Selasa, 13 April 2010

BILA DE WANG , PENGARUH@KUASA SERTA GAGAH KE 3

Lelaki kena tetak, bakar


NUSAJAYA - Malang bagi seorang lelaki apabila dia bukan sahaja dibunuh tetapi penjenayah turut bertindak kejam dengan membakarnya dalam satu kejadian di Kilometer 6, Jalan Ulu Choh Gelang Patah, lewat malam kelmarin.

Hasil pemeriksaan, polis mendapati mangsa dipercayai dibunuh di tepi jalan berdasarkan kesan darah yang dijumpai.

Mangsa juga dipercayai mati akibat terkena lapan tetakan di bahagian kepala, leher serta dua jari tangan kirinya turut putus.

Polis turut menemui bekas minyak yang dipercayai digunakan untuk membakar mangsa dan tidak ada sebarang dokumen pengenalan diri serta senjata dijumpai.

Ketua Polis Daerah Nusajaya, Superintendan Abdul Aziz Ahmad berkata, polis bergegas ke tempat kejadian sebaik mendapat panggilan daripada seorang pemandu lori pada jam 10.40 pagi semalam dan mangsa yang tubuhnya terbakar hampir 80 peratus dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk bedah siasat.

“Motif pembunuhan masih dikenal pasti dan kes kini disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh dengan niat yang membawa hukuman gantung sampai mati,” katanya kepada Sinar Harian semalam


Pasangan kekasih dicekup


GUA MUSANG- Sepasang kekasih yang menjalinkan hubungan sulit selama hampir setahun menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) dicekup berkhalwat di sebuah hotel murah di bandar ini, malam kelmarin.

Pasangan itu dicekup berdua-duan dalam sebuah bilik sebaik diserbu Skuad Amru bersama Penguat kuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan (JAHEAIK) diketuai Penolong Pegawai Penguat Kuasa Agama Jajahan, Husnie Adabi Abdul Kadir.

Serbuan kira-kira jam 11.20 malam itu selepas menerima aduan awam mengenai pasangan terbabit bermalam di sebuah hotel berkenaan dengan mengambil masa 10 minit sebelum membuka pintunya.

Pegawai Agama Jajahan, Anuar Hashim, berkata, sebelum serbuan, pihaknya membuat intipan terlebih dahulu bagi memastikan bilik hotel yang diserbu itu tidak tersalah bilik orang lain yang menginap di situ.

Menurutnya, selepas mendapat maklumat lengkap terus mengetuk pintu bilik hotel terbabit sebelum dibuka seorang lelaki yang sudah berpakaian lengkap dan melakukan pemeriksaan di dalamnya.

“Hasil pemeriksaan mendapati lelaki berusia 25 tahun sudah beristeri dan mempunyai anak dua itu tinggal di Kampung Kadok, Kota Bharu manakala gadis berusia 18 tahun anak Orang Asli di Kampung Kuala Betis.

“Pasangan itu mengakui sebelum ini tidak pernah mengenali antara satu sama lain dan cuba bermesra dengan menyewa sebuah bilik hotel murah untuk melepas asmaranya, dan gadis anak Orang Asli itu memang belum memeluk agama Islam dan kita hanya mengambil keterangan sebelum dibebaskan,” katanya.

Anuar berkata, lelaki terbabit ketika diberkas merayu untuk dilepaskan kerana takut rahsia cinta keduanya terbongkar kepada isteri tetapi dia tetap dibawa ke Ibu Pejabat Daerah (IPD) Gua Musang untuk buat laporan.

Menurutnya, selepas itu dia dibawa pula ke Pejabat Agama Jajahan untuk diambil keterangan lanjut sebelum dibebaskan dengan seorang penjamin sementara menunggu kesnya disebut di Mahkamah Rendah Syariah Gua Musang 18 Mei depan.

Lelaki terbabit akan didakwa di bawah Seksyen 9(1)(2), Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kelantan yang jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM2,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya sekali.



Mayat bayi dalam tong sampah


HULU SELANGOR – “Mayatnya dibungkus seperti nasi lemak dengan enam helai surat khabar, kemudian diikat dengan empat gelung getah dan diletakkan dalam lima lapis plastik barang.”

Demikian cerita saksi, Mohd Kamal Enoh, 44, yang menemui mayat bayi lelaki di dalam tong sampah bersebelahan sebuah restoran nasi ayam di Kampung Tanjung, Sungai Choh di sini semalam.

Kamal seorang pemandu lori sampah terkejut apabila menemui bayi tersebut yang sempurna sifatnya dan masih bertali pusat di dalam tong sampah ketika melakukan kerja mengangkut sampah kira-kira jam 8 pagi semalam.

“Seperti biasa sebelum saya mengangkut sampah ke dalam lori saya akan mencari tin-tin dan botol-botol yang boleh dijual. Tetapi, ketika sedang memunggah sampah saya terlihat plastik barang yang terikat kemas dengan lapisan yang tebal dan di dalamnya ada bungkusan kertas seperti nasi lemak dan diikat dengan getah.

“Bila saya buka, saya terkejut kerana melihat ada objek seperti jari kaki. Saya tak sedap hati dan terus membuka balutan tersebut dan mendapati ia adalah mayat bayi yang masih bertali pusat,” katanya.

Menurutnya, sebaik menyedari objek yang ditemuinya adalah bayi dia lantas memberitahu rakannya dan seorang pekerja di restoran berkenaan sebelum membuat laporan polis di Balai Polis Serendah.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Norel Azmi Yahya Affandi ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Menurutnya, bayi itu ditemui di dalam timbunan sampah oleh pekerja Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) sebelum melaporkannya kepada polis.

“Bayi terbabit adalah lelaki yang baru dilahirkan. Cukup sifat serta masih bertali pusat. Tetapi disahkan meninggal dunia,” katanya.

Menurutnya, siasatan masih dijalankan di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dan menyebabkan kematian bayi.

Katanya, mayat bayi dihantar ke Hospital Kuala Kubu Bharu (HKKB) untuk bedah siasat.


Kedai makan transit khidmat seks diserbu

KLANG - Sebuah kedai makan dijadikan sebagai transit untuk mendapatkan khidmat seks sebelum pergi berhibur di pusat-pusat hiburan di kawasan sekitar.

Kedai makan beroperasi secara haram di dalam kawasan ladang kelapa sawit, di Klang, diserbu polis bermula jam 12 tengah malam hingga 2 pagi semalam.

Kedai berkenaan bukan sahaja menyediakan pelayan istimewa, namun didapati turut menawarkan khidmat seks kepada pelanggan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Klang, Deputi Superitendan Roslan Ibrahim berkata, sebaik sahaja polis memasuki kawasan tersebut, serbuan terus dilakukan oleh 18 anggota Cawangan Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7).

“Kehadiran polis disedari beberapa warga China yang cuba melarikan diri daripada diberkas.

“Namun, polis berjaya menahan lima warga China dan 10 pelanggan serta pengusaha restoran tersebut,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini, semalam.

Roslan berkata, polis percaya pelanggan membawa pelayan itu ke pusat hiburan untuk khidmat seks.

“Lima wanita itu tidak memiliki dokumen perjalanan sah dan tidak mempunyai permit dibawa ke IPD Klang untuk siasatan lanjut,” katanya


Warga asing maut terjatuh tingkat 14


KUALA LUMPUR – Seorang penuntut warga Iran ditemui maut dalam keadaan kepala pecah dan otak terburai setelah dipercayai terjatuh dari tingkat 14 sebuah pangsapuri di Jalan Munshi Abdullah, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi itu, mangsa, Robabeh Mahdi, 23, penuntut sebuah kolej swasta di ibu kota ditemui mati rakan serumahnya.

Terdahulu, rakannya itu dikatakan keluar rumah kira-kira 10 minit sebelum kejadian berlaku dan pulang semula untuk bertemu dengan mangsa bagi membincangkan suatu perkara.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohd. Zulkarnain Abd Rahman berkata, bagaimanapun dia mendapati mangsa tiada di dalam bilik dan terlihat tingkap bilik terbuka.

“Rakannya mengesyaki sesuatu terjadi terhadap mangsa dan terus menjenguk ke bawah melalui tingkap.

“Kemudiannya dia amat terkejut apabila mendapati mangsa terbaring berlumuran darah pada aras bawah bangunan itu,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

Zulkarnain berkata, mangsa yang memasuki negara ini sejak 29 Januari lalu, mati di tempat kejadian berikutan kecederaan berganda di kepala dan anggota badan.

Menurutnya, siasatan awal mendapati tiada sebarang unsur pergelutan berlaku di dalam bilik dan dipercayai mangsa terjatuh.

“Kejadian ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut, namun siasatan lanjut akan dijalankan bagi mengenal pasti jika terdapat sebarang unsur jenayah termasuklah masalah peribadi,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya sudah memaklumkan kejadian berkenaan kepada Kedutaan Iran di sini.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat.




Suami rogol rakan ketika isteri tidurkan anak

SHAH ALAM – Niat seorang isteri mempelawa rakan lama suaminya untuk makan malam di rumah bertukar mimpi ngeri, apabila suaminya yang mabuk sanggup merogol wanita terbabit dalam rumah mereka di Seksyen 7, di sini, malam Sabtu lalu.

Dalam kejadian, kira-kira jam 9 malam itu, wanita itu bersama suami dan anaknya dikatakan keluar beli belah di sebuah pasar raya di Bukit Raja, Klang sebelum terserempak seorang rakan wanita suaminya berusia lewat 20-an.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Noor Azam Jamaluddin berkata, suami wanita itu dikatakan sudah lama tidak bertemu rakannya yang bekerja sebagai pegawai bank, menyebabkan isterinya, mempelawa wanita itu makan malam di rumah teres dua tingkat mereka.

Menurutnya, terdahulu mereka berbual sambil minum minuman keras hinggalah isteri lelaki berusia 50-an itu naik ke tingkat atas menidurkan anaknya.

Beliau berkata, suami wanita itu dikatakan mengambil kesempatan ketika ketika wanita itu (rakan) berjalan ke bilik air dengan bertindak menolaknya masuk ke bilik dan merogolnya.

Noor Azam berkata, Selasa lalu, pegawai bank itu membuat laporan polis berhubung kejadian kira-kira jam 12 tengah hari dan lelaki itu ditahan pada hari sama bagi membantu siasatan.



Perangi rasuah, usah biar jerung terlepas

- ABD JALIL ALI

Sekiranya anda menerima rasuah RM100, anda dalam bahaya. Ada sebab untuk anda tidak tidur, lebih-lebih lagi apabila Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendakwa anda di mahkamah. Kemungkinan anda disabitkan kesalahan – dan dijatuhkan hukuman – adalah tinggi, hampir 100 peratus.

Tetapi, sekiranya anda dituduh terlibat dalam rasuah bernilai RM1 juta, atau ratus-ratus juta, anda tidak semestinya dalam bahaya. Sementara menunggu perbicaraan anda boleh terus hidup dalam kemewahan: rumah besar, kereta besar, makan angin luar negara, dan kalau nasib baik boleh kahwin dua. Ada kemungkinan anda didapati tidak bersalah, dan akhirnya dilepaskan begitu sahaja.

Contoh: Seorang juruteknik didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam awal tahun lalu, dan di akhir perbicaraan telah dijatuhkan hukuman penjara 14 hari dan denda RM10,000. Jika dia gagal membayar denda tersebut dia akan dipenjara 10 bulan.

Kesalahannya, seperti pertuduhan yang dibacakan di mahkamah, ialah dia telah secara rasuah menerima wang tunai sebanyak RM150 (Ringgit Malaysia seratus lima puluh sahaja) daripada seorang pelanggan untuk mempercepatkan proses pemasangan telefon di rumah pelanggan berkenaan.

Saya tidak akan menyebelahi kepada mana-mana perasuah. Setiap orang mesti menentang rasuah, tidak kira walaupun yang diterima hanya seringgit. Hatta setengah sen pun jika diterima secara rasuah, tetap salah. Sekiranya yang melakukan rasuah setengah sen itu orang Islam, dia tetap berdosa. Oleh itu hukuman yang telah dijatuhkan hakim ke atas juruteknik tersebut, adalah wajar.

Satu contoh lagi: Seorang kenamaan telah dibawa ke mahkamah atas tuduhan menerima rasuah beratus-ratus ribu ringgit, sebagai imbuhan kerana meluluskan satu projek pembangunan hartanah bernilai beratus juta ringgit. SPRM yang membuat dakwaan tersebut, setakat rencana ini ditulis, masih berputih mata sebab Yang Arif mendapati tidak ada ‘prima facie’ untuk kes tersebut.

Mahkamah telah menjalankan tugasnya dengan sempurna. Undang-undang patut dipatuhi. Sekiranya tidak cukup bukti, tuduhan sehebat mana pun susah untuk lekat. Orang kenamaan yang dituduh rasuah itu tersenyum hingga ke telinga. Harap-harap SPRM akan merujuk kes ini ke mahkamah yang lebih tinggi, supaya kalau betul rasuah telah dilakukan, hukuman mesti dilaksanakan.

Walau tidak disebutkan nama yang terlibat, apa yang saya contohkan ini bukan rekaan, tetapi fakta yang diperoleh dari SPRM. Lagi pun ini bukan rahsia. Semua orang boleh melihat contoh-contoh ini, juga senarai panjang kes-kes lain yang telah dihadapkan ke mahkamah, secara ‘online’. Lawatilah laman web rasmi SPRM di ‘http://www.sprm.gov.my/’. Sama-samalah kita membenci, dan memerangi rasuah.

Pada hemat saya rasuah sama seperti pelacuran, sama juga seperti perjudian. Kita sudah menubuhkan bermacam agensi untuk memerangi pelacuran, tetapi pelacuran merebak di merata-rata tempat. Bukan rahsia lagi bahawa sebahagian wanita warga asing yang masuk sebagai pelancong menggunakan visa ketika tiba (VOA), akhirnya dibawa ke rumah-rumah pelacuran. Kita ada berbagai agensi melawan judi, tetapi judi haram berleluasa hingga di bawah tangga.

Rasuah kita pun sentiasa membiak, melibatkan bukan sahaja anggota polis berpangkat rendah, kerani, dan tukang cari fail, tetapi juga orang-orang politik berkelas tinggi, ketua pengarah, CEO, tauke kecil, tauke besar, hatta menteri. Ulang: hatta menteri! Ini pun bukan rahsia lagi, dan bukan baru terjadi setahun dua ini.

Dulu ada Badan Pencegah Rasuah (BPR), kemudian tukar nama menjadi Biro Siasatan Negara (BSN), kemudian tukar semula kepada BPR, dan akhir sekali menjadi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Sudah berapa kali nama ditukar, orang ramai masih mengeluh, dan bertanya benda yang sama: Kenapa yang masuk ke jaring hanyalah ikan bilis, ikan jerung terlepas.

Pelik, biasanya orang menjaring, memukat, menjala, atau melukah, yang akan melekat dan tersangkut adalah ikan-ikan besar, termasuk penyu, dugong dan buaya tembaga. Ikan-ikan kecil seperti seluang atau anak sepat dapat meluluskan diri. Ini bukti bahawa jaring rasuah berbeza betul dengan jaring nelayan!

Tidaklah saya memperkecil dan memperlekah SPRM dan agensi-agensi melawan rasuah sebelum ini. Sebenarnya mereka – tidak kira BPR atau SPRM – telah bekerja hempas pulas, tidak kira siang atau malam, untuk menyiasat dan mencari bukti. Malah, sejak dulu lagi kita telah diberitahu banyak kes besar – antaranya melibatkan beberapa menteri dan bekas menteri – telah dilengkapkan fail siasatan. Tetapi sampai sekarang orang ramai masih menunggu bila mereka akan didakwa? Atau, apakah fail mereka akan terus ditutup?

Tidak kira seluang atau ikan paus, kita perlu memerangi rasuah habis-habisan, dengan menjayakan ‘Kempen Bersama Lakukan Perubahan Perangi Rasuah’ yang baru dilancarkan di seluruh negara dua hari lalu.

Tiada ulasan: