Khamis, 23 Januari 2014

SEBAB DUIT BANYAK TU SEBAB BOLEH PERGI...ORANG MISKIN PAPA KEDANA TAK BOLEH PERGI



KUCHING: Setiap individu perlu merahsiakan maklumat peribadi serta tidak menguar-uarkan pergerakan mereka di laman sosial Facebook.
  
Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Roslan Bek Ahmad berkata tindakan memuat naik maklumat peribadi dan pergerakan hanya akan mengundang bahaya untuk diri sendiri dan memberi peluang kepada penjenayah.
  
"Misalnya, kalau mahu ke mana-mana tidak perlulah muat naik di Facebook untuk memberitahu semua orang kerana penjenayah mungkin akan mendapat maklumat untuk mengesan anda atau mereka akan menyasarkan rumah anda untuk melakukan rompakan," katanya kepada media selepas menghadiri perhimpunan bulanan Ibu Pejabat Polis Daerah Kuching di sini, semalam.
  
Dalam pada itu, Roslan menasihatkan pemilik rumah agar memasang kamera litar tertutup (CCTV) di rumah masing-masing supaya sekiranya terjadi rompakan ia akan  memudahkan polis menyiasat sekali gus mengesan pelaku.
  
"Kini terdapat CCTV buatan negara China yang murah dan boleh disambung ke Internet dan dipantau menerusi telefon mudah alih peribadi," katanya.
  
Beliau turut meminta mangsa kejadian jenayah agar melaporkan kepada pihak polis, sekalipun ia kes kecil dan memberi jaminan akan menyiasat semua aduan. - Bernama


KOTA BAHARU:  Sebahagian besar peniaga di Pasar Siti Khadijah masih mempunyai tahap kesedaran yang rendah mengenai kebersihan premis mereka, demikian menurut Jabatan Kesihatan Kelantan.  
  
Pengarahnya Datuk Dr Ahmad Razin Ahmad Maher berkata 90 peratus premis makanan di pasar berkenaan dikategori kotor berdasarkan hasil penilaian tahap kebersihan yang dilakukan jabatan itu.
  
"Sikap mereka mungkin akan mencalarkan imej negeri sempena Tahun Melawat Malaysia 2014 (TMM 2014) kerana negeri ini menjadi satu daripada tumpuan pelancong dari dalam atau luar negara.
  
"Kami kategorikan tahap kebersihan di sini sebagai Gred B ke bawah dan peniaga harus memandang serius perkara itu kerana ia melibatkan keselamatan dan kesihatan orang ramai," katanya kepada pemberita selepas Ops Penggredan premis makanan di pasar itu, di sini semalam.
  
Ahmad Razin berkata peniaga seharusnya mempunyai kesedaran terhadap tanggungjawab mereka untuk menjaga premis masing-masing agar sentiasa bersih dan selamat.

"Jangan bergantung kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) sahaja. Kebersihan premis adalah tanggungjawab peniaga jadi mereka harus bertanggungjawab terhadap kebersihan premis masing-masing," tegasnya.
  
Dalam operasi itu, Dr Ahmad Razin berkata sebanyak 49 daripada 84 premis makanan di pasar berkenaan diperiksa dan tiga daripadanya diarah tutup hari ini mengikut Seksyen 11, Akta Makanan 1983.
  
"Lima lagi peniaga premis makanan dikompaun kerana tidak bersih," katanya yang memaklumkan operasi itu akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan kebersihan premis makanan di negeri itu berada pada tahap memuaskan. - Bernama
KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan sedang membina pasar baharu bagi menempatkan lebih 60 peniaga yang terjejas dalam kebakaran yang berlaku di Zon Bebas Cukai Rantau Panjang, pada 6 Jan lepas.
  
Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob berkata pembinaan pasar baharu berhampiran lokasi lama itu, dijangka siap pada Mac depan bagi membolehkan peniaga memulakan perniagaan secepat mungkin.
  
"Kita akan tawarkan kepada mereka yang benar-benar layak dan saya rasa masalah ini akan selesai tidak lama lagi," katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Kempen Kitar Semula Peringkat Negeri di sini semalam.
  
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Datuk Abdul Fattah Mahmood dan Pengarah Perbadanan Sistem Pepejal Negeri Kelantan Datuk Afandi Hamzah.
  
Dalam kebakaran yang berlaku pada pukul 11.30 malam itu, kira-kira 60 buah kedai kayu yang beroperasi sejak 20 tahun lalu musnah dalam kebakaran yang membabitkan kerugian kira-kira RM2 juta.

Sementara itu, Ahmad menafikan laporan bahawa kawasan Taman Negara Kuala Koh di Gua Musang bakal mengalami kemusnahan seperti yang didakwa sesetengah pihak sebaliknya menjelaskan kawasan yang diteroka tidak membabitkan taman negara berkenaan.
  
"Kawasan itu membabitkan tanaman kelapa sawit yang jaraknya sejauh 300 meter daripada taman negara. Ia tidak terlibat dengan taman negara. Tidak ada kesalahan di sana dan laporan yang kata telah menceroboh taman negara itu satu laporan yang saya rasa tidak betul," katanya.
  
Beliau berkata mesyuarat Exco hari ini juga telah memutuskan untuk membentuk pasukan sukarelawan bagi menyelidik dan mendapatkan maklumat terhadap mana-mana pihak yang melanggar atau menceroboh kawasan hutan simpan.
  
"Kerajaan akan guna saluran yang ada untuk bertindak selepas mendapat maklumat," tegasnya. - Bernama

 


KUALA TERENGGANU: Tindakan pembangkang yang sering melemparkan tuduhan dan mengkritik pentadbiran Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said didakwa kerana dengki dengan pencapaian kerajaan negeri di bawah pimpinannya.
  
Kritikan terbaru ialah mengenai lawatan eksplorasi saintifik Menteri Besar  selama 15 hari ke Antartika bertujuan membuka laluan untuk membantu kerajaan menubuhkan sebuah stesen penyelidikan bersama Instituto Antartico Chileno (INACH).
  
Exco Pemuda Umno pusat Mohd Iskandar Jaafar berkata tohmahan dan cakap-cakap sinis oleh pembangkang mengenai lawatan itu lebih merupakan satu usaha jahat yang menafikan keperluan kepada pengembangan ilmu saintifik pada masa hadapan.
  
Katanya misi ke Antartika sudah pastinya akan memberikan banyak maklumat dan pengalaman berguna yang bakal diperolehi melalui kajian-kajian yang  dilaksanakan.
  
"Saya menyokong penuh lawatan kerja Menteri Besar ke Antartika bersama rombongan negara di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi melalui inisiatif Yayasan Penyelidikan Antartika Sultan Mizan," katanya dalam kenyataan di sini semalam.
  
Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan beberapa pemimpin pembangkang berkaitan lawatan kerja dan eksplorasi ke Kutub Selatan yang diketuai Ahmad yang dipersoalkan rasionalnya selain didakwa hanyalah satu ekspedisi makan angin. - Bernama
Pas Kg Kuchai commented on this.

Dulu pun cakap mcm ni juga. Ado yg kena siku ni kang...

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Temerloh, Nasrudin Hassan (gambar) berkata, langkah membiarkan harga barang dan perkhidmatan ditentukan oleh kuasa pasaran sepenuhnya adalah langkah kurang tepat.

Katanya, kerajaan harus bertanggungjawab dan mencampuri secara minimum penetapan harga dalam pasaran bagi memberikan keadilan kepada agen-agen ekonomi yang lain seperti pembeli dan penjual.

Beliau menjelaskan, Imam Ibn Taimiyyah telah berpesan mengenai topik Al-Hasabah, jika kemaslahatan orang ramai tidak dapat dipenuhi kecuali dengan berlakunya pengawalan terhadap harga, maka laksanakanlah pengawalan harga ke atas mereka dengan cara yang adil dan saksama.

“Jika masyarakat dapat memenuhi keperluan dan kemaslahatan mereka tanpa sebarang kawalan harga, maka ia tidak boleh dilaksanakan,” jelasnya yang juga AJK PAS Pusat.

Menurutnya lagi, pemberian subsidi kepada barang atau utiliti utama merupakan tanggungjawab kerajaan.

Beliau menambah, pengawasan terhadap pasaran dapat memastikan kuasa penawaran tidak tercemar dengan unsur penipuan, monopoli serta manipulasi daripada pihak-pihak tertentu.

Namun, katanya tindakan kerajaan untuk memantau secara dekat harga-harga di pasaran mestilah dilakukan secara telus dan benar.

Nasrudin berpandangan, faktor utama kenaikan kos barang-barang keperluan pada hari ini adalah disebabkan oleh kesan domino pengurangan subsidi bahan bakar, gula dan tarif elektrik.

Tambahnya, tindakan rasionalisasi subsidi yang dilakukan sejak pertengahan tahun lalu dianggap tidak releven dengan situasi ekonomi semasa.

Malah, katanya ia dilihat hanya sekadar tindakan politik pihak Barisan Nasional selepas memenangi 49% undi popular dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 yang lalu.

Justeru, ujar beliau kerajaan tidak wajar mengelak daripada melaksanakan tanggungjawab dalam memastikan rakyat berhak untuk menikmati kadar inflasi yang lebih rendah.

Katanya, jika kos sara hidup terus tinggi bagi tempoh 8 bulan lagi, maka rakyat akan terus terbeban sekiranya Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) bakal dilaksanakan pada Suku Kedua tahun depan.

Beliau berkata, rakyat kesal dengan sikap kerajaan yang gagal mengurus kewangan awam sehingga terpaksa mengalihkan beban terus ke bahu rakyat.

“Kesilapan kerajaan inilah yang tidak mewajarkan untuk membiarkan harga ditentukan dengan kuasa pasaran. Kerajaan BN harus dihukum. Rakyat mesti terus dibela!” ujarnya lagi.
Pastinya bukan bekas Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Saifuddin Abdullah yang memulakan desakan agar ahli Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) terutama pengerusinya, Abdul Aziz Yusof meletakkan jawatan.

Tuntutan sama telah dikemukakan sejak lama oleh pemimpin dan aktivis oposisi, juga NGO yang prihatin dengan kepincangan perjalanan demokrasi di negara kita. Namun begitu, ia hampir tidak menjadi berita lagi.

Pakatan Rakyat sentiasa serius dengan isu ketempangan pilihan raya, terutama sikap SPR yang bertindak seolah-olah "satu lagi komponen parti dalam BN". Ahli-ahli SPR seperti menjadi agen parti pemerintah dan memudahkan Umno-BN mengalahkan seteru politik mereka dalam setiap kali pilihan raya.

Selain itu, NGO seperti Bersih misalnya, berulang kali, sama ada sebelum PRU13 mahupun sebelumnya, membuat desakan agar seluruh ahli-ahli SPR meletakkan jawatan serta-merta bagi membolehkan satu jawatankuasa baru yang memenuhi aspirasi rakyat dapat dibentuk.

Pengerusi baru Bersih 2.0, Marina Chin menuntut agar semua ahli SPR dipecat kerana masyarakat awam sudah kehilangan keyakinan kepada mereka. Katanya, petisyen akan dilancar selepas ini untuk membuat tuntutan itu dan diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong.

Bagaimanapun, apabila kejengkelan terhadap badan pengendali pilihan raya itu  turut disuarakan oleh pemimpin kerajaan seperti Saifudin, seperti ada sedikit kejutan  sehingga Pengerusi SPR, Abd Aziz mengajak pemimpin Umno yang tidak berpuas hati berbincang secara tertutup.

"Seperti yang sedia maklum badan ini ditubuhkan sebagai suruhanjaya bebas untuk melaksanakan tiga tanggungawab utama seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan ia bukan untuk membantu mana-mana parti politik menang dalam pilihan raya.

"Saya harap beliau (Saifuddin) bersabar dan saya sedia berbincang untuk mengetahui fakta dakwaan tersebut dan beliau boleh berjumpa saya di SPR," kata Aziz.

Saifuddin dalam satu forum, 13 Januari lalu, berkata, Pengerusi SPR yang bebas sangat diperlukan ketika keyakinan awam terhadapnya semakin menurun. "Kita memerlukan sesaorang yang tekun, bebas dan seorang yang tidak bercakap bagi pihak BN. Awak tidak membantu BN sebenarnya," kata Saifudin merujuk kepada ahli SPR yang bercakap seolah-olah mewakili BN.

Saya sendiri, melalui tulisan dalam Harakah dan Siasah, sebaik selesai Pilihan Raya Umum Mac 2004 -- yang menyaksikan sikap memihak paling menjolok mata SPR kepada BN -- menimbulkan isu "padang sama rata" secara berterusan, di samping turut mempersoalkan "sikap sambil lewa" parti-parti pembangkang ketika itu.

Dalam satu pertemuan di Hotel Vistana, pada September 2004, yang dihadiri antara lain, pemimpin kanan PAS, Mohamad Sabu, saya meluahkan rasa kecewa dan aneh dengan aksi pasif oposisi yang rela "leher mereka disembelih SPR".

Sebelum itu, menjelang PRU1999, seorang bekas jeneral tentera, dalam forum anjuran Barisan Alternatif di Hotel Federal, Kuala Lumpur, melahirkan rasa hairan mengapa parti-parti pembangkang tidak serius menangani isu pengundi pos, walhal semua maklum Umno-BN mendapat manfaat besar daripada sistem yang mudah untuk dimanipulasi itu.

Seminggu selepas PRU2004, yang mengejutkan PAS dengan kekalahan Terengganu dan kehilangan kerusi Parlimen di Kedah, saya menulis artikel bertajuk "Mimpikah kita mengharapkan pilihan raya ini bebas dan adil?"

Dalam tulisan itu saya, antara lain, menekankan: "Melihat tingkah-laku (Pengerusi SPR) Rashid (Abd Rahman) terutama sikapnya yang suka bertelagah dan berkonfrontasi dengan pembangkang, saya langsung tidak mengharapkan apa-apa yang positif dari SPR kali ini.

"Walhal kedudukan Rashid sebagai pengerusi SPR adalah tertakluk kepada keyakinan rakyat kepadanya. Maknanya, jika rakyat tidak lagi konfiden kepada Rashid, beliau boleh ditarik turun.

"Sila rujuk Perkara 114(2) Perlembagaan: "Pada melantik ahli-ahli Suruhanjaya Pilihanraya, Yang di-Pertuan Agong hendaklah memandang kepada mustahaknya diadakan suatu Suruhanjaya Pilihanraya yang mendapat kepercayaan awam."

Bukan soal kekalahan PAS atau BA yang menarik minat saya tetapi isu pengendalian pilihan raya yang begitu buruk dan hodoh, terutama proses persempadanan  semula (gerry mandering) kawasan Parlimen, yang secara nyata bertujuan untuk mengalahkan pembangkang.

Difahamkan Setiausaha SPR ketika itu, Wan Ahmad  Wan Omar menjadi dalang dan pencatur sebenar, bagi memberi kemenangan mudah kepada Umno-BN. "Pengerusi SPR sendiri, Rashid  mengakui tugas strategik itu dimainkan oleh Wan Ahmad," kata sumber yang rapat dengan SPR.

Bagaimanapun, Rashid, semasa mesyuarat agung Perkasa Wilayah Persekutuan, November 2013, mengakui bahawa dia sendiri mempunyai kaedah tertentu untuk memastikan Melayu (baca: Umno-BN) akan terus berkuasa. Iaitu melalui tiga kali proses persempadanan semula kawasan pilihan raya semasa beliau menjadi Pengerusi SPR.

Tidak puas hati dengan artikel tersebut, menyusul tulisan saya, pada April 2004, bertajuk "Tuntut pilihan raya adil: Jangan hangat-hangat tahi ayam,"

Saya meneruskan leteran, dan saya masih ingat, turut didorong rasa marah (terhadap SPR dan BN) dan juga kesal (dengan pembangkang): "Bagi saya, apabila kita membincangkan soal kepincangan atau pencabulan terhadap pengurusan pilihan raya yang bersih dan adil, ia tidak seharusnya terbatas hanya selepas Parlimen atau Dun dibubar.

"Perbahasan itu harus dibuat dalam ruang lingkup menyeluruh, misalnya merongkai segala sekatan ke atas kebebasan bersuara, bertanding di atas padang yang sama rata, jelas apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan kerajaan sementara, memastikan tiada manipulasi pemerintah terhadap daftar pemilih dan perjalanan kempen yang tidak memihak kepada mana-mana parti yang bertanding.

"Pembangkang tidak dikalahkan hanya dengan kempen jahat dan tidak beretika BN selama seminggu itu.  Proses mengalahkan pembangkang yang mencatat prestasi membanggakan pada pilihan raya ke-11 sudah bermula pada awal Disember 1999, sebaik selesai PRU1999."

Selain itu, daripada sekian banyak tulisan mengenai SPR, saya pernah menghuraikan  "Peranan proaktif dan strategik Agong", pada Julai 2011, yang memperihalkan kedudukan penting baginda dalam amalan demokrasi kita, khususnya mempastikan semua anggota SPR mendapat kepercayaan awam.

Soalnya, apakah jika tidak lagi menepati kriteria itu, maka Agong tidak boleh menamatkan khidmat mereka dan membiarkan rakyat terus curiga dengan kemampuan SPR untuk menjalankan tugas dengan adil dan berintegriti.

Saya juga menyanggah Timbalan Pengerusi SPR, dengan tulisan "Hujah untuk pecat Wan Ahmad dari SPR," Jun 2013.dan sebelumnya, "Sokong Pengerusi SPR letak jawatan," April 2012.

Secara peribadi -- walaupun sebenarnya tanpa dirancang -- saya memberanikan diri melakukan protes pertama secara terbuka, dengan mengoyak kertas undi, pada jam 3.15 petang, 8 Mac 2008, di Sekolah Kebangsaan Hakim Teh, Pulau Timbul, Tunjang, Kubang Pasu, Kedah dengan disaksikan oleh wakil-wakil parti PAS, BN dan KeADILan termasuk beberapa petugas SPR dan Ketua Tempat Undi.

Pada malamnya, selepas diumumkan PAS menerajui kerajaan negeri Kedah bersama Pakatan Rakyat, Allahyarham Ustaz Azizan Abdul Razak (yang kemudiannya dilantik menteri besar), yang saya temui di Kompleks PAS Kedah, Batu 9, menegur aksi protes saya itu.

"Kalaulah Dun Bukit Kayu Hitam tempat anta mengundi itu kalah satu undi, antalah bertanggungjawab," katanya sambil ketawa. Kawasan Bukit Kayu Hitam dan Parlimen Kubang Pasu merupakan kubu kuat Umno, dengan kemenangan majoriti besar.

Justeru, ketika SPR sibuk dengan proses proses persempadanan semula kawasan pilihan raya, amat tepat sekali isu keyakinan awam terhadap badan yang sepatutnya bebas itu ditimbulkan semula.

Pengerusi SPR,  Aziz berkata, Pakatan Rakyat perlu menyokong persempadanan semula kerana ia untuk kebaikan semua pihak termasuk mereka. Waduh, siapa boleh mempercayainya lagi selepas "parti-parti pembangkang disembelih" pada 2003 dulu.

Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim sebelum ini menegaskan Pakatan tidak akan menyokong persempadanan semula kawasan pilihan raya itu kalau ia dikendalikan oleh ahli SPR yang ada.

Bersih 2.0 pula menuntut dihentikan proses tersebut sehingga masalah berkaitan, misalnya membersihkan senarai pengundi  dan perlantikan keanggotaan SPR yang baru,  diselesaikan.

II.

Kenyataan Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat kepada wartawan Mingguan Malaysia baru-baru ini cukup menarik, khususnya bagi orang media seperti saya. Dana awam yang mengongkosi RTM misalnya telah disalahgunakan apabila ia diperkakaskan semahunya untuk propaganda pemerintah.

Bekas Menteri Besar Kelantan itu dalam wawancara khas sempena ulangtahun kelahirannya yang ke-83 menegaskan: "Negara kita ini mengamalkan demokrasi, jadi tidak ada sebab hubungan Pusat dengan negeri renggang. Yang peliknya, 23 tahun saya jadi Menteri Besar, saya tak pernah dapat bercakap dalam radio atau televisyen.

"Rakyat kita makin cerdik, ramai yang keluar universiti tiap-tiap tahun dan ada kalanya, orang itu faham apa yang berlaku. Mana boleh sebuah kerajaan negeri tidak boleh bercakap menerusi radio atau televisyen dengan rakyat sendiri?

"Perangai Kerajaan Pusat ini, dia nak suruh orang ikut dia sahaja, jangan dengar apa kata pembangkang sedangkan mana boleh manusia hidup tanpa membangkang. Kita dua beradik pun berbalah, suami isteri pun berbalah, sahabat handai pun berbalah, begitu juga rakyat dengan kerajaan."

Kata kuncinya, selama 23 tahun menjadi MB, Tok Guru yang mendapat sokongan majoriti (dan dikasihi) rakyat dihalang daripada berhubung langsung melalui radio dan TV, yang dibiayai dana awam, dengan warga Kelantan sendiri.

Sesuatu yang dilihat aneh di negara demokrasi lain tetapi sudah dianggap biasa di Malaysia. Itulah juga yang berlaku kepada Menteri Besar Selangor (Khalid Ibrahim), Ketua Menteri Pulau Pinang (Lim Guan Eng)  dan bekas MB Kedah (Ustaz Azizan Abd Razak) dan Perak (Nizar Jamaluddin). Hebat, 'kan negara tercinta ini?
KUALALUMPUR: Impian status negara maju sepatutnya memberi nilai tambah kebahagiaan hidup kepada rakyat namun yang berlaku adalah sebaliknya, kata Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri (gambar).

“Hari ini ia menjadi igauan ngeri rakyat kerana mereka akhirnya menjadi mangsa yang mesti dikorbankan menerusi peningkatan kos sara hidup yang tidak terkawal,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Kuala Nerus dalam satu kenyataan, sebagaimana di bawah.

Impian status negara maju sepatutnya memberi nilai tambah kebahagiaan hidup kepada rakyat namun yang berlaku adalah sebaliknya. Hari ini ia menjadi igauan ngeri rakyat kerana mereka akhirnya menjadi mangsa yang mesti dikorbankan menerusi peningkatan kos sara hidup yang tidak terkawal.

Empat bulan selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 (September), Perdana Menteri telah mengumumkan kenaikan harga petrol RON95 dan diesel sebanyak 20 sen. Sebulan selepas kenaikan itu (Oktober), harga pula dinaikkan sebanyak 34 sen. Menjelang tahun 2014 (Disember), Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air telah mengumumkan kenaikan tarif elektrik sebanyak 4.99 sen.

Adakah ‘pakej kenaikan’ ini munasabah?

Walaupun perbahasan kenaikan ini agak kompleks, cukuplah jika ia dikatakan adalah berpunca daripada polisi rasionalisasi subsidi untuk mengurangkan beban kewangan awam demi untuk mengejar status negara maju dan berpendapatan tinggi 6 tahun lagi.

Kerajaan Malaysia menjadi umpama ketam mengajar anak berjalan betul. Jika kerajaan menyalahkan rakyat kerana sikap dan gaya hidup menyebabkan tekanan kewangan peribadi, maka tabiat buruk yang sama sebenarnya diwarisi daripada kerajaan.

Persoalannya, beban kewangan negara yang sedang dipikul oleh kerajaan hari ini siapakah penyebabnya?

Beban kewangan awam adalah akibat daripada pengurusan kerajaan yang tidak pruden.

Mengapa perbelanjaan tambahan 2012 diluluskan sebanyak RM12.17 bilion pada pertengahan tahun lalu?

Mengapa ketirisan yang didakwa oleh Menteri Kewangan Kedua dalam Laporan Ketua Audit Negara 2012 berjumlah RM1.5 bilion?

Mengapa hutang kerajaan konsisten meningkat dari tahun 2001 sehingga mencapai kemuncak paling tinggi pada tahun 2012 iaitu RM502.4 bilion bersamaan 53.7% daripada KDNK?

Setiap rakyat menanggung hampir RM17,000.

Mengapa indeks komposit FTSE Bursa Malaysia jatuh sebanyak 22.46 mata pada Julai lalu?

Mengapa dalam tempoh yang hampir sama, nilai ringgit ditutup pada kadar paling rendah berbanding dolar Amerika sejak 3 tahun lalu?

Tiba masanya rakyat bangkit menolak polisi dan dasar ekonomi membebankan yang sedang dilaksana dan dipraktikakan oleh kerajaan.

Pilihanraya masih jauh. Namun ia tidak bererti rakyat perlu berdiam diri dan tunduk pada apa yang berlaku.

Protes sekurang-kurangnya di alam maya perlu digerakkan menggambarkan ketidakpuasan hati rakyat. Kerajaan perlu diberi peringatan oleh rakyat!
SHAH ALAM: Kertas Ringkasan bertarikh 12 November lalu tidak menyatakan Pejabat Menteri Besar mengesyorkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Antarabangsa, Mohamed Azmin Ali ditamatkan sebagai Ahli Lembaga Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

Perkara itu terkandung dalam dokumen sulit keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) dan surat menyurat antara Pejabat Menteri Besar, PKNS dan Setiausaha Kerajaan Negeri yang didedahkan menggunakan kuasa Menteri Besar mengikut Seksyen 2 (C) Akta Rahsia Rasmi, hari ini.

Pada surat bertarikh 12 November lalu, Menteri Besar sudah mengarahkan Ketua Setiausaha Sulit menyediakan satu Kertas Ringkasan bertajuk "Cadangan Untuk Mempertimbangkan Semula Pelantikan Ahli-Ahli Perbadanan Yang Dilantik Di bawah seksyen 4(1) (d) Enakmen Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor 1964.”

Tidak terdapat dalam sebarang para kertas terbabit yang menyatakan Pejabat Menteri Besar mengesyorkan YB Mohamed Azmin Ali ditamatkan jawatan.

Kertas Ringkasan itu yang ditandatangani Menteri Besar menyatakan dua syor iaitu mengekalkan jawatan tiga Ahli Lembaga PKNS iaitu Iskandar Abdul Samad, Teresa Kok Suh Him dan Mohamed Azmin Ali untuk tempoh sehingga 10 Februari 2015.

Menteri Besar sudah membentangkan Kertas Ringkasan terbabit di Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) ke 35/2013 dan Exco serta meluluskan Kertas Ringkasan itu.

Mesyuarat Exco Ke-37/2013 menyatakan kerajaan negeri menimbang dan meluluskan Ahli Lembaga PKNS iaitu Datuk Teng Chang Khim dan Iskandar Samad’ manakala seorang calon lagi akan ditentukan kemudian.

Manakala, syor kedua adalah digantikan dengan calon lain yang bersesuaian dengan kemahiran dan kepakaran masing-masing.

Pada 9 Disember lalu, Setiausaha Dewan MMKN menghantar cabutan minit kepada PKNS melalui surat bertarikh itu.

Sebulan kemudian, melalui surat bertarikh 8 Januari lalu, PKNS memaklumkan kepada Azmin bahawa kedudukan beliau sebagai Ahli Lembaga PKNS ditamatkan mulai 4 Disember lalu yang disahkan Azmin dalam twitternya menerima surat penamatan daripada PKNS.

Pada 15 Januari lalu, Abdul Khalid menjelaskan tindakan tidak memperbaharui kontrak perkhidmatan Azmin Ali bukan keputusan beliau atau Exco Selangor, tetapi diputuskan Pengurus Besar PKNS, Datuk Othman Omar.

Pada 16 Januari lalu, Setiausaha Kerja PKNS, Norita Mohd Sidek menafikan kenyataan Menteri Besar dengan menyatakan pengguguran Azmin dibuat selaras keputusan mesyuarat Exco pada 13 November lalu dan disahkan pada 4 Disember lalu.

Pada 19 Januari lalu, Menteri Besar mengarahkan Setiausaha Kerajaan Negeri untuk mengambil tindakan tatatertib kepada Datuk Othman dan beberapa pegawai PKNS.

Pada 20 Januari lalu, Setiausaha Kerajaan Negeri mengeluarkan surat pertukaran serta merta kepada Othman dan Norita ke Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor.

Pada 22 JAN 2014, Datuk Setiauasaha Kerajaan Negeri dalam kenyataan akhbar bertarikh 21 Januari 2014 menegaskan Kerajaan Negeri tidak pernah mengarahkan PKNS menarik balik surat penamatan perkhidmatan.

Menteri Besar, telah mengarahkan Ketua Setiausaha Sulit supaya mendedahkan dokumen isu Ahli Perbadanan PKNS mengikut kronologi untuk tatapan umum.
Dokumen-dokumen juga boleh dimuat turun di laman web rasmi kerajaan Selangor.

 

Tiada ulasan: