Rabu, 1 September 2010

JIN........

Beza Antara Jin, Syaitan dan Iblis

Perbezaan Antara Jin, Syaitan dan Iblis
Susunan: Amiene Rev (C)

"Berdasarkan artikel yang ditulis oleh Ustaz Haji Ahmad Sarwat, saya mengenali Iblis sebagai dahulunya seorang alim yang taat dan dekat kepada Allah, sehinggalah apabila Iblis diminta sujud kepada Nabi Adam, maka Iblis pun menjadi derhaka kerana sombong akan sifat kejadiannya. Kasih sayang Allah SWT dapat dilihat, di mana kerana Iblis itu juga pernah patuh kepada perintah-Nya dahulu, maka Allah memberi tangguh akan ajalnya si Iblis, supaya Iblis dapat hidup hingga ke hari kiamat. Syaitan itu adalah label. Syaitan boleh jadi jin, boleh jadi juga manusia. Kerjanya menyuruh manusia melakukan kejahatan." - Amiene Rev

Nama Jin, Syaitan dan Iblis itu kadangkala mengelirukan kerana sifat kaumnya, tetapi setiap satunya memiliki perbezaan dari segi maksudnya.


Jin
Di dalam Al Quran, Allah SWT ada menyebut beberapa kali mengenai jin, sehinggakan ada surah yang khusus untuk bangsa ini iaitu Al-Jin.

Jin diciptakan oleh Allah SWT dari api.
Allah SWT menerangkan bahawa jin itu diciptakan daripada api yang sangat panas, juga disebutkan terbuat daripada nyala api.

Dan Kami telah menciptakan jin sebelum daripada api yang sangat panas.(
Al Quran, Surah Al-Hijr: 27)

Dan Dia menciptakan jin daripada nyala api.(
Al Quran, Surah .Ar-Rahman: 15 )


Jin ada yang muslim dan ada yang tidak
Jin adalah satu bangsa, seperti manusia juga. Jika manusia ada yang muslim dan ada yang kafir. Jin pun ada yang muslim dan ada yang kafir.

Allah SWT berfirman menerusi ayat berikut:

Dan sesungguhnya di antara kami ada orang-orang yang soleh dan di antara kami ada yang tidak demikian halnya. Adalah kami menempuh jalan yang berbeza-beza. (
Al Quran, Surah Al-Jin: 11 )

Contoh jin muslim adalah jin yang menjadi tentara Nabi Sulaiman AS. Sebagaimana diterangkan di dalam Al-Quran:

Dan Kami telah menciptakan jin sebelum dari api yang sangat panas. (
Al Quran, Surah An-Naml: 17 )

Dan Kami kurniakan kepada Nabi Sulaiman kuasa menggunakan angin untuk perjalanannya: sepagi perjalanannya adalah menyamai perjalanan biasa sebulan, dan sepetang perjalanannya adalah menyamai perjalanan biasa sebulan; dan Kami alirkan baginya matair daripada tembaga; dan (Kami mudahkan) sebahagian daripada jin untuk bekerja di hadapannya dengan izin Tuhannya. Dan sesiapa daripada jin itu yang menyeleweng daripada perintah Kami, Kami akan merasakannya (pukulan) dari azab api neraka. (
Al Quran, Surah Saba': 12 )

Para jin itu membuat untuk Sulaiman apa yang dikehendakinya dari gedung-gedung yang tinggi dan patung-patung dan piring-piring yang seperti kolam dan periuk yang tetap. Bekerjalah hai keluarga Daud untuk bersyukur. Dan sedikit sekali daripada hamba-hambaKu yang berterima kasih. (
Al Quran, Surah Saba': 13)


Syaitan
Menurut Al-Quran, syaitan adalah makhluk yang kerjanya mengajak manusia berbuat jahat dan berbohong.

Mengajak kepada Perbuatan Keji
Firman Allah SWT:

Sesungguhnya syaitan itu hanya menyuruh kamu berbuat jahat dan keji, dan mengatakan terhadap Allah apa yang tidak kamu ketahui. (
Al Quran, Surah Al-Baqarah: 169)


Syaitan adalah Musuh Manusia (satu label terhadap manusia atau jin)
Allah SWT telah menegaskan bahawa syaitan itu adalah musuh yang nyata bagi manusia:

Hai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam keseluruhan, dan janganlah kamu turut langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu. (
Al Quran, Surah Al-Baqarah: 208)


Memberi Janji dan Angan-angan Kosong
Syaitan itu kerjanya memberi janji dan angan-angan kosong kepada manusia.

Syaitan itu memberikan janji-janji kepada mereka dan membangkitkan angan-angan kosong pada mereka, padahal syaitan itu tidak menjanjikan kepada mereka selain daripada tipuan belaka. (
Al Quran, Surah An-Nisa: 120 )

Manusia pun ada yang Syaitan Juga
Namun Syaitan itu tidak terbatas kepada jenis makhluk halus/jin sahaja, melainkan manusia pun ada yang dikategorikan sebagai syaitan. Dan Al-Quran juga menyebut-nyebut tentang manusia yang menjadi syaitan itu:

Dan demikianlah Kami jadikan bagi tiap-tiap nabi itu musuh, iaitu syaitan-syaitan manusia dan jin, sebahagian mereka membisikkan kepada sebahagian yang lain perkataan-perkataan yang indah-indah untuk menipu. Jikalau Tuhanmu menghendaki, nescaya mereka tidak mengerjakannya, maka tinggalkanlah mereka dan apa yang mereka ada-adakan. (
Al Quran, Surah Al-Anam: 112)

Katakanlah: "Aku berlindung kepada Tuhan manusia. Raja manusia. Sembahan manusia. Dari kejahatan syaitan yang biasa bersembunyi, yang membisikkan ke dalam dada manusia, dari jin dan manusia. (
Al Quran, Surah An-Naas: 1-6 )


Iblis
Sedangkan Iblis adalah makhluk derhaka yang jenisnya adalah jin, bukan jenis manusia. Al-Quran secara tegas menyebutkan bahwa Iblis itu adalah daripada jenis jin.

Dan ketika Kami berfirman kepada para malaikat, "Sujudlah kamu kepada Adam," maka sujudlah mereka kecuali Iblis. Dia adalah daripada golongan jin, maka ia menderhakai perintah Tuhannya. Patutkah kamu mengambil dia dan keturunan-keturunannya sebagai pemimpin selain daripada-Ku, sedang mereka adalah musuhmu? Amat buruklah iblis itu sebagai pengganti bagi orang-orang yang zalim. (
Al Quran, Surah Al-Kahfi: 50)

Jadi boleh dikatakan bahawa Iblis itu adalah seorang oknum yang berjenis jin. Dialah dahulu jin yang paling dekat dengan Allah SWT, lalu berubah menjadi ingkar lantaran tidak mahu diperintahkan untuk bersujud kepada Adam, manusia pertama.

Dan ketika Kami berfirman kepada para malaikat, "Sujudlah kamu kepada Adam," maka sujudlah mereka kecuali Iblis; ia enggan dan takbur dan adalah ia termasuk golongan orang-orang yang kafir. (
Al Quran, Surah Al-Baqarah: 34)

Motivasi yang menghalangi si Iblis itu untuk sujud kepada Adam tidak lain adalah sifat sombong dan riak. Dia merasa dirinya jauh lebih baik daripada Adam. Allah berfirman:

"Apakah yang menghalangimu untuk bersujud pada waktu Aku menyuruhmu?" Menjawab iblis, "Saya lebih baik daripadanya: Engkau ciptakan saya daripada api sedang dia Engkau ciptakan daripada tanah." (
Al Quran, Surah Al-Araf: 12 )

Ciri yang paling utama daripada Iblis adalah dia kekal hidup hingga ke hari kiamat. Dan penangguhan usianya itu memang telah diberikan oleh Allah SWT.

Iblis menjawab, "Beri tangguhlah saya sampai waktu mereka dibangkitkan." Allah berfirman, "Sesungguhnya kamu termasuk mereka yang diberi tangguh." (
Al Quran, Surah Al-Araf: 14-15)

Iblis berkata, "Ya Tuhanku, beri tangguhlah aku sampai hari mereka dibangkitkan." Allah berfirman, "Sesungguhnya kamu termasuk orang-orang yang diberi tangguh, sampai kepada hari yang telah ditentukan waktunya." (Al Quran, Surah Shaad: 79-81 )

Jadi iblis adalah nama seorang jin yang hidup pada masa penciptaan Adam AS. dan tidak mati-mati sampai ke hari ini. Iblis adalah nenek moyang syaitan yang juga mempunyai keturunan, namun keturunannya itu tidak mendapatkan jaminan untuk hidup sampai kiamat. Dan sebagai bangsa jin, ada antara keturunannya itu yang mati. Meski barangkali usianya berbeza dengan rata-rata manusia. Tetapi tetap akan mati juga. Kecuali nenek moyang mereka iaitu Iblis.


Rujukan:
Disusun dan disunting semula oleh Amiene Rev berdasarkan keterangan Ustaz Haji Ahmad Sarwat, Indonesia, yang disiarkan menerusi laman web www.eramuslim.com.

KISAH IBLIS

Kisah Iblis Ingin Bertaubat - Allah Maha Penyayang

Kasih Sayang Allah: Kisah Iblis Ingin Bertaubat
Susunan Amiene Rev

Sebelum ini saya tertanya-tanya, adakah Iblis tidak pernah meminta taubat kepada Allah SWT? Iblis pada asalnya seorang yang sangat taat dan dekat kepada Allah, tiba-tiba menderhakai Allah gara-gara perasaan ego dan dengkinya kepada Nabi Adam AS. Saya juga tertanya-tanya, adakah Allah SWT tidak pernah memberi peluang sekali lagi kepada Iblis untuk kembali ke jalan yang benar? Lalu saya pun mencari-cari kebenaran tersebut. Sesungguhnya menerusi entri ini, dapat kita lihat betapa Allah itu sangat sayang kepada hamba-hamba-Nya. Kasih sayang Allah adalah jauh lebih tinggi, jauh mengatasi kasih sayang seorang ibu atau bapa kepada anaknya. Rupa-rupanya apa yang saya fikirkan selama ini, adalah benar. Iblis ternyata pernah berasa sesal dan ingin kembali kepada Allah.

Sesungguhnya Allah itu Maha Penyayang lagi Maha Pengampun. Kasih sayang Allah kepada sekalian makhluk ciptaannya adalah tidak ada tolok bandingnya. Allah bersedia menerima taubat Iblis tetapi Iblis terlalu sombong dan angkuh. Sebelum ini Allah telah memperkenankan permintaan Iblis supaya Iblis dapat terus hidup hingga ke Hari Kiamat. Lihat betapa Allah menyayangi Iblis dan telah berkali-kali memberi peluang kepada Iblis untuk bertaubat.

Dan (ingatlah) ketika Kami berfirman kepada para malaikat: "Sujudlah kamu kepada Adam," maka sujudlah mereka kecuali Iblis; ia enggan dan takbur dan adalah ia termasuk golongan orang-orang yang kafir. (Surah Al-Baqarah: 34)

Dalam sebuah kitab diterangkan bahawa sesungguhnya Iblis telah datang berjumpa dengan Nabi Musa a.s. dengan berkata: "Wahai Musa, engkau adalah seorang yang telah diutus oleh Allah s.w.t. dan Dia telah berkata-kata denganmu secara langsung." Kemudian Nabi Musa a.s. berkata: "Memang benar apa yang kamu kata, kamu ini siapa dan apa yang kamu mahu dariku?"

Lalu berkata Iblis: "Aku adalah Iblis! Wahai Musa aku mahu kamu tolong katakan kepada Tuhanmu bahawa seorang makhluk-Nya ingin minta taubat kepadaNya." Lalu Nabi Musa a.s. berdoa kepada Allah s.w.t. dan menyampaikan apa yang diucap oleh Iblis, kemudian Allah s.w.t. pun menurunkan wahyu yang bermaksud: "Wahai Musa, katakan kepadanya bahawa sesungguhnya Aku berkenan menerima permohonannya itu dengan syarat mestilah terlebih dahulu dia (Iblis) sujud di kubur Adam, kalau dia mahu sujud maka aku sedia mengampuni segala dosanya."

Setelah Nabi Musa a.s. menerima wahyu daripada Allah s.w.t. maka Nabi Musa a.s. pun terus memberitahu Iblis tentang apa yang telah Allah perintahkan.

Sebaik sahaja selesai Nabi Musa a.s. memberitahu segala perintah Allah s.w.t. maka dengan sombong dan bongkak Iblis berkata: "Wahai Musa, aku tidak sujud kepada Adam ketika dia hidup di syurga, bagaimana aku hendak sujud kepadanya sesudah dia mati." Begitulah sifat sombong Iblis yang tetap dengan kedegilannya, walaupun dia tahu bahawa api neraka itu akan memakannya tetapi dia tetap tidak mahu beriman kepada Allah s.w.t.
Dan (ingatlah), tatkala Kami berfirman kepada para malaikat: "Sujudlah kamu semua kepada Adam", lalu mereka sujud kecuali Iblis. Dia berkata: "Apakah aku akan sujud kepada orang yang Engkau ciptakan dari tanah?"

Dia (Iblis) berkata: "Terangkanlah kepadaku inikah orangnya yang Engkau muliakan atas diriku? Sesungguhnya jika Engkau memberi tangguh kepadaku sampai hari kiamat, niscaya benar-benar akan aku sesatkan keturunannya, kecuali sebahagian kecil."

Tuhan berfirman: "Pergilah, barangsiapa di antara mereka yang mengikuti kamu, maka sesungguhnya neraka Jahannam adalah balasanmu semua, sebagai suatu pembalasan yang cukup." (Surah Al-Israa': 61-63)
Dalam sebuah hadis ada diterangkan bahawa sesungguhnya Allah s.w.t. mengeluarkan Iblis dari neraka setiap 1000 tahun sekali, dan mengeluarkan Adam a.s. dari syurga, serta memerintahkan Iblis supaya sujud kepada Adam a.s. Disebabkan sikap angkuhnya dia tetap enggan sujud, maka dikembalikan Iblis ke dalam neraka.

Semoga tulisan ini dapat menambahkan lagi rasa cinta dan sayang kita kepada Allah, Tuhan yang Maha Penyayang lagi Maha Pengampun.

MENANGIS

KISAH MALAIKAT JIBRIL DAN MALAIKAT MIKAIL MENANGIS

KISAH MALAIKAT JIBRIL DAN MALAIKAT MIKAIL MENANGIS

Dalam sebuah kitab karangan Imam al-Ghazali menyebutkan bahawa iblis laknatullah itu sesungguhnya namanya disebut sebagai al-Abid (ahli ibadah) pada langit yang pertama, pada langit yang keduanya disebut az-Zahid. Pada langit ketiga, namanya disebut al-Arif. Pada langit keempat, namanya adalah al-Wali. Pada langit kelima, namanya disebut at-Taqi. Pada langit keenam namanya disebut al-Kazin. Pada langit ketujuh namanya disebut Azazil manakala dalam Luh Mahfudz, namanya ialah iblis.

Dia (iblis) lupa akibat urusannya. Maka Allah s.w.t. telah memerintahkannya sujud kepada Adam. Lalu iblis berkata, "Adakah Engkau mengutamakannya daripada aku, sedangkan aku lebih baik daripadanya. Engkau jadikan aku daripada api dan Engkau jadikan Adam daripada tanah." Lalu Allah s.w.t. berfirman yang maksudnya, "Aku membuat apa yang aku kehendaki." Oleh kerana iblis laknatullah memandang dirinya penuh keagungan, maka dia enggan sujud kepada Adam a.s. kerana bangga dan sombong. Dia berdiri tegak sampai saatnya malaikat bersujud dalam waktu yang berlalu. Ketika para malaikat mengangkat kepala mereka, mereka mendapati iblis laknatullah tidak sujud sedang mereka telah selesai sujud. Maka para malaikat bersujud lagi bagi kali kedua kerana bersyukur, tetapi iblis laknatullah tetap angkuh dan enggan sujud. Dia berdiri tegak dan memaling dari para malaikat yang sedang bersujud. Dia tidak ingin mengikut mereka dan tidak pula dia merasa menyesal atas keengganannya.

Kemudian Allah s.w.t. merubahkan mukanya pada asalnya yang sangat indah cemerlangan kepada bentuk seperti babi hutan. Allah s.w.t. membentukkan kepalanya seperti kepala unta, dadanya seperti daging yang menonjol di atas punggung, wajah yang ada di antara dada dan kepala itu seperti wajah kera, kedua matanya terbelah pada sepanjang permukaan wajahnya. Lubang hidungnya terbuka seperti cerek tukang bekam, kedua bibirnya seperti bibir lembu, taringnya keluar seperti taring babi hutan dan janggut terdapat sebanyak tujuh helai.

Setelah itu, lalu Allah s.w.t. mengusirnya dari syurga, bahkan dari langit, dari bumi dan ke beberapa jazirah. Dia tidak akan masuk ke bumi melainkan dengan cara sembunyi. Allah s.w.t. melaknatinya sehingga ke hari kiamat kerana dia menjadi kafir. Walaupun iblis laknatullah itu pada sebelumnya sangat indah cemerlang rupanya, mempunyai sayap empat, banyak ilmu, banyak ibadah serta menjadi kebanggan para malaikat dan pemukanya, dan dia juga pemimpin para malaikat karubiyin dan banyak lagi, tetapi semua itu tidak menjadi jaminan sama sekali baginya.

Ketika Allah s.w.t. membalas tipu daya iblis laknatullah, maka menangislah Jibril a.s.dan Mikail. Lalu Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud, "Apakah yang membuat kamu menangis?" Lalu mereka menjawab, "Ya Allah! Kami tidaklah aman dari tipu dayamu." Firman Allah s.w.t. bagi bermaksud, "Begitulah aku. Jadilah engkau berdua tidak aman dari tipu dayaku." Setelah diusir, maka iblis laknatullah pun berkata, "Ya Tuhanku, Engkau telah mengusir aku dari Syurga disebabkan Adam, dan aku tidak menguasainya melainkan dengan penguasaan-Mu."

Lalu Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud, "Engkau dikuasakan atas dia, yakni atas anak cucunya, sebab para nabi adalah maksum." Berkata lagi iblis laknatullah, "Tambahkanlah lagi untukku." Allah s.w.t. berfirman yang maksudnya, "Tidak akan dilahirkan seorang anak baginya kecuali tentu dilahirkan untukmu dua padanya." Berkata iblis laknatullah lagi, "Tambahkanlah lagi untukku." Lalu Allah s.w.t. berfirman dengan maksud, "Dada-dada mereka adalah rumahmu, engkau berjalan di sana sejalan dengan peredaran darah." Berkata iblis laknatullah lagi, "Tambahkanlah lagi untukku." Maka Allah s.w.t. berfirman lagi yang bermaksud, "Dan kerahkanlah terhadap mereka pasukan berkuda dan pasukan yang berjalan kaki, ertinya mintalah tolong menghadapi mereka dengan pembantu-pembantumu, baik yang naik kuda mahupun yang berjalan kaki. Dan berserikatlah dengan mereka pada harta, iaitu mendorong mereka mengusahakannya dan mengarahkannya ke dalam haram."

"Dan pada anak-anak, iaitu dengan menganjurkan mereka dalam membuat perantara mendapat anak dengan cara yang dilarang, seperti melakukan senggama dalam masa haid, berbuat perkara-perkara syirik mengenai anak-anak itu dengan memberi nama mereka Abdul Uzza, menyesatkan mereka dengan cara mendorong ke arah agama yang batil, mata pencarian yang tercela dan perbuatan-perbuatan yang jahat dan berjanjilah mereka." (Hal ini ada disebutkan dalam surah al-Isra ayat 64 yang bermaksud : "Gerakkanlah orang yang engkau kuasai di antara mereka dengan suara engkau dan kerahkanlah kepada mereka tentera engkau yang berkuda dan yang berjalan kaki dan serikanlah mereka pada harta dan anak-anak dan berjanjilah kepada mereka. Tak ada yang dijanjikan iblis kepada mereka melainkan (semata-mata) tipuan."

KETAWA

LARANGAN KETAWA

LARANGAN KETAWA

Abul Laits Assamarqandi meriwayatkan dengan sanadnya dari Sufyan bin Uyainah berkata: "Nabi Isa a.s. berkata kepada sahabat hawariyyin (yang setia): "Hai garam bumi kamu jangan merosak sebab segala sesuatu jika dirosak dapat diubati dengan garam dan bila garamnya yang rosak tidak dapat diubati dengan apapun, hai para hawariyyin, kamu jangan memungut upah dari orang yang kamu ajar kecuali sebagaimana kamu memberi kepadaku dan ketahuilah bahawa kamu mempunyai dua ciri kebolehan iaitu tertawa tanpa sebab yang mentertawakan dan tiudr pagi tanpa bangun malam."

Garam bumi para ulama yang selalu memberi petunjuk kepada manusia dan memperbaiki akhlak kelakuan manusia dan menunjukkan jalan yang diridhoi Allah s.w.t., maka apabila ulama telah meninggalkan tugasnya maka siapakah yang dapat ditiru oleh orang-orang yang bodoh. Kerana ulama sebagai waris Nabi seharusnya mereka mengikuti jejak Nabi, yakni tidak minta upah atas ajarannya, sebagaimana firman Allah s.w.t. (Yang berbunyi): "Qul la as'alukum alaihi ajra illal mawaddata filqurba." (Yang bermaksud): "Katakanlah saya tidak minta daripadamu upah, hanya supaya kamu suka pada kaum kerabatku." Sedang upah hanya dari Allah s.w.t. Yang dimaksudkan dengan tertawa ialah bergelak-gelak dan ini makruh kurang baik dan tidur pagi padahal tidak bangun malam tanda kurang sihat akal.

Nabi Muhammad s.a.w. bersabda: "Tidur waktu pagi itu tanda-tanda ahmaq (degil) dan tengah hari itu baik dan petang hari tanda kebodohan."

Abul Laits meriwayatkan dengan sanadnya dari Ibn Umar r.a. berkata: "Pada suatu hari Nabi Muhammad s.a.w. keluar kemasjid, tiba-tiba ada orang berbicara-bicara sambil tertawa, maka Nabi Muhammad s.a.w. berhenti didepan mereka dan memberi salam lalu bersabda: "Perbanyaklah mengingati yang merosak kelazatan." Sahabat bertanya: "Apakah yang merosakkan kelazatan itu?" Jawab Nabi Muhammad s.a.w.: "Mati." Kemudian Nabi Muhammad s.a.w. keluar melihat orang-orang sedang tertawa gelak-gembira, maka Nabi Muhammad s.a.w. bersabda kepada mereka: "Ingatlah demi Allah yang jiwaku ditanganNya andaikan kamu mengetahui sebagaimana yang aku ketahui nescaya kamu sedikit tertawa dan banyak menangis." Kemudian dilai hari keluar pula dan melihat orang-orang sedang gelak ketawa sambil berbicara-bicara, maka Nabi Muhammad s.a.w. memberi salam dan berkata: "Sesungguhnya Islam ini pada mulanya asing dan akan kembali asing, maka untung bagi orang-orang yang asing pada hari kiamat." Ditanya: "Siapakah orang-orang asing itu pada hari kiamat?" Jawab Nabi Muhammad s.a.w.: "Ialah mereka yang memperbaiki dimasa kerosakan manusia." (Yakni jika manusia telah rosak moralnya (akhlak) maka mereka tetap memperbaiki akhlak mereka.)

Abul Laits meriwayatkan dengan sanadnya dari Ishaq bin Manshur berkata: "Ketika Khidzir akan berpisah dengan Nabi Musa a.s. maka berkata Nabi Musa a.s.: "Berilah nasihat kepadaku." Khidzir berkata: "Ya Musa, jangan banyak bicara dan jangan berjalan tanpa kepentingan dan jangan tertawa tanpa sesuatu yang mentertawakan dan jangan menempelak orang yang salah dengan dosa kesalahannya dan menangislah atas dosa-dosamu sendiri, hai putera Imran."

Ja'far bin Auf dari Mas'ud dari Auf bin Abdullah berkata: "Biasa Nabi Muhammad s.a.w. tidak tertawa melainkan senyum simpul dan tidak menoleh kecuali dengan wajahnya." (Yakni tidak suka melerek) Hadis ini menunjukkan bahawa senyum itu sunnat dan tertawa bergelak-gelak itu makruh. Maka seharusnya orang yang sihat akal jangan gelak-gelak tertawa sebab banyak yang bergelak didunia bererti akan banyak menangis diakhirat. Allah s.w.t. berfirman (Yang berbunyi): "Fal yadh haku qalila wakyabku katsira." (Yang bermaksud): "Hendaklah kamu sedikit ketawa dan banyak menangis setelah menerima pembalsan dari amal perbuatan mereka."

Alhasan Albashri berkata: "Sungguh ajaib seseorang dapat tertawa pada hal dibelakangnya ada api neraka dan orang yang bersuka-suka sedang dibelakangnya maut."

Alhasan Albashri bertemu dengan pemuda yang sedang tertawa, lalu ditanya: "Hai anak, apakah engkau sedah menyeberang shirath?" Jawabnya: "Belum." "Apakah engkau pasti engkau akan masuk syurga atau neraka?" Jawabnya: "Belum." "Lalu kerana apa engkau tertawa sedemikian itu?" Maka sejak itu pemuda itu tidak tertawa lagi. Nasihat Alhasan meresap benar dalam hatiya sehingga ia bertaubat daripada tertawaan. Demikianlah nasihat dari ulama yang mengamalkan benar ilmunya, sangat berguna ilmunya dan berkesan nasihat-nasihatnya, adapun ulama-ulama sekarang kerana mereka sendiri tidak menjalankan ilmunya maka ajarannya kurang berkesan.

Ibn Abbas r.a. berkata: "Siapa yang tertawa ketika berbuat dosa maka ia akan menangis ketika akan masuk neraka." Orang yang lebih banyak ketawa didunia merekalah yang lebih banyak menangis diakhirat, dan orang yang banyak menangis didunia merekalah yang banyak tertawa diakhirat.

Yahya bin Mu'aadz Arrazi berkata: "Empat macam yang menghilangkan tertawanya orang mukmin dan kesenangannya iaitu:

*

Memikirkan akhirat
*

Kesibukan pencarian keperluan hidup
*

Kerisauan memikirkan dosa
*

Tibanya musibah bala

Maka seharusnya seorang mukmin sibuk memikirkan semua itu supaya tidak banyak tertawa, sebab banyak tertawa itu bukan sifat orang mukmin, bahkan Allah s.w.t. telah mencela orang-orang yang tertawaan didalam ayat (Yang berbunyi): "Afa min hadzal haditsi ta'jabun, watadh hukuna wala takbun, wa antum saamiduun." (Yang bermaksud): "Apakah kerana keterangan ajaran ini kamu ajaib, dan tertawa dan tidak menangis, padahal kamu sedang lalai."

Dan Allah s.w.t. memuji orang-orang yang menangis didalam ayat (Yang berbunyi): "Wa yakhirruna lil adzqaani yabkuun." (Yang bermaksud): "Dan mereka menundukkan dagunya sambil menangis."

Maka selayaknya tiap orang memikirkan lima macam iaitu:

*

Memikirkan dosa-dosanya yang lalu, sebab ia telah berbuat dosa-dosa itu tetapi tidak mengetahui apakah dimaafkan atau tidak.
*

Dia telah berbuat amal kebaikan tetapi belum mengetahui apakah diterima atau tidak
*

Dia telah mengetahui apa yang telah lalu dari masa hidupnya dan belum mengtahui bagaimana kesudahannya
*

Dia telah mengetahui bahawa Allah s.w.t. membuat tempat maka ditempat yang mana ia akan masuk
*

Dia tidak mengetahui apakah Allah s.w.t. ridho kepadanya atau murka


Maka siapa yang tidak memperhatikan lima macam ini dimasa hidup, ia akan menerima lima macam sesudah mati iaitu:
*

Menyesal terhadap apa yang ia tinggalkan kepada ahli waris yang akan menjadi musuhnya
*

Menyesal kerana menunda-nunda amal kebaikan sehingga sedikit amal kebaikannya
*

Menyesal kerana melihat dosa-dosa yang amat banyak sehingga minta izin kembali untuk taubat dan tidak diizinkan
*

Menyesal kerana banyak yang menuntutnya dan tidak dibayar tuntutan itu kecuali dengan amal
*

Allah s.w.t. murka kepadanya dan tidak ada jalan untuk minta ridhoNya

Abu Dzar r.a. berkata Nabi Muhammad s.a.w. bersabda: "Andaikan kamu mengetahui sebagaimana yang aku ketahui, nescaya kamu banyak menangis dan sedikit tertawa, dan andaikan kamu mengetahui apa yang aku ketahui, nescaya kamu akan keluar kedataran tinggi menjerit-jerit kepada Tuhan menangis dan andaikan kamu mengetahui apa yang aku ketahui nescaya tidak dapat bersuka-suka pada isterimu dan tidak tenang ditempat tidurmu. Dan saya ingin andaikan ketika Allah s.w.t. menjadikan aku dijadikan pohon yang ditebang orang."

Yunus meriwayatkan dari Alhasan Albashri berkata: "Seorang mukmin tiap pagi dan petang ia sedih memikirkan hari kemudian." Dan Alhasan sendiri selalu tampak bagaikan orang baru menguburkan ibunya. Al-auza'i ketika menafsirkan ayat (Yang berbunyi): "Maa lihaadzal kitabi la yughaadiru soghirotan walaa kabiratan illa ahshaha." (Yang bermaksud): "Mengapakah suratan amal ini tidak meninggalkan yang kecil maupun yang besar melainkan dicatatnya?." Tafsiran yang kecil itu senyum dan yang besar itu gelak ketawa.

Abdullah bin Amar bin Al-ash r.a. berkata: "Andaikan kamu mengetahui apa yang aku ketahui tentu kamu sedikit tertawa dan banyak menangis, dan nadaikan kamu mengetahui apa yang aku ketahui nescaya akan sujud salah satu kamu hingga putus punggungnya dan akan menjerit sehabis suaranya, menangislah kamu kepada Allah s.w.t. jika tidak dapat menangis maka tangis-tangiskanlah sehingga menyerupai orang-orang yang menangis."

Sufyan bin Muhammad bin Ajlan menerangkan hadis yang menerangkan: "Tiap mata akan menangis pada hari kiamat kecuali tiga iaitu:

*

Mata yang pernah menangis kerana takut kepada Allah s.w.t.
*

Mata yang dipejamkan dari apa yang diharamkan oleh Allah s.w.t.
*

Mata yang jaga malam dalam jihad fisabilillah

Abu Hanifah berkata: "Saya pernah tertawa satu kali dan saya sangat menyesal atas kejadian itu, iaitu ketika saya berdebat dengan Amr bin Ubaid Alqadari (Orang bermadzhab qodariyah yang tidak percaya pada takdir Allah s.w.t. yang sudah selesai), ketika saya merasa menang lalu tertawa, maka ia berkata: "Engkau bicara tentang ilmu dan tertawa, maka saya tidak akan berkata-kata kepadamu untuk selamanya" maka saya sangat menyesal, sebab andaikan saya tidak tertawa nescaya akan dapat menundukkannya kefahamanku sehingga menjadi kebaikan bagi ilmu."

Muhammad bin Abdullah Al-abid berkata: "Siapa yang meninggalkan penglihatan yang tidak perlu, ia mendapat taufiq untuk khusyu' dan siapa meninggalkan sombong diberi taufiq untuk bertawadhuk dan siapa yang meninggalkan bicara yang tidak penting maka ia mendapat hikmat dan siapa yang meninggalkan makanan yang berlebihan maka diberi taufiq untuk merasakan lazatnya ibadat, dan siapa yang meninggalkan senda gurau diberi wibawa dan keindahan, dan siapa yang meninggalkan tertawa maka ia berwibawa dan hebat, dan siapa yang tidak menginginkan kekayaan orang maka dicinta, dan siapa yang tidak menyelidiki hal orang, maka ia diberi taufiq untuk menyelidiki kesalahan diri sendiri, dan siapa yang meninggalkan ragu terhadap sifat-sifat Allah s.w.t. maka selamat dari nifaq."

Nabi Muhammad s.a.w. bersabda mengenai firman Allah s.w.t. (Yang berbunyi): "Wa kaana tahtahu kanzullalhumma." Dibawahnya ada lembaran mas yang tertulis lima garis iaitu:

*

Saya hairan pada orang yang yakin akan mati, bagaimana ia dapat bergembira
*

Saya hairan terhadap orang yang yakin adanya neraka, bagaimana ia dapat tertawa
*

Saya hairan pada orang yang yakin pada takdir, bagaimana ia susah (berdukacita)
*

Saya hairan pada orang yang yakin pada perubahan dunia, bagaimana ia merasa senang
*

Laa ilaha illallah, Muhammad rasulullah

Tsabit Albunani berkata: "Diceritakan bahawa tertawanya seorang mukmin itu kerana lupa kepada urusan akhirat, andaikan ia tidak lupa maka tidak akan ketawa."

Yahya bin Mu'adz Arrazi berkata: "Carilah kesenangan yang tidak ada susahnya, dengan bersusah yang tidak ada senangnya." Yakni kesenangan akhirat yang abadi tidak dapat dicapai tanpa mengendalikan hawa nafsu syahwat, sehingga terasa selalu susah kerana harus menelan liur, kerana menahan keinginan hawa nafsu syahwat."

Tiga macam hal yang dapat mengeraskan hati iaitu:

*

Tertawa tanpa sesuatu yang mentertawakan (ajaib)
*

Makan tanpa rasa lapar
*

Bicara yang tidak penting (perlu)

Bahz bin Hakiem dari ayahnya dari neneknya berkata Nabi Muhammad s.a.w. bersabda: "Ancaman celaka bagi orang yang dusta untuk mentertawakan orang, ancaman bahaya baginya ancaman celaka baginya."

Ibrahim Annakha'i berkata: "Adakalanya seorang melepas satu kalimat untuk mentertawakan orang-orang disekitarnya, maka Allah s.w.t. murka padanya lalu murka Allah s.w.t. itu merata kepada orang-orang yang disekitarnya. Dan adakalanya seorang berkata kalimat yang diridhoi Allah s.w.t., maka ia mendapat rahmat dan rahmat Allah s.w.t. itu merata kepada orang-orang yang disekitarnya."

Watsilah bin Al-asqa' dari Abuhurairah r.a. berkata Nabi Muhammad s.a.w. bersabda: "Hai Abuhurairah, jadilah engkau seorang warak (menghindari semua yang haram dan syubhat) nescaya engkau menjadi sebaik-baik manusia ibadatnya, dan jadilah engkau orang yang qana'ah (teriman), nescaya menjadi manusia yang sangat bersyukur, dan sukailah untuk lain orang apa yang kau suka untuk dirimu sendiri nescaya engkau menjadi orang mukmin, dan perbaikilah ketetanggaan kepada tetanggamu nescaya engkau menjadi orang muslim dan kurangilah tertawa sebab banyak tertawa itu mematikan hati."

Malik bin Dinar dari Al-ahnaf bin Qays berkata: "Umar berkata kepadaku: "Siapa yang banyak tertawa kurang wabawanya dan siapa yang suka bergurau diremehkan orang dan siapa yang membiasakan sesuatu terkenal dengan kebiasaannya itu dan siapa yang banyak bicara banyak salahnya dan siapa yang kurang waraknya (hati-hatinya) dan siapa yang kurang wara'nya mati hatinya dan siapa yang mati hatinya maka neraka lebih layak baginya."

Abul Laits berkata: "Awaslah kamu dari tertawa bergelak kerana mengandungi lapan bahaya iaitu:

*

Tercela oleh ulama dan orang yang sopan sempurna akal
*

Memberanikan orang bodoh kepadanya
*

Jika engkau bodoh nescaya bertambah kebodohanmu dan bila engkau alim berkurang ilmumu sebab ada riwayat: Seorang alim jika tertawa bererti telah memuntahkan ilmunya.
*

Melupakan dosa-dosa yang lampau
*

Memberanikan berbuat dosa dimasa mendatang sebab bila tertawa gelak membekukan hatimu
*

Melupakan mati dan akhirat
*

Engkau menanggung dosa orang yang tertawa kerana tertawamu
*

Tertwa gelak-gelak itu menyebabkan banyak menangis diakhirat

Abu Dzar menafsirkan ayat (Yang berbunyi): "Fal yadh haku qalila, walyabku katsira, jazaaan bima kaanu yaksibun." (Yang bermaksud): "Hendaklah mereka ketawa sedikit, sebab didunia ini sedikit dan mereka akan menangis banyak, kerana akhirat itu abadi sebagai pembalasan terhadap apa yang mereka perbuat."

MENYEBUT KEAIBAN ORANG

GHIBAH (MENYEBUT KEBURUKAN ORANG)

GHIBAH (MENYEBUT KEBURUKAN ORANG)

Abul Laits Assamarqandi meriwayatkan dengan sanadnya dari Abu Hurairah r.a. berkata Nabi Muhammad s.a.w. bersabda: "Tahukah kamu apakah ghibah?" Jawab sahabat: "Allah s.w.t. dan Rasulullah s.a.w. yang lebih mengetahui." "Ghibah itu jika kau menyebut (membicarakan) hal keadaan saudaramu yang ia tidak suka hal itu disebut atau dibicarakan kepada orang lain, maka itu bererti ghibah padanya." Jawab Rasulullah s.a.w. Lalu ditanya: "Bagaimana kalau saudaraku betul begitu?" "Jika yang kau sebut itu benar ada padanya. maka itu ghibah tetapi jika tidak betul maka itu buhtan (membuat-buat kepalsuan, pendustaan untuk menjelekkan nama orang)." jawab Rasulullah s.a.w.

Menyebut: "Baju orang itu pendek atau panjang." itu bererti ghibah.

Abul Laits meriwayatkan dengan sanadnya dari Ibn Abi Najih berkata: "Ada seorang wanita pendek datang kerumah Nabi Muhammad s.a.w. dan ketika telah keluar, Siti Aisyah r.a. berkata: "Alangkah pendeknya orang itu." Nabi Muhammad s.a.w. bersabda: "Engkau ghibah." Aisyah r.a. berkata: "Saya tidak menyebut kecuali yang sebenarnya ada padanya." Nabi Muhammad s.a.w. bersabda: "Engkau telah menyebut yang paling jelek padanya."

Abul Laits meriwayatkan dengan sanadnya dari Abu Said Alkhudri r.a. berkata Nabi Muhammad s.a.w. bersabda: "Pada malam Israa ke langit aku melalui suatu kaum yang dipotongkan daging pinggangnya, kemudian dimakankan kepadanya dengan kalimat Makanlah apa yang dahulu kamu makan dari daging saudaramu. Maka saya bertanya: "Ya Jibril, siapakah mereka itu?" Jawabnya: "Mereka dari ummatmu yang mengumpat ghibah (menyebut kejelekkan orang lain) Hammaz lammaz iaitu mengejek dengan isyarat atau lidah atau dengan tangan.

Abul Laits berkata: "Saya mendengar ayahku menceritakan suatu kisah seperti berikut:

Ketika Nabi Muhammad s.a.w. dirumah, sedang sahabat ahlis-shuffah dimasjid dan Zaid bin Tsabit menceritakan apa yang telah ia dengar dari Nabi Muhammad s.a.w. Kemudian Nabi Muhammad s.a.w. dihantar oleh orang daging, maka ahlis-shuffah itu berkata kepada Zaid bin Tsabit: "Engkau masuk kepada Nabi Muhammad s.a.w. dan katakan kepada Baginda s.a.w. bahawa kami sudah lama tidak makan daging, supaya Nabi Muhammad s.a.w. mengirimkan daging kepada kami." Ketika Zaid telah berdiri dari mereka, mereka membicarakan Zaid diantara mereka: "Zaid itu telah mendapat dari Nabi Muhammad s.a.w. sebagaimana yang kami dapat, tetapi mengapa ia mengajar hadis kepada kami?" Maka ketika Zaid telah sampai kepada Nabi Muhammad s.a.w. dan menyampaikan amanat orang-orang ahlis-shuffah itu. tiba-tiba Nabi Muhammad s.a.w. berkata kepada Zaid: "katakan kepada mereka: "Kamu kini telah makan daging." Maka segera Zaid bin Tsabit kembali menyampaikan apa yang diperintahkan oleh Nabi Muhammad s.a.w. Mereka berkata: "Demi Allah, kami sudah lama tidak makan daging." Maka kembali Zaid kepada Nabi Muhammad s.a.w. menyampaikan jawapan orang-orang ahlis-shuffah itu, tetapi Nabi Muhammad s.a.w. tetap berkata: "Mereka kini telah makan daging." Maka kembali Zaid kepada mereka dan menyampaikan apa yang dikatakan oleh Nabi Muhammad s.a.w. Lalu ahlis-shuffah itu datang semua menghadap kepada Nabi Muhammad s.a.w. dan oleh Nabi Muhammad s.a.w. langsung dikatakan: "Sekarang kamu telah makan daging saudaramu sedang bekas itu masih ada digigimu, cuba ludahlah kamu supaya dapat melihat merahnya darah daging itu." Maka ludah orang-orang itu berupa darah, maka bertaubatlah mereka dan minta maaf kerana telah ghibah terhadap Zaid bin Tsabit."

Jabir bin Abdillah r.a. berkata: "Terasa angin yang membawa bau busuk dimasa Nabi Muhammad s.a.w. Maka Nabi Muhammad s.a.w. bersabda: "Ada orang-orang munafiq yang ghibah orang muslimin, maka inilah tandanya bau busuk." Allah s.w.t. akan menunjukkan kepada kaum muslimin yang taat dan patuh kenyataan kebusukan dari apa yang telah dilarang oleh Allah s.w.t. kepada hambaNya."

Ketika ditanya kepada seorang hakim: "Apakah hikmat dari busuknya bau ghibah itu?" Jawabnya: "Dimasa Nabi Muhammad s.a.w., Allah s.w.t. akan membuktikan kepada Nabi Muhammad s.a.w. dan para sahabatnya tetapi dimasa kini kerana banyaknya ghibah itu sehingga hidung kita telah berbau yang demikian, maka tidak busuk lagi bau ghibah itu, sebagaimana seorang yang pertama kali tidak dapat tinggal lama kerana tajamnya baunya kepada hidungnya tetapi ahli tempat itu dapat makan minum disitu dan tidak merasakan bau apa-apa kerana hidung mereka telah penuh dengan bau itu."

Asbaath dari Assuddi berkata: "Ketika Salman Alfarisi bersama para sahabat yang diantara mereka juga ada Umar r.a. dalam perjalanan, tiba-tiba mereka berhenti dan berkhemah, maka tidurlah Salaman sedang para sahabatnya ada yang memasak, lalu ada beberapa orang berkata: "Apakah maksud hamba ini, hanya mahu datang kekhemah yang sudah didirikan dan makanan yang sudah siap?" Kemudian mereka berkata kepada Salman: "Pergilah engkau kepada Nabi Muhammad s.a.w. minta lauk pauk untuk kami." Maka pergilah Salman menyampaikan kepada Nabi Muhammad s.a.w. permintaan mereka. Nabi Muhammad s.a.w. bersabda kepada Salman: "Beritahulah kepada mereka bahawa mereka telah makan lauk pauk." Maka kembalilah Salman kepada kawan-kawannya dan memberitahu apa yang dikatakan oleh Nabi Muhammad s.a.w. Lalu mereka berkata: "Kami belum makan apa-apa." Salman berkata: "Nabi Muhammad s.a.w. tidak berdusta dalam sabdanya." lalu dikatakan oleh Nabi Muhammad s.a.w.:"Kamu telah makan daging saudaramu ketika kamu membicarakan (ghibah) padanya diwktu ia sedang tidur." Lalu Nabi Muhammad s.a.w. membacakan Surah Alhujuraat ayat 12 (Yang berbunyi): "Ya ayyuhalladzina aamanuuj tanibu katsira minadhdhanni inna ba'dhadhdhaani its mun wala tajassanu, wala yagh tabba'dhukum ba'dha, a yuhibbu ahadukum an ya'kula lahma akhihi maita fakarih tumuuhu." (Yang bermaksud): "Hai orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakkan sangka-sangka, sebab sebahagian dari sangka-sangka itu dosa. Dan jangan menyelidiki kesalahan orang lain dan jangan ghibah (membicarakan hal orang lain) setengahmu pada setengahnya, apakah suka salah satu sekiranya makan daging saudara yang telah mati, tentu kamu jijik (tidak suka)."

Ibn Abbas r.a. berkata: " Ayat(Yang berbunyi): "Wala yagh tab ba'dhukum ba'dha (Yang bermaksud): "Dan jangan ghibah (menjelekkan) kejelekkan setengahmu. Turunnya ayat ini adalah mengenai dua orang sahabat Nabi Muhammad s.a.w.. Pada suatu ketika semasa berpergian Nabi Muhammad s.a.w. mengaturkan tiap dua orang kaya dititipi sahabat yang tidak punya harta supaya dapat membantu kepadanya dan ikut makan bersama keduanya. Bertepatan Salman dititipkan kepada dua orang dan pada hari itu Salman tidak membantu menyediakan keperluan kedua kawannya itu, lalu disuruh oleh keduanya: "Pergilah kepada Nabi Muhammad s.a.w. minta untuk kami sisa-sisa lauk pauk." Maka pergilah Salman akan tetapi ketika Salman baru saja berangkat tiba-tiba kedua orang itu berkata: "Orang itu andaikan dia pergi kesumur nescaya akan berkurang airnya." Maka ketika telah sampai kepada Nabi Muhammad s.a.w. Salman berkata kepada Nabi Muhammad s.a.w. apa yang diminta oleh kedua kawannya itu. Tiba-tiba Nabi Muhammad s.a.w. bersabda: "Beritahu kepada keduanya bahawa kamu berdua telah makan lauk pauk." Dan ketika disampaikan oleh Salman apa yang disabdakan oleh Nabi Muhammad s.a.w. Maka segeralah keduanya pergi berjumpa Nabi Muhammad s.a.w. dan berkata: "Kami tidak makan lauk pauk." jawab Nabi Muhammad s.a.w.: "Saya telah melihat merahnya daging dalam mulut kedua kamu." Berkata kedua mereka itu: "Kami tidak punya lauk pauk (daging) dan tidak makan daging pada hari ini." Maka Nabi Muhammad s.a.w. bersabda: "Kamu telah membicarakan saudaramu, apakah kamu suka makan daging orang mati?" Jawab keduanya: "Tidak." Maka Nabi Muhammad s.a.w. bersabda: "Sebagaimana kamu tidak suka makan daging orang mati maka jangan membicarakan kejelekkan orang lain sebab siapa yang ghibah pada kawannya bererti makan dagingnya."

Alhasan Albashri diberitahu: "Bahawa ada orang membicarakan kejelekkanmu." maka langsung ia mengirimkan kepada orang itu setalam kurma ruthab sambil berkata kepadanya: "Saya mendapat berita bahawa engkau telah menghadiahkan hasanatmu kepadaku, maka saya ingin membalaskan hadiah itu, kerana itu harap diterima sebab saya tidak dapat membalas yang sesuai dengan pemberianmu itu."

Ibrahim bin Adham mengundang makan beberapa orang dan ketika makan bersama, tiba-tiba mereka menyebut kejelekkan seseorang, maka berkata Ibrahim: "Orang biasa makan roti sebelum daging tetapi kamu makan daging dahulu sebelum roti."

Abu Umamah Albahili r.a. berkata: "Seorang hamba telah diberi suratan amalnya pada hari kiamat, maka terlihat padanya hasanat-hasanat yang ia tidak merasa melakukannya, lalu ia bertanya: "Ya Tuhan, dari manakah hasanat-hasanat ini?" Jawab Allah s.w.t.: "Itu dari apa yang orang ghibah kau dan engkau tidak merasa."

Ibrahim bin Adham berkata: "Wahai orang yang mendustakan, engkau kikir (bakhil) dengan kekayaanmu terhadap kawan-kawanmu tetapi loman dengan akhiratmu kepada musuh-musuhmu, maka engkau tidak untung kerana bakhil dan tidak terpuji kerana kelomananmu."

Seorang hakim berkata: "Ghibah itu sebagai lalap untuk para qurra dan jamuan orang-orang fasik dan hiburan wanita dan lauk-pauk anjing-anjing manusia dan tempat pembuangan kotoran bagi orang-orang yang bertaqwa."

Anas bin Malik r.a. berkata Nabi Muhammad s.a.w. bersabda: "Empat macam yang dapat membatalkan puasa dan wuduk dan menghapuskan amal (merosakkan) ialah:
  • Ghibah
  • Dusta
  • Mengadu domba antara seorang dengan yang lainnya
  • memperhatikan kecantikan wanita yang haram dilihatnya

Semua itu dapat menyuburkan bibit-bibit kejahatan sebagaimana air menyuburkan bibit-bibit tanaman dan minum arak (khamar) itu mengatasai semua dosa-dosa.

Ka'bul Ahbaar berkata: "Saya telah membaca dalam kitab Nabi-nabi yang dahulu: "Bahawa siapa yang mati baru taubat dari ghibah, maka ia terakhir orang yang masuk syurga dan siapa yang mati sedang terus menerus ghibah maka ia pertama yang masuk neraka."

Nabi Isa bin Maryam a.s. berkata kepada sahabatnya: "Bagaimana jika kamu melihat seseorang yang sedang tidur lalu terbuka auratnya, apakah kamu menutupinya?" Jawab mereka: "Ya." Berkata Nabi Isa a.s. "Bahkan bertambah kamu buka yang belum terbuka." Mereka berkata: "Subhanallah, bagaimana akan kami buka yang belum terbuka?" Nabi Isa a.s. berkata: "Tidakkah bila ada orang menyebut kepadamu kejelekkan seseorang lalu kamu tambahi apa-apa yang tidak disebut oleh orang yang membicarakan itu, maka kamu yang membuka sisa auratnya."

Khalid Arrib'i berkata: "Ketika saya masuk kemasjid Jami, tiba-tiba ada orang membicarakan kejelekkan orang, maka saya larang mereka lalu mereka berhenti. Kemudian mereka membicarakan orang lain pula lalu kembali pada orang yang pertama dan saya juga masuk dalam pembicaraan itu, maka pada malam harinya saya mimpi didatangi seorang yang hitam tinggi membawa talam berisi daging babi lalu berkata kepadaku: "Makanlah." Saya jawab: "Saya disuruh makan daging babi!, Demi Allah saya tidak akan makan." Lalu ia membentak keras kepadaku sambil berkata: "Engkau telah makan yang lebih keji dari ini." Lalu dipaksakan daging babi itu didalam mulutku sampai bangun dari tidurku. Demi Allah, saya telah tinggal selama tiga atau empat puluh hari, tiap makan makanan masih terasa rasa dan bau busuknya daging babi itu dalam mulutku."

Sufyan bin Alhushain berkata: "Saya duduk bersama Iyaas bin Mu'awiyah, tiba-tiba ada orang berjalan, maka saya membicarakan kejelekkannya, maka berkata Iyaas kepadaku: "Diam." Kemudian ia bertanya: "Hai Sufyan, apakah kau pernah memerangi Rom?" Jawabku: "Tidak." "Apakah kau telah berperang dengan Turki?" tanya Iyaas lagi. Jawabku: "Tidak." Lalu ia berkata: "Rom dan turki selamat daripadamu tetapi saudaramu sesama muslim tidak selamat dari gangguanmu." Maka sejak itu saya tidak lagi berani ghibah."

Hatim Azzahid berkata: "Tiga macam jika terdapat dalam majlis maka rahmat Allah s.w.t. akan berpaling dari mereka iaitu:
  • Membicarakan soal keduniaan semata-mata
  • Ketawa keseronokkan
Ghibah

Yahya bin Mu'aadz berkata: "Jadikanlah bagian orang mukmin daripadamu tiga macam supaya tergolong orang yang baik iaitu:
  • Jika kau tidak dapat menguntungkan kepadanya maka jangan merugikannya (merosakkan)
  • Jika engkau tidak dapat menyenangkannya maka jangan menyusahkannya
  • Jika engkau tidak memujikannya maka jangan mencelanya
Mujahid berkata: "Tiap anak Adam ada kawan dari Malaikat, maka apabila ia menyebut saudaranya dengan baik maka disambut oleh Malaikat: "Untuknya dan untukmu mendapat seperti itu." sebaliknya jika menyebut kejelekkan saudaranya, maka Malaikat itu berkata: "Engkau buka auratnya, engkau baiki dirimu dan ucapkan Alhamdulillah yang telah menutupi kejelekkan auratmu."

Ibrahim bin Ad-ham diundang makan dan ketika ia duduk tiba-tiba ada orang berkata: "(Fulan) tidak datang." Lalu disambut oleh yang lain: "Itu memang berat (tidak biasa bergaul)." Lalu Ibrahim bin Ad-ham berkata: "Ini yang menjadikan perutku berat ketika menghadiri makanan, dimana kau ghibah pada seorang muslim." Lalu ia keluar dan tidak makan sampai tiga hari.

Seorang hakiem berkata: "Jika engkau tidak dapat mengerjakan yang tiga, maka kerjakanlah yang tiga iait
  • Jika engkau tidak dapat berbuat kebaikan maka jangan berbuat kejahatan
  • Jika engkau tidak dapat berguna kepada manusia maka jangan kejam pada mereka
  • Jika engkau tidak dapat berpuasa maka jangan makan daging manusia
Wahb Almakki berkata: "Bila saya dapat meninggalkan ghibah maka itu lebih baik bagi saya daripada mendapat dunia seisinya, sejak dijadikan sehingga rosak, lalu saya gunakan untuk kepentingan fisabilillah dan bila saya dapat menahan mataku dari yang haram lebih baik bagiku daripada mendapat dunia seisinya untuk bersedekah fisabilillah." Kemudian ia membaca: "(Yang berbunyi): "Wala yagh tab ba'dhukum ba'dha (Yang bermaksud): "Dan jangan ghibah (menjelekkan) kejelekkan setengahmu. Qul lilmu'minnina ya ghughghu min abshaarihim. (Yang bermaksud): "Katakanlah kepada orang-orang mukmin supaya memejamkan matanya."

Abul Laits berkata: "Orang-orang telah membicarakan cara taubatnya orang ghibah, apakah boleh tanpa memberitahu kepada orang yang dibicarakan. Sebahagian menyatakan boleh dan yang lain mengatakan tidak boleh. Menurut pendapat kami, jika ghibah itu telah sampai kepada yang dibacarakan maka harus minta halalnya dan bila belum sampai maka cukup dengan istighfar dan berjanji kepada Allah s.w.t. tidak akan mengulanginya."

Seorang datang kepada Ibn Sirin dan berkata: "Saya telah ghibah membicarakan kejelekkanmu, kerana itu halalkan dan maafkan bagiku." Jawab Ibn Sirin: "Bagaimanakah saya akan menghalalkan apa yang telah diharamkan oleh Allah s.w.t." Seolah-olah Ibn Sirin mengisyaratkan kepadanya supaya minta ampun kepada Allah s.w.t. disamping minta maaf kepada yang dighibah itu. Jika belum diketahui oleh orangnya maka cukup dengan bertaubat kepada Allah s.w.t. disamping mendoakan baik bagi yang dahulu dighibah itu sebagai imbalan gantinya dan tidak perlu memberitahu kepada orangnya supaya tidak merisaukan hatinya.

Jika yang diperbuat itu buhtan pemalsuan nama (gelaran) atau menjelekkan kehormatan yang tidak benar, maka taubatnya dalam tiga cara iaitu:
  • Ia harus kembali kepada orang-orang yang diberitahu tentang berita bohong itu dan menyatakan kepada mereka berita yang ia sampaikan dahulu adalah bohong
  • Pergi kepada orang yang dijelekkan namanya (gelaran) itu untuk meminta maaf dan menghalalkannya
  • Minta ampun dan membaca istighfar dari perbuatan dosa-dosanya sebab itu termasuk dosa besar
Bahkan Allah s.w.t. telah menggandingkan penyembahan berhala dengan buhtan didalam ayat yang berbunyi: "Faj tani'bur rijsa minal autsaan, waj tanibu qoulazzur. (Yang bermaksud): "Tinggalkan semua yang najis dari berhala-berhala itu dan tinggalkan juga kata-kata yang palsu tuduhan yang palsu. Dan tidak dianggap ghibah kecuali jika disebut nama perseorangan tetapi menghindari itu lebih baik."

Seorang yang bernama Zahid membeli kapuk untuk isterinya, tiba-tiba isterinya berkata: "Penjual-penjual kepuk itu telah mengkianati kamu dalam kapuk itu." Maka Zahid segera menceraikan isterinya itu. Kemudian ditanya: "Mengapakah kau menceraikan isterimu?" Jawabnya: "Saya ini seorang yang sangat cemburu dan saya khuatir ia akan dituntut oleh semua penjual kapuk pada hari kiamat, lalu disebut-sebut isteri Fulan bin Fulan itu dituntut oleh penjual-penjual kapuk maka kerana itu segera saya ceraikannya."

Tiga macam cara yang tidak dianggap ghibah yang dosa iaitu:
  • Menyebut kekejaman raja yang zalim
  • Menyebut kerosakan akhlak orang yang terang-terangan berbuat dosa dimuka orang
  • Menyebut kesalahan ahli bida'ah jika disebut faham madzhabnya
Adapun bila menyebut badannya maka itu termasuk ghibah yang dosa. Nabi Muhammad s.a.w. bersabda: "Sebutlah kejahatan orang lacur supaya orang lain berhati-hati daripadanya."

Ghibah itu ada empat macam iaitu:
  • Menyebabkan kufur (kafir)
  • atau Munafiq
  • atau Dosa
  • atau Mubah berpahala
Adapun yang menyebabkan kekufuran, maka iaitu ghibah terhadap seorang muslim dan ketika diperingatkan, ia berkata: "Ini bukan ghibah, sebab saya berkata sebenarnya.", maka ini telah menghalalkan apa yang diharamkan oleh Allah s.w.t. dan siapa yang menghalalkan apa yang diharamkan oleh Allah s.w.t. maka hukumnya Kafir.

Adapun yang bernama nifaq iaitu jika ghibah pada orang tetapi tidak disebut namanya didepan orang yang mengetahui bahawa ia menujukan kepada seseorang dan ia merasa bahawa ia berlagak wara' (menjauhi yang haram) maka ini nifaq.

Adapun yang bernama maksiat ialah ghibah pada orang dan merasa bahawa itu memang haram dan maksiat. Adapun yang mubah: Jika ia ghibah pada seorang fasiq yang terang-terangan fasiqnya atau orang ahli bida'ah, maka ia akan mendapat pahala sebab oarng-orang lalu menghindarinya dan menyelamatkan diri daripadanya. Sebagaimana Nabi Muhammad s.a.w. bersabda: "Sebutlah kehajatan orang yang lacur supaya orang-orang berhati0hati daripadanya."

Abul Laits berkata: "Ayahku menceritakan: "Bahawa di antara para Nabi yang bukan Rasul itu ada yang menerima wahyu dalam impian dan ada yang hanya mendengar suara, maka ada Nabi yang menerima wahyu dengan mimpi itu, pada suatu malam ia bermimpi diperintahkan: "Jika engkau keluar diwaktu pagi maka pertama yang kau lihat (hadapi) maka makanlah, dan yang kedua sembunyikan dan yang ketiga terimalah dan keempat jangan kau putus harapannya dan yang kelima larilah daripadanya." Maka pada esok harinya yang dihadapinya ialah bukit hitam besar, maka ia terhenti bingung sambil berkata: "Aku diperintahkan makan apa yang aku hadapi ini." lalu ia sedar dan berkata: "Tuhan tidak menyuruhku sesuatu yang mustahil dan tidak dapat dilaksanakan." Maka ia berjalan menuju kebukit itu untuk memakannya dan ketika ia mendekat tiba-tiba bukit itu mengecil sehingga sebesar satu suap dan ketika dimakan terasa manis bagaikan madu, maka ia mengucapkan Alhamdulillah. Lalu berjalan lagi dan bertemu pula dengan mangkuk emas dan ia ingat ini harus disembunyikan, maka ia menggali lubang dan menanam emas itu dan ditinggalkannya, akan tetapi tiba-tiba mangkuk itu keluar dari dalam tanah lalu ditanam algi dan keluar lagi sehingga ketiga kali hal keadaan ini berlaku. Maka dia berkata: "Saya telah melaksanakan perintah." maka ia terus berjalan dan tiba-tiba ada burung kecil sedang dikejar helang dan burung itu berkata: "Ya Nabiyallah, tolong aku." Lalu diterima dan dimasukkan dalam bajunya maka datang helang itu dan berkata: "Ya Nabiyallah, saya lapar sejak pagi dan saya mengejar buruanku itu, kerana itu jangan kau patahkan harapanku dan rezekiku." Nabi merasa yang keempat tidak boleh diputuskan harapannya tetapi ia bingung untuk menyelesaikannya, kemudian ia mengambil pisau dan memotong sedikit daging pahanya dan diberikan kepada helang itu sehingga terbang. Lalu burung itu dilepaskan. Dan kelima ia melihat bangkai yang berbau, maka ia lari daripadanya. Maka pada malam hari ia berdoa: "Ya Tuhan, aku telah melaksanakan perintahMu, maka jelaskan bagiku semua itu." Maka ia bermimpi: "
  • Bahawa yang pertama kau makan itu ialah amarah pada mulanya nampak sebesar bukit tetapi pada akhirnya jika sabar dan ditahan menjadi lebih manis dari madu.
  • Kedua, amal perbuatan (budi) walaupun kau sembunyikan, maka ia tetap akan nampak
  • Ketiga, jika diamanati orang, maka jangan kianat padanya
  • Keempat, jika ada orang minta padamu maka usahakan untuk membantupadanya meskipun kepadamu sendiri berhajat
  • Kelima, Ghibah, maka larilah dari orang-orang yang sedang duduk berkumpul untuk ghibah (mengumpat orang).

DENGKI

Ruginya Orang Yang Berhasad Dengki dan Menghasut Serta Menceritakan Keburukan Orang Lain

Salah satu tanda-tanda orang yang berhasad dengki ialah suka membuka keburukan orang lain dan menyebarkannya secara nyata. Orang yang menganiaya orang lain (mencari dan membuka keburukan orang yang didengkinya) sukar mendapat keampunan, dan mudah sekali dimasukkan ke dalam neraka. Mencerita keburukan orang lain adalah termasuk dalam perbuatan menghasut.

Sabda Nabi Muhammad s.a.w.: "Jika kau hasad maka jangan kau lanjutkan, dan jika menyangka maka jangan kau buktikan (jangan kau cari-cari kenyataannya) dan jika merasa takut dari sesuatu maka hadapilah (jangan mundur)."

CONTOH SITUASI DI ATAS: Minah Kepoh, suka menceritakan keburukan Sarah. Tidak cukup dengan itu, dia mencari-cari pula bukti untuk membuktikan keburukan Sarah.

Nabi Muhammad s.a.w. bersabda: "Ingatlah bahawa nikmat-nikmat Allah s.w.t. ada musuhnya." Ditanya: "Siapakah musuh-musuh nikmat Allah s.w.t. itu, ya Rasulullah?"

Jawab Rasulullah s.a.w.: "Ialah mereka yang hasut terhadap nikmat kurniaan Allah s.w.t. yang diberikan kepada manusia."


Antara nikmat-nikmat yang dapat dinikmati ole manusia termasuklah kekayaan, populariti, pangkat, kebahagiaan, kesihatan, fizikal yang menarik, bakat dan kebolehan luar biasa dalam satu-satu perkara.


Orang atau Wartawan Yang Mendedahkan Keburukan Orang Lain Adalah Penghasut

Alhasan Albashri berkata: "Hai Anak Adam, mengapakah engkau iri hati terhadap saudaramu, maka jika Allah s.w.t. memberi sesuatu kepada orang yang kau hasut itu kerana kemuliaannya di sisi Allah s.w.t. maka untuk apakah kau hasut kepada orang yang dimuliakan Allah s.w.t., jika tidak demikian maka untuk apakah kau hasut kepada orang yang akan masuk ke neraka?"


Pekerjaan wartawan berisiko besar untuk membawa seseorang wartawan itu ke neraka. Ini kerana ada beberapa cabang kewartawanan yang melibatkan gosip, menceritakan tentang perkara-perkara yang melibatkan keaiban orang lain yang boleh menjadikan punca seseorang wartawan atau pemberita itu terjerumus ke neraka dengan mudahnya. Adalah sungguh menjelekkan apabila seseorang manusia itu mencari makan dengan upah membuka keaiban atau mendedahkan keburukan orang lain.

Muhammad bin Sirin bertanya: "Saya tidak dapat menghasut orang atas sesuatu daripada dunia, jika ia ahli syurga maka bagaimana saya akan iri hati padahal ia ahli syurga dan jika ia ahli neraka maka untuk apa hasut terhadap orang yang bakal masuk neraka?"

Jadi, daripada kita menceritakan atau mendedahkan keburukan orang lain, lebih baik jika secara sulit atau peribadi menemui orang itu untuk menegur atau menasihatinya.

Sabda junjungan Agung kita semua umat Islam Baginda Rasulullah s.a.w: Sampaikanlah apa yang kamu dapat daripadaku walau hanya satu ayat.

Abul Laits Assamarqandi r.a. meriwayatkan dengan sanadnya daripada Alhasan berkata Nabi Muhammad s.a.w. bersabda: "Hasad dan dengki itu keduanya akan memakan habis hasanat sebagaimana api makan kayu."

Ibrahim bin Aliyah daripada Abbad bin Ishaq daripada Abdurrahman bin Mu'awiyah berkata Nabi Muhammad s.a.w. bersabda: "Tiga macam sifat yang tidak dapat selamat daripadanya seorang pun iaitu:
  • Buruk sangka
  • Hasad dengki
  • Takut sial kerana sesuatu
Lalu ditanya: "Ya Rasulullah, bagaimana untuk selamat daripada semua itu?"

Jawab Nabi Muhammad s.a.w.: "Jika kau hasad maka jangan kau lanjutkan, dan jika menyangka maka jangan kau buktikan (jangan kau cari-cari kenyataannya) dan jika merasa takut daripada sesuatu maka hadapilah (jangan mundur)."

Yakni jika hasad dalam hatimu maka jangan kau lahirkan dalam amal perbuatanmu sebab selama hasad itu masih dalam hati, maka Allah s.w.t. maafkan selama belum keluar dengan lidah atau perbuatan. Jika su'udhdhan (buruk sangka) maka jangan kau buktikan, jangan berusaha menyelidiki mencari kenyataannya. Demikian pula jika akan keluar untuk sesuatu lalu ada suara burung atau lain-lain yang menimbulkan was-was atau takut dalam hati maka teruskan hajatmu dan jangan mundur."

Manusia Yang Berhasad Dengki Adalah Manusia Biadab Terhadap Allah
Nabi Muhammad s.a.w. suka kepada fa'al (kata-kata yang baik atau harapan yang baik) dan tidak suka thiyarah (takut sial kerana burung dan sebagainya) dan bersabda: "Thiyarah itu perbuatan jahiliyah." Seorang mukmin tidak takut dan berlindung kepada Allah s.w.t.

Ibn Abbas r.a. berkata: "Jika kamu mendengar suara burung maka bacalah: "Allahumma la thoira illa thairuka walaa ilaha ghoiruka walaa haula walaa quwwata illa billahi." (Yang bermaksud): "Ya Allah, tidak ada burung kecuali burungMu dan tidak ada kebaikan kecuali daripadaMu dan tiada Tuhan kecuali Engkau dan tiada daya dan tidak ada kekuatan kecuali dengan pertolongan Allah." Dan teruskan maksudmu, maka tidak akan ada sesuatu yang berbahaya bagimu. Bi idz nillah.

Abul Laits meriwayatkan dengan sanadnya daripada Abu Hurairah r.a. berkata Nabi Muhammad s.a.w. bersabda: "Jangan benci membenci dan jangan hasut menghasut dan jangan menawar barang untuk menjerumuskan orang lain dan jadilah kamu hamba Allah sebagai saudara."

Mu'awiyah bin Abi Sufyan berkata kepada puteranya: "Hai anak, hati-hatilah daripada hasut, dengki kerana ia akan nyata kepada dirimu sebelum bahayanya tampak nyata kepada musuhmu."

Abul Laits berkata: "Tiada sesuatu yang lebih jahat daripada hasut, sebab penghasut itu akan terkena lima bencana sebelum terkena apa-apa yang dihasut iaitu:
  • Risau hati yang tak putus-putus
  • Bala yang tidak berpahala
  • Tercela yang tidak baik
  • Dimurka Allah S.W.T
  • Tertutup padanya pintu taufiq

Manusia Yang Berhasad Dengki Adalah Manusia Yang Memusuhi Nikmat Allah
Nabi Muhammad s.a.w. bersabda: "Ingatlah bahawa nikmat-nikmat Allah s.w.t. ada musuhnya." Ditanya: "Siapakah musuh-musuh nikmat Allah s.w.t. itu, ya Rasulullah?"

Jawab Rasulullah s.a.w.: "Ialah mereka yang hasut terhadap nikmat kurniaan Allah s.w.t. yang diberikan kepada manusia."

Malik bin Dinaar berkata: "Saya dapat menerima persaksian orang qurraa' terhadap siapapun tetapi tidak dapat menerima persaksian terhadap sesama qurraa' sebab diantara mereka ada rasa iri hati dan hasut menghasut." Abuhurairah r.a. berkata Nabi Muhammad s.a.w. bersabda: "Enam kerana enam akan masuk neraka pada hari kiamat sebelum hisab (perhitungan amal) iaitu:
  • Pemerintah kerana zalim
  • Orang kerana fanatik (mengutamakan kebangsaan)
  • Kepala desa kerana sombong
  • Pedagang kerana kianat
  • Orang dusun kerana kebodohan
  • Ahli ilmu kerana hasut
Yakni ulama yang hanya berebut dunia, mereka hasut satu sama lain, kerana itu seharusnya seseorang menuntut ilmu kerana Allah s.w.t. dan akhirat supaya tidak timbul hasut menghasut antara satu pada yang lain. Sebagaimana firman Allah s.w.t. mengenai orang-orang Yahudi (Yang berbunyi): "Am yahsudunan naasa ala maa ataahumullahu min fadhlihi." (Yang bermaksud): "Ataukah mereka hasut pada orang-orang kerana Allah memberikan kurniaNya kepada mereka."

Hasut dan Iri Hati - Dosa Pertama Di Langit
Seorang cendekiawan berkata: "Awaslah dari hasut (iri hati) sebab hasut itu pertama-tama dosa di langit dan juga pertama dosa yang terjadi di bumi. Iblis laknatullah diperintah sujud pada Nabi Adam a.s. akan tetapi oleh kerana ia irihati (hasut) sehingga menolak perintah Allah s.w.t. dan dia dikutuk oleh Allah s.w.t. dan juga Qabil membunuh Habil kerana irihati, hasut sebagaimana tersebut didalam ayat (yang berbunyi: "Watlu alaihim naba'abnai Adama bilhaqqi idz qorrabaa qurbana, qaala la aqtulannaka qaala innama yataqabbalullahu minal muttaqien." (Yang bermaksud): "Bacakanlah berita kedua putera Adam ketika sama-sama mengajukan korbannya, maka diterima yang satu dan ditolak yang lain, lalu ia berkata: "Saya akan membunuh engkau." Jawabnya: "Sesungguhnya Allah hanya menerima dari orang yang bertaqwa."

Al-Ahnaf bin Qays berkata: "Orang hasut tidak dapat senang dan orang bakhil tidak berbudi dan tidak dapat dijadikan kawan orang yang selalu jemu dan tidak ada kemanusiaan bagi pendusta. Dan tidak dapat diterima pendapat orang yang kianat dan tiada budi bagi orang yang rosak moral (tidak berakhlak).

Seorang hakiem (cendekiawan) berkata: "Belum pernah saya melihat seseorang zalim menyerupai orang yang dianiaya daripada penghasut."

Muhammad bin Sirin bertanya: "Saya tidak dapat menghasut orang atas sesuatu daripada dunia, jika ia ahli syurga maka bagaimana saya akan iri hati padahal ia ahli syurga dan jika ia ahli neraka maka untuk apa hasut terhadap orang yang bakal masuk neraka?"

Alhasan Albashri berkata: "Hai Anak Adam, mengapakah engkau iri hati terhadap saudaramu, maka jika Allah s.w.t. memberi sesuatu kepada orang yang kau hasut itu kerana kemuliaannya di sisi Allah s.w.t. maka untuk apakah kau hasut kepada orang yang dimuliakan Allah s.w.t., jika tidak demikian maka untuk apakah kau hasut kepada orang yang akan masuk ke neraka?"

Abul Laits berkata: "Tiga macam orang yang tidak akan diterima doanya iaitu:
  • Orang yang makan haram
  • Orang yang suka membicarakan kejelekkan orang
  • Siapa yang di dalam hatinya ada hasut iri hati terhadap kaum muslimin
Ibn Syihab (Azzubri) dari Salim dari ayahnya (Ibn Umar) r.a. berkata Nabi Muhammad s.a.w. bersabda: "Tidak boleh seorang hasut kecuali dalam dua macam iaitu:

Seorang yang diberikan Allah s.w.t. kepandaian dalam Al-Quran maka digunakan siang malam (diamalkan)
Seseorang yang diberikan Allah s.w.t. kekayaan maka ia bersedekah siang malam.

Abul Laits berkata: "Yakni rajin sesungguh-sungguhnya ingin meniru perbuatan itu dalam ilmu dan kekayaannya, maka ini adalah baik. Maka jika ia ingin berubah orang yang baik itu maka ia jahat kerana Allah s.w.t. telah berfirman (Yang berbunyi): "Wala tatamannau maa fadhdhalallhu ba'dhakum ala ba'dhin." (Yang bermaksud): "Jangan menginginkan apa yang diberikan Allah sebagai kurnia kepada setengahmu atas yang lain."

Dalam ayat yang lain pula Allah s.w.t. berfirman (Yang berbunyi): " Was'alullaha min fadh lihi." (Yang bermaksud): "Kami sendiri minta kepada Allah dari kurniaNya."

Maka kewajipan tiap muslim membersihkan daripada hasut sebab hasut itu menentang hukum Allah s.w.t. dan ketentuan kurnia yang diberikan Allah s.w.t. kepada seseorang hamba yang diredhai-Nya.

Al-alaa' bin Abdurrahman daripada ayahnya daripada Abu Hurairah r.a. berkata: "Ia bertanya kepada Nabi Muhammad s.a.w. tentang kewajipan seorang muslim terhadap sesama muslim?" Jawab Nabi Muhammad s.a.w.: "Hak kewajipan seorang muslim terhadap muslim yang lain ada enam iaitu:
  • Jika bertemu harus diberi salam
  • Jika mengundang harus didatangi
  • Jika diminta nasihat harus ditunjukkan yang benar (dinasihati)
  • Jika bersin dan mebaca Alhamdulillah harus didoakan dengan berdoa Yarhamukallah
  • Jika sakit harus diziarah
  • Jika mati harus dihantar jenazahnya
Abul Laits meriwayatkan dengan sanandnya daripada Anas bin Malik r.a. berkata: "Saya telah menjadi pelayan Nabi Muhammad s.a.w. sejak berumur lapan tahun dan pertama yang diajarkan Nabi Muhammad s.a.w. kepadaku: "Ya Anas, tetapkan wudukmu untuk sembahyang supaya dicinta oleh Malaikat yang menjagamu, dan ditambah umurmu. Ya Anas, mandilah daripada janabat dan sempurnakan di dalam mandi itu sebab di bawah tiap helai rambut ada janabat."

Saya bertanya: "Bagaimana menyempurnakannya?"

Jawab Nabi Muhammad s.a.w.: "Puaskan sampai ke dalam rambut-rambutmu dan bersihkan benar kulitmu, supaya engkau keluar dari tempat mandi sudah diampunkan dosa-dosamu. Ya Anas, jangan engkau tinggalkan sembahyang dhuha sebab itu sembahyangnya orang-orang awwaabiin (yang taubat kembali kepada Allah s.w.t.) dan perbanyakkan sembahyang malam dan siang sebab selama engkau sembahyang maka Malaikat mendoakan untukmu. Hai Anas, jika engkau berdiri sembahyang maka tegakkan dirimu di hadapan Allah s.w.t. dan jika rukuk maka letakkan kedua tapak tangan di lututmu dan renggangkan jari-jarimu dan renggangkan kedua lenganmu dari pinggangmu, dan bila bangun dari rukuk maka tegakkan sehingga kembali semua anggota di tempatnya, dan jika sujud maka letakkan wajahmu di tanah dan jangan sebagai burung yang mencucuk makanan dan jangan kau hamparkan kedua-dua lenganmu sebagaimana pelanduk, dan jika duduk di antara dua sujud maka jangan sebagaimana duduk anjing dan letakkan kedua bokongmu di antara dua kaki dan letakkan bahagian atas tapak kaki di tanah sebab Allah s.w.t. tidak melihat sembahyang yang tidak sempurna rukuk sujudnya. Dan jika dapat engkau tetap berwuduk siang malam maka kerjakanlah, sebab jika tiba mati kepadamu engkau sedang berwuduk, maka engkau tidak luput dari mati syahid. Hai Anas, jika engkau masuk ke rumahmu maka berilah salam kepada keluargamu, supaya banyak berkat rumahmu dan jika engkau keluar untuk hajat maka beria salam pada tiap muslim yang bertemu kepadamu supaya masuk manisnya iman dalam hatimu, dan kila terkena dosa ketika keluar maka akan kembali sudah diampunkan dosamu. Hai Anas, jangan sampai pada waktu siang dan malam engkau mendendam dengki kepada seorang muslim sebab itu daripada ajaranku maka siapa yang mengikuti ajaranku bererti cinta kepadaku dan siapa yang cinta kepadaku maka ia bersamaku di syurga. Hai Anas, jika engkau melakukan dan mengingati wasiatku ini, maka tidak ada sesuatu yang lebih suka daripada maut sebab di situlah istirehatmu."

Di dalam ajaran Nabi Muhammad s.a.w. ini dinyatakan bahawa membersihkan hati daripada dengki dan hasut kepada seseorang muslim termasuk Sunnaturrasul yang menjadi tanda cinta kepada Nabi Muhammad s.a.w. bagi siapa yang melakukannya, bahkan bersama Nabi Muhammad s.a.w. siyurga. Maka wajib tiap muslim membersihkan hatinya daripada rasa dengki dan hasut sebab termasuk amal yang utama.

Abul Laits meriwayatkan dengan sanadnya daripada Anas r.a. berkata: "Ketika kami di masjid bersama Nabi Muhammad s.a.w. tiba-tiba Nabi Muhammad s.a.w. bersabda: ""Akan masuk kepadamu seorang ahli syurga sambil memegang kedua-dua kasutnya dengan tangan kirinya."

Maka tiba-tiba masuk seorang sebagaimana yang disabdakan oleh Nabi Muhammad s.a.w. itu dan sesudah memberi salam ia duduk bersama kami. Kemudian pada esok harinya Nabi Muhammad s.a.w. bersabda pula dan masuk kembali orang itu seperti keadaan kelmarin dan hari ketiga Nabi Muhammad s.a.w. bersabda, juga sama seperti hari pertama dan kedua, dan ketika orang itu bangun untuk kembali diikuti oleh Abudullah bin Amr Al-ash dn berkata kepada orang itu: "Telah terjadi pertengkaran sedikit antaraku dengan ayahku sehingga aku bersumpah tidak akan masuk ke rumah selama tiga malam, maka jika engkau tidak keberatan maka saya akan bermalam di rumahmu selama itu?"

Jawabnya: "Baiklah." Anas berkata: "Abdullah bin Amr menceritakan bahawa ia bermalam di rumah orang itu dan ternyata bahawa orang itu tidak bangun malam, hanya jika tidur berzikir sehingga bangun fajar dan jika berwuduk sempurna dan sembahyang dengan khusyuk dan tidak puasa sunat.

Demikian saya perhatikan kelakuannya sampai tiga hari tiga malam, tidak lebih dari itu dan hanya saja ia tidak berkata-kata kecuali yang baik-baik. Dan setelah tiga malam saya merasa bahawa ia tidak mempunyai amal yang berlebihan dan saya kata kepadanya: "Sebenarnya antara aku dengan ayahku tidak ada apa-apa, tetapi saya telah mendengar Nabi Muhammad s.a.w. bersabda di dalam tiga majlis: "Akan tiba kepadamu seorang ahli syurga." tiba-tiba engkau datang dan kerana itu saya ingin mengetahui amalmu, maka saya berusaha bermalam di rumahmu untuk meniru amalmu tetapi ternyata kepadaku bahawa engkau tidak berlebihan, maka apa yang kiranya menyebabkan engkau sehingga Nabi Muhammad s.a.w. bersabda sedemikian?"

Jawabnya: "Tidak lain melainkan apa yang sudah engkau lihat itu."

Maka pergilah aku, tetapi lalu dipanggil olehnya dan berkata: "Amalku tidak lebih melainkan apa yang engkau saksikan itu, cuma saja saya tidak iri hati atau dengki kepada seseorang muslim terhadap segala yang ia dapat."

Maka saya katakan: "Inilah yang menyampaikan engkau sehingga Nabi Muhammad s.a.w. bersabda sedemikian itu dan itulah yang tidak dapat kami lakukan."

Seorang cendekiawan berkata: "Orang hasut telah menentang Allah s.w.t. dengan lima hal iaitu:
  • Kerana ia membenci nikmat Allah s.w.t. terhadap orang lain
  • Dia tidak suka pembahagian Allah s.w.t. untuk dirinya seolah-olah ia berkata: "Mengapa Engkau membagi begini?"
  • Ia bakhil terhadap kurniaan Allah s.w.t.
  • Dia menghina waliyullah sebab ia ingin tercabut nikmat Allah s.w.t. yang diberikan kepadanya
  • Dia membantu kepada iblis laknatullah
Orang yang hasut tidak memperolehi dalam pergaulan kecuali hina dan kerendahan dan daripada Malaikat kecuali laknat (kutukan) dan benci, dan jika sendirian hanya kerisauan dan duka dan ketika nazak (sakartul maut) hanya kesukaran, keberatan dan ketakutan dan pada hari kiamat kecuali malu dan seksa, kemudian dalam neraka tempat bakarannya."

Oleh itu janganlah anda ada rasa dengki atau iri hati terhadap kebahagiaan, kegembiraan, kesenangan, populariti, pangkat, kemewahan, kecantikan rupa paras, bakat dan kebolehan luar biasa yang ada pada diri orang lain.

TARAWIH

SOLAT TARAWIH MENGIKUT SUNNAH NABI MUHAMMAD S.A.W. YANG SAHIH

SOLAT TARAWIH MENGIKUT SUNNAH NABI MUHAMMAD S.A.W. YANG SAHIH

Petunjuk Dari Al-Quran

*

"Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan berpuasa atas kamu sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertaqwa. (Maksud ayat 183 Surah al-Baqarah)
*

(Beberapa hari yang ditentukan itu ialah) Bulan Ramadhan, bulan yang padanya diturunkan (permulaan) Al-Quran sebagai petunjuk dan penjelasan-penjelasan mengenai petinjuk itu dan perbezaan (antara yang hak dan yang batil). Kerana itu sesiapa antara kamu hadir (dinegeri tempat tinggalnya) pada bulan itu, maka hendaklah berpuasa pada bulan itu." (Maksud ayat 185 Surah al-Baqarah)
*

Dan, seterusnya Allah s.w.t. memuji terhadap sahabat-sahabat Baginda Rasulullah s.a.w. yang bersungguh-sungguh dalam menghidupkan malam (khususnya malam-malam bulan Ramadhan): "Mereka sedikit sekali tidur pada waktu malam, Dan pada akhir-akhir malam mereka memohon ampun (kepada Allah s.w.t.)." (Maksud ayat 17-18 Surah al-Zariyat)

Petunjuk Rasulullah s.a.w.

*

Maksudnya: "Sesiapa yang beribadah pada bulan Ramadhan dengan penuh keimanan kepada Allah s.w.t. dan mengharapkan pahalanya, nescaya akan diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim) { Dengan penuh keimanan maksudnya yakin dengan janji-janji Allah s.w.t. dan melaksanakan perintah-perintah Allah s.w.t. Dengan penuh pengharapan ialah semata-mata mencari pahala daripada sisi Allah s.w.t. dan bukan bertujuan untuk mendapatkan dunia}
*

Maksudnya: "Sesungguhnya Allah s.w.t. telah mewajibkan puasa Ramadhan atas kamu sekelian dan aku mensunnahkan atas kamu agar beribadat pada bulan Ramadhan. Jesteru sesiapa yang berpuasa dan beribadah pada bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan mengharapkan pahala, maka dosa-dosanya yang telah lalu akan diampunkan oleh Allah s.w.t." (Riwayat Ashab al-Sunan)
*

Maksudnya: "Telah datang bulan Ramadhan yang penuh berkat kepadamu. Dengannya, Allah (s.w.t.) melimpahkan rahmat-Nya, mengampunkan dosa dan mengabulkan doa. Pada bulan itu Allah (s.w.t.) melihat perlumbaan dalam mengerjakan ibadah dan membangga-banggakan kamu dihadapan para malaikat. Oleh kerana itu, tunjukkanlah kepada-Nya kebaikan-kebaikan dirimu. Maka sesungguhnya orang-orang yang celaka adalah mereka yang tidak mendapatkan rahmat Allah Azza wa Jalla pada bulan Ramadhan." (Riwayat al-Nasai)

SOLAT TARAWIH

Hukum dan keutamaannya.

Solat Tarawih adalah solat yang dikerjakan pada malam-malam dalam bulan Ramadhan al-Mubarak dan waktu mengerjakannya adalah selepas solat Isyak dan sebelum solat Witir. Solat Tarawih adalah salah satu daripada ibadah-ibadah dalam bulan Ramadhan yang penuh berkat dan paling besar kesannya dihati kaum Muslimin. Ia juga mempunyai darjat dan keutamaan yang dirahsiakan oleh Allah s.w.t.

Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: "Sesiapa beribadat pada malam-malam bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan mengharapkan akan pahala deripada Allah (s.w.t.), nescaya dosa-dosanya yang telah lalu akan diampuni oleh Allah (s.w.t.)." (Riwayat al-Bukhari)

Maksud daripada Hadith tersebut ialah bahawa setiap orang yang menyemarakkan malam-malam bulan Ramadhan dengan mengerjakan solat, zikir dan membaca Al-Quran dengan penuh keimanan kepada Allah s.w.t. dan mengharap akan pahalanya, maka Allah s.w.t. akan mengampunkan dosa-dosanya pada masa silam, selama mana dosa-dosa itu adalah dosa-dosa kecil. Adapun mengenai dosa-dosa besar, maka wajib melalui jalan Taubat Nasuha. Demikianlah pendapat para Ulama Fekah.

Orang yang mula-mula mengerjakan solat Tarawih

Orang yang mula-mula mengerjakan solat Tarawih menurut Ibnu Qudamah dalam kitabnya yang lengkap "Al-Mughni" berkata: "Solat Tarawih adalah sunnat muakkad. Orang yang pertama kali mengerjakannya adalah Rasulullah s.a.w.. Hal ini berdasarkan kepada satu hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah yang bermaksud:

"Rasulullah s.a.w. menyemarakkan ibadah pada malam hari bulan Ramadhan dengan tidak mewajbkan kepada umatnya. Baginda s.a.w. bersabda yang bermaksud: "Sesiapa beribadat pada malam hari bulan Ramadhan dengan penuh keimanan kepada Allah (s.w.t.) dan mengarapkan pahala daripada-Nya, nescaya akan diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu." (Riwayat Imam Muslim)

Saiyidatina Aisyah r.a telah meriwayatkan sebuah hadith yang bermaksud:

"Pada suatu malam Nabi Muhammad s.a.w. solat dimasjid, maka para sahabat mengikuti solatnya. Pada malam berikutnya, Baginda s.a.w. solat lagi dimasjid dan para sahabat yang mengikutinya bertambah ramai. Lalu mereka berhimpun pada malam ketiga atau keempat, tetapi Nabi Muhammad s.a.w. tidak keluar kemasjid untuk solat bersama mereka. Pada sebelah paginya Nabi Muhammad s.a.w. bersabda: "Sesungguhnya aku melihat apa yang kamu kerjakan dan tidak ada sesuatu apa pun yang mencegah aku untuk keluar mengerjakan solat bersama kamu semua kecuali aku khuatir kalau- kalau kamu menganggap solat itu diwajibkan atas kamu." (Riwayat Muslim)

Abu Hurairah r.a. meriwayat sebuah hadith yang bermaksud:

"Nabi Muhammad s.a.w. keluar kemasjid. Kebetulan pada malam bulan Ramadhan itu para sahabat mengerjakan solat ditepi-tepi masjid. Baginda s.a.w. bertanya: 'Siapa mereka itu?' Ada yang menjawab" 'Mereka adalah para sahabat yang tidak dapat membaca al-Quran, tetapi Ubai bin Kaab solat ditengah-tengah mereka dan mereka ikut solat bersamanya.' Nabi Muhammad s.a.w. bersabda: 'Mereka telah mendapatkan pahala dan sebaik-baik amalan adalah apa yng mereka lakukan itu." (Riwayat Abu Dawud)

Adapun panggilan solat Tarawih adalah dinisbahkan kepada Khalifah 'Umar ibnu al-Khattab r.a. kerana beliaulah yang mengumpulkan orang ramai untuk melakukan solat pada malam bulan ramadhan itu dibawah pimpinan seorang imam iaitu Ubai bin Ka'ab. Imam al-Bukhari meriwayatkan daripada Abdurrahman bin Abdul-Qari, beliau berkata:

"Saya keluar bersama Umar ibnu al-Khattab pada suatu malam bulan Ramadhan. Kebetulan pada saat itu orang ramai sedang mengerjakan solat secara berjama'ah dalam beberapa kelompok. Ada pula seorang yang bersolat secara bersendirian dan ada pula yang solat keseorangan tetapi kemudian diikuti oleh orang lain sehingga menjadi suatu kumpulan. Melihat keadaan itu Umar berkata: 'Saya berpendapat, sekiranya mereka ini dihimpunkan dibawah satu imam, nescaya ia adalah lebih baik." Kemudian Umar melaksanakan pendapatnya dan menghimpunkan orang ramai untuk mengerjakan solat dibawah seorang imam iaitu Ubai bin Ka'ab."

Seterusnya Abdurrahman bin Abdul Qari menerangkan bahawa pada malam hari yang lain, dia keluarlagi dengan Umar dan pada ketika itu umat Islam mengerjakan solat dibelakang seorang qari. Maka Umar berkata: "Sebaik-baik bid'ah adalah ini. Adapun orang yang tidur pada awal malam seraya bermaksud akan mengerjakan solat lail (Tarawih) pada malam hari, yang demikian itu adalah lebih utama daripada orang yang mengerjakannya pada awal malam. Akan tetapi umat Islam mengerjakan pada awal malam." (Dikeluarkan oleh Imam al-Bukhari)

Berdasarkan pada keterangan hadith-hadith sohih diatas, maka jelaslah bahawa orang yang mula-mula mengerjakan solat Tarawih dalam kaitannya dengan ibadah pada bulan Ramadhan adalah junjungan Agung kita Nabi Muhammad s.a.w. .

Baginda Rasulullah s.a.w. mengerjakan bersama para sahabat tiga atau empat malam. Setelah itu Nabi Muhammad s.a.w. tidak keluar untuk mengerjakan bersama para sahabat lagi kerana Nabi Muhammad s.a.w. khuatir solat Tarawih dianggap wajib oleh umatnya. Dalam hal ini adalah sebagai rahmat dan tanda sangat sayang kepada umatnya.

Keterangan yang lebih jelas lagi disebutkan oleh al-Bukahri dan Muslim maksudnya: "Sesungguhnya Nabi Muhammad s.a.w. keluar pada waktu tengah malam pada bulan Ramadhan kemudian solat dimasjid. Beberapa orang mengikuti solat Baginda Rasulullah s.a.w.. Pada sebelah paginya mereka menceritakan perkara tersebut kepada teman-teman mereka.

Maka pada malam hari berikutnya para sahabat yang berhimpun lebih ramai lagi. Pada malam yang kedua ini Nabi Muhammad s.a.w. keluar untuk mengerjakan solat dan para sahabat pun mengikuti solatnya. Pada sebelah paginya para sahabat menyebut-nyebut perkara itu, maka pada malam ketiga orang-orang yang berhimpun dimasjid bertambah ramai lagi. Nabi Muhammad s.a.w. keluar kemasjid mengerjakan solat pada malam ketiga itu dan para sahabat mengikutinya.

Kemudian pada malam yang keempat, masjid tidak lagi muat untuk menampung orang ramai yang datang berhimpun tetapi Nabi Muhammad s.a.w. tidak keluar kemasjid. Beberapa orang sahabat ada yang melaungkan azan "al-solah! al-solah!", tetapi Nabi Muhammad s.a.w. tidak keluar juga. Apabila masuk waktu subuh, barulah Nabi Muhammad s.a.w. keluar kemasjid. Setelah selesai solat Subuh, Nabi Muhammad s.a.w. menghadap para sahabat, membaca syahadat dan kemudian bersabda: 'Sesungguhnya aku bukannya tidak tahu bagaimana keadaan kamu malam tadi, akan tetapi aku khuatir kalau-kalau kamu menganggap bahawa hal ini (solat malam Ramadhan) diwajibkan atas kamu, maka kamu tidak mampu mengerjakannya.'

Dalam riwayat yang lain disebutkan: "Sehingga Nabi Muhammad s.a.w. wafat keadaan masih tetap seperti itu."

Mengapa disebut solat Tarawih

Solat pada malam bulan Ramadhan itu disebut 'Tarawih' kerana solatnya panjang, raka'atnya banyak dan orang yang melakukannya beristirahat pada setiap selesai menunaikan empat raka'at sebelum menyambungnya lagi. Oleh kerana adanya rehat maka inilah disebut "Tarawih".

Ibnu Manzur dalam kitab 'Lisanul Arabi' menerangkan bahawa 'Altarawih' adalah bentuk jamak daripada 'Tarwihah' adalah isim marrah (Isim yang menunjukkan makna satu kali) daripada 'Ar-rahah'.

Jadi makna 'Tarwihah' itu adalah satu kali istirehat. Hal ini sama dengan kata 'Taslimah' (satu kali salam) yang berasal daripada perkataan 'Assalam'. Disebut 'Tarawih' kerana orang yang melakukannya mengambil beberapa kali istirehat pada setiap kali selesai mengerjakan solat empat raka'at, kemudian dia menerangkan pula bahawa 'Ar-rahah' itu ertinya lega atau segar adalah lawan daripada kata 'at-ta'ab' yang bererti penat.

Didalam sebuah hadith ada diterangkan bahawa apabila masuk waktu solat,Nabi Muhammad s.a.w. berkata pada bilal: "Marilah kita beristirehat dengan solat.'

Maksudnya ialah, azanlah untuk solat, wahai bilal! Maka kita akan beristirehat dengan solat itu, Istirehat Nabi Muhammad s.a.w. menerusi solat kerana didalamnya sebagai munajat kepada Allah s.w.t.. Hal ini sesuai dengan sabda Nabi Muhammad s.a.w. yang bermaksud: "Hatiku dan jiwaku menjadi tenteram ketika dalam solat."

Dengan demikian solat Tarawih adalah sunnat yang dilaksanakan dalam kaitannya dengan ibadah pada malam-malam bulan Ramadhan al-Mubarak sebagaimana yang akan diterangkan menerusi hadith-hadith dalam bab seterusnya.

Bilangan raka'at solat Tarawih

Solat Tarawih adalah termasuk solat sunnat muakkad berdasarkan hadith-hadith yang telah disebutkan tadi. Bilangan raka'atnya berjumlah 20 raka'at tidak termasuk solat witir. Jika dimasukkan solat witir maka manjadi 23 raka'at. Demikian berdasarkan pada sunnah yang telah berlaku dan berdasarkan pada sunnah umat Islam, sama ada daripada golongan ulama Salaf maupun Khalaf sejak zaman Khalifah Umar Ibnu al- Khattab r.a. sehinggalah kezaman kita sekarang.

Tidak seorang pun antara Imam-imam Mazhab yang empat, ahli fekah yang mujtahid memperselisihkannya kecuali ada sati riwayat saja yang menerangkan iaitu Imam Darul Hijrah (Imam Malik bin Anas) yang menambah sehingga 30 raka'at.

Demikian pula dalam riwayat yang kedua dari Imam Malik yang berdasarkan pada amalam penduduk Madinah bersumberkan dari Nafi' yang berikut: "Saya menjumpai umat Islam (Madinah) mengerjakan solat Tarawih 39 raka'at bersama witirnya tiga raka'at."

Akan tetapi menurut riwayat yang masyhur daripada Imam Malik dan bahkan riwayat yang amshyur ini sesuai dengan pendapat jumhur ulama daripada kalangan Syafi'i, Hambali dan Hanafi mengatakan bahawa solat Tarawih itu berjumlah 20 raka'at. Oleh kerana itu, berdasarkan pada riwayat yang mashyur ini, maka telah menjadi kesepekatan antara Imam-imam mazhab yang empat. Semoga Allah s.w.t. melindungi orang-orang Mukmin daripada permusuhan yang membinasakan.

Dalil-dalil Para Mujtahidin

*

Para Imam Mujtahid menetapkan bahawa solat Tarawih berjumlah 20 raka'at berdasarkan hadith riwayat al-Baihaqi dan riwayat lain dengan sanad yang sorih lagi sohih daripada Saib bin Ziyad, yakni seorang sahabat yang terkenal. Saib berkata: "Pada zaman Umar ibnu al-Khattab r.a. umat Islam mengerjakan solat Tarawih dalam bulan Ramadhan sebanyak 20 raka'at."
*

Mereka berhujah juga dengan hadith riwayat Imam Malik dalam kitab Al-Muwatta' dan riwayat al-Baihaqi daripada Yazid bin Rauman. Yazid bin Rauman berkata: "Pada zaman Umar ibnu al-Khattab r.a. orang ramai mengerjakan solat Tarawih sebanyak 23 raka'at." Yakni, 20 raka'at Tarawih dan 3 Raka'at Witir.
*

Mereka juga berhujah dengan hadith yang diriwayatkan daripada al-Hasan yang mengatakan bahawa Umar r.a. telah menghimpun orang ramai untuk mengerjakan solat dibelakang Ubai bin Ka'ab sebagai Imamnya dengan mengerjakan solat Tarawih 20 raka'at. Ubai bin Kh'ab tidak membaca qunut bersama mereka kecuali pada malam separuh kedua daripada bulan Ramadhan. Apabila masuk separuh ketiga yang akhir daripada bulan Ramadhan, Ubai bin Ka'ab menghilang, yakni dia mengerjakan solat dirumahnya sendiri, lalu jama'ah pun berkata: "Ubai telah lari."

Ibnu Qudamah menceritakan didalam kitab Al-Mughni bahawa telah terjadi ijma atas bilangan solat Tarawih iaitu 20 raka'at. Dan diriwayatkan daripada Imam Malik bahawa bilangan raka'at Tarawih itu 36 raka'at. Dia berkata: "Solat pada malam-malam bulan Ramadhan adalah 20 raka'at. Ia adalah sunnat muakkad dan orang yang mula-mula mengerjakannya adalah Nabi Muhammad s.a.w. Adapun nama Tarawih itu dinisbahkan kepada Umar ibnu al-Khattab r.a. Ini kerana Umar menghimpun umat Islam untuk mengerjakan solat Tarawih secara jemaah dibelakang Ubai bin Ka'ab yang bertindak sebagai imam."

Telah diriwayatkan oleh para ahli hadith bahawa pada suatu malam dalam bulan Ramadhan, Umar ibnu al-Khattab keluar kemasjid, kebetulan ketika itu umat Islam solat dimasjid sendiri-sendiri. Lalu Umar berkata: "Seabiknya aku himpunkan mereka dibawah pimpinan seorang ahli qiraat." Maka beliau pun mengumpulkan umat Islam dan solat dibelakang Ubai bin Ka'ab. Kemudian pada malam berikutnya dia keluar lagi dan menyaksikan orang ramai mengerjakan solat dibelakang imam. Maka berkatalah Umar ibnu al-Khattab: "Sebaik-baik bida'ah adalah ini."

Seterusnya Ibnu Qudamah menjelaskan bahawa yang dipilih oleh Imam Ahmad bin Hanbal adalah 20 raka'at. Demikian juga 20 raka'at ini dipilih oleh al-Thauri, Abu Hanifah dan al-Syafi'i, sedangkan Imam Malik memilih 36 raka'at dengan menyandarkan pada amalan penduduk Madinah dan bagi kami, sesungguhnya Umar ibnu al-Khattab ketika mengumpulkan orang ramai mengerjakan solat dibelakang Ubai bin Ka'ab sebanyak 20 raka'at.

Imam Malik meriwayatkan dengan sanad dari Yazid bin Abdurrahman: "Umat Islam pada zaman Umar mengerjakan qiyamullail sebanyak 23 raka'at."

Diriwayatkan daripada Ali k.w. bahawa beliau telah menyuruh seseorang untuk menjadi imam Tarawih pada bulan Ramadhan dan mengerjakan 20 raka'at. Ini adalah seperti ijma'. Seterusnya Ibnu Qudamah berkata: "Seandainya seluruh penduduk Madinah mengerjakan 36 raka'at, nescaya bilangan raka'at yang dikerjakan oleh Umar ibnu al-Khattab dan telah diijma'kan oleh para sahabat yang lain ketika itu lebih utama untuk diikuti. Kerana sesungguhnya penduduk Madinah mengerjakan bilangan raka'at sedemikian itu hanya kerana mereka ingin menyemai amalan penduduk Makkah bertawaf tujuh kali setiap selesai dua kali salam (empat raka'at). Oleh sebab itu penduduk Madinah menggantikan tujuh kali tawaf tadi dengan empat raka'at. Namun demikian, apa yang telah ditetapkan oleh para sabahat Nabi Muhammad s.a.w. adalah lebih utama untuk diikuti."

Diriwayatjan juga Ali k.w. mengelilingi masjid-masjid pada bulan Ramadhan dengan membawa lampu sambil mengucapkan kata-kata yang bermaksud: "Semoga Allah s.w.t. menerangi kubur Umar sebagaimana dia telah menerangi masjid-masjid kami."

Berhubung dengan ayat-ayat yang dibaca dalam solat Tarawih, Imam Ahmad berkata: "Seseorang yang menjadi imam solat Tarawih hendaklah membaca ayat-ayat yang dirasakan dapat meringankan makmumnya dan bukan yang memberat-beratkan mereka. Jadi bacaan ayat-ayatnya adalah yang meringankan bagi makmumnya." Al-Qadhi berpendapat bahawa bacaan ayat suci al-Quran itu sunnat khatam dalam satu bulan agar dapat didengar oleh semua jama'ah dan hendaknya jangan menambah daripada satu kali khatam itu kerana khuatir memberatkan kepada makmum yang solat dibelakang.

Kami berpendapat bahawa yang masyhur dalam Mazhab Maliki adalah 20 raka'at berdasarkan bahawa inilah imam-imam mujtahid berijma atas keutamaan mengerjakan 20 raka'at.

Syeikh Al-Dardir dalam kitabnya 'Aqrabul Masalik'ala Mazhab al-Imam Malik' Juzuk 1:552, beliau menulis: "bahawa solat Tarawih itu 20 raka'at dilaksanakn selepas solat Isyak dan salam setiap dua raka'at selain witir. Didalam Tarawih itu disunnatkan dikerjakan dirumah jika masjid telah penuh dengan jama'ah yang mendirikan solat Tarawih. Akan tetapi jika amsjid kosong daripada solat Tarawih maka yang lebih utama adalah masjid dengan berjama'ah."

Begitu juga Imam Syafi'i dan Imam Abu Hanifah berpendapat bahawa solat Tarawih itu berjumlah 20 raka'at berdasarkan ijma para sahabat pada zaman Khalifah Umar al-Faruq. Imam Ibnu Abdil Bar menerangkan: "Sungguh benar adanya daripada Ubai bin Ka'ab bahawa beliau solat Tarawih dengan 20 raka'at bersama umat Islam tanpa ada perselisihan antara para sahabat."

Didalam kitab 'Al-Mukhtasor' yang disusun oleh Imam Al-Muzani disebutkan bahawa Imam Syafi'i berkata: Aku melihat orang ramai diMadinah mengerjakan solat Tarawih 39 raka'at tetapi yang lebih aku sukai adalah yang 20 raka'at kerana ia yang diriwayatkan daripada Umar. Demikian juga diMakkah, umat Islam mengerjakan solat Tarawih 20 raka'at dan mengerjakan solat Witir 3 raka'at."

Penjelasan Imam Al-Turmuzi

Imam al-Turmuzi didalam kitab hadithnya yang bertajuk 'Sunan Al-Turmuzi' menerangkan : "Majoriti ahli ilmu mengerjakan solat Tarawih berdasarkan kepada riwayat daripada Umar, Ali dan sahabat-sahabat Nabi Muhammad s.a.w. yang lain, iaitu 20 raka'at. Bilangan ini juga yang dipegangi oleh Imam Sufyan al-Thauri, Ibnu al-mubarak dan al-Syafi'i. Syafi'i berkata: "Aku menjumpai umat Islam dinegeri aku Makkah mengerjakan solat Tarawih 20 raka'at."

Ibnu Rusyd dalam kitab 'Bidayah al-Mujtahid' berkata: "Imam Malik dalam satu riwayat mengatakan Imam Abu Hanifah, Imam al-Syafi'i dan Imam Ahmad memilih 20 raka'at selain witir."

Imam Nawawi menerangkan: "Mazhab kami menetapkan bahawa solat Tarawih berjumlah 20 raka'at dengan sepuluh salam selain witir. Ini terdiri daripada lima "tarwihat" (istirahat) dan satu Tarawih terdiri daripada empat raka'at dengan terdiri dua salam."

Demikian juga dengan pendapat Imam Abu Hanifah serta murid-muridnya, dan juga Imam Ahmad, Abu Daqud dan juga Qadhi 'Iyadh yang diambilnya daripada jumhul ulama. Imam Malik sendiri berkata: "Solat Tarawih terdiri daripada 9 tarwihat (istirahat) yang jumlahnya 36 raka'at selain witir."

Seterusnya Imam Nawawi berkata: "Hujah mazhab kami berdasarkan keterangan yang diriwayatkan oleh Imam al-Baihaqi dengan sanadnya yang sohih daripada al-Saib bin Yazid al-Sahabi r.a., beliau berkata: 'Umat I slam pada zaman Khalifah Umar ibnu al-Khattab mengerjakan solat Tarawih 20 raka'at dalam bulan Ramadhan, sedangkan pada zaman Khalifah Usman mereka mengerjakannya 200 (dua ratus) raka'at sehingga mereka bersandar pada tongkat-tongkat mereka kerana terlalu letihnya berdiri."

Yazid bin Rauman berkata: " Umat Islam pada zaman Khalifah Umar ibnu al-Khattab r.a. mengerjakan Qiyam Ramadhan dengan solat 23 raka'at (Tarawih dan Witir)." (Riwayat Imam Malik dalam 'Al-Muwatta')

Akan tetapi al-Baihaqi mengatakan bahwa hadith tersebut diatas adalah musral, sebab Yazid bin Rauman tidak bertemu dengan Umar ibnu al-Khattab. Seterusnya al-Baihaqi mengatakan bahawa dengan berpandukan kepada hadith-hadith yang diterangkan tadi, umat Islam mengerjakan solat Tarawih 20 raka'at dan Witir tiga raka'at. Al-Baihaqi meriwayatkan juga daripada Ali k.w. bahawa solat Tarawih 20 raka'at.

Imam Ibnu Taimiyah menerangkan dalam kitab 'Al-Fatawa' : "Benar bahawa Ubai bin Ka'ab mengerjakan solat pada bulan Ramadhan bersama umat Islam sebanyak 20 raka'at dan Witir tiga raka'at. Jadi para ulama berpendapat bahawa yang demikian itu ditengah-tengah para sahabat Muhajirin dan para sahabat Ansar dan tidak ada seorang pun yang mengingkarinya (menentangnya)."

Didalam kitab "majmu'ah al-Fatawa al-Najdiyah' disebut bahawa Sheikh Abdullah bin Abdul Wahhab memberikan jawapan tentang bilangan raka'at Tarawih: "Bahawa Umar r.a. ketika mengumpulkan umat Islam yang diimamkan oleh Ubai bin Ka'ab, bilangan raka'atnya adalah 20 raka'at."

Demikianlah keterangan-keterangan daripada para ulama pimpinan Islam sama ada daripada golongan Salaf maupun Khalaf yang tidak dapat diragukan lagi kebenarannya. Jelaslah bahawa solat Tarawih itu 20 raka'at yang dikerjakan oleh Umat Islam sekarang ini adalah amalan yang benar, yang tidak dapat disangkal lagi.

Perlu diketahui bahawa 20 raka'at inilah yang dikuatkan oleh amalan para sabahat Radiallahu'anhum dan diijmakan oleh imam-imam mujtadij iaitu imam mazhab yang empat. Mereka semua adalah lambang hidayah dan merupakan pancaran ilmu setiap masa dan setiap zaman. Bilangan 20 rakat'at inilah yang telah diperintahkan oleh Umar al-Faruq r.a. yang mana Allah s.w.t. telah menjadikan kebenaran pada lisan dan didalam hatinya sebagaimana yang diterangkan didalam hadith-hadith yang sohih.

Ikutan kita dua masjid yang mulia

Ikutan kita kaum Muslimin ialah dua buah masjid yang mulia. Yang pertama Masjidil haram (di Makkah) yang telah dijadikan sebagai Qiblat bagi masjid-masjid umat Islam, sama ada yang ditimur atau dibarat. Dalam hal ini Allah s.w.t. telah berfirman yang bermaksud:

"Sesungguhnya rumah yang mula-mula dibangun untuk (tempat beribadah) bagi manusia, ialah Baitullah diBakkah (Makkah) yang diberkati dan menjadi petunjuk bagi semua manusia." (Surah Ali Imran:96)

Yang kedua ialah Masjid Nabawi (di Madinnah) yang didirikan atas dasar takwa dan Allah s.w.t. telah memuji penghuninya sebagaimana firman Allah s.w.t. dalam al-Quran yang bermaksud:

"Sesungguhnya masjid yang didirikan atas dasar takwa, sejak hari pertama adalah lebih patut kamu mengerjakan solat didalamnya. Didalamnya ada orang-orang yang membersihkan diri dan Allah menyukai orang-orang yang suci." (Surah al-Taubah: 108)