Khamis, 23 September 2010

Lambakan iklan perangsang seks



2010/09/22

KUALA LUMPUR: Daripada harga serendah RM120, lelaki mahupun wanita yang taksub menjadi hebat di ranjang kini mudah mendapatkan produk perangsang seks menerusi lambakan iklan haram di bandar raya ini.

BERLELUASA...antara iklan produk perangsang seks di tiang lampu.
BERLELUASA...antara iklan produk perangsang seks di tiang lampu.
Bukan hanya menawarkan produk terbabit, pelanggan juga diberikan khidmat nasihat penggunaan produk sesuai berdasarkan masalah dialami, selain penghantaran mengikut keselesaan pelanggan.


Kewujudan penjualan produk dan khidmat terbabit terbukti melalui panggilan telefon yang dibuat ke atas satu nombor telefon yang tertera di iklan haram. Individu yang memperkenalkan dirinya sebagai Zack berkata, dia menjual pelbagai produk dan ubat kuat untuk lelaki dan wanita.


Antara produk yang ditawarkan ialah toy seks, krim sapuan bagi wanita, dan lelaki ditawarkan produk berbentuk semburan, pil serta tisu.


Katanya, semua produk dipercayai dari Amerika Syarikat dan dikilangkan di Hong Kong itu dapat memberikan kepuasan kepada pasangan tanpa memberi kesan sampingan.


Malah, bagi individu mahupun pasangan yang menginginkan kesan jangka panjang, Zack turut menawarkan sejenis pil yang didakwanya mampu membuatkan lelaki sentiasa hebat di ranjang hanya dengan pengambilan 30 pil dalam tiga bulan.


Dalam pada itu, tinjauan Harian Metro mendapati iklan produk terbabit diletakkan di lokasi strategik seperti di persimpangan jalan, tiang lampu dan pokok di sepanjang laluan.


Suri rumah, Adlena Mohd Yusof, 40, berkata biarpun penjualan produk terbabit salah di sisi undang-undang, masih terdapat masyarakat yang degil dengan melanggan produk itu tanpa memikirkan kesan sampingannya. “Sudah banyak kisah yang dipaparkan dalam akhbar mahupun media elektronik mengenai kesan negatif penggunaan produk terbabit sehingga ada yang membawa maut, namun disebabkan taksub menjadi kuat mereka masih mencuba,” katanya.


Sementara itu, Pengurus Komunikasi Korporat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Anwar Mohd Zain, berkata selain bertindak atas maklumat awam, pihaknya juga kerap melakukan rondaan dalam usaha memerangi iklan haram menerusi kumpulan khas yang diwujudkan di setiap cawangan DBKL


Mahu mandi sendiri

Oleh Rashidi Karim

2010/09/22

KANGAR: “Dia tidak mahu suami saya memandikannya seperti kebiasaan, sebaliknya mahu mandi seorang diri di luar rumah beberapa jam sebelum meninggal dunia,” kata Rohayani Asra, ibu kepada Mohd Hamizan Jasmin, 10, yang mati akibat tertelan besi hujung pen ketika berada dalam kelas di Sekolah Kebangsaan Chuping, dekat sini, semalam.

MOHD HAMIZAN...maut
MOHD HAMIZAN...maut
Murid tahun empat itu dipercayai mengulum pen berkenaan sebelum secara tiba-tiba besi hujung depan pen berkenaan dikatakan tercabut dan memasuki saluran pernafasannya menyebabkan dia rebah sehingga mengejutkan rakan sekelas lain.

Mangsa kemudian disahkan sudah meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Klinik Kesihatan Beseri selepas tidak sedarkan diri, kira-kira jam 9.45 pagi dan hasil bedah siasat di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) menemui besi hujung pen itu dalam badannya, semalam.

Rohayani berkata, selain enggan dimandikan ayahnya, Mohd Hamizan juga menunjukkan perubahan sikap apabila menjadi pendiam sejak seminggu lalu sedangkan sebelum ini dia banyak bercakap.

Bapa mangsa, Jasmin Saman, 44, pula berkata sejurus selepas kejadian, dua guru datang ke rumahnya memaklumkan anaknya tertelan sesuatu dan dalam perjalanan ke Klinik Kesihatan Beseri untuk rawatan.

“Bagaimanapun, saya menjadi lemah lutut apabila melihat arwah sudah kaku di katil dengan keadaan mulutnya berlumuran darah manakala pegawai perubatan di klinik berkenaan pula gagal menyatakan punca sebenar kematian.

“Malah, ujian X-ray juga gagal menjumpai sesuatu bagi mengaitkan punca kematiannya menyebabkan jenazah anak saya dibawa ke HTF untuk dibedah siasat,” katanya.

Menurutnya, selepas selesai bedah siasat petang semalam, baru doktor menemui sesuatu dalam badan arwah iaitu besi pen yang menjadi punca kematiannya.

Katanya, arwah Mohd Hamizan adalah anak kedua daripada empat beradik, malah dia sempat menghantar anaknya itu ke sekolah dengan motosikal, semalam.

“Arwah seorang yang aktif selain rapat dengan ibunya. Malam tadi (semalam), dia sempat berbual panjang dengan ibunya. Apapun, saya reda dengan kejadian yang berlaku dan menyifatkannya sebagai ketentuan Allah,” katanya yang bekerja sendiri.

Mayat mangsa selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kubang Perun, Chuping, lewat petang semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Padang Besar, Superintendan Che Man Md Deros, mengesahkan kejadian itu dan mengklasifikasikan kes berkenaan sebagai kematian mengejut.

Beliau berkata, pihaknya menolak sebarang unsur jenayah berhubung kematian mangsa, namun siasatan terperinci tetap dilakukan termasuk mendapatkan maklumat daripada rakan sekelas, guru dan ibu bapa mangsa.

“Kami menerima laporan daripada seorang guru Hal Ehwal Murid sekolah terbabit yang menyatakan arwah meninggal dunia kerana tertelan sesuatu ketika berada dalam kelas bersama rakan lain,” katanya.

Difahamkan, besi hujung pen itu memasuki saluran pernafasan mangsa hingga menyebabkan mengalami sesak nafas sebelum meninggal dunia


Masin mulut rakan

Oleh Suraya Roslan dan Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor

2010/09/22

CHERAS: Gara-gara bergurau dengan rakan sejawat, seorang pengawal keselamatan sebuah kedai emas di pusat beli-belah di sini, terlepas tembakan yang mengenai lima orang termasuk dua pekerja wanita sebuah pasar raya yang kebetulan melalui ruang legar pusat itu, tengah hari semalam.

SIASAT...anggota polis melakukan siasatan di lokasi kejadian. Gambar kecil kesan tembakan   di lantai.
SIASAT...anggota polis melakukan siasatan di lokasi kejadian. Gambar kecil kesan tembakan di lantai.
Dalam kejadian kira-kira jam 1 tengah hari itu, pengawal keselamatan berusia 50 tahun itu yang sedang berehat di depan pentas ruang legar bersama seorang rakannya dipercayai tertekan picu pump gun miliknya yang ketika itu muncungnya dihalakan ke lantai.

Timbalan Ketua Polis Cheras, Superintendan Abd Rahim Hamzah Othman (gambar) berkata, tembakan itu menyebabkan peluru melantun ke lantai sebelum mengenai lima mangsa berkenaan.

Katanya, semua mangsa cedera di muka dan paha akibat terkena serpihan peluru dari pump gun milik pengawal keselamatan terbabit.

“Seorang lelaki warga Britain yang juga pengurus sebuah sebuah pasar raya di situ turut terkena terkena serpihan peluru itu,” katanya.

Beliau berkata, semua mangsa yang berusia lingkungan 30-an hingga 40-an itu dilaporkan stabil dan kini dirawat di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM).

Menurutnya, suspek berusia 50 tahun ditahan dan dibawa ke Balai Polis Cheras untuk siasatan mengikut Seksyen 39 Akta Senjata Api 1990.

Sementara itu, rakan suspek yang hanya mahu dikenali sebagai Mohd Syahril, 27, berkata, sahabatnya itu sudah bekerja selama 12 tahun sebagai pengawal keselamatan, tetapi baru dua hari bertugas di kedai emas pusat beli-belah berkenaan.

“Kami bergurau dan bersembang, tetapi saya juga turut menasihatinya agar berhati-hati dengan senjata itu kerana takut tertekan, baru saja saya berkata beberapa saat kemudian terdengar bunyi tembakan mengenai lantai. Saya tergamam terus meniarap kerana bunyi yang datang dari senapang berkenaan sangat kuat,” katanya

Tiada ulasan: