawangan MCA di Perak. Wang rakyat katanya, digunakan untuk tujuan parti.

Rakannya dari DAP, Nga Kor Ming (Pantai Remis) yang marah dengan pendedahan itu kemudian melabelkan Zambry sebagai 'pelacur politik' yang kemudiannya sekali lagi menggamatkan dewan.



Khir bertahan, gelar Pakatan 'mafia politik'
Regina Lee
Ogos 3, 10
4:34pm

Ketua Pembangkang Selangor Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo mempertahaan kenyatannya yang mengaitkan DAP dengan "samseng lombong pasir".

"Setahu saya, mereka perlu tunjukkan ketegasan dalam mengurus (isu) perlombongan pasir haram.

"Jika tidak, ia hanya menunjukkan mereka terlibat," katanya yang juga bekas menteri besar kepada Malaysiakini hari ini.

Beliau juga tidak mengendahkan ancaman saman oleh parti itu, yang mencabarnya menamakan pemimpin DAP terbabit yang dikatakan mempunyai kaitan dengan samseng.

Katanya, oleh kerana kenyataan itu perkara kali dikeluarkan oleh ahli parlimen bebas Wee Choo Keong, bukan beliau seorang sahaja patut disaman.

"Jika mereka hendak ambil tindakan pada saya, mereka patut juga ambil tindakan padanya.

"Tetapi semua orang tahu siapa di belakang perlombongan pasir haram ini. Ia tidak mudah. Kenapa Ronnie Liu tiba-tiba melompat," kata Khir tanpa mengemukakan sebarang bukti.

Ronnie, exco Selangor yang bertanggungjawab terhadap kerajaan tempatan sebelum ini mengetepikan dakwaan Khir yang memetik kenyataan Wee.

Antara dakwaan itu, beliau mengadakan mesyuarat dengan samseng di pejabat exconya


Nizar juga melemparkan tuduhan 'pengecut' ke atas BN kerana tidak membenarkan media menjalankan tugas kerana mematikan talian internet.

Apabila masa 15 minit yang diperuntukkan berakhir, pembesar suara Nizar dipadamkan, namun beliau terus berucap dengan meninggikan suaranya.

Khusaisi Abdul Talib (BN-Slim River) kemudian mula berucap dan dewan menyaksikan dua ADUN berucap pada masa yang sama.

Nizar tidak menghiraukan arahan Ganesan supaya duduk dan tindakan itu memaksa beliau diarahkan keluar dewan.

Namun Nizar enggan berbuat demikian. Bentara hanya berdiri di sebelahnya dan tidak cuba mengeluarkan menteri besar yang disingkirkan itu secara paksa.ADUN Manong, Datuk Ramly Zahari kemudian mencadangkan Nizar yang juga ADUN Pasir Panjang, digantung sebagai ahli Dewan dan cadangan itu disokong semua ADUN BN.

Selepas pertikaman lidah kira-kira 30 minit, Nizar dan ADUN Pakatan Rakyat yang lain mengambil keputusan meninggalkan dewan.

Sebelum itu, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir sempat membentang usul perbekalan tambahan RM80 juta daripada kumpulan wang disatukan untuk perkhidmatan bagi bacaan pertama.

Usul itu disokong ADUN Sg Rapat, Datuk Hamidah Osman







Sidang DUN Perak kecoh lagi
Hazlan Zakaria & Lee Way Loon
Ogos 3, 10
10:26am


Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak berjalan lancar hari ini walaupun berlaku sedikit kekecohan apabila ada beberapa orang yang tidak mempunyai pas kebenaran masuk cuba melepasi kawalan polis.

Po
lis telah mengadakan kawalan di sekitar laluan masuk ke Bangunan Perak Darul Ridzuan sejak awal pagi tadi.

Persidangan bermula pada 10 pagi.

Semua ADUN Pakatan Rakyat memasuki dewan dengan diketuai Menteri Besar yang disingkirkan, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin.

Mereka mula memasuki DUN di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di sini, sejak jam 9.40 pagi ini.

Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan ADUN BN serta Bebas mula tiba pada jam 9.45 pagi dan menunggu di tempat masing-masing.

S

peaker Datuk R Ganesan masuk sejurus sebelum persidangan bermula.

Dua persidangan dewan itu sebelum ini agak kecoh.

Ganesan kemudiannya mengumumkan beberapa peraturan baru yang dikuatkuasakan pada sidang dewan kali ini. Antaranya, gambar tidak dibenar dirakamkan, telefon bimbit juga tidak boleh dibawa masuk.

Ganesan juga mengingkat semua ADUN bahawa mereka perlu menghormati keputusannya selaku yang dipertua dan menghormati segala etika dan tatasusila dewan ketika berdebat.

ADUN Pangkalan Hulu, Tan Sri Mohd Tajol Rosli, mengemuka soalan pertama pada persidangan kali ini yang menyentuh soal defisit dalam bajet negeri tahun ini.

Za

mbry menjawab bahawa Bajet 2010 menganggarkan defisit sekitar RM23 juta tetapi ia tidak bermakna kerajaan negeri tiada wang kerana Perak masih mempunyai rizab RM847 juta dalam bentuk saham dan simpanan tetap.

Beliau berkata, rizab tinggi adalah petunjuk baik mengenai ekonomi negeri tetapi kerajaan Perak tetap berhemah berbelanja.

"Namun, usul perbekalan tambahan RM80 juta tidak kena mengena dengan rizab," katanya.

Ketika itu, Ganersan mengesan Nga Kor Ming (Pantai Remis) menggunakan kamera.

Beliau kemudiannya mengarahkan bentara untuk merampas kamera berkenaan.

Raka

n-rakannya dari DAP, Ngeh Koo Ham, Thomas Su dan beberapa yang lain kemudian tampil dan mula bertengkar.

Bagaimanapun perkara itu berjaya diselesaikan dengan kamera berkenaan tidak dirampas.

Selang beberapa minit kemudian, perwakilan Pakatan Rakyat mula menganggu jawapan Zambry dan ADUN BN pula membalas - menjadikan sidang kecoh seketika dengan pertikaman lidah kedua-dua pihak.

Pertengkaran juga berlaku apabila ADUN Pakatan dengan sengaja merujuk speaker sebagai 'pengerusi' atau 'Datuk Ganesan' kerana tidak mengiktiraf kedudukan kerajaan negeri yang 'dirampas' itu.

“Saya adalah speaker. Apabila berada di dewan ini, sila gunakan gelaran itu. Jika tidak saya akan ambil tindakan,” kata Ganesan.

Nga membalas bahawa Ganesan perlu menunggu keputusan mahkamah sebelum mendakwa jawatan itu miliknya, merujuk kepada perbicaraan kes tersebut.

"Okay," kata Ganesan kerana tidak mahu sidang terganggu.

Zambry turut menafikan dakwaan Nga, kononnya bahawa Perak adalah negeri miskin kerana sehingga Julai lalu jumlah miskin tegar di negeri itu hanya seramai 764 keluarga.

Beliau juga memberi amaran kepada Nga agar tidak memanipulasikan perangkaan itu dan membuat tuduhan palsu di media





Adun BN Perak bacul, tak berani berbahas
V Sivakumar

Apa yang telah berlaku dalam Dewan Negeri Perak hari ini, 3 Ogos amat mengecewakan. Ahli-ahli Dewan Negeri Perak BN sanggup membunuh demokrasi semata-mata untuk mengekalkan kuasa politik mereka. Kemuliaan Dewan Negeri Perak telah dicompang-camping sekali lagi dalam persidangan Dewan Negeri hari ini. Mereka ini merupakan golongan yang paling tidak bertamadun. Tindakan mereka harus dikecam untuk menghidupkan kembali demokrasi di Negeri Perak.

Persidangan Dewan Negeri Perak lebih sesuai dipanggil Persidangan Polis Diraja Malaysia. Lebih ramai polis berkerumun di perkarangan Bangunan Perak Darul Ridzuan dibandingkan dengan wakil-wakil rakyat. Nampak jelas bahawa pihak kerajaan cuba menggunakan polis yang begitu ramai untuk menggertak pihak pembangkang secara tidak langsung. Tidak ada sebab kenapa beratus-ratus anggota polis ditugaskan di Bangunan Perak Darul Ridzuan pada hari ini. Kenapa masa dan tenaga polis dikerah untuk tujuan politik BN? Kehadiran polis yang begitu ramai sendiri telah mengancam amalan demokrasi yang sihat di Negeri Perak. Tambahan pula, orang awam tidak dibenarkan hadir sebagai pemerhati persidangan Dewan Negeri.

Pihak media tidak diberi ruang di dalam dewan untuk membuat liputan. Mereka ditempatkan di sebuah bilik ‘akuarium’ yang kalis bunyi. Kebebasan akhbar telah dinodai oleh kerajaan BN yang zalim. Pihak media tidak diberi penghormatan yang sewajarnya. Mereka dilayan dengan buruk dan tidak dibenarkan membuat laporan yang sebenar. Dalam kata lain, kerajaan BN mempunyai niat buruk menyekat atau mengambus berita sebenar supaya tidak sampai kepada rakyat jelata. Tindakan ini membuktikan bahawa kerajaan BN takut kepada kuasa rakyat yang bakal menjatuhkan kerajaan itu di Negeri Perak dalam PRU ke 13.

Terbukti Datuk R.Ganesan adalah kuda tunggangan BN yang sanggup menggadai maruah legislatif kerana akur seratus peratus arahan pihak eksekutif. Beliau bertindak secara kelam kabut dan membuat kenyataan-kenyataan yang tidak rasional apabila menerima arahan komplot daripada ketua eksekutif. Terbukti Datuk R.Ganesan tunduk kepada kemahuan dan manupulasi politik kerajaan BN. Jari telunjuk ketua eksekutif dianggap sebagai cokmar oleh Datuk R.Ganesan yang terang-terang jahil dalam Perintah-perintah Tetap dan Konvensyen Dewan Negeri.

Satu Rang Undang-undang yang bertajuk Enakmen Perbekalan Tambahan 2010 telah dibentangkan di Dewan Negeri hari ini. Peruntukan tambahan yang dipohon oleh kerajaan ialah sebanyak RM80 juta. Jumlah ini adalah terlalu besar dan memerlukan pertimbangan yang sewajarnya. Tetapi, Datuk R.Ganesan telah mengumumkan bahawa persidangan hanya selama satu hari sahaja. Perkara ini amat ganjil sekali dan menimbulkan rasa kesangsian dan kecurigaan kepada Ahli-ahli Dewan Negeri PR. Kenapakah rang undang-undang itu perlu diluluskan secara ekspres? Kenapakah persidangan Dewan Negeri tidak dilanjutkan selama 4 atau 5 hari mengikut konvensyen.

Ketua pembangkang hanya diberi 15 minit untuk membahaskan rang undang-undang tersebut. Semua Ahli-ahli Dewan yang lain hanya dibenarkan untuk berucap selama 10 minit sahaja. Ini merupakan satu penghinaan kepada Dewan Negeri Perak yang mulia. Ahli-ahli Dewan Negeri BN di bawah pimpinan Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir terbukti bacul kerana tidak berani berbahas dengan Ahli-ahli Dewan Negeri PR di bawah pimpinan Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaludin.

Kerajaan BN menggunakan Datuk R. Ganesan, seorang boneka eksekutif untuk mencari jalan pintas meluluskan wang RM80 juta tanpa perbahasan dan prosiding yang sebenar. Walaupun Datuk Seri Zambry dan konco-konconya dicabar berulangkali untuk mengadakan perdebatan selama sekurang-kurangnya 4 hari, tetapi mereka tidak berani menyahut cabaran itu. “Berani Kerana Benar, Takut Kerana Salah” dalam keadaan dewan yang kalut, Ahli-ahli Dewan Negeri PR terpaksa meninggalkan dewan kerana penyalahgunaan kuasa oleh Datuk R.Ganesan yang menghalau keluar Datuk Seri Nizar dari Dewan.

V Sivakumar,

Adun Tronoh dan Speaker Pakatan Rakyat Dewan Negeri Perak







Lagi penerbit pro-rakyat RTM dihentikan
Lee Way Loon
Ogos 7, 10
1:17pm

RTM2 sekali lagi terjebak dengan tindakan kontroversi dengan tidak memperbaharui kontrak penerbit Tan Ean Nee - satu langkah yang dilihat sebagai usaha menyingkirkan penerbit kanan rancangan dokumentari 'Galeri Mandarin Nasional'.

Langkah itu dilihat bukan sesuatu yang mengejutkan kerana sebelum ini RTM juga mengambil tindakan yang sama ke atas penerbit kanan Chou Z Lam pada Mei lalu. Penerbit itu kemudiannya secara terbuka mendakwa ada campur tangan politik dalam rancangan ehwal semasa yang diterbitkan.

Adalah dipercayai pasukan penerbitan rancangan itu kini tinggal seorang sahaja selepas kontrak Chou dan Tan (kiri) tidak diperbaharui.

"Kontrak saya berakhir pada 31 Julai lalu dan RTM tidak memperbaharuinya,” kata Tan ketika dihubungi Malaysiakini semalam.

Menurut Tan, dia dimaklumkan berhubung keputusan itu melalui jabatan sumber manusia menerusi sepucuk surat yang tidak menyatakan alasan kontraknya tidak dilanjutkan.

"Oleh kerana kontrak rakan-rakan yang lain telah diperbaharui, saya bertanyakan hal itu kepada penyelia saya Yap Shy Chuan. Hanya ketika itu, saya diberikan surat berkenaan,” katanya.

Menurut Tan, selepas menerima surat berkenaan, beliau mengemas barangan peribadinya dan meninggalkan RTM tanpa mendapatkan penjelasan daripada jabatan sumber manusia.

Tan juga enggan mengulas antara alasan yang mungkin menyebabkan kontraknya tidak diperbaharui. Sebaliknya beliau mencadangkan perkara itu dirujuk kepada Yap.

Yap, bagaimanapun enggan mengulas apabila dihubungi Malaysiakini.

Dia dipercayai adalah anggota MCA dan dilantik Mei lalu oleh RTM bagi memantau semua rancangan tempatan berbahasa Cina yang disiarkan oleh stesen kerajaan itu.

Sebelum ini, RTM juga telah mengambil keputusan untuk tidak menyiarkan dua dokumentari yang diterbitkan oleh Chou dan Tan.

Chou adalah penerbit dokumentari sembilan siri yang memaparkan impak negatif terhadap penduduk pribumi di Sarawak yang dipaksa berpindah berikutan pembinanaan empangan Bakun.

Manakala dokumentari Tan pula memfokus kepada rintihan penduduk di Kampung Baru Rawang yang membantah pembinaan menara kabel bervoltan tinggi di kampung mereka oleh Tenaga Nasional Berhad.

'Galeri Mandarin Nasional' ke udara selama 10 minit bermula jam 12.20pm daripada Isnin hingga Jumaat, iaitu sebaik sahaja berita tengahari berbahasa Cina berakhir.

Timbalan Menteri, Penerangan, komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Joseph Salang pernah memaklumkan kepada Dewan Rakyat bahawa tiada campurtangan politik dalam rancangan ehwal semasa yang diterbitkan oerh stesen kerajaan itu


Tiada ulasan: