Rabu, 17 April 2013

BILA IJAZAH BOLEH BELI

Calon BN Manjoi ahli PAS

Perak Kite, 17 Apr 2013
IPOH: Jawatankuasa Strategik dan Isu PAS Perak hari ini mendedahkan calon BN di Dun Manjoi yang diisytiharkan oleh Pengerusi BN Perak, Dato’ Dr Zambry Abd Kadir semalam adalah ahli PAS.


(Raja Ahmad dalam sidang media hari ini)

Koordinatornya, Dr Raja Ahmad Iskandar Al-Hiss berkata, calon tersebut, Muhammad Ziad Zainal Abidin, 38,  telah menyertai PAS pada tahun 1997.

Katanya, sehingga hari ini, menantu kepada Bekas Menteri Besar Perak, Tan Sri Tajol Rosli Ghazali itu tidak pernah mengumumkan dirinya keluar daripada parti.

Beliau berkata, pihaknya mendapat maklumat ahli serta penyokong Umno di Manjoi tidak mengetahui tentang identiti Ziad termasuklah dirinya pernah menyertai parti lawan.

Zaid katanya dikatakan baru aktif di bahagian Tambun dan baru sahaja dilantik sebagai bendahari bahagian tersebut.

“Persoalan timbul, adakah beliau sudah keluar daripada PAS?,” soal beliau ketika sidang media di Pejabat PAS Perak, dekat sini hari ini.

Hadir sama ahli jawatankuasanya, Salman Saleh, Ustaz Hakim Mohd Nor, Safarizal Saleh dan Ketua Penerangan PAS Perak, Dr Ahmad Nuri Al-Amin.

Beliau yang juga Timbalan Ketua Pemuda PAS Perak menjelaskan, pencalonan Ziad seolah-olah BN Perak ketandusan calon yang ‘winnable candidate’ dari kalangan ahli serta pimpinannya.

Jelasnya, pihaknya turut mempersoal adakah BN Perak khasnya telah menyemak latar belakang calon-calonnya sebelum mereka diberikan tanggungjawab sebagai calon.

Ketika ditanya penglibatan Ziad di dalam PAS, Raja Iskandar berkata, beliau tidak memegang mana-mana jawatan tetapi beliau banyak membantu gerak kerja parti termasuklah ketika pilihanraya 2008 yang lalu.

Ujarnya, Ziad telah mendaftar keahliannya pada 5 Oktober 1997 dengan kaedah daftar terus bernombor 0441563.

“PAS Perak mengalu-alukan pencalonan Ziad sebagai calon dan kami mengucapkan maju jaya kepada beliau dalam pilihanraya ini,” jelasnya lagi.

Kerusi kosong di pengumuman calon DAP Kulai

Omak kau, 17 Apr 2013


Pergh!!!!!.. Terperanjat juga bila Omak kau dimaklumkan kerusi banyak yang kosong ceramah anjuran DAP di Kulai malam tadi.

Rupa-rupanya kerusi yang kosong itu adalah tempat duduk tetamu khas terdiri dari Sdr Lim Guan Eng, Teo Nie Ching, Sdri Wong Shu Qi yang ketika itu berada dipentas untuk acara memperkenalkan kepada para hadirin mereka adalah calon DAP/PR untuk Parlimen Kulai dan DUN Senai.


Klik untuk lihat laporan penuh.

Belum mula MCA mula bertempor sesama sendiri

Omak kau, 17 Apr 2013


Pertempuran belum lagi bermula hanya diperingkat semboyan memberitahu calon saja, MCA sesama MCA sudah bergaduh bergumpal kerana berebut tempat menjadi calon Parlimen Seremban.

Suatu demonstrasi diadakan oleh ahli-ahli MCA Bahagian Seremban didepan pejabat MCA Seremban sendiri yang diketuai oleh Ketua MCA Bahagian Seremban, membantah keras pencalonan Pengerusi Perhubungan MCA Negeri Sembilan Datuk Yeow Chai Tiam sebagai calon MCA/BN di Parlimen Seremban sebaik saja diumumkan.

Klik untuk melihat laporan penuh dari blogger ini.

Ong Tee Keat timbang jadi calon bebas

Harakahdaily, 17 Apr 2013
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Ong Tee Keat memikirkan untuk bertanding sebagai calon bebas bagi kerusi parlimen Pandan, selepas digugurkan sebagai calon Barisan Nasional (BN) untuk Pilihan Raya 2013.

Dalam tulisan di laman Facebooknya hari ini, beliau bertanya kepada pengundi:"Pengundi Pandan, apakah anda akan menyokong Ong Tee Keat sebagai calon bebas?"

Awal pagi ini sekumpulan penyokongnya dilihat di pasar basah di Pandan untuk menunjukkan sokongan kepadanya, tulis Leslie Lau, Pengarang Eksekutif The Malaysian Insider.

Malam ini, satu lagi kumpulan merancang demonstrasi untuk menyokongnya.

Dengan hari penamaan calon semakin hampir pada Sabtu, Ong masih belum memberikan komitmen untuk bertanding, lapor TMI.

Spekulasi mengenai apa akan dilakukan Ong  dimainkan dengan latarbelakang permusuhannya dengan Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek, yang dilihat sebagai di belakang keputusan penyingkiran itu.


MCA 'jual' 3 kerusi

Sementara itu, pelbagai pihak mendakwa, Presiden MCA, Datuk Seri Chua Soi Lek 'menjual' tiga kerusi Parlimen MCA kepada Umno untuk mempastikan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak tidak mencalonkan Ong Tee Kiat di Pandan.

Kerusi-kerusi MCA yang diserahkan kepada Umno dalam pilihan raya ini adalah Kuantan, Gelang Patah dan Wangsa Maju.

Sebelum ini, Chua sudah memberikan amaran kepada Umno, pilih MCA atau Ong Tee Kiat.

Chua Soi Lek mengumumkan tidak akan bertanding dalam  pilihan raya umum kali ini, menjadikan ianya satu sejarah dalam negara apabila ketua parti komponen utama BN tidak bertanding.

Faizal Tahir rasa terhina dengan calon Shah Alam

Omak kau, 17 Apr 2013



Sejak diberitahu kepada umum bahawa Najib Razak sebagai Pengerusi Barisan Nasional merangkap Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Selangor telah memilih Zulkifli Noordin sebagai calon mesra BN untuk kerusi Parlimen P108 Shah Alam.

Ekoran itu, maka tersebarlah tweet di alam maya dari penyanyi popular Faizal Tahir yang meluahkan rasa dirinya serta keluarganya yang bermaustatin di Bandar Shah Alam merasakan diri mereka cukup-cukup terhina.

Apakah perasaan dihina begitu rupa akan diterjemahkan dalam bentuk undi nanti?


Klik untuk lihat laporan penuh blogger ini.

Polis langgar hak asasi masa Bersih 3.0 - Suhakam

Anis Nazri, 17 Apr 2013


KUALA LUMPUR: Panel siasatan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) mendapati berlaku pelanggaran hak asasi oleh Polis DiRaja Malaysia (PDRM) semasa dan selepas perhimpunan Bersih 3.0 yang diadakan pada 28 april 2012 lalu.

Ia berasaskan kepada tindakan polis yang memaksa peserta untuk membuka baju-T berwarna kuning, menghalang dan mengasari petugas media serta cara arahan bersurai yang diberikan kepada peserta.

Panel juga mendapati pihak PDRM juga terus melakukan tangkapan biarpun ada yang dalam perjalanan pulang, di lobi hotel dan restoran.

Hasil itu dirumuskan panel yang diketuai Pesuruhjaya Suhakam, Datuk Dr Khaw Lake Tee, Profesor Emeritus Datuk Dr Mahmood Zuhdi Abd Majid dan Datuk Detta Samen.

Kenapa tak boleh lawan Umno?

Hairul Nizam Mat Husain, 17 Apr 2013
Saya pernah membaca sebanyak dua kali buku Fiqh al-Khilafah hasil karangan Dr Abdul Razzaq al-Sanhuri yang pastinya merupakan tokoh yang begitu dikenali dalam dunia undang-undang. Buku yang merupakan tesis beliau di University Of Lyon di Perancis ini seingat saya telah ditulis pada tahun 1928, iaitu empat tahun selepas kejatuhan Khilafah Islamiyyah di Turki.

Buku karangan beliau yang pada asalnya ditulis dalam bahasa Perancis membincangkan konsep kerajaan menurut kaca mata Islam. Antara yang menarik di dalam buku ini adalah seperti berikut:

1. Sesebuah kerajaan tidak akan dianggap sebagai kerajaan Islam melainkan apabila kuasa penetapan dasar (al-Sultoh al-Tasyri`iyyah) adalah diserahkan bulat-bulat kepada ketetapan Allah dan Rasul-Nya, bukan kepada pandangan ahli parlimen.
2. Kerajaan Islam terbahagi kepada dua; al-Khilafah al-Rashidah (kerajaan yang sempurna) dan al-Khilafah al-Naqisoh (kerajaan yang berlaku kekurangan). Menurut beliau, al-Khilafah al-Rashidah hanya akan berlaku apabila sistem perlantikan seseorang khalifah adalah dengan pemilihan daripada rakyat. Sekiranya sistem yang diamalkan adalah sistem beraja, maka kerajaan tersebut adalah al-Khilafah al-Naqisoh.
3. Dari sudut sejarah, al-Khilafah al-Rashidah hanya berlaku bermula daripada pemerintahan Sayyidina Abu Bakar dan berakhir pada pemerintahan Sayyidina Ali bin Abi Tolib. Selepas itu sehinggalah jatuh Khilafah Islamiyyah pada tahun 1924, Khilafahnya adalah Khilafah yang tempang kerana perlantikan Khalifah adalah dengan cara kekeluargaan.
4. Apabila khilafah adalah khilafah yang tempang (al-Khilafah al-Naqisoh), maka sekiranya umat Islam dapat menjatuhkan khilafah ini dan dapat menggantikannya kepada al-Khilafah al-Rashidah, maka umat Islam hendaklah menjatuhkan sebuah Khilafah Islamiah yang tempang.
5. Sekiranya umat Islam tidak mampu untuk menggantikan al-Khilafah al-Naqisoh kepada al-Khilafah al-Rashidah, maka bersabar dengan kezaliman al-Khilafah al-Naqisoh adalah lebih baik daripada hidup di dalam zaman tiadanya Khilafah langsung.
6. Antara usaha yang perlu dimainkan bagi mendirikan Khilafah Islamiah buat masa hadapan adalah mewujudkan institusi ilmu yang mampu mengeluarkan orang-orang yang pakar dalam bidang fiqah (al-Mujtahidun).

Saya secara peribadi semasa di Mesir telah bertemu dengan al-Marhum Dr Tawfiq Shawi yang merupakan menantu kepada Dr Abdul Razzaq al-Sanhuri (Dr Tawfiq Shawi dan isterinya Dr Nadiah al-Sanhuri adalah orang yang bertanggungjawab menterjemahkan buku Fiqh al-Khilafah ke dalam bahasa Arab). Saya bertanya kepada beliau: "Adakah Malaysia sebuah negara Islam?" dan beliau dengan pantas menjawab "Tidak". Saya dapat mengesan sebabnya iaitu Syarak tidak dijadikan pemutus paling tinggi dalam dasar negara sebaliknya tugas ini dirampas oleh dua pertiga ahli Parlimen.

Saya membuat satu kesimpulan:

Sekiranya sebuah Khilafah Islamiah yang melaksanakan hukum-hukum Islam dan menjadikan kuasa pemutus dasar tertingginya adalah Syarak pun boleh dijatuhkan oleh rakyat apabila cara perlantikan Khalifah bukan dengan cara suara rakyat, maka apa sangatlah dengan kerajaan BN yang memerintah Malaysia pada hari ini yang sememangnya bukan negara Islam bahkan sanggup pula mengenepikan aturan-aturan Syarak.

Rasanya Kerajaan BN hari ini sangat-sangat layak untuk diruntuhkan oleh rakyat yang cintakan Islam dan cintakan kesejahteraan sejagat.

* Artikel ini telah diterbitkan pada 23 Jun 2011 lagi dalam blog (alamat di bawah) dengan tajuk “Ada Orang Kata Tak Boleh Lawan Umno Sebab Kita Kena Taat Pada Para Pemimpin?”. Namun, oleh sebab kandungannya amat kena untuk menjawab sebahagian tohmahan Umno, terutamanya bagi menghadapi PRU13 ini, maka wajar disiarkan semula.


http://hairulnizammathusain.blogspot.com/

Kekayaan negara bukan milik pemimpin

Ahmad Danial, 17 Apr 2013
ALOR GAJAH: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang melancarkan tawaran Pakatan Rakyat Melaka bagi PRU13 dengan tema Melaka Milik Rakyat, malam tadi.
Beliau berkata, kekayaan negara bukannya milik pemimpin tetapi ia adalah milik semua rakyat.

"Rakyat berhak menikmati kekayaan negara dalam bentuk program-program yang meringankan beban rakyat seperti pendidikan percuma, penghapusan tol, penurunan harga minyak dan sebagainya.

"Rakyat mesti berfikir dan menilai tawaran dari Pakatan Rakyat sama ada pusat atau negeri," ujarnya pada majlis yang diadakan di pekarangan Pejabat PAS Kawasan Alor Gajah, Durian Tunggal yang dihadiri kira-kira 6,000 orang.

Ketiga-tiga pemimpin tertinggi Pakatan Rakyat iaitu Adly Zahari (Pesuruhjaya PAS Melaka), Goh Leong San (Pengerusi DAP Melaka), Shamsul Iskandar (Pengerusi PKR Melaka) turut berucap.

Beliau berkata PAS komited untuk melahirkan Negara Berkebajikan kerana konsep tersebut bukan setakat kebajikan dalam bentuk kebendaan sahaja.

Jelasnya, konsep Negara Berkebajikan PAS tidak sama dengan 'Welfare State' yang diamalkan di negara-negara barat, ianya bukan sekadar bantuan kebajikan untuk rakyat semata-mata tetapi ianya juga merangkumi pimpinan yang bersih, telus, bebas rasuah yang sudah pasti dapat menyelamatkan harta negara.

Katanya, konsep itu diterima oleh semua rakyat dan PR sudah membuktikannya di Pulau Pinang, Kelantan, Selangor dan Kedah.

“Kita menyeru seluruh rakyat memberikan mandat kepada PR pada PRU13 di Melaka dan pusat bagi merealisasikan konsep ini yang terbukti berjaya memakmurkan rakyat dan negara," ujar beliau.

Sebanyak 40 tawaran telah digariskan sebagai suatu konsep bersepadu bagi melahirkan slogan Melaka Milik Rakyat.

Tawaran PR Melaka menggariskan 8 teras utama yang mampu memberikan kesejahteraan kepada rakyat sesuai dengan konsep Negara Berkebajikan yang digagaskan oleh PAS.

Antara perkara menarik yang ditawarkan ialah menurunkan kadar cukai tanah, cukai taksiran, lesen iklan perniagaan dan kadar parkir kenderaan; menurunkan tarif air; insentif perkahwinan dan kursus perkahwinan percuma; cuti bersalin 90 hari untuk isteri dan 7 hari untuk suami; sumbangan sebanyak RM1,000 kepada pelajar yang berjaya mengikuti ijazah pertama dan RM600 diploma di IPTA dan IPTS yang diiktiraf; menyerap kakitangan kerajaan negeri dan agensinya yang berstatus kontrak kepada pekerja tetap dan sebagainya.

PAS Kelantan tampilkan 16 muka baru

Aslani M, 17 Apr 2013


KOTA BHARU: Ketika Umno menampilkan ramai calon tidak dikenali dalam misi mengangkat Datuk Seri Mustapa Mohamed sebagai Menteri Besar BN, PAS pula mengentengah ramai calon baru.

Ada di antaranya pensyarah universiti, doktor perubatan, peguam, ahli perniagaan pegawai kanan kerajaan, pengetua dan ulama.

Mereka diturunkan di peringkat Dun bagi menggantikan beberapa wakil rakyat veteran yang mengundurkan diri.

Selain itu ada juga bekas wakil rakyat yang bertukar kerusi bertanding di kerusi parlimen bagi membolehkan suara rakyat diketengahkan ke peringkat nasional.

Jurucakap Perhubungan PAS Kelantan berkata, calon-calon tersebut dikenali umum dan sebahagian besar tinggal di kawasan yang akan ditandingi mereka.

Katanya, saringan pemilihan calon dilakukan sejak tahun lepas, di mana dikemukakan bermula dari peringkat akar umbi.

“Nama-nama tersebut akan diumumkan secara rasmi oleh Pesuruhjaya PAS negeri, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pada ceramah perdana di padang Majlis Daerah Machang malam ini.

“Program tersebut bermula solat Maghrib, munajat, solat Isya dan kemudian diikuti majlis pengisytiharan calon,” katanya di sini.

Ceramah perdana pula akan menampilkan Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa, Speaker Dun Kelantan, Datuk Nasuruddin Daud dan anggota Exco, Datuk Mohd Amar Abdullah.

Program tersebut bertema “Kekalkan Kelantan Ubah Putrajaya”.

Dijangka puluhan ribu rakyat Kelantan bakal membanjir padang Majlis Daerah Machang malam ini, mengulangi sejarah yang pernah dicatat sebelum ini.

Sementara itu kemelut dalaman Umno semakin terserlah selepas nama-nama calon diumumkan Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan semalam.

Difahamkan banyak kumpulan yang tidak puas hati dengan calon yang ditampilkan. Mereka sebelum ini dikatakan akan berhimpun di hadapan pejabat Perhubungan Umno Kelantan, namun tidak ramai hadir kerana hujan lebat.

Malah suara-suara tidak puas hati mulai kedengaran di Rantau Panjang dan Kubang Kerian apabila ketua bahagian di kawasan tersebut dipinggirkan.

Ekoran masalah dalaman tersebut kemungkinan besar calon PAS di Rantau Panjang dan Kubang Kerian tidak berdepan laluan sukar bagi mempertahankan kerusi tersebut.

Di Gua Musang pencalonan semula Tengku Razaleigh Hamzah menyebabkan beberapa anggota jawatankuasa Umno Gua Musang melahirkan rasa tidak puas hati.

Malah ada Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) akan mengisytiharkan sokongan terbuka kepada calon Pakatan.

DAP dakwa 5 ijazah calon BN diragui?

Harakahdaily, 17 Apr 2013
KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri Luar Negeri A Kohilan Pillay adalah antara lima calon BN yang didakwa DAP memilik sijil kelulusan pengajian tertinggi yang bermasalah.

Strategis pilihanraya DAP Ong Kian Ming (gambar) berkata Kohilan bersama Teh Kim Pooh, Pengerusi Pihak Berkuasa Pelabuhan Klang (PKA), Ching Eu Boon dan Lee Ban Seng dari MCA dan Ab Wahab Ibrahim, ketua hal ehwal agama Umno memiliki sijil kelulusan pengajian tertinggi daripada universiti yang pernah dibuktikan menjual ijazah.

“Ini adalah sangat mendukacitakan apabila lima daripada calon BN, dua di parlimen dan tiga di DUN, mengemukakan kelulusan akademi daripada institusi yang boleh disifatkan sebagai kilang ijazah, atau erti kata lain daripada universiti dan kolej yang memberikan ijazah palsu dengan bayaran,” kata Ong dalam satu kenyataan hari ini.

Ong mendakwa Kohilan, yang dipilih menjadi calon kerusi parlimen Puchong mendapat ijazah Sarjana Sains Perdagangan dan Ekonomi Industri dari Pacific Western University, Amerika Syarikat (AS), sebuah institusi pendidikan yang pernah disaman dan ditutup selepas didapati menjual ijazah.

Calon bagi kerusi parlimen Klang pula, Teh Kim Pooh didakwa Ong mendapat Ijazah Doktor Falsafahnya dari New Port University – sebuah universiti yang diragui.

Calon DUN Taman Medan, Abdul Wahad dari Umno pula mendapat PhD dalam Pentadbiran Awam dari Irish International Universiti yang dilaporkan palsu pada 2008 oleh British Broadcasting Corporation, kata Ong.

Ching dan Lee, masing-masing calon BN untuk Pandamaran dan Kajang pula didakwa Ong mendapat ijazah daripada St George University International dan Universiti Rutherford di AS, yang disebut sebagai ‘kilang ijazah’.

“Calon yang merasakan mereka perlu ‘membeli’ ijazah, samada di peringkat sarjana muda, sarjana, telah menyebabkan integriti mereka diragui.

"Jika calon-calon ini sanggup menipu pengundi mengenai kelulusan akademi mereka, iaitu salah satu aspek penting di dalam hidup seseorang, mana aspek lain dalam kehidupan yang calon ini sanggup menipu termasuk perkara-perkara yang melibatkan kepentingan awam seperti pengurusan dana awam serta tanggungjawab menggunakan sumber awam,” tegas Ong.

Ong mendesak lima calon BN untuk menjawab tuduhan beliau.

“Jika mereka gagal untuk menjelaskan pada pengundi, saya menyeru mereka untuk mengundurkan diri daripada bertanding,” tambah Ong.

Sebelum ini, Timbalan Pengerusi BN Selangor Datuk Seri Mohd Zin Mohamed telah menegaskan bahawa integriti senarai calon BN telah disahkan.

Selepas Datuk Zulkifli Noordin dicalonkan di Shah Alam dan pendedahan Ong ini, rakyat akan bertanya apakah sebenarnya syarat-syarat untuk menjadi calon winnable Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Tiada ulasan: