Selasa, 4 Mei 2010

ISLAM KEMBALI DAGANG

'Tiada salah bincang politik Islam di masjid'
Humayun Kabir
Mei 3, 10
1:30pm

PAS Perak menyokong pendirian Mursyidul Amnya, Datuk Nik Aziz Nik Mat bahawa masijid boleh digunakan bagi membincangkan politik Islam tetapi bukannya politik berpartisan atau politik berpuak-puak.

Ketua PAS Perak, Abu Bakar Hussain berkata: "Islam adalah cara hidup dan politik adalah sebahagian daripadanya. Masjid sentiasa telah digunakan sebagai gelanggang bagi membincangkan kebajikan, ekonomi, pendidikan dan politik.”

Beliau berucap di muktamar ke-27 Dewan Pemuda PAS Perak di Markas Tarbiyah Air Kuning di Taiping, semalam.

Beliau bagaimanapun bersetuju dengan saranan Sultan Selangor bahawa masjid tidak seharusnya digunakan untuk politik partisan bagi menyerang sesama umat kerana masjid dibina bagi menyatukan semua.

Baru-baru ini, Sultan Selangor melahirkan rasa kurang senang baginda berhubung tindakan sesetengah pihak yang menggunakan masjid untuk kepentingan politik.

Baginda mahu tindakan itu dihentikan.

Namun menurut Abu Bakar, PAS tidak diberi peluang menggunakan tempat-tempat awam seperti dewan sekolah dan dewan orang ramai bagi menyampaikan maklumat mereka.

Beliau mendakwa Umno yang sebenarnya menggunakan masjid bagi agenda politik tetapi sebaliknya menuduh parti pembangkang seperti PAS yang menyalah-gunakan tempat ibadat Islam.




Kes Asri di Mahkamah Tinggi Syariah 21 Mei ini
Mei 3, 10 7:49pm
Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur hari ini membenarkan kes bekas Mufti Perlis, Mohd Asri Zainul Abidin, yang menghadapi pertuduhan mengajar agama Islam tanpa tauliah didengar di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam.

Hakim Syarie Wan Mahyuddin Wah Muhammad membenarkan kes itu dipindahkan selepas pihak pendakwaan memaklumkan Mahkamah Tinggi dalam keputusannya Rabu lalu telah membenarkan permohonan pendakwaan untuk memindahkan kes itu.

Pada 28 April lalu, Hakim Syarie Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam, Mohamad Adib Husain, menetapkan 21 Mei ini untuk mendengar kes itu.

Tarikh itu ditetapkan selepas Mohamad Adib membenarkan permohonan semakan kehakiman daripada Ketua Pendakwa Syarie Selangor, Abdul Shukor Abdul Halim terhadap keputusan Hakim Mahkamah Rendah Syariah sebelum ini yang menolak permohonan pihak pendakwa untuk memindahkan kes Asri ke Mahkamah Tinggi.

Pada 18 Nov 2009, Asri, 38, mengaku tidak bersalah atas tuduhan mengajar agama Islam tanpa tauliah di sebuah kediaman di Lorong 2C, Taman Sri Ukay, Ampang antara jam 8.10 malam dan 9.45 malam pada 1 November tahun lalu.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 119 (1) Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor 2003 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM3,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa Syariah Bahagian Selangor, Zusyarafain Yusof dan Abdul Shukor Abdul Halim, manakala Asri diwakili peguam syarie, Kamar Ainiah Kamaruzaman.

- Bernama

Tiada ulasan: