Jumaat, 19 Julai 2013

BILA AGAMA ALLAH TAK DIJAGA....BILA KITA IKUT TELUNJUK SYAITAN....ADAKAH KITA TAK KEMBALI PADA ALLAH SWT

Setiap hari, setiap tahun – ayam, ayam, ayam!

SM Mohamed Idris Presiden CAP, 19 Jul 2013
Kenaikan harga ayam di pasaran benar-benar meragut ketenangan rakyat Malaysia. Dalam masa dua minggu sejak bermulanya bulan Ramadhan, isu harga ayam mencanak naik menjadi bualan hangat di kalangan pengguna, peniaga dan pembuat dasar.

Sebelum ini, harga ayam adalah sekitar RM7 sekilogram. Kini, di Pasar Awam Jelutong misalnya, harga ayam melonjak antara RM8 sehingga RM9 sekilogram. Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menerima lebih daripada 50 aduan daripada pengguna berhubung isu ini.

Menurut laporan media, hubungkait antara pengeluar, orang tengah (pengedar) dan peruncit merupakan antara penentu kenaikan harga ayam. Bagi penternak dan peniaga sendiri, mereka menegaskan mereka tiada pilihan dan harus akur kepada harga pasaran yang sensitif kepada harga makanan ayam, kos pengangkutan dan kos sewa pekerja.

Kurangnya bilangan ayam dalam pasaran mendorong sesetengah peniaga menaikkan harga dengan sesuka hati, dan akhirnya memberi kesan dan bebanan kepada pengguna-pengguna Malaysia yang menjadikan ayam sebagai sumber protein utama.

Sehingga hari ini, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) hanya memberi usul untuk mengimport ayam, mencadangakan pengguna untuk boikot pembelian ayam, dan mereka akan mengumumkan harga siling ayam pada 1 Ogos 2013(harga kawalan untuk ayam hanya semasa musim perayaan).

KPDNKK tidak menyatakan dengan jelas punca-punca kenaikan harga ayam  yang menyebabkan panik di kalangan pengguna. Isu kenaikan harga ayam bukanlah isu yang terbit tahun ini sahaja, ia boleh dikatakan sebagai upacara tahunan, berulang-ulang, sinonim benar dengan musim perayaan. Kami menggesa pihak KPDNKK mencari satu penyelesaian yang konsisten dan memberi kesan keuntungan kepada pengguna dan pengeluar.

Harga Siling Ayam diumumkan pada 1 Ogos 2013


Seperti tahun-tahun sebelum ini, KPDNKK telah pun memperkenalkan Penguatkuasaan Skim Kawalan Harga Musim Perayaan di bawah Akta  Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (dahulu akta Kawalan Harga 1946). Di bawah skim ini, beberapa barang keperluan (termasuk ayam) dikenalpasti sebagai barang harga terkawal musim perayaan untuk ditetapkan harga maksimum di peringkat pengeluar, pemborong dan peruncit dalam suatu tempoh tertentu.

Skim ini dilaksanakan di seluruh Malaysia dan harga yang ditetapkan adalah berbeza mengikut kawasan dan daerah. Untuk tahun ini, KPDNKK akan mengumumkan tentang harga siling ayam dan barangan lain pada 1 Ogos 2013.

Persoalannya, dengan pengalaman dan isu-isu kenaikan harga barang pada tahun-tahun yang sudah-sudah, tidakkah pihak KPDNKK tidak merasakan bahawa untuk mengurangkan bebanan pengguna ialah dengan menguatkuatkuasakan skim ini sedari awal bermulanya bulan Ramadhan? Adakah setiap tahun, perdebatan tentang punca kenaikan harga barang dan langkah yang perlu diambil untuk mengatasi masalah ini hanya akan dibincangkan saat pengguna terbeban dan mula mengadu?

Akta yang melindungi pengguna daripada kenaikan mendadak harga barang

Akta  Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 melarang peniaga membuat keuntungan yang tinggi dan tidak munasabah dalam menjual dan membekalkan barangan, jika kesalahan disabitkan, peniaga akan dikenakan tindakan. Selain itu, Menteri yang bertanggungjawab perlu menetapkan mekanisme untuk menangani dan isu pencatutan ini.

CAP ingin mendapatkan kepastian daripada KPDNKK sama ada mekanisme untuk menyelesaikan isu ini telah disediakan atau tidak? Jika sudah, tidak perlu untuk KPDNKK untuk menanti sehingga 1 Ogos 2011 untuk membuat penguatkuasaan. Jika belum, pihak yang berkenaan patut memberi justifikasi mengapa masih belum ditetapkan mekanisme? Adakah isu kenaikan harga barang ini merupakan isu yang remeh?

Kami juga sedar tentang peranan Pengawal Harga seperti termaktub di dalam Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011. “Pengawal boleh, dengan kelulusan Menteri, melalui perintah yang disiarkan dalam Warta, menentukan harga maksimum, minimum atau tetap bagi pembuatan, pengeluaran, pemborongan atau peruncitan”.

CAP yakin mekanisme yang telah dirangka oleh pihak KPDNKK pasti berjalan lancar dengan bantuan daripada Pengawal Harga.  Peranan Pengawal Harga ini pasti lebih berkesan jika mereka ditempatkan di setiap daerah dan setiap cawangan KPDNKK diberi autonomi dan kuasa untuk menjalankan operasi dan penguatkuasaan di peringakat lokal.

Selain itu, KPDNKK perlu menggiatkan kerjasama dengan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) terutamanya dalam menangani isu-isu kekurangan bekalan barangan dan kenaikan harga barangan menjelang musim perayaaan. MOA telah memberi alternatif dengan menggesa pengguna untuk membeli barangan di Pasar Tani (Fama).

Harga yang ditawarkan juga berpatutan. Tahniah kami ucapkan kerana memperkenalkan ‘Program Jimat Belanja Dapur’. Kami percaya, jika kedua-dua kementerian ini sedari awal bekerjasama dan memberi maklumat kepada pengguna, pengguna tidak akan panik dengan isu kekurangan dan kenaikan harga ayam.

Apa selain ayam?

Mengapa ayam menjadi pilihan utama rakyat Malaysia? Pada masa dahulu, sebelum tahun 1970-an, daging ayam agak mahal sehinggakan dalam sesebuah keluarga, hanya makan ayam satu minggu atau sebulan sekali dan ada juga yang kurang mampu hanya makan ayam pada musim perayaan.

Kini, ayam merupakan sumber protein yang murah jika dibandingkan dengan ikan, daging lembu, kambing dan sebagainya. Ayam juga sangat inklusif, kerana boleh dinikmati oleh semua kaum di Malaysia.

Seperti yang kami nyatakan di awal rencana ini, reaksi masyarakat menunjukkan kegusaran dan ketidakmampuan mereka dalam menghadapi kenaikan harga ayam secara mendadak. Pengguna perlu diberi lebih banyak alternatif untuk memilih makanan.

Pada masa ini, keputusan yang dibuat oleh pengguna adalah berdasarkan, apa yang ditawarkan oleh pasaran, bajet mereka, harga produk pengganti dan alternatif yang ada.

Masyarakat perlu digalakkan untuk menjalankan penternakan dalam skala yang kecil, dan kerajaan perlu memberi bantuan daripada segi modal permulaan, milikan tanah, pendidikan dan latihan. Selain itu, kerajaan perlu memikirkan semula tentang memperkasakan sektor perikanan kerana harga ikan dan sumber laut yang mahal turut memberi kesan kepada pilihan pengguna dalam memilih sumber protein selain ayam.

Isu kenaikan harga ayam dan kekurangan bekalan ayam hanyalah satu cebisan daripada isu yang lebih besar – pengurusan sumber makanan di Malaysia.

Surah Yusuf: Harga sebuah kesabaran

Ustaz Mohd Azmir bin Maideen, 19 Jul 2013
Pengarang kitab tafsir kontemporari berjudul “Fi Zilalil Quran”, Sayyid Qutb menyatakan bahawa antara surah yang Allah turunkan kepada Rasulullah SAW pada masa-masa sukar dalam sejarah dakwah dan kehidupannya, adalah surah Yusuf. Surah ini diturunkan antara ‘amul huzni (tahun duka cita kerana kematian Abu Talib dan isterinya Khadijah binti Khuwailid) dan antara baiah ‘Aqabah pertama yang dilanjutkan sehingga ke baiah ‘Aqabah kedua.

Pada saat itu, baginda Rasulullah selain mengalami kesedihan kerana ditinggalkan dua orang yang menjadi sandarannya, baginda turut mengalami kepedihan akibat pemulauan masyarakat jahiliyyah yang terdiri daripada kaumnya sendiri, bangsa Quraisy. Maka Allah menceritakan kepada Nabi-Nya yang mulia, kisah Yusuf bin Ya’qub bin Ishaq bin Ibrahim, yang juga mengalami berbagai-bagai ujian dan cubaan yang getir.

Saudara-saudara Nabi Yusuf sendiri sanggup menghumbankannya ke dalam sumur agar menjadi umpan haiwan-haiwan liar dan buas, dengan harapan hilanglah Yusuf daripada perlindungan dan perhatian orang tuanya iaitu Ya’qub AS. Nabi Yusuf hidup dalam gelandangan, dan terus diuji dengan tipu daya isteri penguasa Mesir. Baginda selanjutnya dihumban ke dalam penjara setelah sebelumnya hidup dalam kemewahan istana sang penguasa.

Kepahitan tersebut ditempuhi dengan tabah dan sabar, di mana selepas itu Nabi Yusuf diuji pula dengan kemakmuran dan kekuasaan yang mutlak di tangannya. Nabi Yusuf ditugaskan mengatur urusan sosial dan perekonomian masyarakat. Akhirnya Nabi Yusuf kembali menghadapi saudara-saudaranya yang dahulu telah cuba memerangkap untuk membunuhnya, dalam pada masa yang sama mereka jugalah yang menjadi sebab ujian-ujian dan penderitaan dalam kehidupan Nabi Yusuf sehingga mencapai puncak kekuasaan.

Sekalipun saudara-saudaranya membenci dan mencemburuinya, apa yang mustahak di sini adalah bagaimana semua ujian itu dihadapi Yusuf dengan penuh sabar sambil terus melanjutkan peranannya menyampaikan dakwah tauhid dan menyelamatkan masyarakat dari kesengsaraan. Surah ini (surah Yusuf), kata Sayyid Qutb, bertujuan menghiburkan serta memantapkan hati orang yang diuji dengan pengusiran dan pemulauan. Bagaimana Nabi Yusuf menyelesaikan semua masalah yang menimpanya dengan satu kalimah, iaitu ‘sabar’.

Di dalam surah Yusuf, mengandungi isyarat tentang berlakunya sunnatullah ketika para Rasul  merasa putus asa menghadapi kaumnya, bahawa akan ada jalan keluar yang membawa kepada kegembiraan yang didambakan setelah sekian lama mengalami ujian dan cubaan. Penceritaan kisah Nabi Yusuf bukan hanya sekadar bertumpu kepada ketampanannya sahaja, malah seharusnya kita merasai momentum perjuangan Nabi Yusuf AS menghadapi tekanan dan cabaran.

Surah Yusuf adalah kisah yang paling lengkap dari segi liputannya. Lantaran itu, di dalam surah Yusuf disebut oleh Allah antara ‘ahsanul qasasi’ (kisah yang terbaik), kerana di dalamnya banyak mengandungi ‘ibrah (pelajaran) bagi orang-orang yang beriman dan memanfaatkan akal dengan membawa pesan induknya iaitu; maslahah kehidupan duniawi-ukhrawi, sabar menanggung derita dan sifat pemaaf ketika berkuasa.

“Kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad) seindah-indah kisah dengan jalan Kami wahyukan kepadamu Al-Quran ini, padahal sebenarnya engkau sebelum datangnya wahyu itu, adalah dari orang-orang yang tidak pernah menyedari akan halnya.” (surah Yusuf : ayat 3)

“Sesungguhnya pada kisah-kisah mereka itu terdapat pengajaran bagi orang-orang yang mempunyai akal. Al-Quran itu bukanlah cerita yang dibuat-buat, akan tetapi membenarkan (kitab-kitab) yang sebelumnya dan menjelaskan segala sesuatu, dan sebagai petunjuk dan rahmat bagi kaum yang beriman.” (Surah Yusuf : ayat 111)


Secara khusus surah ini menjadi bekalan yang sangat berharga kepada pelanjut perjuangan harakah Islamiyah, untuk menyiapkan kesabaran di atas kesabaran dalam mengharungi medan perjuangan di jalan dakwah. Barangkali, masalah-masalah yang menimpa kepada harakah Islamiyah adalah petanda masih ada resepi-resepi kejayaan yang belum selesai kita capai, atau masih belum sampai tahap kepiawaiannya.

Kerana kesabaran Yusuf AS, Allah menyiapkannya ujian untuk mencapai hikmah dan ilmu. Sayyid Qutb berkata, “Inilah Yusuf! Saudara-saudaranya menghendaki sesuatu terhadapnya, tetapi Allah menghendaki sesuatu yang lain untuknya. Kerana Allah itu berkuasa atas segala urusan-Nya. Sedangkan saudara-saudara Yusuf tidak berkuasa atas urusan mereka sehingga Yusuf dapat lepas daripada tangan mereka dan bebas dari apa yang mereka kehendaki terhadapnya.”

Jadi, makar (muslihat busuk) kaum pendengki kadangkala menjadi transisi menuju kemenangan dan kemuliaan daripada Allah. Makar yang mereka rencanakan dijadikan jalan oleh Allah untuk membina kehebatan insan yang dikasihi-Nya.

“Dan merekapun merencanakan makar dengan sungguh-sungguh dan kami merencanakan makar (pula), sedang mereka tidak menyedari.” (Surah an-Naml : ayat 50)


Ketika saudara-saudara Yusuf datang memohon pertolongan. Disinilah Nabi Yusuf diuji, apakah ia tetap sabar atau melempiaskan kemarahannya ke atas perilaku zalim saudara-saudaranya itu? Ternyata Yusuf memilih kesabaran dan memaafkan saudara-saudaranya itu.

“Dia (Yusuf) berkata; Pada hari ini tiada cercaan terhadap kamu, mudah-mudahan Allah mengampuni (kamu), dan Dia-lah Maha Penyayang di antara para penyayang.” (Surah Yusuf : 92)


Begitulah luasnya samudera kemurnian hati Rasulullah SAW ketika baginda berkata di saat Fathu al- Makkah kepada musuh-musuhnya, “Hari ini aku katakan sebagaimana saudaraku Yusuf AS bahawa tiada cercaan terhadap kamu, pergilah kalian kerana kalian adalah orang-orang yang bebas.” - rujuk sirah Ibnu Hisham

“Tidaklah sama kebaikan dengan kejahatan. Tolaklah (kejahatan itu) dengan cara yang lebih baik, maka tiba-tiba orang yang antaramu dan antara dia ada permusuhan seolah-olah telah menjadi teman yang sangat setia.”

“(Sifat-sifat yang baik itu) tidak dianugerahkan melainkan kepada orang-orang yang sabar, dan juga tidak dianugerahkan melainkan kepada orang yang mempunyai kelebihan yang besar.” (surah Fussilat : ayat 34-35)

Kos hari belia 2012 RM55 juta

Mohd Sabri Said, 19 Jul 2013
PULAU PINANG: Kenapa Kementerian Belia dan Sukan sanggup membelanjakan RM55 juta untuk penganjuran Hari Belia 2012 walhal banyak lagi keperluan yang perlu diberikan keutamaan untuk membaiki kehidupan rakyat, soal Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong.

Menurut Steven, dari jumlah tersebut kontraktor terlibat telah menuntut RM10.6 juta untuk kos perkhidmatan, bekalan dan RM2.04 juta lagi untuk bayaran memjemput artis K-Pop dari Korea.

Sedangkan dalam masa yang sama Menteri Belia dan Sukan sebelum ini, Datuk Seri Ahmad Shabery Chik telah mengatakan tajaan pihak swasta melebihi tajaan asal untuk tahun 2012 iaitu RM28 juta.

"Menteri Belia dan Sukan yang baru, Khairy Jamaludin kena perjelaskan keadaan sebenar kenapa ianya begitu tinggi walhal untuk tajaan awalan hanyalah RM15 juta.  Macamana boleh terjadi begitu sehingga boleh mencapai RM12 juta lagi peningkatan," ujarnya dalam kenyataan yang diemailkan ke Harakahdaily.

Persembahan penyanyi Korea PSY sempena Hari Belia di Pulau Pinang (gambar) sebelum ini telah menjadi kecoh apabila orang ramai menolak permintaan Perdana Menteri untuk menyokong BN. Apabila Datuk Seri Najib bertanya, "Are you ready for BN," mreka beramai-ramai menjawab "No".

Jika benar peruntukan sebanyak itu dilaksanakan selama lima hari, bermakna Kerajaan Barisan Nasional (BN) telah membelanjakan purata RM11 juta sehari, kata Steven Sim.

Khairy Jamaludin yang muncul dengan gaya dan persembahan baru untuk para belia di gesa menjawab dengan jujur bagi menunjukan komitmen beliau terhadap ketelusan untuk menjadi teladan kepada anak muda.

Kemungkinan tegasnya, wang sebanyak itu disalah gunakan untuk Pilihanraya Umum Ke 13 selari dengan ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sewaktu pelancaran Hari Belia 2012 mengiyakan BN mengambil kesempatan menabur propaganda bagi meraih undi anak muda.

"Alangkah baiknya peruntukan itu digunakan untuk membina padang dan kelengkapan sekolah di kawasan saya.  Antaranya ialah SRJKT Kampung Baru, SRJKT Ladang Alma, SRJKC Koew Kuang termasuk Sekolah Kebangsaan Machang Bubuk yang berusia 100 tahun masih kekurangan terutamanya padang sekolah," ujarnya yang juga Setiausaha Publisiti DAPSY Pulau Pinang.

Baru- baru ini tambah Steven Sim, beliau didatangi seramai 43 orang cacat penglihatan dari Sekolah Rendah Kebangsaan Bukit Minyak yang tidak lagi dapat menikmati pemberian Brailler seperti dahulu. Ianya menyulitkan mereka untuk belajar selepas waktu persekolahan.

Harga Brailler setiap satu ialah RM2,250 dan jika dikira dengan perbelanjaan Hari Belia 2012 maka 5000 buah Brailler dapat dibeli untuk menafaat pelajar muda yang cacat penglihatan.

"Bukan itu sahaja malahan perbelanjaan Hari Belia 2012 boleh menampung  wang RM50 ribu kemasukan 1000 pelajar ke kolej swasta dalam jurusan undang-undang," kata beliau lagi.

Dalam jalan dakwah ini, seorang aktivis mesti memiliki persiapan spritual dan mental untuk menghadapi makar para pendengki atau musuh dakwah. Kerana makar itu adakalanya merosakkan reputasi kehormatan dan menjadikan kita terhina. Namun yakinlah, selama kita ikhlas dalam melangkah, Allah sentiasa membimbing dan menolong kita. Yakinlah ujian dan cubaan, hanyalah untuk sementara waktu sahaja sifatnya.

Keyakinan ini mendokong peribadi Nabi Yusuf AS untuk meninggalkan legasi moral kemanusiaan yang cukup memberikan inspirasi kepada umat Muhammad SAW bahawa pada saat paling genting, masih ada rahmat Allah, ketika pada saat susah, masih ada sifat pemurah, ketika meratanya kesengsaraan, masih ada kemanusiaan. Kesusahan bukan alasan untuk meninggalkan kepedulian. Semoga kita mendapat iktibar daripada ‘ahsanul qasasi’ surah Yusuf ini untuk terus bergerak menyongsong kegemilangan masa hadapan.

Kesimpulan daripada artikel ini maka dapatlah kita mengambil beberapa pelajaran;

1.Sabar menghadapi makar perancangan musuh dengan memohon pertolongan Allah Taala. Sesungguhnya kesabaran itu akan mengiringi kita kepada kebangkitan. “Pahlawan bukanlah orang yang berani menetakkan pedangnya ke bahu lawan, tetapi pahlawan sebenarnya ialah orang yang sanggup menguasai dirinya dikala ia marah.”
2.Makar para pendengki kadang-kadang menjadi kesempatan bagi para pendakwah untuk menjana kekuatan. Ia menjadi wahana tarbiyah rabbaniyyah dalam rangka mematangkan persiapan mengharungi medan yang lebih luas.
3.Islam tidak mengajarkan umatnya berputus asa, sebaliknya mestilah terus berusaha mencari jalan untuk keluar daripada kesempitan.
4.Apapun bidang keahlian dan kerjaya kita, tidak pernah walau sesaatpun Yusuf AS melupakan misi asasinya iaitu dakwah dan tarbiyah membina ummah.

http://www.tarbawi.my

Apa ditunggu lagi wahai SPR, samanlah...

Harakahdaily, 19 Jul 2013
KUALA LUMPUR: Rafizi Ramli sudah memberi peluang kepada SPR yang sebelum ini menafikan segala dakwaan mengenai pembekal dakwat kekal dan menuduh beliau berselindung di sebalik kekebalan sebagai ahli parlimen.

Bagi penulis politik, Shahbudin Husin, SPR melalui pengerusi, timbalannya atau setiausaha, Abdul Aziz Yusof, Wan Ahmad Omar atau Kamaruddin Baria tidak seharusnya berlengah lagi untuk mengambil tindakan undang-undang jika segala dakwaan Ahli Parlimen Pandanitu tidak benar.

Tambahnya, tiada ruang lagi untuk mereka sekadar menafi tanpa bukti atau berdiam diri selepas ini.

Sekarang, ujar beliau adalah waktunya untuk mereka mengembalikan keyakinan dan kewibawaan SPR sebagai badan bebas yang betul-betul mempunyai integeriti di mata rakyat.

“SPR tiada pilihan lagi sekarang ini. Jika segala dakwaan Rafizi itu tidak benar, saman dan tuntutlah permohonan maaf, gantirugi atau apa saja daripada Rafizi,” tulis Shahbudin di dalam blognya.

.Menurutnya, jika SPR terus berdiam diri selepas ini dan tidak juga mahu mengambil tindakan undang-undang, persepsi rakyat amat jelas bahawa mereka adalah di pihak yang salah dan Rafizi yang juga Pengarah Strategi PKR di pihak yang benar.

Baca di sini

Alvin, Vivian: Yang lain mesti diambil tindakan

Harakahdaily, 19 Jul 2013
KUALA LUMPUR: Jika perkara tidak serius, masakan pasangan Alvin dan Vivian boleh melakukan perkara yang sejahat yang mereka lakukan terhadap agama kita?

Demikian pertanyaan yang dilontarkan penulis Aspan Alias di dalam blognya.

Baginya, keburukan yang sangat jahat yang dilakukan oleh pasangan muda ini tentulah bersebab.

Justeru beliau mempersoalkan kenapa mereka yang masih muda sudah pandai menyentuh dan menyakitkan kita dengan provokasi yang mereka lakukan itu. “Puncanya itulah yang wajib kita fahami dan diperbaiki. Kalau kita lihat dan pandang betul-betul, mereka yang menjadikan isu ini lebih panas.

"Betul, mengambil tindakan terhadap pasangan muda ini adalah amat wajib kerana tidak ada siapa yang beragama akan merestui perlakuan mereka. Tetapi saya tidak salah jika saya katakan yang keadaan ini berlanjutan kerana pihak yang mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan itu tidak bersikap adil,” ujarnya.
Tulisan penuh baca di sini

Lunasi zakat fitrahmu

Ustaz Hamizul Abdul Hamid, 18 Jul 2013
Ramai umat Islam yang masih keliru tentang kewajipan zakat fitrah, bukan keliru status hukumnya, tetapi bagaimana melaksanakannya. Inilah antara Q&A yang diharap mampu menjelaskan kekeliruan itu. Selamat membaca.

Soalan 1: Apakah makna zakat fitrah dan siapakah yang diwajibkan ke atasnya?

Jawapan: Zakat fitrah bermakna zakat badan atau zakat jiwa. Semua orang Islam diwajibkan, sama ada lelaki, perempuan, orang tua, kanak-kanak, bayi, orang gila, merdeka mahu pun hamba sahaya.

Dalilnya, Abu Hurairah RA menyatakan: “Rasulullah SAW telah mewajibkan zakat fitrah pada bulan Ramadan kepada orang yang merdeka, hamba sahaya, lelaki dan perempuan, anak-anak, dewasa, fakir atau kaya – daripada kalangan kaum muslimin,” (Riwayat Ahmad, Bukhari dan Muslim)

Fuqaha memang berbeza pendapat tentang siapakah yang perlu mengeluarkannya, sama ada diri sendiri ataupun wali nasab, yakni orang yang wajib menanggung nafkah. Amalan di Malaysia, zakat fitrah ini dikeluarkan oleh wali bagi semua tanggungannya. Dalam hal ini ada sebuah hadis: “Bayarlah zakat fitrah daripada semua orang yang menjadi tanggungjawab kalian.” (Hadis riwayat Imam Baihaqi).

Soalan 2. Bagaimana dengan anak angkat, anak yatim dan anak tiri?

Jawapan: Perkara paling asas, fuqaha menyatakan orang yang wajib menanggung nafkah itulah wajib memberikan zakat fitrah tanggungannya. Di sini, yang wajib ialah mereka yang dinamakan sebagai wali nasab (sedarah daging) atau penanggung nafkah, iaitu bapa, datuk, bapa saudara dan sebagainya lagi.

Jika anak angkat, andai sudah tiada wali nasab yang boleh dihubungi, maka penjaganyalah yang wajib membayarkan zakat fitrahnya. Ada juga pandangan, jika sudah dibuat perjanjian dengan bapa kandungnya bahawa bapa angkat akan menanggungnya, maka terlepaslah kewajipan bapa kandungnya.

Andai anak yatim, sama juga jika sudah tidak berjumpa dengan mana-mana wali nasab, maka penjaganya yang wajib membayarkannya. Jika anak tiri, pun masih kena lihat, andai sudah tiada wali nasabnya, maka bapa tirinyalah yang wajib mengeluarkannya.

Namun, jika kesemua mereka sudah ada kemampuan sendiri, misalnya walau masih belajar namun mendapat biasiswa atau wang hasil kerja sampingan, maka mereka lebih berhak mengeluarkannya sendiri. Tetapi, penjaga yang bukannya wali nasab masih boleh mengeluarkannya dengan syarat memaklumkan dahulu kepada anak-anak jagaannya itu.

Soalan 3. Adakah anak-anak perempuan yang sudah bekerja dikira masih tanggungan bapanya?

Jawapan: Anak yang sudah bekerja sendiri, sama ada lelaki dan perempuan, maka mereka lebih berhak mengeluarkan sendiri zakat fitrahnya. Bahkan, jika mereka mahu mengeluarkan zakat fitrah ibu bapa juga boleh, dan mereka perlu memaklumkannya kepada ibu bapa.

Soalan 4. Bagaimana pula dengan waktu menunaikan zakat fitrah?

Jawapan: Adalah harus mengeluarkan zakat fitrah sejak bermulanya satu Ramadan. Hadis daripada Umar menyatakan: “Telah mewajibkan Rasulullah SAW zakat fitrah pada bulan Ramadan.”

Walau bagaimanapun, ulama berbeza pendapat mengenai waktu wajibnya. Imam Syafie dan Malik menyatakan, ia menjadi wajib apabila terbenamnya matahari pada akhir Ramadan. Manakala Abu Hanifah pula menyatakan, ia wajib setelah terbit fajar satu Syawal.

Untuk memudahkan kita, ulama fikah telah membahagikan waktunya seperti berikut, iaitu harus sejak awal Ramadan, menjadi wajib atau paling utama sebelum solat Aidilfitri dan makruh setelah menunaikan solat Aidilfitri. Sesiapa yang tidak menunaikan zakat fitrah sehingga terbenam matahari satu Syawal, maka dia dianggap berdosa dan wajiblah segera mengeluarkannya dan kala itu ia dianggap qada.

Soalan 5. Apakah yang perlu dilakukan jika terlupa menunaikannya?

Jawapan:
Islam telah menyediakan satu ruang waktu yang amat luas bagi umatnya menunaikan zakat fitrah dan tidak sepatutnya ada orang boleh terlupa. Selalunya orang terlupa apabila sengaja menunggu sehingga ke saat akhir. Jadi, jangan bertangguh.

Mungkin ada orang berhujah, mereka mahu menunggu ke saat akhir menunaikan zakat fitrah, demi mendapatkan pahala yang lebih besar. Berkenaan pahala ini, fuqaha tidak pula beranggapan menunaikannya lebih awal akan kurang pahalanya berbanding menunaikannya saat-saat akhir, lagi pun ia adalah tergantung kepada Allah SWT yang menentukannya.

Orang yang terlupa wajib segera mencari mana-mana fakir miskin dan serahkanlah zakat fitrah pada waktu itu juga dan fuqaha menyatakan ia sudah menjadi qada. Iringi juga dengan taubat dan berazam untuk tidak melalaikan lagi zakat fitrah selepas ini.

Soalan 6. Ada orang berpuasa tetapi tidak menunaikan zakat fitrah, apa hukumnya?

Jawapan: Menunaikan zakat fitrah adalah wajib dan berpuasa juga wajib, maka mengabaikannya adalah berdosa. Ibnu Umar RA meriwayatkan: “Rasulullah SAW telah memerintahkan untuk mengeluarkan zakat fitrah sebelum orang-orang keluar melaksanakan solat Idul Fitri,” (Riwayat Bukari dan Muslim).

Ulama fikah menyatakan, orang yang enggan berzakat kerana kesengajaan dan mengingkari kewajipannya, maka dia boleh jatuh kepada kekufuran, na’uzubillah.

Soalan 7. Adakah orang miskin juga wajib membayar zakat fitrah?

Jawapan: Zakat fitrah diwajibkan kepada semua orang Islam, tanpa mengira sama ada mereka kaya, miskin, merdeka atau hamba sahaya. Syaratnya, mereka mesti ada makanan yang cukup bermula dari malam satu Syawal hingga tamat satu Syawal. Orang miskin yang memenuhi syarat ini, wajib mengeluarkan zakat. Cuma ada sebahagian fuqaha menyatakan, jika orang miskin itu menjadi mampu disebabkan bantuan zakat, maka mereka tidak dibebani untuk mengeluarkan zakatnya, kerana punca hartanya adalah dari zakat juga.

Soalan 8. Ada orang mahu membayar zakat fitrah dengan beras bukan wang, apa komen ustaz?

Jawapan: Mengikut ketetapan asal, zakat fitrah memang begitu. Tetapi, sebahagian fuqaha berpendapat adalah harus mengeluarkan zakat fitrah dengan harga (wang). Pada zaman Umar bin Abdul Aziz RA, baginda berfatwa zakat fitrah boleh dibayar dengan nilai wang. Memandangkan penggunaan wang lebih sesuai pada hari ini, maka ia lebih diraikan demi kemaslahatan ummah seluruhnya.

Soalan 9. Ada orang berkata, jika tidak keluarkan zakat fitrah maka pahala puasa akan tergantung. Benarkah?

Jawapan: Terdapat sebuah hadis mengenai persoalan ini, iaitu: “(Ibadah) bulan Ramadhan digantungkan antara langit dan bumi dan tidak diangkat kepada Allah kecuali dengan zakat fitrah,” (Riwayat Ibn Asakir). Tetapi, para ulama hadis mempertikaikan kesahihan hadis ini, kerana ada di antara perawinya yang tidak dikenali (majhul) dan ia juga bercanggah dengan mafhum hadis lain mengenai keutamaan beribadah khususnya di bulan Ramadan.

Bagi saya, fokuskan untuk melaksanakan setiap ibadah, sama ada solat, zakat, puasa, haji dan sebagainya. Setelah ia ditunaikan dengan sempurna dan sah, maka serahlah kepada Allah SWT, sama ada mahu menerima atau menolaknya.

Soalan 10. Adakah zakat fitrah hanya untuk fakir miskin sahaja?

Jawapan: Hal ini adalah khilaf dalam kalangan ahli fikah. Sebahagian menyatakan ia hanya untuk fakir dan miskin dan sebahagian yang lain menyatakan, zakat fitrah juga sama seperti zakat harta dan lapan asnaf masih boleh menikmatinya.

Malahan ada ulama yang menyatakan seorang kafir zimmi di dalam Negara Islam juga berhak mendapat zakat fitrah jika mereka adalah golongan fakir. Perbincangan ini boleh dirujuk ke dalam kitab Bidayatul Mujtahid, Juz 1, hal. 584; Fikih Sunnah, Jilid 3, hal. 129, Hukum Zakat, hal. 964 dan Ensaiklopedia Fiqh Wanita, Jilid 2, hal. 190.

Soalan 11. Apakah majikan wajib membayar zakat fitrah pembantu rumahnya?

Jawapan: Majikan tidak wajib, kerana pembantu itu bukan tanggungan yang wajib dinafkahinya. Pembantu itu ada gajinya sendiri dan dia wajib menjelaskan zakat fitrahnya sendiri. Namun, jika majikan mahu menjelaskannya juga, perlu memberitahu kepada pembantunya, sebagai tanda minta izin daripadanya.

Soalan 12. Apakah anak yang lahir pada waktu Maghrib hari terakhir Ramadan wajib zakat fitrah juga?

Jawapan: Tidak wajib, kerana anak itu hanya hidup pada waktu Syawal sahaja. Bukan sekadar itu, orang yang hidup sepanjang Ramadan dan meninggal dunia sebelum masuknya waktu Syawal, maka tidak wajib juga zakat fitrah. Ini kerana, hanya orang yang hidup pada dua waktu, Ramadan dan Syawal sahaja wajib zakat.

Soalan 13. Apakah anak yang dikandung sudah cukup bulan tapi belum lahir hingga masuk Syawal wajib zakat juga?

Jawapan: Tidak wajib, Cuma sunat muakkad sahaja. Islam tidak mengambil kira semasa bayi masih berkeadaan janin (dalam rahim ibu) dan inilah pendapat yang kuat sebagaimana yang disebut oleh Dr Yusuf al- Qaradawi, di dalam kitabnya, Hukum Zakat.

Soalan 14: Adakah seorang muallaf (saudara baru) juga wajib bayar zakat fitrah?

Jawapan: Jika muallaf itu masih kecil (belum akil baligh misalnya), maka orang yang menaunginyalah yang mengeluarkan zakat ke atasnya. Tetapi, jika sudah dewasa atau remaja, maka jika mereka mampu mereka keluarkan sendiri. Jika tidak mampu, maka tidaklah wajib zakat fitrah ke atasnya.

Soalan 15: Bolehkah ustaz jelaskan hikmah zakat fitrah?

Jawapan: Pertama, zakat fitrah menjamin kegembiraan kepada penerimanya, seperti mana nabi menjanjikan dua kegembiraan bagi orang yang berpuasa, iaitu waktu berbuka (termasuk berhari raya) dan ketika menatap wajah Allah (hadis Muslim). Maka, bagaimana orang miskin boleh gembira jika tiada bantuan di hari raya.

Kedua, zakat fitrah juga menepati kehendak puasa yang bermaksud mengembalikan manusia kepada fitrah. Apabila zakat fitrah ditunaikan, maka akan terhakislah rasa tamak dan haloba dalam diri dan diganti dengan rasa rendah diri dan saling berkongsi.

Ketiga, membersihkan orang yang berpuasa daripada dosa. Ibnu Abbas menyatakan: “Rasulullah SAW telah mewajibkan zakat fitrah, untuk membersihkan orang yang berpuasa daripada ucapan yang tidak ada manfaatnya dan kata-kata yang kotor, serta untuk memberikan makanan kepada orang-orang miskin.” (Hadis Riwayat Abu Daud).

Keempat, menjadi bukti ketaatan manusia beriman kepada Allah SWT. Hal ini kerana, jika mereka berpuasa tetapi enggan berzakat, maka jelaslah kualiti keimanannya di tahap mana?

Kelima, zakat fitrah itu menjadi kemuncak kepada amalan pada bulan Ramadan, yakni berkongsi sedikit kekayaan. Andai jumlah RM7 itu masih dipertikaikan, maka bagaimana pula seseorang itu mampu berkongsi sesuatu yang lebih besar dalam hidupnya dengan orang lain.

Soalan 16: Apakah boleh kita menunaikan zakat harta selain fitrah di bulan Ramadan?

Jawapan: Memang boleh bahkan dianjurkan sangat-sangat. Hal ini kerana, mafhum daripada sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Khuzaimah daripada Salman al-Farisi, bahawa setiap amalan sunat dalam bulan Ramadan diganjari pahala wajib dan satu amalan wajib diganjari 70 kali ganda pahalanya.

Maka, andai kita berzakat RM1 ribu, maka pahalanya seolah-olah kita sudah berzakat RM70 ribu! Orang yang haul zakatnya belum tiba, boleh berniat mendahului haul zakat dan di sisi Islam, ia memang diharuskan.

Soalan 17: Apakah saudara laki-laki yakni seorang abang perlu mengeluarkan zakat fitrah bagi pihak adik perempuannya yang masih bujang, sedangkan adiknya sudah bekerja dan mempunyai pendapatan yang jauh lebih besar daripadanya?

Jawapan:
Seorang abang tidak perlu mengeluarkan zakat adik perempuannya yang sudah bekerja kerana adiknya itu sudah mempunyai pendapatannya sendiri; namun jika dia masih mahu menunaikan zakat fitrah adik perempuannya itu, maka dia perlulah memaklumkan kepada adiknya dengan maksud mendapat keizinannya terlebih dahulu.

Walau bagaimanapun, keadaan berubah andai si adik adalah miskin dan tidak mampu berzakat fitrah dan kala itu juga, ayahnya sudah tiada atau jika ada pun tidak mampu mengeluarkan zakatnya (kerana tidak cukup syaratnya, seperti ketiadaan makanan yang mencukupi bagi diri dan tanggungannya), maka kala itu abangnya itulah yang perlu mengeluarkan zakat bagi adik perempuannya itu dan termasuklah zakat ke atas bapanya yang tidak mampu itu.

Soalan 18: Soalan terakhir saya, kenapakah kadar zakat fitrah di Malaysia berbeza-beza antara setiap negeri?

Jawapan: Panjang jawapannya, namun ringkasnya saya boleh katakan, ada dua sebab kenapa berbeza. Pertama, pentadbiran zakat di Malaysia adalah tertakluk kepada bidang kuasa negeri. Maka, setiap negeri mempunyai jawatankuasa fatwanya sendiri yang akan memutuskan harga zakat fitrah yang sesuai di negeri masing-masing. Pengasingan kuasa ini telah digazetkan di dalam Perlembagaan Malaysia, iaitu di dalam Jadual Kesembilan (Perkara 74, 77) Senarai Perundangan, Senarai II – Senarai Negeri.

Kedua, boleh jadi harga sekilogram beras adalah berbeza antara negeri-negeri. Ada negeri yang agak mahal, ada yang agak murah dan ia adalah sesuai dengan kondisi sosio-ekonomi rakyat negeri berkenaan. Maka, harga zakat fitrah di Selangor adalah sesuai dengan harga beras di Selangor (yakni RM7.00). Manakala di negeri lain, sesuailah dengan negeri mereka pula.

Ustaz Hamizul Abdul Hamid
Eksekutif Komunikasi Korporat
Lembaga Zakat Selangor (MAIS)


http://www.hamizul.com

Tiada ulasan:

Catat Ulasan