Jumaat, 19 Julai 2013

BILA AGAMA ALLAH DISEKAT...BILA AGAMA ALLAH DICEMBURUI....ADAKAH KITA TAK KEMABALI PADA ALLAH SWT

Tok Guru Nik Aziz dilarang solat di Masjid TUDM

Aslani M, 19 Jul 2013
BESUT: Hasrat Tuan Guru Datuk Nik  Abdul Aziz Nik Mat menunaikan solat Maghrib di Masjid Kem Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Gong Kedak malam tadi tidak kesampaian.

Kehadiran mantan Menteri Besar Kelantan ke masjid berkenaan di atas undangan pihak tertentu.

Dan persetujuan juga telah dicapai pihak pengurusan masjid bagi membenarkan bekas Menteri Besar Kelantan bertandang ke masjid berkenaan.

Kebajikan Rangkaian Bekas Tentera (Kerabat) Cawangan Kelantan, Mejar (B) Yusoff Ali berkata, memang pada awalnya telah dipersetujui bagi membolehkan Tuan Guru Nik Abdul Aziz menunaikan solat di masjid berkenaan.

Bagaimanapun katanya, pada saat-saat akhir kebenaran ditarik balik kemungkinan atas arahan pihak atasan.

Kata beliau tidak sepatutnya dilarang mana-mana pihak datang ke masjid berkenaan, memandangkan sebelum ini pemimpin utama Umno juga bebas datang ke situ.

“Kita faham kerana pegawai di kem berkenaan semuanya kawan-kawan saya yang pernah khidmat bersama di TUDM sebelum ini, namun kerana tekanan atasan mereka tidak dapat berbuat apa-apa,” katanya ketika ditemui di lokasi ceramah di Kampung Beris Pak Abu malam tadi.

Hadir sama pada ceramah itu Mursyidul Am, Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Setiausaha Majlis Syura Ulamak, Datuk Nik Zawawi Nik Salleh,  Ketua Dewan Ulamak PAS Terengganu, Datuk Hussin Awang dan Presiden Kerabat, Kol (B) Nazari Mokhtar.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz juga memberitahu beliau tidak dibenarkan solat di masjid tersebut biar pun pada ada persetujuan diberi.

Menurut penduduk sejak hari penamaan calon pada Jumaat lepas masjid di kem TUDM Gong Kedak diadakan majlis berbuka puasa setiap hari sehingga sekarang.

Mereka juga melahirkan rasa hairan sedangkan sebelum ini tidak pernah diadakan majlis berbuka secara besar-besaran setiap hari di kem berkenaan, yang turut terbuka kepada penduduk tempatan.

Terdapat banyak khemah yang lengkap dengan meja dan kerusi disediakan di bahagian belakang masjid TUDM.

Che Long banyak berkorban untuk keluarga

Salmah Mat Husain Foto Rizal Tahir, 19 Jul 2013

Che Long bersama ibu dan keluarganya.

BESUT: “Che Long tidak berpelajaran tinggi kerana telah berkorban untuk mencari rezeki membiayai keluarga dan adik-adik,” ujar ibu calon PAS PRK Dun Kuala Besut, Minah Abdul Rauf, 64.

Ketika ditemui di rumahnya di Kampung Baru dekat sini beliau memberitahu, sebagai anak sulong Che Long telah banyak berkorban untuk keluarga dan adik-adik untuk mencari rezeki.

“Kami dari keluarga yang susah, Che Long telah bekerja ketika usia belasan tahun lagi. Sebelum berjaya sekarang, Che Long telah bekerja dari bawah sebagai kuli sahaja.

“Bila ayahnya meninggal dunia ketika dia berusia 22 tahun, dia mengambil sepenuhnya tanggungjawab keluarga, untuk menyara mak dan adik-adik dengan buat pelbagai pekerjaan,” ujarnya.

Sebagai seorang ibu, tidak dinafikan beliau berasa sedih kerana bebanan yang terpaksa ditanggung oleh Che Long untuk menyara adiknya enam orang lagi ketika itu semuanya masih bersekolah.

Menyentuh tentang kebaikan dan sifat pemurah Che Long, beliau mengakui bukan hanya sekarang sifatnya sedemikian, tetapi sejak kecil lagi.

“Dia banyak bertolak ansur dengan adik, bila dia remaja dia mencari rezeki sendiri, dia bahagikan pada kami, pendekata dia memang anak yang bertanggungjawab pada anggota keluarga,” ujarnya.

Sambungnya lagi, sifat tersebut telah diteruskan sehingga kini termasuk ketika menjadi calon untuk PRK N.1 Kuala Besut.

Ibunya juga telah mendedahkan, sifat dermawannya bukan sekarang, sebaliknya terserlah sejak awal lagi.

Katanya, ketika beliau dilantik menjadi bilal masjid, Azlan tidak mengambil elaun yang diberikan kepadanya dengan alasan untuk membantu mereka yang susah.

Menurut Minah lagi, Azlan berkata cukuplah dengan rezeki yang telah diberikan Allah, yang lain bagi kepada mereka yang memerlukan.

Katanya, sifat pemurah Azlan telah diwarisi dari allahyarham ayahnya yang gemar membantu mereka yang susah.

Menyentuh tentang pencalonan anak sulungnya itu, Minah memberitahu Azlan hanya menerima hasrat pimpinan sahaja walaupun pernah diminta untuk berbuat demikian sebelum ini.

“Moga dia laksanakan amanah yang diberikan padanya dengan baik sebagaimana yang dijanjikan,” katanya.

Pemuda PAS kesal jenayah bertopengkan agama

Harakahdaily, 19 Jul 2013
KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) memandang serius kes seorang pemuda bukan Islam yang yang diculik, dikasari dan diconteng dengan kata-kata ‘saya hina Islam’ baru-baru ini.

Beliau tampil dengan menafikan telah menghina Islam, sebaliknya beliau menjadi mangsa oleh yang telah menangkap dan menconteng kata-kata tersebut di badannya untuk mengelirukan individu yang mahu membantunya.

“DPPM menganggap kejadian ini sebagai suatu jenayah yang tidak boleh diterima dalam masyarakat,” ujar Setiausaha DPPM, Khairul Faizi Ahmad Kamil.

Katanya, apa yang lebih dikesali adalah penjenayah menjadikan isu agama sebagai bahan untuk menghalalkan tindakan mereka dengan menjadikan bukan Islam sebagai sasaran mereka.

Beliau berkata, sekumpulan pemuda yang memukul dan mencederakan Ng Mun Tatt sebenarnya telah menjatuhkan maruah agama Islam serta menghina agama yang suci ini.

Menurutnya lagi, sama ada mereka beragama Islam atau tidak, mereka telah menjadikan masyarakat memandang serong dan menaikkan kemarahan masyarakat terhadap agama Islam.

“Mereka ini sebenarnya wajar ditangkap dan diadili dengan hukuman setimpal kerana merosakkan kemuliaan agama Islam serta perpaduan masyarakat di negara ini,” ujarnya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Justeru, katanya DPPM menegaskan, Islam amat mementingkan keharmonian, keamanan dan keselamatan semua warganya.

Beliau berkata, setiap warga negara sama ada beragama Islam mahupun tidak perlu dibela selama mana mereka menghormati nilai keamanan dalam negara ini.

Tambahnya, tidak ada individu yang boleh dikasari, dipukul atau dicederakan hanya semata-mata individu tersebut hanya suspek menghina Islam.

“Islam menghormati amalan agama lain sebagaimana itu juga yang dituntut oleh penganut agama lain terhadap Islam,” ujarnya lagi.

Katanya, kes yang berlaku ke atas Ng Mun Tatt sebenarnya tidak ada kaitan dengan pasangan yang menghina Islam iaitu Alvin Tan dan Vivian Lee.

“Pasangan ini dengan jelas menyatakan kebencian dan penghinaan terhadap agama Islam serta kemuliaan bulan Ramadhan melalui laman sosial dan mereka wajar dihadapkan ke mahkamah atas tindakan mereka,” katanya.

Justeru, tambah beliau DPPM mengharapkan mangsa agar bersabar dan menganggap kejadian itu sebagai suatu jenayah kejam oleh mereka yang tidak berperikemanusiaan.

DPPM juga, ujarnya mengingatkan agar tidak ada pihak yang mengambil kesempatan di atas isu yang berlaku sehingga mengheret isu agama dalam perbuatan jenayah mereka.

Politik balas budi, balas dendam dan paksaan

Haji Abdullah, 19 Jul 2013
Fakta yang tidak boleh dinafikan ialah sokongan Umno pada PRU13 yang lalu rata-rata datangnya dari kawasan pedalaman, seperti kampung tradisional Melayu, Felda dan estet. Ironisnya, kawasan-kawasan inilah yang terkebelakang dari banyak sudut.

Salah satunya ialah kawasan Dun Kuala Besut. Rata-rata pembangunannya masih terbelakang jika dibandingkan dengan Dun bersebelahan. Syoknya apabila ada pilihan raya baru, maka berbondong-bondong lah pemimpin dari setiap peringkat turun padang, seolah-olah baru perasan kawasan ini perlukan pembelaan. Lantaran kesedaran bermusim ini, maka bertaburlah janji-janji dan habuan pelbagai rupa; wang ringgit, anak ayam, anak kambing dan seumpamanya diagih-agihkan kepada rakyat dengan lolongan “rakyat didahulukan”. Sebagai galang gantinya, rakyat harus berterima kasih dan membalas budi dengan memilih calon parti yang memerintah.

Istilah politik balas budi ini sebenar telah disalahkan ertikan oleh elitis pemerintah masakini daripda pemikiran asal. Sebetulnya politik balas budi ini seperti yang telah dipelopori oleh Pieter Brooshooft (wartawan) dan C van Deventer (politikus) ialah pemerintah (merujuk kepada zaman kolonial) memegang tanggung jawab moral bagi kesejahteraan pribumi yang terbelakang. Sewajarnya di era moden ini, politik balas budi ini diimbuhkan kepada pemerintah yang dipilih rakyat untuk memberi kesejahteraan kepada rakyat, bukan sebaliknya.

Kemelut mengekalkan kuasa BN ini juga sering menjadikan kumpulan guru dan tentera sebagai perkakas buruk mereka. Sistem demokrasi seolah-olah tidak menjamin hak kebebasan memilih bagi dua besar golongan ini.

Guru-guru sering ditekan dan diugut secara keterlaluan. Mengugut dan menukarkan guru adalah tindakan diluar semangat demokrasi, terkebelakang dan tidak membantu pembangunan pendidikan anak bangsa. Percayalah tindakan membalas dendam dan menzalimi guru-guru ini tidak akan memberi keuntungan kepada BN untuk jangka panjang, sebaliknya merugikan.

Para tentera yang mengundi awal tiada jaminan keselamatan dan kebebasan untuk memilih. Masih terdapat unsur paksaan, ancaman, intimidasi menyebabkan kebebasan memilih tersebut dinafikan. Tuntasnya, setiap tentera perlu diberi kebebasan yang mutlak untuk menentukan sendiri pemimpin pilihan mereka.

Merealitikan slogan 16:16


Perkara 119 Perlembagaan Malaysia memperuntukan syarat-syarat menjadi pengundi sekali gus jaminan kepada warganegara Malaysia untuk menunaikan hak memilih mereka.  Perlembagaan tidak pula menyebut parti atau pihak mana yang perlu dipilih. Justeru, siapa dan parti mana yang dipilih adalah tidak bercanggah dengan perlembagaan. John F Kenedy, mantan presiden Amerika Syarikat pernah berkata, kuasa seorang ahli politik barangkali besar, dan oleh sebab itu kuasa ini punya keperluan untuk disemak.

Inilah masa untuk menyemak dan sekali gus berubah khususnya rakyat yang terhimpit dengan pelbagai masalah sosial dan ekonomi. Nah! yang tak kenang budi bukannya rakyat tetapi kebanyakan pemimpin-pemimpin Umno dan Barisan Nasional. Inilah hakikat yang perlu disedari oleh rakyat terutama orang-orang Melayu. Pemimpin yang sibuk menjadikan politik sebagai urusan perniagaan bagi mendapatkan kuasa (suatu langkah untuk mengukuhkan ekonomi peribadi) dan bukan memperjuangan nasib rakyat terutama orang melayu secara keseluruhan wajib disedarkan.

Oleh itu, rakyat tidak wajar untuk terus membiarkan diri mereka dihenyak dan diperbodohkan oleh propaganda sempit “balas budi” oleh pemimpin atau parti yang memerintah yang ketandusan idea ini. Untuk guru-guru dan tentera, buatlah pilihan yang tepat. Ingatlah, mengundi dengan niat untuk memilih pemimpin yang baik untuk negara akan dinilai sebagai ibadah apatah lagi di bulan Ramadhan yang mulia ini. Kerakusan pihak atasan dan salah gunakuasa serta tekanan-tekanan yang dikenakan tidak harus mematahkan semangat kalian.

Kami rakyat Malaysia di luar Negara akan terus berdoa agar penduduk DUN Kuala Besut diberikan kekuatan untuk membuat perubahan di bulan yang mulia ini. Ingatlah perjuangan ini bukan sahaja disaksikan oleh penduduk DUN Kuala Besut, malah turut diperhatikan oleh pemerhati-pemerhati antarabangsa dari jauh. Salam hormat dan salam perjuangan dari kami di Australia.

Haji Abdullah
Presiden
PAS Representative Council of Western Australia

Tiada ulasan:

Catat Ulasan