Ahad, 2 Mei 2010

ALLAH SAHAJA YANG TAHU SEGALA KEBENARAN DAN KEBATILAN

Kickdefella sahut cabaran Pas

KOTA BHARU-Penulis blog, Syed Azidi Syed Abdul Aziz berkata, beliau sedia mendedahkan individu yang memberikan wang lebih RM 4juta untuk menjalankan operasi gerak saraf bagi memburukkan kepimpinan bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Beliau yang dikenali sebagai Kickdefella bagaimanapun berkata, pendedahan tersebut tidak perlu dilakukan secara terburu-buru dan akan melakukannya apabila tiba masa yang sesuai.

”Saya menanti Setiausaha Akhbar Menteri Besar membawa isu ini kepada ‘pimpinan parti’ dan jika ‘pimpinan parti’ bersependapat dengan Setiausaha Akhbar itu bahawa saya perlu dedahkan nama individu-individu tersebut, diharap Setiausaha Akhbar Menteri Besar akan dapat membuat pengumumannya.

“Isu pokok di sini ialah golongan ini mempertikaikan sumbangan saya selepas tiga tahun berkhidmat dengan kerajaan Kelantan dan saya akan dedahkan siapa yang memberi dan bagaimana wang ini digunakan apabila tiba masanya nanti,” katanya semalam.

Beliau mengulas kenyataan Ahmad Fadhli yang memintanya supaya membuat pendedahan siapa penyumbang peruntukkan untuk menjalankan operasi gerak saraf untuk melemahkan kepimpinan bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Sebelum ini, blogger tersebut mengakui menerima peruntukkan sebanyak RM4 juta untuk melakukan operasi gerak saraf Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi seterusnya mempermudah bagi Pas menewaskan Barisan Nasional (BN) di Kelantan.

Bagaimanapun Kerajaan Pas Kelantan sehingga sekarang tidak memberikan sebarang kenyataan berhubung dakwaan itu malah Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat enggan mengulas ketika ditanya mengenai perkara tersebut.

Sementara itu, Syed Azidi berkata, beliau belum bersedia untuk menemui Abdullah dalam masa terdekat kerana bimbang ia akan menimbulkan tanggapan negatif.



Bagaimana kalau Umno yang bagi RM4 juta - Husam
Harakahdaily

KOTA BHARU, 1 Mei: Exco kerajaan negeri Kelantan, Datuk Husam Musa memberikan andaian, duit RM4 juta yang dinyatakan diterima oleh seorang blogger, Kickdefella adalah datang dari Umno untuk menjatuh bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Beliau juga berkata, wang itu masih ada RM4 juta lagi untuk dibelanjakan untuk jatuhkan PM yang ada sekarang (Datuk Seri Najib Razak) yang juga ditaja oleh orang Umno yang tidak puas hati kerana Pak Lah dijatuhkan.

Husam, ahli politik yang menjadi pusat tumpuan dalam isu ini berkata demikian dalam tulisannya melalui blog beliau, cetusan-hati.blogspot.com.

"Apa kata kalau saya kata empat juta itu memang ada dan empat juta itu ditaja oleh kumpulan Umno tertentu? Mereka nak jatuhkan Pak Lah kerana mereka sama tak suka.

"Untuk jatuhkan PM sekarang pun dah ada empat juta lagi yang juga ditaja oleh orang Umno yang tak puas hati Pak Lah dijatuhkan.

"Lepas saya kata, nak tahu betul tak betul kena siasat tapi yang penting saya dah kata. Nasib elok keluar muka depan Utusan esok lusa, tenggelam cerita telaga minyak berharga tak kurang RM 340 billion yang hilang, gara-gara empat juta!" tulis Husam dalam blognya.

Husam tidak menamakan mana-mana pemimpin Umno tetapi beliau turut mengaitkan serangan Tun Dr Mahathir terhadap Tun Abdullah dalam tulisannya.

Husam dikaitkan dengan penulis blog, Syed Azidi atau nama penanya Kickdefella yang membuat pelbagai jenis tulisan terhadap kerajaan negeri Kelantan. Khamis lepas, akhbar Umno, Utusan Malaysia menjadikan tulisan beliau laporan muka depan akhbar itu.

Tulisan itu mendakwa, beliau diamanahkan wang sebanyak RM4 juta untuk menjalankan operasi gerak saraf untuk menjatuhkan bekas Perdana Menteri, Pak Lah.

Ini adalah tulisan pertama Husam mengulas tulisan Kickdefella selepas sekian lama menyepi dari mengulasnya. Kickdefella yang dikaitkan dengan Husam dipecat dari Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) ekoran pertelagahan beliau dengan CEOnya, Ariffahmi, yang juga menantu Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz.

Ulasan Husam yang berkata RM4 juta itu dari orang Umno serentak dengan tulisan Tun Dr Mahathir dalam blognya yang mempertikaikan tindakan kerajaan di bawah Tun Abdullah yang menyerahkan dua telaga minyak bernilai RM340 bilion kepada Brunei. Ia dibuat untuk memujuk Brunei melepaskan tuntutannya ke atas Limbang.

Serangan yang dibuat oleh Mahathir terhadap Abdullah bukan sekarang tetapi sejak beliau menjadi PM lagi sehinggalah beliau jatuh.

Dalam tulisan kali ini juga Husam menulis, betapa mudahnya untuk menjatuhkan seorang PM jika hanya memerlukan RM4 juta sahaja untuk berbuat demikian sebagaimana yang didakwa Kickdefella, beliau diamanahkan RM4 juta untuk jatuhkan Pak Lah dan terbukti lepas itu Pak Lah jatuh dan digantikan denga Najib.

"Kalau ada seorang blogger yang hebat dan kita ada RM4 juta, kita sudah boleh jatuhkan seorang PM - nampaknya kerja menjatuhkan PM tidaklah begitu sukar.

"Setengah orang mungkin kata 4 juta terlalu mahal dan setengah pula akan kata, kalau 4 juta PM boleh jatuh, ia cukup murah," tulis Husam dalam memulakan tulisannya ini.

Beliau berkata, ada orang berkata RM4 juta itu mahal dan ada pula berkata, RM4 juta untuk menjatuhkan seorang PM itu murah.

"PM macam Pak Lah, adakah perlu lagi belanja sebesar empat juta untuk burukkan dia? Rasanya tak payah. Imej buruknya jadi sendiri atas kelemahan kepimpinannya.

"Ada sesetengah blogger buat kerja itu percuma saja. Gambar Pak Lah terlentok tertidur dan segala macam kelemahan dia dah ada dalam beratus blog sejak lama. Ada blogger yang meng-kartunkan karakter Pak Lah dalam blog-blog mereka. Sejuta pun tak payah, usahkan empat juta, kerana rasanya blogger-blogger itu semua buat kerja itu sebagai tindakan spontan mereka saja atas kelemahan Pak Lah yang begitu ketara.

"Seorang petugas tegar Umno seperti Sang Kelembai melanyak Pak Lah dalam blognya lama sebelum adanya cerita orang tertentu dapat empat juta untuk burukkan sesiapa.

"Kalau ada orang habiskan wang empat juta nak burukkan lagi Pak Lah yang dah pun buruk, rugi sakan lah rasanya orang itu," tulis Husam.

Beliau juga memberikan hint dalam tulisannya dengan mengaitkan serangan Mahathir terhadap Pak Lah.

"Sehari dua ini,Tun M masih membantai Pak Lah atas tergadainya medan minyak kita di Sarawak kepada Brunei. Bekal Tun M tak sampai sepuluh duit pun. Dia hanya petik laporan The Edge dan Brunei Times online saja. Bukan susah nak burukkan Pak Lah hatta dia dah tak jadi PM tapi tinggalan-tinggalan keputusannya yang merugikan negara terbongkar satu lepas satu.

"Kalau nak jatuhkan Pak Lah sampai berbelanja empat juta, rasanya terlebih bayar.

"Kalau boleh jatuhkan PM sekarang dengan belanja empat juta, rasanya itu tak mahal dan mana-mana pihak boleh mencuba nasib mereka. Ini kira bagus dan murah.

"Jadi saya tak tau tulisan blogger yang dibesarkan oleh Utusan itu boleh untungkan sapa?" tulis Husam.

Menurut beliau, Umno Kelantan ada ulas, bagaimana besarnya belanja yang digunakan untuk tewaskan Umno Kelantan. Empat juta.

"Kalau dengan empat juta rancangan Datuk Mustapha tawan Kelantan boleh dikuburkan dan itu dianggap mahal, saya tak tau nak kata. Untuk menang Hulu Selangor saja Umno belanja entah berapa ratusan juta. Tapi untuk tewaskan Umno satu negeri, belanja empat juta dah cukup kira jimat dan hebat.

"Rupanya tak susah sangat nak tewaskan Umno Kelantan dan kalau dengan empat juta Umno satu-satu negeri boleh ditewaskan, mana yang berminat boleh buka tabung untuk cukupkan empat juta satu negeri cuba tewaskan baki Umno seluruh Malaysia. Rasanya Umno akan kecut," tulis beliau lagi.

Bagi beliau, cerita yang dibuat akhbar Umno itu umpama cerita kek dan gandum. Gandumnya hanya sedikit tetapi selepas dimasukkan serbuk penaik ia meenjadi besar dan indah dilihat.

"Kadang-kadang kita boleh jadi tukang kek. Gandumnya tak sampai secawan tapi kalau kena campur dengan serbuk penaik, sebiji kek yang besar boleh kita buat. Campur pula majerin sama telur. Tengok kemahiran kita. Asalnya gandum secawan saja," tulis beliau.

Kickdefella (gambar) dalam tulisan terbarunya telah mengulas tulisan Husam ini dengan bertanya, "Adakah penulis cuba memberitahu bahawa RM4 juta itu adalah untuk membeli gandum, serbuk penaik, majerin dan telor? Kalau benar bererti penulis tahulah pasal RM4 juta itu. Adakah penulis tahu dari mana RM4 juta itu datang? Terserahlah kepada beliau untuk menjawabnya.

"Saya berhasrat untuk menulis berhubung dengan sumber datangnya separuh dari jumlah duit itu dengan tujuan memberi ruang pernafasan kepada penulis, terutama setelah saya dipanggil oleh SPRM, tetapi nampaknya penulis telah terlebih dahulu tercerut saraf lawannya dalam kancah politik Kelantan."

Husam dalam tulisannya juga juga mengulas, setahu beliau, gerak saraf tak burukkan orang. Itu perang saraf. "Gerak saraf ajak orang sokong kita atas kebaikan kita," katanya. Di sinilah, beliau mendakwa, Umno yang bayar RM4 juta itu dengan kenyataan:

"Apa kata kalau saya kata empat juta itu memang ada dan empat juta itu ditaja oleh kumpulan Umno tertentu? Mereka nak jatuhkan Pak Lah kerana mereka sama tak suka.

"Untuk jatuhkan PM sekarang pun dah ada empat juta lagi yang juga ditaja oleh orang Umno yang tak puas hati Pak Lah dijatuhkan.

"Lepas saya kata, nak tahu betul tak betul kena siasat tapi yang penting saya dah kata. Nasib elok keluar muka depan Utusan esok lusa, tenggelam cerita telaga minyak berharga tak kurang RM 340 billion yang hilang, gara-gara empat juta!" tulisnya.

Bagi beliau, cerita RM4 juta ini bertujuan untuk menutup kehilangan wang dari penyerahan dua telaga minya kepada Brunei itu.

"Empat juta kalahkan 340 billion..... Ini pun mungkin masuk dalam kategori saraf juga, samada gerak atau perang atau saraf mana satu, saya tak berapa tau kerana cabang saraf ada bermacam-macam...

"Maknanya, nak kata tak lah payah. Lepas itu kita minta lah mana badan yang patut siasat, menyiasat," katanya lagi.







Medan minyak tergadai: Ya dalam nafi
http://cetusan-hati.blogspot.com/

Tahniah dan terima kasih kepada Pak Lah yang kali ini bersikap responsive.

Pak Lah memberikan penjelasan terhadap isu tergadainya dua medan minyak milik Sarawak kepada Brunei lewat petang ini, Juma'at, 30 April 2010.

Dari penjelasan ini kita dapat simpulkan;

a. Bukan medan minyak sahaja terlepas, tetapi sempadan negara kini mengecil kerana perairan di mana terletaknya dua medan minyak L dan M kini diiktiraf sebagai milik Brunei. "In a statement today, the former prime minister confirmed that Block L and Block M concessions now belonged to Brunei but...." (Bernama)

“This agreement serves to settle certain overlapping claims that existed in the past which included the area of the concession blocks known before as Block L and Block M.

“Sovereign rights to the resources in this area now belongs to Brunei." Laporan The Star berdasarkan kenyataan akhbar Pak Lah.

b. Cuma Malaysia diizinkan untuk menyertai perkongsian operasi pengeluaran minyak bagi kedua-dua blok itu untuk 40 tahun.

c. Terma ini dipersetujui Kabinet pada 11 Februari 2009. Bermakna PM sekarang juga terlibat dalam keputusan tersebut.

Penjelasan Pak Lah ini tidak mengubah inti berita sebelum ini bahawa kita telah terlepas dua medan minyak sekali gus kepada Brunei dan kini, kita sebenanya terlepas bukan sahaja medan minyak bahkan kedaulatan sempadan laut berkenaan juga untuk selama-lamanya.

Balasan yang diperolehi oleh Malaysia ialah kita boleh menyertai perkongsian operasi berasaskan perniagaan di medan berkenaan untuk selama 40 tahun. Selepas itu, kawasan berkenaan kekal dalam wilayah Brunei.

Bagi Pak Lah dan Kerajaan Malaysia, terlepas kedaulatan wilayah adalah kecil asal dapat merasa seteguk dua minyak dari kawasan yang kita lepaskan. Aduhai!

Dalam kes kawasan pertindihan sumber minyak Malaysia Thailand, negara mengambil ketetapan berbeza iaitu kawasan berkenaan kekal sebagai sebahagian wilayah Malaysia dan hasil minyak dibahagi mengikut peratusan tertentu antara dua negara. Kita tidak melepaskan kedaulatan wilayah kita tetapi kita menggunakan kaedah 'joint development'.

Mengapa susunan yang sama tidak digunakan dalam kes Brunei dan dengan itu kita tidak terlepas wilayah kita?

Atas murah hati kita melepaskan perairan di mana terletaknya dua medan minyak itu, kita mendapat kedaulatan ke atas Limbang.

Soalnya, kini pun Limbang adalah milik kita dan ia sebahagian dari Sarawak. Sungguh pun Brunei ada menuntut haknya ke atas Limbang, dari inti pati perjanjian-perjanjian sebelum ini termasuk apa yang disebut oleh Pak Lah dalam kenyataannya, isu Limbang sudah pun memihak kepada Malaysia.

Bermakna, kita mendapat apa yang sudah menjadi hak kita dan kita terlepas apa yang sepatutnya juga menjadi hak kita.

Nampaknya, kita mengambil jalan mudah dalam perkiraan ini. Apa lagi, Brunei masih secara terbuka menyatakan bahawa tuntutan ke atas Limbang belum digugurkan. Bererti, harapan kita untuk menyelesaikan isu tuntutan Limbang secara tersirat melalui 'pengukuran semula sempadan' berasaskan perjanjian-perjanjian 1920, 1931, 1933 (dua perjanjian berasingan) dan 1939 masih dalam proses sedangkan kedaulatan kita ke atas perairan yang terkandung di dalamnya dua medan minyak yang kaya itu sudah pun terlepas.

Bermakna, Brunei telah mndapat apa yang mereka mau serta merta dan kita menunggu satu tempoh dan proses yang akan memakan masa. Apa akan terjadi jika pendirian kerajaan Brunei atas apa sebab nanti, akan berubah?

Mengikut laporan, Brunei telah pun menganugerahkan konsesi dua medan itu kepada Total dari Perancis dan kedudukan Petronas dalam susun atur perkongsian yang disebut belum dijelaskan.

Akhirnya, bagaimana dengan Sarawak? Adakah kerajaan negeri dirundingi ketika wilayah laut kita ingin dilepaskan bersekali dengan sumber minyaknya?

Jika Pak Lah telah tampil 'menafikan tetapi sebenarnya mengiyakan', adakah PM kini hanya akan berdiam diri?


Datuk Paduka Husam Musa,
Exco Kanan Kerajaan Kelanta





Antara ugutan bunuh dan dakwaan RM4 juta
Anak Sengat

Bukan pelik kalau SPRM terus memanggil Kickdefella atas dakwaan RM 4 juta yang didakwa diberi oleh PAS Kelantan atas tujuan menjatuhkan Pak Lah. Telah banyak kes melibatkan Kelantan yang diambil serius oleh SPRM . Bermula sejak penguasaan PAS ke atas Kelantan hinggalah ke saat ini.

Pendedahan TGNA berkaitan pernah cuba disogok oleh tauke Balak ketika mula memerintah terus menggerakkan SPRM untuk mencungkil pejabat Menteri Besar itu. TGNA sendiri yang mendedahkan dalam ceramah sudah tak berapa ingat peristiwa itu hanya mendedahkan secara umum dengan tujuan iktibar.

Terbaru apa yang didakwa pendedahan Kickdagila mendapat tempat di dada akhbar proksi Umno. Bukan angka yang besar nilai rm 4 juta untuk tempoh tiga tahun apatah lagi didakwa bagi tujuan mengekalkan sebuah kerajaan dan menjatuhkan seorang pemimpin negara.

Ia tidak salah jika Umno dan BN yang lakukan seperti apa yang berlaku di Hulu Selangor. RM 167 juta yang bukan dianggap rasuah oleh Najib dan tak dipedulikan oleh SPRM jauh lebih besar dari RM4 juta dalam 3 tahun berbanding RM 167 dalam tempoh seminggu.

Dalam menilai tindakan SPRM kita menanti apa pula tindakan polis terhadap pemuda yang didakwa mengugut bunuh TGNA. Antara ugutan bunuh dan rasuah ini mana yang lebih bahaya. Kita nantikan penilaian jujur dari rakyat dalam menghakimi badan kerajaan ini.


* Tulisan di atas adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian Harakahdaily.net. Harakahdaily.net tidak bertanggungjawab terhadap sebarang implikasi daripada tulisan berkenaan



Ugut bunuh Nik Aziz, lagi laporan polis dibuat
Hafiz Irwan
PENGKALAN CHEPA, 2 Mei: PAS Kawasan Pengkalan Chepa, membuat satu laporan polis berhubung ugutan bunuh terhadap Mursyidul Am Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat oleh seorang pemilik akaun facebook, yang dikenali sebagai Mohd Safuan Hilmi.

Setiausahanya, Hassan Mamat membuat laporan tersebut di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu, di Pengkalan Chepa, dekat sini.

Kehadiran beliau ditemani hampir 30 penyokong PAS.

"Saya membuat laporan ini kerana berpendapat kenyataan penulis itu adalah satu tulisan ataupun komen yang berunsurkan provokasi terhadap keselamatan dan juga satu ugutan jenayah secara terbuka terhadap seorang ketua sebuah kerajaan.

"Oleh itu kami (PAS) pohon pihak polis dapat membuat penyiasatan penuh dan seterusnya mendakwa penulis terbabit sebagaimana peruntukan undang-undang bagi mengelakkan budaya mengugut yang mengancam keselamatan orang lain daripada terus berleluasa" katanya ditemui di luar pejabat IPD.

Mohd Safuan, melalui laman web sosial facebooknya dikatakan telah menulis "Belum lengkap lagi sbb (sebab) sekor (seekor) lagi barua x (tidak) mati iaitu nik aziz. Tggu (tunggu) aku p (pergi) bunuh nik aziz dulu baru lengkap. Setan tu x layak duk kt (dalam) muka bumi ini lagi.

"Senang bunuh org (orang), tikam je, aku snggup (sanggup) dihukum gantung jika aku dpt (dapat) bunuh nik aziz al dajjal tu" katanya semasa berkomunikasi dengan salah seorang daripada rakan facebook.

Facebook Safuan Hilmi bagaimanapun di tutup selepas perkara itu menjadi perbincangan orang ramai di laman web sosial tersebut.

Dalam profil sebelum ini, Safuan meletakaan ahli Umno pada bahagian pandangan pilitiknya.

Semalam juga, Dewan Pemuda PAS Pusat, turut membuat laporan sama bagi menggesa pihak polis menyiasat ugutan bunuh itu.

Ketuanya, Nasrudin Hassan semalam turut meminta supaya pergerakan Pemuda Umno menafikan bahawa Mohd Safuan ini adalah ahli mereka.




Polis diminta siasat ugutan bunuh Nik Aziz
Rosli Yasmin

KUALA LUMPUR, 1 Mei: Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Nasrudin Hassan menggesa pihak polis menyiasat ugutan bunuh terhadap Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat oleh seorang pemilik akaun Facebook, Mohd Safuan Hilmi.

Nasrudin yang membaca kenyataan berbaur ugutan itu pada 30 April 2010 meminta supaya kes tersebut ditangani secara berkesan bagi mengelakkan budaya mengugut yang mengancam keselamatan orang lain berleluasa.

"Saya juga meminta supaya pergerakan Pemuda Umno menafikan bahawa Mohd Safuan ini adalah ahli mereka," kata beliau merujuk pendirian politik Mohd Safuan di dalam profil Facebooknya.

Dalam profil tersebut juga turut menyatakan bahawa Safuan bekerja di Syarikat Prasarana Berhad.

Nasrudin turut menyatakan bahawa Facebook Safuan Hilmi telah di tutup selepas perkara itu menjadi perbincangan orang ramai di laman web sosial tersebut.

"Perkara ini jelas bertentangan dengan norma masyarakat dan adat ketimuran orang Melayu.

"Saya juga menyeru kepada semua pihak supaya mengamalkan politik sihat dan mengelakkan budaya ugut dan kekerasan antara sesama kita," tambahnya yang membuat laporan di Balai Polis Chot Kit, di sini tengah hari tadi.

Turut hadir bersama ialah timbalannya, Azman Shapawi Abdul Rani dan Kamaruzaman Mohamad.

Sementara itu, Nasrudin dipanggil untuk memberi keterangan berhubung perkara itu di Balai Polis Dang Wangi pada jam 3.00 petang ini.




NEGARA

Keluarga mahu Suruhanjaya Siasatan Diraja ditubuhkan


AZAMUDDIN


SHAH ALAM - Saksi utama kes kematian Aminulrasyid Amzah, 15, yang mati ditembak polis mendedahkan dia tampil membuat laporan polis pada malam kejadian selepas terkejut dilabelkan sebagai penyamun.

Azamuddin Omar, 15, yang berada dalam kereta dipandu rakannya itu berkata, semasa kejadian dia selamat dan hanya cedera ringan selepas mendakwa dibelasah beberapa anggota polis.

"Sebaik kereta terbabas memasuki longkang, beberapa anggota polis bertindak mengheret saya dari kereta sebelum saya dibelasah," ceritanya pada sidang akhbar di rumah Aminulrasyid di Jalan Makyong 11/2G di Seksyen 11 di sini semalam.

Azamuddin hadir ke rumah Aminulrasyid dengan ditemani wakil Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seksyen 9, Monaliza Mokhtar.

Azamuddin kemudian menunjukkan kepada wartawan kesan luka di tangan kanannya ekoran serangan itu. Bagaimanapun, cerita remaja itu, entah macam mana dia dapat melepaskan diri sebelum pulang ke rumah.

Azamuddin memberitahu, pada sebelah petang pada hari kejadian, dia terkejut apabila mendengar berita mengenai kejadian itu yang melaporkan seorang pegawai polis menuduh mereka sebagai penyamun.

"Saya dengar tuduhan itu ketika mahu kebumikan jenazah Aminulrasyid menyebabkan pada malam itu saya pergi buat laporan polis," kata beliau.




Lagi remaja ditembak polis


ABU SEMAN (dua dari kiri) semasa melawat Mohd. Azizi yang cedera di perut akibat terkena tembakan polis di Hospital Tuanku Ja'afar di Seremban semalam.


TAMPIN – Seorang remaja cedera parah di bahagian perut selepas anggota polis melepaskan satu das tembakan semasa dia dikejar dalam kejadian di Jalan Seremban- Jelebu dekat sini awal pagi semalam.

Dalam insiden pada pukul 3.30 pagi itu, mangsa Mohd. Azizi Aziz, 17, difahamkan ditembak kerana tidak mahu memberhentikan motosikal yang ditunggangi selepas diarahkan oleh anggota polis kereta peronda.

Tembakan yang dilepaskan itu terkena bahagian perut Azizi hingga tembus ke usus besar menyebabkan mangsa terpaksa dikejarkan ke Unit Rawatan Rapi Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) kira-kira pukul 4 pagi.

Kejadian remaja ditembak ketika cuba melarikan diri daripada polis itu adalah kali kedua berlaku dalam tempoh dua minggu selepas Aminulrasyid Amzah, 15, mati ditembak polis di Seksyen 11, Shah Alam pada pukul 2 pagi 26 April lalu.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Osman Salleh berkata, siasatan awal mendapati anggota polis berkenaan telah mengarahkan Mohd. Aziz berhenti, namun mangsa enggan berbuat demikian menyebabkan dia melepaskan satu das tembakan.

“Anggota polis yang melepaskan tembakan itu mendakwa dia melepaskan tembakan amaran sahaja tetapi ia dilakukan dalam keadaan kereta peronda yang bergerak laju dan mangsa juga menunggang motosikal secara bahaya.

“Satu das tembakan telah dilepaskan dan selepas kira-kira dua kilometer baru mangsa dapat ditahan dan mereka mendapati mangsa terkena tembakan di bahagian perut,” katanya di HTJ di sini semalam.



Pemimpin Pas ‘hebat’ cari wang

KOTA BHARU - Blogger Kikdefella atau nama sebenarnya Syed Azidi Syed Abd Aziz mendedahkan beliau mempunyai maklumat bahawa terdapat pemimpin Pas yang ‘hebat’ mencari wang.

Dalam masa sama beliau turut menjelaskan bahawa tindakan Exco Kerajaan Negeri, Datuk Husam Musa, yang sebelum ini mengakui terlibat menyumbang dalam penubuhan Syarikat Global Media Channel (GMC) membuktikan wujudnya pemimpin parti yang melaburkan untuk mengukuhkan kedudukan Pas.

“Saya tahu ada pimpinan lain dari Pas juga hebat mencari duit. Kalau Husam laburkan untuk GMC dan akan usahakan RM20 Juta untuk tawan Putrajaya, ke manakah wang yang dicari oleh pimpinan Pas lain dilaburkan?” katanya dalam kenyataan dipetik melalui blognya, semalam.

Husam dalam ceramahnya malam kelmarin, dilaporkan mengakui kewujudan GMC yang sebelum ini didakwa Syed Azidi ditubuhkan untuk menjejaskan reputasi bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Namun, Husam berkata, penubuhan GMC hanya bertindak sebagai ‘PR media’ yang lebih menjurus kepada konsep perniagaan sama ada dengan Kerajaan Negeri mahupun parti.

Sehubungan itu, beliau yang juga Timbalan Pesuruhjaya II Pas Kelantan, mengakui membayar lebih daripada angka RM40,000 sebagaimana yang didakwa pihak tertentu bagi menampung keperluan syarikat tersebut.

Dalam pada itu, Syed Azidi turut menempelak sesetengah pemimpin Pas yang sebelum ini secara terangan-terangan mengkritik beliau kerana membuat kenyataan terhadap Husam.

“Pimpinan yang pandai cari duit ini bersorak-sorak bila mereka sangka saya menyerang Husam. Sekarang adakah mereka bersorak-sorak mendedahkan bahawa wang yang mereka cari hasil jual beli balak dan projek Kerajaan Negeri juga mereka laburkan untuk Parti? Adakah mereka seberani Husam?

“Mungkin Setiausaha Akhbar Menteri Besar Kelantan, Ahmad Fadhli Shaari dan Timbalan Speaker DUN Kelantan Mohamad Zaki Ibrahim, mahu mencabar blogger murahan dan blogger budak budak kampung ini dedahkan itu juga? Kalau mahu silakan, saya dah rindu dendam mendengar kenyataan media anda berdua,” katanya.

Tiada ulasan: