Rabu, 27 Februari 2013

MARI KITA KELUAR DARI CENGKAMAN PEMIMPIN YANG RAKUS DENGAN WANG RAKYAT...HIDUP KAYA RAYA ANAK BERANAK DENGAN KUASA YANG ADA....YANG KITA BAGI

Hapuskan cukai yang membebankan - Nasrudin

Aziz Muda, 27 Feb 2013
Ekonomi negara kini berada dalam keadaan agak parah. Kemungkaran dalam sektor ekonomi seperti ketirisan, rasuah, monopoli, penipuan, spekulasi dan pecah amanah adalah antara faktor yang menjadikan kedudukan ekonomi negara kita "tunggang terbalik". Pengaliran wang haram juga cukup banyak. Walaupun Malaysia kaya dengan hasil, pengagihannya dilakukan secara tidak adil sehingga menjadikan golongan kaya bertambah kaya dan yang miskin semakin tertekan. Sebuah NGO, GESA muncul dengan misi dan visinya yang tersendiri bagi menyelamatkan negara dan demi kepentingan rakyat. Antara tuntutannya kepada kerajaan adalah agar dihapuskan cukai yang membebankan rakyat. Ikuti temubual Presiden GESA yang juga Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Nasrudin Hassan at-Tantawi bersama wartawan AZIZ MUDA pada 17 Februari lalu.  

Harakah: Secara tiba-tiba Gerakan Selamat Ekonomi Negara (GESA) muncul. Boleh Ustaz jelaskan apakah sebenarnya GESA?

Ustaz Nasrudin Hassan: GESA adalah singkat kata dari Gerakan Selamat Ekonomi Negara. Ia adalah sebuah NGO yang lahir pada 12 Januari 2013 sempena Himpunan Kebangkitan Rakyat 112, membawa satu visi dan misi besar ke arah membina masa depan negara dan tamadun ummah yang bebas murka Allah S.W.T. sekaligus selamat dari bencana atau musibah angkara penyelewengan serta penyimpangan ekonomi.
Ertinya Ustaz melihat ekonomi negara kita tidak selamat? Jadi apa yang akan dilakukan oleh GESA untuk memastikan ekonomi negara kita berada dalam keadaan selamat?

Ustaz Nasrudin Hassan: Selamat atau tidak adalah bergantung kepada tangan manusia yang mentadbir dan mengurus ekonomi negara. Ia juga melihat kepada asas, dasar, sistem atau manhaj ekonomi yang diterima pakai. Apakah ia bertentangan dengan kehendak Allah S.W.T., Tuhan yang mencipta manusia atau sebaliknya. Kemungkaran dalam sektor ekonomi seperti ketirisan, rasuah, monopoli, penipuan, spekulasi dan pecah amanah adalah antara faktor yang menjadikan kedudukan ekonomi negara kita "tunggang terbalik".

Mudahnya, ekonomi ini bagai "institusi" untuk mengurus perbendaharaan guna memastikan negara membangun dan rakyatnya sejahtera dengan memanfaatkan segala sumber kekayaan kurniaan Allah S.W.T. Selayaknya tiada unsur penindasan seperti mengumpulkan kekayaan dengan segala sumber yang ada hanya di kalangan elit pemerintah dan orang-orang kaya yang bermodal besar, sementara golongan miskin dan marhain terus terabai dan ditindas dengan pelbagai "diskriminasi" ekonomi.

GESA lahir untuk memerangi "kemungkaran" ekonomi sekaligus mengemukakan solusi dan alternatif  yang menepati Manhaj Ekonomi Rabbani. Objektif utama GESA ialah:

Pertama: Membawa nilai "barakah"  atau "kebaikan berlipat ganda" dalam operasi dan orientasi ekonomi melalui suatu sistem ekonomi yang patuh syariah.

Kedua: Mengekang elemen "syaqawah"  atau "kecelakaan yang membinasa" dalam interaksi dan transaksi ekonomi negara.

Siapa yang akan menggerakkan GESA dan bagaimana orientasi GESA?

GESA akan bergerak sebagai sebuah NGO yang berdaftar dan saya telah diamanahkan sebagai Presidennya. Rakan saya, Dr. Khairudin Aman Razali at-Takiri dan Ustaz Zaharudin Mohamad adalah 2 timbalan presiden yang akan banyak membantu saya menggerakkan misi GESA. Kami juga dibantu oleh 10 orang fellow yang mempunyai kepakaran dalam bidang ekonomi Islam yang diketuai oleh Dato' Dr. Haron Din selaku penasihat syariah GESA.

Fikrah ekonomi GESA ialah Ekonomi Islam dan road map GESA digaris dalam beberapa fasa bagi mencapai matlamat penubuhannya. Fasa pertama GESA akan menyelesaikan pelancarannya yang akan dirasmikan oleh Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang selaku pengucap utama dan Pensyarah Kehormat Economic and Social Researches Center (ESAM), dalam masa terdekat dengan mengemukakan 5 Tuntutan GESA kepada Kerajaan Malaysia iaitu:

i ) Utamakan agihan cukai untuk rakyat miskin
ii ) Hapuskan sistem monopoli dan spekulasi
iii ) Minimumkan kos perjalanan rakyat
iv ) Hapuskan cukai barangan dan harta keperluan rakyat
v ) Jangan memaksa rakyat bayar cukai untuk kegunaan orang-orang kaya.

Senarai tuntutan dan pelan tindakan akan berubah mengikut fasa-fasa yang telah kita gariskan.

Boleh Ustaz beri penjelasan lanjut mengenai 5 Tuntutan tersebut?

Kita menggariskan 5 tuntutan ini berasas keperluan semasa yang mendesak untuk membebaskan mangsa penindasan dan kemungkaran ekonomi yang akhirnya menjejaskan kesejahteraan hidup rakyat itu sendiri.

Pertama: Saya mengambil contoh sektor pendidikan. Kerajaan yang diberi mandat oleh rakyat untuk mengurus dan mentadbir negara dan rakyatnya tidak wajar perniagakan pendidikan. Sebaliknya kerajaan mestilah mengolah hasil bumi yang dikurniakan oleh Allah S.W.T. untuk menyediakan pendidikan yang baik kepada rakyat.

Kerajaan juga tidak layak menekan rakyat dengan mengambil cukai yang tinggi daripada mereka supaya mereka memiliki capital atau purchasing power dan akhirnya mereka mampu menyara makan minum anak-anak mereka di IPT atau kolej. Mereka tidak perlu bergantung kepada PTPTN untuk membiayai kos anak mereka menuntut ilmu di IPT. Bagi mereka yang tidak mampu bayar dan membiayai kos makan minum anak mereka sekalipun, sistem cukai yang baik dan adil boleh menyediakan peruntukkan wajar bagi membantu mereka. Ertinya tidak keterlaluan jika saya mengatakan bahawa PTPTN tidak diperlukan dalam sistem ekonomi Islam.

Kedua: Cukai yang tidak masuk akal malah membebankan rakyat dengan bentuk dan nilai cukai yang tidak wajar mestilah dihapuskan. GESA merakamkan tahniah kepada Kerajaan Negeri Terengganu pada tahun 2000 yang lalu kerana berjaya menghapuskan cukai bakul bagi petani kecil dan cukai pintu rumah kediaman serta mampu meluluskan sekitar 50,000 geran tanah kepada rakyat dalam tempoh 4 tahun pemerintahannya.

GESA turut merakamkan penghargaan kepada Pakatan Rakyat yang bersedia untuk menurunkan harga kereta menerusi tawaran manifesto mereka. Kami percaya sebahagian daripada mekanisme untuk menurunkan harga kereta tersebut ialah dengan menghapuskan cukai yang membebankan rakyat dan menstrukturkan semula sistem percukaian agar ia adil dan tidak membebankan rakyat.

Ketiga: Antara contoh lain yang boleh saya nyatakan di sini ialah isu kenaikan gaji penjawat awam sebanyak 5 peratus. Ia sebenarnya tidak menambah kuasa beli rakyat Malaysia yang berjumlah 28.3 juta rakyat. 5 peratus kenaikan gaji berbanding cukai yang dibayar sehingga mencecah 40 peratus pendapatan kasar mereka adalah terlalu rendah untuk memulihkan krisis kuasa beli dan modal rakyat. 5 peratus kenaikan gaji yang melibatkan 1.4 juta penjawat awam hanyalah seperti setitik air yang menitis ke permukaan tasik kerana jumlah penerima hanyalah 0.5 peratus rakyat. Justeru itu, GESA mendesak supaya satu sistem cukai yang adil dan tidak membebankan rakyat sebagai penyelesaian, bukan hanya pemberian wang one-off  kepada rakyat yang dilihat umum sebagai gula-gula untuk mengasyikkan rakyat.

Kenapa GESA lebih menumpukan isu percukaian?

Sebagaimana yang saya sebutkan tadi bahawa isu ini dibawa dalam 5 tuntutan untuk fasa pertama misi GESA. Fasa kedua kelak mungkin GESA akan beralih kepada tuntutan berbeza setelah 5 tuntutan ini berhasil. Misi besar GESA ialah membina dasar dan sistem ekonomi Islam dalam pengurusan, pentadbiran dan pemerintahan negara ini sekaligus membebaskan negara dan rakyat daripada kemungkaran dan penindasan ekonomi.

GESA membawa isu percukaian ini kerana ramai rakyat di negara kita tidak menyedari kemungkaran dan penindasan yang berlaku dalam sistem percukaian yang diamalkan dalam negara kita sekarang.

Sebagai contoh, ramai orang memahami cukai hanya dikutip daripada income tax, road tax dan sebagainya, tetapi ramai tidak menyedari bahawa cukai juga diambil daripada pembelian barang-barang. Satu kajian yang telah dibuat pada tahun 2009, secara tidak sedar kita membayar 52 peratus daripada bayaran kereta secara bulanan itu adalah cukai semata-mata. Maksudnya, jika kita membayar RM1,000 sebulan, kerajaan mengambil RM520 cukai setiap bulan daripada rakyat.

Hari ini rakyat hanya dimomok dengan RM100 bantuan awal persekolahan dan juga BR1M. Soalnya, berbaloikah RM100 dan BR1M dalam tempoh sekian lama mereka memerintah, sedangkan rakyat terpaksa membayar cukai 52 peratus (RM520/RM1,000 sebulan) daripada installment kereta mereka setiap bulan?

Rakyat tidak pernah diberitahu oleh kerajaan berapa cukai bulanan yang terpaksa mereka bayar kepada kerajaan melalui harga barang dan perkhidmatan. Rakyat hanya diberitahu dan diulang sebut bantuan awal persekolahan RM100, BR1M yang diberikan sekali dalam tempoh yang begitu panjang. Sejak merdeka, inilah kali pertama rakyat dapat BR1M dan mungkin tiada lagi selepas ini dalam tempoh yang panjang pula, sedangkan rakyat terpaksa membayar cukai yang tinggi saban bulan kepada kerajaan.

Bagaimanakah sistem ekonomi Islam sebagai alternatif mampu memulihkan ekonomi negara?


Jika kita mempelajari ilmu ekonomi Islam, ia tidak terhenti di atas penjanaan sumber material dengan memastikan pertumbuhannya subur semata-mata, tetapi juga sangat menekankan soal economist, bagaimana ia meluhurkan peribadinya berdepan dengan amanah mengurus, mentadbir dan mengagih sumber kekayaan negara bermula dari pengolahan modal yang baik sehinggalah kepada mengarang keuntungan atau laba agar ia dapat dinikmati oleh setiap insan yang berhak memilikinya.

Ekonomi Islam sangat menekankan aspek taqwa agar tidak berlaku penyelewengan, pecah amanah, ketirisan dan ketidaktelusan dalam mengendali aliran ekonomi negara. Pada masa yang sama, Islam menentang sekeras-kerasnya elemen penindasan serta kezaliman dalam operasi dan orientasi ekonomi seperti rasuah, riba, spekulasi dan monopoli.

Islam juga melampirkan elemen spiritual dalam menangani urusan ekonomi seperti "rahmat" dan "berkat", suatu istilah dan kaedah yang tidak terdapat dalam sistem ekonomi ciptaan manusia sebagai nilai tambah setelah membebaskan ekonomi dari dosa serta noda penindasan dan pengelewengan.

Definisi Malaysia ikut acuan sendiri, bukan perkauman

Harakahdaily, 25 Feb 2013
KUALA LUMPUR: Rakyat harus mendefinisi Malaysia mengikut acuan sendiri dan bukannya seperti yang dibentuk oleh politik perkauman, kata Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa.

“Kepelbagaian di Malaysia tidak harus menjadi punca perbalahan, malahan harus dihargai. Bukan sekadar memahami dan mengakuinya, ia harus diiktiraf.

“Hujung pangkalnya berkisar pada kepercayaan yang kita saling berkongsi impian,” kata Ahli Parlimen Parit Buntar itu pada majlis pelancaran bukunya ‘Aren’t We All Malaysians’ di Taman Tun Dr Ismail, kelmarin.

Buku itu merakamkan buah fikiran, memori zaman kanak-kanak, perjalanan politik, kisah hidup, serta usaha beliau dalam memupuk perpaduan di Malaysia.

Justeru, beliau berharap buku itu akan memberi manfaat kepada setiap lapisan masyarakat.

“Saya harap ini akan memberi mereka kekuatan dan motivasi untuk lebih memahami realiti persekitaran pelbagai budaya yang kita diami sekarang.

Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional PAS Pusat itu juga mengaitkan pengalaman hidupnya dengan ajaran Islam seperti mana yang telah diajarkan oleh bapanya.

“Muhasabah diri dan bandingkannya dengan ajaran Islam. Jika bersesuaian, baguslah. Jika tidak, anda perlu berubah.

“Apabila kita mempercayai sesuatu, lakukan kerana ilmu dan kapasiti intelektual. Jangan menyokong membuta tuli. Harus banyakkan membaca,” tambah beliau.

Pengarah Urusan Zubedy, Anas Zubedy merasakan bahawa buku tersebut menjiwai nilai wasatiyyah dan keterbukaan yang penting untuk dihayati.

“Dunia dan Malaysia kini menyaksikan perkembangan pengaruh Islam. Adalah penting untuk memastikan bahawa Islam itu diwakili sebaik mungkin,” kata Anas.

Doa, ikrar akhiri Konvensyen Pakatan Rakyat ke-4

Hazayani Zakaria, 25 Feb 2013


SHAH ALAM: Konvensyen Pakatan Harapan Rakyat hari ini berakhir dengan bacaan ikrar daripada pimpinan ketiga-tiga parti dan seluruh perwakilan.

Bacaan ikrar diketuai Datuk Takiyuddin Hassan (PAS), Teresa Kok (DAP) dan Darell Leiking (PKR).

Berikut adalah Ikrar Pakatan Rakyat:

1. Akan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan dan Dasar-dasar Bersama Pakatan Rakyat

2. Akan memperkukuhkan kerjasama di kalangan anggota-anggota parti komponen Pakatan Rakyat

3. Akan menumpukan sepenuh usaha dalam meningkatkan mutu perkhidmatan kepada rakyat

4. Akan terus mengukuhkan jati diri dan menghindari segala sogokan yang mendorong ke arah pengkhianatan terhadap perjuangan Pakatan Rakyat

5. Akan tetap menjunjung harapan rakyat ke arah membina sebuah negara yang demokratik, adil dan berkebajikan.

Bacaan ikrar kemudiannya diserahkan kepada tiga pemimpin parti iaitu Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang (PAS), Datuk Seri Anwar Ibrahim (PKR) dan Lim Guan Eng (DAP).

Selepas itu, Mursyidul Am PAS, Datuk Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat membaca doa mengakhiri konvensyen.

NGO Pengerang terus bangkit walau diugut

Harakahdaily, 25 Feb 2013


KUALA LUMPUR: Pengerusi Gabungan NGO Pengerang, Anis Afida Mohd Azli menegaskan pihaknya akan terus bangkit dan komited dalam memperjuangkan hak dan kepentingan rakyat walauoun diugut.

Justeru, beliau tidak menolak kebarangkalian insiden menggantung batu nisan di pagar rumahnya ekoran perjuangan pihaknya berkaitan isu-isu yang berlaku akibat daripada Projek Pembangunan Kompleks Bersepadu Petroleum Pengerang (PIPC) di Pengerang.

“Kami daripada Gabungan NGO Pengerang akan terus bangkit dan komited dalam memperjuangkan hak dan kepentingan rakyat,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Beliau mengulangi hematnya bahawa perbuatan itu lebih kepada ugutan bunuh.

“Hal ini kerana batu nisan adalah tanda perkuburan yang lebih sinonim untuk individu yang telah meninggal dunia,” ujarnya.

Tulisan yang tertera pada batu nisan itu:

Al-Fatihah
Anis Afida Binti Mohd Azli
Lahir Pada 25 April 1988
Kembali Kerahmatullah Pada Hari Jumaat
15 Februari 2013
Bersamaan 4 Rabiulakhir 1434
Amiin

Beliau telah membuat laporan di Balai Polis Bandar Penawar tengah hari semalam.

Menurutnya, laporan polis itu telah dipanjangkan ke bahagian siasatan jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi dan Ibu Pejabat Polis Kotinjen (IPK) Negeri Johor.

“Setelah kami membuat laporan, inspektor polis dari bahagian siasatan jenayah IPD Kota Tinggi dan pasukannya telah hadir untuk mengambil keterangan lanjut dan turun ke tempat kejadian untuk mengambil bahan bukti.

“Selebihnya kami akan menunggu maklum balas daripada pihak polis berkaitan siasatan yang telah dijalankan,” katanya.

Manifesto PR angkat rakyat keluar dari cengkaman BN

Hazayani Zakaria, 25 Feb 2013
SHAH ALAM: Bekas Timbalan Presiden Pertubuhan Pasokmomogun KadazandusunbMurut Bersatu (UPKO), Datuk Seri Wilfred Bumburing menyifatkan manifesto Pakatan Rakyat  yang dilancar hari ini sebagai memenuhi impian rakyat khususnya di Sarawak.

Bercakap ketika mengulas pembentangan tawaran yang dinamakan 'Manifesto Rakyat" di Konvensyen Pakatan Harapan Rakyat hari ini, Ahli Parlimen Tuaran itu berkata, tawaran Pakatan Rakyat apabila menjadi kerajaan ini jelas mengangkat martabat rakyat.

"Manifesto ini mengangkat rakyat dan mengeluarkan rakyat dari cengkaman dan penindasan BN setengah abad," katanya yang keluar dari BN dan menyertai PR pada Julai tahun lalu.

Beliau juga berkata, Manifesto Rakyat sekaligus menjanjikan perubahan kepada Malaysia.

"Manifesto ini akan memberikan perubahan kepada Malaysia dan mewujudkan satu semangat kekitaan dan mewujudkan perasaan 'ini ialah negara kita'," katanya di hadapan 1,500 perwakilan.

Penampilan Yassin buat kejutan di Konvensyen PR

Harakahdaily, 25 Feb 2013


SHAH ALAM: Penampilan penyanyi popular Yassin dan rakan-rakannya dengan dua lagu tema Pakatan Rakyat menjadi kejutan dalam Konvensyen Pakatan Rakyat hari ini.

Dengan lagu 'Menuju Putrajaya' dan 'Reformasi', Yassin yang juga bekas anggota kumpulan nasyid Brothers itu memukau para peserta konvensyen di Pusat Konvensyen Shah Alamdi sini.

Kedua-dua lagu ini adalah pertama kali diperdengarkan kepada umum sempena konvensyen hari ini.

Sebelum ini video klip lagu Reformasi nyanyian beliau ini telah dilancarkan oleh Angkatan Muda Keadilan (AMK) sebagai lagu rasmi kempen mereka ke seluruh negara.

Ia juga dijangka bakal menjadi siulan anak-anak muda khususnya dikongsi di laman-laman sosial dan radio internet walaupun bakal di black out dari tv dan radio tradisional.

Yasin juga telah secara rasminya dilantik sebagai duta terbaru PKR bagi mempromosikan parti tersebut kepada anak muda.

Diugut, Karnival Rakyat PAS Sepanggar dibatal

Harakahdaily, 25 Feb 2013
KOTA KINABALU: Karnival Rakyat PAS Kawasan Sepanggar yang sepatutnya berlangsung semalam di Kampung Warisan di sini terpaksa dibatalkan ekoran tindakan sabotaj dan ugutan kekacauan yang dilakukan pihak tertentu.


Menurut Ketua Pemuda PAS Sepanggar Saifuddin Samsuddin, sekumpulan Ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), mendatangi mereka dan mengugut akan melakukan kekacauan sekiranya program tersebut diteruskan.


Menurut Saifuddin, pihaknya sebelum ini telah mengadakan pertemuan bersama JKKK , namun ketegangan berlaku apabilamereka mendakwa pihak Belia kampung tersebut telah merancang untuk mengadakan aktiviti sama sejak Januari lalu.


Walaubagaimanapun katanya, penganjur yang telah beberapa kali mengadakan perbincangan dan mesyuarat bersama beberapa penduduk kampung tidak pernah dimaklumkan mengenai program Belia yang akan menganjurkan aktiviti sama pada hari tersebut.


Malahan, penganjuran Karnival Rakyat ini juga telah mendapat kebenaran pihak Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dan turut dimaklumkan kepada pihak polis.


Pagi semalam, sebelum program berlangsung, beberapa buah kenderaan dan kumpulan yang dipercayai penyokong BN berkawal di padang dan kelihatan bendera BN sudah mula dipacak disekitar padang di mana lokasi penganjuran Karnival Rakyat akan diadakan.


Selain itu penganjur mendapati beberapa banner dan banting yang dipasang sekitar kawasan kampung telah diconteng dan ditulis dengan bebrapa perkataan ugutan.


Sehubungan itu kata Samsuddin, bagi mengelak sebarang perkara tidak diingini berlaku, program tersebut terpaksa ditunda kepada satu tarikh lain.

Bala pulang: Ingatkan Najib ada, TV3 buat liputan

Harakahdaily, 25 Feb 2013
KUALA LUMPUR: Tidak pula nampak kelibat Najib Razak atau Razak Baginda berada di lapangan terbang untuk menyambut kepulangan Balasubramaniam itu.

“Dulu Bala ini menjadi orang penting dan Najib telah mengupah orang tengah untuk mencari PI ini, tidak kira malam atau siang. Ingatkan adalah Najib datang menyambut kepulangan Bala semalam,” tulis Aspan Alias di dalam blognya http://aspanaliasnet.blogspot.com/ sebagaimana di bawah.

PI Balasubramaniam telah kembali ke tanah air petang semalam. Beliau disambut oleh lebih kurang 50 orang di lapangan terbang KLIA. Beliau dikatakan telah kembali dari India di mana beliau dan keluarga telah menetap semasa menghilangkan diri dari negara ini.

Di antara yang datang menyambut beliau kembali itu ialah Sivarasa, seorang Ahli Parlimen PKR serta Cikgu Bard dan beberapa wakil NGO. Tidak pula nampak kelibat Najib Razak atau Razak Baginda berada di lapangan terbang untuk menyambut kepulangan Balasubramaniam itu. Dulu Bala ini menjadi orang penting dan Najib telah mengupah orang tengah untuk mencari PI ini, tidak kira malam atau siang. Ingatkan adalah Najib datang menyambut kepulangan Bala semalam.

Tetapi tidak ada pula liputan besar-besaran dari pihak media massa perdana seperti TV3 dan lain-lain. Dulu TV3 membuat liputan tentang akuan bersumpah kedua Bala ini secara besar-besaran tetapi kali ini apabila kembali menyatakan yang akuan bersumpahnya yang pertama yang betul dan benar, tidak pula diliputi oleh TV3 dan media perdana yang lain.

Bala telah bersumpah dengan kitab sucinya Bhagavad Gita yang akuan bersumpahnya yang pertama adalah yang benar dan akuan bersumpah kedua itu adalah yang tidak benar. Akuan bersumpah kedua itu adalah didesak oleh keadaan semasa itu kerana tekanan dan sebagainya yang dilakukan oleh Najib dan Rosmah. Bala berkata apa yang telah diperkatakan oleh Deepak itu semuanya benar dan betul belaka.

Tetapi Bala akan mengadakan ‘road show’ nya tetapi tidak akan bersama Deepak kerana beliau akan melakukannya sendiri tanpa Deepak. Bala akan melakukan ‘road show’ nya tidak lama lagi dan akan membongkar segala-galanya berhubung dengan isu Altantuya dan berbagai-bagai lagi yang melibatkan Najib serta Rosmah.

Apabila ditanya oleh pemberita sama ada beliau tidak takut untuk melakukan pembongkaran isu ini, beliau berkata beliau tidak takut kerana beliau percaya yang tidak mungkin pihak itu membunuh lagi. Kepulangan Bala ini akan mengundang banyak lagi berita yang hangat di negara kita ini. Isu yang terlalu banyak sekarang ini akan bertambah-tambah banyak lagi dalam masa kita menghadapi pilihanraya ini.

Apa pun yang akan berlaku, yang pasti ia akan memberikan impak yang besar terhadap kewibawaan Najib dan keluarga tetapi ia juga membawa padah kepada pihak-pihak yang menyokong Najib dan pimpinan beliau. Sesungguhnya aura Najib tetap merudum dan aura buruk yang melekat kepada Najib itu akan membawa kejatuhan kepada parti dan kerajaan yang di pimpin beliau.

Itu sebab nya saya tidak dapat menidakkan hakikat yang UMNO sedang menghadapi isu yang tidak dapat diuruskan oleh mereka lagi. Tidak ada ruang yang tidak bermasalah dan tentunya keadaan ini akan menjejaskan segala urusan kerajaan dan imej negara. Bagaimana kerajaan hendak menumpukan usaha untuk membina negara sedangkan mereka sendiri sedang menghadapi masalah mereka sendiri.  Tidak mungkin mana-mana pentadbiran itu akan menjadi pentadbiran yang baik jika yang mentadbir itu sendiri mempunyai masalah sendiri yang terlalu besar.

Selalu kita berfikir bagaimanakah UMNO hendak memperbaiki diri kerana pimpinannya tidak tahu dan mengenali yang mana satu yang baik dan yang mana yang tidak baik. Mereka ditekan oleh budaya buruk yang telah terbina begitu lama oleh pimpinan UMNO sejak hampir tiga puluh tahun dahulu.

Dr Mahathir telah menanamkan budaya dan kepercayaan yang membina negara ini ialah pembinaan bangunan yang tinggi-tinggi, jambatan yang terpanjang di dunia atau pun tiang bendera yang tertinggi dalam dunia dan sebagainya. Dr Mahathir telah membina pemikiran rakyat yang negara maju itu adalah negara yang rakyatnya yang kaya raya dan pembangunan fisikal yang boleh dijadikan tempat pelancungan.

Dr Mahathir sendiri tidak tahu yang pembangunan negara (nation building) bukan setakat pembangunan fisikal yang hebat dan besar tetapi juga membina mentaliti yang mempunyai kelas yang baik secocok dengan keadaan waktu dan zamannya. Sikap dan mentaliti orang ramai sudah punah ranah kerana isu ini tidak dibina oleh Mahathir yang memerintah kita selama 22 tahun. Malahan sikap dan mentaliti yang baik dahulu sudah terhapus dan nilai budaya kita telah terhakis dengan begitu teruk sekali.

Tidak ada salahnya untuk sesiapa membina ‘empire’ perniagaan yang besar-besar tetapi apa yang salahnya rakyat telah terbina satu persepsi yang kekayaan itu hanya boleh diperolehi dengan melakukan peniagaan yang bersifat ‘monopolistic’ seperti yang dibina oleh Dr Mahathir dan semua pemimpin yang mewarisi kepimpinan beliau sehingga ke hari ini.

Kita boleh saksikan yang Syed Mokhtar itu tidak ada apa yang boleh dibanggakan kerana beliau mendapat sokongan dari pihak kerajaan melalui pengaruh Dr Mahathir untuk mendapatkan segala-galanya tanpa bersusah payah seperti ‘corporate captains’ yang lain. Segala kepunyaan rakyat yang ada di laut dan di darat diberikan kepada Syed Mokhtar dan sekarang sedang mengintai untuk mengambil alih Sistem Penerbangan Malaysia (MAS) pula.

Tidak ada perniagaan yang beliau bina sendiri dan diperbesarkan. Syed ini hanya menggunakan pengaruhnya untuk mendapatkan apa yang sudah sedia terbina. Budaya ini sudah tertanam dalam benak rakyat kita dengan begitu dalam sekali. Apabila seseorang itu mendapat memiliki harta dan kepunyaan rakyat, orang sebegini dianggap sebagai orang yang berjaya.

Itulah sebabnya untuk memperbetulkan keadaan ini tidak mungkin boleh dilakukan oleh kumpulan yang membinanya. Oleh yang demikian adalah wajib dan penting sekali untuk merubah pimpinan negara secara ‘total’ dan menyeluruh.

Ada seorang rakan saya mempunyai pandangan yang ‘conclusive’ terhadap UMNO sekarang ini. Beliau berkata, “If you want to break anything, give  it to UMNO, and if you want to make it worst give it to UMNO to fix it back”.

Sampai ke hari ini saya teringat dengan kata-katanya itu.

14 tawaran Pakatan untuk kesejahteraan rakyat

Salmiyah Harun, 25 Feb 2013
SHAH ALAM: Rakyat terbeban dengan kos sara hidup yang tinggi sedang gaji dan upah tidak meningkat, malah generasi kini adalah lebih miskin dari generasi sebelumnya, generasi mendatang lebih miskin dari generasi kini.

Atas keprihatinan ini Pakatan Rakyat mengutamakan Kesejahteraan Rakyat yang merupakan salah satu cabang daripada Manifesto Pakatan Rakyat yang dilancarkan hari ini.

Cabang Kesejahteraan Rakyat ini dibentangkan Pengarah Strategi PAS Pusat Dr Dzulkifli Ahmad di hadapan kira-kira 1,500 perwakilan ketiga-tiga parti PAS, PKR dan DAP di Pusat Konvensyen Shah Alam, di sini hari ini.

Menurut Dzulkifli, perbelanjaan asas setiap isi rumah dibebankan dek struktur harga yang berpihak kepada kroni dan syarikat besar, ekonomi negara dikuasai oleh beberapa monopoli yang dimilki kroni dan syarikat besar.

"kemungkaran ekonomi yang menindas rakyat seperti ini perlu ditentang sekeras-kerasnya," kata beliau.

14 tawaran yang digariskan dalam cabang Kesejahateraan Rakyat iaitu;

- Harga minyak turun
- Caj elektrik lebih rendah
- Caj air lebih rendah
- Hapus tol
- Hapus monopoli
- Turunkan harga kereta
- 150,000 rumah selesa mampu milik
- Perbadanan Perumahan negara: pelaburan RM5 bilion tahun pertama dan RM2 bilion setahun selepas itu untuk bina rumah selesa mampu milik.
- Pendidikan percuma untuk semua, haput PTPTN
- Hapus AES. Batalkan saman AES
- Keadilan untuk warga Felda
- Tingkatkan guna tenaga polis untuk banteras jenayah
- Perkhidmatan wad percuma (kelas 1 dan 3) di semua hospital kerajaan
- Bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat dinaikkan kepada RM550 sebulan.

Suruhanjaya Anti-Monopoli henti perniagaan tidak adil

Hazayani Zakaria, 25 Feb 2013
SHAH ALAM: Pakatan Rakyat akan menubuhkan Suruhanjaya Anti-Monopoli dan merombak undang-undang sedia ada berkaitan persaingan untuk memberi lebih kuasa menghentikan amalan perniagaan yang tidak adil.

Menurut Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli, suruhanjaya tersebut bagi memecah monopoli merancakkan persaingan.

"Monopoli dalam sektor perkhidmatan dan barangan yang dikawal oleh beberapa syarikat besar berkepentingan memberi mereka kuasa menentukan harga tinggi yang menekan rakyat," katanya.

Pengumuman itu dibuat dalam pembentangan Manifesto Rakyat bertema 'Pakatan Harapan Rakyat' pada Konvensyen Pakatan Harapan Rakyat di Shah Alam Convention Center hari ini.

Selain itu, Pakatan Rakyat akan menubuhkan Suruhanjaya Kontrak Awam untuk menilai dan menjadi timbang tara bagi memastikan semua perjanjian di antara kerajaan dan swasta tidak berat sebelah dan merugikan rakyat.

Ia termasuk memecah monopoli dalam bidang komunikasi, makanan ruji, farmaseutikal, penerbangan awam dan sektor utama yang lain.

Perjanjian penjana bebas (IPP) yang berat sebelah juga akan dirombak bagi mengelakkan wang rakyat terus mengkayakan kroni.

Dalam usaha merancakkan persaingan pula, PR akan membubarkan 1MDB agar khazanah kekal satu-satunya badan pelaburan negara.

Pegangan kerajaan dalam syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang terbabit dalam perniagaan bukan berkepentingan nasional kepada pengurusan GLC akan dilupuskan.

Ia akan dilakukan melalui kaedah ambil alih oleh pengurusan bertujuan melahirkan lebih ramai usahawan Bumiputera yang berdaya maju.

PR juga akan merombak peranan Ekuinas agar egensi itu membantu merancakkan pengambil alihan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) oleh pengurusan dan usahawan yang layak.

Selain itu, PR juga akan memastikan perolehan secara tender terbuka dilaksanakan secara menyeluruh dalam urusan badan-badan awam.

Tiada ulasan: