Jumaat, 31 Mei 2013

PERSEMPADANAN MACAM MANA PUN KALAU RAKYAT TOLAK...MAKA SUSAH DAN TAK JADI GAK...PENGUNDI BUKAN BODOH MACAM DULU

Media baru gugat negara atau gugat BN?

Harakahdaily, 31 Mei 2013
KUALA LUMPUR: Tindakan kerajaan mahu mengkaji undang-undang terhadap 'penyalahgunaan' media sosial yang boleh menggugat keharmonian negara menimbulkan persoalan.

Ahli parlimen Bukit Gantang Idris Ahmad berpendapat, kerajaan sememangnya boleh sahaja bertindak menggunakan undang-undang yang sedia ada seperti beberapa pendakwaan yang telah dibuat terhadap beberapa individu sebelum ini.

"Benarkah keharmonian negara tergugat? Atau kedudukan BN yang tidak selamat.

"Apakah salah media baru yang menjadi kuasa pengimbang kepada media perdana yang sarat dengan fitnah dan penipuan," soal Idris.

Menurutnya, laporan kajian oleh beberapa pihak mendapati bahawa BN tewas dalam kempennya di media sosial dan internet biarpun menguasai media arus perdana secara total.

Faktor ini juga telah menyebabkan berlaku perubahan politik yang sangat ketara di bandar dan pinggir bandar khususnya melibatkan pengundi muda.

Ianya turut diakui sendiri oleh Ahli Parlimen Umno dari Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed di satu forum pasca-PRU anjuran Kelab Wartawan Asing Malaysia (FCCM) di ibu negara.

"BN hanya boleh dapat sokongan dengan generasi yang tinggal gusi, manakala Generasi 3G, telah menolak BN. Generasi 3G  inilah yang paling ditakuti oleh BN.

"Persolannya sampai bila BN hanya boleh bersandar dengan golongan yang fakir maklumat. Maklumat bergerak dengan pantas, BN masih mengguna tektik zaman batu, politik ugut, politik samsing, fitnah, tipu, putar belit masih dijadikan menu utama BN untuk mempengaruhi pengundi," soal Idris lagi.

Katanya, janganlah apabila tidak bermaya untuk melawan hujah, maka ada cadangan pula untuk menyekat maklumat kepada rakyat.

Hakikat yang berlaku ujarnya, undang-undang ini jika digubal hanya dikuat-kuasa kepada pembangkang.

"Perkara ini sudah terbukti bloger pro BN dan media BN yang menyimbah petrol permusuhan tidak diapa-apakan walaupun menpunyai unsur hasutan.

"Mereka hanya menerkam seperti singa lapar jika yang diungkap itu daripada pemimpin Pakatan Rakyat," katanya.

Bersabarlah Dr Khir

Budiman Abdul Karim,
Antara berita yang menarik hari ini ialah keputusan Mahkamah Rayuan yang mengekalkan hukuman penjara 12 bulan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada tahun 2011 terhadap bekas Menteri Besar Selangor Dr Khir Toyo.

Dr Khir yang hadir ke Mahkamah Rayuan dengan harapan yang tinggi kerana percaya beliau tidak melakukan apa-apa kesalahan rasuah mahu pun pecah amanah, tetapi berpendapat bahawa beliau dikambinghitamkan atas sebab-sebab tertentu.

Bagi saya soal beliau bersalah atau tidak bukan isunya di sini, tetapi yang saya ingin lontarkan ialah kami pendokong Pakatan Rakyat telah lama menjadi “kambing panggang” oleh Umno-BN. Sejak sekian lama kami tidak mendapat pembelaan yang sewajarnya dalam apa-apa juga kes dan keadaan. Jika ada pun, sekadar untuk berlakon seoalah-olah kerajaan juga berlaku adil.

Kami bukan sahaja menjadi “kambing panggang” di mahkamah, malah dalam media, urusan kerajaan pusat – kerajaan negeri, peruntukan wakil rakyat dan banyak lagi. Yang Dr Khir lalui hari ini hanyalah beberapa peratus berbanding keperitan yang kami lalui.

Moga perisiwa ini ada hikmah di sebaliknya. Bersabarlah jika berasa anda teraniaya dan jika anda benar-benar bersalah jadikanlah sebagai kafarah atas kesalahan yang dibuat.

Siapa lagi MP dilarang masuk Sabah - Guan Eng

Harakahdaily, 31 Mei 2013
KUALA LUMPUR: DAP mengutuk tindakan menghalang dan menghantar balik Naib Presiden PKR merangkap Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar dari Sabah semalam.
Menurut Nurul, terdapat satu senarai yang mengandungi nama ahli-ahli Parlimen (MP) lain yang juga akan dinafikan hak memasuki Sabah.

“Memandangkan senarai tersebut adalah hak prerogatif Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman, kami ingin tahu siapa lagi yang dinamakan dalam senarai larangan terbabit,” ujar Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dalam satu kenyataan.

Katanya, Musa mesti menerangkan sebab kenapa Nurul Izzah dihalang masuk ke Sabah dan terus dihantar pulang, dan berapa ramai lagi Ahli Parlimen Pakatan Rakyat yang akan dihalang memasuki negeri itu.

Tambahnya, tindakan sedemikian bukan sahaja tidak menghormati hak asasi manusia malah menentang prinsip-prinsip asas demokrasi.

Lebih teruk lagi, katanya ia menimbulkan persoalan bagaimana seorang warganegara Malaysia boleh dilayan lebih teruk daripada warga asing di dalam negara sendiri.

“Jangan kita lupa, dalam Februari tahun ini, lebih 200 militan bersenjata daripada Filipina telah mendarat di perairan Sabah.

“Selepas menduduki kawasan tersebut lebih dua minggu tanpa sebarang tindakan daripada pihak berkuasa Malaysia, mereka telah melancarkan perang terhadap pasukan keselamatan dalam usaha untuk menuntut hak ke atas tanah Malaysia yang berdaulat,” ujarnya yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang.

Baginya, amat menyedihakan apabila seorang Ahli Parlimen Malaysia daripada pembangkang, yang dipilih oleh rakyat, yang tidak mempunyai sebarang rekod jenayah dihalang daripada masuk ke negara sendiri dan dilayani dengan lebih buruk daripada penjenayah yang pernah disabitkan kesalahan dan pernah dipenjarakan.

“Apalah yang ditakutkan sangat oleh Musa Aman dan BN sehingga Ahli Parlimen Pakatan Rakyat tidak dibenarkan masuk ke negeri itu,” katanya.

Ahli Parlimen Bagan itu menambah, Musa dan BN adalah salah jika mereka befikir bahawa tindakan sedemikian akan menyebabkan rakyat takut kepada BN, melenyapkan semangat Pakatan Rakyat dan menyelamatkan BN.

Sebaliknya, tegas beliau rakyat Sabah akan lebih yakin bahawa sekaranglah masa untuk berubah demi menyelamatkan Malaysia dan Sabah memandangkan BN tidak ada visi lain selain menghalang, menindas, menekan dan mengekang hak-hak asasi rakyat.

Persempadanan: Wan Ahmad disuruh cermin diri dahulu

Harakahdaily, 31 Mei 2013
KUALA LUMPUR: Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Wan Ahmad Wan Omar disuruh cermin diri terlebih dahulu sebelum bercerita mengenai ketelusan SPR dalam persempadanan semula kawasan pilihanraya yang bakal diadakan hujung tahun ini.
Menurut Ahli Parlimen Serdang, Ong Kian Ming, Wan Ahmad adalah salah seorang pegawai SPR yang terlibat dalam persempadanan semula kawasan pilihanraya di 2003.

Menggunakan Kedah sebagai contoh, Ong berkata SPR tidak melakukan amanah tersebut berdasarkan undang-undang, malah sangat memihak kepada BN pada 2003 ketika Wan Ahmad menjadi timbalan pengerusi SPR.

“Perkara itu paling jelas di Kedah di mana tiada kerusi parlimen mahupun Dun ditambah selepas BN hilang 2/3 majoriti Dewan Rakyat setelah tewas di pilihanraya kecil Lunas pada tahun 2000, tapi sempadan dilakar semula dengan niat membantu Umno untuk menang kembali beberapa kawasan parlimen yang ia tewas pada pilihanraya umum 1999,” kata Ong dalam satu kenyataan.

Sebelum ini, SPR telah cuba mempertahankan perbezaan dalam jumlah undi setiap kawasan dengan merujuk kepada prinsip pemberat kawasan pedalaman (rural weightage) di mana kawasan pedalaman, dengan jaringan pengangkutan yang lemah dan luas kawasannya, perlu mempunyai jumlah pengundi yang lebih kecil daripada kawasan bandar yang lebih tepu dan lebih mudah dihubungi.

“Tapi di Kedah, ketika persempadanan semula 2003, prinsip ini dilanggar dengan jelas. Undi bukan Melayu telah dikeluarkan daripada kawasan selamat Alor Setar dan dimasukkan ke kawasan PAS iaitu Kuala Kedah dan Pokok Sena.

"Pengundi bukan Melayu juga dikeluarkan dari kawasan kerusi selamat Merbok ke kerusi PAS di Jerai. Kawasan majoriti Umno BN di Padang Serai telah dipindahkan ke kerusi PAS di Baling,” hujah Ong.

Jadual 1: Perbezaan di kawasan dan jumlah pengundi antara kawasan bandar dan pedalaman di Kedah selepas persempadanan semula Kedah pada 2003.
Kerusi Parlimen
Keluasan (km2)
Jumlah Pengundi pada 2003
Jumlah Pengundi pada 2013
P8 Pokok Sena
320
64192
80916
P9 Alor Setar
109
56007
69189
P10 Kuala Kedah
232
73942
95534




P16 Baling
1544
73942
93376
P17 Padang Serai
352
51778
74245




Ong berkata persempadanan melampau SPR boleh dilihat apabila perbandingan antara jumlah pengundi dengan keluasan kawasan dibuat seperti di Jadual 1.

“Sebagai contoh, P9 Alor Setar, walaupun ialah kawasan bandar yang maju dengan keluasan kawasan terkecil di antara semua parlimen di Kedah, sebenarnya mempunyai jumlah pengundi (56,007) yang lebih kecil berbanding dengan kawasan jiran yang lebih besar seperti P8 Pokok Sena (64,912) and P10 Kuala Kedah (73,942). Perbezaan ini masih kelihatan di pilihanraya 2013, Alor Setar mempunyai 69,189 pengundi berbanding 80,916 di Pokok Senan dan 95,534 di Kuala Kedah,” kata Ong.

Kes paling melampau kata Ong ialah P16 Baling, kawasan pedalaman di Kedah. Persempadanan semula di 2003 telah meningkatkan jumlah keluasan Baling dari 1,107km2 ke 1,544km2, sedikit kecil daripada keseluruhan Melaka.

Ini, katanya kerana salah satu daripada kawasan kuat Umno di kawasan jiran Padang Serai – Kuala Ketil – telah dipindahkan di kawasan Baling. Akibatnya, Padang Serai, yang lebih bersifat bandar mempunyai jumlah pengundi yang lebih kecil (51,778) dibandingkan dengan Baling (73,942).

"Perkara ini masih jelas kelihatan di pilihanraya 2013. Baling sekarang mempunyai 93,386 pengundi (kedua terbesar di Kedah) dibandingkan dengan 74,425 pengundi di kawasan bandar Padang Serai,” jelas Ong.

Ini semua membuktikan bahawa prinsip ‘rural weightage’ langsung tidak diikuti oleh SPR ketika persempadanan semula di Kedah.

Persempadanan melampau ini, kata Ong, akhirnya makan tuan pada pilihanraya di 2008 apabila pengundi bukan Melayu yang setia pada BN, yang tidak akan mengundi PAS, telah memberikan undi mereka kepada pembangkang.

“Antara pegawai SPR yang ada, Wan Ahmad adalah antara yang bersama SPR ketika persempadanan melampau di 2003. Oleh itu, beliau pegawai SPR yang paling kurang layak untuk mempertahankan rekod SPR untuk memastikan persempadanan semula yang adil bermula hujung tahun ini,” kata Ong.

Muslimat PAS Gombak kehilangan penggerak parti

Khaulah Azwar, 31 Mei 2013


GOMBAK: Ketua Dewan Muslimat PAS Kawasan Gombak, Dr. Azimah Ibrahim dan seluruh ahli merakamkan takziah kepada keluarga allahyarham Nik Roshdiah Nik Ahmad atas pemergian pagi tadi.

"Kami  seluruh ahli PAS Gombak begitu terasa dengan kehilangan allahyarhamuha Nik Roshdiah. Arwah merupakan seorang yang sangat kami kagumi kerana semangat juangnya  dalam perjuangan PAS,” katanya.

Katanya, allahyarhamuha adalah penggerak parti yang aktif dan banyak menghidupkan program-program kebajikan dan masyarakat di sekitar Gombak Setia terutama ziarah medik dari rumah ke rumah.

Menurutnya, sepanjang pilihanraya yang lalu, arwah terlibat hampir setiap program kempen dan munajat pilihan raya.

“Walaupun arwah sibuk menguruskan kerja pilihanraya namun tanggungjawab mengurus dua belas orang anak dan lima orang cucu tidak diabaikan.

“Jadikan semangat juang arwah sebagai motivasi kepada seluruh muslimat PAS Gombak,” katanya.

Nik Roshdiah yang merupakan Ketua Muslimat PAS cawangan Pinggiran Batu Caves telah menghembus nafas terakhir 4.45 pagi tadi di Hospital Sungai Buloh akibat darah beku di otak yang dihidapi semenjak 2009 akibat kemalangan jalan raya.

Beliau telah dimasukkan ke wad  ICU Hospital Sungai Buloh selama seminggu.

Jenazah selamat di solatkan di Masjid Khairiah selepas so

Tiada ulasan: