Selasa, 14 Ogos 2012

PELIAHARA LEMBU BUAT HAL...ADA PULAK UNDANG2 KADANG LEMBU...JANGAN BODOH MACAM LEMBU DAH...BODOH TAK PE SEBAB BOLEH DI AJAR SERTA BELAJAR...KALAU LEMBU TAK TAHU PULAK...

Sidang khas OIC diharap dapat atasi isu umat Islam

Muhammad Faizal, 13 Ogs 2012
KUALA LUMPUR: PAS mengharapkan Sidang Kemuncak Luar Biasa ke-4 Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) akan dapat memainkan peranan yang lebih berkesan dalam menangani isu-isu dan tuntutan umat Islam di dunia.


Persidangan kemuncak luar biasa itu akan diadakan pada 14 dan 15 Ogos ini di Kota suci Mekah dan kali terakhir berlangsung adalah pada tahun 2005.


Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali yang ditemui di mahkamah pagi tadi berkata sudah sampai masanya pemimpin di dalam OIC mengambil satu langkah yang betul-betul tegas dalam menangani isu kaum Rohingya agar kekejaman tidak terus berlaku.


"OIC perlu mengambil satu keputusan dan tindakan yang tegas dalam soal kekejaman terhadap umat Islam terutamanya dalam konfilk kaum Rohingya agar ia dapat diatasi segera.


"Namun melihat kepada apa yang berlaku sebelum ini keputusan-keputusan yang dibuat oleh OIC tidak begitu efektif dalam menyelesaikan masalah-masalah yang dihadapi," katanya.


Tambahnya lagi, sempena bulan Ramadhan dan persidangan pula diadakan di Kota Suci Mekah maka ketegasan dalam menyelesaikan konflik kekejaman terhadap umat Islam perlu disegerakan serta menjadi keutamaan.


Mustafa juga berharap OIC bukan sahaja mengambil ketegasan terhadap konflik  Rohingya agar dapat diselesaikan malah isu-isu lain berkaitan umat Islam juga ditangani dengan lebih baik.


Jelasnya lagi, kerajaan Malaysia sudah menyatakan pendirian berhubung kaum Rohingya yang masih teragak-agak untuk bertindak serta tidak bersungguh-sungguh dalam mencari jalan penyelesaian itu.


"Kita berharap OIC akan menjadi satu badan yang efektif dan terus dihormati.


"Sebagai mewakili Malaysia, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak harus menyatakan pendirian selaras dengan apa yang diputuskan oleh OIC berhubung kekejaman terhadap kaum Rohingya," sambungnya.


Difahamkan ketua-ketua negara yang dijangka hadir ialah dari Bahrain, Kuwait, Qatar, Emiriah Arab Bersatu, Yemen, Libya, Mesir, Turki, Lebanon, Senegal dan Brunei.

Parlimen bubar jika PAS, DAP berpecah

Harakahdaily, 13 Ogs 2012
KUALA LUMPUR: “Parlimen dibubar jika PAS, DAP berpecah, inilah yang ditunggu. Nampaknya skrip yang dimainkan oleh media Umno terutama Utusan dan RTM tidak  menjadi,” kata AJK PAS Pusat, Idris Ahmad.


Sepatutnya, kata beliau Pilihan raya Umum ke-13 sudah berlangsung tahun 2011 tetapi suasana tidak mengizinkan kerana tidak menyebelahi pihak BN.

Beliau menegaskan, hubungan PAS dan DAP semakin kukuh walaupun diasak, kerana kebijaksanaan pimpinan Pakatan Rakyat yang bijak menyelesaikan di meja perundingan.

Justeru, ujarnya BN sedar jika gagal memecahkan perpaduan kedua parti itu, maka mimpi buruk akan menjadi kenyataan yang mana kerajaan Pusat akan tumbang pada PRU13.

Katanya, Umno amat memerlukan kepada sokongan orang bukan Islam kerana undi Melayu sudah tidak lagi menjadi penyelamat kepada Umno terutama di kalangan generasi muda.

“Mereka inilah yang membawa perubahan politik kepada ibu bapa mereka,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Selama ini, kata Idris Umno berjaya mendapat sokongan orang bukan Islam dengan memberi gambaran yang buruk mengenai PAS, tetapi selepas PRU 2008 keadaan sudah berubah.

Katanya lagi, kalau PAS-DAP tidak berpecah, ertinya gelap masa depan Umno untuk mendapat sokongan orang bukan Islam.

Terbaru, ujar beliau  kenyatan Ustaz Abdullah Sa’amah Pondok Geting Tumpat yang mengatakan haram undi DAP, kerana ia kafir harbi.

“Kenyataan ini tidak lebih daripada untuk memulih tenaga zahir dan batin Umno yang semakin lemah,” katanya lagi.

Malangnya, ujarv Idris kenyataan itu telah memakan Umno dan MCA.

Katanya, rakyat  mula melihat kembali kenyataan pemimpin Umno yang menolak dan menghina hukum Islam secara berfakta.

Menurutnya, penghinaan Presiden MCA Datuk Seri Chua Soi Lek yang biadab kepada Islam dan menghina wakil rakyat Datuk Ayub sebagai hilang akal.

Beliau menambah, MCA juga  yang banyak menghina dan  memperelkehkan Umno dalam isu hudud.

“Sekarang rakyat menilai balik, siapa sebenaranya bahaya kepada Islam. Pemimpin Umno sudah hilang jantan apabila diperlakukan oleh MCA,” ujarnya.

Jelasnya, hampir lima tahun DAP menguasai Pulau Pinang tetapi tidak ada satu pun masjid, surau dirobohkan dan ustaz ditangkap.

Tambahnya, tetapi perkara ini berlaku di negeri Selangor sewaktu Umno memerintah.

Katanya, rakyat masih segar dalam ingatan yang mana Surau Jubli Perak Bandar Baru Bangi, Surau al-Rahmah Seksyen 8 Shah Alam, surau di Puchong Perdana ditutup.

“Surau di Kampung Berembang Ampang diroboh, Masjid Bujal di Kemaman diruntuh. Apakah hukum sokong parti yang khianat rumah Allah? kata beliau.

Justeru, katanya tidak ada apa yang rugi kepada PAS dan Islam kerana bertahaluf dengan DAP.

“Yang rugi ialah Umno dan sekutunya kerana tidak lagi boleh bermaharajalela mengkhianat rakyat dan menghina Islam apabila mereka hilang kuasa,” ujarnya.

Dokumen saman Syabas siap selepas Aidilfitri

Afix Redzuan, Selangorku, 13 Ogs 2012
SHAH ALAM: Gabungan Menentang Penswastaan Air (CAWP) tetap akan meneruskan tindakan saman terhadap Syarikat Bekalan Air Selangor Berhad (Syabas) yang sehingga kini masih belum memberikan jawapan berhubung 7 persoalan yang dikemukakan sebelum ini.
Pengerusinya, Charles Santiago (gambar) berkata, tindakan saman ini tetap diteruskan meskipun Kerajaan Persekutuan bersetuju memberikan laluan kepada Kerajaan Negeri untuk melakukan penstrukturan semula air kerana sebelum ini Syabas mendakwa ‘berlakunya krisis air’ di Selangor.

“Sepatutnya Rabu ini (15 Ogos) kami akan mengemukakan tuntutan saman. Tapi pihak peguam memaklumkan beliau masih lagi dalam proses menyediakan dokumen. Kita akan failkan selepas Aidilfitri,” katanya ketika dihubungi TV Selangor.

Sebelum ini, CAWP bersama Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menghantar memorandum kepada Syabas bagi menjawab tujuh persoalan berhubung krisis air yang didakwa berlaku di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Ketujuh-tujuh isu itu ialah pengaliran air mentah dari empangan dan stesen pengepaman ke dalam loji rawatan, bacaan meter aliran keluar air yang telah dirawat ke loji rawatan masing-masing bagi tempoh yang sama dan bacaan meter aliran keluar air yang telah dirawat ke sistem pengagihan kepada pengguna melalui Syabas.

Persoalan lain yang dikemukan dalam memorandum berkenaan adalah buku log dan meter tentukur yang disahkan, bil-bil elektrik dari 1 Januari hingga 15 Julai tahun ini, penggunaan kimia bagi tempoh yang sama dan bil pembayaran Puncak Niaga Sdn Bhd kepada Syabas untuk air yang dijual bagi tempoh yang sama.

Sokongan profesional: Pemuda sedia ke Putrajaya

Abdul Hadi Ghazali, 13 Ogs 2012
SHAH ALAM: Sejumlah RM50,000 berjaya disumbangkan oleh para profesional muda PAS  yang  berhimpun dan mengikuti program ‘Xpresi Profesional Muda Ke Putrajaya’ Sabtu lepas.

Program yang bertempat di Kediaman Rasmi Menteri Besar Selangor, Seksyen 7, Shah Alam itu berjaya menghimpunkan 600 orang profesional muda.

Di samping  lebih 500 peserta di kalangan muslimin dan muslimat yang hadir berhimpun di Shah Alam, program penuh bersejarah ini turut diikuti oleh hampir 100 peserta di luar negara, Sabah dan Sarawak  secara ‘live video-conferencing’.

Antaranya dari Dublin, Manchester, Lancaster, Dubai, Miri, Bintulu, dan Kota Kinabalu, di samping saluran ‘live audio- streaming’ yang diikuti secara langsung di lebih 50 lokasi serata dunia.

Bertemakan agenda “Maknakan Kemenangan”, program ini dilihat amat bertepatan dengan iklim politik negara semasa yang menatijahkan kesedaran dan kebangkitan rakyat, khususnya kelompok anak muda, yang mengharapkan bentuk bernegara dan bermasyarakat yang lebih baik di Malaysia.

Pemuda PAS melihat PRU-13 bakal menyaksikan pertembungan pilihanraya paling sengit dalam sejarah Malaysia, tatkala BN mahu merampas kembali majoriti 2/3 di parlimen.

Di samping lanskap politik semasa yang tidak menentu, khususnya peranan pihak media yang rancak memainkan sentimen perkauman di kalangan masyarakat, pertambahan komposisi pengundi muda yang dianggarkan mencecah 52% jika parlimen dibubarkan pada suku pertama 2013 juga memberikan makna yang besar.

Di dalam ucapan perasmian, Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi menyeru seluruh profesional muda membina kepakaran demi agenda mengisi kemenangan pasca PRU-13.

Beliau merujuk kejayaan teman-teman profesional muda di kalangan Ikhwanul Muslimin berjaya memastikan peralihan kuasa di bumi Mesir pasca regim Hosni Mubarak berjalan dengan baik mengikut acuan Islam.

Ustaz Nasrudin Hassan turut mengingatkan profesional muda yang hadir bahawa PRU-13 ini bakal menjadi medan pertembungan polisi oleh setiap parti politik yang bertanding untuk mengemukakan gagasan dasar dan program yang mampu menarik sokongan pengundi.

Ia memberikan fokus kepada memperbaiki masalah sosio-ekonomi rakyat  bawahan di samping kebimbangan terhadap dayatahan ekonomi negara yang menanggung beban hutang yang kian meningkat, hasil daripada pemborosan dan salah urus tadbir kewangan oleh pemimpin negara.
Justeru, golongan profesional muda perlu mempersiapkan diri dalam menggalas agenda penting ini, kata Nasrudin.

Beliau menambah, agenda pembaharuan ini, yang boleh dibahagikan kepada aspek  penambahbaikan (corrective) dan penyusunan-semula (restructuring), sudah pasti menuntut kepada komitmen dan kepakaran dari semua peringkat penggubal dasar dan pelaksana polisi, khususnya di kalangan profesional muda.

Beliau turut melahirkan rasa bangga di atas penganjuran program ini, dan dengan penuh yakin menzahirkan bahawa Pemuda PAS dan Ameerah bersedia melahirkan generasi muda yang terbaik.

Berdasarkan sambutan yang di luar jangka, Pemuda PAS sudah mengatur tindakan selanjutnya hasil daripada Xpresi ini, antaranya mengemaskini kumpulan pakar (expert group) di kalangan profesional muda.

Ia bakal dibuat secara lebih sistematik, penyaluran kepakaran profesional muda untuk Pimpinan dan Ahli Parlimen PAS, serta penganjuran diskusi serta wacana polisi dalam agenda mempersiapkan anak muda mengisi dan memakna kemenangan di Putrajaya, insyaAllah.

Ekoran kejayaan mereka menyumbangkan RM500,000 untuk PAS, ia dilihat sebagai manifestasi kebersamaan profesional muda dalam menjayakan misi PAS dan Pakatan Rakyat menuju Putrajaya, seterusnya sebagai simbol kebersamaan profesional muda dalam agenda Membangun Negara Berkebajikan kelak.

Rata-rata peserta yang ditemui teruja dan berpuasa hati dengan mutu penganjuran dan pengisian Xpresi Profesional Muda ini.

Saudara Ir Nazim Khir yang merupakan jurutera bertauliah berkata, “Walaupun pendirian politik kami tidak dapat dizahirkan atas faktor amalan demokrasi yang tidak sihat di Malaysia, namun ia tidak pernah melunturkan semangat dan tekad kami untuk memberi sumbangan berdasarkan kepakaran masing-masing dalam agenda membina masyarakat dan negara yang lebih sejahtera.”

Pandangan beliau turut disokong Dr Ghazali Abdullah yang merupakan seorang pakar perubatan yang menyebut, “Program ini berjaya memberi peluang kepada profesional muda yang berjiwa besar berinteraksi secara ‘menegak’  (vertikal ) untuk meluahkan pandangan, idea dan kritikan terhadap pimpinan pemuda dan pusat, di samping ruang interaksi ‘mendatar’ (horizontal) untuk kami profesional muda ini, saling berkenalan membina jaringan (networking) dari profesion yang pelbagai.”

Di akhir Xpresi tersebut, para profesional muda melafazkan ikrar sokongan demi menjayakan misi kemenangan PAS dan Pakatan Rakyat dalam PRU13, seterusnya berjanji untuk berperanan aktif dalam usaha mengisi dan memakna kemenangan, selaras dengan agenda membangun Negara Berkebajikan.


Tokoh-tokoh




Bersempena program ini, Dewan Pemuda PAS Malaysia berbesar hati mengiktiraf sumbangan dan jasa tokoh-tokoh profesional tanahair di atas kepakaran dalam profesion yang diceburi di samping menghargai jasa dan bakti besar yang ditabur terhadap agama dan negara.

Majlis penyampaian anugerah tersebut telah disempurnakan oleh Timbalan Presiden PAS, Tn Hj Mohamad Sabu. Anugerah – anugerah tersebut adalah:

Anugerah Tokoh Profesional Muda - dianugerahkan kepada  Dr Sufyan Hassan bagi menghargai kepakaran dan jasa beliau dalam bidang pendidikan, penyelidikan dan gagasan polisi negara;

Anugerah Tokoh Profesional Harapan  - dianugerahkan kepada Dr Syed Khalid yang telah menempa nama dalam bidang perubatan dan sukarelawan, dalam dan luar negara.

Anugerah Tokoh Profesional Antarabangsa - dianugerahkan kepada Ir Jufri Bade di atas kejayaan  beliau menempa kepakaran di bumi Eropah dan peranan beliau dalam membina komuniti rakyat Malaysia di Eropah.

Anugerah Tokoh Profesional Terbilang – dianugerahkan kepada Almarhum Tan Sri Professor Ameritus Ahmad Ibrahim di atas sumbangan besar beliau yang terpahat dalam sejarah perundangan dan dasar pentadbiran negara, di samping jasa beliau dalam bidang pendidikan dan kemasyarakatan yang tiada tandingan.

Anugerah Tokoh Profesional Tarbiah – dianugerahkan kepada Almarhum Tuan Guru Datuk Yahya Othman di atas usaha gigih dan jasa beliau yang amat besar dalam mendidik, mengasuh dan mentarbiah generasi dai’e yang bertebaran di Malaysia dan seluruh dunia

Di dalam ucapan penutup,  Haji Mohamad Sabu menyeru para profesional muda, mempersiapkan diri dengan ilmu dan kepakaran dalam menjayakan misi mencapai kemenangan dalam PRU13 dan seterusnya memainkan peranan yang lebih besar dalam usaha mengisi kemenangan mengikut acuan Negara Berkebajikan.

Beliau turut memuji Pemuda PAS di atas penganjuran program yang sangat baik ini, dan melahirkan keyakinan beliau bahwa PAS mempunyai masa depan yang sangat cerah, hasil dokongan generasi muda yang punyai idealism, kepakaran dan tekad untuk membangun Negara Berkebajikan.

Hudud: Mengapa tidak tegur Abdullah Saamah?

Harakahdaily, 13 Ogs 2012
KUALA LUMPUR: Majlis Fatwa Kebangsaan digesa bersidang dan bukannya berdasarkan kenyataan peribadi satu dua mufti dan tidak membuat teguran kepada Pengasas Pondok Geting, Tumpat, Abdullah Saamah yang membuat kenyataan bahawa mengundi DAP adalah haram kerana menolak pelaksanaan hukum Hudud.

Dalam satu kenyataan hari ini, Ketua Penerangan PAS Pusat Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (gambar) berkata ini kerana Umno dan MCA juga jelas menolak hukum hudud sebagaimana yang disebut perdana menteri Datuk Seri Najib Razak pada 24 September 2011 yang lalu.

Katanya, PAS tetap menuntut Majlis Fatwa segera bersidang bagi mengkaji keseluruhan kenyataan dari Abdullah Samaah yang telah disiarkan oleh Utusan Malaysia minggu lepas.

“Sebenarnya masih banyak kenyataan beliau yang jelas memperlekeh Rasulullah dalam bentuk senda gurau, sinis, dan melampau yang boleh dilihat dalam pelbagai blog.

"Majlis Fatwa haruslah menggunakan pembaris yang sama untuk menilai semua isu secara objektif. Haram sama sekali untuk menggunakan pembaris yang tidak sama untuk Umno dan pihak yang lain,” tegas beliau.

Dari sudut penolakan hukum Hudud, Tuan Ibrahim berkata penolakan Umno sebenarnya jauh lebih besar kesalahan kerana mereka mempunyai kuasa pemerintahan bagi melaksanakan hukum tersebut, berbanding DAP yang menolak dalam keadaan tiada sebarang mandat untuk melaksanakannya.

Apa yang mendukacitakan, tegas Pesuruhjaya PAS Pahang itu ialah kegagalan Harussani melihat dan memahami secara dekat alasan DAP yang menolak hudud atas alasan bercanggah dengan perlembagaan negara dan bukan atas faktor lain.

“Maka faktor ini perlu diperbetulkan dengan prinsip Islam. Kerana faktor penolakan seseorang terhadap bukan hudud juga mempengaruhi hukuman. Kerana itu, Allah mengkategorikan golongan yang menolak ini sebagai fasiq, zalim dan kafir.

"Kalau yang menolak itu bukan Islam, apakah kategori mereka? Tentulah ianya diluar konteks ayat, kerana memang mereka tidak beriman dengan wahyu Allah,” tegas beliau.

Persoalan utama ialah bagaimana pula orang Islam yang menolak hukum Allah? Bagaimana kalau mereka rakyat biasa, yang jahil, yang mempunyai kuasa, yang alim tetapi degil, dan yang anti kepada hukum Allah? Tentulah hukum antara mereka gidak sama, tegasnya.

Kata Tuan Ibrahim, tiada yang perlu dipelikkan untuk DAP dan sebilangan rakyat bukan Islam menolak hukum Hudud setelah Umno-BN sendiri merosakkan imej Islam untuk 5 dekad lamanya.

Akan tetapi, penolakan hukum Hudud oleh DAP sering diperbesarkan di media pro-BN, manakala penolakan MCA dan Umno disorokkan, kata beliau adalah semata-mata untuk menyerang PAS, yang Umno tahu lawan terbesarnya di medan politik pada PRU-13.

“DAP menang, Umno tak semestinya tumbang. PAS menang, maka sudah pasti Umno akan tumbang bersama BN. MCA tidak boleh diselamatkan lagi maka Umno mengambil keputusan demi survival politik untuk meregangkan lagi hubungan antara kaum untuk menjaga undi Melayu-Islam dalam taktik politik terbarunya.

"Umat Islam diharap dalam membuka mata jelas dalam isu ini – munafik dan hipokrit sebenarnya adalah ancaman terbesar kepada Islam,” tegas beliau.

Seksyen 114A: Undang-undang kandang lembu?

Izmil Amri, Roketkini.com, 13 Ogs 2012
Kalau kita ini tuan kedai, dan kita tangkap seorang anak muda mencuri coklat, kemudian mahu didakwa anak muda itu di mahkamah; adalah menjadi tanggungjawab tuan kedai untuk membuktikan bahawa coklat yang yang dicuri itu miliknya, dan hak milik itu dirampas tanpa izinnya. Mudah begitu.


Kalau kita ini tuan kedai, dan ada anak muda lalu di depan kedai kita dengan memegang sekeping coklat yang kebetulan dijual di kedai kita, adalah tidak masuk akal untuk kita mengheretnya ke mahkamah dan menyuruh si anak muda itu untuk membuktikan bahawa coklat yang dipegangnya itu tidak dicuri dari kedai kita.

Ini undang-undang mudah. Arwah Tan Sri Harun Hashim, apabila disoal tentang apa itu undang-undang dalam fahamnya, beliau menjawab bahawa undang-undang itu ‘common sense‘. Bukan setakat ‘common sense‘ dalam erti kata sesuatu yang ‘masuk akal’, bahkan mencakupi apa yang dipanggil ‘kesepakatan umum’.

Undang-undang mesti masuk akal dan disepakati umum

Undang-undang dibentuk atas sesuatu yang disepakati umum. Kalau umum tidak sepakat, ia tidak jadi norma dan lantas tidak cukup haul untuk diangkat sebagai umum. Kenyataan ini masuk akal. Kalau pekerjaan mencuri itu disepakati umum sebagai satu kesalahan, maka salahlah mencuri itu.

Kalau pekerjaan pakai kasut di kepala itu disepakati sebagai salah, maka bolehlah dikanunkan dan dijadikan undang-undang. Itu konsep kesepakatan umum dalam memahami makna fungsi undang-undang.

Jadi dalam kesepakatan umum selama ini, seorang yang dituduh dengan sesuatu kesalahan adalah tidak bersalah sehingga benar-benar terbukti bahawa dia bersalah; bukan sebaliknya.

Konsep ini difahami pepatah undang-undang, Ei incumbit probatio qui dicit, non qui negat; cum per rerum naturam factum negantis probatio nulla sit – yang mafhumnya ialah beban bukti letaknya pada yang mendakwa, bukan pada yang dituduh atau menafi, kerana memang fitrahnya, yang menafikan dakwaan selalunya payah untuk membawakan bukti.

Jika sebaliknya, maka memang terbaliklah sistem manusia ini. Bayangkan, siapa sahaja boleh ditangkap polis, untuk apa sahaja kesalahan sehingga dia boleh buktikan yang dia tidak bersalah.

Sistem yang begitu pastilah tidak adil, bukan?

Namun malang bagi kita yang mendiam di negara Malaysia yang diterajui United Malays National Organisation ini, pihak pemerintah sedang cuba berfikir dan bertindak secara tidak adil. Ini sebenarnya amat mudah bagi mereka, kerana memang sudah menjadi kelaziman bagi pemerintah untuk berlaku zalim.

Lihat sahaja undang-undang jahat seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dahulu yang membenarkan sesiapa sahaja ditangkap dan dipenjara tanpa perlu dibicarakan.

Jadi pemerintah yang nakal ini beberapa bulan lalu telah membuat sebuah pindaan kepada Akta Keterangan 1950 yang membuatkan dunia kita semua bakal terbalik. Pindaan tersebut dikenali sebagai Seksyen 114A.


Apa itu Seksyen 114A?

Seksyen 114A adalah satu daripada dua pindaan terhadap Akta Keterangan yang dibentangkan di parlimen April lalu dan telah digazetkan pada 31 Julai 2012. Tujuan seksyen ini dipinda katanya adalah khas untuk bertindak terhadap bahan-bahan ‘berbahaya’ di internet. Pindaan tersebut memudahkan pihak berkuasa mendakwa mana-mana pihak yang menyiarkan sesuatu yang memfitnah atau menghasut di internet.

Pindaan terbaru ini meletakkan kebertanggungjawaban kepada pemilik atau penyelaras blog, forum yang membolehkan orang lain menyiarkan komen; pembekal internet dan pembekal webhosting serta mereka yang memiliki komputer atau alat untuk menyiarkan bahan secara online.

Sebagai contoh sekiranya ada apa-apa kenyataan fitnah yang boleh dijejak kembali kepada kata laluan anda, atau alat elektronik anda, bahkan rangkaian internet rumah anda; Seksyen 114A memberi tanggapan bahawa anda bersalah sehingga anda dapat membuktikan sebaliknya. Ini bersalahan dengan tanggapan tidak bersalah sehingga terbukti bersalah seperti yang menjadi amalan kehakiman selama ini di seluruh dunia.

Justeru pindaan gila ini secara tidak adil memindahkan beban bukti kepada pengguna internet yang mungkin didakwa secara salah, untuk sebarang kenyataan fitnah atau menghasut yang terbit daripada rangkaian internetnya. Malah pentadbir forum-forum juga boleh dikenakan tindakan untuk kenyataan-kenyataan yang diterbitkan di laman forum mereka.

Apa yang lebih buruk ialah seandainya rangkaian internet seseorang digodam dan digunakan untuk menyiarkan bahan-bahan tersebut.


Inilah yang bakal berlaku…

Bayangkan seorang nenek yang sendirian di rumah, hanya guna internet untuk buka YouTube buat belajar memasak atau mengait; tiba-tiba sahaja pintu rumahnya diketuk polis. Mengapa? Kerana ada kenyataan yang menghasut diterbitkan dari rangkaian WiFi rumahnya yang digodam orang.

Jadi pindaan sebegini ini adalah gila dan tidak masuk akal. Undang-undang begini adalah undang-undang bobrok dan zalim yang mengekang kebebasan bersuara rakyat jelata.

Pemerintah yang mengekang kebebasan rakyat bersuara dan mengkritik ini adalah pemerintah yang selayaknya dihumbankan ke jurang paling dalam apabila selesai sahaja Pilihanraya Umum akan datang.

Kesannya nanti, orang akan takut untuk bersuara dan tidak lagi berani mengkritik. Malah blog-blog juga akan terpaksa menapis komen-komen dengan lebih tegas. Apa dia garis pemisah antara fitnah, hasut dengan ayat-ayat kritikan dan penegasan untuk mencabar pemerintah yang menzalimi rakyatnya? Ini semua hanya berhak ditafsirkan oleh pemerintah sendiri.

Maka akan takutlah sekalian hamba rakyat untuk mempersoal tindakan pemerintah. Akan tutuplah WiFi percuma di tempat-tempat lepak awam, risau rangkaian internetnya nanti digunakan untuk menulis ayat-ayat bahaya yang menggugat pemerintah. Di mana lagi kami semua nak lepak minum the tarik nanti kalau sudah tak ada WiFi percuma?

Bukan sahaja media massa dikawalnya, internet juga mahu dikawalnya. Ini pemerintah jenis apa ini?

Tetapi apabila pecacainya sendiri menyiarkan fitnah dan tohmah, kebal pula mereka itu daripada tindakan undang-undang. Lihat sahaja bagaimana mereka menggerakkan tentera siber dan media sosialnya untuk memfitnah dan menyebar berita palsu secara berleluasa, dan tidak pula memberi ruang untuk diskusi dan jawapan balas.

Ini halal pula? Tidak pula dihukum kafir harbi? Undang-undang tidak menyalahkan mereka? Ini undang-undang apa? Undang-undang kandang lembu? Mungkin lembu lebih mulia daripada segelintir manusia kemaruk kuasa yang berhati busuk serta zalim kerana sanggup mengongkong rakyat sendiri.

Xpresi Profesional: Tahniah kepada Pemuda PAS

Dr Ghazali Bakri, 13 Ogs 2012
Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (Papisma) mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan sekalung tahniah di atas kejayaan dan keprihatinan Dewan Pemuda PAS Malaysia menganjurkan himpunan setengah hari Xpresi Profesional Muda ke Putrajaya pada 11 Ogos yang baru lalu.
Adalah sesuatu yang amat mengujakan bagi pihak NGO profesional seperti kami bila mana sayap parti ini sudi memanggil kami untuk sama-sama duduk di dalam satu majlis untuk sama memikirkan dan membincangkan masa depan dan hala tuju negara. Ia menggambarkan keseriusan mereka untuk memerintah dan menjadi pentadbir di Malaysia.

Parti Islam Se-Malaysia yang suatu ketika dulu agak sinonim dengan golongan pak lebai dan ustaz-ustaz kini dengan secara konsisten mendekati golongan profesional yang sudah pasti merupakan aset yang sangat bernilai untuk mana-mana pihak sekalipun.

Apa yang mampu disimpulkan mengenai perhimpunan ini ialah PAS sebagai sebuah parti politik yang semakin disegani sudah mampu untuk melakukan anjakan paradigma daripada dilihat sebagai parti yang hanya cuba mengkader dan meramaikan ahli sahaja kepada satu parti yang mampu melakukan hubungan sinergistik dengan pelbagai badan NGO professional yang dijemput hadir.

Pemilihan nama program itu sendiri sudah menunjukkan satu ‘statement’ kepada komitmen mereka untuk melakukan ‘engagement’ dan kerjasama berterusan dengan golongan profesional untuk bersama-sama bekerja dalam merealisasikan agenda Membangun Negara Berkebajikan.

Ia memberikan satu gambaran bahawa golongan profesional sangat perlu berganding bahu dan diberikan tanggungjawab dalam merealisasikan sebuah negara Malaysia yang lebih terkehadapan.

Peluang berdiskusi dan berdialog dalam mengatur langkah dan strategi merealisasikan agenda ini bersama pimpinan pemuda PAS adalah satu peluang yang tidak mampu dilepaskan oleh golongan professional dan usaha ini menggambarkan keterbukaan PAS sendiri sebagai ‘government in waiting’ untuk mendengar degup nafas rakyat secara lebih dekat.

Walaupun mungkin idea yang bakal dilontarkan tidak mampu dilaksanakan sekelip mata, ia adalah suatu perjumpaan yang memberi seribu satu makna kepada mereka yang hadir. Ia memberikan satu semangat baru untuk sama-sama membangunkan negara ini dan juga memberikan satu keyakinan bahawa PAS juga mampu memimpin dan mampu lari dari bayang-bayang  pembangkang yang adakalanya memberikan konotasi yang negatif.

Program ini adalah satu langkah yang bijak dari sebuah parti yang meletakkan Islam sebagai asas perjuangan mereka. Ia adalah satu tamparan kepada pihak-pihak yang beranggapan  bahawa parti ini hanyalah sekadar sebuah parti yang meletakkan agama sebagai slogan tetapi tidak mampu memimpin mahupun menunjukkan kemampuan memimpin.

Kehadiran NGO-NGO yang mewakili hampir semua bidang-bidang terpenting dalam pentadbiran sesebuah negara  secara langsung menunjukkan ketelitian pihak penganjur dalam memastikan suara setiap bidang terpenting diwakili dan didengari.

Ia juga adalah satu medan pemberi semangat kepada kami, untuk bekerja dengan lebih baik lagi sebagai NGO profesional Islam untuk sama-sama membawa negara ke arah yang lebih baik pada masa hadapan.
Namun begitu, harus diingat bahawa program sebegini tidak akan memberi apa-apa makna kepada PAS dan rakyat secara khususnya sekiranya ia tidak diteruskan dengan lebih banyak siri-siri temu mata antara PAS bersama dengan ‘stakeholders’ iaitu rakyat seperti kami.

Ia satu langkah permulaan yang hebat namun ia harus disambung dengan pelbagai program lain lagi seperti ini. Kerugian besar sekiranya pertemuan-pertemuan seperti ini hanya diakhiri dengan satu perjumpaan pendek di petang 11 Ogos tersebut.

Banyak lagi harus dilakukan untuk bekerjasama membentuk Negara Berkebajikan seperti digambarkan PAS. Kami, sebagai NGO profesional sentiasa memberi iltizam untuk berusaha bersama-sama membentuk Negara Malaysia yang lebih baik.

Jangan biarkan ia sebagai retorik yang sudah pasti akan menghilangkan kepercayaan rakyat kepada PAS dan sudah pasti membawa fitnah kepada agama Islam secara tidak langsung.

Sekali lagi, tahniah di atas kejayaan Himpunan Expresi Profesional Muda ke Putrajaya.

Penulis ialah Pegawai Perhubungan Media Papisma.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan