Jumaat, 21 Mac 2014

MH370 47

Beza Malaysia Dan Australia Menghargai Parlimen
Posted on Friday, March 21 @ 16:30:00 MYT
Dilulus untuk paparan oleh memo



Setelah masuk hari ke 13 pencarian pesawat MH370 yang masih hilang dan dunia buntu mengenai misterinya yang tidak pernah berlaku sebelum ini, Perdana Menteri Australia, Tony Abott membawa berita yang sedikit melegakan iaitu dengan penemuan objek yang tenggelam timbul oleh satelit negaranya di selatan Lautan Hindi.

Atas sedikit kepercayaan bahawa objek sepanjang 24 meter itu adalah serpihan daripada pesawat MH370, selain meminta pihak berkuasa di negaranya berusaha mengesan penemuan itu bagi memastikan kesahihannya, beliau juga memaklumkannya kepada Perdana Menteri, Najib Razak melalui telefon.

Di negaranya pula, Tony Abott membuat pengumuman mengenai penemuan itu di Parlimen, sebuah institusi tertinggi di mana-mana juga negara demokrasi. Perkara ini segera menarik perhatian dunia tentang bagaimana beliau menghargai Parlimen yang mewakili kepentingan rakyat sedangkan jika mahu, beliau boleh saja memanggil sidang akhbar di pejabat atau kediamannya untuk mengumumkan penemuan itu.

Tetapi kerana menghargai Parlimen dan supaya pengumuman itu didengar oleh semua wakil rakyat yang seterusnya mewakili rakyat Australia, beliau akhirnya memilih Parlimen untuk berbuat demikian.

Walaupun MH370 bukan milik negaranya tetapi kerana menyedari isu kehilangan pesawat itu menjadi tumpuan dunia ketika ini, kewajaran dan keseriusan beliau sebagai pemimpin dalam melihat insiden ini seharusnya dihargai dan dipuji.

Ini nyata berbeza dengan negara kita, disamping pesawat MH370 adalah milik negara ini dan tumpuan pula diberikan oleh rakyat dan dunia, tetapi Parlimen tidak digunakan dengan sebaiknya, malah diketepikan pula.

Ketika awal kejadian ini berlaku, Ahli Parlimen Pokok Sena, Mahfuz Omar telah mencadangkan agar Perdana Menteri membawa usul mengenai kehilangan itu di Parlimen supaya bukan saja boleh diberitahu kepada wakil-wakil rakyat apa yang sebenarnya berlaku, tetapi juga boleh dibahaskan bagi menggambarkan kepentingannya kepada negara dan rakyat.

Malangnya ianya telah ditolak oleh Speaker atas alasan operasi mencari dan menyelamat sedang dijalankan, dan mencadangkan jika Ahli-Ahli Parlimen ingin membangkitkan mengenainya, ia boleh dilakukan ketika perbahasan titah Diraja.

Beberapa hari kemudian pula iaitu pada 18 Mac, Pemangku Menteri Pengangkutan, Hishammuddin Hussein didapati telah bersetuju untuk memberi taklimat mengenai insiden kehilangan pesawat itu kepada hanya Ahli-Ahli Parlimen BN. Taklimat diadakan di sebuah tempat mewah iaitu The Aloff di KL Sentral.

Sergahan Ahli-Ahli Parlimen pembangkang agar taklimat itu tidak terhad hanya kepada wakil rakyat BN dan seharusnya juga terbuka kepada semua Ahli Parlimen, langsung tidak dilayani oleh kerajaan. Hishammuddin kemudian memberi alasan remeh dengan menyatakan taklimat kepada wakil rakyat BN adalah kerana ia diminta oleh BNBBC dan sekiranya wakil pembangkang mahukan taklimat yang sama, mereka juga diminta mengemukakan permohonan kepadanya.

Adakah amat memalukan hujah yang dikemukakan itu kerana taklimat yang berlainan sudah tentunya isi taklimatnya juga berbeza. Jika benar kerajaan telus, terbuka dan tidak berhasrat menyembunyikan sebarang maklumat, taklimat yang diminta oleh BNBBC itu boleh diadakan sekali dengan taklimat untuk wakil rakyat daripada pembangkang.

Bukankah ia lebih menjimatkan dan tidak membazirkan masa dan tenaga?

Namun apa yang belaku di sebalik kehilangan pesawat ini, kerajaan bukan saja membelakangkan Parlimen, sebuah institusi penting yang mewakili seluruh rakyat, bahkan cuba pula menidakkan peranan serta kehadiran Ahli-Ahli Parlimen pembangkang dengan mengadakan majlis taklimat yang tertutup hanya untuk BN saja.

Sementara insiden kehilangan pesawat ini turut banyak memalukan kepimpinan negara tentang bagaimana cara menguruskan krisis dan menjaga kredebilitinya, tindakan Tony Abott bercakap tentang isu penting yang melibatkan dunia di Parlimen negaranya telah mendedahkan satu lagi kelemahan kerajaan BN yang sudah memerintah negara ini sejak lebih 50 tahun lalu tanpa hentinya.

Di sebalik Tony Abott menelefon Najib untuk memaklumkan penemuan objek itu, beliau juga sebenarnya mengajar Perdana Menteri dan kerajaan untuk menghargai Parlimen. Sekalung tahniah untuk Tony Abott. (SH 20/03/2014)-shahbudindotcom


 Malaysia minta AS peralatan mencari di dasar laut
Posted on Friday, March 21 @ 20:34:57 MYT
Dilulus untuk paparan oleh PenjagaKubur



SEPANG: Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein akan menghubungi rakan sejawatannya di Amerika Syarikat (AS) untuk memohon bantuan peralatan khusus untuk kerja mencari di dasar laut untuk operasi pencarian pesawat MH370.

"saya akan hubungi Setiausaha Pertahanan AS pada 2115 malam ini untuk memohon aset khusus seperti kenderaan mencari di dasar laut," katanya pada sidang media di Hotel Sama-Sama di sini, sebentar tadi.

Hishammuddin yang juga pemangku Menteri Pengangkutan berkata, Malaysia terus menerima bantuan kepakaran dan peralatan daripada negara yang terbabit dalam pencarian pesawat Malaysia Airlines (MAS) itu.

"Kita sedang menggunakan peralatan termaju yang dimiliki dunia kini untuk usaha mencari pesawat itu," katanya.- BH 


 Kazakhstan sahkan tidak jumpa apa-apa tanda
Posted on Friday, March 21 @ 20:33:29 MYT
Dilulus untuk paparan oleh PenjagaKubur



SEPANG: Pihak berkuasa Kazakhstan mengesahkan mereka tidak menemui apa-apa tanda berkaitan pesawat MH370, kata Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Sementara itu, beliau berkata, pihaknya sedang menunggu kebenaran daripada Kazakhstan untuk menjadikan negara berkenaan sebagai pusat operasi mencari dan menyelamat (SAR) di koridor utara.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Hotel Sama-Sama di sini, sebentar tadi.- BH


Kotak hitam masih boleh ditemui walaupun bateri habis, kata Hishammuddin
Posted on Friday, March 21 @ 20:31:47 MYT
Dilulus untuk paparan oleh PenjagaKubur



Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein yakin kotak hitam daripada pesawat MH370 masih boleh ditemui walaupun kehabisan bateri.
Hishammuddin berkata wujud kaedah lain yang boleh digunakan untuk mencari kotak hitam tersebut walaupun tempoh 30 hari berlalu.


"Kaedah akan dikenal pasti untuk mencari pesawat MH370 selepas tempoh 30 hari ketahanan bateri luput," kata Hishammuddin pada sidang media hari ini di Hotel Sama-Sama.

Pasukan penyiasat dalam insiden Air France 447 juga turut hadir bagi membantu Malaysia dalam usaha mencari MH370, kata Hishammuddin.
"Saya juga berhubung dengan delegasi dari Perancis, termasuk individu yang mengetuai siasatan pesawat terhempas Air France 447.
"Mereka bersetuju untuk membantu dengan pengalaman dan kepakaran yang ada," kata beliau.
Beliau juga yakin kotak hitam tersebut dapat ditemui.

Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein di sidang media bagi menyampaikan perkembangan terkini mengenai operasi mencari dan menyelamat pesawat MH370 di Hotel Sama-Sama, Sepang. - Gambar The Malaysian Insider oleh Afif Abd Halim, 21 Mac, 2014.Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein di sidang media bagi menyampaikan perkembangan terkini mengenai operasi mencari dan menyelamat pesawat MH370 di Hotel Sama-Sama, Sepang. - Gambar The Malaysian Insider oleh Afif Abd Halim, 21 Mac, 2014

Misi mencari dan menyelamat masuk hari ke-14 hari ini, pasukan pencari mempunyai kira-kira 18 hari sebelum kotak hitam pesawat tersebut kehabisan bateri dan hilang isyarat.
ABC News melaporkan pasukan mencari dan menyelamat perlu segera mencari kotak hitam itu yang hanya mampu bertahan untuk memberikan isyarat selama 30 hari.
Laporan tersebut mengatakan, kotak hitam itu sudah kehilangan tiga daripada jangka hayat baterinya sejak pesawat yang membawa 239 penumpang dan anak kapal hilang pada 8 Mac lalu dalam perjalanannya dari Kuala Lumpur ke Beijing.
Menurut ABC News, lebih mudah bagi pasukan mencari dan menyelamat untuk mencari kotak hitam itu sebelum ia kehabisan bateri, kerana kawasan carian mereka seluas 600,000 kilometer persegi.
Usaha mencari kini masuk fasa kedua dengan fokus tertumpu di dua koridor, utara dan selatan.
Dalam perkembangan terbaru, pihak berkuasa Australia semalam dilaporkan memiliki imej satelit berwibawa yang mungkin serpihan MH370.
Dua imej satelit mengesan objek bersaiz sebesar  24 meter (79 kaki) yang dipercayai tenggelam timbul di permukaan air.
Fokus usaha mencari kini tertumpu di Lautan Hindi, kawasan seluas 305,000 kilometer persegi, kira-kira 2,600 tenggara Perth.


TMI
– 21 Mac, 2014

 MH370: Tiada tanda serpihan, Australia kini beralih pencarian visual
Posted on Friday, March 21 @ 20:29:45 MYT
Dilulus untuk paparan oleh PenjagaKubur



Operasi pencarian secara visual oleh tentera Australia akan memerlukan lebih banyak pesawat dikerahkan dalam mencari pesawat MH370. - Gambar Reuters.
Operasi pencarian secara visual oleh tentera Australia akan memerlukan lebih banyak pesawat dikerahkan dalam mencari pesawat MH370. - Gambar Reuters.

Australia hari ini berkata radar gagal mengesan sebarang petanda bagi kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 dan beralih kepada pemerhatian secara lebih teliti bagi mengesan sebarang serpihan di selatan Lautan Hindi, lapor AFP.

Pihak Lembaga Keselamatan Maritim Australia (ASMA) menyelaraskan pencarian pesawat Boeing 777 di antara tanah besar dan Antartika, di kawasan seluas 2,500 kilometer barat daya Perth.
"Menyedari kami tidak dapat mengesan imej radar semalam, kami merancang  pencarian secara visual," kata Ketua Bahagian Kecemasan ASMA, John Young.

"Oleh itu, pesawat akan terbang rendah, pemerhati terlatih dan mahir akan mencari daripada tingkap pesawat untuk melihat sebarang objek."
Ini bermakna, pesawat pencari akan terbang lebih rapat di antara satu sama lain, kata Young sambil menambah , "kami akan memerlukan lebih banyak pesawat untuk menjalankan operasi sebegitu."
Lima pesawat sedang menjalankan operasi pada Jumaat – tiga buah P3 Orions milik Tentera Udara Diraja Australia, P8 Poseidon milik Tentera Laut Amerika Syarikat - antara sebahagian pasukan pencari global bagi Boeing 777 yang hilang pada 8 Mac.
Young berkata sebuah pesawat dalam perjalanan balik, dua berada di kawasan carian, dan dua lagi dalam perjalanan ke sana.
Beliau berkata cuaca sesuai untuk menjalankan operasi mencari, tetapi  para pegawai tidak menjumpai sebarang objek yang boleh dikaitkan dengan pesawat yang hilang semasa dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing dengan 239 penumpang.

TMI
– 21 Mac, 2014.

Australia kata serpihan mungkin telah tenggelam
Posted on Friday, March 21 @ 20:27:40 MYT
Dilulus untuk paparan oleh PenjagaKubur





Timbalan Perdana Menteri Australia, Warren Truss berkata objek yang dilihat pada hari Jumaat pada imej satelit yang mencetuskan usaha mencari pesawat MH370 jauh di selatan Lautan Hindi, mungkin telah tenggelam.

Imej-imej satelit itu diambil pada 16 Mac.

Bercakap kepada pemberita di Perth, Truss berkata, ia mungkin tidak terapung lagi.

"Ia mungkin telah tenggelam".

Truss berkata, usaha mencari diteruskan di lautan yang bergelora itu membabitkan kawasan 2,500 km (1,500 batu) di barat daya Perth, dan Australia, New Zealand dan pesawat AS akan disertai oleh pesawat China dan Jepun pada hujung minggu.

Sementara itu, setakat ini para penyiasat tidak menerima bukti bahawa dua objek dikesan oleh satelit di lautan, kata seorang pegawai tinggi Malaysia hari ini.

"Saya menerima laporan sepanjang pagi ini. Belum ada lagi sokongan positif mengenainya," kata Menteri Pertahanan yang juga pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein kepada pemberita di Kuala Lumpur.

Beliau berkata demikian selepas pasukan mencari menyambung operasi mengesan MH370 di kawasan tersebut. - MK


Hisham bidas media asing kerumuninya
Posted on Friday, March 21 @ 20:39:59 MYT
Dilulus untuk paparan oleh PenjagaKubur



Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein hari ini membidas wakil media asing yang bukan sahaja sering mengerumuninya tetapi juga berasak-asakan ketika mahu mendapat perkembangan terkini mengenai kehilangan MH370 daripada beliau.
  
Hishammuddin berkata kelakuan sedemikian menyebabkan jurukamera dan jurugambar gagal mendapat rakaman yang baik sekali gus memberi tanggapan tidak elok terhadap Malaysia.

"Kalau kalian mahu berkelakuan begini, kalian akan memperoleh visual yang tidak elok yang pada pandangan saya seluruh dunia akan persalahkan pada pihak berkuasa Malaysia... ini tidak adil," katanya kepada pemberita selepas dikerumuni sekumpulan wakil media, di lobi Hotel Sama-Sama.
  
Hishammuddin yang tiba di hotel itu sekitar pukul 3 petang "diterjah" oleh wakil media asing yang menunggu di lobi sejak pagi.
  
Pesawat Malaysia Airlines  MH370 dengan 227 penumpang serta 12 anak kapal, hilang kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 12.41 tengah malam 8 Mac.
  
Pesawat itu sepatutnya mendarat di Beijing pada jam 6.30 pagi hari yang sama.

Sementara itu, kapal peninjau pelbagai fungsi HMS Echo milik United Kingdom (UK) kini dalam perjalanan ke selatan Lautan Hindi bagi membantu operasi mencari dan menyelamat pesawat Malaysia Airlines MH370.

Suruhanjaya Tinggi British dalam kenyataan hari ini, berkata pengerahan kapal itu yang boleh menyokong operasi kapal selam dan amfibia adalah
susulan tawaran bantuan daripada Perdana Menteri Britain David Cameron kepada rakan sejawatannya Datuk Seri Najib Tun Razak menerusi perbualan telefon pada Selasa lepas.
  
"UK sentiasa berhubung rapat dengan pihak berkuasa Malaysia dan Australia sejak kehilangan pesawat MH370 pada 8 Mac dan telah menawarkan bantuan tambahan," kata jurucakap Kementerian Luar UK dalam kenyataan itu.  

Menurut kenyataan itu, setakat ini UK sudah menghantar dua wakil dari Cawangan Penyiasatan Kemalangan Udara (AAIB) yang disokong oleh penasihat Rolls-Royce dan Inmarsat.
  
Beberapa pakar antaranya dari Kementerian Pertahanan serta Jabatan Hidrografik sedang meneliti data laut, cuaca dan satelit bersama-sama pihak berkuasa Malaysia bagi mengesan pesawat itu, kata kenyataan tersebut.
  
Menurut kenyataan itu sebuah kapal peronda perikanan juga terbabit dalam operasi di sekitar perairan wilayah British di Lautan Hindi, manakala polis UK serta pihak berkuasa berkaitan membantu memeriksa manifes mereka yang dilapor menaiki MH370.

- Bernama



[GEMPAR] Pasangan Suami Isteri Di Bogor Ini Tahu Lokasi Jatuhnya MH370

Diego-GarciaV1-300x225
Bogor – Sudah lebih dari seminggu sejak pesawat Malaysia Airlines MH370 hilang hubungan pada Sabtu (8/3/2014) lalu. Pencarian pun terus dilakukan, namun sampai dengan saat ini belum ada titik terang dimana kedudukan pesawat yang membawa 239 penumpang dan kru pesawat itu. Pasangan suami isteri Fajar Sahri (58) dan Winarti (52)di Bogor, Indonesia turut mengikuti perkembangan proses pencarian pesawat yang juga berpenumpang warga negara Indonesia tersebut. Keduanya, yang mengaku diberi anugerah mampu berkomunikasi dengan alam ghaib, merasa prihatin dengan musibah tersebut dan bermaksud membantu dengan cara yang mereka dapat.
“Ya kita hanya memberikan maklumat, sebagai sesama harus saling membantu. Kami tidak mengharapkan apa-apa,” ujar Fajar saat ditemui Tribun di kediamannya di Jalan Batara Nombor 93, Kampung Parikolot, Ciluar, Bogor, Ahad (16/3/2014).
Menurut Fajar maklumat yang mereka peroleh menyebutkan pesawat berada di titik berikut (Latitud Utara 7 darjah 47’47.90″ Longitud Timur 105 darjah 13’39.59″ Elev -30m. Ketinggian mata 5 m. Atau berada di sekitar selatan ibukota Vietnam, Ho Chi Minh.
Keduanya kemudian menuturkan bagaimana proses mereka mendapatkan maklumat terkait kedudukan pesawat sampai dengan titik koordinatnya. Menurut Fajar, sang isteri mengetahui lokasi pesawat setelah melakukan komunikasi dengan kru pesawat nahas tersebut.
Winarti menyatakan memang memiliki kemampuan khusus untuk berkomunikasi dengan hal-hal ghaib dan sudah beberapa kali terjadi dan terbukti.
Fajar menuturkan, pada hari Khamis (13/3/2014) siang, selesai melaksanakan solat Zuhur, Winarti memohon doa agar dapat diberi petunjuk mengenai kedudukan lokasi pesawat Malaysia Airlines MH370.
Tiba-tiba muncul sosok seorang lelaki dengan pakaian layaknya seorang kru pesawat datang dan berkomunikasi dengan Winarti. “Mungkin co-pilot atau siapa, yang jelas pakai seragam,” tuturnya.
Lelaki itu kemudian menuturkan kepada Winarti bagaimana pesawat tersebut tiba-tiba mati seluruh perangkatnya ketika melintas di Laut China Selatan, tepatnya sebelah selatan Vietnam.
Pesawat yang tiba-tiba kehilangan kuasa secara total itu kemudian jatuh dan tenggelam ke dasar laut, lengkap dengan para penumpang dan kru kapal di dalamnya. Jeritan teriakan takbir pun terdengar ketika pesawat mula jatuh ke laut.
“Pesawatnya utuh, tidak meledak, tidak ada serpihan apa-apa. Penumpang masih duduk di kerusi masing-masing dengan tali pinggang keselamatan terpasang,” ujar Winarti yang mengaku sempat diberi penglihatan keadaan pesawat di dasar laut.
Winarti menuturkan semua penumpang sudah dalam keadaan meninggal dunia di kerusi masing-masing, dengan tali pinggang masih terpasang. Ia mengaku ketika diberi penglihatan itu tak sanggup menahan air matanya yang tumpah melihat pemandangan memilukan tersebut, apalagi Winarti sempat melihat dua orang anak kecil di antara penumpang yang terbunuh.
Terlebih lagi si lelaki berpakaian awak kapal itu kemudian sempat menitipkan pesanan kepadanya untuk disampaikan kepada anak perempuannya yang masih kecil.
“Dia kirim salam buat anakku sambil tersenyum. Anaknya itu rambutnya keriting-keriting, anak perempuan sekitar umur 7-9 tahun,” tambahnya.
Menurut Winarti, pada saat berkomunikasi yang pertama itu, ia tidak sempat mendapatkan lokasi jatuhnya pesawat. Titik koordinat lokasi baru ia dapatkan pada Jumaat dinihari, ketika ia kembali melakukan komunikasi dengan awak kapal Malaysia Airlines itu setelah melakukan solat Tahajud.


Winarti meyatakan, komunikasi yang kedua ia lakukan bukan dengan orang yang sama ketika melakukan komunikasi pertama. Pada saat komunikasi kedua itu, lelaki berbeza yang kemudian ia tahu adalah pilot pesawat Zahari Ahmad Shah.
Dari Zahari inilah kemudian Winarti dan Fajar memperoleh koordinat yang mereka duga adalah lokasi jatuhnya pesawat nahas tersebut. Ia juga menuturkan bagaimana pesawat yang awalnya mengarah ke utara sempat berbelok ke arah barat sebelum kemudian berputar ke arah timur dan terjatuh.
“Makanya badan pesawat itu menghadap timur,” ujar Fajar.
Arah pesawat yang goyang dan kemudian terjatuh, menurut Fajar kemungkinan diakibatkan arus magnet yang kuat di dasar laut di sekitar lokasi jatuhnya pesawat. Pesawat itu kemudian tiba-tiba mati total dan jatuh tenggelam ke dalam laut.
Zahari juga mengatakan kepada Winarti bahwa dunia itu penuh keajaiban, entah apa maksudya Winarti sendiri tidak tahu.
“Ya mungkin maksudnya, apa yang tidak mungkin jadi mungkin, yang penting cari dulu. Saya juga tidak tahu artinya,” ujarnya Sempat Melapor ke Danlanud
Fajar mengaku hanya berniat membantu proses pencarian pesawat yang telah memakan waktu lebih dari seminggu itu. Ia menyebut dirinya tidak memiliki maksud apa-apa, yang terpenting baginya adalah pesawat dapat diketemukan dan keluarga korban boleh lebih lega dan ikhlas menerima kenyataan.
Untuk itu, Fajar menyebut dirinya sudah melaporkan maklumat yang ia dapat itu ke beberapa pihak yang ia anggap memiliki akses untuk menggunakan maklumat tersebut untuk menemukan pesawat tersebut.
“Saya sudah hubungi Komandan Lanud Soewondo Kolonel SM Handoko serta duta besar di Vietnam Bambang Tarsanto (Konsult Jenderal di Ho Chi Minh City) melalui sms,” katanya.
Selain itu ia juga sempat melaporkan kesebuah stesyen television swasta (TvOne) dan diberitahu akan diberi kesempatan tampil live setelah menunggu persetujuan salah seorang penanggung jawab program. Namun setelah menunggu lama, justeru yang ditunggu itu pulang dan ia tidak diberi tahu apa-apa.
Fajar mengatakan dirinya sama sekali tidak mengharapkan apa-apa, yang terpenting baginya adalah pesawat dapat segera ditemukan.
Mengenai kemampuan berkomunikasi dengan hal-hal ghaib, Fajar mengaku tidak menjalani ritual apapun, ia dan isterinya hanya diberi tanggung jawab oleh tuhan untuk bersama-sama membantu.
“Saya pernah bantu teman cari anak perempuannya yang hilang, dan hasil maklumat yang didapat itu benar. Saya dan isteri juga pernah mendapat maklumat soal kedudukan mata air di Banyuwangi, dan ternyata benar-benar terbukti,”ujarnya. -alihbahasa dari tribunnews oleh GB
ULASAN GB
Jika benar seperti yang dinyakan, maka kita meminta semua pihak terutama ahli keluarga mangsa yang terlibat agar redha menerimanya.
p/s. sekurang-kurangnya “cara”nya lebih baik dan lebih mulia dari cara Raja Bomoh di Malaysia. Dia tidak menggunakan apa-apa ritual, hanya berbekalkan solat tahajjud. Tidak menggunakan teropong dan bubu, tidak menggunakan buah kelapa, tidak juga tikar terbang…. pun bomoh tuh belum dapat bagitahu apa-apa hasil dari “ritual”nya itu.
Hanya satu persoalan jika apa yang disampaikan itu benar iaitu: kuasa pesawat itu dikatakan tiba-tiba mati total!
Wallahu ‘alam.

Tiada ulasan: