Rabu, 30 April 2014

KERJAYA ARTIS INDAH KHABAR DARI RUPA....ITU BELUM DIKIRA DOSA DAN PAHALA

Hudud: Najib tidak boleh mungkir janji kerajaan

ABDUL AZIZ MUSTAFA | .
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak boleh memungkiri janji kerajaannya mengenai hudud walaupun dihalang oleh Presiden Amerika Syarikat, Barrack Obama.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Mahfuz Omar mempersoalkan, mengapa Najib mengelak daripada melaksanakan undang-undang Islam.

"Adakah penolakan itu dibuat setelah Perdana Menteri mendapat petunjuk dari Yahudi-Yahudi Zionis di dalam Apco Worldwide?

"Atau, adakah beliau mendapat tekanan dari Obama sehingga berdolak-dalik dalam perlaksanaan undang-undang Islam?

"Kalau mendapat tekanan dari Obama sekalipun, Najib tidak boleh mungkir janji kerajaannya mengenai hudud," kata Mahfuz.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu mengingatkan Perdana Menteri bahawa kerajaannya melalui Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom telah memberikan komitmen di Parlimen bahawa kerajaan persekutuan bersedia bekerjasama dengan mana-mana kerajaan negeri dalam menguatkuasakan undang-undang hudud.

"Mengapa tiba-tiba Najib cuba mengelak dengan gimik terbarunya bahawa kerajaan beliau kononnya tidak tolak hukum hudud tetapi tidak melaksanakan," kata beliau.

Najib dilaporkan berkata, terdapat perbezaan yang cukup ketara antara menolak hukum hudud dengan tidak melaksanakannya kerana kekangan dan kesulitan yang pelbagai.

Mahfuz menyifatkan kenyataan itu hanyalah semata-mata versi yang dilunakkan dari kenyataannya sebelum ini.

Pada 2011, Najib dilapor telah menegaskan bahawa kerajaan pusat akan tetap menyekat sebarang usaha mahu melaksanakan hukum hudud.

Penegasan itu merupakan penegasan kedua oleh seorang Perdana Menteri Malaysia ke atas usaha kerajaan negeri Kelantan pimpinan PAS.

Sebelum itu, pada 1994, penegasan sedemikian telah diberikan secara hitam putih oleh Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad kepada Menteri Besar Kelantan ketika itu, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Dalam kenyataannya pada 2011 itu, Najib juga dilaporkan berkata, undang-undang Islam itu tidak sesuai untuk dilaksanakan sebab kerajaan perlu realistik dengan situasi negara ini.

Penolakan kerajaan Barisan Nasional terhadap perlaksanaan undang-undang Islam malah dibuktikan dengan penolakan dua usul persendirian PAS untuk melaksanakan undang-undang Islam.

PAS membentangkan usul sedemikian pada pada November 1999 dan Mac 2006.

Himpunan 1 Mei: Manfaatkan hak rakyat tegur kerajaan

MUHAMMAD FAEEZ AZAHAR | .
IPOH: Seluruh rakyat Perak umumnya dan ahli PAS khususnya diseru menggunakan peluang himpunan rakyat yang akan diadakan pada 1 Mei ini di Kuala Lumpur sebagai platform untuk menzahirkan kekecewaan terhadap kerajaan yang menzalimi rakyat dengan himpitan pelbagai kenaikan.

Ketua Penerangan PAS Perak, Mohd Misbahul Munir Masduki berkata, rakyat ketika ini sedang menanggung derita dengan bebanan kos sara hidup yang tinggi akibat kenaikan barang dan pengurangan subsidi.

Katanya, ibarat jatuh ditimpa tangga apabila rakyat akan terus dihimpit dengan kesengsaraan oleh kerana cukai barangan dan perkhidmatan (GST) akan dilaksanakan pada tahun 2015 setelah diluluskan di parlimen baru-baru ini.

Menurutnya, kerajaan bersifat 'dungu' tanpa mengambil kira pandangan rakyat dan pakar-pakar ekonomi yang membantah perlaksaan sistem cukai itu oleh kerana ianya akan memberi kesan kepada kos kehidupan serta berisiko menambahkan lagi hutang negara.

"Rakyat patut tunjukkan rasa kecewa dan kesal betapa tidak bertanggungjawabnya kerajaan dalam membela nasib rakyat.

"Menghadiri himpunan ini adalah sebagai pernyataan sikap dan bantahan terhadap ketidakadilan, ketirisan, pembaziran, penyelewengan, rasuah dan salah guna kuasa kerajaan BN dalam mengurus lambakan khazanah negara," katanya kepada Harakahdaily.

Misbahul berkata, rakyat wajar menggunakan hak dan kuasa yang sebenar dalam himpunan ini bagi memberi isyarat bahawa BN sewajibnya ditolak dalam pilihanraya yang akan datang. - HARAKAHDAILY 30/4/2014

Anak-anak yatim, fakir miskin dan OKU

MOHAMMAD FAHMI AHMAD KASHFI | .
Kewujudan insan-insan ini sering dipandang sebelah mata oleh masyarakat. Umumnya mereka mendapat bantuan daripada kerajaan, zakat daripada jabatan agama Islam dan sumbangan daripada ahli korporat, namun ianya hanya bermusim. Golongan ini dilihat mewah ketika menjelang bulan Ramadan, banyak jemputan ke majlis berbuka puasa, sumbangan untuk menyambut Syawal serta banyak lagi program-program ‘one-off’ yang dibuat.

Situasi di atas adalah sedikit gambaran kemungkinan yang berlaku dalam masyarakat kita. Saya melihat masyarakat kita sudah membuka mata seluas-luasnya terhadap golongan sedemikian. Semakin banyak pihak yang tidak berkepentingan turun membantu demi menunjukkan rasa tanggungjawab mereka terhadap insan-insan ini. Walaupun sesetengah pihak tidak mendapat sebarang habuan, namun mereka masih sudi bekerja demi membantu masyarakat sekeliling.

Sebaik-baik manusia ialah yang memberi manfaat kepada orang lain

Semangat aktivisme golongan muda haruslah disalurkan pada jalan yang sepatutnya. Idea-idea mereka diharapkan dapat memainkan peranan terhadap pembangunan masyarakat khususnya dan negara umumnya. Lambakan NGO, kelab dan persatuan menunjukkan masyarakat kita mulai serius untuk mengejar status ‘negara impian’. Negara impian yang dimaksudkan ialah suatu masyarakat majmuk di bawah pimpinan yang adil dan saksama, tiada korupsi dan masyarakat yang tertindas.

Pembelajaran sepanjang hayat adalah satu usaha kerajaan untuk memastikan rakyat keluar daripada kepompong kejahilan. Namun, aspek lain yang harus dilihat ialah kualiti dan hak sama rata setiap orang untuk mendapat pendidikan sepanjang hayat. Sebilangan golongan yang tercicir untuk menyambung pelajaran adalah golongan Orang Kelainan Upaya (OKU). Kemudahan fasiliti yang tidak mesra OKU menyebabkan golongan ini memilih untuk tidak menyambung pelajaran. Mungkin kerajaan boleh menimbangkan idea untuk membina sebuah pusat pengajian tinggi khas untuk golongan OKU, autisme, disleksia atau menambah baik infrastruktur sedia ada supaya lebih mesra golongan istimewa.
Selain itu, golongan miskin juga sering dinafikan hak mereka di dalam pendidikan. Hampir semua perkara di dunia ini mengguna pakai konsep ‘money based’, setiap perkara mestilah berasaskan wang, jika tidak ia tak mungkin berlaku. Walaupun segala yuran ditanggung kerajaan, bantuan pengajian diberikan, biasiswa dihulurkan, namun wang masih menjadi punca sesetengah orang untuk tidak menyambung pelajaran mereka. Saya masih menanti dan berharap idea-idea tentang pendidikan percuma untuk setiap rakyat dibincang secara serius dan dilaksanakan.

‘You’ll find your happiness when you find your purpose’

Bahagia adalah suatu yang sukar didefinisikan. Ia mungkin memberi seribu maksud kerana setiap manusia mempunyai pandangan yang berbeza tentang kebahagiaan. Begitulah juga dengan masyarakat ‘terpinggir’, pemahaman mereka tentang kebahagiaan sukar untuk didefinisikan kerana kita tidak melalui perit jerih yang melanda mereka. Hakikatnya, tidak akan wujud istilah masyarakat ‘terpinggir’ andai kita tidak melihat mereka sebagai suatu beban, tetapi sebagai suatu tanggungjawab. Maka akan lahirlah sebuah masyarakat madani di bawah ‘negara impian’.

Penulis ialah ahli Gamis, aktivis TFTN, dan mahasiswa Institut Pendidikan UIAM.

Sidek Hussain tidak galak anak jadi artis

HARAKAHDAILY | .
KUALA LUMPUR: Allahyarham Sidek Hussain tidak pernah menggalakkan anak-anaknya menceburkan diri dalam dunia seni.

"Dia mahu anak-anak berjaya dalam pelajaran dan dalam bidang-bidang tertentu, dia juga tidak pernah menggalakkan anak-anak mengikut jejak langkahnya," kata isteri allahyarham, Selbiah Sulaiman, 61, dipetik blog myartis.

Selbiah menambah, pemergian suaminya kehilangan besar buat keluarga kerana allahyarham bukan setakat suami, malah dianggap sebagai rakan baik yang sentiasa ada pada ketika susah dan senang.

Allahyarham mempunyai seorang anak dengan Selbiah iaitu Mohd Adam, 23, yang kini bertugas sebagai doktor pelatih di sebuah hospital di Sabah.

Manakala empat orang anak daripada perkahwinan pertamanya bertugas sebagai guru dan pegawai bank.

Sidek meninggal dunia pada usia 63 tahun di Hospital Kuala Lumpur pada jam 11.55 malam Ahad kerana kanser tahap empat.

Beliau dimasukkan ke hospital itu pada 30 Mac lepas setelah pengsan ketika membeli barang untuk cucunya di Kuala Lumpur.

Doktor mengesahkan ketumbuhan pada pipinya yang dihidapi sejak berusia 20-an ialah sejenis kanser. - HARAKAHDAILY 30/4/2014

PM Singapura umum rombakan kabinet

BERNAMA | .
SINGAPURA: Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong mengumumkan rombakan kabinet dan pelantikan politik lain bertujuan memantapkan barisan kabinet bagi menangani cabaran dan memastikan Singapura melepasi fasa pembangunan selanjutnya.
Ini merupakan rombakan kali ketiga selepas pilihan raya umum 2011.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan Pejabat Perdana Menteri, Lee berkata Singapura sedang melalui peralihan yang penting.
Beliau berkata perubahan dasar teras itu memerlukan kepimpinan politik yang mantap, pelaksanaan yang berkesan dan sokongan padu daripada rakyat Singapura.
Di bawah rombakan itu, Pemangku Menteri Menteri Tenaga Manusia Tan Chuan-Jin dan Pemangku Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia Lawrence Wong dilantik sebagai menteri penuh mulai 1 Mei.
Wong juga akan dilantik sebagai Menteri Komunikasi dan Penerangan Kedua.
Pada masa ini, beliau ialah Menteri Kanan Negara di Kementerian Komunikasi dan Penerangan.
Tan pula akan dilantik sebagai menteri penuh di Kementerian Tenaga Manusia.
Sementara itu, Setiausaha Kanan Parlimen di Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY), Sam Tan Chin Siong akan dilantik sebagai Menteri Negara di Pejabat Perdana Menteri (PMO) dan MCCY.
Beliau akan melepaskan portfolio sekarang di Kementerian Hal Ehwal Luar.
Beliau juga akan melepaskan jawatan sebagai Datuk Bandar Central Singapore CDC pada 27 Mei 2014 apabila tempoh penggal sebagai datuk bandar berakhir.
Dr Lam Pin Min pula dilantik sebagai Menteri Negara di Kementerian Kesihatan berkuat kuasa 1 Ogos 2014.
Denise Phua akan menggantikan Sam Tan sebagai Datuk Bandar Central Singapore CDC berkuat kuasa 27 Mei 2014. 
Dr Amy Khor akan melepaskan jawatannya sebagai Datuk Bandar South West CDC pada 27 Mei 2014, apabila tempoh penggalnya berakhir.
Beliau akan terus memegang jawatan Menteri Kanan Kesihatan di Kementerian Kesihatan dan Tenaga Manusia.
Low Yen Ling akan menggantikan Dr Amy Khor sebagai Datuk Bandar South West CDC berkuat kuasa 27 Mei.
Low juga dilantik sebagai Setiausaha Parlimen di Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia selain serentak dengan pelantikannya di Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga.
Lee berkata perubahan ini adalah sebahagian daripada usaha kepimpinan kerajaan dan menjangka akan membuat rombakan selanjutnya dari semasa ke semasa bagi melahirkan kepimpinan terbaik untuk Singapura. - Bernama

Perlis usulkan daun ketum dikategori dadah merbahaya

BERNAMA | .
KANGAR: Kerajaan Perlis telah mengusulkan kepada kerajaan persekutuan agar kesalahan bersabit daum ketum dimasukkan di bawah akta dadah berbahaya dalam usaha membendung penyalahgunaan tumbuhan itu.
Menteri Besar, Azlan Man (BN-Pauh) berkata mengenakan kompaun terhadap pesalah tidak akan dapat mengawal pelaku dari terus mengulangi perbuatan mereka.
Ketika menjawab soalan tambahan Khaw Hock Kong (BN-Titi Tinggi) pada sidang Dewan Undangan Negeri di sini hari ini, Azlan berkata ketagihan terhadap tumbuhan itu yang dikaitkan dengan penduduk Perlis dan Kedah menjejas imej kedua-dua negeri.
Khaw yang mengambil bahagian membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan Yang Pertama (2013) Tahun 2014 sebelum itu dalam soalan lisannya bertanya mengenai usaha-usaha untuk menambahbaik kemudahan asas di sekolah-sekolah di Perlis.
Azlan berkata dalam Rancangan Malaysia Ke-10 antara usaha itu ialah membina bangunan tambahan 31 buah sekolah dan sebuah sekolah menengah, semua dari peruntukan kerajaan persekutuan.
Bagi tahun ini pula kerajaan akan menaiktaraf program pendidikan khas integrasi di lapan buah sekolah rendah dan lima sekolah menengah; membina kemudahan sukan dua sekolah menengah; serta mengubahsuai dan menaiktaraf struktur bumbung, kelas dan dinding sebuah sekolah rendah dan empat sekolah menengah, katanya.
Beliau berkata Jabatan Pendidikan Perlis telah menyediakan blue-print untuk meletakan negeri ini antara lima negeri terbaik dalam pencapaian peperiksaan awam selaras dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025.
Mengenai pelancongan, Khaw membangkitkan kenapa pelancong asing lebih gemar bermalam di Thailand, bukan Perlis dan mahu kerajaan negeri mengkaji masalah itu kerana ia merupakan kerugian besar kepada pendapatan negeri.
Azlan berkata kerajaan negeri akan berusaha menawarkan pakej penginapan yang menarik untuk pelancong asing tinggal lebih lama di negeri ini. - Bernama

S'gor bakal umum tamat catuan air?

HARAKAHDAILY | .
KUALA LUMPUR: Penasihat Ekonomi Selangor Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu kenyataan hari ini menyarankan Kerajaan Selangor menghentikan dahulu catuan air yang sedang dilaksanakan.

Beliau yang juga Ketua Umum PKR berkata, ia mengambil kira paras takungan di empangan-empangan lain yang tinggi dan peningkatan paras takungan air di Empangan Sungai Selangor kepada 40.23% hari ini.

"Walaupun jumlah ini belum mencecah paras 42% takungan seperti yang diumumkan sebelum ini, saya menyarankan Kerajaan Selangor menghentikan dahulu catuan air yang sedang dilaksanakan mengambil kira paras takungan di empangan-empangan lain yang tinggi," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Malaysiakini yang memetik satu sumber melaporkan bahawa Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) memutuskan menarik balik catuan air yang dilaksanakan negeri itu.

Perkara itu itu diputuskan dalam mesyuarat MTES yang dipengerusikan Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim lewat petang semalam, lapor portal itu.

Sementara itu, Abdul Khalid melalui twiter membayangkan perkembangan “positif” berhubung perkara itu.

"Untuk makluman, pengumuman penting isu catuan air pada jam 2.30 petang ini akan ditangguhkan ke hari esok. Insya-Allah positif #DemiRakyat," tulisnya hari ini.
Beliau merujuk kepada satu sidang media yang sepatutnya diadakan petang ini oleh Exco Belia dan Sukan, Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Dr Ahmad Yunus Hairi. - HARAKAHDAILY 29/4/2014

KITA NAK TUNGGU DIAKHIRAT KELAK...APA YANG AKAN TERJADI ATAU HUKUMAN YANG AKAN DITERIMA BAGI PENENTANG2 HUDUD SERTA YANG TAK BERIMAN PADA ALLAH SWT

Hudud: Kita nak tunggu MCA keluar BN - Tuan Ibrahim

SALMIYAH HARUN | .
KUALA LUMPUR: PAS mencabar MCA agar bertindak keluar daripada BN ekoran penentangan berterusan parti itu terhadap penerimaan positif Umno dalam isu hudud.

Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, Umno secara jelas menyatakan persetujuan dan mahu bekerjasama dengan PAS ke arah perlaksanaan hukum Islam itu.

"Kalau MCA tidak bersetuju dengan Umno, mungkin MCA bertindak keluar daripada BN.
"Sekarang ini kita tengok macam mana respons dia," katanya kepada pemberita di Pejabat Agung PAS Jalan Raja Laut hari ini.

Terdahulu beliau turut menghadiri pertemuan dengan wakil Kerajaan Kelantan bersama PKR dan DAP berhubung isu itu.

"Hasil perbincangan hari ini kita membuat kesimpulan bahawa perlu banyakkan penjelasan berkenaan hudud ini.

"Buat masa ini untuk menerima atau tidak terpulang kepada rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat, bagi kita pada waktu ini adalah memberi penjelasan sebaik mungkin," katanya.

Sebelum ini, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, kerajaan pusat sedia membantu Kelantan dalam usaha melaksanakan undang-undang Islam itu.

Terbaru semalam, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mencadangkan satu jawatankuasa teknikal hudud peringkat kebangsaan dibentuk sebelum PAS membentang usul pelaksanaan hukum hudud di Perlimen nanti.

Muhyiddin berkata ini penting bagi membolehkan isu berkenaan dibincang terlebih dahulu dengan membabitkan banyak pihak yang pakar mengenainya.

Bagaimanapun hari ini, MCA yang juga sekutu Umno melalui sayap pemudanya mengugut akan membina benteng manusia di bangunan parlimen bagi menghalang ahli parlimen PAS masuk membentangkan rang undang-undang (RUU) persendirian (private bill) berkaitan undang-undang jenayah syariah.

Ketua Pemuda MCA, Senator Chong Sin Woon berkata, parti itu akan mencuba sedaya mungkin untuk menghalang PAS daripada membentangkan RUU itu atas dasar "untuk mempertahankan Perlembagaan Persekutuan".

Chong mendakwa, rang undang-undang itu perlu dihalang sebelum terlambat kerana ia kononnya memberi kesan yang amat besar kepada rakyat bukan Islam di negara ini. - HARAKAHDAILY 29/4/2014

PRK Bukit Gelugor: MCA masih membisu

BERNAMA | .
KUALA LUMPUR: MCA masih membisu berhubung dengan keputusannya sama ada bertanding pada pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gelugor bulan depan.
  
Presiden parti Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata walaupun Bukit Gelugor merupakan kawasan tradisi MCA tetapi parti itu belum membuat keputusan sama ada bertanding dalam pilihan raya kecil itu.
  
"Kami telah berbincang mengenainya dalam mesyuarat (hari ini). Hasil mesyuarat akan dibincangkan dengan Pengerusi Barisan Nasional (Datuk Seri Najib Tun Razak) dan kami akan memaklumkan kepada media mengenainya," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat majlis presiden parti di Wisma MCA di sini, hari ini.
  
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 25 Mei ini sebagai hari mengundi pilihan raya kecil Bukit Gelugor selepas Anggota Parlimen kawasan itu Karpal

Singh terbunuh dalam kemalangan jalan raya pada 17 April lepas.
  
Penamaan calon ditetapkan pada 12 Mei manakala pengundian awal pada 21 Mei.
  
Mendiang Karpal Singh, yang juga bekas pengerusi DAP, memenangi kerusi itu pada pilihan raya umum tahun lepas dengan majoriti 42,706 undi menewaskan calon Barisan Nasional Teh Beng Yeam, yang memperoleh 13,597 undi. - Bernama

Mujahid termuda gugur syahid di Syria

http://www.ustazcyber.com | .
BEIRUT, LIBANON - Kelompok mujahidin Negara Islam Irak dan Suriah Raya (ISIS) hari Isenin (28/4/2014) mengumumkan kesyahidan (Insyallah) pejuang termuda mereka, seorang remaja berusia 13 tahun.

Oulet-outlet media pro-oposisi mengatakan bahwa khabar tersebut diumumkan dalam tweet di akaun Twitter kelompok tersebut, yang mengidentifikasi remaja laki-laki itu sebagai Abu Aisha, dan mengatakan dia gugur di Damaskus.

Kelompok ISIS tidak memberikan penjelasan lebih lanjut tentang keadaan kematian remaja laki-laki itu atau kebangsaannya, namun beredar beberapa foto yang diyakini menunjukkan Abu Aisha tengah membawa sebuah senjata serbu dan ikut ambil bahagian dalam sebuah latihan militer.(voa-islam.com)

6 makanan untuk pesakit kencing manis amalkan

http://www.pendapatanda.com | .
 makanan untuk pesakit kencing manis makan selalu

Saya dah menulis tentang artikel makanan yang pesakit kencing manis perlu makan sebelum ini. Tetapi artikel 15 makanan power untuk pesakit kencing manis itu lebih kepada paparan gambar makanan tersebut sahaja dan tidak berapa ada ulasan. sumber imej roti

Memandangkan artikel sebegitu yang mana jumlah perkataannya kurang daripada 300 perkataan, membuatkan google tidak suka menyenaraikannya sebagai satu bahan bacaan baik, maka saya cuba tulis sekali lagi artikel yang sama.

Tetapi kali ini dalam bentuk yang lebih mesra google yang perlu ada banyak perkataan tentang makanan untuk pesakit kencing manis makan. Maklumat berkenaan jumlah perkataan kurang dari 300 itu saya dapat daripada pembacaan penulisan berkenaan cara google membuat carian. Entah tepat atau tidak, kurang pasti.

Senarai 6 makanan untuk pesakit kencing manis makan

Tanpa melengahkan permainan, kita terus kepada matlamat asal, khas untuk anda yang terkena sakit kencing manis atau yang biasa juga disebut Diabetes. Bukan untuk yang dah kena saja, untuk mereka yang tak kena lagipun perlu amalkannya.

Tambahan pula jika keturunan anda ada rekod cemerlang menghidapi masalah kencing manis ini, eloklah makan 6 makanan untuk pesakit kencing manis yang saya senaraikan di sini. Mencegah sudah tentu lebih baik daripada merawat.

Walaupun sebenarnya manusia terlalu sukar untuk meyakini sesuatu yang mereka tak boleh nampak terus (real sebijik) on-the-spot, kita mesti cuba yakinkan diri bahawa inilah makanan yang baik untuk dimakan.

Makanan kencing manis #1 - Apa saja jenis limau secara mentah

Makanlah segala jenis buah limau samada mandarin, sunkist, kasturi, lemon, atau apa saja asalkan ianya daripada kelompok atau keturunan buah limau. Samada besar atau kecil masam atau manis, banyakkan atau sering makan buah limau ini secara mentah.

Jangan makan jus limau, makanlah mentah sebiji begitu kerana ianya jauh lebih bagus untuk khasiat dan manfaat badan anda. Buah limau juga cukup baik untuk kesihatan jantung anda. Jangan kemut duit untuk beli buah limau dan jadikan hidangan rutin untuk keluarga anda.

Kalau tak banyak duit untuk beli buah limau, apakata tanam saja pokok limau kasturi yang kecil tu di kebun rumah anda. kalau tak ada tanah, beli pasu besar dan semai pokok limau dan bila dah berbuah, makan buah limau dengan dijadikan ulam bersama sambal belacan.

Makanan kencing manis #2 - Buah sayur Karela

Buah sayur Karela ini banyak ada dijual di pasar malam atau di pasar besar di kawasan tempat anda tinggal. Ia termasuk dalam satu jenis sayur-sayuran yang rupanya macam buat petula yang pahit tu. Tetapi warnanya lebih hijau pekat dan kerutan pada kulitnya lebih halus berbanding buah petula.

Kelebihan buah karela ini adalah ianya mengandungi insulin tumbuh-tumbuhan asli yang mampu mengurangkan atau memproses kandungan gula dalam badan kita. Jadi buat mereka yang ada masalah insulin yang lenah tak mampu nak proses kandungan gula dalam darah, dengan adanya amalan makan buah karela ini dapat membantu masalah dalam badan dan darah anda.
6 makanan untuk pesakit kencing manis amalkan

Ada kawan yang menghidap penyakit manis ini mengamalkan makan jus buah karela ini dua kali sehari. Dia buat jus buah karela dan simpan dalam peti ais. Setiap pagi dia minum sikit dan petang atau malam dia minum sedikit lagi. Anda juga boleh cuba buat begitu untuk kekalkan tahap kandungan gula jika dah ada masalah kencing manis. sumber imej

Makanan kencing manis #3 - Bawang Putih

Orang Cina memang suka makan bawang putih. Dalam masakan mereka mesti ada diletakkan bawang putih dengan banyak. Bawang putih ini memang ada banyak kelebihan perubatannya sehingga ada kapsul bawang putih dijual dalam bentuk bahan tambahan pemakanan.

Tetapi, kalau nak mudah dan mendapatkan khasiat yang mujarab, anda perlulah kakan sekurang-kurangnya 3 atau 4 ulas bawang putih setiap hari. Lebih elok dihancurkan dan dikunyah begitu saja. Itupun kalau anda ada kekuatan untuk buat begitu.

Makanan kencing manis #4 - Minyak zaitun

Minyak zaitun amat bagus untuk anda yang kena penyakit kencing manis. Minyak zaitun dapat mengawal kandungan gula dalam badan anda agar steady sentiasa. Oleh itu jangan lokek sedikit duit untuk simpan stok minyak zaitun dalam rumah anda.

Memag harganya agak mahal, jauh mahal berbanding minyak kelapa sawit yang selalu kita pakai. Harga seliter minyak zaitun lebih mahal daripada harga satu tong  minyak kelapa sawit. Oleh itu janganlah pulak digunakan untuk goreng ikan atau masakan.

Makanlah secara mentah dengan resepi yang akan saya berikan di bawah nanti yang menggabungkan bawang putih, minyak zaitun dan juga makanan kencing manis yang ke 5 di bawah ini.
olive oil

Makanan kencing manis #5 - Roti gandum asli

Untuk pesakit kencing manis, makanan roti yang diperbuat daripada gandum memang amat bagus. Kalau boleh jangan makan roti yang putih lembut yang biasa kita beli dari kedai tu. Ini kerana dah terlalu banyak proses berlaku terhadap tepung gandum yang digunakan.

Makanlah roti padat yang banyak serta dan kasar yang ada dijual di pasaraya atau di kedai-kedai roti lain di pusat-pusat bandar atau pekan. Mat Saleh panggil whole grain bread. Nak menambahkan sedap makan roti ini sila ikut resepi rahsia yang saya belajar daripada kawan Lubnan ketika saya berada di luar negara. Ini menjadi makanan kegemran saya sampai sekarang.

Resepi kentang lenyet untuk makan bersama roti

Ini adalah resepi makan cara orang arab dengan menggunakan bawang putih sebagai salah satu daripada bahannya. Anda boleh cuba di rumah dan jadikan sebagai makanan sarapan pagi yang sihat.

Apa yang anda perlu buat adalah dengan merebus ubi kentang 2 atau 3 biji sehingga masak dan gebu. Selepas itu lenyetkannya di dalam bekas seperti mangkuk atau seumpamanya. Kupas 3 atau 4 ulas bawang putih dan hancurkan bawang putih tersebut.

Selepas itu campur kan dengan kentang lenyet itu agar sebati. Selepas kentang serta butiran bawang putih yang dilenyet itu di gaul, ratakan dalam pinggan. Kemudian tuangkan minyak zaitun di permukaan kentang lenyet yang diratakan dalam pinggan itu secukup rasa. Boleh tabur sedikit garam dan sedikit lada hitam di atasnya untuk menambahkan rasa.

Ha! dah siap menus lazat ini, untuk anda makan dengan roti seperti gardenier atau baguet (roti perancis), atau apa-apa roti yang tawar. Koyak sedikit roti, calitkan pada kentang bersama bawang putih dan minyak zaitun itu dan ngam! kunyah! memang lazat sebagai makanan sarapan yang berkhasiat.

Makanan kencing manis #6 - Yogurt

Rajinlah makan yogurt. Selain daripada baik untuk penyakit kencing manis anda, ia juga baik untuk menurunkan berat badan anda. Kalau boleh belilah yogurt asli yang ada dijual di pasaraya untuk dimakan dengan buah-buahan.

Ini saya perturunkan satu lagi makanan yogurt asli yang saya ambil daripada kawan-kawan Arab Lubnan ketika berada di laur negara. Anda boleh sediakan makanan ini untuk sarapan pagi yang lazat.
6 makanan untuk pesakit kencing manis amalkan

Resepi yogurt makan dengan roti

Dapatkan yogurt asli daripada pasaraya berdekatan. Biasanya saya akan beli di Giant yang meletakkan yogurt ini di bahagian yogurt perasa lain. Perhatikan label pada bekasnya terlulis "Natural Yogurt'.

Penyediaannya mudah saja. Ambil sesenduk yogurt asli itu, masukkan dalam pinggan kecil dan ratakannya sepeti kita buat pada kentang lenyet di atas. Kemudian tuangkan minyak zaitun penuh atas yogurt tersebut. Percikkan sedikit garam di atasnya dan siap!.

Ambil kepingan roti dan cicah yogurt asli bersama dengan minyak zaitun itu dan makan. Subhanallah lazat dan berkhasiat sekali. Anda dapat rasakan aroma yogurt bersama minyak zaitun yang memecah rasanya dalam mulut perlahan-lahan ketika anda mengunyah roti tersebut seara perlahan-lahan.

Jika anda dah dapat rasa kelazatannya, anda akan mula rasa nak makan selalu resepi ini dan ianya amat baik untuk kesihatan anda terutamanya mereka yang berpanyakit kencing manis.

Begitulah sedikit maklumat atau petua makanan untuk pesakit kencing manis yang dapat saya perturunkan di sini. Moga dapat kita amalkannya dan selamat mencuba. Insyallah nanti bila saya buat kat rumah akan saya ambil gambar resepi di atas untuk tontonan anda semua.

Obama kata minoriti dan bukan Islam dianaktirikan

http://kadirjasin.blogspot.com/ | .
 Obamakata
PRESIDEN Amerika, Barrack Hussein Obama telah mengenakan “sumpah” ke atas negara kita.
Kata tetamu Perdana Menteri Mohd Najib Abdul Razak itu: "Malaysia tidak akan menjadi  negara maju sekiranya masih mendistriminasikan  golongan bukan Islam dan monoriti."
 
Obama dan Mohd Najib: Saat"Magical"
Kalau ini bukan campur tangan dan provokasi, saya tidak tahulah apa. Lagipun saya hanya membaca laporan mengenainya dari media bebas atas talian.
Berita itu hanya menjadi arus perdana bila Menteri Dalam Negeri, Ahmad Zahid Hamidi, menyangkalnya. Malaysian Insider memetik beliau sebagai menyelar Barack Obama kerana menyifatkan Malaysia tidak berlaku adil dalam konteks agama kepada semua kaum.

"Kita berikan peluang yang sama kepada bukan Islam dan kerajaan Malaysia berlaku adil kepada semua agama.

"Saya tidak fikir ada halangan untuk mengamalkan agama di sini. Berat sebelah dalam agama perlu dijauhi kerana kita perlu menghormati agama lain supaya agama lain menghormati agama kita,” katanya pada satu sidang media selepas merasmikan Bengkel Keadilan Jenayah Penyeludupan Manusia kali ke-4 Asean di Kuala Lumpur hari ini. (Baca di sini).

Syabas Dr Ahmad Zahid. Tidak sia-sia perwakilan Umno memilih anda sebagai Naib Presiden paling popular dalam pemilihan Umno baru lalu. Alhamdulillah masih ada pemuka Umno yang tidak dijangkiti sindrom koro.
Portal berita Malaysiakini, antara lain, memetik Obama berkata:
"Ini negara majoriti Muslim. Ada masanya mereka yang bukan Islam melihat diri mereka kekurangan atau menghadapi permusuhan.

"Tiada negara yang boleh berjaya sekiranya sebahagian penduduknya dipinggirkan dan didiskriminasi.

"Malaysia tidak akan berjaya sekiranya bukan Islam tidak mempunyai peluang sama seperti yang lain."
Saya kurang pasti apa “treatment” media arus perdana kepada berita campur tangan Obama itu.
Kalau Naib Presiden Al Gore, pada tahun 1998, sekadar memuji Anwar Ibrahim dan reformasi, Obama kali ini menuduh Malaysia menganaktirikan kaum minoriti dan orang bukan Islam.
Kalaulah benar apa yang dilaporkan itu, tidakkah tindakan Obama itu berupa satu bentuk provokasi halus yang sangat mendalam dan meluas implikasi tersiratnya?
Siapakah yang ditindas dan berasa tertekan? Siapa yang membuka kotak pandora dengan menuntut agar mereka juga dibenarkan mengguna kalimah Allah?
Apakah kaum minoriti dan orang bukan Islam di negara ini ditindas, tidak dibenarkan beribadat dan hidup papa kedana?
Apa ceritanya dengan gereja yang berpuluh di Brickfields, Jalan Gasing dan Sentul? Apa halnya dengan kuil Hindu di merata simpang jalan, bawah pokok besar dan gua itu? Apa ceritanya kuil Buddha dan wat Siam, Gundwara Sikh dan tokong Cina di merata pelosok tanah air? Dan siapa yang menguasai ekonomi?
Soalnya, adakah orang Melayu dan Islam hendak berdiam diri terhadap campur tangan Obama itu semata-mata kerana ada orang yang sangat “gumbira” dapat berkereta dengan beliau atau beliau membisikkan puji-pujian ke telinga orang itu?
Secara tidak langsung, Obama telah melantik diri beliau sebagai jurucakap rakyat Malaysia yang “mengacum” kepada beliau kononnya mereka dengan dahsyat sekali didiskriminasikan oleh orang Melayu dan orang Islam.
Wallahuaklam.

Ayunya Farah Fauzana apabila berhijab

HARAKAHDAILY | .
Perubahan daripada baik kepada lebih baik sememangnya diingini oleh semua manusia. Dalam hal ini tidak terkecuali selebriti. Yang terkini ialah perubahan Farah Fauzana yang mula mengenakan selendang ketika di konti mahupun program di luar.

Perubahan ini mula mendapat perhatian peminat yang boleh menyaksikan gambar-gambar terbaru di laman rasmi face book Hot.FM mahupun di twitter beliau sendiri.

Malah sebuah blog turut menyiarkan kenyataannya yang menyatakan bahawa umurnya sudah mencecah 30-an dan perubahan itu bukan satu perkara yang begitu mengejutkan. Farah turut menambah bahawa dia sudah lama menyimpan niat tersebut. Namun, dia mahu melakukannya secara perlahan-lahan.

Secara peribadi, beliau memang dalam proses untuk ke arah itu (memakai tudung lengkap). Farah turut mengharapkan agar peminat-peminatnya mendoakan yang terbaik untuknya.

Farah mula bertugas sebagai penyampai radio di Hot FM mulai 2006 dan pernah memenangi Anugerah Penyampai Radio Wanita Popular ABPBH 2007-2009 dan 2012. Dia juga memenangi Anugerah Pengacara TV Wanita Popular ABPBH 2005-2009. selai

Selain itu, Farah Farah juga dikenali sebagai pengacara televisyen dan pelakon, antaranya termasuklah program Melodi, selain Gadis Cuci dan Alahai Fafau. Farah turut berlakon dalam filem SH3 The Movie, Jin Notti dan Andartu Terlampau 21 Hari Mencari Suami.

Bayern Munich bina masjid kerana Franck Ribery

HARAKAHDAILY | .
SEMAKIN ramai pemain bola sepak yang beragama Islam yang mewakili kelab-kelab utama dunia diberikan layanan yang istimewa kepada mereka.

Kelab-kelab berkenaan memberi ruang kepada mereka untuk menjalani dan mengamalkan cara hidup Islam.

Antara kelab bola sepak terkemuka dunia yang bertindak demikian ialah kelab gergasi Jerman, Bayern Munich.

Pada tahun lepas, kelab itu bersetuju untuk menanggung 85 peratus kos pembinaan masjid dan perpustakaan Islam besar di Stadium Allianz Arena.

Sebanyak 15 peratus kos selebihnya, akan ditanggung para peminat dan pemain.
Keputusan itu diambil setelah mendapat permintaan daripada pemain utamanya, Franck Ribery bagi memudahkan pemain serta peminat beragama Islam menunaikan solat lima waktu.

Pada peringkat awal, Franck Ribery hanya meminta satu ruangan kecil bagi memudahkan beliau dan penyokong untuk menunaikan solat.

Pihak pengurusan kelab itu juga dilaporkan berusaha mencari imam untuk masjid tersebut.

Kelab bola sepak Inggeris, Newcastle United juga menyediakan tempat bagi memudahkan umat Islam menunaikan solat. - HARAKAHDAILY 29/4/2014

Selasa, 29 April 2014

LOGIKNYA/MANTIKNYA....YANG MENOLAK HUDUD TELAH/TENGAH MEMBUAT KESALAHAN TERSEBUT ATAU ADA CITA2 NAK BUAT KESALAHAN TERSEBUT....JIKA HUDUD DILAKSANAKAN SUASANA TAK TENTERAM...ELOK BAGI YANG MUSUHI ISLAM....ORANG YANG ADA CITA2 NAK MASUK TERBANTUT....ORANG ISLAM GELABAH....JIKA BEGINI JADINYA KENAPA DTENTANG....YANG MENENTANG INI IBLIS BERSERTA KUNCU2NYA

Laporan kewangan 1MDB diselubungi kontroversi

MUHAMMAD FAIZAL | .
PETALING JAYA: Hutang 1Malaysia Development Berhad yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak terus melonjak empat kali ganda kepada RM42 bilion pada 2013 berbanding RM8.4 bilion tahun sebelum itu.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan laporan kewangan 1MDB yang berakhir pada 31 Mac 2014 telah diselubungi pelbagai kontroversi membabitkan hutang syarikat itu.

"1MDB sebenarnya adalah '1 Malaysia's Debt of Billions', walaupun jumlah aset untuk 2013 bertambah kepada RM44.6 bilion.

"Perlu diingatkan syarikat itu perlu menanggung bayaran tahunan berjumlah RM1.6 bilion, lantaran jumlah pinjaman yang berjumlah RM36 bilion (2013)," jelas beliau pada sidang media di Ibu Pejabat PKR pagi ini.

Katanya, sikap 1MDB yang boros dalam membeli aset janakuasa tenaga bernilai RM23.1 bilion yang lebih tinggi dari nilai semasa itu dan beberapa laporan terkini menunjukkan 1MDB sedang mengalami kekangan aliran kewangan.

"Sekiranya sikap boros ini dibiarkan ia bakal mengalami kegawatan kewangan yang lebih besar di masa hadapan.

"Malah laporan turut mendedahkan 1MDB bakal membuat suatu 'Initial Public Offering' pada akhir 2014 untuk menjana dana RM15 bilion yang bakal dinobatkan sebagai IPO terbesar di asia tahun ini.

"Wall Street Journal turut memberitahu 1MDB sedang berunding dengan beberapa buah bank untuk menjana RM2 bilion pinjaman jangka pendek.

"Kita menjangkakan bahawa lebih banyak hutang akan ddan perlu diambil syarikat itu pada masa hadapan untuk membiayai kos projek mega iaitu Tun Razak Exchange (TRX) dan Bandar Malaysia yang dianggarkan sekitar RM45 bilion pasa masa ini," sambung beliau.

Anwar yang menjelaskan, dalam keadaan ekonomi dunia yang tidak menentu serta defisit kewangan negara yang semakin melebar, lebih wajar negara mengambil pendekatan berhemah dalam berbelanja.

Menurutnya lagi, kerajaan tidak perlu terus berhutang semata-mata untuk mengaut keuntungan jangka pendek kerana ia bakal mengakibatkan beban hutang untuk generasi akan datang.

"Kiranya sikap berhutang sebegini terus dikekalkan, 1MDB rekaan Najib ini bakal gagal dan akan menjadi suatu lagi liabiliti negara yang wajar dikenali sebagai hutang-piutang 1 Malaysia yang berbilion," tambah beliau.

Hudud: Kelantan beri penjelasan kepada PKR, DAP

SALMIYAH HARUN | .
KUALA LUMPUR: Kerajaan Negeri Kelantan hari ini mengadakan pertemuan bersama DAP dan PKR bagi memberi penjelasan khususnya tentang pelaksanaan Kanun Jenayah Syariah II 1993 di negeri itu.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Abdullah berkata, perbincangan hari ini lebih kepada memberi penjelasan kerana rakan-rakan Pakatan Rakyat ingin tahu lanjut mengenai hasrat kerajaan Kelantan untuk membawanya ke Parlimen.

"Daripada apa yang kita jelaskan pada pandangan sayalah, positiflah... mereka faham apa yang Kerajaan Kelantan laksanakan walaupun pada dasarnya mereka tidak setuju, itu kita hormatilah.

"Sekurang-kurangnya mereka memahami pendirian dan keputusan kita," katanya ketika ditemui selepas mengadakan perbincangan itu di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut hari ini.

Malah katanya, memberi pandangan yang berbeza adalah perkara biasa, yang penting mereka menghormati pendirian masing-masing.

Tambahnya, Kerajaan Kelantan bersedia untuk memberi penjelasan lanjut mengenai enakmen itu bukan hanya kepada Pakatan Rakyat bahkan wakil-wakil daripada BN seperti MCA.

"Kami di Kelantan bergantung kepada keperluan ada pihak yang mahukan penjelasan lebih lanjut kita bersedia. Kalau MCA hendak jumpa pun boleh.

"Siapa sahaja 'non muslim' ke... di mana sekali pun insya Allah kita akan datang kepada mereka jelaskan supaya mereka boleh memahami. Soal setuju atau tidak setuju itu hak masing-masing, kita tidak akan paksa," katanya.

Turut bersama dalam perbicangan itu dua Naib Presiden PKR Sivarasa Rasiah dan Tian Chua, wakil DAP iaitu Timbalan Setiausaha Agung Datuk Ngeh Khoo Ham, Ahli Parlimen Kluang Liew Ching Tong dan Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok

Liew Ching Tong yang ditemui berkata, pihaknya telah mengutarakan pandangan dalam perbincangan itu bahawa isu hudud adalah bukan agenda bersama dalam Pakatan Rakyat.

Walaupun perbezaan pandangan katanya, rakan-rakan di dalam Pakatan Rakyat akan mencari titik persamaan dan cuba mencari jalan penyelesaian yang terbaik.

"Kita masih dalam perbincangan. Kita harap semua boleh memahami isu dan risiko politik dalam isu ini. Kita telah terangkan pendirian kita, dan kongsikan pandangan masing-masing," katanya.

Hudud: Anwar gesa jangan perkecil langkah PAS

MUHAMMAD FAIZAL | .
PETALING JAYA: Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata semua pihak harus menghormati hasrat Kerajaan Kelantan untuk mengemukakan Rang Undang-Undang Persendirian ke Parlimen bagi membolahkan Kanun Jenayah Syariah 1993 Kelantan dilaksanakan.

“Saya tidak fikir sesiapa pun patut menolak atau memperkecil langkah PAS berkaitan hudud. Biarkan mereka terangkan dahulu.

“Perbezaan pendapat patut ditangani dengan saling hormat menghormati,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PKR di sini hari ini .

Mengulas perbezaan pandangan pemimpin DAP dalam isu itu, Anwar berkata seharusnya masing-masing saling menghormati kerana enakmen undang-undang Islam itu termasuk di Terengganu wujud sebelum terbentuknya kerjasama politik dalam Pakatan Rakyat.

PAS dan PKR katanya menghormati pandangan DAP, dalam masa sama DAP juga harus menghormati pendirian PAS yang konsisten dalam perkara itu.

Bagaimanapun kata beliau, PAS perlu membawa isu itu ke Majlis Mesyuarat Presiden Pakatan Rakyat sebelum membentangkan RUU seperti yang dicadangkan itu. - HARAKAHDAILY 29/4/2014

Mengenang Haji Yusof Rawa: 28 April yang hiba

DR MUJAHID YUSOF | .

BAGI orang lain 28 April mungkin tidak membawa apa-apa makna kecuali mereka yang lahir pada hari ini. Setiap seorang mempunyai tarikh tertentu yang memberi sesuatu kesan dalam hidupnya sama ada ia saat kegembiraan mahupun saat kesedihan.
Bagi saya, tarikh 28 April adalah saat saya kehilangan manusia yang paling saya sayangi dan kasih bahkan ramai yang meratapi pemergiannya kerana beliau bukan sahaja milik saya dan keluarga bahkan beliau juga milik umat ini.
Di pagi subuh yang hening bersamaan dengan hari Jumaat tahun 2000 Masehi, insan bernama Yusof bin Abdullah @ Haji Yusof Rawa telah meninggalkan dunia fana ini buat selamanya.
Bagi saya setiap 28 April adalah tarikh istimewa untuk saya memperingati nama yang besar ini dalam hidup saya sebagai ayah, pemimpin dan murabbi pertama saya.

Pagi Subuh Itu
Semua ahli keluarga besar  ayahanda Yusof Rawa sudah pun berkumpul di rumah Gelugor sejak dua tiga hari apabila Doktor Ang yang merawatnya meminta kami untuk membawa pulang ayahanda kerana tidak ada apa lagi yang boleh dilakukan.
Kami menyediakan katil yang boleh dinaik turun posisinya seperti yang terdapat di hospital untuk keselesaan ayahanda termasuk alat pernafasan sebab ayahanda sering mengadu nafasnya semput. Hakikatnya ayahanda mengalami pnemounia semenjak dimasukkan di hospital dua tiga bulan yang lalu.
Sejak dua tiga malam setelah kembali dari hospital, ayahanda mengadu sakit perut dan meminta Dr Ang supaya datang dan melihatnya.
Malam 27 April itu Dr Ang datang ke rumah dan memberitahu kepada ayahanda supaya datang ke hospital esoknya (28 April) sambil berjanji untuk membuat pemeriksaan lebih terperinci, ayahanda hanya mengangguk.
Namun sejak kembalinya Dr Ang, ayahanda semakin pendek nafasnya dan senantiasa memakai topeng pernafasan sambil suaranya menjadi semakin lemah. Saya berada di sisinya sepanjang malam bersama kekanda saya yang lain bergilir membaca surah Yasin.
Beliau hanya memandang ke arah setiap kami, mungkin beliau terasa itu adalah pandangan terakhirnya menatap wajah kesebelas anaknya.
Subuh 28 April saya mengimami solat Subuh di rumah kami di Gelugor, ayahahanda minta untuk berwudhuk dan bersolat di katilnya sahaja sambil berbaring. Selesai solat saya mengajak kesemua 11 adik-beradik kami untuk membaca surah Yasin dengan anak menantu dan cucu yang ada.
Belum sempat tamat Yasin,  ayah memanggil nama saya dengan nada yang kuat menyebabkan semua kami terkejut. Saya bergegas di sisinya.
Ayahanda memandang saya dengan topeng pernafasan cuba dibuangkan sambil ayahanda mengatakan, “Abah nak habis dah...”sambil beliau memegang tangan saya minta diusap kepalanya seperti lazimnya semenjak beliau terbaring di katil.
Saya patuh sambil matanya saya melihat seolah memandang sesuatu di atas. Selimut yang menutupi ke paras dadanya ditarik-tarik seolah mahu menutup mukanya.
Detik itu saya sudah merasai masanya semakin hampir, saya mentalqinkannya dengan syahadah berkali-kali, bibirnya berkumat-kumit, perkataannya sudah tidak difahami lagi dan lebih kurang beberapa detik sebelum munculnya matahari pertama pagi Jumaat 28 April itu berakhirlah riwayat hidup insan bernama Haji Yusof Rawa.

Insan Biasa
Haji Subky Latif penulis dan wartawan senior pernah menulis tentang Haji Yusof Rawa bahawa dia tidak dilahirkan sebagai manusia agung. Beliau menulis setelah diminta membentangkan pandangannya terhadap ketokohan Haji Yusof Rawa dalam majlis Legasi Haji Yusof Rawa yang dianjurkan oleh Penang Institute beberapa tahun yang lalu.
Beliau membuat penjelasan bahawa jalan pendakian Haji Yusof Rawa sebagai tokoh bermula dengan penuh kesederhanaan dan beliau tidak mendapatinya dengan mudah.
Namanya tidak dikenali ramai sebelum ia mendapat tempat tertinggi dalam heiraki parti tetapi kesetiaannya kepada parti PAS disaksikan melalui pengorbanan yang diberikan untuk bersama sehingga ke akhir hayatnya dengan PAS.
Beliau memikul amanah dan diberi penghormatan sebagai Mursyidul ‘Am PAS yang pertama dan menjadi Presiden PAS yang pertama dalam era kepimpinan ulama awal dekad 80-an.

Keupayaan berbahasa Inggeris dan penguasaanya dalam Bahasa Arab adalah antara keistimewaan Haji Yusof Rawa. Minatnya yang mendalam dalam bahasa membawanya mempelajari Bahasa Perancis dan Parsi secara sendiri dan dapat berinteraksi kadar keperluannya.
Ayahanda dikenali sebagai tokoh sederhana dalam PAS dan membawa nama Malaysia di pesada antarabangsa sebagai Duta Besar dan pernah menjadi perwakilan ke Bangsa-Bangsa Bersatu selama setahun di New York. Seorang yang diplomatik dan disegani kawan dan lawan.

Menolak Gelaran
Pernah saya diberitahu beberapa kali hasrat kerajaan negeri Pulau Pinang semasa hayatnya mencalonkan nama beliau untuk pingat dan anugerah tetapi ditolak, kecuali satu pingat yang diterimanya tanpa membawa apa-apa gelaran iaitu Jaksa Pendamai (JP).
Ayahanda mempunyai alasan menerimanya kerana dengan Jaksa Pendamai beliau ingin membuat khidmat dengan membantu siapa yang memerlukan tandatangannya secara percuma.
Beliau pernah berkata bahawa gelaran lain tidak memberikan seseorang kuasa kecuali JP yang laku tandatangannya untuk perakuan.
Begitu juga sukar pihak Majlis Agama Islam semasa hidupnya mencalonkan namanya sebagai tokoh Maal Hijrah beberapa kali tetapi ditolaknya. Hanya pada tahun 1993 beliau bersetuju menerima anugerah itu setelah dipujuk.
Sikapnya yang tidak mahu mengejar pangkat dan kedudukan menjadikan Haji Yusof Rawa sebagai seorang yang agak sukar tersilau dengan kilauan dunia yang menjadi rebutan kelompok pimpinan sepertinya.

Kesetiaan Dengan PAS
Semasa PAS ditendang keluar dari Barisan Nasional, Haji Yusof Rawa menolak untuk bersama BN walaupun diberikan beberapa tawaran. Beliau memilih untuk bersama PAS ketika senang dan ketika susah.
Misi seterusnya yang tidak akan dilupakan oleh sesiapa sahaja yang membaca transformasi PAS dari era Datuk Asri Muda kepada kepimpinan ulama adalah pengemudian kepimpinan Haji Yusof Rawa membina era baru organisasi dan politik PAS.
Sebagaimana yang pernah disebut oleh mendiang MGG Pillay seorang wartawan politik senior, bahwa Haji Yusof Rawa adalah arkitek yang sebenarnya memastikan kepimpinan baru PAS meneruskan kesinambungan perjuangan parti.
Sebagai orang paling kanan setelah krisis era Datuk Asri berakhir dengan kemunculan kepimpinan ulama, beliau berhati-hati untuk memastikan kelompok lama yang agak terkejut dengan lonjakan baru PAS pada ketika itu tidak ditinggalkan.
Krisis PAS yang agak kritikal pada waktu itu dikawal dengan baik oleh Haji Yusof Rawa melalui kepimpinannya apabila beliau mengambil alih tampuk kepimpinan memangku selama setahun setelah Datuk Asri meletakkan jawatan setahun sebelum pemilihan parti.
Pada waktu itu sikapnya membuat keputusan terpaksa berhadapan dengan berbagai kritikan dalaman dan luaran disambut oleh beliau dengan tenang tetapi penuh ketegasan.
Beliau pernah cuba meletakkan jawatan kerana merasai kepimpinannya tidak mendapat kepercayaan ahli semasa isu penubuhan CCC atau Chinese Consultative Council, namun atas pujukan dan nasihat pimpinan kanan lain khususnya Almarhum DatukUstaz Fadhil Nor dan Almarhum Ustaz Hasan Shukri, Haji Yusof Rawa menarik balik hasratnya.

Pada saat keuzurannya beliau masih lagi bertanya kepada Pejabat Agung PAS sama ada beliau masih lagi tertunggak sumbangan infaknya kepada parti dan melunaskannya. Beliau pernah berpesan kepada saya selaku anak muda yang turut ingin beraksi dalam kancah ini bahawa:
“Janganlah engkau mengharapkan pada perjuangan sesuatu habuan dunia tetapi berilah kepada perjuangan habuan engkau dari dunia.”

Perjuangannya

Walaupun tidak pernah ditahan dan ditangkap sebagai tahanan politik, Haji Yusof Rawa lantang menyuarakan hak golongan tertindas, menolak gagasan perjuangan perkauman sempit dan berani membentuk arus pemikiran alternatif kepada menyampaikan PAS kepada kelompok bukan tradisionalnya daripada pelbagai kaum khususnya kaum Cina.
Sikap keterbukaannya menemukan PAS dengan Umno dalam menyatakan pendirian PAS kepada isu perpaduan Melayu pada pertengahan 80-an dan beliau menolak fahaman kebangsaan sempit.
Beliau banyak menyedarkan keperluan umat Islam mempersiapkan diri dengan kekuatan ilmu, akhlak dan keperluan dunia. Sebagai seorang usahawan yang berjaya sebelum menceburi bidang politik pada awal 50-an, Haji Yusof Rawa antara pengasas awal Dewan Perniagaan Melayu Pulau Pinang dan menceburi bidang percetakan antara yang terawal di Pulau Pinang.
Penanya menitip setiap ruang di majalah Islah yang didirikannya awal 60-an. Kritikannya pada kehidupan masyarakat dimuatkan dalam kolum “Teropong dari Acheh Street”.
Karyanya yang menjadi rujukan hingga ke hari ini ialah Tafsir Juz Amma dalam memenuhi kehendak pencinta ilmu mendalami tafsir mudah dan ringkas dari Juz Amma.
Pernah diberi pilihan untuk mencetak buku yang laris dengan cerita-cerita hiburan tetapi menolaknya kerana biarlah beliau memilih mencetak buku agama yang kurang laris pada waktu itu tetapi mendapat berkat.
Ini pernah diluahkan dalam catatan peribadinya tentang pengalamannya menjadi pencetak. Jikalau Haji Yusof Rawa hidup hari ini, beliau akan menyaksikan suasana sudah berubah di mana buku agama kini menjadi kegemaran ramai. Mungkin juga beliau akan tersenyum kerana perjuangannya memilih menerbitkan buku agama tertuai juga akhirnya oleh generasi penerbit buku hari ini.

Ayah, Rakan dan Pemimpin
Saya menyaksikan kehidupan ayahanda dalam pelbagai dimensi. Sebagai anak, saya berbangga menjadi anggota keluarganya yang besar. Tegas dalam pendidikan anak-anak tetapi kasih dan mesra dalam membimbing kekurangan anak-anak supaya menjadi insan yang berguna.
Kesibukannya tidak menghalang untuk bersama anak-anak setiap hari Ahad mencuci kereta atau berjalan di Padang Kota Lama atau sekadar memotong kuku kami mahupun menikmati juadah makan di gerai Padang Brown.
Pengalaman peribadi saya semasa bersiar-siardi Tehran semasa beliau menjadi duta ke Iran dalam cuaca dingin dengannya tidak mungkin saya lupakan sambil kata nasihatnya menghiasi perjalanan kami.
Siapa yang tidak memperakui kesetiaannya kepada erti persahabatan, malah siapa yang pernah mengenalinya akan menikmati kejujuran dalam bersahabat. Beliau tidak pernah menjanjikan apa-apa sebagai balasan persahabatan melainkan kejujuran dan keikhlasan setiakawan.
Pada masa uzurnya beliau banyak bertanyakan kawan lamanya dan berusaha menziarahi mereka bagi memenuhi erti persahabatan.Tuan punya Kamus Pustaka Arab-Melayu Ustaz Ahmad Badjenid menjadi sahabat setianya diziarahinya walaupun beliau ketika itu juga uzur sambil mereka ketawa mesra menceritakan masa lampau.
Sikapnya yang tidak pernah mengecewakan permintaan kawan yang dalam keperluan sering mencetuskan bertambahnya lagi hormat kawan kepadanya. Bagi mereka yang mengenali Haji Yusof Rawa pasti ada cerita menarik yang hanya diketahui setelah beliau meninggalkan kita untuk mengenangkan kesetiaan persahabatannya.
Sebagai pemimpin dan dua penggal Ahli Dewan Rakyat, kepimpinannya terus berbisa di hati mereka yang pernah mengenalinya. Pembelaannya terhadap orang miskin menjadikan beliau bergelar sang pemurah.
Ada beberapa orang yang menemui saya memberitahu bahawa ayahnya pernah dibantu oleh Haji Yusof Rawa semasa susahnya dan sering menyebut nama Haji Yusof Rawa walaupun mereka tidak pernah mengenalinya.
Saya juga diberitahu oleh orang lama di Parit Buntar bahawa ayahanda saya pernah menyumbang untuk sebuah masjid dengan kadar yang agak besar nilainya pada waktu itu.
Bantuannya kepada sekolah-sekolah agama daripada sudut kemudahan pembayaran buku yang dipesan dari kedainya menjadi sebutan di kalangan penggiat sekolah agama hingga ke hari ini.
Untuk perjuangan parti beliau terkenal sebagai penyumbang utama termasuklah poster-poster semasa pilihan raya umum yang dicetak di gedung percetakannya The United Press.

Al Zai'm
Beliau mendapat jolokan ini di kalangan rakannya di Makkah semasa Haji Yusof Rawa menuntut di sana.
Al Zai'm yang membawa maksud “ketua”. Ini adalah kerana semangat beliau memimpin rakan-rakannya dalam membina semangat kemerdekaan pada waktu itu dan keberanian Haji Yusof Rawa berhadapan dengan pemuda  tempatan Makkah yang sering mengejek pelajar-pelajar dari Nusantara pada waktu itu.
Sikap beraninya dan inspirasinya pada rakan pelajar terhadap perjuangan kebebasan di tanah air yang dicintai melalui Persatuan Anak Melayu di Makkah menyebabkan mereka menggelarnya Al Za'im.
Nama itu rupanya meninggalkan bekas pada kehidupannya setelah kembali ke tanah air dan berkat gelaran tersebut dari bumi yang penuh berakah, Haji Yusof Rawa terus kekal dalam ingatan kita sebagai Al Zai'm. Saya berbangga Al Zai'm itu adalah ayah saya dan ayah kepada kesebelasan kami.

Legasi Haji Yusof Rawa
Pada hari ini, 14 tahun sudah berlalu, baru semalam rasanya saya bermesra dengannya. Saya membesar mengetahui bahawa Haji Yusof Rawa bukan sahaja milik kesebelasan kami dan bonda kami, Haji Yusof Rawa milik manusia dan lebih besar dari itu Haji Yusof Rawa adalah milik mutlak Sang Pencipta.
Suaranya yang lemah pada pagi 28 April memberitahu saya, “Abah dah nak habis dah...” seolah menutup perjalanannya selama ini untuk menemui Allah Jalla Fil Ula yang hidupnya dan perjuangannya cuba dipenuhi kerana-Nya dan untuk-Nya.
Pada saya, semangat Al Za'im pada diri Haji Yusof Rawa akan senantiasa kekal sebagai sumber insprasi saya dalam saya menjalani kehidupan yang berbaki sehingga semua kita menemui-Nya nanti.
_____________
Mujahid Yusof Rawa adalah merupakan anak bongsu Haji Yusof Rawa. Kini merupakan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat dan Ahli Parlimen Parit Buntar.


Hudud: Saya cukup tenang sehari dua ini - TG Nik Aziz

MOHD NOR YAHYA | .
KOTA BHARU: “Saya amat gembira perkembangan semasa berkaitan hudud sekarang. Saya tidak mahu sentuh banyak soal teknikal kerana ia di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.

“Cuma saya sentuh soal dasar sahaja. Alhamdulillah hati saya cukup tenang sehari dua ni.. banyak berita baik yang saya terima dan Insya-Allah masyarakat juga menerima dengan baik,” kata Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Bekas Menteri Besar Kelantan itu ditemui pemberita selepas menerima kunjungan Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Datuk Dr Asraf Wajdi Dasuki di pejabat Institut Pemikiran Tok Guru hari ini.

Pada Ahad lalu beliau juga dikunjungi Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di rumahnya di Pulau Melaka.

Sedangkan Tuan Guru yang juga Mursyidul Am PAS itu berkata, Perdana Menteri dahulu begitu bersungguh-sungguh menentang pelaksanan hudud di Kelantan.

“Saya amat bimbang kalau-kalau akan berlakunya Mageran sebab itu saya tidak melaksanakannya selepas menerima surat amaran daripada Perdana Menteri,” katanya.

Pada 15 Julai 1994 Tun Dr Mahathir Mohamad menghantar surat amaran kepada Menteri Besar Kelantan.

Antara lain surat itu berbunyi “kerajaan pusat tidak dapat membenarkan kerajaan PAS menjalankan sesuatu yang bercanggah dengan prinsip keadilan Islam, maka kerajaan pusat akan mengambil tindakan sewajarnya terhadap kerajaan PAS demi menjaga maruah dan ketinggian martabat Islam.”

Tuan Guru Nik Abdul Aziz juga menyokong cadangan diwujudkan Jawatankuasa Teknikal melibatkan pelbagai pihak yang pakar dalam bidang perundangan Islam.

Semalam Ketua Dewan Ulamak PAS Kelantan, Datuk Hassan Mohamood turut menyambut baik penubuhan Jawatankuasa Khas Teknikal Hudud peringkat pusat bagi membolehkan ia dilaksanakan di Kelantan.

Sementara itu Dr Asraf Wajdi ketika ditemui berkata, tidak salah Kelantan menjadi negeri perintis melaksanakan Kanun Jenayah Syariah II ketika kerajaan BN didakwanya lebih terbuka sekarang.

TAK KAN ORANG KAFIR SETUJU DENGAN ISLAM....KALAU SETUJU DAH LAMA MEREKA MASUK ISLAM...YANG RISAU/BIMBANG YANG BERIMAN/ISLAM TAPI TAK SETUJU ISLAM

Syariah: Pemuda PAS kutuk provokasi MCA

HARAKAHDAILY | .
KUALA LUMPUR: Pemuda PAS mengutuk kenyataan Pemuda MCA yang mengugut akan membina benteng manusia di bangunan parlimen bagi menghalang ahli parlimen PAS masuk membentangkan rang undang-undang persendirian (private bill) berkaitan undang-undang jenayah syariah.
Ketuanya, Suhaizan Kaiat berkata, ugutan Pemuda MCA itu jelas menggambarkan sikap provokatif dan antidemokrasi apabila begitu keras berusaha menutup ruang demokrasi kepada PAS untuk melaksanakan hasratnya melalui jalan demokrasi.
"Tindakan tersebut juga menggambarkan sikap MCA yang terus menerus anti kepada Islam dan ini merupakan satu kegagalan Umno untuk mendidik MCA," tegas Suhaizan.
Beliau seterusnya menuntut Umno bertanggungjawab dengan kenyataan Pemuda MCA tersebut yang secara jelas menggambarkan kejahilan mereka untuk menghormati hak penganut Islam mengamalkan ajaran agama mereka.
Menurut beliau, sikap Umno yang berdiam diri sejak sekian lama terhadap banyak kenyataan pimpinan MCA yang menghina Islam menggambarkan pendirian sebenar parti Melayu itu yang tidak serius mempertahankan agama Islam sebagai agama rasmi negara.
Dalam satu kenyataan yang dipetik The Sun Daily hari ini, Ketua Pemuda MCA, Senator Chong Sin Woon berkata, parti itu akan mencuba sedaya mungkin untuk menghalang PAS daripada membentangkan rang undang-undang persendirian berkaitan undang-undang jenayah syariah di Dewan Rakyat pada Jun ini bertujuan "untuk mempertahankan Perlembagaan Persekutuan".
Chong mendakwa, rang undang-undang itu perlu dihalang sebelum terlambat kerana ia kononnya memberi kesan yang amat besar kepada rakyat bukan Islam di negara ini.
"Rang undang-undang itu akan mengakibatkan krisis perlembagaan dan memecahbelahkan negara. Jika ia diluluskan Parlimen, tidak ada jalan untuk berpatah balik," ujar Chong. HARAKAHDAILY, 29/4/2014

Batal pemilihan jika ada penipuan - Anwar

MUHAMMAD FAIZAL | .

PETALING JAYA: Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) PKR menangguh atau membatalkan pemilihan jika didapati wujud penipuan atau kecuaian.

Beliau berkata, PKR tidak boleh bertolak ansur atau berkompromi dengan sesiapa pun termasuk pemimpin tinggi parti dalam hal tersebut.

"Kita bukan seperti Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) boleh melindungi yang salah.

"Kita tegas tak kira siapa, wujud unsur kecuaian mahupun penipuan, JPP perlu menangguhkan segera pemilihan dan membatalkan undia yang telah dibuat," jelasnya pada sidang media di Ibu Pejabat PKR pagi ini.

Beliau turut memberitahu arahan untuk melakukan siasatan telah dilakukan sebaik sahaja terdapat aduan penipuan diterima pada pemilihan kali ini.

"JPP juga bukan seperti SPR, mereka tidak mempunyai kepentingan mana-mana pihak.

"Kita telah arahkan siasatan segera dilakukan sebaik sahaja ada aduan penipuan diterima. Saya tegaskan kita berkecuali dan tidak akan melindungi sesiapa," sambung beliau.

Sementara itu, dalam kenyataan lain, Pengerusi JPP, Datuk Johari Abdul berkata, dakwaan tersebut masih dalam siasatan dan akan diumumkan secepat mungkin.

Katanya, keputusan rasmi dari negeri Sarawak, Johor, Pahang dan Melaka bakal diumumkan JPP dalam masa yang terdekat.

Semalam Johari berkata akan menyiasat berhubung dakwaan penipuan undi mengaitkan calon timbalan Presiden PKR di batang Sadong Sarawak.

Beliau sendiri menjelaskan akan turun ke Batang Sadong bagi mendapatkan situasi sebenar sebagaimana yang di desak oleh Pengasas Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Badrul Hisham Shaharin. - HARAKAHDAILY 29/4/2014

Integrasi Harakahdaily berwajah baru

SHUHAIMI EMBONG | .
Salam hormat kepada semua pembaca kolum Gerbang IT Harakahdaily!

Agak lama juga saya tak muncul dalam ruangan ini. Hari ini, 29hb April, 2014. Tinggal hari sebelum 1 Mei, ketika orang ramai mula bercakap untuk turun atau tidak himpunan di dataran merdeka kerana membantah GST. Apa itu GST, saya rasa semua orang sudah tahu….

Hari ini saya banyak juga dihujani dengan SMS, Whatsapp yang bertanya tentang Harakahdaily berwajah baru? Ada yang sempat saya jawab, ada yang saya masih mengambil masa untuk jawab terutama berhubung dengan perkara-perkara yang spesifik.

Sejak Harakahdaily dilancarkan, saya tidak pasti berapa kali ianya berubah wajah, malah orang yang memulakannya sudah tidak lagi bersama dengan Harakahdaily. Tetapi, sejak Unit IT Harakah diminta untuk menguruskan aspek teknikal Harakahdaily sejak beberapa tahun lepas, ini versi yang ketiga dalam perubahan rekabentuknya (lay-out) kerana peningkatan aspek teknikal dan keselamatan sesuai dengan perkembangan semasa.

Harakahdaily sebenarnya telah ada tiga versi, iaitu versi bahasa Malaysia (http://bm.Harakahdaily.net), versi English (http://en.Harakahdaily.net) yang dilancarkan sejak beberapa tahun lepas dan versi Mandarin (http://cn.Harakahdaily.net) dilancarkan pada Muktamar PAS ke59 pada tahun lepas.

Selain portal berita, integrasi Harakahdaily juga dirangkaikan dengan ePaper Harakah, yakni versi harakah cetak secara online yang boleh dilanggani pada alamat http://epaper.harakah.net.my yang perlu dilanggan oleh pelayar-pelayar terutama bagi ahli-ahli PAS yang sukar untuk membeli Harakah cetak yang sukar didapati daripada pasaran terbuka diluar talian.

Disebabkan kekuatan branding Harakah, TVHarakah yang telah lama berkubur sebelum ini juga telah dihidupkan semula dengan nama TVHarakahdaily oleh pengurusan Harakah sebagai pelengkap kepada portal berita Harakahdaily.

Kekuatan Video TV Harakahdaily ini telah mencapai hampir setengah juta pengunjung yang melihatnya ketika ia masih diperingkat awal lagi. Beberapa segmen lain seperti Harakahdaily English dan Mandarin akan dimasukkan secara berperingkat dalam dalam portal Harakadaily versi integrasi atau Harakahdaily Integrated Portal yang baru ini.

Selain daripada apa yang telah sedia ada sebelum ini, seperti Media Sosial seperti Facebook, Twitter dan lain-lain, satu lagi pendekatan baru yang akan muncul sedikit masa lagi adalah MyBazaar untuk membolehkan pelayar membeli secara online atau dalam talian sambil mengikuti berita-berita yang dipaparkan oleh Harakahdaily.

Sama ada disedari atau tidak, versi ini juga terdapat perubahan baru dengan memperkenalkan berita hiburan, sukan dan lain-lain yang menjadi minat kepada anak-anak muda atau gen Y dan Z untuk turut melayari Harakahdaily.

Jika pelayar-pelayar Harakahdaily ada cadangan, pihak kami sedia mendengar dan mengkaji cadangan dan pandangan dari semua.  

Debat Abu Hanifah dengan ilmuan kafir

http://detikislam.blogspot.com | .

Terdapat seorang ilmuwan besar yang sangat terkenal. Sayangnya, ilmuwan berbangsa Rom ini adalah seorang atheis dan menolak mentah-mentah kewujudan Tuhan. Ketika itu,para ulama hanya berdiam diri dan tidak berusaha untuk menyedarkan si ilmuwan tersebut. Tentu sahaja tidak semua ulama yang berdiam diri, masih ada yang peduli dengan keadaan itu. Hal ini boleh mendatangkan bahaya jika membiarkan ilmuwan mempengaruhi akidah umat. Ulama yang dimaksudkan adalah guru Abu Hanifah yang bernama Hammad.

Pada suatu hari, orang ramai sudah berkumpul di sebuah masjid. Si ilmuwan naik ke mimbar dan menentang sesiapa sahaja yang mahu berdebat dengannya. Ada maksud tersembunyi di sebalik tentangan itu. Sesungguhnya, dia bermaksud menjatuhkan para ulama dengan perdebatan-perdebatan yang rasional.

Si ilmuwan semakin bongkak, apalagi setelah tentangannya tidak bersambut. Dia menyangka semua ulama itu pengecut sehingga tidak ada seorang pun yang berani menyambut tentangannya. Hal ini semakin diperkuat dengan suasana di dalam masjid yang tiba-tiba menjadi hening. Beberapa orang saling berpandangan, ada pula yang mengarahkan pandangan ke deretan paling hadapan di tempat duduk beberapa ulama.

Dari kebanyakan hadirin, ada seorang pemuda yang merasa meluat melihat kesombongan si ilmuwan. Namun, dia berusaha menahan diri, barangkali ada ulama senior yang berani tampil menghadapi tentangan itu.

Sang pemuda menunggu lama. Setelah yakin tidak ada yang mahu tampil ke hadapan, barulah dia berdiri dan melangkah menuju ke mimbar.

"Saya Abu Hanifah, bersedia untuk berdebat denganmu," kata sang pemuda sambil memperkenalkan diri.

Semua mata hadirin tertuju ke arah Abu Hanifah. Mereka merasa hairan melihat keberanian sang pemuda. Beberapa orang memberikan tabik kagum kepada Abu Hanifah, manakala si ilmuwan sendiri merasa hairan melihat keberanian Abu Hanifah. Akan tetapi, kebanyakan hadirin bersikap sinis terhadap Abu Hanifah dan merendah-rendahkan kemampuannya. Ada pula yang mempersoalkan motif Abu Hanifah tampil ke depan. Apakah sekadar hanya menonjolkan diri atau mencari populariti?

Wajah Abu Hanifah tetap tenang. Beliau tidak terpengaruh oleh pelbagai bisikan yang ada, termasuk bernada sinis sekalipun. Sikap Abu Hanifah sangat rendah hati. Tanpa membuang masa, Abu Hanifah memulakan bicara.

"Silakan Tuan yang memulakan persoalan," ujar Abu Hanifah memprsilakan ilmuwan itu dengan sopan.

"Baiklah, soalan pertama. Pada tahun berapakah Tuhan kamu dilahirkan?" tanya ilmuwan kafir.

"Allah tidak melahirkan dan tidak pula dilahirkan," jawab Abu Hanifah.

"Hmm, masuk akal jika dikatakan Tuhanmu tidak melahirkan dan tidak pula dilahirkan. Lalu, pada tahun berapa Dia ada?"

"Dia ada sebelum segala sesuatu ada," tegas Abu Hanifah.

"Boleh berikan contoh yang konkrit mengenai hal ini?"

"Tuan tahu tentang perhitungan?" Abu Hanifah kembali bertanya.

"Ya, saya tahu."

"Apakah angka sebelum angka satu?"

"Tidak ada,"jawab ilmuwan kafir.

"Tidak ada angka lain yang mendahului angka satu. Lalu mengapakah tuan hairan bahawa sebelum Allah itu tidak ada sesuatu pun yang mendahului-Nya?"

"Baiklah. Sekarang, di manakah Tuhan mu berada? Sesuatu yang wujud pasti memerlukan tempat, bukan?" lanjut si ilmuwan.

"Tuan tahu bentuk susu?" tanya Abu Hanifah.

"Ya, saya tahu," jawab si ilmuwan.

"Apakah di dalam susu terdapat keju?"

"Ya, sudah tentu."

"Kalau begitu, cuba tunjukkan di mana tempat keju itu sekarang?"

"Jelas tidak ada tempat yang khusus. Keju itu bercampur dengan susu di seluruh bahagiannya," jawab si ilmuwan dengan bersemangat.

"Sekarang, keju sahaja tidak mempunyai tempat yang khusus di dalam susu. Tuan tidak sepatutnya meminta saya untuk menunjukkan tempat di mana Allah berada."

"Tolong jelaskan zat Tuhan mu. Apakah wujud-Nya itu benda seperti batu, benda cair seperti susu ataukah seperti gas?"

"Tuan pernah mendampingi orang sakit yang akan meninggal dunia?"

"Pernah."

"Awalnya, bukankah orang sakit itu dapat berkata-kata dan dapat menggerakkan anggota badannya?"

"Ya, memang begitulah keadaannya."

"Tetapi, kenapa tiba-tiba orang sakit itu diam tidak bergerak? Apa yang menyebabkan hal itu?"

"Itu kerana roh orang tersebut telah terpisah dari tubuhnya."

"Sewaktu roh itu keluar, apakah tuan masih berada di sana?"

"Saya masih berada di sana."

"Cuba jelaskan, apakah roh orang tersebut adalah sesuatu benda yang padat, cair atau gas?"

"Wah,kalau soalan itu saya tidak tahu jawapannya."

"Tuan sendiri tidak dapat menerangkan bentuk roh, apalagi saya harus menerangkan Zat Allah yang menciptakan roh."

"Lazimnya, sesuatu itu mempunyai arah. Ke manakah Tuhanmu menghadapkan wajah-Nya sekarang?" tanya si ilmuwan lagi.

"Apabila tuan menyalakan lampu, ke arah manakah cahaya lampu itu menghadap?"

"Cahanya menghadap ke semua arah."

"Lampu yang buatan manusia sahaja seperti itu. Apalagi dengan Allah Sang Pencipta alam semesta. Allah adalah cahaya langit dan bumi."

"Ada awal dan ada akhir. Seseorang masuk syurga itu ada awalnya, tetapi kenapa tidak ada akhirnya? Mengapa syurga dan para penghuninya kekal abadi?" kata si ilmuwan melanjutkan pertanyaannya.

"Untuk hal itu, Tuan boleh membandingkannya dengan perhitungan angka. Angka itu ada awalnya tidak ada akhirnya."

"Jadi, bagaimana pula para penghuni syurga itu makan dan minum tanpa buang hajat?"

"Ini pernah tuan alami sewaktu di dalam rahim ibu. Selama sembilan bulan tuan makan dan minum tanpa pernah buang hajat. Tuan membuang air besar dan air kecil beberapa saat setelah di lahirkan di dunia."

"Tolong jelaskan, bagaimana kenikmatan syurga itu boleh terus bertambah tanpa ada habisnya!"

"Ada banyak hal yang seperti itu di dunia. Misalnya,ilmu. Ilmu tidak akan habis atau berkurang ketika dimanfaatkan, malah semakin bertambah."

"Jika segala sesuatu sudah ditakdirkan sebelum diciptakan, lalu apakah pekerjaan Tuhan mu sekarang?"

"Sejak tadi tuan menjawab pertanyaan-pertanyaan saya dari atas mimbar, sedangkan saya hanya menjawab dari atas lantai masjid ini. Kali ini untuk menjawab pertanyaan Tuan, saya mohon tuan turun dari mimbar. Saya akan menjawab pertanyaan tuan tadi di mimbar."

Kemudian, si ilmuwan turun dari mimbar sementara Abu Hanifah naik ke mimbar.

"Saudara-saudara, dari atas mimbar ini saya akan menjawab pertanyaan tadi. Boleh tuan ulangi pertanyaan tadi?" tutur Abu Hanifah setelah berada di atas mimbar masjid.

"Apakah pekerjaan Tuhan mu sekarang?" kata si ilmuwan menyebut intipati pertanyaannya.

"Pekerjaan Allah tentu sahaja ada perkejaan dari pekerjaan makhluk. Ada pekerjaan-Nya yang dapat dijelaskan, dan ada pula yang tidak dapat dijelaskan. Pekerjaan Allah sekarang adalah menurunkan orang kafir seperti tuan dari atas mimbar, kemudian menaikkan seorang Mukmin ke atasnya. Seperti itulah gambaran pekerjaan Allah setiap waktu."

Akhirnya, hadirin yang ada di dalam masjid merasa puas dengan jawapan-jawapan Abu Hanifah. Jelas, mudah, tegas,dan mudah difahami, bahkan oleh orang awam sekalipun.

Aishah: Jangan pakai barang kemas banyak sangat

SALMAH MAT HUSAIN | .
KOTA BHARU: Artis Wan Aishah Wan Ariffin atau lebih dikenali dengan panggilan Aishah, mengingatkan rakyat Kelantan khususnya kaum wanita tidak terlalu memakai barang kemas yang berlebihan demi untuk keselamatan.

Katanya, wanita Kelantan yang terkenal gemar membeli barang kemas, seharusnya berhati-hati ketika memakainya agar tidak berlebihan demi untuk keselamatan.

“Ketika saya pergi membeli-belah di pasar khususnya, saya perhatikan ramai peniaga atau pembeli yang memakai barang kemas, baguslah sebab beli barang kemas banyak sebagai simpanan, tetapi kena berhati-hati,”ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program Sembang Petang Bersama Aishah sempena Jualan Amal Dewan Muslimat PAS Kawasan Kota Bharu semalam.

Menurutnya, negara sekarang semakin kritikal dengan masaalah keselamatan di mana kadar jenayah kian berleluasa.

Beliau yang juga Pengerusi Lajnah Kesenian, Kebudayaan dan Rekreasi Dewan Muslimat PAS Pusat, seterusnya berkata kerana itu pihaknya menyokong perlaksanaan hudud yang ingin dilaksanakan oleh kerajaan Kelantan.

Jelasnya, ia sebagai syariat yang amat sesuai untuk dilaksanakan pada manusia bagi mengawal mereka melakukan keburukkan mengikut kehendak Islam.

“Hukuman ini tidak memilih kedudukan seseorang, jadi tidak perlulah takut kalau kita tidak buat salah,”ujarnya.

Turut berucap pada majlis itu, Datuk Takiyuddin Hassan, Ketua Dewan Muslimat PAS Kota Bharu, Rohani Ibrahim.

Jualan Amal diadakan bertujuan untuk mengumpul dana bagi membantu golongan memerlukan sama ada sumbangan pada anak-anak yatim, miskin, mangsa kebakaran dan lain-lain. - HARAKAHDAILY 29/4/2014