Rabu, 22 Januari 2014

HATI2 DIDUNIA INI....JANGAN TERJEBAK PERANGKAP IBLIS DAN SYAITAN

SHAH ALAM: Kerajaan Negeri berharap semua pihak tidak membuat spekulasi dengan menyebarkan khabar angin berkenaan isu penamatan khidmat Mohamed Azmin Ali sehingga siasatan dalaman selesai dijalankan dan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri membuat keputusan.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohammed Khusrin Munawi, berkata siasatan dalaman sedang dijalankan ke atas Pengurus Besar PKNS, Datuk Osman Omar dan Setiausaha Eksekutif Kerja PKNS bagi merungkai perkara sebenar.

Suk PKNSBeliau berkata, pengurusan PKNS juga diminta tidak mengeluarkan sebarang kenyataan berkenaan isu itu bagi mengelakkan sebarang kekeliruan.

“Kerajaan Negeri tidak pernah mengarahkan Pengurus Besar PKNS, agar surat penamatan khidmat Mohamed Azmin Ali sebagai Ahli Lembaga Pengarah PKNS ditarik balik,” kata Khusrin.

Katanya, Kerajaan Negeri tidak pernah mengarahkan PKNS supaya menarik semula surat penamatan perkhidmatan Azmin Ali yang bertarikh 8 Januari 2014 itu

“Saya ingin menegaskan bahawa dakwaan Pengurus Besar PKNS dalam surat yang bertarikh 16 Januari 2014 itu adalah tidak benar.

“Isu ini akan dibincangkan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang diadakan pada Rabu, 22 Januari 2014 ini,” kata Khusrin dalam satu kenyataan media hari ini.
KUALA LUMPUR: Kedutaan Sweden Kuala Lumpur menolak untuk mengadakan sebarang perbincangan pada waktu terdekat ini berhubung kes pasangan suami isteri negara ini yang sedang ditahan di negara berkenaan.

Dalam jawapan rasmi oleh Duta Sweden Bengt G Carlsson menjelaskan pihaknya akan bertindak sekadar memaklumkan sebarang perkembangan kes berkenaan.

Semalam Pengerusi Lajnah Antarabangsa PAS Pusat Dr Syed Azman Syed Nawawi (gambar) dalam suratnya kepada Bengt di Kuala Lumpur berharap agar isu ini diselesaikan secara baik secepat mungkin.

"Kami percaya bahawa kejadian ini berlaku disebabkan oleh perbezaan budaya dan kurangnya pemahaman dalam undang-undang Keluarga Sweden," tegas Syed Azman.

Bagaimanapun, Bangt menegaskan bahawa sistem kehakiman negara Sweden bebas sepenuhnya dan mahkamah melalui peguam daerah telah memutuskan penahanan pasangan suami isteri berkenaan.

"Kes dan penyiasatan masih dijalankan. Kedutaan tidak boleh komen, bertindak atau terlibat dalam perkara ini," jelas Bangt.

Terdahulu dalam suratnya Syed Azman turut meminta Kedutaan Malaysia di Sweden berusaha menjaga empat orang anak pasangan berkenaan.

Bahkan beliau juga meminta Kementerian Luar Negeri Malaysia mendapatkan saluran yang sesuai untuk menyelamatkan ibu bapa kanak-kanak ' dan menggesa kerajaan Sweden menjalankan ujian secepat mungkin.

"Langkah segera juga perlu diambil bagi memastikan kebajikan kanak-kanak dan untuk membolehkan mereka hak-hak mereka untuk bertemu dengan saudara-mara dan ibu bapa mereka. Kerajaan Malaysia perlu segera merumuskan satu penyelesaian dari perspektif undang-undang untuk membela keluarga berkenaan," katanya.

Langkah kerajaan Sweden menahan Pengarah Tourism Malaysia, Azizul Raheem Awalludin dan isterinya Shalwati Nurshal , seorang guru sekolah menengah ekoran memukul tangan anak lelaki mereka kerana tidak solat menimbulkan kebimbangan seluruh rakyat negara ini.

Dalam pada itu, PAS juga berhubung dengan Menteri Luar Datuk Hanifah Aman bagi mempercepatkan proses menyelesaikan kes ini.
MUNGKIN ramai yang kurang jelas dengan isu pasangan suami isteri rakyat Malaysia yang bekerja di Sweden ditahan reman kerana didakwa memukul anak mereka yang berumur 12 tahun kerana tidak menunaikan solat.
Apatah lagi, empat anak pasangan terbabit diserahkan pula oleh mahkamah Sweden kepada keluarga angkat rakyat Sweden beragama Kristian sepanjang ibu bapa mereka ditahan reman.
Anak-anak pasangan tersebut mengadu tidak selesa tinggal di rumah keluarga angkat memandangkan keluarga tersebut memelihara anjing. Mereka juga tidak selesa makan menggunakan pinggan mangkuk keluarga berkenaan yang pastinya makan makanan tidak halal walaupun mereka disajikan dengan makanan halal.
Sehingga artikel ini ditulis, Wisma Putra sedang berusaha mengadakan rundingan agar anak-anak pasangan terbabit diserahkan kepada  keluarga angkat muslim Malaysia di Sweden.
Ramai yang hairan mengapakah kes seringan itu - memukul tangan anak yang enggan bersolat - boleh menjadi isu besar yang mencabar hubungan diplomatik Malaysia-Sweden.
Sebenarnya, semua ini berpunca daripada sistem perundangan negara Scandinavia itu yang begitu tegas dalam menjaga kebajikan kanak-kanak.
Pengerusi Lajnah Antarabangsa PAS Pusat, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi menjelaskan, sehingga kini terdapat empat kes membabitkan keluarga muslim di Sweden yang dijatuhi hukuman penjara kerana didapati bersalah 'mendera' anak-anak mereka.
Sweden melaksanakan Akta Perlindungan Kanak-kanak (Child Protection Act) yang ketat. Seperti dijelaskan Kedutaan Sweden di Malaysia, semua bentuk hukuman dera (corporal punishment) terhadap kanak-kanak termasuk memukul, menampar, mencubit, menarik rambut dan merotan dianggap sebagai menyalahi undang-undang (illegal) dan menyalahi norma masyarakat setempat.
Sweden adalah negara pertama mengharamkan hukuman fizikal terhadap kanak-kanak dalam semua keadaan - sama ada di rumah atau di sekolah - mulai 15 Mac 1979. Sejumlah 24 negara telahpun melaksanakan undang-undang yang serupa sejak daripada tarikh tersebut.
Menurut Seksyen 5, Swedish Penal Code, mereka yang didapati bersalah boleh dihukum penjara antara 6 bulan dan sepuluh tahun bergantung kepada merit sesuatu kes.
Walaupun pihak Kedutaan Sweden menghargai keprihatinan rakyat Malaysia terhadap nasib pasangan rakyat Malaysia yang kini ditahan di Stockholm, negara itu menjunjung 'kebebasan kehakiman' dan Kedutaan Sweden tidak akan memberi sebarang komen berhubung kes tersebut memandangkan penyiasatan sedang berjalan.
Sehubungan itu, kepada rakyat Malaysia yang prihatin, mereka disaran menghantar e-mel kepada Menteri Kehakiman Sweden meminta usaha dibuat untuk membebaskan pasangan ini.
Alamat e-mel Menteri Kehakiman Sweden adalah beatrice.ask@gov.se
Hantarlah emel beserta nama anda dan alamat dengan kata-kata: "Please free the two Malaysians detained for the alleged child abuse immediately. We should respect our cultural differences."
Dr Syed Azman berpendapat isu ini tidaklah semudah seperti disangka pelbagai pihak.
Perbezaan perundangan dan norma masyarakat, ujarnya menjadikan perkara yang disangka mudah menjadi sukar.
Bagaimanapun beliau berusaha berhubung dengan rakan-rakan anggota Parlimen dan badan bukan kerajaan (NGO) di negara terbabit untuk membantu menyelesaikan masalah ini.
"Sahabat-sahabat kita dari Islamic Community of Sweden, Dr.  Abdel Rizk dan Dr. Yusuf sedang berusaha menyelesaikan isu ini berdasarkan hujahan 'perbezaan budaya'. Insya Allah kita akan memberikan perkembangan terkini (berhubung isu ini)," katanya.
KUALA LUMPUR: Selepas dikangkungkan dan ‘diboo’, Datuk Seri Najib Razak dan isterinya mungkin akan terus menerima lebih banyak signal penolakan daripada rakyat.

Bagi blogger Shahbudin Husin, trend yang ada memperlihatkan ia tidak akan berhenti setakat ini saja.

“Apa pun yang cuba dilakukannya selepas ini tidak akan diterima lagi. Beliau akan terus diejek, dipersenda, kehadirannya dalam sesuatu majlis tidak dialu-alukan dan kesilapannya dalam bercakap atau memberi fakta akan terus diperbesar-besarkan untuk menunjukkan ketidaklayakannya untuk terus menerajui negara ini,” tulis beliau di dalam blognya, semalam.

Menurutnya, bermula dengan kenaikan harga barang dan kos sara hidup, Najib boleh dikatakan akan melalui detik-detik hitam dan mencabar dalam kepimpinannya.

Katanya, selepas dikangkungkan dan diboo, serangan yang diterimanya mungkin lebih dahsyat lagi.

Menurutnya lagi, ada yang mengatakan kebangkitan dan arus penolakan ini tidak pernah berlaku kepada mana-mana PM sebelum ini, bahkan ketika Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj mahu dijatuhkan dahulu pun, suasananya tidaklah separah sekarang ini.

Justeru, ujarnya Najib mungkin memerlukan keajaiban untuk menukar fenomena kangkung dan boo yang menghantuinya sekarang kepada kata-kata pujian dan sanjungan, kecuali daripada kelompok yang berkepentingan dengannya.

“Tetapi jika Najib benar-benar mengharapkan sanjungan dan kata-kata pujian daripada rakyat, berundur diri sebagai PM mungkin satu-satunya pilihan yang harus dipertimbangkannya dengan serius ketika ini,” tulisnya lagi.

Baca lagi
KUALA LUMPUR: Pengumuman Dasar Automotif Nasional 2014 (NAP2014) oleh kerajaan yang disebut sebagai langkah bagi menurunkan harga kereta didakwa tidak merungkai faktor yang menyebabkan kereta di negara ini menjadi antara termahal di dunia.

Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli berkata, keengganan kerajaan memotong cukai eksais yang begitu tinggi serta pelaksanaan dasar permit mengimport (AP) yang tidak telus, sama sekali akan menyukarkan hasrat untuk menurunkan harga kereta.

"Pengumuman pemberian rebat dan potongan cukai eksais bagi model dipasang di Malaysia (CKD) terpilih tidak akan menurunkan harga kereta secara keseluruhannya kerana ia hanya melibatkan segmen kereta yang kecil.

"Malah, penerusan sistem pemberian rebat sedia ada yang tidak telus dan bergantung kepada budi bicara Menteri akan terus menyembunyikan struktur kos industri automotif dari difahami rakyat," katanya dalam satu kenyataan.

Berikut adalah kenyataan penuh beliau.


Keengganan Barisan Nasional melaksanakan beberapa reformasi dasar yang penting berhubung industri automotif negara akan terus mengekalkan harga kereta di Malaysia pada kadar antara yang termahal di dunia.

Pengumuman Dasar Automotif Nasional 2014 (NAP2014) semalam tidak sedikit pun menyentuh beberapa perkara pokok yang selama ini menyebabkan harga kereta di Malaysia begitu tinggi, iaitu:

1.      Pengenaan cukai eksais yang begitu tinggi terhadap setiap pembelian kereta di antara 85% hingga 110%

2.      Pelaksanaan dasar permit mengimport (AP) yang tidak telus yang telah mengkayakan kroni tertentu

3.      Pemberian rebat cukai eksais yang tidak telus sehingga menyembunyikan struktur kos yang ditanggung oleh industri automotif, ini memberi ruang kepada manipulasi margin keuntungan dalam rantaian pembuatan dan penjualan kereta

Barisan Nasional terus enggan memotong cukai eksais yang begitu tinggi dengan alasan kedudukan kewangan negara tidak mengizinkan. Kenyataan Dato’ Seri Mustapha Mohamad, Menteri Industri dan Perdagangan Antarabangsa (MITI) mengiyakan bulat-bulat kritikan terhadap Barisan Nasional selama ini bahawa pengurusan kewangannya yang lemah telah menyebabkan rakyat terpaksa menanggung pelbagai cukai langsung dan tidak langsung yang tinggi, termasuk cukai eksais kereta.

Pengumuman pemberian rebat dan potongan cukai eksais bagi model dipasang di Malaysia (CKD) terpilih tidak akan menurunkan harga kereta secara keseluruhannya kerana ia hanya melibatkan segmen kereta yang kecil. Tanpa potongan cukai eksais yang melibatkan keseluruhan industry automotif, langkah-langkah terpencil yang hanya melibatkan beberapa jenis kenderaan sahaja adalah tidak lebih dari gimik (gimmick) untuk meredakan kemarahan rakyat.

Malah, penerusan sistem pemberian rebat sedia ada yang tidak telus dan bergantung kepada budi bicara Menteri akan terus menyembunyikan struktur kos industri automotif dari difahami rakyat. Apabila tidak ada satu kadar tetap cukai eksais yang dibayar oleh pengguna kerana ia bergantung kepada jumlah rebat cukai eksais yang diberikan atas budi bicara Menteri, boleh berlaku manipulasi harga jualan kereta yang memberi margin keuntungan yang tinggi kepada pengedar/pembuat kereta.

Oleh sebab itulah, KEADILAN berkali-kali mendesak supaya sistem cukai eksais sedia ada dihapuskan sama sekali untuk mengurangkan harga kereta serta-merta apabila pengguna tidak lagi menanggung cukai dan boleh membandingkan harga kereta secara telus dan kompetitif.

Kami juga terus membidas pendekatan Barisan Nasional yang tetap mewar-warkan kononnya harga kereta telah turun apabila beberapa model baru kereta yang diperkenalkan di pasaran pada harga yang kononnya lebih rendah. Tindakan ini cuba menipu rakyat kerana perbezaan harga dari model lama atau sedia ada yang diperkenalkan bukanlah satu bentuk penurunan harga kereta yang kekal merentasi industri (non-permanent across the board price reduction). Malah, ada beberapa model yang diperkenalkan dengan diskaun merupakan model lama yang kos pembangunannya sudah pun diperolehi oleh syarikat kereta, lalu membolehkan model itu dijual pada harga yang lebih rendah.

Rakyat menuntut janji Barisan Nasional untuk menurunkan harga kereta secara keseluruhan melibatkan semua model kereta merentasi industri seperti yang diutarakan oleh Pakatan Rakyat. Untuk menunaikan janji ini, hanya ada satu cara iaitu pemotongan atau penghapusan cukai eksais ke atas kereta secara keseluruhan dan bukannya dihadkan kepada model tertentu seperti yang diumumkan semalam.

Kami juga kecewa dengan dolak-dalih baru yang diberikan oleh Barisan Nasional untuk terus mengekalkan sistem AP dengan alasan lebih banyak kajian yang diperlukan. Ini tidak lebih dari alasan untuk terus membenarkan golongan tertentu yang rapat dengan Barisan Nasional mendapat keuntungan atas angin sedangkan rakyat terus terbeban dengan harga kereta yang tinggi.

Sepatutnya, Dato’ Seri Mustapha Mohamad sebagai menteri yang bertanggungjawab membuat kajian yang secukupnya terlebih dahulu sebelum memasukkan janji untuk menurunkan harga kereta di dalam akujanji Barisan Nasional dalam PRU13.

Pendekatan berjanji terlebih dahulu dan kemudiannya membeli masa dengan mengumumkan kajian demi kajian adalah satu helah Barisan Nasional yang semakin kerap diamalkan akhir-akhir ini untuk kegagalan mereka mengotakan janji-janji PRU13.
KUALA LUMPUR: Rata-rata pengusaha bas sekolah melahirkan merasa tersepit dengan keadaan yang menimpa mereka antara beban kos yang terpaksa ditanggung dan rungutan oleh ibu bapa.

Seorang pengusaha bas sekolah yang hanya mahu dikenali sebagai Along berkata, beliau tidak mempunyai pilihan lain selain menaikkan tambang bas bermula sesi persekolahan awal tahun ini ekoran peningkatan kos operasi.

Menurutnya, tambang baru yang dikenakan kepada setiap pelajar adalah RM40 sebulan berbanding sebelum ini yang hanya RM35.

"Memang tidak dinafikan, ibu bapa merungut kata mahal. Saya faham sebab saya sendiri pun ada anak-anak sekolah.

"Tapi apa boleh buat. Saya juga terpaksa menanggung kos operasi yang meninggkat dari tahun-tahun sebelum ini ekoran harga diesel dan alat ganti meningkat," katanya ketika ditemui Harakahdaily.

Along berkata, pihak pengusaha bas sekolah sebelum ini pernah mengadakan perbincangan dengan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) berhubung isu kenaikan tambang tersebut.

Namun rancangan itu ditangguhkan dahulu kerana ekoran bantahan dari pihak ibu bapa.

Tambah Along, apa yang diharapkan adalah pihak kerajaan sendiri membantu pengusaha bas sekolah sepertinya dengan menaikkan subsidi diesel bagi meringankan beban mereka.

"Dulu ketika harga diesel RM1.80 seliter, kami dapat subsidi beli dengan harga RM1.60 seliter.

"Namun selepas harga diesel naik 20 sen menjadi RM2 seliter lepas pilihan raya lalu, kami juga terpaksa beli dengan harga RM1.80 iaitu naik 20 sen dari sebelumnya," katanya sambil menambah kos bahan bakar sahaja bagi dua buah bas dan sebuah van miliknya adalah RM800 seminggu.

 "Kita sudah banyak kali mohon kepada kerajaan subaya subsidi ini dinaikkan supaya kita boleh 'cut cost' operasi dan menimbang untuk tidak menaikkan tambang pelajar.

"Tapi sehingga kini nampaknya tak ada jalan untuk kerajaan tunaikan permintaan kita itu," katanya dalam nada kesal.

Ujarnya lagi, sebagi pemandu bas sekolah, tugas mereka bukan sahaja mengambil dan menghantar pelajar, malah turut memikul amanah menjaga keselamatan pelajar berkenaan supaya selamat sampai ke sekolah dan pulang ke rumah juga dengan selamat.
GUA MUSANG: “Rakyat tidak lama dapat bermanja dengan wakil rakyat mereka, biar pun arwah sudah lama menabur khidmat sebagai pemimpin di Gua Musang.

“Tugasnya sebagai wakil rakyat terganggu kerana masalah kesihatan. Kami banyak membantu arwah ketika itu. Tugas dan segala perancangan dibuat arwah kami teruskan.

“Namun gelombang kebendaan melanda begitu kuat kepada pilihan raya kecil (PRK) yang diadakan berikutan kematian Chek Hashim Sulaima,” kata Penyelia Dun Galas, Abdullah Husain.

Menurutnya, jasa-jasa dan pengorbanan arwah seperti dilupakan pengundi sehingga Umno kembali menguasai Dun terbabit pada PRK yang diadakan 4 November 2010.

Pada PRK itu Umno melalui Abdul Aziz Yusof menang dengan majoriti 1,190 undi mengatasi Dr Zulkefli Muhamad. Abdul Aziz sekali lagi mengekalkan kerusi tersebut PRU Mei lalu, majoriti bertambah kepada 1,301 undi.

Abdullah membawa cabaran PAS bagi meneruskan legasi ditinggalkan Chek Hashim.

Malangnya gelombang material masih deras sehingga menyebabkan kubu PAS di peti undi Sungai Terah kehilangan banyak undi.

Pada pilihan raya umum 2004, BN menang di Dun Galas. melalui Mohamad Saufi Deraman apabila menewaskan Chek Hashim. Beliau mendapat majoriti sebanyak 1,729 undi.

Bagaimanapun kira-kira empat tahun kemudian situasi itu tiba-tba berubah. Chek Hashim berjaya mengenepikan Saufi dengan majoriti 646 undi.

Mereka bertembung pada gelanggang sama pada dua pilihan raya umum (PRU).

Arwah Chek Hashim berjaya memecah benteng Umno di Gua Musang. Kubu Umno yang dibina Tengku Razaleigh Hamzah sejak 1980-an, tiba-tiba robek.


(Ikuti analisis lanjut dalam Harakah edisi cetak keluaran akan datang)
KUALA LUMPUR: Kementerian Luar sedang berusaha mendapatkan kelulusan bagi penjagaan sementara empat orang anak pasangan Malaysia, yang ditahan reman oleh pihak berkuasa Sweden, untuk dipindahkan daripada keluarga angkat tempatan kepada keluarga Muslim Malaysia di Sweden.
  
Kementerian itu dalam kenyataan malam tadi menyatakan ia memandang serius penahanan pasangan warga Malaysia itu dan telah memohon supaya satu pasukan undang-undang kerajaan Malaysia menjadi peguam pemerhati semasa perbicaraan mereka.
  
"Sejak hari pertama penahanan (mereka), kementerian menerusi Kedutaan Malaysia di Stockholm, telah terlibat sepenuhnya dalam memberikan pelbagai bantuan kepada pasangan yang didakwa itu," kata Wisma Putra.
  
Menerusi saluran diplomatik, Kementerian Luar menyatakan ia telah beberapa kali mengeluarkan Nota Diplomatik daripada kerajaan Malaysia kepada kerajaan Sweden bagi memohon perhatian dan pertimbangan baik pihaknya.
  
Duta Besar Malaysia ke Sweden juga telah menemui peringkat tertinggi pihak berkuasa negara itu berhubung perkara berkenaan.

Pasangan Malaysia itu ditahan pada 18 Dis lepas bagi membantu siasatan selepas didakwa memukul tangan seorang daripada empat anak mereka kerana tidak bersolat.
  
Wisma Putra berkata penahanan reman berterusan pasangan itu telah menimbulkan rasa kebimbangan dalam kalangan masyarakat Malaysia, lebih-lebih lagi kes itu berpanjangan sehingga hari ini.
  
Kementerian memberi jaminan bahawa ia akan menggerakkan semua langkah yang ada bagi memastikan kes itu dapat diselesaikan dengan lancar dalam masa terdekat selain hak pasangan itu dan anak-anak mereka terus dipelihara.
  
Sweden mendukung kuat hak asasi manusia dan perlindungan kanak-kanak, dengan memastikan undang-undang negara dipatuhi oleh rakyatnya serta warga asing yang menetap di negara itu.
  
"Namun, ini tidak akan menghalang usaha berterusan kementerian dalam menggalakkan hak dan perlindungan, kebajikan dan keselamatan semua rakyat Malaysia yang terlibat," menurut Kementerian Luar. - Bernama
KUALA LUMPUR: Seramai 3,464 orang pengguna telefon Android telah memuat turun nada dering 'Najib Kangkung' melalui aplikasi Zedge di 'Google Play Store' sehingga hari ini semenjak fenomena kangkung melanda di negara ini.

Remix nada dering tersebut diubah dari ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Kemaman, Terengganu yang memberi contoh harga kangkung turun biarpun harga sayuran lain naik sebagai mengulas kenaikan harga barang.

Nada dering itu turut berada pada kedudukan pertama dalam aplikasi tersebut dan mendapat undian lima bintang (Five Star) dari pengguna.

Fenomena kangkung tiba-tiba menjadi popular gara-gara ucapan Najib yang menempelak orang ramai yang gelisah dengan kenaikan harga barang serta sentiasa menyalahkan kerajaan dengan perkara itu.

Dalam ucapannya, Najib dilaporkan berkata "kangkung naik, ada masa dia naik, ada masa dia turun. hari ini dalam surat khabar saya baca, ada yang dah turun. kangkung dulu naik, sekaang ini dah turun. bila turun apasal tak puji keraajan?"

Fenomena tersebut telah menjadi perbualan hangat di laman sosial 'Facebook' serta menjadi bahan lawak di laman tersebut.

Warga maya menggunakan pelbagai kaedah kreatif membidas kenyataaan Najib itu.


JOHOR BAHARU: Polis Johor menahan 27 orang dan mendakwa lapan daripada mereka berhubung kes curi lembu di seluruh negeri ini pada tahun lepas.
  
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Datuk Hasnan Hassan berkata tahun lepas sahaja, sebanyak 28 laporan diterima berhubung kes kehilangan lembu.
  
Berikutan itu, katanya polis menjalin kerjasama erat dengan Koperasi Penternak Lembu Tenusu negeri dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar negeri bagi membanteras kegiatan itu.
  
"Hasil siasatan, kita melakukan 14 serbuan di kandang lembu di sekitar Negeri Sembilan, Johor, Melaka dan Selangor bersama wakil koperasi dan berjaya merampas kembali 172 ekor lembu yang dilaporkan hilang di negeri ini.
  
"Dalam serbuan itu, kita juga berjaya merampas sebuah lori, sebuah kereta, peralatan menyumpit dan ubat pelali selain sejumlah senjata," katanya dalam  kenyataan di sini hari ini.

Justeru, Hasnan berkata dakwaan yang menyatakan polis tidak berusaha  menangkap penjenayah dan mengesan lembu-lembu hilang adalah tidak benar sama sekali dan tohmahan itu dilakukan semata-mata untuk menjatuhkan imej polis.
  
Beliau mengulas perhimpunan awam yang dilakukan sekumpulan orang ramai di Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Baharu Selatan, Sabtu lepas, kerana dikatakan tidak berpuas hati dengan tindakan polis menangani isu itu di negeri ini.
  
Hasnan berkata orang ramai tidak perlu berhimpun untuk mendapatkan maklumat berhubung siasatan polis dalam isu itu kerana ruang pertanyaan terbuka luas untuk mereka mendapatkan maklumat berhubung perkara itu pada bila-bila masa.

"Berhimpun untuk menyelesaikan kes jenayah hanya akan mengundang kesalahan di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012 dan polis boleh mengambil tindakan terhadap penganjur dan peserta kerana berhimpun tanpa notis.
  
"Tindakan juga boleh diambil kerana menganjur dan menyertai perhimpunan di tempat larangan dan dalam jarak 50 meter dari had tempat larangan," katanya. - Bernama
DARO (Mukah): Satu lagi mayat dijumpai di Batang Lassa pada 5.35 petang semalam, selepas empat mayat dijumpai pagi semalam dalam operasi mencari dan menyelamat mangsa tragedi bot panjang Daro.
  
Seorang penduduk kampung menjumpai mayat Abu Bakar Mahli, 65, di kawasan mengumpul balak milik sebuah syarikat pembalakan, kira-kira 100 meter dari tempat bot itu terbalik.
  
Penemuan terbaharu mayat itu dalam operasi melibatkan lebih 200 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat, Rela, polis, Lembaga Sungai Sarawak dan Jabatan Pertahanan Awam serta penduduk setempat menjadikan jumlah mereka yang terkorban setakat ini ialah sembilan orang.
  
Antara mayat yang dijumpai antara 6.49 pagi dan 8.45 pagi semalam ialah seorang wanita berusia 55 tahun yang dikenali sebagai Kalsum Mat.
  
Operasi semalam dihentikan pada 6.30 petang dan disambung pada 7 pagi ini untuk mencari dua lagi mangsa yang dikenali sebagai Ebong Rais, 60, dan Mahdani Akim, 55.

Dalam nahas tengah hari Sabtu lepas,  bot panjang itu yang membawa 27 penumpang dari Kampung Tekajung selepas menghadiri majlis perkahwinan di Kampung Saai, terbalik di Batang Lassa berhampiran Kampung Kut.
  
Enam belas daripada mereka dapat menyelamatkan diri tetapi tiga lagi lemas dan lapan hilang.
  
Sementara itu, pesuruhjaya polis negeri Datuk Wira Muhammad Sabtu Osman berkata anggota-anggota Dewan Undangan Negeri Abu Seman Jahwi (Jemoreng) dan Abdullah Saidol (Semop) adalah antara mereka yang turut memantau operasi itu.
  
Mereka turut menemui saudara mara mangsa di bilik mayat Hospital Daro, yang membuat persiapan untuk mengebumikan mangsa. - Bernama


BANGKOK: Kedutaan Malaysia di Bangkok semalam menasihatkan rakyat Malaysia yang berkunjung ke bandaraya metropolitan itu agar lebih berhati-hati bila berada di tempat-tempat perkumpulan orang ramai.
  
Ia juga menasihatkan mereka menjauhkan diri dari kawasan perhimpunan di jalan-jalan utama iaitu; Lumpini, Chaeng Wattana, Asok-Sukhumvit, Ratchaprasong, Pathumwan, Victory Monument dan Lat Phrao.
  
"Berikutan sekatan jalan raya, anda juga dinasihat menguruskan rancangan perjalanan dengan bijak oleh kerana mungkin berlaku gangguan perjalanan dan bagi mengelakkan ketinggalan penerbangan," katanya dalam satu kenyataan.
  
Mengenai situasi semasa di Bangkok, ia berkata pemprotes gerakan anti-kerajaan telah mengadakan demonstrasi besar-besaran dipanggil ‘Bangkok Shutdown' (Penutupan Bangkok) sejak 13 Jan dalam usaha untuk memaksa Perdana Menteri sementara Yingluck Shinawatra untuk berundur.
  
Ketika ketua Jawatankuasa Pembaharuan Demokrasi Rakyat (PDRC), Suthep Thaugsuban mengumumkan bahawa demonstrai itu diadakan secara aman, berlaku peristiwa pertempuran ganas serta jenayah melibatkan senjata dan alat letupan di tempat demonstrasi, katanya.
  
Kedutaan berkata, pada 17 Jan, sebutir bom meletup di kawasan Banthat Thong mengakibatkan seorang pemprotes maut dan 39 yang lain cedera.

Setakat ini, sembilan orang terkorban dan hampir 600 yang lain cedera sejak keganasan meletus pada 30 Nov tahun lepas.
  
Kedutaan berkata pihaknya sedang memantau keadaan dari dekat dan rakyat Malaysia yang melawat Bangkok dinasihatkan sentiasa menghubungi kedutaan dan jika memerlukan bantuan, hubungi nombor-nombor ini: Telefon: +662 629 6800 atau +6687 028 4659 : selepas waktu pejabat. - Bernama 

 

Tiada ulasan: