Isnin, 13 Ogos 2012

MENOLAK ATAU MENENTANG BAGI NON MUSLIM BIASALAH SEBAB MEREKA TAK BERIMAN...UMNO@MELAYU ISLAM MENOLAK SERTA MENENTANG MAKA ROSAK IMAN SEBAB MENAFIKAN SIFAT ALLAH MAHA ADIL SERTA MAHA BIJAKSANA

Mahkamah tolak saman Umno Selangor terhadap Harakah

Muhammad Faizal, 13 Ogs 2012
SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini membuat keputusan menolak saman yang dibuat oleh Umno Selangor berhubung penerbitan satu artikel dalam akhbar Harakah yang didakwa memfitnah parti itu.

Hakim Datuk Ahmad Zaki Husin membuat keputusan tersebut setelah meneliti peruntukan yang terkandung di dalam Seksyen 9C Akta Pertubuhan.

Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia yang mengatakan, hanya penama yang dimasukkan dalam daftar pertubuhan sahaja berhak menyaman atau disaman oleh mana-mana pihak terhadap pertubuhan berkenaan.

Mengikut rekod Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia, Datuk Abdul Rauf Jusof, Setiausaha Kerja Umno Pusat iaitu penjawat awam Umno
adalah penama yang berdaftar sebagai pendaftar pertubuhan dan hanya beliau yang berhak membuat pendakwaan.

Hakim juga turut memutuskan kedua-dua pihak menanggung kos masing-masing.

Plantif iaitu Setiausaha Pehubungan Umno Negeri Selangor, Datuk Seri Mohd Zin Mohamed menamakan Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali, pencetak akhbar Harakah, Angkatan Edaran Ent Sdn Bhd, penyunting akhbar tersebut Ahmad Lutfi Othman dan wartawannya, Khairul Azlam Mohamad sebagai defendan.

Mustafa yang ditemui di lobi mahkamah menyatakan kes saman telah selesai dan ia berlangsung dalam masa yang singkat.

"Terima kasih kepada barisan peguam yang mengendalikan kes ini dan apa yang kita ketahui tadi ia telah selesai dengan baik.

"Hakim telah menolak permohonan dari Umno terhadap tindakan saman itu, syukur segalanya telah selesai," jelasnya.

Peguam yang mewakil defendan adalah Asmuni Awi, Zulhazmi Shariff dan Dr Dzulkarnain Lukman manakala plantif pula diwakili Datuk Mohd Hafarizam Harun.

Turut hadir di mahkamah hari ini adalah Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu.

Dalam saman itu, Mohd Zin menuntut semua defendan membayar ganti rugi RM10 juta termasuk ganti rugi keterlaluan atau teladan untuk libel dan faedah empat peratus setahun.

Saman tersebut dibuat berhubung serbuan Jabatan  Agama Islam Selangor (Jais) ke atas Gereja Methodist Damansara Utama, pada 3 Ogos lalu.

TRX: Satu lagi projek Najib-BN yang bakal gagal?

Dr Dzulkefly Ahmad, 13 Ogs 2012
1.     Sejak pengumuman tentang Tun Razak Exchange (TRX) dikitar
semula pelancaran akhir bulan Julai lalu (yang dulu disebut sebagai
KLFID (Kuala Lumpur Interantional Financial Centre), tidak habis-habis
projek mega-mewah ini dipertikaikanoleh pelbagai pihak. Lebih malang
ialah nama al-Marhum Tun Razak bapanya cuba dijual Najib untuk
menyuntik ‘aura’ dalam projek yang telah mula menunjukkan pelbagai
kelemahan. Asalnya diwawarkan sebagai projek swasta, sama semacam MRT
juga tetapi sekarang jelasnya adalah ditaggung seluruhnya oleh
kerajaaan (1-MDB) dan hilang sebutan rakan swasta atau ‘partners’nya.

2.     Projek yang kononnya akan menjana Nilai Pembangunan Gross  atau
GDV sebanyak RM26 bilion ini terpaksa Najib ‘hiaskan’ dengan pelbagai
‘insentif yang sangat lumayan dan mewah kepada bakal pelabur.

Antaranya  ialah :

i.              100% pengecualian cukai selama 10 tahun kepada
syarikat yang layak beroperasi

ii.             50% pengecualian cukai pendapatan pemaju hartanah selama 7 tahun

iii.            Pengecualian duti stamp penjanjian pembelian dan perkhidmatan.

3.     Berapa banyak pendapatan negara akan dikorbankan untuk
menjayakan TRX ini yang tentunya ramai pengamat bidang kewangan
korporat dan hartanah atau ‘analysts’ mudah menyimpulkan bahawa projek
ini sukar penggamit minat yang genuine atau sebenar.

4.     Era membina projek-projek mega-mewah ini adalah legasi Tun M
dalam zamannya tetapi jelas dikitar semula oleh Najib. Umum masih
ingat betapa projek yang sepatutnya merupakan inisiatif yang
berteraskan ‘knowledge-pengethaun’ dan diisi dengan kemasukan dan
keterlibatan ‘knowledge worker’ – pekerja berpengetahuan akhirnya akan
menjadi “Projek Real Estate” atau “Projek pembangunan Hartanah”.

5.     Najib Umno-BN memang terus mengulangi kesilapan lama.
Persediaan ‘Human Capital’ tidak diberi tumpuan tetapi sibuk dengan
pembangunan ‘batu dan besi’ atau ’brick and mortar’! Rakyat belum lupa
projek mega-mewah MSC, BIO Valley dll.

6.     Paling terkini dan juga paling tajam kritikan adalah dari pihak
sektor pemaju pembangunan hartanah dan pembinaan sendiri.

7.     TRX ditanggapi mereka sebagai satu yang paling mencabar kepada
pihak pemaju haratanah di Kuala Lumpur justeru dalam suasana ‘glut;
atau ‘lebihan atau Lambakan’ yang telah pun mula dirasai pihak
syarikat-syarikat pemaju ini.

8.     Metropolis milik NAZA-TTDI, KL Eco-City milik S P Setia Berhad
dan tidak kurang juga Warisan Merdeka milik Permodalan Nasional Berhad
(PNB) semuanya bercita-cita menyiapkan bangunan mereka dalam
lingkungan 2015 ke 2017. Yang baru siap termasuk Menara Felda di
Platinum Park dan banyak yang lain. Yang sedia ada seperti Menara
Binjai dan Menara Prestij sedang menyaksikan pengurangan penyewa
secara berterusan.

9.     Dengan TRX juga dijangkakan akan menyiapkan Fasa Pertamanya
yang dikatakan menelan RM3.5 bilion oleh 1-MDB sebelum 2017,
kehadirannya tentu mengancam pesaing-pesaing yang juga telah memeterai
beberapa perjanjian dengan syarikat-syarikat kewangan.

10.  nsentif yang diberikan Najib, tentunya menggugat kedudukan mereka
kerana syarikat-syarikat kewangan ini boleh sahaja merungkaikan
perjanjian untuk memenafaatkan ‘tax holiday’ dan pengecualian duti
stamp yang tentunya berjuta ringgit.

11.  Metroplis yang dijangkakan siap pada tahun 2015 akan memuatkan
‘penginapan’ atau residence, ofis tower dan sebuah ‘regional mall’.
Metropolis sahaja menawarkan sejumlah 1 juta kakipersegi GFA atau
Jumlah Lantai pejabat. Warisan Merdeka pula menambah 3 juta muka
persegi, sementara KL-Eco City ( milik SP Setia BHd) menokok 5.55 juta
kaki persegi lagi. Sangat sengit perlumbaan ini.

12.  Mengikut kajian dan data dari sebuah pengkaji pasaran hartanah,
Kuala Lumpur menyaksikan penambahan sebanyak 5 hingga 7 juta ruang
pejabat atau GFA setiap tahun. Di samping itu juga bahawa
‘over-development’ ini telah menjadikan harga pasaran tidk mampu
mereka naikkan dan berada pada juat RM7 hingga RM8 kaki persegi.

13.  Pasaran Hartanah sangat mempertikaikan hasrat Najib dalam
pembinaan TRX kalau ianya bukan berteraskan kajian yang mendalam
disegi keperluan (Needs Anaysis) dan profiling bakal-bakal tenants.
Untuk TRX mampan atau ‘viable’ ia mesti menggamit 100
syarikat-syarikat multi-nasional khasnya kewangan atau MNCs yang
bersedia beribu-pejabat di TRX Kuala Lumpur. Apakah itu satu cita-cita
yang menasabah dalam suasana ekonomi dunia yang seba muram (Bearish)
dan lembap?

14.  TRX tidak boleh disamakan dengan Twin-Towers yang dibina dalam
era pertumbuhan adalah rata-rata 7% setiap tahun. Pengalaman
membuktikan bahawa ketika siap pembinaan Twin-Towers,(1997) ‘occupancy
rate’ atau ‘tahap sewaan’ menjunam dari 90% ke 72% dalam tahun 2001
sebelum stabil kembali kepda 83% selepas tahun 2007.

15.  TRX bukan sahaja dipertikaikan keperluannya untuk dilonggokkan di
satu Hub Kewangan, atas sebab sifat ia bukan satu pembangunan hartanah
tetapi industry yang ‘knowledge-based’ dan lebih penting perkhidmatan
dan produknya yang kompetitif dan menarik.Maka boleh sahaja berada
dimana-mana pun dalam dunia yang telah tersedia ‘globally wired and
connected’.

16.  Jangan sampai akhirnya kerugiannaya akan mengakibatkan institusi
kewangan menanggung hutang tak berbayar mereka ini seperti dalam
pengalaman krisis kewangan 1997, antaranya sebab sektor pembangunan
hartanah dan pembinaan yang ‘ghairah membina’ sehingga mencetus ‘Glut’
dan Lambakan sehingga berlaku ‘property bubble’ atau belon hartanah.

17.  Najib wajar berwaspada dengan nafsu besarnya kerana takut tak
mampu dibawak dek badanya. . Memanglah yang plaing mudah memacu
pertumbuhan adalah dengan ‘BIna, BIna  dan Bina’..bukan bina modal
insannya jauh lagi bercakap tentang Quality Modal Insan itu segi
Integriti, KeAmanahan dan Moralnya yang bebas Rasuah, salah guna kuasa
dan sarat dengan Putar-Belit! Malang!

Dr Dzulkefly Ahmad,
Pengarah Eksekutif Pusat Penyelidikan PAS.

Noh patut desak Muhyidin letak jawatan

Harakahdaily, 13 Ogs 2012
SHAH ALAM: Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar  sepatutnya mendesak Tan Sri Muhyiddin Yassin meletak jawatan sekiranya rundingan penstrukturan air  di Negeri Selangor gagal diselesaikan selewat-lewatnya September ini.

Ini kerana, Timbalan Perdana Menteri adalah Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Mengenai Isu-isu Air di Selangor dan jawatankuasa tersebut  baru-baru ini membenarkan penstrukturan air diteruskan oleh Kerajaan Selangor dengan syarat perlu mematuhi peraturan yang ditetapkan dalam Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (WSIA).

Sehubungan itu, Kerajaan Selangor telah menubuhkan Jawatankuasa Khas yang diketuai Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohamad Khusrin Munawi untuk menyelesaikan pengambilalihan ini selewat-lewatnya September ini.

Demikian kata Setiausaha Politik MB Selangor, Faekah Husein dalam kenyataan medianya hari ini.

Menurut beliau, proses ini perlu dilakukan dengan berhati-hati oleh mereka yang pakar sahaja.

Noh tiada pengalaman dalam sektor korporat jadi sudah tentu beliau tidak tahu proses ‘step-in’ atau pengambilalihan konsesi.

"Mungkin Noh ingat proses ini dilakukan sama seperti ambil alih kolam ternak udang," sindir beliau merujuk kepada pemilikan tanah projek kolam udang oleh Noh.

Katanya, kerajaan Selangor khususnya Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mematuhi garis panduan WSIA sejak penstrukturan semula ini dicadangkan bagi membolehkan air dikembalikan kepada kerajaan negeri sekali gus menjaga kepentingan rakyat dari kenaikan tariff air tidak munasabah yang dicadangkan pemegang konsesi.

Ini termasuk mengadakan beberapa siri rundingan dengan syarikat konsesi dan rundingan terakhir, Kerajaan Selangor menawarkan pampasan RM9.3 billion atau keuntungan keuntungan 25 peratus kepada syarikat konsesi.
Untung 75%
Namun, katanya, Puncak Niaga dan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) yang dimiliki kroni UMNO, Tan Sri Rozali Ismail (gambar) menolak tawaran ini dan menuntut pampasan yang memberi keuntungan sehingga 75%.

Rundingan dengan syarikat konsesi ini, tambah beliau, juga tidak mendapat sokongan daripada Kerajaan Pusat kerana mereka lebih berminat menyelamatkan syarikat konsesi yakni kroni UMNO berbanding kepentingan rakyat.

Justeru, kenyataan Muhyiddin yang membenarkan penstrukturan diteruskan itu menandakan bahawa Kerajaan Pusat bersetuju dengan rancangan Kerajaan Selangor mengambilalih syarikat konsesi.

"Sekiranya penstrukturan ini diselesaikan September ini, bermakna  Muhyiddin telah gagal menjalankan tugasnya sebagai Pengerusi jawatankuasa itu.

"Maka Noh yang tiada mengena dan tiada pengetahuan mendalam dalam isu air perlu mendesak Muhyiddin meletak jawatan bukan Menteri Besar," katanya.

"Kita tidak menolak kemungkinan Noh sebenarnya mahu mengenakan Muhyiddin dalam isu air ini sebagaimana beliau meletakkan sepenuhnya kesalahan penyelewengan projek NFC ke bahu Muhyiddin," tambah Faekah.

Sebagai menteri penuh, Noh sepatutnya memajukan industri pertanian dan membela nasib petani seluruh negara yang masih jauh ketinggalan berbanding Thailand, Indonesia malah Vietnam pun semakin meninggalkan negara ini.

Bagi Faekah, sejak beliau memegang portfolio itu, Noh tidak memberi apa-apa sumbangan dalam bidang pertanian.

Sebaliknya beliau yang membuat untung dengan melibatkan diri dalam penternakan udang sehingga menjejaskan pendapatan nelayan.

"Kita nasihatkan Noh supaya tumpukan perhatian kepada isu-isu pertanian dan penternakan serta selesaikan isu kolam udang dan pemilikan tanah 30 ekar di Kuala Selangor. Isu air di Selangor, biarkan mereka yang pakar dan berpengetahuan selesaikan," sindirnya.

Hudud: DAP Menentang, Umno Menolaknya

Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, 13 Ogs 2012
Pendahuluan: Sumber memahami ajaran Islam
Sesiapa sahaja yang ingin mengetahui Islam secara ikhlas, maka wajiblah mereka membaca dan mengkaji daripada sumber asasi Islam iaitu kitab suci Al Quran dan cara pelaksanaanya melalui hadith-hadith yang soheh. Begitu juga penjelasan daripada para ulama muktabar, sama ada menerusi kitab-kitab tafsir, hadith dan ilmu feqah serta sejarah pelaksanaan oleh kerajaan-kerajaan Islam yang adil, bukannya kerajaan Islam yang zalim.

Tentulah akan berlaku kesilapan dan boleh menyesatkan jika sekadar membaca dari sumber yang tidak benar dan mengelirukan seperti penulisan para orientalis yang tidak beriman atau media yang tidak juga beriman dan budiman. Apatah lagi cuba mendalami Islam menerusi media yang mencampur adukkan hak dan batil, mencampur adukkan terjemahan Al Quran, tulisan-tulisan serta gambar lucah dan keputusan judi nombor ekor untuk mendapat keuntungan wang tanpa mengira halal dan haram.  Begitu juga dari kalangan para ulama contoh daripada ahli kitab yang disumpah menjadi kera, binatang yang bergayut di pokok yang banyak buah yang boleh dimakan.Kalau diberi bunga yang cantik dan harum nescaya diciumnya.Kemudian dikoyak rabak merosakkannya.Begitulah ajaran Islam yang murni juga dikoyak rabaknya, kerana kedudukan dan periuk nasi kononnya.

Keseluruhan surah Madaniyyah (yang diturunkan di Madinah) dan ayat – ayatnya yang menyatakan hukum jenayah Islam diantaranya hukum Hudud.Ketika Islam memerintah negara masyarakat majmuk berbagai bangsa, penganut berbagai agama dan aqidah menjadi rakyat.Berlakunya perbezaan agama dan aqidah dan mecetuskan perbahasan dengan kalangan bukan Islam secara terbuka.

Allah berfirman dalam al-Quran, Surah al-Baqarah ayat 120:

Maksudnya: “Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (Wahai Muhammad) sehingga Engkau menurut agama mereka. Katakanlah (kepada mereka): "Sesungguhnya petunjuk Allah (agama Islam itulah petunjuk Yang benar". dan Demi Sesungguhnya jika Engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka sesudah datangnya (wahyu Yang memberi) pengetahuan kepadamu (tentang kebenaran), maka tiadalah Engkau akan peroleh dari Allah (sesuatupun) Yang dapat mengawal dan memberi pertolongan kepada mu”.

Banyak lagi ayat-ayat yang tegas daripada surah yang lain yang bersifat Madaniyyah, diantaranya jawapan kepada soalan dan tuduhan kaum bukan Islam yang hidup bersama masyarakat Islam, daripada kalangan Yahudi, Nasrani dan kabilah musyrikin yang belum Islam serta kumpulan munafik yang berpura-pura Islam. Mereka adalah kalangan yang tidak ada kuasa pemerintahan dan bebas bercakap tanpa larangan.Ada pun ayat-ayat peperangan adalah bagi menghadapi musuh yang datang menyerang atau membuat persediaan untuk berperang.

Dalam konsep hubungan berbagai kaum, Islam mendahulukan perdamaian dan mengharamkan paksaan dalam berdakwah.Ini kerana paksaan tidak memberi makna Islam yang sebenar, tetapi hanya melahirkan golongan munafik. Allah berfirman dalam Al Quran (al-Hujurat: 14) mendedahkan sikap sebenar kaum badawi:

Maksudnya: Orang-orang  A'rab(badawi) berkata: " Kami telah beriman". Katakanlah (Wahai Muhammad): "Kamu belum beriman, (janganlah berkata demikian), tetapi sementara iman belum lagi meresap masuk ke dalam hati kamu berkatalah sahaja: “Kami telah Islam”. dan (ingatlah), jika kamu taat kepada Allah RasulNya (zahir dan batin), Allah tidak akan mengurangkan sedikitpun dari pahala amal-amal kamu, kerana Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani".

Tiada paksaan menerima hudud untuk bukan Islam


Apabila kaum Yahudi yang berpegang kepada kitab suci Taurah, walaupun di dalamnya ada hukum hudud yang sama dalam Al Quran, namun Allah memerintah Rasulullah S.A.W. tidak memaksanya. Firman Allah (al-maidah: 42):

Maksudnya: Dan jika mereka datang kepadaMu, maka hukumlah di antara mereka (dengan apa Yang telah diterangkan oleh Allah), atau berpalinglah dari mereka (biarkan); dan kalau Engkau berpaling dari mereka maka mereka tidak akan dapat memudaratkanmu sedikitpun; dan jika Engkau menghukum maka hukumlah di antara mereka dengan adil; kerana Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang Yang berlaku adil.

Ayat ini antaranya menjadi dalil kepada pada pendapat yang menyatakan  bahawa tiada paksaan hukuman hudud terhadap orang bukan Islam sebagaimana pendapat dari mazhab Maliki yang diamalkan dalam masyarakat majmuk di utara Afrika dan Andalusia dan mazhab Hanafi yang berkembang dalam masyarakat majmuk di Iraq, India dan China. Berbeza dengan Mazhab Syafei yang tersebar ditanah Hijaz dan semenanjung arab yang terdiri daripada penganut Islam, ahli kitab dan Majusi.

Saya memuji betapa bijaksana para pendakwah kalangan ulama yang membawa Islam di alam Nusantara termasuk Tanah Melayu. Kerajaan Islam Melaka berabad lalu menyediakan dua undang-undang jenayah sama ada undang jenayah Islam termasuk undang-undang Hudud atau undang-undang adat bagi kaum bukan Islam Hindu dan Budha. Di Kedah masih ada rumah ibadat Hindu Melayu di Merbok yang tidak dimusnahkan oleh kerajaannya.Di Terengganu tempat penemuan batu bersurat yang mencatatkan undang-undang Hudud, masih digunakan rumah ibadat agama Budha dikampung Jeram Terengganu.

Al Quran mewajibkan pelaksanaan yang adil dalam perkara kemanusiaan yang sama dalam konsep Negara berkebajikan yang diamalkan oleh Rasulullah S.A.W. dan para Khulafa yang adil dalam menangani hak beragama, berbudaya, bekerja, menangani kemiskinan dan sebagainya.

PAS dan dasarnya

PAS menyatakan dasarnya secara terbuka dan DAP juga menyatakan perjuangannya secara terbuka dan berdailog secara terbuka. Maka PAS dapat bekerjasama dalam perkara yang ada persamaan tanpa melarang dan memaksa dalam perkara yang berbeza.Ada perkara boleh bertolak ansur dan ada perkara yang tidak boleh berganjak. Sabda Rasulullah S.A.W. : “Orang Islam itu wajib bertanggungjawab diatas syarat yang ditetapkan, melainkan syarat yang menghalalkan yang haram dan mengharamkan yang halal”.

Sepertimana juga DAP tidak boleh memaksa ahli PAS meminum arak dan memakan daging khinzir, maka PAS juga tidak boleh melarang ahli DAP dari minum arak dan makan daging khinzir. Perlembagaan PAS mewajibkan memecat sesiapa kalangan ahli PAS yang meminum arak dan memakan daging khinzir. Perlembagaan Umno tidak boleh memecat ahli UMNO yang minum arak bersama MCA , MIC dan Gerakan.
Begitulah nyatanya PAS tidak boleh menghalang DAP menentang Hudud dan DAP tidak berkuasa menghalang PAS menyatakan haknya. Pandangan pimpinan tertentu DAP pula tentulah tidak sama dengan pandangan pimpinan UMNO yang berkuasa selama puluhan tahun di Malaysia ini.Berbeza dengan UMNO yang sudah berkuasa bersama parti-parti rakannya sejak kemerdekaan negara mencecah lebih setengah abad.PAS adalah kalangan Melayu yang tidak lupa dan tidak mudah lupa seperti Melayu UMNO yang mudah lupa.

Sejak awal kemerdekaan PAS memperjuangkan Syariat Allah wajib ditegakkan, termasuklah hukum Hudud.Sejak awal kemerdekaan juga para pemimpin Umno menentang hukum Islam seperti hukum Hudud.Hanya berhukum sekadar yang diizinkan oleh kerajaan penjajah Inggeris. Maka pada masa itu  hukum hudud menjadi sasaran dihina, bahkan menganggap politik tidak ada hubungan dengan agama. PAS tetap beranggapan sikap UMNO itu kerana kejahilan dan terus bersabar mengemukakan hujah  dan melarang ahli-ahlinya yang melampau dalam menghukum. Hinggalah yang melampau itu melompat ke dalam UMNO.Berkat kesabaran itu maka tidak ada lagi kenyataan menentang secara terbuka di waktu ini.Kenyataannya bertukar kepada menentang secara bersilat gayung seperti kenyataan “Hudud PAS” atau “belum tiba masanya” walau pun berlalu masa setengah abad.

PAS mengemukan undang-undang jenayah Syariat termasuk hukum Hudud diperingkat negeri Kelantan dan Terenganu melalui proses demokrasi. Undang-undang tersebut digubal oleh jawatankuasa khas bersama daripada PAS dan kerajaan negeri melibatkan beberapa ahli Majlis Syura Ulama dan pakar undang–undang seperti Tun Saleh Abas, mantan Ketua Hakim Negara, al-Marhum Prof Dr Ahmad Ibrahim (tokoh akademik dan ahli PAS Singapura) Almarhum Prof Dr Saedun Awang (tokoh akademik dan Mantan Mufti Brunei Darussalam). Apa yang berlaku ialah, pihak UIA dibawah kerajaan UMNO lah yang mengarahkan kedua tokoh akademik meletakkan jawatan sebagai panel ini, namun urusannya dapat diselesaikan.

Rang undang-undangnya terlebih dahulu dibentangkan kepada umum.Dengan jasa baik YBM Tengku Razaliegh Hamzah, maka dijemput semua parti-parti politik termasuk komponen BN yang dipimpin UMNO dan NGO berbagai agama.Keseluruhannya hadir kecuali BN. Semua pandangan dan kritikan didengar dan dijawab.Selepasnya diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri kedua-dua negeri yang PAS mendapat sokongan majoriti.Akhirnya diperkenankan oleh DYMM Sultan dikedua-kedua negeri. Ada pun pelaksanaannya bergantung mengikut proses perlembagaan dibawah kerajaan Pusat yang dipimpin oleh Umno. Kalau UMNO boleh meminda perlembagaan mengambil kesempatan kesilapan seorang sultan dengan mengambil kuasa bagi kepentingannya, mengapa tidak boleh menyelesaikan perlembagaan bagi melaksanakan undang Islam?

Hudud ditolak oleh UMNO
Kemudian daripada itu, kerajaan Kelantan mendapat surat amaran daripada Kerajaan Pusat pimpinan UMNO.  Kerajaan Terengganu dan Kelantan didakwa dimahkamah  oleh pemimpin UMNO kerana undang-undang tersebut. Berikutnya berlaku kempen menakutkan pelabur dan rompakan royalti Petroleum daripada Terengganu melalui usul perwakilan Umno Terengganu dalam Perhimpunan UMNO tahun 2000 dan dinafikan hak Kelantan.Tetapi tidak dilakukan kepada Sabah dibawah PBS dan Singapura ketika dalam Malaysia. Di mana salahnya PAS?

Inilah dia dua sikap yang berbeza. DAP ditonjolkan sebagai parti yang menentang hudud oleh media arus perdana kawalan Kerajaan BN, dalam masa yang sama hakikatnya ialah UMNO yang berkuasa memimpin kerajaan pusat itu pula juga menolak Hudud dengan rentetan seperti yang saya tulis di atas. DAP menolak hudud dengan menampilkan hujah mereka, manakala MCA pula menolak hudud dengan tempikan tuduhan UMNO hilang akal.

Hakikatnya ialah tema “Hudud” ini telah dan kembali lagi menjadi kitaran isu musim pilihanraya oleh UMNO untuk melaga-lagakan rakyat, tanpa rasa bertanggungjawab terhadap panduan agama Islam yang murni. Sedangkan merekalah yang sebenarnya sekian lama menolak hukum hudud ini !
Sekian untuk pusingan pertama, sila tunggu pusingan berikut kalau ada silat gayungnya.


PRESIDEN PAS

Solat jamak, qasar ketika balik kampung

Ustaz Ahmad Adnan Fadzil, 13 Ogs 2012

Terima kasih

Jawapan;
Jika kita berasal di satu tempat, kemudian kita berpindah darinya dan tinggal/bermastautin di tempat yang lain, merujuk kepada amalan Nabi SAW, harus kita melakukan solat musafir (yakni jamak dan qasar) tatkala kita bermusafir ke tempat asal kita jika jaraknya melebihi dua marhalah dari penempatan baru kita.

Sedia dimaklumi bahawa Nabi SAW berasal dari Makkah, kemudian berhijrah ke Madinah. Hadis-hadis Nabi SAW menceritakan bahawa tatkala baginda bermusafir ke Makkah, baginda melakukan solat musafir ketika berada di Makkah - walaupun Makkah itu asalnya adalah tanah kelahirannya. Seorang sahabat bernama ‘Imran bin Hushain menceritakan;

“Aku pernah berperang dengan Rasulullah SAW dan bersama baginda ketika pembukaan kota Makkah. Baginda menetap di Mekah selama 18 hari dengan tidak mengerjakan solat melainkan dua rakaat (yakni melakukan solat qasar). (Selepas memberi salam), baginda berkata (kepada makmum di belakangnya dari kalangan penduduk Mekah); “Wahai penduduk Mekah, sempurnakan solat kamu kepada empat rakaat kerana kami adalah golongan musafir”. (HR Abu Daud).

Berdasarkan hadis ini, harus kita melakukan solat musafir apabila kita pulang ke kampung/penempatan kelahiran kita jika kita tidak lagi menetap di situ. Adapun tempoh keharusan melakukan solat musafir, (yakni jama’ dan qasar) diharuskan selagi seseorang itu berada dalam musafir (perjalanan). Jika ia berhenti di satu tempat, sekiranya dia berniat untuk tinggal di situ empat hari atau lebih (tidak termasuk hari masuk dan hari keluar), tamat musafirnya dan tidak harus lagi solat musafir (jamak dan qasar) hinggalah hari keluar dari situ. Itu adalah mengikut pandangan jumhur ulama (merangkumi mazhab Syafi’ie, Malik dan Ahmad). Adapun mazhab Imam Abu Hanifah; tamat musafirnya jika berniat tinggal 15 hari atau lebih.

Sekiranya berhenti di satu tempat untuk suatu urusan dan tidak berniat untuk tinggal di situ beberapa hari tertentu, akan tetapi bergantung kepada urusannya, iaitu sebaik sahaja selesai urusannya dia akan keluar dari situ, harus baginya solat musafir di situ selama 18 hari mengikut mazhab Syafi’ie (yakni selepas 18 hari tidak harus lagi solat musafir walaupun urusannya belum selesai). Menurut mazhab Imam Abu Hanifah, Malik dan Ahmad; harus solat musafir selagi urusannya belum selesai sekalipun memakan masa bertahun.

Mengenai pendapat ulama, ada sebahagian ulama berpendapat; tidak harus seseorang melakukan solat musafir jika singgah di suatu tempat yang ada di situ ahli keluarga dan hartanya. Dia hanya harus melakukan solat musafir ketika dalam perjalanan ke situ sahaja. Adapun apabila sampai, hendaklah melakukan solat penuh.

Hal ini kerana dengan adanya keluarga dan hartanya di situ, maka tempat itu telah telah menyerupai negeri/kawasan penempatannya. Antara yang berpandangan sebegini ialah Imam Ahmad dan az-Zuhri. Berkata Imam az-Zuhri; sesiapa bermusafir dengan melalui ladang/kebun miliknya, tidak harus solat musafir di situ. Pandangan ini diambil dari Ibnu ‘Abbas. Menurut beliau; jika kamu tiba di satu kawasan/tempat yang ada ahli keluarga atau harta kamu, hendak lah kamu mengerjakan solat sebagaimana solat orang mukim (orang yang menetap), yakni; solat dengan sempurna, tanpa qasar.

Namun jumhur ulama (termasuk Imam Syaf’ie, Ibnu al-Munzir, Imam Malik dan sebagainya) berpendapat; harus solat musafir selama tidak berniat menetap (bermukim) di situ. Jika berniat menetap (bermuqim) di situ, tamatlah keharusan solat musafirnya (yakni hanya harus mengerjakan solat musafir di perjalanan sahaja dan apabila sampai hendaklah melakukan solat sebagaimana biasa). Jadi menurut pandangan ini hukum bermusafir ke tempat yang ada ahli keluarga kita sama seperti bermusafir ke tempat lain, iaitu harus melakukan solat jamak dan qasar (jika mencukupi syarat-syarat dari segi jarak dan sebagainya) selama kita tidak berniat untuk menetap atau bermastautin di situ.

Pandangan pertama berdalilkan hadis riwayat Imam Ahmad yang menceritakan bahawa; Saidina ‘Usman apabila berada di Makkah, beliau tidak mengqasarkan solatnya akan tetapi melakukannya dengan sempurna. Lalu perbuatannya disanggah oleh sahabat-sahabat yang lain. Maka dia menjawab; Aku telah berkeluarga di Makkah. Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda; “Sesiapa berkeluarga di satu negeri, hendaklah Dia mengerjakan solat sebagaimana orang muKim (yakni tidak boleh jamak dan qasar)” (Riwayat Imam Ahmad). Namun, para ulama hadis telah sepakat mengatakan bahawa; hadis ini adalah dhaif (lemah), tidak harus dijadikan hujjah.

http://ilmudanulamak.blogspot.com/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan