•  Tak akan maafkan pembunuh cucu Robiah mengangkat tangan tanda bersyukur.
1 / 1
ALOR SETAR - “Kalau boleh, nak lihat muka suspek yang sanggup bunuh tiga cucu tok. Nak tau, motif apa sehingga bertindak sedemikian rupa,” demikian kata nenek mangsa, Robiah Daud, 59.

Namun, katanya, dia sekeluarga tidak sesekali memaafkan tak kira sesiapapun yang bertindak kejam apabila meragut kebahagiaan mereka dengan membunuh tiga cucu perempuannya.

“Ini kes berat, kes bunuh, bukan perkara main-main. Kelakuan mereka menyebabkan kami hilang individu tersayang serentak dengan tiba-tiba. Orang yang membunuh cucu tok sememangnya berhati kering.

“Rasanya, binatang sekalipun tidak akan bertindak kejam sedemikian rupa. Binatang juga masih memiliki sifat penyayang, sedangkan mereka pula sebaliknya,” katanya.

Walaupun kelihatan terkejut apabila dimaklumkan pihak polis kira-kira jam 1.30 petang, semalam bahawa suspek pembunuhan tiga beradik sudah ditahan, namun dia berasa gembira menerima khabar tersebut.

Katanya, sekiranya benar suspek ditahan polis merupakan pembunuh ketiga-tiga orang cucunya, maka dia lega kerana akhirnya kematian mereka terbela dan terjawab.

Justeru, katanya, dia berterima kasih di atas usaha bertungkus-lumus pihak polis dalam mencari, sekali gus menangkap individu yang bertindak sedemikian.

“Tanggal 15 Januari, kelmarin genap 45 hari pemergian mereka bertiga. Jadi, tidak sangka pihak polis dapat menangkap suspek pada hari sama,” katanya.

Katanya, mereka sekeluarga sering mengadakan solat hajat mendoakan  pembunuh cucunya segera ditahan dan didakwa kemuka pengadilan.

Tanpa disangka, impian nenek kepada Noor Syafikah Nadia Rusdi, 14, Nur Izzati Husna, 12, dan Putri Nurul Akmal, 3, termakbul apabila suspek pembunuhan ditahan.

Menurutnya, mereka akan mengadakan kenduri kesyukuran segera di atas penemuan suspek kes pembunuhan terbabit sekiranya tiada aral melintang.