TERKINI
Tanggal jubah, pakai kurta pada majlis konvokesyen
NEW DELHI - Menteri Alam Sekitar India, Jairam Ramesh yang terkenal kerana padangan radikalnya mencetuskan kontroversi pada majlis konvokesyen sebuah institut kerajaan di Bhopal, apabila menanggalkan jubahnya kerana beranggapan pakaian itu adalah pakaian manusia liar pada zaman pertengahan.
Jairam, 55, sebagai jemputan kehormat pada majlis konvokesyen ketujuh Institut Pengurusan Hutan India bertindak mengejutkan jemputan dan pelajar apabila menanggalkan jubah berwarna merah manggis yang dipakaikan kepadanya sebelum memulakan ucapan.
"Saya masih tak faham kenapa selepas 60 tahun merdeka, kita masih mengagungkan peninggalan penjajah liar ini.
"Kenapakah kita tak boleh adakan majlis konvokesyen dengan hanya menggunakan pakaian ringkas tanpa perlu berpakaian seperti paderi dan pope. Amalan seperti ini bermula pada abad ke-13 di Oxford,” katanya yang menerima tepukan gemuruh daripada pelajar.
Ramesh, yang baru-baru ini menimbulkan kontroversi di India melalui perbahasan tentang pengubahsuaian genetik terung, mencadangkan agar para pelajar memakai pakaian biasa ketika menghadiri majlis konvokesyen.
Menteri dari Parti Kongres itu meneruskan ucapan dengan memakai kurta, pakaian kegemarannya. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan