Jumaat, 25 Jun 2010

ANUGERAH ALLAH SWT

Alat kesan DNA babi

Oleh Ahmad Shahrul Nizam Muhammad

2010/06/25

PUTRAJAYA: Teknik terkini yang mampu mengesan status halal daging atau produk yang dikhuatiri status halalnya dalam tempoh sejam dijangka mampu meningkatkan keberkesanan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dalam usaha penguatkuasaan di seluruh negara.

Teknik yang dicipta saintis tempatan itu bakal menawarkan alat pengesan pengesan asid deoksiribonukleik (DNA) babi yang mampu menjalankan tugas dalam tempoh singkat. Ketua Pengarah Jakim, Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz, berkata pihaknya mendengar taklimat berkaitan teknologi itu dari Universiti Putra Malaysia (UPM) yang mampu mengesan kandungan DNA babi dalam tempoh sejam.


“Jika ia gunakan Jakim, kita boleh memastikan status halal daging dan produk dengan pantas dan teknologi itu memudahkan tugas pegawai Jakim, malah ia juga pengiktirafan kepada kajian saintis tempatan,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Badan Pensijilan Halal Luar Negara sempena Pameran Halal Antarabangsa 2010 (MIHAS 2010), di sini, semalam.


Mengulas lanjut, Wan Mohamad berkata, penggunaan sebarang teknologi masih perlu berlandaskan prosedur pengesahan status halal yang digunakan ketika ini.


Menurutnya, beliau akan menggalakkan penggunaan teknologi itu oleh 48 Badan Pensijilan Halal Luar Negara yang diiktiraf Jakim di seluruh dunia.


“Sama ada mereka mahu menggunakannya atau tidak bergantung kepada kehendak mereka, tetapi kita menggalak dan mempromosikannya kepada mereka,” katanya.


Sebelum ini, UPM mengumumkan penyelidikan mengesan produk makanan berasas daging sama ada mengandungi campuran babi menggunakan kaedah RealTime PCR dan kajian itu dilakukan Pengarah Institut Penyelidik Produk Halal UPM, Prof Dr Yaakob Che Man.


Berkaitan mesyuarat Badan Pensijilan Halal Luar Negara itu, beliau berkata, mesyuarat itu bagi membincang dan bertukar pandangan mengenai beberapa isu berkaitan pensijilan terutama standard halal di Malaysia.


“Pemahaman yang jelas terhadap standard ini akan memudahkan badan itu menjalankan tugas,” katanya.


Wan Mohamad berkata, Lembaga Penasihat Halal Jakim turut membincangkan sama ada pengiktirafan boleh diberikan kepada pusat penyembelihan di luar negara yang berkongsi dengan daging tidak halal.

Tiada ulasan: