Rabu, 24 Julai 2013

RAMAI LAGI YANG MISKIN SERTA HIDUP SERBA KEKURANGAN

Pemilikan Senjata Api: Apakah Negara Semakin Tidak Selamat?
Posted on Tuesday, July 23 @ 22:36:30 MYT
Dilulus untuk paparan oleh Abdullah

Oleh Riduan Mohd Nor

Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) memandang serius kes dua lelaki yang ditahan kerana memiliki senjata api dalam serbuan di Kampung Bunut Susu, Pasir Mas semalam.

Serbuan polis ke atas suspek turut merampas merampas tiga pucuk pistol termasuk satu tiruan. Mereka dipercayai pembekal senjata api dan lebih memeranjatkan apabila mereka menyewakan senjata tersebut pada kadar RM 500 hingga RM 1,000.

Isu ini menjadi perhatian besar kerana isu pemilikan senjata api dilihat terlalu mudah sehingga boleh diperolehi malah disewakan kepada sesiapa sahaja yang mengingininya. Soalnya, bagaimana senjata api boleh begitu mudah diperolehi dan dari mana mereka mendapatkannya?

Pemilikan senjata api seperti yang berlaku pada kes tersebut boleh menyebabkan berlakunya kadar jenayah yang melibatkan senjata api secara mendadak, dan sekaligus menyebabkan keselamatan dan nyawa rakyat terancam. Sesiapa sahaja akan menjadi mangsa dengan penjenayah akan bertindak kejam termasuk membunuh mangsa di mana sahaja.
Dalam beberapa minggu kebelakangan ini sudah beberapa kali berlaku kes tembakan mati termasuk ke atas seorang guru penolong kanan di Sekolah Kebangsaan (SK) Beris Panchor, Bachok, Kelantan serta seorang guru dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Berapit, Bukit Mertajam beberapa hari kemudiannya. Suspek pula berjaya meloloskan diri tanpa diketahui lokasi dan identiti mereka.
Jenayah senjata api menjadikan rakyat semakin bimbang dengan tahap keselamatan negara ini. Apakah negara ini sudah tidak selamat sehingga penjenayah semakin berani dan tergamak menggunakan senjata api ala mafia dan samseng di negara barat? Apakah rakyat tidak akan terlepas dengan kejadian serupa seperti yang menimpa mangsa tembakan beberapa hari kebelakangan ini? Malah, ia menjadikan pihak keselamatan juga sebagai sasaran dan korban penjenayah bersenjata api.
Adalah diharapkan, pasukan keselamatan negara mengambil langkah yang agresif dan proaktif bagi memastikan dalang penjualan senjata serta penyeludupan senjata dibanteras dan dikawal sepenuhnya. Tidak ada maaf bagi mereka yang memiliki senjata api apatah lagi menjual atau menyewakannya kepada pihak lain melainkan hukuman yang berat dikenakan ke atas mereka.
RIDUAN MOHD NOR
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Malaysia 


 Hukuman penjara blogger Sharpshooter kekal
Posted on Wednesday, July 24 @ 08:40:19 MYT
Dilulus untuk paparan oleh Abdullah

Oleh Bernama

PUTRAJAYA - Penulis blog Amizudin Ahmat gagal dalam rayuannya bagi mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi menjatuhi hukuman penjara tiga bulan kerana menghina mahkamah berhubung artikel yang memfitnah bekas Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri (kini Tan Sri) Dr Rais Yatim.

Amizudin didapati bersalah menghina mahkamah pada 10 Ogos tahun lepas apabila menerbitkan 11 lagi artikel memfitnah Rais.

Pada prosiding hari ini, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai Datuk Zaharah Ibrahim sebulat suara mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi selepas menolak rayuan Amizudin.

Dalam penghakimannya, beliau berkata mahkamah tidak dapat mencari sebarang kekhilafan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi mensabitkan Amizudin, 43 dengan kesalahan menghina mahkamah.

"Perintah yang memaksa beliau dipenjara tiga bulan adalah tidak keterlaluan dan tidak mewajarkan campur tangan kami," katanya yang bersidang bersama Datuk Alizatul Khair Osman Khairuddin dan Datuk Anantham Kasinater.

Bagaimanapun, Zaharah membenarkan penangguhan pelaksanaan keputusan Mahkamah Rayuan sementara menunggu permohonan penulis blog itu untuk kebenaran merayu perintah hari ini di Mahkamah Persekutuan.

Beliau turut memerintahkan Amizudin memfailkan permohonan itu dalam tempoh dua minggu.

Katanya, jika Amizudin gagal berbuat demikian, beliau perlu hadir di Mahkamah Rayuan selepas tempoh itu berakhir untuk menjalani hukuman.

Panel itu menolak rayuan itu tanpa kos. Pada 21 Nov 2011, Rais, 71, diberi kebenaran memulakan prosiding komital terhadap Amizudin berhubung satu saman yang difailkan oleh beliau.

Rais menang dalam saman fitnah beliau terhadap penulis blog itu di Mahkamah Tinggi, yang pada 19 Julai 2011, memerintahkan Amizudin membayar ganti rugi RM300,000 dan kos RM100,000 kepadanya.

Rais memfailkan saman itu pada 31 Jan 2011 terhadap Amizudin, yang juga anggota Jawatankuasa Belia Parti Keadilan Rakyat (PKR) berhubung satu artikel
yang disiar dalam laman blog penulis itu, sharpshooterblogger.blogspot.com, pada atau kira-kira 28 Dis 2010.

Mahkamah Rayuan turut mengekalkan jumlah ganti rugi yang diputuskan mahkamah sambil menyifatkan ia tidak begitu tinggi berdasarkan kedudukan sosial Rais.

Bagaimanapun, jumlah kos dikurangkan kepada RM50,000. Rais diwakili peguam Datuk Seri Muhammad Shafee Abdullah manakala Amizudin oleh R.Sivarasa. - Bernama 


 WARGAKILANG: Jln-Jln Masuk Kg Ramadhan (Tganu)
Posted on Tuesday, July 23 @ 22:14:00 MYT
Dilulus untuk paparan oleh Abdullah

Oleh Munir

Alhamdulillah, seperti yang dirancang, untuk tahun ini sekali lagi team NGO Wargakilang berjaya mengadakan program Jln-Jln Masuk Kg (JJMK) Bulan Ramadhan di negeri Terengganu. Kali ini, kami dibawa masuk jauh ke pedalaman Tganu, kawasan DARAT yang agak jauh dari kawasan pantai yang biasanya amat sinonim dengan negeri pantai timur ini.




(Konvoi 14 buah kenderaan membawa brg2 sumbangan menuju ke Binjai, Pasir Gajah, Pasir Minal dan Seberang Tayor)


 (Terima kasih kpd sahabat-sahabat Wargakilang yg turun mai dari KL, Kelantan dan juga yg mai jauh dari Utara)

 Kesemua sekali ada 25 keluarga yang kami kunjungi; antaranya ialah sebuah keluarga yang kehilangan ayahanda tersayang tak sampai pun sebulan menjelang Ramadhan; iaitu keluarga Pn Nor Akma di Kg Pasir Gajah.


(Pn Nor Akma bersama 5 orang anak-anaknya – di tangga rumahnya ini juga kami jadikan pusat agihan untuk 5 keluarga yang lain)

Untuk anak-anak Pn Nor Akma, walau pun masih sedih dengan pemergian ayahanda tercinta tetapi kunjungan konvoi kami ini begitu menceriakan mereka. Apatah lagi, bila ada ada seorang sahabat dari Utara bawa mai sekotak TOYS untuk budak-budak ini dan juga anak-anak penerima yang lain.

(Seronok budak-budak ini dapat Toys yang masih elok lagi tu). 


(Si kecik ini pula memeluk erat Teddy Bear yang dia dapat, macam tak mau lepas)

 Kami di Wargakilang merasa amat teruja dengan kegembiraan dan keceriaan yang terpancar di wajah anak-anak kecil ini; kami merasa gembira dapat melihat kegirangan di hati mereka, yang untuk seketika dapat melupakan realiti hidup keluarga yg bergelumang dengan kemiskinan dan hidup dalam serba keterpayahan.

(Terima kasih kepada seorang sahabat di atas sumbangan TOYS ini yang dibeli isterinya sewaktu outstation ke Amerika khas untuk anak-anak mereka. Siapa sangka asalnya dari Amerika, di bawa pulang ke Penang, hari ini berakhir di Pasir Gajah, di pedalaman Tganu)

Di tangga rumah ini juga hati kecil saya tersentuh tatkala seorang penerima, Pn Maimun 58 tahun menitiskan air mata, yang tanpa segan silu menangis mengesat air mata dengan hujung tudungnya tatkala tiba giliran menerima sumbangan.

Pn Maimun tinggal bersama anaknya yang OKU, adik Radhi 14 tahun dan mengharapkan bantuan JKM untuk anaknya sebagai punca pendapatannya yang semata-mata. Mungkin sepanjang hidupnya tak pernah menerima sumbangan yang sebegini banyak, atau pun mungkin beliau terharu sangat-sangat kerana ada di luar sana masih ada mereka-mereka yang mengambil berat. Wallah hu aklam.

 
(Adik Radhi memeluk dan memujuk ibunya: “JANGAN LER NANGIS MAK!!”)

 Saya difahamkan Pn Maimun matanya tak berapa nampak, datang ke rumah Pn Nor Akma ini pun dipimpin oleh anaknya. Bila saya tengok Radhi, terus saya teringatkan anak saya si Iman yg turut serta, yang juga OKU - kerana masalah Slow Learner.


(Saya perkenalkan Iman kepada Radhi dan ibunya, saya kata tak apalah makcik, anak saya ini pun OKU juga)

Sebetulnya saya sendiri naik sebak sewaktu memperkenalkan Iman kepada Radhi dan ibunya ini; kadang-kadang terlintas di hati apalah dosa aku Tuhan buat kat aku macam ini.

Si Iman itu dah la slow learner dan tak berapa nak boleh pakai seluar sambil berdiri, dan kalau tandas kena guna tandas duduk dan yang ada getah paip air, kerana masalah imbangan badan. Waktu kat RR Temerloh selepas berbuka puasa, bila masuk ke Tandas Sementara sebab tandas baru dalam pembinaan, sedih sungguh bila Iman masuk tandas itu dia keluar balik, dia kata “Tak apalah Abah, Iman tahan berak!!” – Tandas Sementara itu tidak dicipta untuk anak-anak OKU macam Iman. Kesian kat Iman – sebab itu saya rasa sebak bila tengok Puan Maimun dan anaknya Radhi ini. Hanya mereka yang punya anak-anak OKU ini saja mengerti perasaan kami.

Yang tersentuhnya lagi, bila isteri saya tanya Radhi, duit sumbangan yang orang bagi itu nak buat apa? Radhi cakap: “NAK AJAK MAK BELI BAJU RAYA”.

Alhamdulillah, tak sangka sumbangan kawan-kawan kami yang turut serta itu asalnya cumalah sebagai sedikit habuan duit raya, tapi amat besar maknanya untuk Radhi dan ibunya ini. Tak sia-sia kami mai jauh dari utara 10 jam perjalanan ini.

Seterusnya, berbicara tentang isu kemiskinan. JJMK kali ini menemukan kami dengan sebuah cerita kemiskinan yang paling kronik pernah kami temui, iaitu kisah kemiskinan keluarga Pn Pisah, seorang ibu tunggal di Kijal.


 (Sebahagian drpd warna kemiskinan yang bermaharajalela di dalam rumah ini)

Sdra Azman, wakil Wargakilang di Terengganu memaklumkan kpd kami bahawa Puan Pisah ini adalah ibu tunggal anak 6. Yang sulung belajar setakat darjah 6, tapi kini sudah dewasa dan berkahwin, kerja sekadarnya utk diri sendiri sahaja.
 Yang tinggal bersama beliau ada lagi 5 orang.


Kerana kemiskinan yang mencengkam, drpd LIMA orang dalam gambar ini, cuma yang kecil sahaja yang masih bersekolah; yang lagi EMPAT orang lagi sudah pun terkandas sebelum sempat melangkah ke sekolah menengah. Malang sungguh anak-anak bangsaku – tersungkur begitu saja di gerbang kemiskinan!

Bila melihat keluarga ini, dan teringatkan Kijal, saya teringat kisah saya dan isteri mai ke Kijal beberapa tahun yang terdahulu – sebelum ada BLOG INTERNET – kami ada berkunjung ke rumah satu keluarga miskin yang kedananya hampir serupa – kami mai untuk bayar zakat pendapatan.

Saya tanya jiran Puan Pisah , di manakah rumah Pak Usop yang amik upah potong buluh lemang di Kijal yang hidup dlm kemiskinan yang pernah kami suami isteri kunjungi dulu? Kisah kemiskinan Pak Usop ini, ada saya garapkan dalam internet pada tahun 2004, dan sampai hari ini masih tinggal melekat di google at:
http://www.geocities.ws/monier_matdin/buluhlemang.htm
iaitu kisah 3 orang anak lelaki Pak Usop yang kerana kemiskinan, terkandas dalam pelajaran.

Kata jiran tersebut: “Pak Usop sudah arwah, Kak Pisah ini isteri dia lah!”

 Laaa – saya tak perasan sungguh. Hampir 10 tahun dulu saya pernah tulis cerita Pak Usop ini; saya dimaklumkan selepas itu ada pihak-pihak yang datang melawat; rupa-rupanya semuanya hanya seperti melepaskan batuk di tangga saja.

Hari ini, anak-anak arwah Pak Usop terus menerus dibelenggu kemiskinan – sama saja sewaktu kunjungi kami 10 tahun yang silam. Entahlah, tak tahu siapa yang patut memainkan peranan.

 Akhir sekali, yang paling melekat di pintu hati saya berkenaan JJMK kami kali ini ialah sewaktu kami berkunjung ke rumah seorang nenek yang tinggal bersama TIGA orang cucu yang YATIM PIATU; Mohamad Azalizam (14), Nurzafikah (13) dan Mohamad Azam (12).

Waktu itu saya interview adik Azalizam minta cerita sikit kisah keluarganya, dia dah macam naik sebak dah cerita kisah ayah dan ibunya meninggal diserang sakit paru-paru ini. Ibunya baru dua tahun meninggal, ayahnya sudah lama sebelum itu.

Ketika hampir semua peserta dah nak masuk ke kereta masing-masing, saya lihat Aznee (Engineer INTEL) masih tak keluar-keluar rumah lagi. Bila saya pi cari dia, saya tersentak bila melihat adik Azalizam sedang menangis tersebak-sebak sambil mengesatkan matanya dengan jari.

(Sebak seorang anak yatim piatu – peritnya menanggung rindu pada ibu dan ayah, tiada siapa yang tahu)


(Rupa-rupanya, sdra Aznee sedang memberi ceramah motivasi kepada Azalizam dan adiknya, dan nasihat panjang lebar kisah bagaimana beliau yang dulunya juga anak YATIM tapi mampu belajar cemerlang sampai Manchester, UK dan balik Malaysia jadi Jurutera.)

Aznee cakap jangan give up, beliau pun dulu anak yatim tapi boleh berjaya, insyaallah Azalizam pun boleh berjaya. Sebelum balik Aznee bagi bisness card dia habag kata kalau tak dak duit nak beli buku latihan ka apa, tolong contact dia. Mulianya hati hang Aznee, moga Allah SWT sentiasa merahmati hang sekeluarga.

Dan yang paling saya tidak lupanya, bila saya hulurkan sedikit duit raya, secara otomatik Azlizam cakap: “Terima kasih Pak!!” Saya terkesima – dia panggil saya PAK; sampai hari ini masih terngiang-ngiang di telinga.

Terasa benar program Jln-Jln Masuk Kg kami di bulan Ramadhan kali ini nampak sungguh lain dari yang lain; Tuhan tunjukkan kat kami wajah anak-anak kecil yang girang menerima sumbangan, wajah Ibu-Ibu tunggal yang tersenyum hingga ke telinga menerima brg2 keperluan, wajah anak-anak OKU yg kurang diberi perhatian, wajah-wajah anak-anak kecil yang masih terperangkap dlm orbit kemiskinan dan juga tangisan sebak seorang anak yatim piatu yang sudah lama terpendam.

Mungkin kerana itulah kot Tuhan jadikan bulan Ramadhan – bulan yang dijanjikan beribu ganjaran kepada mereka yang melakukan perkara kebajikan – agar dengannya golongan yang dinyatakan di atas ini akan mendapat perhatian dan pembelaan. Wallah hu aklam.

Bagi kami pula, semuanya ini tinggaal menjadi sebuah Tazkirah Ramadhan yang teramat istimewa buat kami.

Terima Kasih semua.

Salam Ramadhan. 

moniermatdin@yahoo.com
14.7.13
 http://www.moniermatdin.blogspot.com
 http://www.facebook.com/wargakilang


 Kempen BN, PAS ‘berakhir’ di Zul Ikan Bakar
Posted on Wednesday, July 24 @ 08:36:51 MYT
Dilulus untuk paparan oleh Abdullah

Oleh MalaysianInsider

Kempen berakhir dengan jentera BN, PAS menikmati kemasyhuran ikan bakar Kuala Besut. Gambar The Malaysian Insider oleh Mohd Farhan Darwis

Tepat jam 12 tengah malam tanggal 23 Julai, berakhirlah kempen penyokong dan jentera parti politik yang bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut. Mereka kemudian 'bersatu' di bawah satu bumbung sambil menikmati juadah di sebuah gerai ikan bakar berhampiran Jeti Kuala Besut.

-- Kempen berakhir dengan jentera BN, PAS menikmati kemasyhuran ikan bakar Kuala Besut. Gambar The Malaysian Insider oleh Mohd Farhan Darwis --
Zul Ikan Bakar sinonim dengan masyarakat tempatan dan menjadi tumpuan pengunjung Kuala Besut lantaran keunikan ikan bakar yang dibalut daun pisang dan kerajang timah, selain dibakar menggunakan rempah rahsia.
Tinjauan The Malaysian Insider  selepas tempoh kempen berakhir mendapati penyokong dan jentera parti Barisan Nasional (BN) dan PAS berehat dengan menikmati hidangan ikan bakar di gerai berkenaan.
Berbeza situasi ketika tempoh berkempen yang agresif dan penuh mengkritik antara satu sama lain, penyokong dan jentera parti kedua-dua parti, dilihat aman apabila berdepan pelbagai juadah.
Malah, Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar juga dilihat berada di lokasi berkenaan baru-baru ini selepas berceramah di pentas Pemuda Kampung Tok Saboh.
Penyokong dan jentera BN memakai baju tertera lambang BN dan 1 Malaysia, dilihat bersama-sama penyokong dan jentera PAS yang berbaju T hijau tertera perkataan 16:16, selain berkopiah putih.
Zul Ikan Bakar beroperasi selepas selesai solat sunat Terawih sehingga jam 2 pagi.
Malah, gerai di pinggir jalan itu juga penuh pengunjung yang menikmati ikan bakar, selain hidangan Maggi Ketam yang juga sinonim dengan Kuala Besut.
Ia menjadi tumpuan bukan sahaja kerana menjadi lokasi ke Pulau Perhentian, pulau ke-12 tercantik dunia, tetapi disebabkan PRK yang pertama selepas pilihan raya umum ke-13 (PRU13)
Kuala Besut memiliki 17,683 pengundi berdaftar dan bakal membuang undi mulai jam 8 pagi ini.
BN meletakkan Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman, seorang jurutera di Jabatan Perparitan dan Saliran (JPS) manakala PAS mengharapkan kemenangan Che Long, kontraktor ternama yang terkenal gemar membantu penduduk tempatan.
Tepat jam 10 malam, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dijangka mengumumkan keputusan rasmi PRK Kuala Besut.
Kerusi itu sebelum ini milik BN apabila penyandang, Dr A Rahman Mokhtar menang majoriti 2,434 undi mengalahkan calon PAS pada PRU13.
Ekoran itu. kerusi berkenaan dianggap kritikal kerana BN kekurangan satu kerusi selepas menang 17 kerusi DUN berbanding 15 milik Pakatan Rakyat, dengan 14 dari PAS manakala satu milik PKR.
Ketika BN cuba mengelak kedudukan 16;16 kerusi, PAS giat berkempen mendapatkan satu kerusi tambahan bagi mewujudkan situasi 'DUN tergantung'. - 24 Julai, 2013.

 Terima kasih Wafa dan Sara kerana kejutkan Mufti yang sedang tidur!
Posted on Tuesday, July 23 @ 20:16:04 MYT
Dilulus untuk paparan oleh Abdullah

Oleh: tokpepijat

"
Peranakan kacukan terutama Pan Asia memang cerdik tapi jahil!

Antara kejahilan mereka :

i) Mereka tahu ada peraturan melarang orang Islam masuk Pertandingan Ratu Cantik.
ii) Aurat bagi mereka hanyalah sekadar tutup tubuh badan sahaja tanpa tutup kepala.
iii) Mereka anggap fatwa mengenai haram masuk Ratu Cantik adalah lapuk zaman sekarang.



Bagaimanapun Sara dan Wafa juga cerdik. Mereka berdua persoal mengapa wanita Islam "dihalalkan" oleh sekalian mufti Malaysia(kerana tiada fatwa haram) untuk memasuki acara gimnastik dan renang.

Lihatlah nama-nama Islam seperti Hidayah Wahid dan Nurul Fatihah Hamid begitu "bebas dan riang" tanpa gangguan seluruh Mufti Malaysia untuk melakukan "aksi erotik" di atas gelangang dengan pakaian yang lebih seksi dari Ratu Cantik.

Mengapa berlaku "fatwa double standard" ? . Itulah maksud mereka berdua.

Sebenarnya hikmatnya isu ini di bulan Ramadhan memberi pencerahan tentang fungsi Fatwa dan fungsi Mufti.

Janganlah anggap apabila " dua budak mentah" yang jahil ini persoal tentang perkara ini, terus kita melenting dan tuding jari.

Bagi kita "budak mentah" ini tidak bersalah untuk persoalkan fatwa ini.Bukankah mereka berdua jahil?

Sekarang tugas Mufti Seluruh Malaysia untuk menjawab tentang "fatwa double standard" ini.

Jika kita anggap "budak mentah" ini kurang ajar kerana berani mengatakan fatwa ini lapuk, apakah Mufti  juga boleh kita anggap sebagai "dayus" kerana tidak berani membuat fatwa tentang pembabitan anak gadis kita dalam acara sukan seperti gimnastik dan renang?

Sudah puluhan tahun acara ini berada di persada sukan samada MSSM,SUKMA dan Olimpik . Tiada fatwa diwartakan.

Antara dayus dan kurang ajar, dayus lebih teruk di sisi Allah Taala.

Terima kasih Wafa dan Sara kerana kejutkan Mufti yang sedang tidur!"


 Awasi Anak-Anak, Jangan Tertinggal Dalam Kenderaan
Posted on Tuesday, July 23 @ 21:59:42 MYT
Dilulus untuk paparan oleh Abdullah

Oleh Riduan Mohd Noor

Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) merasa simpati ke atas tragedi yang menimpa kepada adik Nawal Iris Samsudin, 3 tahun yang meninggal dunia akibat lemas dalam kereta setelah ditinggalkan ibunya secara tidak sengaja di sebuah sekolah di Subang Jaya beberapa hari yang lalu. Kanak-kanak ini ditinggalkan selama lima jam dalam kereta sebelum disedari oleh ibunya dan disahkan meninggal dunia kemudiannya.

DPPM menganggap kejadian ini sebagai suatu tragedi yang menyedihkan. Apa yang berlaku adalah suratan yang menimpa ke atas kanak-kanak malang itu dan keluarganya. Tidak ada ibu yang tidak sayangkan anaknya dan inginkan kejadian seperti ini menimpa anaknya namun itulah yang berlaku ke atas keluarga itu.

Kejadian ini menjadi suatu pengajaran berharga kepada semua ibu bapa agar sentiasa mengawasi keselamatan anak-anak. Anak-anak adalah permata yang paling berharga, dan ibu bapalah yang di amanahkan menjaga mereka. Setiap pergerakan anak-anak perlu dipantau, diawasi dan diketahui supaya mereka tahu perkembangan anak-anak.
DPPM merasakan insiden seperti ini boleh dielakkan sekiranya ibu bapa mengetahui pergerakan anak-anak disamping sentiasa memerhatikan keadaan kenderaan mereka sebelum meninggalkannya di kawasan parkir. Seharusnya sebelum meninggalkan kenderaan, setiap orang melihat di dalam kenderaannya supaya tidak ada barang berharga atau orang yang tercicir di dalamnya. Ia boleh mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini termasuk tertinggal anak atau insan yang disayangi di dalam kenderaan selain mengelakkan kejadian pecah kereta atau jenayah kecurian berlaku. Selain itu, ibu bapa tidak boleh meninggalkan anak-anak di dalam kenderaan dalam keadaan enjin dihidupkan atau dimatikan. Ia boleh mengakibatkan kenderaan mereka di bawa lari perompak atau anak-anak terkunci di dalam kenderaan.
Kecuaian dan sikap culas ibu bapa dalam menguruskan keluarga terutama anak-anak boleh menyebabkan malapetaka terhadap keluarganya. Amalkan sikap berhati-hati dan teliti dalm setiap perkara kerana ia boleh menyelamatkan nyawa dan menjaga keharmonian keluarga.
RIDUAN MOHD NOR
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Malaysia



Tiada ulasan:

Catat Ulasan