Polis telah menangkap seorang remaja yang dipercayai mengajak orang ramai menggulingkan kerajaan persekutuan pada malam tahun baru.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kebangsaan, Datuk Hadi Ho Abdullah, suspek yang menggunakan akaun Facebook di bawah nama Asmaelz Hadzeny II ditangkap pada jam 11 pagi ini di Saratok, Sarawak.

"Suspek ini akan dibawa ke Kuala Lumpur untuk membantu siasatan. Polis telah mengklasifikasikan kes ini di bawah Seksyen 124C Kanun Keseksaan atas cubaan melakukan aktiviti yang menjejaskan demokrasi berparlimen," kata Hadi dalam kenyataan di laman Facebook rasmi Polis Diraja Malaysia hari ini.

Polis dilihat cuba menghentikan perhimpunan pada malam tahun baru.

Selasa lalu, pengerusi NGO Turun, Mohd Azan Safar yang merancang untuk mengadakan demonstrasi kenaikan harga barang, ditangkap sebelum tengah malam dan disiasat di bawah Akta Perhimpunan Aman dan Seksyen sama di bawah Kanun Keseksaan.
Taib Mahmud masih disiasat, tapi 'rumit'
 
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) masih belum menutup kertas siasatan terhadap Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Taib Mahmud.

Suruhanjaya itu menjelaskan ia “masih dalam proses”.

Bagaimanapun, Pengerusi Panel Penilaian Operasi (PPO) SPRM Tan Sri Hadenan Abdul Jalil berkata, siasatannya “rumit”, menyebabkan lebih masa diambil untuk menyempurnakan siasatan.

“SPRM tidak berikan apa-apa kepada PPO, dengan mengatakan kami sudah tutup kes.

"Ia masih disiasat,” kata Hadenan dalam sidang media di Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) di Kuala Lumpur hari ini.

Bagaimanapun, tiada perkembangan konkrit diumumkan oleh SPRM selepas Taib menggelar badan itu sebagai “nakal”.
Isu Allah: K'jaan jangan jadi sesumpah, kata DAP

  • 5:45PM Dis 26 2013
 
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak perlu membuktikan beliau seorang yang berfahaman moderat atau sederhana di mata dunia dengan menyelesaikan pertikaian dengan komuniti Kristian berhubung penggunaan kalimah 'Allah', kata DAP.

Ucapan beliau di Majlis Sambutan Krismas peringkat kebangsaan di Pulau Pinang, juga ucapan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Paul Low gagal membangkitkan emosi dan mencerminkan negara sebagai 'sederhana', kata Ahli Parlimen Gelang Patah Lim Kit Siang hari ini.

Lim (kanan) berkata Najib ketika berucap di Pulau Pinang menyeru orang ramai agar memahami sensitiviti mereka yang berlainan agama, sama ada Muslim atau Kristian, agar tidak menyinggung perasaan satu sama lain.

Menurut Lim, Low yang mewakili perdana menteri di majlis minum petang Krismas tahunan Persekutuan Kristian Malaysia (CFM) semalam berkata, perbezaan agama bukanlah faktor yang melemahkan masyarakat kita, sebaliknya elemen yang kuat dalam pembangunan negara.

Walaupun memperakui kebenaran dalam kata-kata Najib dan Low, Lim mempersoalkan mengapa penerimaan terhadap ucapan kedua wakil BN itu dianggap kosong dan mencurigakan semata.

"Kenapa? Adakah kerana lelaki dan perempuan yang rasional dan sederhana di Malaysia telah menjadi ekstremis, menolak sentimen kesederhanaan, keharmonian dan hidup bersama seperti yang dikatakan Najib dalam dua ucapan Krismas semalam?" tanya beliau.

"Ini kerana masa telah sampai untuk Najib, dalam penggal kedua dan tahun kelima beliau sebagai perdana menteri Malaysia yang keenam, untuk membuktikan beliau bersikap sederhana dengan perbuatannya dan keputusannya, dan bukan hanya sesumpah politik yang bertukar warna antara sederhana dan tidak sederhana dalam ucapan mengikut penonton dan acara," kata beliau.
KUALA LUMPUR: Kenyataan rasmi Kementerian Kewangan mengenai kontroversi penjualan dan penggadaian aset negara untuk mencapai sasaran defisit tidak sedikit pun menafikan laporan Bank Dunia, kata Pengarah Strategik PKR, Rafizi Ramli.
Sebaliknya Kementerian Kewangan, ujar Rafizi hanya memberikan alasan bahawa penjualan aset dan pensekuritian pinjaman perumahan kakitangan kerajaan adalah satu perkara biasa dan telah pun berlaku sebelum ini.
Sehubungan itu, beliau mahu kerajaan menjelaskan kepada rakyat tiga perkara yang dilaporkan Bank Dunia iaitu:
Kerajaan tidak akan mencapai sasaran defisit yang diumumkan jika pendapatan tambahan yang tidak dirancang di dalam Belanjawan 2013 sebanyak RM11.8 bilion diperolehi;
Kerajaan terpaksa menjual aset negara sebanyak RM1.4 bilion untuk mendapatkan pendapatan tambahan itu;
Kerajaan terpaksa menggadaikan portfolio pinjaman perumahan kakitangan kerajaan sebanyak RM4.2 bilion melalui pensekuritian pinjaman perumahan (securitization of mortgages) untuk mendapatkan pendapatan tambahan itu.
Rafizi menambah, Kementerian Kewangan juga tidak boleh menafikan fakta-fakta yang dibentangkan Bank Dunia mengenai terdesaknya pentadbiran Dato’ Seri Najib Razak dalam mencapai sasaran defisit, terutamanya apabila belanja mengurus Kerajaan Persekutuan telah melebihi belanjawan yang diluluskan sebanyak RM14.3 bilion atau 7.1% seperti terkandung dalam laporan Bank Dunia, bertarikh Disember 2013.

Bank Dunia juga, ujarnya melaporkan pertumbuhan ekonomi negara bagi tahun 2013 lebih teruk dari dijangkakan semasa unjuran Belanjawan 2013 dan dua keadaan ini menyebabkan pendapatan negara berkurang dan defisit semakin teruk.

Sehubungan itu, jelas beliau satu-satunya cara untuk mencapai sasaran defisit 4% yang telah diumumkan Najib bagi tahun 2013 adalah dengan menjual dan menggadai lebih banyak aset kerajaan (yang tidak dirancang dan diunjurkan semasa Belanjawan 2013 dibentangkan).

"Jelas bahawa Kerajaan Persekutuan telah pun mengakui bahawa laporan Bank Dunia itu benar dan aset-aset negara telah dijual dan digadai untuk mendapat pendapatan tidak dirancang bagi mencapai sasaran defisit negara," ujar beliau.
KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengingatkan ahlinya berhubung kuantum baharu Simpanan Asas, yang menetapkan RM196,800 sebagai amaun minimum ahli yang perlu ada dalam akaun KWSP mereka menjelang umur 55 tahun, berkuat kuasa bulan depan.
  
Pengurus Besar Perhubungan Awam KWSP Nik Affendi Jaafar berkata kadar baharu itu ditanda aras dengan pencen minimum pekerja sektor awam, yang bersamaan RM820 sebulan untuk tempoh 20 tahun dari umur 55 hingga 75 tahun.
  
Beliau berkata ia akan disemak setiap tiga tahun berdasarkan kepada keperluan persaraan, kadar inflasi dan kos hidup.
  
"Dengan mengambil kira faktor kos hidup yang semakin meningkat, jangka hayat rakyat Malaysia yang panjang serta kadar inflasi, KWSP telah membuat keputusan meningkatkan Simpanan Asas untuk memastikan 13 juta ahlinya mempunyai tahap simpanan yang mencukupi bagi menikmati persaraan yang mampan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
  
Nik Affendi berkata Simpanan Asas semasa ialah RM120,000 pada umur 55 (RM500 sebulan bagi tempoh 20 tahun) mungkin tidak mencukupi bagi menampung persaraan ahli kerana berada di bawah garis kemiskinan.

Selain itu, katanya, statistik KWSP menunjukkan 71 peratus ahli bersara pada umur 55 tahun mempunyai simpanan kurang daripada RM50,000 dalam akaun KWSP mereka.
  
Nik Affendi berkata kadar yang disemak semula ini memerlukan ahli mempunyai simpanan yang lebih tinggi dalam akaun KWSP bagi membolehkan mereka layak menyertai Skim Pelaburan Ahli KWSP di mana simpanan mereka boleh dilaburkan dalam unit amanah.
  
"Ini untuk memastikan ahli mempunyai simpanan yang mencukupi dalam akaun KWSP apabila mereka bersara bagi membiayai keperluan asas persaraan sebelum boleh memilih untuk melabur dalam pelaburan lain," katanya.
  
Beliau berkata antara inisiatif yang diperkenal KWSP untuk mempertingkat simpanan persaraan ahli ialah kadar caruman majikan sebanyak 13 peratus untuk pekerja yang bergaji RM5,000 dan ke bawah.
  
"Selain itu, kadar caruman penuh KWSP untuk pekerja sehingga umur 60 tahun dan Pengeluaran Fleksibel Umur 55 tahun yang membenarkan ahli untuk memanjangkan simpanan KWSP mereka bagi tempoh yang lama," katanya.
  
Bagi membantu ahli merancang persaraan mereka, Nik Affendi berkata KWSP akan memperkenal perkhidmatan penasihat kewangan kepada ahli mulai tahun depan dengan projek perintis di Lembah Klang sebelum diperluas ke seluruh negara dalam tempoh tiga tahun. - Bernama
PASIR MAS:  Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan mengingatkan pimpinan kerajaan Pusat tidak takut dengan bayang-bayang  sehingga ‘memesongkan’  himpunan 31 Disember ini  untuk menggulingkan kerajaan.

Katanya, pelbagai kenyataan yang dikeluarkan oleh pemimpin BN disamping laporan polis yang dibuat agar pihak berkuasa menyekat himpunan ini, membuktikan pemimpin kerajaan takut dengan baying-bayang sendiri. (gambar) Ustaz Fadhli menyampaikan peralatan sekolah kepada dua orang kanak-kanak dalam program turun ke bawah di dun pasir pekan.

Ketuanya, Ahmad Fadhli Shaari berkata, tidak timbul langsung isu untuk menggulingkan kerajaan seperti yang dihebohkan oleh banyak pihak.

Sebaliknya tambah beliau lagi, ia hanyalah himpunan bagi menyatakan bantahan terhadap pelbagai kenaikan harga barang dan perkhidmatan khususnya menjelang tahun baru 2014.

"Saya menyeru pemimpin Barisan Nasional agar membuka mata dan telinga mendengar rintihan rakyat terhadap kenaikan pelbagai barangan dan perkhidmatan ini khususnya menjelang musim kembali ke sekolah.

“Semuanya akibat urus tadbir yang lemah dan penuh dengan rasuah dan korupsi yang diamalkan oleh Barisan Nasional. Inilah yang seringkali dibuktikan oleh Laporan Ketua Audit Negara saban tahun," katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke 20 buah rumah keluarga berpendapatan rendah di DUN Pengkalan Pasir, untuk menyampaikan sumbangan peralatan sekolah.

Fadhli yang juga Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Pasir Mas turut diiringi Anggota Jawatankuasa Dewan Pemuda PAS Kawasan Pasir Mas.

Fadhli seterusnya memberitahu, tuduhan yang dilontarkan  himpunan itu bertujuan menggulingkan kerajaan, hanya  perasaan takut pada bayang-bayang sendiri.

Beliau seterusnya berkata, bagaimana mungkin rakyat marhaen yang hanya berhimpun tanpa sebarang senjata boleh menggulingkan kerajaan.

Mengulas berhubung perhimpunan yang bakal dianjurkan TURUN 31 Disember ini, beliau memberitahu ia semakin mendapat perhatian di seluruh negara terutama selepas pengerusinya, Muhammad Azan Safar ditangkap pihak polis pada 23 Disember lalu.

"Saya penuh yakin, jika BN  berterusan menekan rakyat seperti ini dan menggunakan kekerasan untuk menyekat sebarang perhimpunan aman yang dibenarkan oleh perlembagaan, kita akan menyaksikan kebangkitan rakyat secara besar-besaran di seluruh negara untuk bangkit melawan kezaliman yang ditaja oleh Barisan Nasional," tambah beliau.


KUALA LUMPUR: Angin kencang dan laut bergelora di kawasan perairan Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor Timur, Sabah, Wilayah Persekutuan Labuan dan Sarawak dijangka berterusan sehingga Selasa depan.
  
Jabatan Meteorologi dalam kenyataan di sini berkata angin kencang Timur Laut dengan kelajuan dari 60 kmsj berlaku di perairan Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor Timur serta ombak mencapai ketinggian melebihi 5.5 meter.
  
Selain itu, kawasan pantai di negeri berkenaan turut terdedah kepada kejadian kenaikan paras air laut yang dijangka berterusan sehingga 31 Dis.
  
Angin kencang Timur Laut dengan kelajuan 50-60 kmsj berlaku di perairan Sabah (Pedalaman, Pantai Barat dan Kudat), Wilayah Persekutuan Labuan dan Sarawak dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 4.5 meter.
  
Kedua-dua keadaan ini berbahaya kepada semua aktiviti pantai dan perkapalan termasuk menangkap ikan, pekerja di pelantar minyak dan perkhidmatan feri.
  
Menurut kenyataan itu, ribut petir yang berlaku di kawasan perairan Sarawak, Wilayah Persekutuan Labuan dan Sabah dijangka berterusan sehingga awal petang ini.  - Bernama

(Gambar) Azan (dua dari kiri) berunding dengan seorang anggota polis semasa mengadakan flash mob Turun di Mid Valley, 23 Disember lalu.
Penggantungan permit penerbitan mingguan berita The Heat mungkin akan ditarik balik dalam waktu terdekat. Semakin lama dibiarkan isu ini berlanjutan, ia boleh menambahkan lagi senarai panjang beban yang ditanggung kerajaan minoriti Umno-BN.

Yang penting, bagi Kementerian Dalam Negeri dan menterinya Zahid Hamidi, mesej sudah disampaikan secara jelas kepada The Heat: Jangan usik isu-isu sensitif yang boleh menimbulkan amarah dan kebencian rakyat kepada elit penguasa, apatah lagi membabitkan isteri tersayang Perdana Menteri!

Cuma, saya amat harapkan agar kempen membebaskan media, yang digerakkan beberapa teman melalui GERAMM misalnya, perlu diteruskan dengan momentum baru. Kongkongan, pembulian dan penindasan ini wajar ditamatkan meskipun isu The Heat bakal berakhir.

Sepanjang 15 kali penerbitannya, saya kira mingguan berkenaan telah berusaha mencapai satu kedudukan yang agak istimewa dalam dunia kewartawanan di negara ini. Pastinya bukan hanya saya seorang yang ternanti-nanti bagaimana bentuk laporan dan analisis The Heat selepas ia dibebaskan daripada penggantungan itu nanti.

Apakah ia bakal mengulangi nasib akhbar Watan dan The Star sendiri, selepas penggantungan permit dalam Operasi Lalang, Oktober 1998, ditarik balik? Terdapat syarat-syarat atau persefahaman tidak bertulis yang (terpaksa) dipersetujui sebelum keizinan terbit dikembalikan.

Penerbit The Heat berkata KDN memberi jaminan akan berlaku adil dalam mempertimbangkan rayuan penggantungan permit penerbitan akhbar tersebut. Satu kenyataan pengurusan The Heat, 23 Disember lalu menyebut, jaminan itu dibuat selepas pertemuan di antara pengarang akhbar itu dan pegawai-pegawai kementerian.

"Pihak pengarang bertemu dengan pegawai-pegawai KDN sekali lagi hari ini dan kami memberikan kerjasama sepenuhnya kepada kementerian untuk menyelesaikan perkara ini. Pihak kementerian memberikan jaminan yang mereka akan mempertimbangkan rayuan untuk menarik balik penggantungan ini secara adil dan segera," kenyataan itu dipetik.

Tertanya-tanya juga, adil yang bagaimana, ya?

Suka saya mengulangi dan menekankan pengalaman berdepan pegawai KDN, termasuk bekas menterinya, Abdullah Ahmad Badawi (merangkap Timbalan Perdana Menteri waktu itu), membincangkan (sebahagiannya mendengar leteran) isu-isu berkaitan kandungan penerbitan yang dianggap bercanggah dengan mock-up asal dan menyentuh "persoalan sensitif".

Misalnya, pada hujung 1997, semasa menjadi Pengarang majalah Tamadun, saya, wartawan Suria Janib dan pemilik permit, Muttaqin Amaludin dipanggil menghadap pegawai kanan di Bahagian C, Unit Kawalan Penerbitan KDN di  Tingkat 11, Bangunan Arab Malaysia Bank, Jalan Lumut, Kuala Lumpur.

Pegawai berkenaan merujuk beberapa artikel Tamadun, antaranya wawancara dengan Ustaz Ismail Kamus, yang bertajuk "Anwar Ibrahim Silap? Antara Pendekatan Dakwah dan Menyatakan Hukum". Kandungan interbiu itu disifatkan boleh mewujudkan suasana tidak tenteram dalam negara.

Malah, wawancara eksklusif saya dengan bekas Timbalan Presiden Semangat 46, Dr Rais Yatim, yang diberi tajuk "Rombak Sistem Kuasa" turut ditegur. Rupanya KDN lebih sensitif apabila saya memilih tajuk kecil di muka depan Tamadun, "Tumbangkan Kerajaan atau Tukar Sistem".

Tidak cukup dengan itu, wawancara kami bersama Mufti Perak, "Kontroversi KRU - P Ramlee: Kabinet Hina Majlis Fatwa" juga dijadikan kes oleh pegawai KDN berkenaan.

Kesimpulannya, saya  dan rakan-rakan "dibuli" semahunya dalam pertemuan tersebut. Bukankah KDN berkuasa mutlak, boleh "menghidup dan mematikan"?

KDN akan cuba mengelak sedaya mungkin daripada mengemukakan surat tunjuk sebab yang boleh dikaitkan dengan isu-isu kontroversial. Penerbitan yang dilihat ghairah menimbulkan keburukan elit pemerintah atau mendedahkan salahlaku pemimpin BN yang korup akan digertak melalui kaedah lebih halus. Pengalaman saya mengendalikan tabloid Cabaran boleh dirujuk.

Namun begitu, kes pengharaman Detik lebih tragis. Majalah dua kali sebulan itu, yang pernah dicetak hampir 150,000 naskhah ketika kemuncak era reformasi, tidak diperbaharui permit hanya kerana tiga kesalahan yang lebih berbentuk teknikal.

Sebenarnya pembaharuan permit Detik sudah dikeluarkan pada 9 Disember 1999 bagi tempoh setahun (1 Disember 1999 sehingga 30 November 2000). Lazimnya, pihak Menteri Dalam Negeri menyerahkan tugas mengendalikan urusan permit majalah kepada pegawai kanannya. Menteri lebih berminat dengan permit akhbar.

Bagaimanapun, teguran yang timbul dalam mesyuarat Majlis Tertinggi Umno, sejurus selepas Pilihan Raya Umum 1999, dikatakan menjadi punca permit Detik itu segera ditarik balik. Dalam PRU10 itu, banyak kerusi Umno di kawasan majoriti pengundi Melayu jatuh kepada PAS (Barisan Alternatif).

Melalui surat KDN 1505(8757)(26) bertarikh 24 Disember 1999, dibutirkan tiga kesalahan Detik, yang membawa kepada pengharamannya:

1. Tidak mencetak alamat penerbit di majalah Detik.

2. Meletakkan permit penerbitan yang diberikan kepada Irrecon Corporation Sdn Bhd di bawah kawalan Penerbitan Pemuda.

3. Melantik Ketua Pengarang, Ahmad Lutfi Othman, tanpa memaklumkannya kepada KDN

Dalam surat kepada pegawai KDN, Tengku Mahmood Tengku Ismail, pada 28 Disember 1999, saya memohon maaf atas kesalahan pertama dan kedua, tetapi menafikan kesalahan kedua.
Malangnya, Detik tetap diharamkan. Di bawah saya, ia hanya sempat bernafas setahun sahaja. "Adiknya", Wasilah, majalah remaja, juga dipancung tanpa kasihan pada tahun yang sama.

Sengaja saya timbulkan semula sejarah silam itu untuk membuktikan bahawa alasan-alasan KDN, seperti juga dalam kes The Heat, sengaja diada-adakan.

The Heat menerima dua surat tunjuk sebab KDN bertarikh 27 November dan 2 Disember 2013, atas kesalahan teknikal tidak mendapat kelulusan menukar kategori penerbitan "ekonomi/sosial" kepada "isu semasa", sedangkan sebenarnya perubahan itu telahpun diizinkan lebih awal lagi, iaitu pada 18 September 2013.

Justeru, dalih apa lagi yang mahu dikemukakan KDN untuk mengongkong dan memperbudakkan warga media negara ini?

II.

Keresahan rakyat menjelang tahun baru tidak dapat dibendung lagi. Rata-rata, di mana-mana, bukan hanya di kota besar, malah di desa dan di pinggir bandar, hampir semua berbicara dan mengeluh tentang bebanan tinggi kenaikan sara hidup.

Ia bukan hanya menghimpit golongan miskin dan kelas bawahan, tetapi juga menekan perit kelas menengah rendah di bandar-bandar, yang mungkin tergolong sebagai pembayar cukai tetapi tidak layak menerima BR1M dan bantuan lainnya.

Kedaifan middle class, yang tertumpu misalnya sekitar Kuala Lumpur dan  Johor Bahru ini mungkin seperti dilupakan. Imbuhan bulanan isi rumah sekitar RM5,000 di kota raya tidak dapat melepaskan diri daripada perangkap kemiskinan bandar.

Kadar elektrik, barangan dapur, bahan bakar, tol, tambang bas (khususnya bas sekolah), LRT, komuter dan teksi, sewa rumah, cukai pintu, juga harga makanan (siap dimasak dan mentah) sehinggalah yuran Astro, semuanya meningkat. Ungkapan "tiada yang turun melainkan hujan", tidak menjadi jenaka lagi.

Justeru, saya cukup tertarik dan terpikat sekali dengan langkah sekumpulan anak muda, diterajui Presiden Gamis, Azan Safar, yang menubuhkan Gerakan Turun Kos Sara Hidup (Turun).

Memang tepat pada masanya dan langkah praktikal itu melambangkan komitmen tinggi golongan aktivis pelajar untuk turun mendekati degup jantung rakyat yang berdetup kencang sekarang.

Turun akan mengadakan perhimpunan membantah kenaikan kos sara hidup ketika sambutan ambang tahun baru 2014, khabarnya di Dataran Merdeka. NGO lain yang terbabit adalah Solidariti Anak Muda Malaysia dan Solidariti Mahasiswa Malaysia.

Menurut laporan media pertengahan Disember lalu, Azan menegaskan, himpunan itu "sebagai suatu kuasa pendesak agar kerajaan dengar amaran rakyat dan fikir tentang kos sara hidup rakyat yang makin meningkat dan struktur semula kebajikan rakyat.”

Tiba-tiba dalam masa sama, media khususnya Utusan Malaysia dan TV3, mempromosikan secara luar biasa (tentunya dengan motif jahat) satu lagi gerakan, iaitu Himpunan Guling Kerajaan, dijadualkan pada tarikh dan tempat yang sama dengan Himpunan Turun.

Taktik lapuk ini tidak sukar untuk dikesan, bagi bertujuan memberikan gambaran jelik dan hodoh kepada usaha murni anak-anak muda Turun.

Strategi sama pernah digunakan media berkenaan menjelang Himpunan Kebangkitan Rakyat di Stadium Merdeka, 12 Januari 2013, yang digelar Himpunan Shamsidar; satu propaganda terkutuk dan memalukan, sama sekali di luar batas etika dan adab.

Di tengah ibu kota, HKR berjalan secara aman dan lancar sekali. Tanpa gangguan polis dan FRU, langsung tidak timbul sebarang kekecohan. Dan cerita Himpunan Shamsidar itu lenyap begitu sahaja.

Turun sebenarnya digeruni pemerintah kerana ia erat berpadu bersama nurani rakyat yang resah-gelisah. Tidak hairanlah apabila himpunan itu dimomokkan sebegitu rupa, bagi menjauhkan rakyat dengan Turun, walhal yang berlaku adalah di sebaliknya.

Flash mob Turun di sebuah pusat membeli-belah, Mid Valley, Kuala Lumpur, 22 Disember lalu, makin menakutkan penguasa rakus. Sejumlah anggota polis mengejar dan merampas bahan-bahan yang digunakan dalam flash mob berkenaan, dan Azan serta rakan-rakannya turut dihalau keluar dari premis terbabit.

"Polis mengejar kami di sekitar pusat membeli-belah untuk memaksa kami keluar. Namun, Kami kembali di luar pusat membeli belah. Bagaimanapun, objektif flash mob telah kami capai," kata Azan. Mereka meneruskan demonstrasi di tepi jalan sekitar kawasan luar Mid Valley.

Sebelumnya, pada 20 Disember, Azan turut berucap dalam program "Faham GST, Lawan GST", di Kelab Sulaiman, Kampung Baru. Pidatonya itu kemudiannya dikatakan berbaur hasutan, menggugat keharmonian, sekali gus menggugar sistem demokrasi berparlimen.

Begitulah selalunya. Pihak polis sering mencetuskan tindakan provokasi, yang sebenarnya memberi impak negatif kepada pemerintah.

Jam 11 malam, 23 Disember, ketika Azan dan rakan-rakan sedang makan di Kedai Makan Kak Som, di Kampung Baru, sepasukan tujuh anggota polis menyerbu dan menahannya. Lebih pelik tangkapan itu dibuat di bawah Siasatan Khas D9, yang dikatakan siasatan ke atas jenayah berat seperti penggunaan senjata api.

"Hakikatnya, saya menyeru masyarakat turun dan menyatakan sokongan mereka supaya kerajaan tidak mengambil ringan dan memandang enteng masalah bebanan kos sara hidup rakyat menjelang 2014. Di manakah salahnya?" tegas Azan selepas dibebaskan di IPD Dang Wang, jam 7 malam, 24 Disember.

"Selain itu, saya disyaki terlibat dalam cubaan untuk menggulingkan kerajaan yang dipilih secara demokrasi menjelang 2014. Andaian serkap jarang dan tuduhan yang tidak berasas ini telah menampakkan ketempangan pihak berkuasa dalam proses pembuktian," ujar anak muda bersemangat waja itu.

Isu kenaikan kos sara hidup ini turut disentuh dengan baik oleh kolumnis Utusan, Salleh Buang, bekas profesor undang-undang, halaman 10, terbitan 24 Disember, bertajuk "Antara kesulitan rakyat dan minda menteri".

"... secara amnya kenaikan gaji rakyat kita (yang bekerja dengan majikan) adalah pada tahap 2.5% setahun sahaja, manakala kenaikan harga barang keperluan adalah lebih tiga kali ganda, iaitu 8.5% setahun," tulisan Salleh dipetik. Banyak lagi hujah dan contoh menarik dikemukakannya.
KUALA LUMPUR: Tindakan menggadai pinjaman perumahan kakitangan kerajaan melalui pensekuritian dikhuatiri bakal menjerumuskan negara ke dalam krisis kewangan subprima seperti yang melanda Amerika Syarikat pada tahun 2007 dan 2008, kata Pengarah Strategik PKR, Rafizi Ramli.
Menurut beliau,  pensekuritian pinjaman perumahan kakitangan kerajaan ini dimulakan pada  2004 oleh Cagamas iaitu syarikat pinjaman perumahan negara.
"Pensekuritian melibatkan kerajaan menjual portfolio pinjaman perumahan kakitangan kerajaan kepada pelabur melalui penerbitan bon.
"Ini bermakna kakitangan kerajaan secara tidak langsung berhutang dengan pelabur-pelabur yang membeli bon yang diterbitkan melalui kaedah pensekuritian ini," jelas beliau dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan hari ini.
Rafizi menambah, walaupun amalan ini telah dimulakan sejak 2004, pensekuritian pinjaman perumahan menjadi salah satu punca krisis kewangan subprima yang melanda Amerika Syarikat dalam tahun 2007 dan 2008.
Kaedah ini, ujar beliau mempunyai risiko tersendiri kerana rumah-rumah yang dibeli peminjam digadaikan pula kepada pelabur yang mereka tidak ketahui.
"Saya juga khuatir jika kaedah pensekuritian pinjaman perumahan kakitangan kerajaan terus digunakan sebagai jalan mudah untuk mendapatkan pendapatan tambahan," tegasnya.
Sehubungan itu, beliau yakin penjualan aset negara dan tindakan menggadaikan pinjaman perumahan kakitangan kerajaan melalui pensekuritian membuktikan betapa terdesaknya pengurusan kewangan negara di bawah pentadbiran Najib.