Sabtu, 10 April 2010

CUAI...TIDAK AMANAH DAN HUKUM ALLAH TIDAK DIGERUNI

NEGARA

Ubat gelatin babi ditarik balik


INILAH pil Imodium Capsule yang mengandungi campuran gelatin lembu dan babi.

KUALA LUMPUR - Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan (BPFK) telah mengarahkan syarikat pemegang pendaftaran ubat cirit-birit Imodium Capsule yang disahkan mengandungi unsur babi supaya menarik balik produk itu dari pasaran.

Arahan tersebut dibuat selepas siasatan syarikat itu sendiri mendapati terdapat perubahan pada sumber gelatin yang digunakan oleh pembekal daripada bovine only source (lembu) kepada campuran lembu dan porcine (babi).

Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi Kementerian Kesihatan, Eisah A. Rahman berkata, pihak pembekal bagaimanapun tidak memaklumkan kepada pengilang dan pemegang pendaftaran ubat berkenaan mengenai perubahan dalam ramuan ubat tersebut.

"Kami sudah meminta mereka tarik balik kesemua bekalan ubat itu dari pasaran dan mengemaskinikan label agar ia menepati ramuan yang digunakan,'' jelasnya dalam satu kenyataan kepada Kosmo! di sini semalam.

Kenyataan beliau itu adalah susulan kepada laporan Kosmo! Ahad pada 4 April lalu yang mendedahkan rasa tidak puas hati seorang pesakit, Datuk Mohd. Hanafiah Omar, 65, yang diberi ubat Imodium Capsule oleh kakitangan sebuah hospital swasta di Hulu Klang pada 29 Mac lalu tanpa memaklumkan ia mengandungi gelatin babi.



NEGARA

Wang RM254,000 tiba-tiba lesap


Abdul Rahim menunjukkan gambar lima lelaki yang dicari bagi membantu siasatan berhubung kehilangan karung berisi wang berjumlah RM254,000 di sebuah bank di Rawang Selasa lalu.

KUALA LUMPUR - Sebuah karung mengandungi wang berjumlah RM254,000 yang dibawa oleh pekerja syarikat keselamatan mencetuskan misteri apabila ia tiba-tiba hilang ketika dibawa masuk ke sebuah bank di Rawang dekat sini Selasa lalu.

Kejadian itu menimbulkan tanda tanya bagaimana karung wang tersebut boleh dibawa keluar oleh suspek tanpa disedari oleh pekerja syarikat keselamatan serta orang awam yang berurusan di bank tersebut.

Sebelum kejadian pada pukul 12.30 tengah hari pada 6 April, tiga pekerja sebuah syarikat keselamatan telah membawa tiga karung berisi wang yang kesemuanya berjumlah RM644,000 untuk diserahkan kepada bank itu.

Ketika sampai di hadapan bank, dua daripada tiga pekerja itu telah naik ke tingkat satu bangunan bank dengan membawa bersama ketiga-tiga karung wang tersebut.

Seorang lagi pekerja syarikat keselamatan itu menunggu di dalam van.

Sebelum itu, tiga pekerja tersebut mengutip wang di sebuah bank di Batang Berjuntai.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah berkata, selepas itu, pekerja syarikat keselamatan tersebut singgah di bank berkenaan untuk menyerahkan tiga karung wang yang masing-masing berisi RM117,000, RM254,000 dan RM273,000.



Cinta duitan lelaki Afrika

Oleh Shanty Nur Shaffizan Shafee
shantynur@hmetro.com.my
2010/04/13

KUALA LUMPUR: Seorang janda yang terpikat dengan sikap romantik seorang lelaki Afrika menyebabkan dia kini terseksa apabila wang simpanannya lesap dilarikan teman lelakinya itu.

Wanita terbabit yang berusia 44 tahun yang juga seorang pegawai bank seolah-olah tidak percaya teman lelakinya itu sanggup meninggalkannya sedangkan mereka bahagia dengan perhubungan yang dijalinkan hampir setahun lalu.


Hanya dikenali sebagai Azie, mangsa berkata dia berkenalan dengan teman lelakinya itu di sebuah pusat beli-belah di ibu negara pada pertengahan tahun lalu.


“Sejak bercerai, hati saya seolah-olah tertutup bercinta lagi, namun apabila menemui Youssof yang berusia 10 tahun lebih muda daripada saya, hidup saya lebih bermakna.


“Youssof mendakwa datang ke negara ini sebagai pelajar, namun dia sentiasa meluangkan masa bersama saya menyebabkan diri rasa dihargai,” katanya ketika di temui baru-baru ini.


Menurutnya, setelah beberapa bulan menjalinkan hubungan, dia mula mempercayai lelaki Afrika terbabit walaupun dinasihatkan rakannya untuk berhati-hati.


“Sebelum ini saya sering mendengar helah lelaki Afrika yang sering memperdayakan wanita tempatan, namun penangan cinta sejati Yousoff menjadikan saya buta hati untuk meninggalkannya.


“Apabila bercinta, semuanya indah hingga saya sanggup berkorban apa saja untuk dia termasuk melayan nafsunya serta memberikan wang ringgit,” katanya yang mula meminjamkan RM3,000 setelah sebulan berkenalan.


Namun, selepas itu, teman lelakinya itu sering meminta meminjamkan wang termasuk bagi membuat pembayaran sewa sebuah unit kondominium mewah di ibu negara sebagai lokasi mereka bermadu asmara.

“Setiap kali meminjamkan wang kepada Yousoff, dia berjanji akan memulangkan dua kali ganda wang terbabit. Kadang-kadang saya cuba menipunya untuk tidak memberikan wang, namun belaian Yousoff membuatkan saya cair.


“Dia bijak bermain kata-kata saya jatuh hati hingga tidak sanggup meninggalkannya apatah lagi saya sudah lama kesepian sejak ditinggalkan suami,” katanya.


Azie berkata, kali terakhir dia meminjamkan wang RM26,000 kepada Yousoff yang mendakwa kesempitan wang untuk membiayai yuran pengajiannya ialah bulan lalu.


“Sejak itu, Yousoff gagal dihubungi dan rumah sewanya juga kosong. Pada mulanya saya tidak mahu berprasangka buruk, namun akhirnya terpaksa akur yang saya diperdayakan.


“Wang simpanan lebih RM80,000 habis diserahkan kepadanya sedangkan ia sepatutnya digunakan untuk pengajian dua orang anak saya yang masih bersekolah,” katanya yang membuat laporan polis kerana ditipu.


Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Izany Abd Ghany yang ditemui mengesahkan laporan itu dan sedang menjejaki suspek.


“Siasatan awal mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu mendapati suspek menggunakan beberapa identiti dan kami sedang bekerjasama dengan kedutaan terbabit bagi menjejakinya,” katanya ketika dihubungi semalam.




Suami durjana dijel

Oleh Mohd Fauzi Abdullah
fauzie@hmetro.com.my
2010/04/13

KUANTAN: “Tak tau nak cakap apa,” demikian kata seorang ‘suami terlampau’ di Mahkamah Sesyen, di sini, semalam ketika diminta mengemukakan rayuan selepas mengaku bersalah mencederakan isteri sendiri dengan menyimbah cuka getah gara-gara enggan melayan permintaannya mengadakan hubungan seks.

BERSALAH...Supian dipenjara enam tahun.
BERSALAH...Supian dipenjara enam tahun.
Terdahulu tertuduh, Supian Hani Ismail, 47, dari Felda Bukit Sagu 2, di sini, mengaku bersalah terhadap tuduhan berkenaan selepas kertas pertuduhan dibacakan kepadanya di depan Hakim Irwan Suainbon.


Mengikut kertas pertuduhan, dia yang juga seorang penganggur dituduh sengaja menyebabkan kecederaan parah terhadap Zarina Wahab, 43, dengan menggunakan apa-apa benda melecur iaitu cuka getah pada 7 April lalu kira-kira jam 12.30 tengah malam hingga 2 pagi di No 67, Felda Bukit Sagu 2.


Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh juga didenda atau sebat.

Dengan pengakuan bersalah itu, bapa kepada enam anak terbabit dijatuhkan hukuman penjara selama enam tahun dan dua sebatan.

Sebelum menjatuhkan hukuman, Irwan meminta tertuduh mengemukakan rayuan terhadap hukuman yang bakal dijatuhkan terhadap kesalahan itu namun tertuduh hanya mendiamkan diri.

Selepas disuruh beberapa kali, tertuduh hanya memberitahu kepada mahkamah yang dia tidak pandai bercakap.


“Saya tidak tahu hendak cakap... minta ringan hukuman,” kata tertuduh dengan suara perlahan.


Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Heng Yen Loo membantah dan mahu mahkamah menjatuhkan hukuman berat terhadap kesalahan itu.

katanya, tindakan tertuduh menyimbah cuka getah kepada isterinya adalah perbuatan tidak berperikemanusiaan sehingga menyebabkan kecederaan kekal kepada wanita berkenaan.


“Tindakan ini langsung tidak berperikemanusiaan dan saya pohon mahkamah mengambil kira kesakitan dan kesedihan dialami serta maruah diri mangsa selepas kes ini mendapat liputan meluas media,” katanya.


Menurutnya, sepatutnya tertuduh melindungi isterinya dengan memberi perlindungan sewajarnya namun kerana perbuatan tertuduh ia bertukar menjadi tempat penganiayaan paling dahsyat sekali.


Katanya, pihak pendakwaan memohon hukuman sebat turut dikenakan terhadap tertuduh supaya hukuman berkenaan memberi mesej mahkamah memandang berat kesalahan dilakukan.


Mengikut fakta kes, tertuduh pulang ke rumah kira-kira jam 12.30 tengah malam pada Rabu lalu sebelum memasuki bilik dan melihat mangsa memegang telefon bimbit dan ketika ditanya mangsa memaklumkan sedang menghantar SMS kepada seorang anaknya bernama Kamarul.


Tertuduh cuba merampas telefon namun tidak dibenarkan mangsa sebelum lelaki terbabit beredar dari bilik.


Tertuduh kemudian masuk semula dan mengajak mangsa melakukan hubungan seks namun permintaannya ditolak isterinya.


Supian kemudian keluar dari bilik sebelum memasuki semula dengan membawa bersama parang dan cuba menetak telefon bimbit terbabit dengan senjata tajam berkenaan.


Mangsa yang cuba mengambil telefon bimbitnya yang terjatuh kemudian disimbah dengan cuka getah oleh suaminya.


Berikutan tindakan itu, mangsa dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini, sebelum disahkan mengalami lapan peratus melecur membabitkan bahagian kiri muka, dada, bahu, leher dan lengan.


Tertuduh menyerah diri di Balai Polis Panching, kira-kira jam 4.45 pagi pada hari kejadian.



TERKINI

Bekas pelajar UiTM mengaku buang bayi

13/04/2010 5:31pm

KUALA TERENGGANU - Seorang bekas pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM), Chendering, dekat sini mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dakwaan membuang bayi lebih dua tahun lalu.

Tertuduh, Zarina Sulaiman, 21, dari Kampung Felda Cherul, Kemaman, mengaku melakukan perbuatan itu ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mohd. Yusoff Yunus.

Mengikut fakta kes, Zarina dituduh secara rahsia telah membuang mayat seorang bayi perempuan yang dilahirkan olehnya sama ada telah mati sebelum, semasa, atau selepas dilahirkan olehnya dan dengan sengaja telah menyembunyikan kelahiran bayi itu.

Dia dituduh melakukan melakukan perbuatan itu di Asrama Sutera UiTM Cawangan Chendering, Kubang Ikan, Chendering, dekat sini, antara pukul 11 malam dan 12 malam, 29 Jan 2008.

Dia didakwa mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun.

Mahkamah kemudian menetapkan 26 Mei ini sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menunggu laporan sosial tertuduh dan menawarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM3,500 dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, tertuduh tidak mampu membayar wang ikat jamin tersebut dan di hantar ke Penjara Pengkalan Chepa.

Pendakwaan dilakukan oleh Pegawai Pendakwa Insp. Marzita Subaker. - Bernama




Tiada ulasan: