Selasa, 2 April 2013

BANYAK YANG DAH CABUT...APA YANG TINGGAL...MARI PAKAT2 MASUK SOKONG ISLAM...SOKONG ISLAM WAJIB

Hamas lantik semula Khaled Meshaal sebagai ketua

Al Jazeera terjemahan Mohamad Yahya, 02 Apr 2013

(Meshaal, kiri, berusaha untuk berdamai dengan pemimpin Fatah, Abbas tetapi dihalang oleh golongan konservatif di kedua-dua belah pihak [Gallo / Getty]


KAHERAH: Hamas telah melantik semula pemimpin veteran, Khaled Meshaal, di ibu kota Mesir, Kaherah, lapor dua pegawai Hamas.

"Para pemimpin Hamas memilih Meshaal," seorang pegawai berpangkat tinggi memberitahu agensi berita AFP melalui panggilan telefon dari Kaherah Isnin lalu, meminta nama beliau tidak didedahkan.

Pegawai-pegawai tersebut berkata majoriti anggota majlis Shura Hamas mengundi Meshaal. Mereka bercakap dengan syarat nama mereka tidak didedahkan kerana mereka tidak diberi kuasa untuk membincangkan prosedur rahsia tersebut.

Meshaal, 56, yang mengetuai pergerakan Palestin tersebut sejak 1996 ketika dalam buangan, dilihat sebagai calon popular. Beliau disokong oleh kuasa serantau Qatar, Turki dan Mesir dan kini berpangkalan di Qatar.

Pemilihan semula beliau dapat memulihkan usaha perdamaian yang terhenti antara Hamas dan saingan politik beliau, Mahmoud Abbas, presiden Palestin yang disokong Barat yang berpangkalan di Ramallah, Tebing Barat.

Meshaal telah berusahak untuk usaha perdamaian, tetapi telah disekat oleh golongan konservatif Hamas di Gaza yang khuatir perjanjian perpaduan akan memberikan Abbas tapak baru di Gaza dan melemahkan cengkaman Hamas di wilayah berkenaan.

Tahun lepas, Meshaal dan Abbas, yang mempunyai hubungan yang baik, membuat satu perjanjian di mana Abbas akan mengetuai sebuah kerajaan interim teknokrat di Tebing Barat dan Gaza.

Kerajaan ini akan membuka jalan untuk pilihan raya umum. Walau bagaimanapun, perjanjian itu tidak berjaya dilaksanakan kerana mendapat tentangan dari pemimpin Hamas di Gaza dan tokoh-tokoh kanan dalam gerakan Fatah.

Minggu lepas, Emir Qatar mengutarakan satu cadangan untuk mengadakan persidangan perdamaian di Mesir dalam minggu-minggu mendatang untuk menubuhkan satu jadual waktu bagi membentuk kerajaan sementara dan mengadakan pilihan raya.

Ditanya mengenai persidangan tersebut Isnin lalu, Abbas kelihatan berbelah-bahagi. Bercakap di Ramallah, beliau berkata beliau akan menghadiri persidangan tersebut jika dijemput, tetapi, "pada dasarnya, tiada masalah antara kami sehingga memerlukan usaha-usaha sebegini".

 

 

Bekas pengarah Kagat sertai PAS

Hazayani Zakaria, 02 Apr 2013
KUALA LUMPUR: Bekas Pengarah Kor Agama Angkatan Tentera Malaysia (Kagat), Brigeder Jeneral (B) Datuk Najmi Ahmad secara rasmi diisytiharkan menyertai PAS hari ini.

Perkara tersebut diumumkan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut pagi tadi.

Adik kepada bekas Naib Presiden PAS, Nakhaei Ahmad itu berkhidmat dalam ATM selama 28 tahun sebelum bersara pada tahun 2006.

Najmi, 62 adalah lepasan Universiti Al Azhar, Mesir dalam bidang Syariah.

Selepas tamat belajar beliau menyertai ATM pada tahun 1979. Bahagian ini kemudian menjadi Kor Agama Angkatan Tentera pada tahun 1986.

Beliau juga diumumkan akan bertanding di Parlimen Baling menggantikan penyandang sekarang, Datuk Taib Azamuddeen Taib yang tidak akan dicalonkan semula kerana masalah kesihatan.

Mengulas mengenai perkara itu, Ustaz Hadi berkata, Najmi dicalonkan kerana pengalaman yang dimiliki boleh membantu kemenangan PAS.

"Kekuatan (Najmi) dapat memainkan tanggungjawab menyampaikan mesej parti dan tokoh yang dapat diterima secara keseluruhan sama ada pengundi muda dan wanita," katanya.
 
 

Apa motif 'Kelantan After Dark'

Syahiran Muhammad, 02 Apr 2013
Merujuk kepada akhbar inggeris tempatan, The New Sunday Times bertarikh 1 April 2013, yang telah membuat liputan mengenai isu gelaja sosial di Kelantan yang melibatkan remaja terutama dalam pelacuran,dadah dan perjudian dan Karoke, yang mana wartawan NSTP dibawa oleh seseorang ke tempat-tempt maksiat tersebut.

Kami meneliti video yang disertakan dalam web NSTP dimana mereka memaparkan lokasi karoke, pelacuran dan aktiviti black metal oleh sekumpulan kecil anak muda di Kelantan antaranya Sex Pistol dan sebagainya.

Selain itu ia memaparkan wawancara dua orang gadis yang telah terlibat dalam pelacuran. Mereka menyatakan kegiatan ini telah berlaku setahun lepas dan membuat secara kecil-kecilan dengan mencari pelanggan dari rakan-rakan lelaki mereka sehingga ke rakan-rakan lelaki yang lain. Antara sebab mereka berbuat demikian adalah kerana kos sara hidup untuk menampung yuran pengajian dan ingin hidup mewah.

Di sini timbul persoalan siapakah pihak yang bertanggungjawab membawa wartawan ke lokasi-lokasi maksiat tersebut, kenapakah beliau memilih untuk akhbar ini untuk membawa ke tempat-tempat tersebut.

Dari manakah pihak NSTP mendapat pihak yang mempunyai maklumat dalam isu ini dan mengapakan pihak yang membawa wartawan tersebut tidak terus melaporkan isu ini kepada pihak pencegah maksiat dibawah JAHEIK atau MPKB?

Pihak kami melihat tujuan pihak NSTP melaporkan isu ini di muka depan yang bertanjuk “Kelantan After Dark” ini bagi memberitahu bahawa di negeri Kelantan yang di gelar Serambi Mekah juga tidak terkecuali dari gelaja yang tidak bermoral ini.

Tiada negeri dalam Malaysia yang bersih dari Isu gelaja sosial, kerana bukan senang untuk mengawal manusia yang masing-masing mempunyai kehendak. Apa yang pentingnya ialah usaha daripada pihak berwajib dalam menangani isu ini.

Di Kelantan, kami yakin pihak Kerajaan negeri menerusi agensinya seperti MPKB bersama agensi kerajaan persekutuan seperti JAHEIK, JKM serta pertubuhan NGO belia sentiasa berusaha mendidikan generasi muda di Kelantan ini agar tidak terjerumus dalam episod gelap dalam kehidupan.

PPIK meminta agar pihak berkaitan dalam menangani kegiatan maksiat di Kelantan dari kerajaan negeri dan persekutuan tampil untuk respon isu ini.

Pihak PPIK juga berharap isu ini tidak dijadikan modal kepada mana-mana parti politik untuk menjatuhkan mana-mana pihak kerana ini adalah tanggungjawab bersama dan harap isu ini tidak di pandang ringan serta harus ditangani segera.

Sekian, Wassalam.

* Penulis adalah Presiden Persatuan Pelajar Islam Kelantan (PPIK)

Bukti Ulama Umno hina Nabi SAW tersebar....

Ameno World, 02 Apr 2013


Di antara isi kandungannya ialah :

1. 0:03 : "Nabi Muhammad baru duduk, turun daripada Mekah napok doh berhala di Bachok, hok Nik Aziz buat.."

2. 0:31 : "Nabi jale-jale, sepak berhala.. berhala hok tidur ado jugok.(Nabi ter)semban situ, sapo buat ni? Nik Aziz jugok buatnyo.."

3. 0:45 : "Kalau Nabi Muhammad bangkit loni, dia mari Kelate, dia bunuh Nik Aziz, dia mari bunuh ore PAS"

4. 5:09 : "Ambo mimpi, tengok Nabi Muhammad, mari tepuk bahu ambo, sebut lebih 30 kali, betul doh hok ambo buat ni..."


Klik untuk membaca laporan dari blog Ameno World ini.

PAS jangka PRU13 akhir Mei

Anis Nazri, 02 Apr 2013
KUALA LUMPUR: PAS menjangkakan tarikh pilihan raya umum ke-13 diadakan penghujung Mei, sama ada pada 25 atau 26 Mei ini.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali (gambar), berkata tarikh itu mengambil kira Dewan Undangan Negeri Sembilan yang terbubar secara automatik pada 27 Mac lalu.

Tambah beliau, oleh kerana Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memutuskan untuk mengadakan pilihan raya serentak di parlimen dan negeri-negeri, maka SPR
mempunyai 60 hari untuk berbuat demikian.

"Jika dikira 60 hari itu, dari 27 Mac lalu, pilihan raya umum akan diadakan tidak lewat dari 25 dan 26 Mei, atau paling lewat 27 Mei ini," tegas beliau pada sidang media, di Pusat Media PAS, Jalan Raja Laut, pagi ini.

Mustafa turut mengatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan menghadiri Persidangan Asean pada 24 dan 25 April sebagai perdana menteri penuh, dan bukannya perdana menteri 'care taker government'.

"Jadi, dia akan isytihar pembubaran parlimen selepas persidangan tersebut, mungkin pada 26 dan 27 April yang akan membawa kepada tarikh pilihan raya pada penghujung Mei," tegas beliau.


BILA RAKYAT TAK BODOH LAGI...CUMA YANG MEMIMPIN MASIH TAK SEDAR DIRI

Penerima BR1M pula diisytihar sertai Umno

Aslani M, 02 Apr 2013

PASIR MAS: Kalau di Rantau Panjang rakyat dari negara jiran diisytihar menyertai Umno, sebaliknya di sini pula penerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) diuar-uarkan keluar PAS.

Mungkinkah itu langkah terdesak Ketua Umno Pasir Mas, Datuk Hanafi Mamat sehingga menggunakan nama pemohon BR1M bagi diisytihar menyertai Umno.

Jurucakap Pondok Tal Tujuh berkata, anak seorang penghuni pondok diminta hadir pada program anjuran Umno di Tendong.

Katanya, pada awalnya mereka mahu ramai anak muda pondok hadir pada program berkenaan, namun hanya seorang sahaja yang datang.

“Lagi pun pemuda terbabit bukan lagi tinggal di kawasan pondok selepas berkahwin beberapa bulan lalu.

“Keluarganya memberitahu pemimpin Umno terbabit menggunakan borang BR1M bagi mengumumkan pemuda berkenaan menyertai Umno.

“Apa yang sebenar berlaku tiada yang menyertai Umno. Jauh sekali 70 pelajar Pondok Tal Tujuh menyertai Umno seperti disiarkan akhbar hari ini,” katanya di sini.

Beberapa akhbar menyiarkan gambar seorang pemuda dilihat seperti menyerah borang menyertai Umno kepada Ketua Bahagian Pasir Mas.

Hanafi dilaporkan berkata, lebih ramai rakyat terutamanya golongan muda terbuka hati menyertai Umno, sebagai bukti BN mampu membela nasib rakyat.

Seorang lagi penghuni pondok terbabit berkata, Umno Pasir Mas terpaksa melakonkan adegan menggunakan seorang bekas pelajar pondok kononnya menyerah borang menyertai Umno.

Katanya, perbuatan itu benar-benar mencemar imej pondok kerana mencipta perkara yang tidak wujud.

Sementara itu dalam perkembangan lain, Umno Pasir Mas dikatakan bergolak semula ekoran anggota parlimen Bebas, Datuk Ibrahim Ali disebut bertanding di kerusi parlimen Pasir Mas.

Satu sumber memberitahu Hanafi dikatakan terpaksa mencari kerusi lain yang lebih selamat, antaranya berpindah ke Dun Tendong.

Sedangkan katanya, kehadiran Ibrahim menyebabkan beberapa nama lagi dalam Umno Pasir Mas terpinggir.

Anuar Tahir cabar MB Perlis bagi bukti

Bashir Ishak, 02 Apr 2013
KANGAR: PAS Perlis mendakwa kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Md Isa Sabu sebagai memalukan apabila beliau cuba mebuat andaian buruk membabitkan parti pembangkang.

Dalam kenyataannya yang dipetik Bernama, Md Isa menyifatkan parti pembangkang kini menonjolkan diri melalui projek dan program kerajaan dengan mendakwa apa yang dinikmati rakyat adalah hasil perjuangan mereka.

Md Isa berkata demikian pada majlis penyampaian bantuan di bawah Program Pembasmian Kemiskinan Bandar di Simpang Empat baru-baru ini.

Mengulas tuduhan Md Isa itu, Timbalan Pesuruhjaya  PAS Perlis, Mohd Anuar Tahir (gambar) bekata kenyataan yang dikeluarkan Menteri Besar itu adalah tidak berasas dan tidak bertanggung jawab.

"Apa logiknya tuduhan beliau itu mengatakan pembangkang menonjolkan diri melalui projek dan program kerajaan?

"Md Isa kena buktikan tuduhan ini dan bukannya melemparkan tuduhan seperti ini. Bila, di mana dan siapakan pemimpin pembangkang yang berkata sedemikian?

"Bercakaplah dengan fakta dan jangan buat andaian murahan sebegini. Menteri Besar kena bertanggungjawab kepada rakyat dan bukan bercakap seperti di kedai kopi.

"Jangan perlekehkan gelaran YAB itu menerusi cakap kosong yang memualkan," katanya.



YDP MPK tidak bertanggungjawab



Dalam perkembangan yang sama, Bernama turut memetik kenyataan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kangar (MPK), Rosley Mat yang menyatakan pembangkang pernah menolak pembangunan di kawasan bandar Kangar termasuk cadangan memindahkan Pasar Besar Kangar ke Kampung Sena beberapa tahun lalu.

Beliau dipetik berkata bahawa kini pihak pembangkang mengubah kenyataan dengan mengatakan perpindahan itu adalah hasil perjuangan mereka.

Mengulas ini, Mohd Anuar berkata, kenyataan Rosle selaku penjawat awam sangat tidak bertanggungjawab dalam mengeluarkan kenyataannya.

Memetik kata-kata Rosley ketika pejumpaan dengan pimpinan PAS Perlis pada 22 Februari lalu, Mohd Anuar meminta beliau bertanggungjawab dengan kenytaaannya yang mendakwa pihaknya dan MPK adalah professional dan tidak menyebelahi mana-mana parti politik.

"Nampak sangat kata-kata beliau itu bersifat palsu dan 'bertanam tebu di bibir'. Beliau kena bertanggungjawab dalam membuat sebarang kenytaan atau ucapan, jangan mengada-adakan sesuatu hanya kerana nak mengampu MB.

"Kenyataan beliau sebegini menampakkannya sebagai tidak adil, berat sebelah dan tidak jujur. Kami tegaskan, kalau YDP MPK sendiri terlalu ingin berpolitik, letak jawatan dan bergiat dalam politik kepartian. Mana tahu mungkin dipilih jadi calon BN nanti," tegasnya.

MB Selangor fail hina mahkamah ke atas bekas KP SPRM

Harakahdaily, 02 Apr 2013

(Khalid ditemani Ronie Liu di mahkamah hari ini...foto The Malaysian Insider)


KUALA LUMPUR: Menteri Besar Selangor,  Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini memfailkan kertas pendakwaan ke atas Datuk Seri Ahmad Said Hamdan, menuduh bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas enggan mematuhi keputusan mahkamah.

Abdul Khalid telah menang kesnya dan hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Lau Bee Lan pada 18 Mac lalu mengarahkan Ahmad Said dan agensi kerajaan tersebut meminta maaf di mahkamah terbuka dan mengeluarkan kenyataan maaf dimuka hadapan dua akhbar berbahasa Inggeris, The New Straits Times dan The Star dalam tempoh empat hari daripada perintah tersebut.

Bagaimanapun, kedua-dua defendan Ahmad Said dan agensi tersebut tidak mengeluarkan sebarang kenyataan maaf dimuka hadapan dua akhbar berbahasa Inggeris tersebut.

Pemimpin PKR tersebut menerusi peguamnya Sankara Nair telah memfailkan permohonan untuk mendapata kebenaran menyebut Ahmad Said dan kerajaan Malaysia kerana melanggar perintah Mahkamah di pejabat pendaftaran Mahkamah Tinggi pagi ini, lapor The Malaysian Insider.

Untuk menyokong afidavitnya, Khalid menegaskan ia bukan suatu yang mustahil daripada segi undang-undang kedua-dua defendan tersebut menyiarkan permohonan maaf di dalam dua akhbar tersebut.

“Ia tidak mustahil daripada segi undang-undang, mereka telah lakukannya sebelum ini. Mereka boleh lakukannya tetapi mereka tidak lakukannya,” kata Sankara kepada pemberita disini.

Abdul Khalid telah memfailkan saman fitnah pada 27 April 2009 ekoran kenyataan Ahmad Said pada 20 Februari tahun sama yang mana dilaporkan media dengan mengatakan SPRM memiliki “bukti kuat” Abdul Khalid telah menyalahguna dana kerajaan untuk menyelenggara kereta peribadinya dan membeli 46 lembu korban bernilai RM10,400 untuk sambutan Hari Raya Korban pada 2008.

SPRM membersihkan Abdul Khalid daripada tuduhan tersebut pada Februari 2010 dan tidak pernah mendakwa menteri besar Selangor itu.

Pada 19 Mac, Ahmad Said membaca kenyataan maafnya di mahkamah: “Saya, Datuk Seri Panglima Ahmad Said bin Hamdan, secara ikhlas meminta maaf kepada Tan Sri Abdul Khalid bin Ibrahim, atas kenyataan saya pada 21 Februari 2009 yang telah dilaporkan media.

“Kenyataan tersebut dibuat atas kapasiti saya sebagai ketua SPRM pada ketika itu. Ia dibuat bagi menjawab soalan yang ditanya kepada saya oleh wakil media terhadap perkembangan siasatan SPRM keatas Abdul Khalid,” tambah beliau.

“Saya membuat kenyataan tanpa niat tidak baik dan tanpa sebarang niat untuk menjejaskan reputasi, imej dan integriti plaintif.”

Sankara juga menerangkan pada 26 Mac lalu, tiga hari selepas tamat tempoh untuk meminta maaf, pejabatnya menerima sepucuk surat daripada Pejabat Peguam Negara (AGC) untuk permohonan mengubah perintah mahkamah dan mendapatkan lanjutan tempoh tarikh untuk meminta maaf.

Peguam juga menambah perkara ini timbul walaupun beliau telah mematuhi aduan awal defendan yang mengatakan mereka masih belum menerima perintah yang dimerterai daripada keputusan mahkamah tentang kes tersebut sehari sebelum.

Beliau berkata telah memeterai perintah keatas defendan pada 25 Mac lalu, sekali gus memberi mereka lanjutan masa selama dua hari daripada tarikh akhir 23 Mac untuk memohon maaf.

“Jadi, mereka sepatutnya mematuhi pada 28 Mac... Tetapi, walaubagaimanapun mereka tidak, “ kata Sankara lagi.

Sankara turut menambah, pihaknya telah memfailkan afidavit jawapan pada hari ini terhadap permohonan daripada AGC untuk melanjutkan tarikh akhir dan bertentangan dengan perintah mahkamah.

“Apa yang mereka minta ialah lanjutan masa kerana mustahil untuk memenuhi tempoh masa itu... dan kedua, mereka mahu untuk mengubah perintah itu kerana ia tidak perlu berada dimuka hadapan - ia seharusnya berada di dalam mana-mana halaman,” katanya lagi.

Tetapi Sankara menjelaskan dalam afidavit dimana pihak defendan sudah bersetuju dengan perintah mahkamah sebelum ini dan sepatutnya membantah di hadapan mahkamah pada masa itu apabila keputusan itu dibuat.

Beliau menegaskan bahawa perintah mahkamah adalah “undang-undang munasabah” berasaskan dua sebab - kedua-dua akhbar The Star dan NST adalah milik kerajaan dan dalam kes berasingan pada 4 September 1998, pihak kerajaan telah pun menerbitkan afidavit permohonan maaf oleh Ketua Polis Negara Tan Sr Musa Hassan dihadapan semua akhbar utama.

“Jadi jelas, mereka boleh melakukannya, mereka mesti melakukannya, mereka mesti mematuhi ... ia tidak menghormati mahkamah.

“Oleh itu, saya terpaksa memfailkan permohonan untuk menyebut mereka sebagai menghina,” kata Sankara.

Zamri disambut gembira sebagai calon Titiwangsa

Harakahdaily, 02 Apr 2013


(Zamri [kiri sekali] diisytiharkan sebagai calon Parlimen Titiwangsa hari ini)


KUALA LUMPUR: Ahmad Zamri Asa'ad Khuzaimi satu nama  besar di sekitar Keramat dan Kampung Baru. Pengumuman beliau hari ini sebagai calon PAS di Parlimen Titiwangsa hanya satu formaliti sahaja.

Sejak kematian anggota Parlimen Titiwangsa, Allahyarham Dr Lo' Lo' Mohd Ghazali, Zamri yang memikul tanggungjawab menggantikan kerja-kerja Allahyarham.

Beliau ke hulu ke hilir menjalankan amanah itu walaupun bukan lagi terpilih sebagai wakil rakyat.

(Zamri bersama penyokong India yang memasang bendera PAS di Indian Setlement, Kampung pandan)

Profesyen beliau sebagai seorang peguam memperkuatkan lagi hubungan beliau dengan penduduk kampung di tengah kota ini.

Ini kerana, mereka menghadapi pelbagai jenis tindakan yang memerlukan nasihat seorang yang mahir dalam bidang undang-undang.

Yang paling besar adalah mengendalikan isu penduduk Kampung Baru yang tanah-tanah mereka sangat dikehendaki oleh pihak pemaju dan broker untuk dibangunkan kononnya.

Zamri menjadi salah satu tempat mereka mengadu.

(Zamri bersama peniaga Melayu di Pasar Keramat selepas menghadiah apron untuk mereka)

Kalau selama ini mereka mendapat seorang doktor yang berkhidmat kepada mereka, kehadiran Zamri sebagai seorang peguam menambahkan nilai perkhidmatan PAS di sini.

Atas sebab itulah, pelbagai kaum yang tinggal di kawasan Parlimen Titiwangsa ini sangat senang dengan Zamri.

Penduduk India di Indian Settlement Kampung Pandan misalnya sangat teruja dengan kehadiran Zamri sebagai bakal calon wakil rakyat mereka.

Mereka yang bergerak dibawah banner DHPP dengan diketuai Ramamoorthi tidak segan silu memasang bendera PAS untuk mempastikan sokongan kepada Zamri.

(David, penyokong Zamri ini teruja selepas mengetahui Zamri bakal menjadi calon PAS)

Bukan itu sahaja, mereka menyewa skylift untuk membolehkan kerja-kerja memasang bendera itu berjalan lancar.

Di Pasar Keramat pula, kehadiran Zamri dengan pasukannya disambut penuh gembira oleh peniaga dan pembeli di pasar yang terkenal dengan Melayu itu.

Dengan penuh gembira dan bangga mereka memakai apron yang dihadiahkan Zamri dan pasukannya.

Di kalangan orang Cina pula, mereka sangat teruja apabila diberitahu Zamri adalah bakal calon yang akan menggantikan Dr Lo' Lo'.

Bukan sebelah tangan mereka angkat, bahkan kedua-dua belah diangkat sebagai tanda sokongan kepada Zamri.

Bekas duta mahu beri khidmat terakhir dengan sertai PAS

Hazayani Zakaria, 02 Apr 2013
KUALA LUMPUR: Bekas Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Australia, Datuk Adnan Othman secara rasmi diisytiharkan menyertai PAS hari ini.

Pengisytiharan tersebut dibuat oleh Presiden, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut, pagi tadi.

Adnan bersama-sama pada sidang media itu dengan berkerusi roda kerana masalah kesihatan.

Lulusan University of Exeter, England  dalam bidang Sains Politik itu pernah berkhidmat di China ketika Malaysia baru menjalin hubungan dengan kerajaan China pada tahun 1974.

Selain itu, beliau juga pernah berkhidmat di Kanada dan Singapura.

Beliau dilantik sebagai Duta Besar Arab Saudi dan juga Iran sebelum bersara dan berkhidmat secara kontrak sebagai Pesuruhjaya Tinggi Cranberra Australia pada tahun 2001.

Bapa kepada empat cahaya mata dan datuk kepada tujuh cucu itu membuat keputusan menyertai PAS kerana yakin terhadap nalurinya yang merasakan PAS ialah parti yang paling sesuai dengan jiwa dan fikiran beliau.

Sementara itu, Ustaz Hadi berkata, kemasukan tokoh-tokoh berwibawa ke dalam PAS dapat membantu agenda perjuangan parti.

"PAS akan menggunakan khidmat segala pengalaman tokoh-tokoh ini untuk membantu PAS dalam melaksanakan agenda perjuangan kita lebih-lebih lagi jika kita diizin oleh Allah dapat sampai ke Putrajaya," katanya.

BOLEH DISEMBUNYI PADA MANUSIA TETAPI TIDAK PADA ALLAH...MEREKA NI CARI NAHAS

Kelantan: Laporan NST, TV3 tiada butiran tepat

Nik Abdul Aziz Nik Mat, 01 Apr 2013
Bismillah, saya membaca laporan muka hadapan New Sunday Times semalam yang memaparkan di muka hadapan laporan mengenai masalah sosial di Kelantan dengan tajuk Kelantan After Dark.

Ia disambung pula dengan paparan Buletin Utama TV3 malam semalam dan juga kenyataan seorang pemimpin utama Umno Kelantan yang mengatakan bahawa ini adalah bukti Kelantan tidak sempurna.

Respon saya ialah saya tidak pernah menyatakan bahawa Kelantan sempurna. Namun, kerajaan negeri telah melakukan yang terbaik untuk mengekang aktiviti tidak bermoral di negeri ini.

Kami mengharamkan premis judi, rumah-rumah urut dan menghalang penjualan minuman keras secara terbuka.

Jika ia wujud, ertinya kewujudannya tanpa lesen dan secara haram. Sesuatu yang wujud secara haram bukan bukti ia direstui, adakah apabila meningkatnya gejala penyalahgunaan dadah di seluruh negara contohnya bermakna ia direstui oleh kerajaan pusat?

Sesuatu yang wujud secara haram perlu dibanteras, bukannya diberikan lesen, ini pendirian kami. Kami tidak sama dengan sesetengah pihak yang ingin memberikan lesen kepada kegiatan yang wujud secara haram.

Lesen judi untuk pertaruhan bola sepak Piala Dunia 2010 contohnya, ada sesetengah pemimpin Umno Kelantan berhujah ia wajar diberikan lesen agar tidak beroperasi secara haram.

Sewajarnya semua pihak yang mempunyai maklumat mengenai kegiatan haram ini, perlu membuat aduan. Sayangnya, ada yang saban masa mencabar undang-undang yang diperkenalkan oleh kerajaan negeri.

Jamuan Perdana Perayaan Hari Guru 2012 pada 15 Julai tahun lepas contohnya, diserikan dengan persembahan artis wanita secara terbuka yang jelas melanggar Enakmen Kawalan Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan 1998.

Saya perhatikan laporan NST tiada butiran jelas dan tepat. Ia sekadar laporan umum dengan melindungi fakta-fakta dan individu yang terlibat, begitu juga dengan paparan TV3 yang sangat kabur dan diragui. Saya kira, lebih baik untuk disebut dengan jelas fakta-fakta kes agar ia memudahkan pihak penguatkuasa untuk bertindak.

Di Kelantan, kami perkenalkan undang-undang dalam bidang kuasa kami. Namun, bolehkah kami menghalang 100% gejala sosial sedangkan di peringkat pusat sendiri senarionya lebih berat?

Sama-samalah kita berusaha. Hakikatnya, jika hanya petak sawah kita sahaja dijaga daripada ular dan tikus sedangkan petak sawah di sebelah berkubang dengan anasir perosak, lama kelamaan petak sawah kita juga akan mengalamai nasib yang sama!

Defisit: Ahmad Husni cuba sembunyi kegagalan BN

Rafizi Ramli, 01 Apr 2013
Tuduhan oleh Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah bahawa pelaksanaan Manifesto Rakyat akan melonjakkan defisit ke paras 11.5% dan hutang kerajaan ke paras 62.1% berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) adalah tidak berasas dan membelakangkan fakta ekonomi mengenai prestasi pengurusan ekonomi di bawah Umno/Barisan Nasional.

Selain itu, beliau juga menambah bahawa Manifesto Rakyat akan menyebabkan kerajaan terpaksa berhutang untuk membayar gaji, berbanding pendekatan hutang Umno/Barisan Nasional yang kononnya hanya berhutang untuk membiayai perbelanjaan pembangunan.

Ketiga-tiga dakwaan ini dibuat tanpa membentangkan sebarang data atau perkiraan, berbeza dengan disiplin Pakatan Rakyat yang senantiasa mempertahankan rancangan ekonominya menggunakan fakta dan data yang jelas. Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah masih lagi berada dalam kepompong politik lama yang beranggapan rakyat akan menerima bulat-bulat sebarang angka yang disebut oleh seorang menteri, walaupun ia tidak masuk akal.

Mutakhir ini, rakyat menuntut mana-mana parti politik yang membentangkan dasarnya turut menyertakan analisa yang lengkap sebagai bukti. Ini telah dibuat secara terperinci oleh Pakatan Rakyat – sejurus selepas Manifesto Rakyat dibentangkan, analisa lengkap kos setiap program dan bagaimana membiayainya telah dibentangkan kepada rakyat agar ia boleh dikaji dan dikritik.

Sehingga kini Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah masih belum mampu menampilkan satu analisa yang menunjukkan bahawa kira-kira kewangan yang dibuat Pakatan Rakyat di dalam Manifesto Rakyat tidak tepat. Saya percaya Umno/Barisan Nasional bukan sahaja tidak mampu menghasilkan analisa kewangan yang lengkap, mereka juga cuba menyembunyikan kegagalan pengurusan ekonomi di bawah pentadbiran mereka.

Ketiga-tiga tuduhan yang dibuat oleh Datuk Seri Husni Hanadzlah – mengenai defisit, jumlah hutang negara dan pergantungan kepada hutang untuk menampung operasi kerajaan – sebenarnya berpunca dari kegagalan pengurusan ekonomi Umno/Barisan Nasional sendiri, seperti yang dihuraikan di dalam bidasan-bidasan berikut:

DEFISIT NEGARA

§ Masalah defisit negara yang berpanjangan sejak tahun 1998 ini sebenarnya dimulakan dan diwariskan oleh pengurusan ekonomi Umno/Barisan Nasional.

§ Walaupun hasil negara bertambah mendadak terutamanya dengan kenaikan harga minyak mentah sejak tahun 2008, Umno/Barisan Nasional tidak menggunakan peluang itu untuk memotong defisit. Sebaliknya pertambahan pendapatan itu dijadikan alasan untuk berboros sehinggakan defisit kekal tinggi walaupun hasil negara meningkat:

Tahun
Hasil Negara (RM Juta)
% Kenaikan Tahunan
2000
61,864
5.4%
2001
79,567
28.6%
2002
83,515
5.0%
2003
92,607
10.9%
2004
99,396
7.3%
2005
106,305
7.0%
2006
123,547
16.2%
2007
139,885
13.2%
2008
159,794
14.2%
2009
158,639
-0.7%
2010
159,653
0.6%
2011
185,419
16.1%

Jadual 1: Hasil Negara (mengikut data Perbendaharaan)

§ Secara purata, kadar pertumbuhan hasil negara adalah 16% di antara tahun 2000 hingga 2011 terutamanya kerana hasil minyak mentah yang naik mendadak. Sekiranya Umno/Barisan Nasional menguruskan kewangan negara dengan menghalang ketirisan dan rasuah, masalah defisit negara sudah lama dapat diselesaikan kerana Malaysia mempunyai pertumbuhan hasil negara yang tinggi pada kadar 16% setahun.

JUMLAH HUTANG NEGARA AKIBAT MANIFESTO RAKYAT

§ Hutang negara melonjak naik kerana perbelanjaan Umno/Barisan Nasional yang tidak terkawal walaupun hasil negara meningkat. Akibatnya, saban tahun Umno/Barisan Nasional terus terpaksa menambah hutang, sehinggakan hutang negara sudah mencecah paras tertinggi dalam sejarah pada 54.6% dari KDNK (iaitu hanya 0.4% dari had hutang yang dibenarkan).

§ Perbelanjaan tidak terkawal ini dapat dibuktikan dengan rekod buruk Umno/Barisan Nasional yang berbelanja melebihi belanjawan yang diluluskan setiap tahun seperti berikut:

Tahun
Belanjawan Diluluskan (RM Bilion)
Perbelanjaan Akhir (RM Bilion)
Belanja Melampaui Kelulusan (RM Bilion)
2008
176.9
195.0
18.1
2009
206.0
207.9
1.9
2010
191.5
203.0
11.5
2011
212.0
228.0
16.0




Jumlah
47.5

Jadual 2: Perbelanjaan melampaui kelulusan belanjawan oleh Umno/Barisan Nasional

§ Jika perbelanjaan melebihi kelulusan belanjawan Umno/Barisan Nasional bagi tahun 2008 hingga 2011 dijumlahkan, angka RM47.5 bilion perbelanjaan tanpa perancangan mengatasi jumlah RM45.75 bilion yang diperlukan oleh Pakatan Rakyat untuk membiayai Manifesto Rakyat.

§ Dicampur pula dengan pembaziran, ketirisan dan rasuah yang berlaku setiap tahun, sasaran penjimatan untuk mendapatkan jumlah RM45.75 bilion setiap tahun tanpa perlu menambah hutang sudah tentu dapat dicapai.

§ Pakatan Rakyat hanya perlu menghentikan amalan berbelanja tanpa kelulusan, menghentikan ketirisan dan memacu ekonomi supaya hasil negara meningkat untuk mencapai sasaran itu.

PERGANTUNGAN KEPADA HUTANG UNTUK MENAMPUNG KOS OPERASI

§ Kenyataan Datuk Seri Husni Ahmad Hanadzlah bahawa Umno/Barisan Nasional tidak berhutang untuk membayar kos operasi kerajaan adalah tidak tepat. Ini hanya dapat dilakukan kerana Umno/Barisan Nasional menggunakan dana PETRONAS secara tidak terkawal.

§ Tanpa dana PETRONAS, Umno/Barisan Nasional terpaksa berhutang untuk menampung kos operasi bermula dari tahun 2005 seperti yang ditunjukkan di dalam jadual berikut:

Tahun
Hasil Negara
Dividen PETRONAS
Hasil Tanpa Dividen PETRONAS
Perbelanjaan Mengurus
2000
61,864
4,100
57,764
56,547
2001
79,567
5,910
73,657
63,757
2002
83,515
5,390
78,125
68,699
2003
92,607
5,100
87,507
75,224
2004
99,396
9,100
90,296
91,298
2005
106,305
11,000
95,305
97,744
2006
123,547
18,000
105,547
107,694
2007
139,885
24,000
115,885
123,084
2008
159,794
30,000
129,794
153,499
2009
158,639
30,000
128,639
157,067
2010
159,653
30,000
129,653
151,633
2011
185,419
30,000
155,419
182,594

Jadual 3: Perbandingan Hasil & Perbelanjaan Mengurus (Sumber: Perbendaharaan)

Ketiga-tiga bidasan awal dengan jelas menunjukkan bahawa pengurusan ekonomi di bawah Umno/Barisan Nasional mewariskan hutang dan defisit yang tinggi kepada rakyat. Bukanlah tempat Datuk Seri Husni Ahmad Hanadzlah untuk menuding jari kepada Pakatan Rakyat, sebaliknya beliau harus menjelaskan rekod pengurusan ekonomi yang buruk ini kepada rakyat.

Penulis ialah Pengarah Strategi PKR.

PRU13: Pemantau Kelantan kunjungi mufti, wakil agama

Harakahdaily, 01 Apr 2013


KUALA LUMPUR: Selain membuat aduan polis, Pemantau Kelantan mengadakan kunjungan hormat kepada mereka yang bertanggungjawab dalam agama berikutan pelbagai aduan yang diterima berkaitan aktiviti hasutan agama dan perkauman menjelang PRU13.

Ketuanya, Mohammad Faizal Che Yusof berkata, pihaknya mengadakan perbincangan ringkas bersama Timbalan Mufti Negeri Kelantan, Datuk Nik Abdul Kadir Nik Mohamad di pejabatnya baru-baru ini. (Gambar atas)

“Apa yang boleh disimpulkan, beliau amat kesal dengan tindakan pihak-pihak tertentu yang menggunakan sentimen agama untuk memupuk kebencian antara rakyat menjelang PRU13.

“Beliau juga menasihati pasukan Pemantau Kelantan agar terus iltizam mempertahankan keharmonian agama dan saling menghormati antara kaum yang pelbagai di negara ini,” ujarnya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Pemantau Kelantan juga, jelasnya turut mengunjungi Timbalan Ketua Sami Wat Photivihan, Tumpat, Sami Sun Kok Wai dan Ketua Paderi Gereja Lady Fatima, Kota Bharu, Rev Father Robert Daniel.

Menurutnya, mereka mengucapkan setinggi terima kasih dan amat menghargai peranan Pemantau Kelantan yang disifatkan sebagai mewakili suara rakyat bertindak mempertahankan keharmonian agama dan kaum terutamanya di Kelantan, negeri yang aman damai.

Justeru, ujarnya sebagai mendukung prinsip-prinsip demokrasi yang diamalkan selama ini, pasukan Pemantau Kelantan amat mengalu-alukan sebarang laporan berkaitan apa jua tindakan yang condong mencabuli prinsip-prinsip sejagat dan demokrasi menjelang PRU13.

Beliau berkata, laporan berkaitan hasutan, penyalahgunaan tempat awam secara tidak adil, ugutan dan sebarang tindakan yang tidak berpatutan bagi meraih undi boleh diadukan kepada pihaknya di talian 017-9231724 untuk tindakan dan pemantauan.

“Sila nyatakan butiran kejadian termasuklah siapa yang terlibat, apakah tindakan, di mana dan bila berlaku. Kami menerima sms ataupun panggilan,” ujarnya lagi.

Pemantau Kelantan, jelasnya akan sedaya mampu mempertahankan prinsip-prinsip demokrasi berparlimen yang sihat ke arah pilihan raya yang bebas dan adil di Malaysia.

Sabotaj: Bekas Pengerusi SPR dedah pengalaman

Aslani M, 01 Apr 2013
KOTA BHARU: Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman sebelum ini mendakwa usahanya mahu menggunakan dakwat di jari pengundi pada pilihan raya umum lalu cuba dihalang pihak tertentu dalam kerajaan.

Ketika mendedahkan perkara itu pada wacana perdana di sini setahun lalu bekas Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) itu memberitahu SPR sudah menghabiskan banyak wang membeli dakwat di luar negara.

Bagaimanapun dakwa beliau di saat akhir dicipta khabar angin kononnya pembangkang cuba mensabotaj penggunaan dakwat.

Dan hari ini strategi serupa cuba diulang dengan menunding jari ke arah Pakatan Rakyat kononnya terbabit dengan komplot mengganggu proses pilihan raya.

Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Kelantan, Wan Nik Wan Yusoff berkata, strategi lama yang pernah digunakan Umno dan BN diulang semula sekarang dengan melemparkan tomahan kepada Pakatan.

“Sedangkan berdasar kepada maklumat yang kami dapat dua minggu lepas beberapa NGO Umno mengadakan perjumpaan di sini difahamkan ada kaitan sabotaj perjalanan pilihan raya.

“Malah perjumpaan itu diadakan di seluruh negara bagi memastikan kenyataan Perdana Menteri sebelum ini mempertahankan Putrajaya habis-habisan menjadi realiti,” katanya di sini.

Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar semalam dilaporkan mendakwa pihaknya mengesan beberapa rancangan jahat parti politik tertentu bagi mengganggu PRU 13 termasuk mencetus ketegangan dengan pegawai SPR.

Menurutnya, pihak terbabit juga dikatakan akan menimbulkan kekecohan mengenai penggunaan dakwat kekal dan mengeksploitasi pengundi tua di kampung.

Sebelum ini Ketua Muslimat PAS Pusat, Siti Zailah Mohd Yusoff mendedahkan ada pihak keluar masuk kampung memperalat penduduk mengenai penggunaan dakwat kekal.

Wan Nik berkata, usaha mensabotaj pengundi menggunakan dakwat hanya mampu dilakukan pihak yang ada kuasa bagi melindungi kegiatan mereka.

“Tidak masuk akal Pakatan yang tidak ada kuasa boleh melakukan perbuatan itu. Sedangkan apa diperjuangkan Pakatan melalui Bersih bagi mewujudkan pilihan raya yang adil.

“Kami mengikut segala lunas-lunas undang-undang yang ditetapkan. Nampak sangatlah mereka kelam kabut sekarang. Perancangan dan agenda mereka sudah diketahui ramai,” ujarnya.

Oleh itu beliau berharap badan-badan pemantau pilihan raya dan pemerhati bebas memastikan komplot jahat tersebut dapat dibongkar.

“Kami juga sentiasa memberi kerjasama kepada SPR dan pihak berkuasa lain bagi memastikan proses pilihan raya berjalan dengan adil dan saksama,” katanya.

'Datuk Seri' serah diri bantu siasatan

Harakahdaily, 01 Apr 2013

(Gambar-gambar pemakluman polis yang mahu mencari 'Datuk Seri' dan gambar Ridzwan bersama para pemimpin Umno sebelum ini)

PULAU PINANG: Yang Dipertua Pertubuhan Kebajikan Al-Ehsan, Datuk Seri Muhammad Ridzwan Sulaiman hari ini menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang bagi membantu siasatan berhubung pencerobohan bersenjata di Sabah.

Menurut Bernama, Muhamad Ridzwan yang memakai baju Melayu merah dan berserban, hadir bersama lebih 10 orang kenalannya di balai polis itu pada 11.05 pagi tadi.

Muhammad Ridzwan sebelum ini dinamakan oleh polis sebagai orang yang sangat dikehendaki untuk membantu siasatan polis dalam kes pencerobohan Lahad Datu.

Media sosial pula hari ini menyiarkan hubungan 'Datuk Seri' ini dengan para pemimpin Umno termasuk Presidennya, Datuk Seri Najib Razak.

Ridwan hari ini mengaku memberikan bantuan kewangan kepada Sultan Sulu.

Bercakap kepada pemberita sebelum menyerah diri kepada pihak polis, Muhammad Ridzwan mengaku memberi bantuan kewangan kepada Sultan Sulu, Jolo, selatan Filipina iaitu Sultan Muedzul Lail Tan Kiram yang pernah ditemuinya pada 15 dan 16 September tahun lalu.

Beliau bagaimanapun menafikan bahawa Jamalul Kiram, yang dipercayai menjadi dalang pencerobohan di Sabah, adalah Sultan Sulu.

"Saya tidak kenal pun Jamalul Kiram," katanya.

Muhammad Ridzwan menyerah diri hari ini berikutan kenyataan Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib semalam yang memintanya menyerah diri dengan segera di mana-mana balai polis berhampiran.

Hamza berkata Muhammad Ridzwan, yang tidak terlibat dengan pengganas bersenjata dari selatan Filipina, boleh membantu pihak polis dalam siasatan mengenai kes pencerobohan di Lahad Datu pada 12 Februari lepas.

PRU13: Ahli MPAN 308 sokong Pakatan Rakyat

Mohd Sabri Said, 01 Apr 2013


KEPALA BATAS: Seramai 400,000 ahli Pertubuhan Kebajikan Menyatupadukan Anak Negara Malaysia (MPAN 308) seluruh negara mengisytiharkan menyokong Pakatan Rakyat pada Pilihanraya Umum ke-13 nanti.

Majlis pengisytiharaan itu dibuat sendiri oleh Pengasas MPAN 308, Rashidi Ismail atau dikenali dengan 'Paduka Ayahda' dalam satu majlis ringkas di pekarangan kediamannya di Kampung Permatang Manggis, di sini kelmarin.

Program yang dihadiri oleh Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pulau Pinang, Johari Kasim dan kepimpinan PAS di Dewan Undangan Negeri (Dun) Bertam (gambar atas) menambahkan lagi keyakinan di kalangan ahli MPAN 308 bahawa Pakatan boleh menjadi kerajaan yang lebih baik, bertanggung jawab dan amanah berbanding Umno BN.

Baginya, tragedi dipukul oleh 20 petugas Umno Kepala Batas di hadapan sebuah pasar raya baru-baru ini membuatkan mereka 'berpatah arang' untuk bersama Umno BN lagi.

"Dengan ini saya menggesa semua ahli MPAN 308 yang ada malam ini dan seluruh negara supaya berikan sokongan kepada Pakatan Rakyat kerana Umno tidak lagi releven kerana mengamalkan gengsterisme. Umno buat negara ni macam tiada undang-undang," katanya menceritakan detik-detik beliau dipukul di hadapan isteri dan anaknya ketika sedang memasukkan barangan ke dalam kereta.


Beliau juga terkilan kerana tiada seorang pemimpin Umno Bahagian Kepala Batas datang menziarahi atau bertanya khabar ekoran kejadian itu kecuali Johari bersama rakan-rakannya.

“Saya ucapkan terima kasih kepadanya yang begitu prihatin," tegasnya.

Sementara itu, Johari dalam ucapan ringkasnya menyifatkan sokongan yang diberikan itu merupakan tamparan hebat kepada Umno yang sedang berhadapan dengan krisis dalaman yang parah.

Justeru, ujarnya biarlah Umno bangga dengan budaya samseng kerana rakyat sudah tahu menilai yang mana baik untuk dijadikan parti pilihan semasa membuang undi nanti.

"Jauhilah parti yang mengembangkan budaya samseng untuk bersama-sama bertekad memenangkan Pakatan Rakyat dan seterusnya menakluk Putrajaya bagi menjadi Kerajaan Pakatan Rakyat yang sah," terangnya.

Tata etika SPR: Lapor BN salah guna premis awam

Harakahdaily, 01 Apr 2013
KUALA LUMPUR: PAS Perak telah mengeluarkan arahan kepada semua Unit Peti Undi (UPU) PAS agar melaporkan penyalahgunaan premis awam seperti dewan orang ramai atau bilik gerakan yang menempatkan di antara 7,531 bilik gerakan pusat daerah mengundi (PDM) yang telah dibuka oleh Barisan Nasional (BN).

“Arahan ini dibuat kerana ianya bertentangan dengan kod Tataetika Pilihan Raya yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR),” kata Ketua Penerangannya, Dr Ahmad Nuri Al-Amin (gambar) dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

UPU juga, katanya diminta memantau pejabat penghulu dan pejabat ketua kampung yang menjadikan premis mereka untuk kegunaan BN menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) dalam masa terdekat.

Beliau berkata, semua UPU perlu mendapatkan bukti bergambar di semua dewan orang ramai, balai raya, pejabat penghulu atau pejabat ketua kampung yang secara jelas menjadikan premis mereka sebagai Bilik Gerakan BN dengan menaikkan papan tanda dan logo BN.

“Semua gambar tersebut perlu diberikan kepada Bilik Gerakan PAS bagi tujuan membuktikan penyalahgunaan premis awam oleh BN,” ujarnya lagi.

Mneurutnya, walaupun jelas SPR telah mengeluarkan kod tataetikanya, namun BN dilihat sewenang-wenangnya melanggar agar semua premis awam dibebaskan daripada kegunaan mana-mana parti politik pada PRU13 nanti.

“Kami akan terus membantah penyalahgunaan tersebut dan mendesak agar SPR mengambil tindakan segera melarang dan melaporkan kepada pihak Polis kerana BN telah melakukan satu kesalahan yang jelas bertentangan dengan semangat Perlembagaan Negara.

“Ianya juga dilihat kedegilan BN dan kegagalan SPR bagi memastikan sistem pilihan raya berjalan secara adil dan bebas sepertimana yang diperjuangan oleh Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih) selama ini,” katanya.

Katanya, kegagalan SPR untuk bertindak terhadap BN juga memperlihatkan ketidakmampuan mereka bagi menjalankan tugas dengan seadilnya dalam menghadapi PRU13 nanti.

Khairul Fahmi jawab serangan media BN

Khairul Fahmi Mat Som, 01 Apr 2013
Tweet saya pada tarikh 26 Mac 2013 : “Kalau Nabi Muhammad saw masih hidup sekarang ni, mungkin video seks Baginda pun UMNO akan keluarkan......jahanam UMNO” telah menarik perhatian banyak pihak termasuk media cetak dan elektronik. Saya didakwa telah menghina Junjungan Nabi SAW.

Budaya fitnah politik sehingga menyabitkan skandal seks pemimpin merupakan perbuatan golongan munafik. Perkara ini telah berlaku sejak dahulu lagi. Isteri Baginda yang suci pernah difitnah berzina menyebabkan Baginda sekeluarga telah menanggung kesusahan dan aib sehingga Allah membersihkannya semula.

Membaca cerita golongan munafik agama zaman Baginda yang tidak mengenal erti suci dan maruah diri hatta terhadap Nabi yang maksum inilah yang mendorong saya meyakini bahawa budaya politik porno adalah kerja musuh agama bukan hanya musuh dalam politik.

Tiada bezanya perangai munafik dahulu dan kini. Senjata mereka adalah sama. Fitnah yang MELAMPAU.

Saya menegaskan bahawa saya tidak  menghina Junjungan Nabi SAW. Tweet saya telah ditafsirkan secara salah terutamanya oleh akhbar UTUSAN MALAYSIA. Apa yang menjadi fokus sebenarnya dalam tweet saya adalah UMNO dan Barisan Nasional itu sendiri.

Tekanan yang mereka hadapi bilamana ramai rakyat telah benci dan menolak mereka. Mereka merasakan kesukaran untuk mengekalkan kuasa yang sedang mereka punyai sekarang ini. PRU ke 13 sesuatu yang menakutkan mereka. Justeru mereka akan sanggup melakukan apa saja untuk mengekalkan kuasa yang ada.

UMNO dan Barisan Nasional telah banyak melakukan perkara yang hina demi kelangsungan politik mereka. Hina, fitnah, mengaibkan, rasuah, zalim, politik samseng dan banyak lagi telah menjadi amalan. Pelbagai pihak termasuk kawan apatah lagi musuh politik mereka telah menjadi mangsa.

Saya ingin menegaskan bahawa UMNO dan Barisan Nasional bersedia melakukan apa jua termasuk yang tidak terjangkau oleh akal pemikiran kita. Video seks dan cerita skandal pimpinan pakatan rakyat merupakan modal terkini yang mereka usahakan. Ini satu tindakan yang HINA dan JIJIK. Jauh bertentangan dengan nilai-nilai ISLAM dan moral yang murni.

Maka dengan ini saya ingin menjelaskan bahawa saya tidak menghina Nabi SAW, tetapi yang hina sebenarnya adalah UMNO dan Barisan Nasional.

Tulisan saya jelas, penuh ingatan dengan harapan  agar rakyat Malaysia menjauhi politik fitnah porno yang menjadi senjata UMNO dan Barisan Nasional membunuh musuh politik mereka.

Saya amat jelas menginsafi kesucian Nabi dan jengkel terhadap terhadap perangai golongan MUNAFIK yang hidup bersama Baginda. Ancaman dan azab keras daripada Allah (hukum HUDUD) jelas tidak menghalang mereka untuk terus MEMFITNAH.

Rakyat Sibuti terus ketinggalan, perlu pembelaan

Jofri Jaraiee, 01 Apr 2013
(Penduduk menunjukkan “Diesel Oil Generator” yang digunakan untuk menjana elektrik untuk kegunaan di waktu malam sahaja)


MIRI: Setelah mencapai kemerdekaan melalui penubuhan negara Malaysia, Sarawak yang akan menyambut ke 50 tahun hari kemerdekaan pada 16 September masih lagi jauh ketinggalan dari segi infrastruk dan kemudahan asas kepada penduduk di luar bandar.

Masih terdapat ramai penduduk di Sarawak tidak merasai kemudahan asas untuk hidup dengan selesa.  Di Bekenu, kawasan parlimen Sibuti, masih banyak rumah panjang yang tidak mendapat kemudahan asas seperti bekalan air bersih, elektrik dan jalanraya yang baik.

Sebagai contoh, penghuni di Rh Alaxander Agap di Sepupok masih bergantung dengan air hujan sebagai sumber air untuk kegunaan harian, dan masih menggunakan janakuasa diesel untuk mendapatkan bekalan elektrik.

Keadaan ini amat menyukarkan penduduk kerana mereka terpaksa berjimat dan hanya menggunakan elektrik di waktu malam kerana harga diesel sangat mahal.

(Jawing (berseluar merah) bersama penduduk kampong menunjukkan kolam tadahan air hujan yang digunakan untuk kegunaan seharian.)

Menurut Jawing yang mengadu masalah tersebut berkata, sepanjang 50 tahun ini pemimpin BN yang memerintah Sarawak hanya pandai berjanji saja.

"50 tahun kerajaan BN sudah berkali-kali berjanji mahu menyediakan kemudahan asas seperti bekalan air bersih dan elektrik, tetapi sampai sekarang janji hanya tinggal janji, sedangkan jarak kampung mereka ke jalan utama tidak jauh, hanya 1.5 kilometer sahaja,” kata Jawing.

Tambah Jawing, di waktu hari perayaan Gawai, air tadahan tidak mencukupi.

Penduduk kampung yang lain juga menambah, keadaan akan bertambah susah terutama waktu musim kemarau, dimana tadahan air hujan kekeringan dan mereka perlu mendapatkan air dari sumber yang jauh dalam keadaan kesukaran.

Majoriti penduduk di ‘Rancangan Sepupok’ juga tidak mendapat jalan tar berturap.

Sehingga sekarang mereka masih menggunakan jalan batu kerikil untuk keluar dan masuk ke kediaman mereka. Keadaan ini sangat mengganggu pergerakan  mereka terutamanya waktu musim hujan,  jalan tanah menjadi licin dan kenderaan mereka sukar dikawal.

Keadaan akan menjadi lebih teruk jika ada berlaku kecemasan, dimana kesukaran untuk penduduk untuk keluar mendapat bantuan dari luar.

Penduduk di Rh Alaxander berharap kerajaan segera bertindak untuk menyelesaikan masalah kemudahan asas di kampung mereka khasnya dan di tempat-tempat lain dalam kawasan Sibuti dan negeri Sarawak amnya.

Mereka percaya kerajaan negeri Sarawak sebenarnya mampu menyelesaikan masalah rakyat jika tiada ketirisan berlaku dalam pengurusan sumber hasil negeri memandangkan negeri Sarawak adalah negeri yang terkaya di Malaysia.

Kita mengesa pihak yang berkaitan dapat mengatasi masalah tersebut dengan segera dari terus berlarutan kerana kemudahan asas rakyat adalah keutamaan yang seharusnya diberi perhatian oleh pihak yang memerintah sekarang.

Kerjasama dengan pihak yang berkaitan sangat dihargai, kata mereka.