Rabu, 29 Januari 2014

MENANAM TEBU DIBIBIR MULUT

KUALA LUMPUR: Polis Perak hari ini menafikan laporan berita beberapa laman web yang mendakwa 250 anggota polis dari negeri itu dihantar ke Pulau Pinang berikutan insiden melontar 'molotov cocktail' di perkarangan gereja di Lebuh Farquhar, George Town semalam.

Ketua Polis Perak Datuk Acryl Sani Abdullah Sani dalam laman Facebook Polis Perak berkata tiada anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh mahupun Ibu Pejabat Kontinjen Perak akan ke Pulau Pinang bagi apa-apa tujuan.

Dalam kejadian pukul 1.30 pagi itu, suspek yang menunggang sebuah motosikal melempar botol berisi bahan letupan itu dari luar pagar gereja berkenaan sebelum melarikan diri.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Abdul Rahim Hanafi dilaporkan berkata polis mengambil keterangan daripada penjaga gereja yang menyaksikan kejadian itu dan menyiasat kes itu mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.
  
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein pula berkata kementeriannya sedia bekerjasama dengan polis dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk menyelaras segala tindakan berhubung insiden itu.

PETALING JAYA: Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini mengumumkan Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon parti itu pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (Dun) Kajang.

Perkara itu diumumkan Abdul Khalid pada sidang media di ibu pejabat PKR di sini hari ini.

"Kita telah mengadakan perbincangan di peringkat pusat termasuk dengan pimpinan pakatan rakyat.

"Bagi Dun Kajang, Pakatan Rakyat telah memutuskan bahawa PKR yang akan bertanding dan PKR hari ini memutuskan bersetuju untuk meletakkan Datuk Seri Anwar Ibrahim  sebagai calon yang akan bertanding di Dun Kajang," katanya.

Sidang media itu turut dihadiri Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub dan juga Penasihat DAP Lim Kit Siang.

Kerusi Dun Kajang kosong berikutan perletakan jawatan Adunnya, Lee Chin Cheh yang di isytiharkan oleh Speaker Dewan Negeri Selangor (DNS), Hannah Yeoh semalam.
ALOR SETAR: Seorang remaja lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan membunuh seorang remaja perempuan Nov tahun lalu.
  
Mohd Firdaus Mohd Faridul, 19, dituduh membunuh Noor Syafikah Nadia Abdullah, 14, di Kampung Alor Senibong, Mukim Tajar dekat sini, antara pukul 9.30 malam dan 11.30 malam pada 29 Nov 2013.
  
Tertuduh yang berbaju kemeja-T kuning berbelang mengangguk faham mengenai pertuduhan yang dibacakan ke atasnya mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
  
Tiada pengakuan direkodkan semasa pertuduhan dibacakan.
  
Majistret Mohd Khairul Hafizuddin Ramli menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 4 Mac ini.
  
Mohd Firdaus hadir ke mahkamah tanpa diwakili peguam manakala pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Wan Noor Hasnita Wan Daud.
  
Mayat Noor Syafikah Nadia ditemui di kawasan sawah Alor Senibong kira-kira 3.45 petang pada 30 Nov tahun lalu selepas dilaporkan hilang bersama dua lagi adiknya Nur Izzati Husna Rusdi, 12, dan Puteri Nurul Akma Rusdi, 3, pada 29 Nov 2013.
  
Pada 1 Dis 2013, mayat adik-adiknya pula ditemui kira-kira 4 petang di gigi air sungai di Kampung Padang Tani, Langgar kira-kira 3.5 kilometer dari tempat mayat kakak mereka ditemui.
  
Tiga beradik itu dikatakan keluar dari rumah mereka dengan menaiki sebuah motosikal kira-kira pukul 7.30 malam pada 29 Nov untuk ke rumah seorang rakan Noor Syafikah Nadia di Kampung Gelam yang tidak jauh dari kampung mereka, dan tidak pulang-pulang sehingga mayat mereka ditemui.
  
Difahamkan Mohd Firdaus akan turut dituduh membunuh dua adik Noor Syafikah Nadia pada tarikh yang lain. - Bernama

Gerimis menyapa kami apabila tiba menjejak kaki di Tawau, bandar paling jauh dari Semenanjung Malaysia dan bersebelahan dengan Indonesia. Bumi Tawau adalah paling subur dengan pusat pengajian Islam di negeri bawah bayu itu, bermula dengan pusat pra sekolah PASTI sehinggalah madrasah al hidayah yang semakin menampung permintaan anak-anak tempatan untuk menggali ilmu agama. Gerakan Islam juga bertapak subur di Tawau sejak dekad 80an dimana penjawat awam dari Semenanjung telah menyebarkan dakwah dan fikrah kepada anak tempatan.

Muslim Care Malaysia, NGO kemanusiaan tanpa sempadan memilih daerah ini untuk misi jelajah Borneo yang diadakan setiap bulan oleh badan itu, dengan anggota misi kali ini seramai 15 orang. Dengan anggota pelbagai latarbelakang sosial seperti doktor, arkitek, pendidik, artis , misi kali ini mengadakan pelbagai program dakwah dan khidmat masyarakat. Antaranya di kampung Kuala Apas, anggota misi mengadakan khidmat kesihatan percuma, bengkel smart solat dan motivasi kepada pelajar dan masyarakat.

Kuala Apas antara kampung di Tawau yang mempunyai ramai penduduk miskin tegar, dengan tahap latar belakang pendidikan yang rendah. Di sini juga Muslim Care memberikan sumbangan kepada fakir miskin dan mengadakan klinik gigi bergerak yang mendapat sambutan hangat penduduk setempat. Program forum perdana juga telah diadakan di masjid daerah bertemakan maulid Nabi serta pengkhianatan Yahudi terhadap ar Rasul SAW.

Misi juga cuba menerobos ruang dakwah inklusif dengan mengadakan street dakwah yang menampilkan zuar XPDC, di mana anak-anak muda cuba didekati untuk mereka kembali kepada fitrah. Tergambar riak kegembiraan anak muda Tawau  serta membuka minat mereka untuk mengenali dengan lebih dekat agenda Islam.

Rombongan Muslim Care seterusnya meredah awan ke Sandakan untuk terus mengadakan khidmat bakti di kampung Gum- gum dan Kampung Sundang Air di Batu Sapi. Di kedua buah kampung ini juga anggota misi menjalankan khidmat masyarakat seperti bengkel solat dan motivasi, khidmat kesihatan percuma, bantuan makanan asas kepada fakir miskin, pemeriksaan gigi percuma oleh pengamal perubatan Muslim Care yang terlatih.

Kehidupan sebahagian besar penduduk kampung ini sangat dhaif, termasuk ramai penduduk miskin yang tidak memiliki kad pengenalan , kadar buta huruf yang tinggi serta literasi agama sangat kritikal. Ramai anak remaja yangvtidak tahu mengucap syahadah dan tidak pandai bersolat, namun mereka kelihatan sangat teruja dengan motivasi khas yang diberikan oleh Zuar XPDC.

Program dakwah di Sandakan juga berkolaborasi dengan Usrah Kaki lima, badan bukan profit yag kini mula menjadi fenomena anak muda di Sandakan. Muslim Care mengadakan santai anak muda di jalanan dan juga tempat tumpuan ramai bersama kelompok anak muda usrah kaki lima. Pelbagai watak anak muda ranggi turut menyertai program ini dan kelihatan mereka tidak berganjak apabila mendengar tazkirah agama yang diselangseli dengan persembahan.

Anak-anak muda sekitar Sandakan sesekali turut sama- sama menyanyikan lagu- lagu XpDC seperti 'semangat yang hilang','hentian ini',' penyesalan' dan beberapa lagu yang turut dipersembahkan oleh anak muda tempatan. Pelbagai program dakwah yang diatur padat oleh banyak pihak di Sandakan berjalan dengan lancar termasuk forum perdana maulid serta penerangan perdana isu Palestin dan Syria.

Rombongan Muslim Care sebelum pulang diraikan oleh Haji Hamzah, mantan Pesuruhjaya Sabah yang juga seorang peguam terkenal di Sandakan. Beliau mengharapkan usaha dakwah dan kebajikan di Sabah terus dibantu oleh banyak pihak dari Semenanjung, juga mengharapkan sektor pendidikan Islam di Borneo terus diberikan fokus perdana oleh gerakan Islam.
KUALA LUMPUR: Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata beliau boleh meletakkan jawatan sekiranya kepimpinan  pakatan pembangkang mencapai konsensus dan mendapat perkenan Sultan Selangor Sultan Sharafudin Idris Shah berhubung perkara itu.
  
Bagaimanapun, katanya sehingga kini tiada perbincangan dilakukan pucuk pimpinan tiga parti pembangkang dalam pakatan itu mengenai perkara berkenaan.
  
"Saya boleh berundur sekiranya pakatan pembangkang mencapai konsensus untuk menggantikan saya tetapi tiada perbincangan mengenainya sehingga kini," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis pelancaran buku 'Maps of Malaya and Borneo: Discovery, Statehood and Progress' di sini, semalam.
  
Buku itu dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.  Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas khabar angin kononnya beliau akan melepaskan jawatan bagi memberi laluan kepada ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim menggantikannya sebagai Menteri Besar Selangor, dengan spekulasi Anwar bakal betanding kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan Kajang.

 Ini berikutan peletakan jawatan Anggota DUN Kajang Lee Chin Cheh hari ini.

Mengulas peletakan jawatan Lee, Abdul Khalid berkata perkara itu sudah dijangka berikutan ura-ura mengenainya didengar sebelum ini.
 
"Saya tidak terkejut dengan tindakan Adun (Lee) terbabit kerana ada mendengar mengenainya sebelum ini," katanya. - Bernama
KUALA LUMPUR: Ketua Pegawai Eksekutif dan Editor KL Pos Media & Production Sdn Bhd Wan Muhammad Azri Wan Deris hari ini menafikan bahawa beliau adalah pemilik blog 'Papa Gomo'.
  
Beliau membuat penafian itu di Mahkamah Tinggi pada pendengaran kes saman Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadapnya berhubung paparan video seks ketua pembangkang berkenaan dengan seorang lelaki.
  
Wan Muhammad Azri, 31, juga menafikan beliau adalah penulis, penerbit dan penyebar artikel atau imej berunsur fitnah terhadap Anwar dalam blog www.papagomo.com.
   
"Saya tiada pengetahuan mengenai artikel-artikel itu dan imej-imej tersebut. Blog saya adalah Malayrights.blogspot.com dan bukannya 'Papa Gomo'," katanya ketika disoal peguam N.Surendran, yang mewakili Anwar.
  
Bekas anggota polis itu turut memaklumkan mahkamah bahawa beliau pernah ditangkap, ditahan reman dan disoal siasat berhubung laporan polis terhadap blog 'Papa Gomo' sebelum dibebaskan dengan jaminan polis.

Terdahulu, Anwar memaklumkan mahkamah bahawa perkataan yang dikeluarkan Wan Muhammad Azri dalam artikel berkenaan adalah fitnah dan penyiaran imej serta artikel dalam blog itu memberi kesan buruk terhadapnya sebagai seorang pemimpin politik.
  
"Ia memberi kesan buruk terhadap persepsi rakyat Malaysia, terutama orang Islam yang merupakan majoriti penduduk negara ini, terhadap saya dan perkara seperti ini dipandang hina oleh masyarakat di negara ini, terutama masyarakat Melayu," katanya.
  
Beliau berkata meskipun penyebaran artikel berkenaan menyaksikan majoriti undi kepadanya bertambah pada pilihan raya umum lepas, ia tetap memberi kesan negatif.
  
Anwar memfailkan saman menuntut ganti rugi berjumlah RM100 juta kerana mendakwa Wan Muhammad Azri menyiarkan empat siri perkataan fitnah di laman blog berkenaan pada 16, 17, 19 dan 20 Mac 2013.
  
Selain ganti rugi am, teruk, teladan, faedah, kos dan relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah, beliau memohon satu perintah injunksi bagi menghalang defendan terus menerbitkan perkataan fitnah dan imej berkenaan.
  
Perbicaraan di hadapan Hakim Rosilah Yop bersambung hari ini. - Bernama

Tuan Ibrahim dan Nik Muhammad Zawawi menziarahi Dr Abdul Karim di Yaman, baru-baru ini.
KUALA LUMPUR: Dunia dikejutkan dengan pemergian seorang tokoh ulama dan pemikir Islam yang agong iaitu Syeikh Dr Abdul Karim Zaidan ke rahmatullah, semalam.

Jenazahnya dikebumikan di San'a, Yaman, bumi yang terakhir menjadi tempat beliau bernaung selepas terpaksa keluar meninggalkan bumi kelahiran beliau iaitu Iraq.

Sehubungan itu, Dewan Ulamak PAS Pusat mengucapkan takziah atas pemergian beliau kepada seluruh umat Islam, khususnya  keluarga almarhum, anak-anak murid beliau dan warga Univesiti Iman, San'a di bawah naungan Syeikh Abdul Majid Zandani yang menjadi pusat ilmu di mana beliau menjadi salah seorang maha gurunya.

“Pemergian tokoh ulama Islam ini merupakan kehilangan besar bagi ummat,” ujar Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat, Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri.

Dr Abdul Karim dilahirkan di Baghdad pada tahun 1921. Berkelulusan Ijazah Pertama dari Fakulti Undang-undang Universiti Baghdad, Master dan Phd dalam Pengajian Islam Universiti Kaherah tahun 1962.

Beliau yang merupakan bekas Mursyidul Am Ikhwan Muslimin Iraq pernah mengasaskan Fakulti Pengajian Islam di hujung 60-an dan berjaya melahirkan graduan namun kemudiannya ditutup oleh Parti Sosialis Iraq dan beliau sendiri dikenakan seumpama tahanan rumah.

Beliau terus ditekan sebagai seorang tokoh ulama sehingga akhirnya terpaksa berhijrah meninggalkan Iraq pada awal 90-an.

Beliau pernah menjawat jawatan Profesor Undang-undang Islam dan Ketua Jabatan Syariah, Fakulti Undang-undang, Universiti Baghdad dan Dekan Fakulti Syariah, Universiti Baghdad.

Antara karya beliau yang terkenal ialah ensiklopedia hukum-hakam berkaitan Wanita dan Keluarga Muslim sebanyak 11 juzuk yang mendapat Anugerah Antarabangsa Raja Malik Faisal pada tahun 1997M/1417H.

Antara tulisan beliau yang terkenal dan menjadi rujukan di banyak fakulti pengajian Islam di seluruh dunia ialah Hukum-hakam Zimmi dan Musta'min Dalam Negara Islam, Pengenalan Pengajian Syariah Islam, Usul Dakwah, Al-Wajiz - Syarah Qawaid Fiqhiyyah dan Sistem Kehakiman Dalam Islam.

“Semoga Allah merahmati roh beliau dan memberikan ganjaran terbaik untuknya di alam barzakh dan di Hari Akhirat.

“Semoga kita juga berjaya mengikut jejak langkah beliau sebagai orang berilmu dan beramal dengan ilmunya,” kata Mohd Khairuddin yang juga Ahli Parlimen Kuala Nerus.
KUALA LUMPUR: Khidmat Sosial Stockholm akan memindahkan anak pasangan Malaysia yang ditahan pihak berkuasa tempatan sebelum ini kepada sebuah keluarga Islam Malaysia dalam masa terdekat.

Perkara itu disahkan seorang pegawai tertinggi Khidmat Sosial negara tersebut, lapor Bernama.

Difahamkan, pertukaran itu akan diadakan dalam tempoh 24 jam namun bergantung kepada kecepatan kesemua proses yang disebut.

Pasangan itu merupakan pegawai Tourism Malaysia di Sweden iaitu Azizul Raheem Awalludin dan isterinya Shalwati Norshal seorang guru sedang dalam tempoh bercuti tanpa gaji, ditahan sejak 18 Dis lepas kerana didakwa mendera anak mereka atas alasan tidak bersolat.

Ekoran penahanan kedua-duanya, anak-anak mereka terpisah dengan mereka sejak hampir 40 hari dan pihak berkuasa Sweden telah melantik keluarga angkat bukan Islam untuk menjaga keempat-empat beradik berkenaan.

WALAUPUN tewas di dua kerusi iaitu Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (Dun) pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu, ia bukan penamat perjuangan terutama dalam usaha membela rakyat tertindas. Begitulah pendirian Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub.

Anak kelahiran Kampung Serkat, Pontian, Johor berkelulusan Diploma Pentadbiran Perniagaan di Kolej Tunku Abdul Rahman (KTAR) dan Ijazah Bsc Sains Pembangunan Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM) ini bergiat aktif dalam aktiviti kemanusiaan sehingga pernah menjadi anggota International Parliamentery Organization (IPO) serta Caucus Pembelaan Perjuangan Kemanusian.

Bekas Ahli Parlimen Kubang Kerian selama dua penggal itu turut beberapa kali mengetuai misi kemanusiaan ke Kosova (1999), Afganistan (2002), Iraq (2003) dan Lubnan (2006).

Ketokohan Salahuddin juga menjadikan Pemuda PAS amat digeruni ketika menjawat jawatan itu beberapa tahun lalu.

Wartawan Roketkini, Aliff Fikri dan Jurugambar, Wira Andika baru-baru ini sempat bersemuka dan berbual mesra dengan Salahuddin di Ibu Pejabat PAS untuk membincangkan perihal politik semasa, perkembangan kerjasama dalam PR, strategi ke arah kejayaan pada masa depan dan pelbagai lagi.

Pertamanya kami di pihak Roketkini ingin mengucapkan tahniah kepada saudara kerana dipilih kekal sebagai Naib Presiden PAS.

Terima kasih (tersenyum).

Bagaimana pandangan saudara mengenai keadaan politik mutakhir ini, tambahan dengan pelbagai pelaksanaan yang semakin ‘mencekik’ rakyat?

Pelaksanaan ‘mencekik’ kerajaan sekarang ini sudah dijangka kerana berdasarkan manifesto yang kita tawarkan kepada rakyat pada PRU13 lalu, ia adalah usaha terbaik agar dapat menangani pelbagai permasalahan negara khususnya yang memberi tekanan kepada semua lapisan masyarakat.

Kami sejak awal lagi sudah tahu, Kerajaan BN ini sememangnya mempunyai niat untuk mengambil kembali apa yang diberi kepada rakyat, contohnya, Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) melalui belanjawan negara yang akan diolah dalam bentuk mempesonakan, kini mereka laksana pelbagai agenda menekan rakyat seperti pemotongan subsidi dan kenaikan harga bahan api. Inilah akibatnya apabila BN sekali lagi diberi peluang memerintah.

Saya cukup yakin dan percaya bahawa ini peluang PR untuk lebih serius berdepan isu yang menyusahkan hidup dan memberi kesan langsung kepada rakyat. Rakyat tentunya menunggu apakah tindak balas, program, cadangan atau idea konstruktif daripada pimpinan PR.

Saya turut yakin sekiranya kita (PR) berjaya mendedahkan semua isu tadi dalam bentuk maklumat tepat dan sampai kepada sasaran yang ditujukan, ia pastinya memberikan peluang cukup luas, cerah untuk mendapatkan sokongan yang lebih kukuh selepas kejayaan PRU13.

Agaknya apa punca menyebabkan PR tidak dapat mencapai sasaran pada PRU-13 lalu? Apakah semata-mata berpunca daripada 3M iaitu ‘money, manpower dan media’?

PR memang mendapat undi popular yang jauh lebih tinggi berbanding BN tapi sebagaimana yang kita sedia maklum bahawa PR harus juga mengakui sememangnya kita tidak dapat mendepani cabaran 3M BN terutama media walaupun media baru semakin bercambah dan semakin mendapat tempat tapi capaian atau aksesnya masih tidak menembusi masyarakat luar bandar, Felda dan yang paling penting orang asal, Bumiputera Sabah dan Sarawak yang masih lagi bergantung kepada media arus perdana.

Jadi PR perlu perakui ini dan mencari jalan mengatasinya daripada sekarang dengan mengadakan satu komuniti lebih kukuh untuk mengatasinya.

Namun begitu, dalam keadaan halangan sebegitu rupa sekalipun, kita masih dapat undi popular 51 peratus. Cuba saudara bayangkan jika kita memiliki media yang adil, tentunya kemenangan sudah kita peroleh dan sampai ke Putrajaya.

Saya juga tidak lupa untuk menyatakan bahawa faktor padang permainan sama rata itu cukup penting, dengan persempadanan yang diragui ketelusannya yang sentiasa menjadi tanda tanya. Walau apa pun cabaran, halangan dan rintangan yang PR hadapi, saya tetap percaya rakyat Malaysia akan terus terdidik dan apa yang perlu dititikberatkan PR sekarang adalah bagaimana melangsungkan dalam memberikan pendidikan politik kepada masyarakat terutamanya kepada masyarakat yang sehingga kini tidak pernah tahu dan tidak mendapat maklumat mengenai betapa baiknya tawaran manifesto kita serta rekod pentadbiran PR di Selangor, Pulau Pinang dan Kelantan. PR perlu berusaha lebih gigih dalam soal ini.

Apa pula strategi khusus PR untuk hadapi PRU14 nanti?

PAS kini dalam tempoh menyiapkan post mortem selepas PRU13, saya sendiri menganggotai jawatankuasa itu. Ini penting untuk dijadikan asas bagaimana harus kita ‘develop’ atau membangunkan strategi atau idea baru dalam menghadapi PRU akan datang.

Di peringkat PR pula, satu pasukan task force sudah diwujudkan untuk melihat bagaimana PR perlu memperkukuh, memperkemas dan menyelamatkan kekuatan sedia ada disamping mencari langkah agar dapat melangkaui ‘grey area’ dan ‘black area’. Task Force ini bertujuan memberi fokus dan menggarap sasaran kita iaitu orang Melayu di luar bandar, masyarakat Felda yang masih lagi agak rendah peratusnya menyokong PR.

Daripada segi sokongan orang Melayu, undi BN meningkat 1.5 peratus? Di mana silapnya?

Ini pada saya bukan soal silap di mana tapi menunjukkan bahawa cara kotor BN memanipulasi, memain serta membakar sentimen kaum dan agama masih berjaya dan diterima.

Cara seperti ini memang sentiasa dimainkan contohnya dakyah mereka kepada orang Melayu tentang jahatnya DAP, cauvinisnya DAP, PR memerintah Islam terpinggir, masjid jadi gereja, orang Cina jadi Perdana Menteri, ini semua merupakan ‘hantu’ yang memang direka cipta untuk menakut-nakutkan dengan fokus hanya untuk meningkatkan sokongan Melayu.

PAS dan PR memerlukan usaha lebih dalam menerang dan memperjelaskannya bahawa itu semua adalah agenda serta cara BN mengekalkan kuasa hingga sanggup mengada-adakan perkara tidak benar dan menyebar fitnah sebegitu rupa.

Tadi saudara bercakap soal luar bandar, apakah PR sudah merangka atau menyusun strategi untuk Pilihan Raya Sarawak?

PAS sendiri baru saja selesai mesyuarat Kabinet dan memang fokus kita yang paling terdekat adalah Pilihan Raya Negeri Sarawak, di peringkat majlis pimpinan PR pula sudah ditubuhkan task force untuk memulakan gerak kerja menawan Sarawak.

Antara tugasan task force ini bukan saja mengenal dan merangka strategi tapi membincangkan perihal pengagihan kerusi. Pengagihan ini penting kerana kita tidak mahu ada sebarang percanggahan wujud dan yang paling penting kekal dengan agenda utama PR iaitu menumbangkan kerajaan zalim Umno BN. Anggota Jawatankuasa ‘task force’ ini akan diumumkan kepimpinan ketiga-tiga parti itu nanti.

Bagaimana dengan khabar angin yang mengatakan PAS akan menyertai BN dan membentuk satu pakatan yang kononnya dinamakan government of national reconciliation?

Kita tidak pernah sebut soal national reconciliation, Najib je yang sebut. PAS tidak pernah teruja dengannya, kami mengenali Umno ni sudah lama, kita tahu daripada segi jelingan dan senyuman tu walau nampak manis serta manja, ia penuh racun berbisa.

Saya ingin tegaskan kepada rakyat Malaysia yang menyokong penuh PR, jangan bimbang. PAS tidak begitu mudah termakan dengan apa pun agenda atau tawaran Umno.

Saya juga rasa tidak perlu bagi PAS, DAP dan PKR menamatkan kerjasama dalam PR yang begitu erat. Bagi saya inilah masa terbaik untuk semua parti dalam PR membina kerjasama agar lebih kuat. Sekali lagi saya katakan, PAS tidak pernah sesekali bercadang membentuk kerjasama dengan BN atau mengeruhkan keadaan dengan keluar daripada jalinan ikatan kukuh sedia ada.

Dalam soal membabitkan kepentingan negara seperti kebajikan, pendidikan, kita bersedia menghulurkan tangan tapi ia tidak bermakna PAS mahu duduk sebumbung dengan mereka. Walaupun kita berbeza rumah dan bumbung tapi atas nama kepentingan rakyat, kita sentiasa berlapang dada untuk menghulurkan tangan. Banyak ‘area’, bidang yang perlu dikongsi bersama.

Tapi untuk kita pergi dan bergabung atau duduk satu bumbung dengan BN membentuk government of national reconciliation itu tidak sama sekali. Kerana pada PAS, strategi yang paling bijak, ampuh dan berkesan buat masa ini adalah bersama PR.

Ada pula mulut pimpinan BN mendakwa politics of conscience yang sering disebut Anwar Ibrahim lebih selari jika bergabung dengan mereka.

(Ketawa), saya rasa itu persepsi orang yang ingin memecahbelahkan PR tapi saya percaya semua rakan dalam PR sangat erat dan saling mempercayai, hormat antara satu sama lain dan memang kita tidak akan sesekali tunduk kepada agenda songsang Umno BN.

PAS akan tetap dan terus kekal dalam satu keluarga besar bersama DAP dan PKR. Itu realiti yang tidak dapat disanggah lagi.

Pasal Syiah?

PAS tidak akan melayan isu ini, kami tidak mahu membuang masa. PAS sudah pun perjelas, Mat Sabu tidak mengamalkan Syiah, tidak pernah komited dalam apa juga yang berkaitan Syiah. Fokus utama adalah membantu rakyat, GST, tekanan hidup yang semakin meningkat, harga barang naik, itu isu yang akan PAS perjuangkan. Syiah ini hanya politik murahan tepian jalan.

Tiada ulasan: