Jumaat, 7 Mei 2010

BILA ALLAH TIDAK DIGERUNI...KUASA MENEGUR TERTUTUP DENGAN PANGKAT SERTA UPAH YG LUMAYAN...

Kerajaan lulus judi bola sepak Piala Dunia
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 12 Mei: Kumpulan Berjaya mendapat hak sebagai syarikat tunggal pertaruhan bola sepak Piala Dunia 2010 yang dikeluarkan oleh kerajaan petang semalam.

Ini berikutan kerajaan meneruskan keputusan untuk mengeluarkan lesen judi semasa kejohanan bola sepak berprestij di dunia itu berlangsung awal bulan Jun.

Akhbar berbahasa Cina, Sin Chew, melaporkan menteri kewangan secara rasminya memberi lesen judi itu kepada Kumpulan Berjaya.

Sin Chew melaporkan pertaruhan secara sah itu boleh dilakukan sebelum kejohanan bolasepak itu bermula pada 11 Jun ini.

Perjudian itu boleh dilakukan melalui lebih 2000 kedai pertaruhan Toto yang dimiliki kumpulan itu.

Pada 6 Mei lalu, Timbalan Menteri Kewangan Datuk Dr Awang Adek Hussein berkata, kerajaan mempertimbangkan kemungkinan mengeluarkan lesen untuk membenarkan pertaruhan dilakukan semasa kejohanan bola sepak Piala Dunia 2010 bagi mengelak berleluasanya aktiviti perjudian dan pertaruhan haram di negara ini.

Katanya, jika kerajaan tidak mengeluarkan lesen kepada pihak yang memohon, aktiviti perjudian dan pertaruhan haram tetap berlaku tanpa kawalan dan pemantauan pihak berkuasa.

"Ada beberapa perkara penting untuk dikaji sama ada perkara ini baik bagi kerajaan atau jika kerajaan boleh cuba mengawalnya untuk mengetahui berapa banyak,” ujarnya kepada pemberita di lobi Parlimen.

Katanya, kerajaan sedang mengkaji perkara itu dan akan memutuskannya jika mahu membenarkan pertaruhan memandangkan kejohanan Piala Dunia semakin hampir


Judi: Pemuda Umno Kelantan dicabar nyatakan pendirian
Rizal Tahir

KOTA BHARU, 12 Mei: Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan (DPPNK) meminta Pergerakan Pemuda Umno negeri untuk menyatakan pendirian mereka berhubung kerajaan meluluskan pengeluaran lesen judi sukan sempena kejohanan bola sepak Piala Dunia 2010.

Ketuanya, Ustaz Abdul Latif Abdul Rahman, dalam kenyataan medianya hari ini memberitahu, setakat ini pergerakan pemuda itu tidak membuat sebarang kenyataan berhubung isu berkenaan.

“Kita sebagai orang penting di Kelantan, kena buat kenyataan berhubung perkara itu, apa lagi mengulas kenyataan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek Hussin, yang juga orang Kelantan,” ujarnya.

Menurutnya lagi, kenyataan Awang Adek itu sebenarnya boleh menjurus kepada menghalalkan sesuatu yang diharamkan oleh Allah yang merupakan salah satu perkara yang boleh membatalkan akidah.

Sehubungan itu, DPPNK mencabar Pergerakan Pemuda Umno Kelantan menyatakan sikap mereka yang sebenar terhadap kenyataan pimpinannya sendiri.

“Sehingga hari ini tidak kedengaran sebarang kenyataan daripada Pemuda Umno Kelantan berhubung perkara itu,” ujarnya lagi.

Jelasnya lagi, pihaknya ingin menarik perhatian Pemuda Umno terhadap maksud firman Allah dalam surah al-Maidah, ayat 90 yang bermaksud, “Hai orang-orang yang beriman, sesungguhnya (meminum) khamar, berjudi, (berkorban untuk) berhala, mengundi nasib dengan panah, adalah termasuk perbuatan syaitan. Maka jauhilah perbuatan-perbuatan itu agar kamu mendapat keberuntungan”.

Cabaran itu dibuat berikutan desakan Pergerakan Pemuda Umno Kelantan terhadap Exco kerajaan negeri, Datuk Husam Musa, supaya menjelaskan secara terperinci sumber kewangan yang diperoleh bagi membiayai pengurusan dan aktiviti Global Media Channel Sdn Bhd (GMC).

Kenyataan ketuanya, Anuar Safian telah disiarkan di dalam akhbar akhbar harian berbahasa Melayu semalam.

DPPNK juga, katanya melahirkan kehairanan dengan sikap pemuda Umno yang begitu ghairah berhubung isu itu, namun diam membisu tentang judi yang jauh lebih penting sehingga boleh mengakibatkan kesan terhadap akidah.

Dewan Pemuda PAS juga turut berharap Pemuda Umno Kelantan turut mengulas isu royalti yang dinafikan oleh kerajaan Pusat terhadap rakyat Kelantan


Demo aman bantah lulus judi, konsert esok
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 13 Mei: Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) mengajak seluruh anggota Pakatan Rakyat, Barisan Nasional, NGO dan rakyat keseluruhannya, khususnya di sekitar Lembah Klang untuk menyertai satu demonstrasi aman di Masjid Jamek Kampung Baru di sini, esok.

Pemangku ketuanya, Herman Samsudeen berkata, demonstrasi aman selepas solat Jumaat itu diadakan bagi membantah sikap Kerajaan Malaysia yang enggan membatalkan kelulusan lesen judi Piala Dunia dan Konsert 12 jam Pitbull.

Katanya, walaupun pelbagai pihak telah menyuarakan bantahan, namun kerajaan berdegil untuk meluluskan dua agenda gejala sosial yang pastinya memberikan impak yang negatif kepada rakyat di negara ini.

Tegasnya, rakyat tidak boleh duduk diam dan memerhatikan pemimpin negara membuat keputusan yang jelas melanggar hukum Islam dan norma agama-agama lain.

“Kelulusan ini adalah satu penghinaan kepada nilai-nilai tatasusila rukun negara dan satu kebiadapan kepada perintah Allah SWT.

“Justeru itu, DPPWP mengajak semua pihak untuk hadir ke demonstrasi ini sebagai menunjukkan ketegasan rakyat menolak sikap buta tuli pemimpin negara,” ujarnya.

Beliau berharap semoga pemimpin negara mengambil sikap yang lebih serius terhadap pandangan rakyat



Tiada ulasan: