Teman baik bagai penjual minyak wangi
2010/03/19
SESUNGGUHNYA keadaan hidup seseorang itu adalah sesuai dengan sahabat karibnya. Persahabatan dan pergaulan mempunyai pengaruh yang amat besar dalam mendatangkan kebaikan dan manfaat bagi seseorang. Begitu juga sebaliknya, kemaksiatan dan kemudaratan.
Justeru, setiap seorang hendaklah memerhatikan siapa yang dijadikannya sebagai sahabat - siapa yang diajak berteman, bergaul dan berkawan. Apakah kita berkawan dengan orang soleh dan baik-baik atau dengan orang fasik dan jahat.
Pengaruh berkenaan tidak kelihatan secara spontan. Ia tampak sedikit demi sedikit dan sesuai dengan lamanya persahabatan dan pergaulan - dengan orang baik-baik atau dengan yang jahat tadi.
Nabi s.a.w pernah bersabda yang bermaksud: “Seseorang akan dikumpulkan bersama kawan karibnya (atau seseorang akan dikumpulkan bersama siapa yang dicintainya”. (Hadis riwayat Ibn Mas’ud) Dalam hadis lain Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Keadaan hidup seseorang sesuai dengan sahabat karibnya, maka hendaknya setiap orang memerhatikan siapa yang dijadikan sahabat.” (Hadis riwayat Bukhari) Rasulullah bersabda lagi yang bermaksud: “Perumpamaan teman berbincang yang baik, ibarat seorang penjual wangian. Adakalanya engkau diberinya atau membeli daripadanya atau beroleh bau wanginya. Dan, perumpamaan sahabat yang jahat ibarat peniup tukang besi, ada kalanya engkau terbakar dengan percikan apinya atau terkena bau busuknya.” (Hadis riwayat Muslim) Apakah neraca yang boleh dijadikan ukuran untuk menilai pergaulan? Sesiapa ingin mengetahui adakah daripada sahabatnya ia boleh menambah iman, agama dan amal atau menderita kekurangan daripadanya, maka hendaklah ia merenung kembali keadaannya sebelum persahabatan dan pergaulannya dengan orang berkenaan.
Dengan lain perkataan, bagaimana keadaannya dalam hal keteguhan iman, agama dan akhlak mulia yang disandangnya, niat baik yang dipendamnya, serta semangatnya yang kuat untuk melakukan ketaatan dan kebajikan.
Kemudian, perhatikan keadaannya dalam semua itu setelah bergaul dan berteman. Jika ia mendapati sifat dan amal baik itu telah bertambah kuat dan kukuh, semangatnya serta tekadnya untuk mempertahankannya pun semakin bertambah, maka dia dapat berasa lega kerana pergaulan dan persahabatannya telah mendatangkan manfaat baginya dalam agama dan jiwanya.
Jika ia meneruskan persahabatannya dan menjadikannya sebagai kebiasaan yang dipegangnya erat-erat, pasti akan membawanya kepada manfaat yang lebih besar serta kebaikan yang lebih berlimpah, insya-Allah.
Namun, jika ia memerhatikan keadaan dirinya setelah pergaulannya itu berlangsung dan melihat bahawa perilaku dan semangat keagamaannya menjadi lebih lemah dan goyah, hal itu menunjukkan pergaulan dan persahabatannya telah mendatangkan mudarat bagi agama dan jiwanya.
Jika ia meneruskan pergaulan dan persahabatannya, nescaya hal itu akan menjerumuskannya ke dalam mudarat dan kejahatan yang lebih besar serta lebih banyak. Semoga Allah s.w.t melindungi kita daripadanya.
Dengan cara itu pula, hendaknya kita memerhatikan kembali sifat buruk yang ada pada dirinya sendiri sebelum persahabatan itu dan sesudahnya.
Dengan neraca yang disebutkan di atas, hendaknya ia menimbang masing-masing sifat dan perilaku diri sendiri dan membandingkannya dengan sifat kebalikannya pada diri teman pergaulan. Hendaknya ia menyedari bahawa kemenangan akan berada di pihak yang lebih kuat dan lebih dominan, dalam kebaikan atau kejahatan
Ertinya, apabila kebaikan di antara sesama teman itu lebih kuat atau lebih dominan, dapat diharapkan bahawa teman yang jahat akan tertarik pada kebaikan dan pelakunya. Tetapi, apabila kejahatan lebih kuat dan lebih dominan, dikhuatiri orang yang baik akan tertarik pada kejahatan dan pelakunya.
Inilah makna yang amat pelik yang benar-benar dimengerti orang yang berpengalaman dan dicerahkan jiwanya dalam perkembangan pelbagai perilaku seperti ini
Koleksi Hadis dan Ayat Quran Berkaitan Dengan Kawan, Persahabatan dan Persaudaraan Menurut Islam
Susunan: Amiene Rev
Kawan, persahabatan dan persaudaraan mempunyai makna yang menjunjung prinsip kehidupan. Saya telah menyusun beberapa hadis dan ayat-ayat Al Quran berkaitan dengan persahabatan untuk dijadikan rujukan.
Ayat Al Quran Mengenai Persahabatan: Sahabat Pada Hari Kiamat
(Pada hari kiamat kelak) orang yang bersahabat saling bermusuhan di antara satu sama lain, kecuali orang-orang yang bertaqwa." (al-Zukhruf:67)
Hadis Persahabatan: Memilih Kawan
"Seseorang itu dikenali berdasarkan sahabatnya, maka berwaspadalah / bersikap bijaksanalah dalam memilih sahabat." (Riwayat Ahmad)
Ayat Al Quran Berkenaan Persahabatan: Orang Zalim Yang Menggigit Jari
"Pada hari itu orang yang zalim menggigit tangannya (jari) dengan penuh penyesalan sambil berkata alangkah baiknya kalau aku dahulu menurut ajaran Rasul Allah. Wahai alangkah baiknya kalau aku tidak menjadikan si anu sebagai sahabat karib. Ia telah menyesatkan aku dari mengingati pesanan (Allah) setelah peringatan itu datang. Memang syaitan akan melepaskan diri dari kejahatannya terhadap manusia. (Al-Furqan: 27-29)
Hadis Persahabatan: Tukang Besi dan Penjual Minyak Wangi
"Bersahabat dengan orang yang soleh dan dengan orang yang jahat persis seperti berkawan dengan pengedar minyak wangi dan tukang besi (yang menghembus bara api). Pengedar minyak wangi sama ada ia memberi anda sebahagian atau anda membeli bau-bauan daripadanya atau sekurang-kurangnya anda mendapat juga baunya. Manakala tukang besi pula samada ia menyebabkan baju anda terbakar atau anda mendapat bau yang hapak." (Riwayat Abu Daud)
Hadis Persahabatan: Jangkitan Orang Durjana
"Jangan bersahabat dengan orang yang durjana nanti menjangkit kedurjanaanya kepada anda. Awas dari berkawan dengan rakan/sahabat yang jahat." (Al-Mustadrak ala al Sahihain)
Hadis Mengenai Persahabatan: Orang Mukmin
"Jangan bersahabat kecuali dengan orang Mukmin." [Riwayat Abu Daud)
Hadis Persahabatan: Jamuan Orang Bertakwa
"Janganlah memakan jamuan anda melainkan orang yang bertaqwa." (Riwayat Abu Daud)
Hadis Persahabatan: Cermin
"Orang Mukmin adalah ibarat cermin bagi Mukmin yang lain. Mereka bersaudara di antara satu sama lain. Memelihara harta bendanya dan melindungi kepentingannya masa ketiadaannya" (Riwayat Abu Daud)
Hadis Persahabatan: Ikatan Setiakawan Kerana Allah
"Ikatan iman yang paling teguh ialah setiakawan demi Allah dan berkonfrontasi demi Allah, kasih demi Allah, benci pun demi Allah." (Riwayat Tayalasi, Hakim, Tabarani fi al-Kabir dan al-Ausat, Ahmad, Ibn Abi Syaibah, dan Ibn. Nasr)
Hadis Persahabatan: Memanfaatkan Kelebihan Diri Untuk Menolong Orang Yang Tidak Ada Kelebihan Tersebut
"Sesiapa yang mempunyai kelebihan tunggangan maka hendaklah dia membantu memudahkan untuk orang-orang yang tidak mempunyai kenderaan. Sesiapa yang mempunyai bekalan lebih maka hendaklah dia membantu orang yang tidak mempunyai bekalan." (Riwayat Muslim)
Hadis Persahabatan: Rasa Sayang
“Jika seseorang itu sayang kepada sahabatnya maka hendaklah dia beritahu bahawa dia menyayanginya.” (Riwayat Abu Daud)
Hadis Persahabatan: Doa Untuk Sahabat
Umar Ibnu al-Khattab meriwayatkan:
عن عمر رضي اللهم عنهم قال استأذنت النبي صلى اللهم عليه وسلم في العمرة فأذن لي وقال لا تنسنا يا أخي من دعائك فقال كلمة ما يسرني أن لي بها الدنيا
Pada suatu ketika saya memohon izin daripada Rasulullah s.a.w. untuk pergi menunaikan umrah. Baginda mengizinkan saya. Beliau berpesan “Jangan lupa mendoakan kami wahai saudaraku.”. Saya amat berbesar hati dengan ungkapan Baginda tersebut. (Riwayat Abu Daud)
Hadis Persahabatan: Bermanis Muka
Abu Dzar meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:
عن أبي ذر قال قال لي النبي صلى اللهم عليه وسلم لا تحقرن من المعروف شيئا ولو أن تلقى أخاك بوجه طلق
“Jangan engkau memandang kecil perbuatan yang baik, walaupun sekadar bermuka manis apabila bertemu dengan sahabat” Riwayat Muslim)
Hadis Persaudaraan: Dua Muslim Berjabat Tangan
Rasulullah s.a.w. bersabda:
عن البراء قال قال رسول الله صلى اللهم عليه وسلم ما من مسلمين يلتقيان فيتصافحان إلا غفر لهما قبل أن يفترقا
“Setiap dua orang muslim bertemu dan berjabat tangan nescaya diampunkan dosa keduanya sebelum mereka berpisah” (Riwayat Abu Daud)
Hadis Persahabatan: Sering Ziarah-Menziarahi
Rasulullah s.a.w. bersabda: Allah s.w.t. berfirman:
عن النبي صلى اللهم عليه وسلم يرفعه إلى الرب عز وجل قال حقت محبتي للمتحابين في وحقت محبتي للمتزاورين في وحقت محبتي للمتباذلين في وحقت محبتي للمتواصلين في
“Orang yang berkasih sayang kerana Allah, orang yang saling berziarah kerana Aku (Allah), orang yang saling berbelanja membelanja kerana Aku(Allah), orang yang saling berhubungan kerana Aku(Allah), mereka semua berhak mendapat kasih sayangKu (Allah)” (Riwayat Ahmad)
Hadis Persaudaraan: Ucapan Untuk Sahabat - Kelahiran Anak
بورك لك بالموهوب وشكرت الواهب ورزقك بره وبلغ أشده
“Semoga Allah memberkati anda dengan kelahiran anak ini. Semoga anda bersyukur terhadap kurniaan Allah, mudah-mudahan anda dikurniakan kebaikan setelah ianya membesar.” (Diriwayatkan daripada Hussein Saidina Ali)
Hadis Persaudaraan: Ucapan Untuk Sahabat - Pulang Dari Perjalanan Jauh
الحمد لله الذي سلمك وجمع الشمل بك وأكرمك
“Segala puji bagi Allah yang telah menyelamatkan anda dalam perjalanan, mempertemukan saya dengan anda serta telah memuliakan anda dengan perjalanan tersebut.” (Diriwayatkan daripada Para Leluhur Silam; Salaf)
Hadis Persaudaraan: Ucapan Untuk Sahabat - Pulang Dari Medan Perjuangan Atau Jihad
الحمد لله الذي نصرك وأعزك وأكرمك
“Segala puji bagi Allah yang telah menganugerahkan kepadamu kejayaan, kemuliaan dan pengorbanan.” (Riwayat Muslim, Nas’I daripada A’isya)
Hadis Persahabatan - Ucapan Untuk Saudara - Pulang Dari Menunaikan Haji
تقبل الله حجك وغفر ذنبك وأخلف نفقتك
“Semoga Allah menerima ibadah hajimu, mengampunkan dosamu, serta menggantikan semula harta yang telah anda belanjakan.” (Riwayat Ibnu Sunni daripada Ibnu Umar)
Hadis Persahabatan: Memberikan Hadiah
عليك بالهدايا فإنها تورث المودة وتذهب الضغائن
Ad-Dailami meriwayatkan daripada Anas r.a.; Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud; “Kerapkanlah memberi hadiah kerana ia boleh meneguhkan kasih sayang dan menghilangkan persanggitan hati.” (Riwayat Thabrani)
Dalam hadith yang lain Baginda bersabda:
تهادوا تحابوا
“Hendaklah kalian saling memberi hadiah, kelak kalian akan lebih mesra dan kasih.” (Riwayat Malik)
Hadis Berkenaan Persaudaraan Dalam Islam: Tujuh Hak Seorang Muslim Daripada Muslim Yang Lain.
Rasulullah s.a.w. menerangkan:
للمؤمن على المؤمن سبعة حقوق واجبة من الله وجل، الإجلال له في عينه، والود له في صدره، والمواساة له في ماله، وأن يحرم غيبته، وأن يعوده في مرضه، وأن يشيع جنازته، وأن لا يقول فيه بعد موته إلا خيرا عز
“Tiap orang MuKmin telah diwajibkan oleh Allah mendapat tujuh hak daripada orang mukmin yang lain:
- iaitu memandangnya dengan penuh penghargaan,
- menyimpan perasaan mesra dalam hati terhadapnya,
- menghulurkan simpati dengan harta sendiri,
- mengharamkan perbuatan mengumpat terhadapnya,
- menziarahinya ketika sakit,
- mengiringi jenazahnya (apabila meninggal dunia) dan
- tidak menyebut tentangnya kecuali yang baik sahaja setelah ketiadaannya.”
Berkawanlah dengan 'penjual minyak wangi'
Sekiranya pengaruh itu berunsur positif, tiada siapa menentang, tetapi bagaimana dengan pengaruh negatif? Tiada sesiapa menidakkan kesan dan pengaruh kawan sepergaulan serta sahabat seperjalanan.
Akhir-akhir ini, pengaruh dan kesan buruk cukup menonjol, misalnya merokok, melepak dan merempit.
Di sekolah, bahkan di mana-mana institusi, perbuatan seperti itu tidak diajar, tetapi bagaimana seseorang boleh tahu merokok dan mahir merempit? Bukankah ia lahir daripada kawan?
Berkawan tidaklah salah, malah dalam Islam amat digalakkan kerana menghubungkan ikatan persaudaraan. Tetapi apakah jenis kawan yang harus didekati?
Kawan yang dianjurkan ialah kawan yang baik serta ikhlas kerana Allah. Sikap Islam terhadap faktor dan peranan ini dapat dilihat dengan jelas daripada beberapa al-Quran serta hadis.
Terdapat ayat yang mengisyaratkan mengenai peranan dan pengaruh kawan, antaranya firman yang bermaksud: "Wahai orang yang beriman! Bertakwalah dan hendaklah kamu bersama-sama orang yang bersifat benar." (Surah at-Taubah: 119)
Orang yang bersifat benar ialah orang yang baik, berbudi bahasa, berakhlak dan mengamalkan budaya hidup terpuji, bukan orang jahat serta suka berdusta.
Ayat lain menceritakan, kawan yang bertakwa sebenarnya kekal dan bermanfaat, sementara kawan tidak bertakwa akan bermusuhan sesama sendiri.
Ini memang benar kerana kawan yang bertakwa mengenal Tuhan dan menjadikan Tuhan sebagai rujukan dalam semua perkara, manakala kawan tidak bertakwa lupa Tuhan serta demi kepentingan masing-masing bercakaran, walaupun sesama sendiri.
"Teman-teman pada masa itu setengah dengan setengah yang lain adalah musuh melainkan yang bertakwa." (Surah al-Zukhruf: 67)
Dalam satu ayat lagi, Allah menceritakan mengenai penyesalan orang yang bertemankan si jahat.
"Aduhai, kiranya aku tidak menjadikan si pulan itu sebagai teman, sesungguhnya dia telah menyesatkan aku dari al-Quran, selepas aku didatangi olehnya. Dan sesungguhnya syaitan mendustai manusia." (Surah al-Furqan: 28)
Kita sama-sama memohon perlindungan dan berharap supaya tidak termasuk golongan yang rugi bertemankan yang jahat sehingga mengakibatkan diri tersesat daripada landasan kebenaran.
Hadis al-Bukhari dari Abu Musa al-Asy'ari, bermaksud: "Diumpamakan rakan yang soleh dan rakan yang jahat ialah seperti (berkawan) dengan penjual minyak wangi dan tukang besi. Penjual minyak wangi tidak akan mensia-siakan anda, sama ada anda membelinya atau hanya mendapat bau harumannya. Tukang besi pula boleh menyebabkan rumah anda atau baju anda terbakar, atau mendapat bau busuk."
Memang benar perumpamaan diceritakan itu. Apabila berkawan dengan orang baik, kita juga akan menjadi baik, tetapi jika berkawan dengan yang jahat, kita juga mungkin lambat laun serupa saja.
Walaupun kita tidak mengikut gelagat jahatnya, kadangkala tempiasnya terkena pada kita. Bukan sedikit orang yang berkawan dengan pencuri, juga dituduh mencuri, sedangkan dia tidak melakukannya.
Dalam sesetengah keadaan juga, kawan selalu diberikan keutamaan dan kepercayaan yang lebih berbanding ahli keluarga.
Malah, ada juga kawan yang dibela, manakala keluarga dicerca, sebagaimana penagih yang mahu menghilangkan ketagihannya. Kajian psikologi remaja amat jelas menunjukkan kebenaran ini.
Apa pun, tujuan berkawan sebenarnya untuk mendapatkan manfaat seperti bantuan dan perkongsian pengetahuan, bukan mencari keburukan. Perompak dan pencuri juga mencari kawan yang dapat memberikan faedah kepada dirinya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan